Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 2 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG

"Eh! Dinda.."
Adinda yang sedang berjalan kaki di lorong kecil itu segera menoleh ke tepi. Ada sebuah motor tiba-tiba berhenti di tepinya. Dalam kegelapan di sekelilingnya dia tidak mampu mengecam siapa pemilik motor itu.
"Akulah! Kerol.."
"Hmm..kau rupanya Kerol." Adinda sekadar menyapa malas. Langkahnya kembali diatur.
"Lama kita tak jumpa. Nak pergi mana ni?"
"Balik."
"Berani kau jalan kat sini malam-malam macam ni ya?"
"Takde hantu kat kampung ni pun. Nak takut apa? Kalau ada pun, orang yang perangai macam hantu. Tak merempit ke malam ni? Ke dah takde duit nak isi tangki motor kau tu?" Ujar Adinda siap dengan perlian. Malas mahu melayan lelaki itu. Hantu yang dia maksudkan itu si Kerol inilah. Semenjak habis sekolah tak pernah bekerja. Tahu merempit dengan motorsikalnya setiap malam.
"Lepak dengan aku, jom?" Ajak anak muda itu sambil mengekori Adinda dengan motorsikalnya.
"Aku nak balik. Dah lambat ni. Ayah aku balik dari masjid sekejap lagi. Mati aku kalau dia tengok aku takde kat rumah," ujar  Adinda tanpa memandang bekas teman sekolahnya itu.
"Kalau macam tu mari aku hantarkan kau." Pelawaan itu diberikan sambil motornya diberhentikan di hadapan Adinda. Sekaligus menghalang perjalanan gadis itu. Kerol turun dari motor.
"Jomlah.." Ajak Kerol semakin lembut nadanya.
Adinda mengerling sedikit anak muda itu. Naik motor dengan lelaki ini? Alamat tak sampailah dia ke rumah.
"Dinda, kau nak pergi mana? Sinilah.." Kerol segera menarik tangan Adinda bagi menghalang gadis itu berlalu.
"Kita round-round dulu sebelum balik, nak?" Ucap Kerol dalam nada nakal.
"Janganlah! Aku nak balik ni. Kau tak payah sibuk nak hantar aku. Tak ingin aku nak naik motor kau," marah Adinda sambil menepis tangan lelaki itu.
"Alahai, Dinda.. Dulu kan kau biasa naik motor aku. Jomlah kita pergi jalan."
"Aku tak naklah! Nanti bapak aku marah," ujar  Adinda agak keras. Tangannya cuba ditarik semula daripada mat rempit kampungan itu.
"Aku tak beritahu bapak kau punya. Jomlah lepak dengan aku. Aku bawak kau pergi tempat aku."
"Kau ni dah kenapa? Kau ingat aku ni bohsia kau ke, bohjan?? Lepaslah!! Ayah!!!"Jerit Adinda semakin kuat.
"Kau ni loratlah pulak. Diamlah!! Aku memang dah lama geram dengan kau!" Lelaki kurus itu mula agresif saat memeluk Adinda.
"Woi!!!"
Belebek!!! Samseng kampung itu tiba-tiba tercampak jauh. Terasa tulang belakangnya macam nak patah. Kena terajang agaknya. Terkial-kial dia mahu bangun.
"Hei!! Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung daik bercabang tiga! Tunang aku jangan kau jamah, Aku hantar kau ke batu dua!"
Adinda terpaku memandang lelaki yang baru muncul itu. Dia ni nak berlawan ke nak berpantun??
"Ke tepi, Dinda. Abang Panglima mari nak selamatkan Dinda ni." Ucap Panglima kepada tunangnya itu. Kain pelekatnya disinsing ke lutut sebagai permulaan untuk bertarung. Adinda mengerutkan kening memandang gelagat lelaki itu.
"Tapi untuk apa pantun tadi tu?? Pantun tu buat kau lagi kuat ke apa?"
"Abang Panglima memang suka dengan pantun. Tepi! Biar aku kerjakan budak tak cukup akal tu! Berani dia ganggu tunang aku!"
Namun baru sahaja bunga silat mahu dibuka, anak muda yang membuat gangguan tadi sudah kelam kabut mencari motornya. Bukannya dia tidak tahu siapa Panglima itu.
"Tengok? Dia dah lari. Baru dengar pantun aku. Belum tengok bunga silat lagi," ujar  Panglima macam bersungguh aja.
"Kau buat apa kat sini?" Tanya Panglima hairan. Kawasan menghala ke kebunnya ini agak sunyi. Apatah lagi dalam waktu begini. Gelap campur sunyi!
"Nak balik."
"Mana motor kau?"
"Ayah sorok kunci. Saja tak bagi orang berjalan. Terpaksa aku jalan kaki," cebir Adinda agak perlahan.
"Dah ayah kau tak bagi kau berjalan, buat apa kau keluar juga?"
"Aku pergi bersembang dekat rumah Shima. Bosan duduk rumah!"
"Dah. Mari aku hantar kau balik. Motor aku ada kat situ. Nasib baiklah aku baru balik dari masjid," ujar Panglima agak lembut.
Adinda sekadar mengekori lelaki itu ke motornya. Panglima terus bertenggek di atas motor.
"Sekejap. Aku hidupkan enjin."
Adinda sekadar memandang segala perbuatan lelaki itu. Masuk kali ke tujuh motor lama itu masih tidak bernyala enjinnya.
"Bila boleh naik ni?" Perli Adinda kepada Panglima.
"Bila enjin dah hidup baru kau naik." Panglima menjawab bersahaja. Tempat menghidupkan enjin itu ditendang lagi. Adinda hanya mampu menunggu dengan penuh kebosanan di tepi motor itu.
"Kalau aku jalan kaki tadi aku rasa aku dah sampai rumah. Tapi motor kau ni masih kat sini," perli Adinda seketika kemudian.
Panglima menghela nafas perlahan sambil turun dari motor itu. Kemudian jentera dua tayar itu disorong laju dan laju sebelum dia melompat naik ke atas motor itu. Sekaligus gear ditekan. Tiba-tiba enjin motor itu bernyala.
Adinda hanya mampu menghela nafas bosan sambil mendekati tunangnya itu yang sudah jauh ke hadapan.
"Motor ni magik sikit," komen Panglima tanpa disuruh.
"Apa-apalah!" Jawab Adinda malas sebelum meraba tempat duduk untuk dirinya. Tetapi dia terasa aneh. Kenapa macam berlobang-lobang?? Malah kulit kusyen motor itu boleh diangkat-angkat pula.
"Macam mana aku nak duduk ni?"
"Duduk ajalah macam biasa. Kau nak duduk terkangkang ke.. Nak duduk senget ke.. Suka hati kaulah." Panglima menjawab sambil menoleh.
"Seat motor kau ni! Kenapa macam ni?? Aku nak duduk pun takut!" Ujar  Adinda terus berdiri di tepi motor itu.
"Dah buruk. Memanglah macam tu. Naik ajalah. Nanti ayah kau marah."
Mahu tidak mahu Adinda duduk bertenggek juga di belakang Panglima. Punggungnya separuh duduk di atas kusyen. Separuh lagi terasa duduk di atas tangki minyak motor itu. Isi kandungan kusyen motor itu entah di mana. Takut punya pasal baju Panglima digenggamnya kuat.
"Ish! Jangan pegang aku kuat-kuat sangat. Nanti orang fitnah kita ni suami isteri!" Tangan Adinda di pinggangnya ditepis sedikit.
"Heee.. Poyo betullah mamat ni. Aku bukannya nak peluk kau pun! Aku pegang baju kau aja," getus Adinda di belakang lelaki itu.
"Itulah kau.. Siapa suruh merayap malam-malam macam ni? Kan dah susah," bebel lelaki itu sambil menggerakkan motor Honda Cup 70 miliknya ke rumah Tok Kenanga.
Adinda sekadar berdiam di belakang. Sedar memang salahnya sehingga terjadi peristiwa tadi. Melonjak-lonjak dia dibelakang Panglima saat motor lama itu dipandu dalam kemalapan suluhan lampu motor itu. Sakit pada punggungnya tak usah katalah. Terhentak atas tangki minyak motor itu agaknya.
"Orang perempuan ni elok duduk rumah aja. Jangan keluar sangat. Nanti difitnah orang. Kau tu dahlah tunang aku."
"Kau boleh diam tak??" Marah Adinda dalam pada menahan sakit di buntutnya.
"Nanti lepas kau dah sampai rumah kau, aku diamlah. Aku belum habis bercakap lagi ni."
Adinda di belakang mengertap bibir. Sibuk nak membebelkan orang! Bawa ajalah motor ni cepat!! Getus hatinya geram.
Tatkala motor itu cuba berpindah naik ke satu lorong tar, secara tidak sengaja bahagian bawah motor itu tersagat pada tepian lorong tar yang tidak diturap kemas. Beban dua manusia di atas motor itu memberi hentakan kuat.
"Aduh!!" Jerit Adinda. Sakit punggungnya tidak terkata.
Panglima hanya mampu tergelak sendiri di hadapan. Minyak dipulas agar motor itu lebih laju. Namun tiba-tiba ada letupan berlaku pada bahagian bawah enjin itu.
"Panglima, apa tu??" Adinda sudah mula panik melihat ada percikan api yang ditinggalkan oleh motor itu dibelakang. Juga bunyi bising seperti ada besi yang diseret oleh motor itu. Apabila dipandang ke bawah Adinda terlihat ekzos motor itu sedang terseret di atas jalan. Malahan gabungan bunyi ekzos itu dan bunyi enjin motor itu yanh sudah berubah, sudah cukup menjadikan keadaan sangat membingitkan. Makin gelabah Adinda tatkala melalui satu kedai makan. Ada orang sedang melepak di kedai itu, memandang penuh ketaksuban ke arah mereka.
"Panglima!!"
"Diamlah!! Jangan tegur. Buat tak tahu aja pasal ekzos tu!" Ucap Panglima tegas. Sehabis sahaja dia berkata ekzos yang diseret di atas tar itu tertanggal lalu tertinggal di belakang. Kala itu bunyi motor itu sudah berubah menjadi sangat hodoh.
Kala itu juga Adinda sudah tidak peduli. Tubuh lelaki itu dipeluknya dan wajahnya disembunyikan di belakang Panglima. Tidak sanggup mahu menadah pandangan orang-orang di gerai itu. Dan Panglima.. Hanya mampu memulas minyak motor itu sehingga habis agar mereka dapat lari dari insiden memalukan itu sesegera yang boleh. Sumpah! Dia takkan ke gerai itu selama seminggu. Tak sanggup membiarkan Tuan gerai itu memulangkan ekzos itu semula!

Bab 1 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG



Bingit telinga Adinda mendengar leteran ayahnya. Muncungnya tak usah katalah. Panjang macam pisang tunduk! Benci mendengar setiap patah bebelan lelaki tua itu.
"Ayah tu kolot. Suka paksa Dinda buat perkara yang Dinda tak suka!"
"Ah! Kau tu bukannya boleh diharap. Kalau kau pergi KL tu nanti, kerja apa yang kau boleh buat?" Balas Tok Kenanga meninggi.
"Apa-apalah! Kat KL tu banyak kerja kosong. Kerja ajalah." Adinda Kesuma menjawab patah.
"Tak payah!! Duduk aja kat kampung ni. Kau kat sini ni pun, kalau bukan sebab ayah ni tok ketua yang bakal jadi YB, dah lama kau jadi bohsia. Kalau kat KL nanti macam mana? Siapa nak jaga kau? Tak pasal-pasal ayah dapat malu lagi nanti," Balas Tok Kenanga terus meninggi suaranya.
"Dinda pandailah jaga diri. Ayah ni membosankan!" Marah Adinda. Bengkak berdenyut-denyut hatinya. Sudahlah tak dapat mencapai cita-cita nak ke bandar. Kena kahwin paksa pulak. Ingat ni zaman P Ramlee agaknya.
"Ah! Ayah tak percayakan kau. Kau tu asal nampak lelaki aja mula nak menyengih. Ayah tak suka!"
Muncung Adinda makin mengetat. Dalam kebisuan itu dia dok fikir macam mana nak pujuk ayahnya supaya membenarkan dia pergi KL.
"Ayah, Bolehlah.."
"Tak boleh! Kau ni apa nak jadi? Dulu elok-elok kau masuk kolej, kau pergi masuk kelab malam. Sampai kena buang kolej. Peluang dah ada. Kau yang sia-siakan. Ayah malu dengan perangai kau ni, Dinda. Ayah ni bakal YB!"
Tak habis-habis dengan angan-angan nak jadi YB dia tu. Semenjak 10 tahun yang lepas asyik bakal YB aja. Bila nak dapat jadi YB entahlah.. Kutuk Adinda sendiri dalam hati.
Tok Kenanga menggeleng. "Dah! Ayah dah putuskan. Tak payah kau mimpi nak ke KL sana."
"Kali ni Dinda janji Dinda tak buat macam tu dah, ayah."
"Ayah tak percaya. Kau tu bila dah nampak bangunan tinggi aja, mulalah kau lupa diri. Seronok sangat ke tengok bangunan tinggi macam kat KL tu?"
"Yalah.. Moden. Kat kampung ni apa yang ada?"
"Tak payah nak melawan cakap ayah. Kau duduk aja kampung ni."
"Okay.. Tapi Dinda tak mahu kahwin."
"Habis tu kau nak duduk rumah menghabiskan beras? Dah alang-alang ada orang masuk meminang tu.. Ayah terima aja. Perempuan yang mengelejat aja macam kau ni memang eloknya berlaki cepat!"
"Bencilah dia tu, ayah. Nak kahwin macam mana kalau hati tak suka? Dia tu bukan taste Dinda!"
"Apa yang kau nak bencinya? Budak Taufiq tu baik. Agamanya cukup. Rupapun bolehlah. Kerja pun mantap! Apa lagi yang kau nak?" Balas Tok Kenanga selamba.
Taufiq konon! Ejek Adinda meluat.
"Kau jangan nak banyak songel, Dinda. Hari tu ayah benarkan kau ke KL tapi kau yang buat hal sampai ayah kena bawa kau balik kampung. Kau sendiri yang menempah nasib macam ni."
"Dinda nak belajar lagi, ayah. Tolonglah.." Rayu Adinda kepada lelaki itu.
"Tak payah nak buang masa. Kahwin, jadi bini orang, jadi mak orang lagi ada faedahnya daripada kau jadi tak tentu hala di KL sana. Baru dua bulan duduk KL, kau dah lupa diri," bebel Tok Kenanga sambil menggeleng. Geram dengan anaknya seorang ini. Degil!
"Ayah.."
"Dah.. Jangan banyak cakap. Kau cuba lari dari rumah, siap kau!" Ugut Tok Kenanga sambil bangun membetulkan kemeja batiknya. Namun sebelum berlalu anak daranya itu dipandang semula.
"Tu.. Tunang kau bagi. Ganti cincin tunang. Cincin tunang dia tak sempat nak beli," ujar  lelaki tua itu sambil memuncungkan mulutnya kepada objek di atas meja itu.
Adinda ternganga. Ini ke yang diterimanya dari tunangnya? Spontan objek itu diambil lalu dilempar ke arah dapur.
"Apa kena ni, Dinda?? Kenapa dibuang benda alah ni? Kan membazir nanti," Tegur Mak cik Senangin dari arah dapur. Terkejut mendengar bunyi hentaman. Kepalanya hanya mampu digelengkan dengan perangai anak daranya
Adinda hanya mampu membisu dengan dada turun nai.k menahan geram. Orang lain terima cincin emas sebagai tanda dia tunangan orang. Dia terima sesikat pisang emas. Dah selamat berkecai pun pisang emas itu.
"Kan si Taufiq yang bagi ni? Kenapa dihumban?
"Si Panglima tu memang dah buang tebiat meminang Dinda. Benci!!" Ujar  Adinda kepada ibunya.
"Apa pulak buang tebiatnya? Dia meminang anak dara. Bukan bini orang." Mak Cik Senangin menjawab selamba.
Panglima!!! Aku memang benci dengan kau!!!! Jerit hati Adinda penuh geram.


"Assalamualaikum.."
Tiada jawapan setelah dia menunggu. Dua tiga kali Adinda terus memberi salam. Namun tiada jawapan.
"Panglima!! Oh, panglima!!" Adinda memekik di hadapan pintu rumah itu.
"Apa yang kamu terjerit-jerit ni, Dinda? Cari si Panglima ke?" Tegur jiran sebelah rumah dari tingkapnya.
"Ialah.. Mana dia, mak cik?"
"Dia di kebun pisang dialah. Siang malam dia di situ. Tidur pun kat sana selalunya Jarang dia balik ke rumah ni. Hari Jumaat aja dia balik," ujar  Mak cik Senah.
Adinda termanggu seketika. Nak ke kebun itu? A
Alahai.. Malasnya!
"Mak cik dengar kamu sikit lagi nak kahwin dengan Panglima ya?"
"Entah. Tak jadi kut." Adinda menjawab selamba.
"Aik? Kenapa pulak tak jadi? Kesian si Panglima tu. Masuk yang dengan kamu ni dah dua kali kena tinggal dek orang perempuan." Mak cik Senah berkata dari ambang tingkap rumahnya.
Adinda mencebik. Tak kesian langsung! Desis hatinya sendiri.
"Kalau jadilah si Panglima tu berbini, takdelah sunyi rumah tu. Ada juga penyeri. Mak cik ingat jadilah kamu nikah dengan dia. Rupanya tak jadi ya? Takde rezeki Panglima nak bermentuakan Tok Kenanga lah tu." Mak cik Senah menceceh lagi.
"Takpelah, mak cik. Dinda nak pergi cari Panglima ni. Balik dulu ya?"
"Ialah.."
Dengan skuter Yamaha milik ayahnya Adinda mengarahkan perjalanan seterusnya ke kebun Panglima. Tak sabar rasanya nak bertemu dengan lelaki itu.
Setiba di satu kawasan yang dipenuhi dengan rumpun pisang, Adinda memberhentikan motorsikalnya di kawasan masuk kebun itu. Terdapat sebuah motor Honda Cup 70 terpakir di hadapan pondok kecil di dalam kebun itu.
Adinda meninggalkan motornya di pintu masuk itu. Langkah diatur dengan hati-hati sepanjang pencarian dia kepada si Panglima. Semakin jauh dia menapak semakin dekat dia dengan bunyi sesuatu. Seperti ada aktiviti menebas di hadapannya. Tidak lama kemudian Adinda sudah ternampak lelaki yang dicari sedang sibuk membersihkan kebunnya. Namun lelaki berusia 30 tahun itu menoleh terlebih dahulu sebelum Adinda merapatinya.
"Kat sini kau rupanya.."
Panglima diam. Kerjanya kembali diteruskan. Pelepah daun pisang yang sudah kering ditarik daripada lalu dipotong dengan parang tajamnya sebelum dibuang ke tepi.
"Oi! Aku bercakap dengan kau ni!"
"Aku dengar.." Panglima sekadar bersahaja.
"Habis tu jawab lah ya ke.. Ha'ah ke.. Ini buat pekak aja!" Ucap Adinda sedikit kasar.
"Ha`ah.." Sambut Panglima selamba lagi.
Adinda mula mengertap bibir. Terasa lelaki bertopi koboi itu sengaja mempersendakan kata-katanya tadi. Tidak tahu mengapa lelaki ini yang mahu dipadokkan dengannya. Dia pun bukannya kenal rapat dengan Panglima. Berkawan tak pernah. Bercinta? Lagilah ampun! Mereka jarang berbual. Paling pun.. Bila Panglima datang ke rumah mencari ayahnya, dia yang tukang jawab salam. Dia juga tukang jawab soalan Panglima bila lelaki itu mencari ayahnya. Tanpa sedar mata gadis itu merayap lama kepada si lelaki yang sedang sibuk dengan kerjanya. Sehingga Panglima menoleh.
"Kau nak renung aku sampai bila?"
Adinda tersentak. "Aku ada hal nak bincang dengan kau."
"Pasal apa?" Balas Panglima dengan soalan sambil menaikkan topi koboinya yang menghalang pandangan.
Adinda diam seketika. Matanya tiba-tiba merenung topi itu.
"Mana kau dapat topi macam tu?"
"Kenapa? Cantik ke?"
"Cantik lagi pokok pisang tu!" Cemuh Adinda sambil mencebik.
"Habis tu yang kau sibuk tanya topi kesayangan aku ni kenapa?"
"Sebab pelik! Buang topi koboi kau tu. Kita kat kebun pisang kau. Bukannya kat Texas!" Ejek Adinda siap dengan jelingan.
"Buang? Kau ingat topi aku ni free? Aku beli ni kat bundle tahu tak. Apa kau nak cari aku? Pisang takde yang masak. Semua aku dah jual!"
"Hai, mangkuk tingkat betul dia ni. Ingat aku harap sangat ke pisang kau tu?" Cemik Adinda meluat.
"Habis tu takkan kau nak ajak aku bercumbu-cumbu pulak kat tempat macam ni? Tak baik. Berdosa! Kita belum kahwin. Nanti dah kahwin baru boleh."
Meruap-ruap rasa geram Adinda melihat gelagat lelaki itu. Macam orang tidak berperasaan aja. Siapa nak bercumbu dengan dia entah!!
"Aku nak kau putuskan pertunangan kita. Aku tak nak kahwin dengan kau," ujar Adinda selamba.
"Apasal pulak tak nak kahwin dengan aku?" Tanya Panglima masih bersahaja.
"Sebab aku tak suka kau!" Bicara itu meluncur cukup mudah dari celahan bibir Adinda.
"Apasal pulak kau tak suka aku?"
"Ya Allah.. Apalah ke bingung kau ni, Panglima. Soalan tak boleh blah!!" Jerit Adinda mula hilang kekuatan untuk bersabar.
"Nanti bila dah kahwin kau sukalah dengan aku. Aku pun suka dekat kau." Panglima menjawab sambil berpaling semula untuk menyambung kerjanya.
"Sakitnya jiwa bercakap dengan kau ni!"
Panglima meneruskan kerja seolah-olah Adinda tiada di situ. Geram punya pasal Adinda menyepak pohon pisang tidak jauh darinya.
"Hoi! Kenapa kau sepak si Kuntum tu?"
Adinda terpana seketika. Kuntum? Siapa Kuntum?
"Mintak maaf pada Kuntum! Nanti Kuntum aku tu tak mahu berbuah, siapa yang susah??" marah Panglima.
Spontan Adinda memandang pokok pisang yang ditendangnya tadi. Itu kuntum ke??
"Apasal kau menganga??"
"Aku.. Aku.. Err.. Aku rasa kau ni dah biol, Panglima. Sama dengan kuntum kau!" Serta merta meledak tawa Adinda. Pokok pisang pun nak dibagi nama?
Panglima hanya mampu tercegat memandang Adinda mentertawakan dia. Kurang asam punya bakal orang rumah! Dah disepaknya pokok pisang aku. Dia gelakkan aku!
"Aku lagi rela kahwin dengan kuntum kau ni." Adinda menyambung gelak lagi. Gelihati benar. Pokok pisang ada nama?? Ini pertama kali dia dengar.
"Kau ingat kelakar ke ni?"
"Kalau tak kelakar takkan aku gelak!" Sambut Adinda.
"Dah! Kalau datang setakat nak menyakitkan hati aku, lebih baik kau balik. Malas aku nak layan kau," ujar  Panglima geram.
"Aku serius ni. Aku nak kau putuskan pertunangan kita!"
"Boleh. Tapi dengan syarat. Aku nak kau mintak maaf pada kuntum aku ni seratus ribu kali. Mula dari sekarang!" Ucap Panglima lantas menyengih senang hati. Puas hatinya dapat mengenakan Adinda semula. Melihat wajah Adinda berubah, dia tergelak sendiri.
"Aku benci kau dengan kuntum kau ni. Boleh jalan!!" Jerit Adinda sebelum meninggalkan tempat itu.
Panglima tergelak seorang diri sebelum membelek kuntumnya.

"Sabar ya, kuntum? Orang perempuan ni memang susah nak kawal emosi. Dah nak monopouselah tu!" Ucapnya pada pokok pisang itu. 

Jumaat, 27 Mac 2015

SAMBUNGAN BHG AKHIR JODOHKU BERTAMU DIPINGGIR JALAN

Musim bulan madu sudah berlalu. Kehidupan harus diteruskan. Masing-masing punya tanggungjawab untuk dijalankan. Kamarul dengan kerjanya di litar lumba dan Irina harus meneruskan tugas sebagai seorang pramugari penerbangan.
Beberapa minggu selepas pemergian sang lelaki, rasa rindu kian hebat melanda. Monyok tak sudah-sudah isteri orang itu. Lumrah berjauhan dari suami. Perasaannya tidak mampu ditenangkan semudah itu. Nak-nak lagi mereka berdua baru sahaja berkahwin. Panggilan telefon tidak memadai. Apatah lagi teks sms. Dia mahu lelaki itu selalu ada di hadapan mata.
“Irin, kau memerap aja dalam bilik kenapa? Kau ada dalam rumah ni macam takde aja. Risau aku..” ujar Marla malam itu. Matanya memandang Irina meniarap di atas katil melayan menungan.
“Aku sunyilah, Mar..” keluh Irina seorang.
“Sunyi ke angau? Rindulah ni..” ejek Marla selamba.
Irina terus menjeling. Sebut pasal rindu, mulalah dia terasa mahu menangis. Memang dia rindu. Rindu teramat sangat kepada lelaki seorang itu. Bercakap dengan Kamarul, kadang kala bukannya dengar sangat suara suaminya. Bunyi motor yang lebih jelas kedengaran. Nasiblah, kan? Dah nama pun dapat suami kerja mekanik.
“Apasal kau tak ikut dia? Berhenti aja kerja. Tak payah nak tunggu lepas naik pelamin ke apa. Dah halal, kan? Takde siapa nak marah. Kau kerja pun bukannya duduk rumah selalu. Berhari-hari baru balik. Lebih baik kau pergi ikut dia.”
“Kau nak aku mati cepat? Aku masih dalam kontraklah! Mana boleh berhenti serta merta,” jawab Irina pantas.
Marla diam seketika. Itu dia memang sudah tahu.
“Tapi kalau dah terpaksa, lantaklah. Daripada duduk berjauhan lama-lama? Bahaya! Dahlah Kamarul tu handsome. Setahu akulah, kan.. kat track tu ramai perempuan-perempuan seksi. Gedik! Kau tak takut ke biarkan laki kau bersendirian sampai berbulan-bulan?” giat Marla semakin seronok melihat Irina menggelabah.
“Mar! Kau jangan nak serabutkan otak aku lagi boleh tak?” marah Irina makin geram. Berderai air matanya mengenangkan lelaki seorang itu. Seksanya perasaan!
“Dah menangislah pulak. Eh! aku main-main ajalah..”
“Aku sedih ni. Kau tu bukannya nak senangkan hati aku!” gerutu Irina dengan esakan halus.
“Kesiannya aku dengan kawan aku seorang ni. Kena tinggal lagi. Sebak dada rasanya. Muka asyik frust aja,” ucap Marla sambil menggeleng.
“Diamlah!” marah Irina geram. Wajahnya dialihkan ke sebelah sana. Sekaligus menyuci air matanya dengan bantal yang sedang dipeluknya itu.
“Itulah.. siapa suruh kawan dengan orang macam tu. Kau jugak yang merana kena tinggal,” giat Marla lantas tersenyum sendiri.
Irina mula mengongoi sendiri. Sedih! Marla memang tak faham perasaannya. Mengejek lagi ada.
“Sebelum dia tinggalkan takkan dia tak bagi apa-apa kut?”
“Bagi apa?” Tanya Irina lantas menoleh semula kepada temannya itu.
“Elleh.. buat-buat bertanya pulak. Bekal! Takkan takde bekal!”
Irina terus mengerut kening. “Bekal apa pulak kau ni?”
“Bekallah! Nikah gantung pun kena ada bekal jugak! Tiga bulan tak jumpa.. lama tu!” ucap Marla lantas mengilai.
“Sengal aku bercakap dengan kau ni!”
“Alah.. buat-buat malu pulak ya?”
Irina diam malas mahu menjawab. Itu rahsia. Mana boleh cerita.
“Sabar ajalah, Irin. Dah ada halangan, nak buat macam mana. Sekurang-kurangnya dia selalu call, kan?”
Irina hanya mengangguk. Tetapi itu tidak cukup! Dia mahu hidup dengan lelaki itu. Biarpun Kamarul pernah menjelaskan kehidupan yang dilalui lelaki itu tidak akan sama seperti orang lain, dia tidak peduli. Dia mahu bersama suaminya biar di mana lelaki itu berada. Biarpun mereka terpaksa tawaf satu dunia semata-mata untuk sesuap nasi. Tetapi itulah pekerjaan Kamarul. Sebagai isteri dia harus akur biarpun dia selalu mengangankan kehidupan seperti wanita-wanita lain. Setidaknya dia harus tahu.. dia tidak boleh meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan sang suami.
“Tapi aku betul-betul proudlah dengan Kamarul tu. Tak sangka, kan? Anak bangsa kita mampu sampai ke luar negara dalam bidang itu. Kata orang tak mustahil itu semua boleh dicapai kalau kita usaha.” Marla bersuara lagi dalam menungannya. Paling membanggakan, Kamarul bertanggungjawab menyelia enjin jentera yang ditunggang oleh pelumba antarabangsa. Khidmat dan kepakarannya digunapakai oleh satu pasukan yang cukup ternama. Bukan lagi sekadar menyelia motor untuk anak muda tempatan seperti dahulu. Nama Kamarul Hisyam sudah ada nilainya dalam dunia motor lumba.
“Dulu dia mekanik cabuk. Aku kenal dia, dia hanya seorang mekanik yang sengal. Tapi aku jatuh hati sebab dia bersungguh-sungguh membantu aku waktu kereta kau buat hal. Sayangnya waktu tu aku dah ada Aizul,” balas Irina perlahan.
“Kalau dah jodoh, Irin. Selama mana kau dengan Aizul pun tapi kalau Allah tak izinkan.. Tak jadi juga, kan? Sudahnya kau balik semula pada Kamarul. Allah tahu siapa yang lebih baik untuk kau. Lima tahun kau tak jumpa dia. Tapi kalau Allah dah berkehendak, dalam flight pun kau boleh jumpa dia semula.”
Irina mengangguk perlahan. Ya.. dan Allah juga yang maha mengetahui siapa yang berada di dalam hatinya selama bertahun-tahun ini.

“Nur Irina!!! Kau memerap apa lagi dalam bilik tu. Cepatlah turun!! Terkeluar anak tekak aku memanggil, kau buat pekak aja, kan?”
“Apa dia??” jerit Irina dari atas.
“Bini orang oi! Tak elok terjerit-jerit macam langsuir. Cepat turun! Menyesal kau nanti..” Marla menjerit makin kuat dari tingkat bawah rumah itu.
Sibuk aja si Marla ni.. desis Irina sebal. Malas-malas dia bangun untuk turun ke bawah. Namun setiba di pertengahan tangga, kakinya terkaku. Di hujung tangga di bawah sana seorang lelaki sedang berdiri memandang ke atas. Macam nak pengsan dia saat ini. Macam mimpi pun ada. Lelaki yang dinanti sedang berada di depan mata. Oh! Janganlah hendaknya ini semua mimpi belaka!
“Irin..” ucap Kamarul lembut.
“Abang!!!” jerit Irina lantas berlari ke bawah. Tanpa segan silu lelaki itu diterjahnya. Kamarul tersenyum melihat gelagat sang isteri. Namun tubuh itu dipeluknya penuh kerinduan.
Wajah Kamarul dipegang Irina. Memang betul. Ini Kamarul dan dia bukannya sedang bermimpi.
“Hmm.. Kamarul, angkutlah bini kau ni cepat. Dah kronik tu. Buatlah apa yang patut kasi hilang angau dia tu. Jangan nak buat aksi biru kat rumah ni pulak,” perli Marla saat melintasi sepasang manusia itu.
“Kau diamlah, Mar!” marah Irina geram. Malu mukanya dipandang Kamarul.
“Eh! Tak betul ke apa aku cakap ni? Dah! Cepat ikut laki kau tu..” desis Marla selamba. Kamarul sekadar ketawa sendiri. Namun kedua-dua belah pipi sang isteri dikucup seketika sehingga puas.
“Tak cakap pun balik sini?” Tanya Irina hairan.
“Kalau cakap awal-awal, abang tak dapat tengok aksi terjun tadi tu..”
Tersipu-sipu perempuan nan seorang itu. Malu. Gelojoh sangat tadi. Tak sempat nak kawal diri.
“Bila abang sampai KL?”
“Petang tadi. Jom? Abang belum makan lagi ni,” ucap Kamarul lembut.
Dengan penuh kesukaan Irina berlari naik ke atas semula. Bukan main bertenaga lagi dia. Hilang monyok!
Kamarul memandu ke Bukit Lanjan. Restoran Subak menjadi persinggahan mereka malam itu. Dekorasi yang indah di dalam restoran itu benar-benar memberi mood lembut dan syahdu antara dua manusia itu.
“Kenapa balik awal? Tak bagitahu pulak tu,” ucap Irina saat berhadapan dengan lelaki itu.
“Abang dapat cuti panjang kali ni. Rider accident. Tak boleh berlumba semula. Team abang dah bungkus beg, tak merasa nak rebut gelaran juara dunia untuk season ni. So abang baliklah cari isteri abang,” jawab Kamarul lembut.
“Oh..” Irina termangu seketika memandang lelaki itu.
“Tapi lepas ni Irin kena ikut abang. Kontrak abang disambung lagi untuk season depan. Semuanya akan bermula macam biasa semula,” ujar Kamarul lagi. Hujung jemari wanita itu disentuh lembut.
“Ke mana?”
“Japan..”
Irina tersenyum lagi. Negara yang indah walaupun serba serbinya mahal.
“Irin memang nak ikut abang. Tak sanggup terus hidup macam ni,” ujar wanita itu seketika kemudian. Dia rela.. biarpun terpaksa melepaskan kerjayanya sebagai pramugari. Dia lebih sayangkan ikatan perkahwinannya dengan Kamarul.
“Kita takkan selamanya hidup macam ni. Abang tahu Irin tak suka dengan keadaan tu. Abang ada perancangan abang sendiri. Sampai satu masa nanti kita akan balik juga ke sini,” ucap Kamarul pula.
“Maksud abang?”
“Bukan duit semata yang penting untuk kita kejar di luar sana. Tapi pengetahuan, pengalaman. Bila kita balik sini.. itu semua bernilai untuk kita. Abang nak buka business sendiri suatu hari nanti,” jelas Kamarul lembut.
Irina terus mengangguk. Apa sahaja yang terbaik untuk mereka dia pasti akan menerimanya.
“Kita balik?” ajak Kamarul tidak lama kemudian. Pelayan dilambai untuk menjelaskan bayaran.
Di kamar hotel Hyatt Regency Kuala Lumpur mereka menyulam kasih lagi. Saat keluar dari kamar mandi, Irina terpaku melihat lelaki itu berdiri terpacak di hadapan pintu kamar mandi itu dengan tuala sekerat. Dia segera meminggir ke tepi untuk memberi laluan kepada lelaki itu.
Namun tiba-tiba Kamarul menarik wanita itu dekat kepadanya. Tangan yang tersembunyi di belakang dikeluarkan. Sekuntum ros merah pekat kelihatan di mata Irina. Irina memandang dua bola mata lelaki itu seketika.
Kamarul hanya diam dengan pandangan redup buat sang isteri. Ros merah itu dielus lembut ke serata wajah Irina sehingga ke bibir. Kemudian ros itu turun ke dada sang perempuan yang terdedah. Lembik lutut perempuan seorang dibuat sang lelaki.
“I love you..” tiga patah kata itu diluahkan teramat perlahan dari ulas bibir sang lelaki.
Irina tidak terkata. Ros di tangan lelaki itu diambilnya. Redup pandangan sang suami membuatkan dia dilambung rasa indah yang tidak bertepi. Kuntuman ros itu ditatap seketika dengan senyum manis. “Cantik,” ucap Irina sepatah.
“Isteri abang lagi cantik.”
Irina tersenyum lagi sambil menggigit bibir. Renungan lunak sang lelaki dibalas mesra. Terlalu mudah untuk dia jatuh cinta kepada lelaki ini. Apa yang hebatnya Kamarul Hisyam ini? Hebatnya lelaki itu.. bersama lelaki ini dia terasa hidup. Dia terasa diperlukan. Dia terasa dirindui. Dan dia terasa diangkat tinggi sebagai seseorang yang istimewa sebagai isteri. Hakikatnya.. jika ditakdirkan lelaki ini masih lagi seorang mekanik cabuk yang mencari rezeki dan pengalaman di jalanan seperti dahulu, dia tetap rela dicintai oleh lelaki ini.
“Tunggu abang..”
Irina sekadar mengangguk saat memandang lelaki itu berlalu ke kamar mandi. Dadanya mula terasa berdebar sendiri. Apalah yang dia nak buat pada aku agaknya ya? Bisik hatinya sendiri.
Lima minit bersendirian dia ruangan malap itu, pintu kamar mandi terbuka semula. Mata Irina pantas terhala ke situ. Kamarul berdiri di ambang pintu memandang kepadanya. Dirinya sudah disarungkan dengan gaun satin berwarna hitam. Sedikit terdedah pada bahagian bahu dan belakang. Sengaja mahu menarik perhatian sang suami dengan pakaian yang tidak biasa dipakainya sebelum ini.
Mata Kamarul mula melekap pada susuk si isteri. Seketika kemudian langkah terus diatur mendekati Irina.
“Mana beli ni?” Tanya lelaki itu setelah berdiri di hadapan si isteri.
“Kenapa?”
Tanpa jawapan tiba-tiba wanita itu dicempungnya lalu dibawa ke ranjang.
“Abang suka gaun ni..” ucap Kamarul setelah tubuh itu diletakkan di atas katil.
Irina tersenyum lantas memaut leher lelaki itu. “Rezeki ada depan mata. Cepatlah.. nanti lauk basi! Abang gigit jari.”
Kamarul tergelak sendiri sambil menggeleng. Berani sungguh Irina menggodanya. Tetapi bak kata Irina, rezeki ada depan mata. Halal.. dan gunakan tanpa was-was!

Pengumuman keberangkatan sudah kedengaran. Perlahan jemari sang isteri diraih Kamarul. Irina menoleh kepada lelaki di sebelahnya. Mereka berdua bangun serentak.
Selangkah lagi.. dunia baru akan dijejakinya. Malaysia akan ditinggalkan untuk bersama lelaki ini. Mencari kehidupan di luar sana selagi tenaga sang lelaki masih diperlukan. Sampai satu masa mereka akan pulang juga. Namun dia tidak ingin menyesali keputusan yang telah dibuatnya. Tekad hatinya sudah bulat. Biarpun suatu masa dahulu dia ingin lari jauh dari kehidupan yang pernah dilaluinya saat bergelar kekasih kepada seorang pelumba. Namun takdir tetap membawa dia dekat kepada dunia seperti itu. Mungkin Tuhan mahu mengajar dia menerima hidup ini seadanya.
Tautan tangan mereka kian mengerat. Bermakna selama mana pun atau biar ke mana sahaja mereka merantau selepas ini, tautan tangan itu tidak akan terlepas tanda mereka berdua sehati dan bersama. Inilah kehidupan mereka. Apa sahaja cabarannya nanti mereka mahu terus bersama saling menemani, saling melengkapi dan saling menyokong.
Kamarul Hisyam dan Nur Irina.. bertemu mereka di pinggir jalan itu. Jodoh bertamu tidak terduga. Hati sudah tersulam bersama. Namun kekuatan jodoh tidak akan datang begitu sahaja jika tidak Allah hadirkan ujian buat mereka. Biar benua memisahkan mereka, hati tetap mahu bersatu. Sehingga Allah melorongkan jalan untuk mereka bersatu di dalam ikatan suci itu.
Buat Kamarul.. dia sudah lama mengerti betapa besar erti cinta yang ada di hatinya. Ke mana langkah dia menuju, Irina tetap ada dalam hatinya. Tidak mampu untuk dilepaskan biarpun dia pernah cuba melupakan.
Bagi Irina.. lelaki inilah tunggak harapannya setelah dia merasa sakit dipersia. Betapa besar erti kesabaran lelaki ini meletakkan cinta ke atas dirinya biarpun dia memilih lelaki lain. Semua itu tidak terduga untuknya. Ajaibnya.. biar selama mana mereka terpisah, lelaki itu tetap ada dalam kenangannya.

Kerana mereka berdua manusia pilihan. Jodoh bertamu dipinggir jalan. Di mana mereka bertentang mata.. di situ jugalah mereka akhirnya mengucapkan kata cinta. Semoga jodoh itu kekal sehingga ke jannah. AMINN..

TAMAT

JODOHKU BERTAMU DI PINGGIR JALAN! BAHAGIAN AKHIR


“Nak duduk atas? Kenapa pulak?” Tanya Kamarul hairan. Ramai orang berebut-rebut mahu berada di situ. Irina tidak mahu pula.
“Bising kat bawah sana. Telinga saya dah berdengung.”
“Kat atas pun bising juga,” jawab Kamarul pantas.
“Kat bawah tu ramai lelaki. Saya segan.”
“Kat atas pun ramai lelaki juga. Marlena kan ada? Berbuallah dengan dia,” sambut Kamarul sambil tersenyum-senyum memandang wanita itu.
Irina diam seketika. Cuba mencari idea mahu mengelak lagi daripada diajak pergi ke hentian pit itu. Sebentar tadi dia sudah masuk ke situ. Semua mata memandang ke arahnya. Dia rasa tidak selesa. Marlena, wanita berasal dari Brazil yang disebut oleh Kamarul sebentar tadi adalah teman wanita kepada salah seorang pelumba motor di situ. Masalahnya perempuan itu bukannya tahu benar berbahasa Inggeris. Dia macam kera sumbang disaat semua orang sibuk menyiapkan pelumba dan jentera yang mahu beraksi sekejap lagi.
“Takpelah. Saya tak mahu kacau awak buat kerja. Saya duduk kat atas ajalah,” putus Irina seketika kemudian. Dia bukannya minat benar dengan pelumbaan begini. Tetapi Kamarul yang mengajak. Dia ikut sajalah.
“Okaylah. Kita jumpa sekejap lagi.” Kamarul akhirnya akur juga dengan kehendak wanita itu untuk menghuni kerusi penonton.
“Bye..” sambut Irina dengan senyum manis. Saat mendaki tangga di hadapannya dia menoleh lagi. Kamarul masih berada di situ memandang kepadanya.
Setengah jam kemudian track perlumbaan mula dipenuhi dengan motor dan pelumba. Irina terjenguk-jenguk ke bawah. Dia ternampak Kamarul di atas track itu berdiri di sebelah seorang pelumba sambil bercakap sesuatu tentang motor itu. Pelumba luar itu kelihatan mengangguk berkali-kali kepada lelaki itu. Irina tersenyum seketika.
Boyfriend aku tu.. desis hatinya bangga melihat di mana lelaki itu berdiri sekarang. Dahulu mekanik cabuk aja.
Seterusnya para pelumba mula menggenakan topi keledar.
“Riders.. Start your engine!” pengumuman itu kedengaran melalui pembesar suara. Serentak itu motor berkuasa tinggi di atas litar itu mula mengaum garang, membingitkan suasana. Rata-rata penonton mula bersorak teruja. Irina ikut merasa teruja melihat kemeriahan keadaan di situ. Sememangnya berlainan rasanya saat menonton di tv. Irina ikut bangun untuk melihat dengan lebih jelas keadaan di atas litar.
Beberapa minit kemudian, motor-motor itu mula memecut seorang demi seorang.
“Seronok jugak tengok race motor ni..” desisnya seorang diri. Pertama kali melihat perlumbaan seperti motor ini.
Seorang lelaki di antara beberapa lelaki yang masih mencari tempat duduk memandang lama kelibat seseorang di bawah sana. Terkejut Aizul melihat kelibat Irina di situ. Semenjak bila pula Irina suka menonton perlumbaan motor GP? Lelaki itu segera mendekati wanita itu yang duduk di bangku paling dekat dengan litar.
"Hai, darling.." Sapa Aizul lantas mencuit bahu Irina.
Irina terus menoleh. Berubah moodnya saat terpandangkan lelaki itu. 
"Good race ha?"
"I bukan darling you!"
"Come onlah. Dah lama kita tak jumpa. You macam mana sekarang?"
Irina buat tidak tahu sahaja. Sebuah demi sebuah motor 600cc itu melintasi hadapan mereka. Dia segera menekup telinga.
"Ling, Jom duduk dengan I."
"Tak kuasa!!" Bentak Irina lantas bangun. Tak kuasa mahu berdekatan dengan lelaki itu lagi.
"You nak pergi mana?" Tanya Aizul kehairanan melihat Irina mencelah di antara manusia untuk berlalu.
"Cari boyfriend I!" jerit Irina selamba.
Terkulat-kulat Aizul memandang Irina berlalu. Sudahnya dia duduk di tempat Irina tadi. Irina dah ada teman lelaki?? Macam mimpi pula.
Usai waktu perlumbaan, sebahagian penonton sudah bersurai dari tempat duduk untuk penonton itu. Aizul mengajak teman-temannya beredar ke tempat lain. Namun saat melintasi kawasan masuk ke hentian pit, langkahnya terhenti serta merta. Lama mata Aizul memandang ke arah sepasang manusia itu.
Bulat sebulat-bulatnya mata si Aizul menyaksikan bekas kekasihnya duduk bersidai bersebelahan dengan seorang lelaki di hadapan pintu masuk itu. Kalau tidak silapnya, lelaki itu bekerja dilitar perlumbaan berdasarkan pas yang tersangkut di leher lelaki itu.
Irina dilihatnya sedang berbual ceria dengan lelaki itu. Sekadar berbual apalah sangat, kan? Yang menyakitkan matanya apabila melihat Irina mengusik kolar kemeja sang lelaki. Kemudian dengan lagak manja, topi berwarna merah di atas kepala lelaki itu diambil Irina lalu dipakainya. Sakit hatinya melihat lelaki itu merenung mesra wanita di sebelahnya. Kemudian dengan selamba jemari Irina disentuh lelaki itu. Tidak cukup itu dadanya seperti mahu meletup melihat aksi berani lelaki itu mengucup jemari bekas kekasihnya. Oh tidak! Sakitnya tuh di sini!
Benarkah lelaki itu teman lelaki Irina?? 
Aizul pantas menapak sehingga tiba di tempat dua manusia itu bersembang. 
"Ling.." Tegur Aizul agak kasar nadanya.
Serentak dua manusia itu menoleh. Wajah Irina terlebih dahulu berubah melihat kehadiran Aizul. Wajah Kamarul ikut berubah. 
"You dengan dia ada apa?" 
"Why do you care?" Balas Irina tidak senang. Sibuk nak tahu kenapa?
"You siapa dengan Irina??" Tanya Aizul kepada Kamarul terus.
"Kamarul Hisyam. Bakal suami Irina. Ada masalah dengan Irina ke?” Balas Kamarul lantas menghulurkan tangan. Namun hulurannya langsung tidak dipandang lelaki seorang itu.
Mata Aizul terpasak lama di wajah bekas kekasihnya itu. Bakal suami??
"I.. " Aizul menghela nafas seketika. 
“You don’t have to worry about me,” desis Irina agak perlahan.
"Ling, I minta maaf. I nak kita bersama semula!" Ujar Aizul nekad.
"I'm sorry. It's too late for that. I dah takde keinginan nak bersama dengan you semula. I dah buat keputusan. I nak kahwin dalam masa terdekat ni, Aizul."
Bulat mata Aizul mendengar itu. Dalam masa terdekat??
“Ling..”
“Aizul.. stop calling me like that. This is what you want, right?”
“No. I’m not!” tegas Aizul sedikit kalut. Kamarul sekadar membiarkan Irina berbicara kepada lelaki itu. Irina menggeleng dengan gelak sinis.
“I tak pernah lupa siapa I selama ni, Aizul. I ni tak lebih dari sekadar distraction kepada you.. right? Semenjak dulu I selalu terfikir adakah kewujudan I dalam hidup you bermakna atau tidak. I nak jadi seorang wanita yang mampu membuatkan seorang lelaki berdiri teguh dengan hidupnya. I nak beri support kepada you. You minta I faham you. You nak I masuk ke dalam kehidupan you. Yes, I did. But.. am I doing it right?”
Aizul terdiam merenung wajah Irina. Rengkungnya bergerak seakan mahu melahirkan kata-kata. Namun dia kelu.
“I dah jumpa seseorang yang I cari selama ni. Seseorang yang datang waktu I benar-benar perlukan dia. Seseorang yang tak pernah lupakan I selama ni. I nak hidup dengan dia,” ujar Irina mula tenang nadanya sambil memandang lelaki di sebelahnya.
“Irin, kita dah lama bersama. Takkan you tak faham sikap I lagi? Dulu tu.. I Cuma.”
“Main-main?” telah Irina lebih pantas.
“You rasa I akan balik semula untuk you, Aizul? You never learn..” Irina pantas menggeleng sambil mendecit sendiri.
“I dah lama teruskan dengan kehidupan I. Yang mana you bukan lagi sebahagian daripadanya. Cita-cita you terlalu tinggi, Aizul. Kadang-kadang kita perlu letakkan batas kepada harapan. Tak semua yang kita mahukan boleh dicapai. Dan tak semestinya untuk mencapai cita-cita you kena buang orang lain di sekeliling you. I minta maaf. Hal kita dah lama habis. Takde apa yang nak diungkit lagi. I dah buat keputusan I.. I don’t want you back! So please stay away from me,” ujar Irina lagi.
“Irin.. Irin..” Aizul cuba mendekati wanita itu. Namun Irina pantas mengalihkan kedudukannya jauh dari lelaki itu.
“Go away!” Kamarul segera menolak Aizul yang cuba mendekati Irina.
“Don’t touch me! I want to talk to her. She is mine!!” Tangan Kamarul di dadanya ditepis kasar oleh Aizul.
“Enough!!” kali itu Kamarul menolak lelaki itu agak kuat. Jari telunjuknya diangkat di hadapan Aizul sebagai amaran.
“Respect orang perempuan macam kau respect mak kau. Jangan buat kecoh kat sini. Orang ramai tengok kita,” ujar Kamarul serius.
Aizul mula terkulat-kulat memandang Kamarul di hadapannya. Matanya kembali dihalakan kepada Irina di belakang Kamarul. Wanita pantas memandang ke arah lain, tidak mahu menatap sinar matanya.
“I love you, Irina.”
“Sorry, Aizul. Perasaan I untuk dia sekarang,” jawab Irina perlahan.
Mahu tidak mahu lelaki seorang itu berlalu juga dengan hati yang marak oleh rasa kecewa. Sudah terlambat untuk dia meraih wanita itu kembali ke dalam hidupnya.

Sewaktu memandu meninggalkan Litar Sepang, Kamarul memandang ke sebelah. Irina dilihatnya termenung memandang ke luar.
“Sayang..” usiknya lantas menyentuh jemari gadis itu. Irina menoleh ke sebelah.
“Kenapa?” Tanya Kamarul hairan melihat Irina termenung.
“Saya nak Tanya awak sesuatulah..” ucap Irina sebelum lengan lelaki itu dibelit dengan tangannya.
“Apa?”
“Awak pernah tak cuba dekat dengan perempuan-perempuan seksi tak ingat dekat track tu?”
Kamarul pantas menoleh semula ke sebelah. “Kenapa tiba-tiba tanya pasal tu?”
“Macam terkejut aja dengar soalan saya ni ya?” perli Irina siap dengan kerlingan sinis.
“Mana ada. Saya cuma tak jangka awak akan tanya soalan yang macam tu,” ujar Kamarul lantas ketawa perlahan.
Irina menghela nafas perlahan. Tadi sewaktu Kamarul berada di tengah litar bersama pelumba, seorang gadis litar sibuk juga di situ. Saja menebeng di sisi pelumba. Dia tahu gadis-gadis litar itu dianggap penyeri perlumbaan. Ramai lelaki yang mahu memandang. Kamarul bagaimana pula? Kalau dah hadap hari-hari takkan tak rasa apa-apa, kan?
“Irin..”
“Ya..” sambut wanita itu agak perlahan.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Kalau saya suka perempuan begitu, saya takkan cari awak. Entah-entah saya dah kahwin dengan salah seorang dari perempuan tu sekarang ni,” ucap Kamarul lembut sahaja.
Irina memandang lelaki itu lagi. Kali ini lebih lama. Mencari kejujuran di wajah sang lelaki.
“Awak bekerja dengan pramugara-pramugara yang kacak, dengan juruterbang yang hebat.. tapi saya tak anggap yang bukan-bukan. Sebab apa? Sebab saya nak percaya, awak takkan hanyut dengan godaan syaitan. Macam tu juga dengan saya. Di litar tu saya berkerja, Irin. Hal yang lain saya tak mahu campur adukkan. Itu semua hanya akan menyusahkan saya kemudian hari.”
“Betul juga, kan?” jawab Irina agak perlahan. Sebuah helaan nafas dilepaskan. Keadaan itu mahu diterima dengan lapang dada.
“Saya ada satu lagi soalan.”
“Janganlah syak saya yang bukan-bukan..” keluh Kamarul perlahan.
“Taklah. Tak kena mengena pun!” sambut wanita itu pantas.
Kamarul menoleh sekilas kepada wanita itu. Irina dilihat sedang tersenyum pula.
“Mana pergi sengal awak dulu tu ya?”
“Ha?” Kamarul ternganga sedikit memandang buah hatinya itu.
“Ya. Dulu awak tak macam ni. Saya masih ingat lagi iklan yang awak tulis tu. Entah apa-apa!” ujar Irina bersungguh.
Kamarul tergelak sambil menggaru kepalanya.
“Kahwin dengan saya dulu. Lepas tu saya tunjuk kat mana saya sorok kesengalan saya tu,” ucap Kamarul lantas tersenyum-senyum.
“Saya ni ada mak ayah lagi kalau awak nak tahu..” ujar Irina penuh makna. Faham-fahamlah ya? Nak kahwin kenalah minta izin wali dia dulu.
“Ya.. tak lama aja lagi. Saya akan bawa keluarga saya jumpa keluarga awak,” sambut Kamarul bersungguh.
“Dan jangan buang misai dan janggut awak ni. Sebab kalau awak buang, muka awak nampak macam budak-budak.”
“Serius?” lelaki itu terkedu seketika mendengar kata-kata Irina. Wanita itu tersenyum-senyum lagi merenung wajahnya.
“Yup.. tapi jangan bela jambang banyak sangat. Muka awak nampak macam gangster. Macam ni okay,” ucap Irina mesra. Pipi lelaki itu dielus lembut dengan hujung jemarinya.
“Lagi?” Tanya Kamarul selamba.
“Jangan berjemur tengah panas macam tadi lagi,” tambah Irina lembut.
“Okay. Ada lagi?”
“Saya suka awak!”
Kamarul terus menoleh ke sebelah. Irina tersenyum sambil menggigit bibir. Cepat aja wanita itu memandang ke hadapan. Malu!
“Takkan suka aja?”
“Faham-faham dahlah. Jangan tanya banyak!” balas Irina pantas. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia menyorok dalam bonet kereta.
“Tak boleh tanya langsung..”
“Shut up!” pintas Irina lantas menekup wajahnya.
“Aik? Bercakap pun dah tak boleh? So setiap kali awak cakap sukakan saya, saya kena diam sampai empat lima jamlah?” terkekeh-kekeh lelaki itu ketawa. Irina pantas mengalihkan wajahnya memandang ke luar tingkap. Panas wajahnya. Rasa macam nak henyuk aja muka ke cermin tingkap kereta itu.
Kamarul menggeleng sendiri sambil tersenyum. Namun hatinya bahagia. Buat pertama kali seorang perempuan mengambil berat akan dirinya. Dan buat kali pertama dia mendengar Irina mengucapkan kata-kata itu.

Musim perlumbaan sudah berakhir. Kini musim lain pula menjelma. Musim menamatkan zaman bujang. Tetapi buat pasangan itu, mereka yang kesuntukan masa lebih mengutamakan apa yang wajib. Tiada majlis pertunangan sebaliknya, ikatan pertunangan digantikan dengan nikah gantung. Majlis persandingan dan kenduri kendara kedua-dua belah pihak bakal diadakan beberapa bulan lagi.
Di masjid besar Johor Bharu mereka berkumpul untuk menyempurnakan penyatuan dua mempelai itu di dalam akad nikah.
“Ahmad Kamarul Hisyam bin Abdul Hakim..”
“Saya..” lelaki itu tunduk sedikit saat membalas.
“Aku nikahkah dikau dengan anakku Nur Irina binti Ahmad Fuad dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia seribu tunai..”
“Aku terima nikahnya Nur Irina binti Ahmad Fuad dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia Seribu, tunai!” akad itu disambut lancar oleh lelaki bernama Kamarul Hisyam itu.
“Sah!”
Tersenyum sang ayah, berbangga melihat anak daranya kini sudah selamat menjadi seorang isteri. Tangan ditadah tanda kesyukuran. Tertunai sudah impiannya untuk melihat anaknya bertemu dengan seorang lelaki yang ikhlas menyayangi Irina.
Setelah selesai bersolat sunat di hadapan mimbar itu, Kamarul mendekati pengantin perempuannya bersama mahar dan cicin nikah. Di hatinya terbias rasa indah saat melihat cincin itu tersarung elok di jari manis tanda wanita itu sudah dimilikinya. Di matanya tergambar rasa bahagia saat memandang Irina tunduk mengucup tangannya. Zaman bujang sudah ditinggalkan. Kini dia seorang suami. Harap-harap nanti diberikan kesempatan menjadi seorang ayah pula.
“Akhirnya.. saya bertemu jodoh dengan wanita yang saya temui di tepi jalan dulu. Terima kasih sebab sudi terima saya, Irin.” Lelaki itu berbisik lembut saat mahar perkahwinan diserahkan kepada sang isteri.
“Terima kasih sebab kembali semula kepada saya..” balas wanita itu penuh rasa terharu. Kolam matanya bergenang. Indahnya rasa ini. Kepada Tuhan dipanjatkan kesyukurannya. Diusia 29 tahun dia bertemu jodoh dengan lelaki ini. Di pinggir jalanan mereka berkenalan. Seterusnya hati tersulam selama bertahun-tahun sebelum mereka diketemukan semula. Semoga ikatan ini kekal sehingga ke akhirnya.

Pan Pac KLIA.
Pasangan itu pulang ke kamar setelah selesai makan malam bersama. Malam ini malam terakhir mereka bersama sebelum Kamarul terbang ke Tokyo esok. Gembira.. maklumlah. Pengatin baru. Namun tidak sepenuhnya. Mereka akan terpisah selama berbulan-bulan sebelum Kamarul kembali semula ke tanah air.
“Senyumlah sikit..” usik lelaki itu saat melihat sang isteri termenung memandang ke luar melalui cermin kamar itu. Tubuh wanita itu dipautnya dari arah belakang.
Irina tidak menjawab. Namun lengan yang sedang membelit bahunya itu diusap lembut.
“Sayang..” panggil Kamarul lembut. Saat itu pelukan terus dilepaskan. Tubuh itu dibalikkan menghadapnya. Wajah sayu Irina menyapa lagi pandangan matanya.
“Beberapa bulan aja kini macam ni. Lepas ni Irin ikut abang. Jangan macam ni.” Pujukan itu dialun lagi.
“Jangan pergi lama-lama..” bisiknya lantas tubuh lelaki itu dipeluknya.
Kamarul diam memandang ke arah luar. Rambut sang isteri diusap lembut. Seketika kemudian wajah yang sedang terlindung di sebalik tubuhnya itu dicari. Dahi sang isteri dikucup lama. Kelopak mata wanita itu terpejam menahan rasa sayang kepada lelaki itu.
“Abang akan balik nanti. Insya-Allah..”
“Kalau abang tak balik, Irin yang akan pergi cari abang kat sana,” sambut Irina setelah matanya dihalakan kepada lelaki itu.
Kamarul diam menatap wajah yang sedang tergadah kepadanya. Perlahan pipi mulus itu diusap lembut. Irina hanya membisu membiarkan lelaki itu menatapnya sepuas hati. Namun akhirnya kepalanya dilentokkan di bahu sang suami.
Kamarul masih membisu. Kali itu belakang tubuh sang isteri diusap pula. Lehernya dipaut manja. Namun seketika kemudian dadanya mula disapa debar tatkala terasa bibir Irina singgah di bahunya dan kucupan itu naik ke leher.
Namun seterusnya..
“Auwww.. Sayang, Sakitttt!!!” jerit lelaki itu agak lantang. Irina terus berlari sambil ketawa ke arah katil. Tubuhnya dihumban ke atas tilam itu. Wajahnya ditekup ke bantal untuk menyembunyikan tawa. Geram dengan lelaki seorang itu!
Kamarul menoleh kepada sang isteri sambil menekup lehernya. Ini betul-betul gigitan cinta! Habis aku digigitnya. Melihat Irina masih rancak ketawa lelaki itu mula mendekati ranjang itu. Bantal yang melindungi wajah itu ditariknya lalu dihumban ke bawah.
“Apasal buang??”
“Biarkan..” balas lelaki itu lantas menolak wanita itu ke tilam semula. Kedua-dua belah tangan Irina ditekan di atas tilam. Sekaligus mengunci pergerakan wanita itu.
“Jangan!” desah wanita itu mula tidak keruan melihat renungan tajam Kamarul.
“Lain kali jangan gigit abang. Abang akan balas balik macam ni,” bisik lelaki itu nekad. Wajahnya didekatkan kepada wanita itu.

Irina hanya mampu memandang sehingga pandangan matanya gelap dek kelopak mata sendiri. Apa yang berlaku saat itu.. indah. Namun itu rahsia mereka!

Bersambung lagi..