Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 6-7 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG

Bab 6

Malam itu Panglima katanya tidak ke masjid. Selepas mandi petang itu lelaki itu mengajak Adinda berjemaah bersamanya.
“Cepat sikit, Dinda!” tegur Panglima kepada isterinya itu. Masih terhegeh-hegeh sedangkan waktu solat sudah lama masuk.
“Kejaplah..” rengus Adinda lantas mendekati suaminya itu.
“Solat mana boleh lambat-lambat. Nanti kita yang paling lambat masuk syurga. Kalau penuh dengan orang-orang alim, kita duduk kat pintu aja,” ucap Panglima sudah lama berdiri di atas sejadah itu.
Adinda hanya mampu membisu kepada bebelan suaminya itu. Sementara Adinda mengenakan marhana, lelaki itu melaungkan azan. Kala itu wanita itu memandang lama belakang tubuh lelaki berbaju melayu itu. ini bukanlah kali pertama dia mendengar suara suaminya melaungkan azan. Tetapi inilah kali pertama dia mendengar sendiri suara lelaki itu tanpa pembesar suara. Lebih jelas lenggok dan merdunya. Lebih dekat di telinganya. Lebih cepat meresap ke hatinya.
Setelah iqamat dialunkan, Panglima mengetuai solat berjemaah itu. Bagi Adinda, pertama kali solatnya diimamkan oleh seorang lelaki dipanggil suami. Buat Panglima, pertama kali menjadi imam kepada makmum sendiri.
Usai solat jemaah itu, Adinda bangun meninggalkan sejadah. Tinggal Panglima di situ membilang wirid untuk menanti isyak. Setelah telekongnya ditanggalkan, Adinda keluar dari kamar itu. Sekadar mahu melihat nasi yang dimasaknya tadi. Lauk pauk yang dibawa pulang selepas kenduri mereka segera dipanaskan. Lalu dihidang di tempat makan. kemudian baru dia kembali ke dalam kamar semula untuk menyempurnakan solat isyak.
Usai makan malam Panglima lepak menghadap tv di ruang tamu. Adinda yang baru sahaja selesai membasuh pinggan kembali ke ruang tamu.
“Mana ubat nyamuk? Banyak nyamuklah kat dapur tu. Habis kaki aku digigitnya,” adu Adinda saat mendekati suaminya.
“Nyamuk gigit kau??”
Adinda sekadar mengangguk sambil membelek kaki. Tanpa sedar kain batik yang dipakai diangkat sehingga menampakkan betisnya. Panglima terpaku dengan mata membulat. Macam tu ke rupa betis perempuan??? Mak oi.. Cantiknya, seru hatinya penuh berselera.
Adinda yang ralik membelek kakinya mula memandang lelaki itu. berderau darahnya melihat Panglima merenung betisnya dengan pandangan rakus. Macam tengah lapar aja! Nak terkam dia ke apa tu? Cepat-cepat kainnya diturunkan semula.
“Tak gatal dah ke? Sekejap aja garu dah hilang gatal?”
“Apa yang gatal?”
“Kaulah..” ucap Panglima.
“Bila masa aku gatal? Kau tu yang gatal pandang betis aku macam nak makan!” sergah Adinda geram.
“Aku Cuma tengok aja. Bukan aku nak makan pun.” Terkulat-kulat Panglima menahan rasa terkilan. Tak dapat pandang betis Adinda dah. Pandang sikit pun tak boleh, bisik hatinya sendiri.
Kata-kata lelaki itu dibalas dengan jelingan tajam oleh Adinda. “Sibuk aja nak tengok betis kita. Tengoklah betis sendiri!”
“Takkanlah aku nak tengok betis sendiri? Dah selalu tengok. Tak best pun.” Laju mulut Panglima menjawab.
“Diamlah! Benci! Tengok tv tu lagi baik daripada kau renung betis aku ni,” desis Adinda lantas bangun dari situ sambil diperhatikan Panglima.
Sudahnya Panglima tergaru-garu sendiri di ruang tamu itu. Nak pandang tv pun macam dah tiada mood. Fikirannya asyik terkenang-kenang kemulusan betis si Adinda. Kalau dah pandang pun Adinda tak mahu beri, apatah lagi nak disentuh.
Agak-agak dapat tak malam pertama nanti ya? Bisik hati sang suami itu sendiri.
Ish! Takkanlah dia tak bagi, kan? Akukan suami dia.. tambah sang hati itu yang sedang berharap.
Adinda di dalam kamar itu pula resah sendiri. Terkenang sekejap lagi Panglima pasti akan masuk ke dalam kamar itu untuk beradu. Kalau beradu semata okeylah juga. Kalau Panglima menuntut yang lain, bagaimana? Aduh.. senak perut perempuan itu memikirkan keadaan itu nanti.
Dalam keadaan dia termangu sendiri di katil itu, Panglima pun masuk ke dalam kamar. Adinda tersentak dalam diam melihat kemunculan lelaki itu. Alamak.. macam mana ni? desis hati Adinda kalut.
Sebaik sahaja Panglima mendekati katil itu, Adinda bingkas bangun.
“Kau nak pergi mana?”
“Emm.. bilik air.” Spontan jawapan itu disediakan Adinda buat si suami.
“Hmm.. pakai cantik-cantik, seksi-seksi!” ucap Panglima sekalian dengan anggukan sambil berjalan ke penjuru katil. Kelambu yang masih bergumpal di penjuru itu dileraikan untuk dipasang. Adinda melajukan kakinya keluar dari kamar itu.
“Apa aku nak buat ni? Aduhai..” keluh perempuan itu kalut di dalam kamar mandi itu. Takkan dia nak tidur dalam kamar mandi ini? Tak mungkin.
Namun tiba-tiba timbul satu idea di benaknya saat teringatkan bedak sejuk miliknya ada tersimpan di dalam beg bajunya tadi. Adinda kembali semula ke dalam kamar. Kelambu sudah siap dipasang. Panglima sudah tidak kelihatan. Adinda mula menyelongkar begnya. Botol bedak sejuk itu ditemui di celahan kain bajunya.
Teruja benar hati Panglima saat menyedari Adinda sudah kembali ke kamar itu. disabarkan seketika sang hati yang melonjak suka. Nak jadi suamilah katakan! Namun sedetik dua detik berlalu, kesabarannya sudah mula terhakis. Adinda masih berlama-lama di luar kelambu.
"Kau buat apa lagi tu? Sinilah cepat, Adik Dinda.."
Mahu termuntah Adinda mendengar panggilan miang lelaki itu. Ingat ni cerita dulu kala ke??
"Kejaplah.. aku tengah berhias cantik-cantik untuk kaulah ni," balas Adinda sambil lewa kepada lelaki yang sudah bersiap sedia di dalam kelambu itu.
Panglima tersengih senang hati sambil membayangkan keindahannya nanti. Macam mimpi aja semuanya. Malam pertama sebagai seorang suami adalah impian semua lelaki.
Panglima menoleh sebaik sahaja pintu kelambu diselak. Namun macam mahu gugur kedua-dua belah bola matanya melihat keadaan Adinda.
"Apa kat muka kau tu??"
"Masker nak bagi cantik jelita," balas Adinda selamba.
"Cepatlah.. kata tadi nak malam pertama sangat, kan? Aku dah sedia ni." Adinda mula mendekati lelaki itu.
Panglima menelan liur. Mana muka bini aku? Dah macam tepung roti canai bertempek kat muka dia. Mana aku selera kalau macam ni.. bisik hati Panglima dalam pada dia terpinga-pinga memandang Adinda.
Adinda terus selamba dalam pada hatinya ketawa sendiri. Nak sangat, kan? Ambik kau, Panglima! Kau pandanglah muka aku ni sampai muntah!
“Tak boleh ke pakai esok ke? Lusa ke?”
“Tak boleh.” Adinda menyambut kata-kata suaminya pantas.
“Tak cantik macam tu. Aku nak pandang pun takut.”
Eleh.. nak orang berhias cantik-cantik, seksi-seksi.. dia tu dengan kain pelekat gulung sampai ke dada. Ingat hensem sangatlah tu! Tak selera! Kutuk hati Adinda kepada suaminya.
Panglima menggaru rambutnya seketika. Nak ke tak nak ni ya? Takkan nak tangguh malam esok? Argh! Sapu ajalah, Panglima! Buat tak nampak aja muka dia yang mengerikan tu.. bisik hatinya sendiri.
“Eh! Eh! apa ni?” Adinda mula kalut melihat lelaki itu tiba-tiba mengalihkan duduk dekat dengannya. Panglima siap memuncungkan bibir sambil memejam mata. Lelaki itu terus ditolak Adinda.
“Kenapa kau buat mulut macam tu ha?” marah Adinda.
“Cepatlah.. kata nak malam pertama? Aku dah tak sabar dah ni. Selalu aku tengok orang putih buat macam tu, kan?” jawab Panglima sedikit terkebil-kebil.
Macam mahu berasap telinga perempuan itu mendengar ucapan Panglima. Dah tak sabar nak malam pertama?? Orang putih mana yang ajar ilmu malam pertama kat mamat ni? Mana dia?? Aku nak siat-siat kulit orang putih tu!
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Macam hantu aku tengok muka kau tu,” tegur Panglima. Adinda terus bangun sambil mencapai bantal guling di tengah katil itu.
"Kau ni memang lorat! Lorat! Lorat!" Bantal guling dihempuknya kepada lelaki itu.
"Apa pulak?" balas Panglima sambil terkulat-kulat memandang Adinda.
"Muka aku macam ni pun kau nak jugak ke?"
"Naklah.. nanti aku pejamlah mata. Takdelah aku asyik nampak muka kau yang mengerikan tu," sambut Panglima agak rendah.
Turun naik dada perempuan itu menahan geram. Dasar gatal! Asal boleh aja! desis hatinya.
"Cepatlah, Dinda sayang.."
"Aku tak nak!"
"Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hak aku bila kau nak bagi? Kau tengok ayam dalam reban aku tu? Anak ramai! Aku ni seorang pun tak lepas lagi."
"Itu ayam!"
"Yalah.. tapi aku tuan ayam tu. Takkan aku tak tercabar tengok si Jalak tu lagi pandai tambah keturunan daripada aku ni," ujar Panglima bersungguh.
"Kau ni memang sengal! Dengan ayam pun kau nak cemburu ke??" marah Adinda.
“Alah, Dinda.. kau kan bini aku? Takkan tak boleh? Kesian aku ni, Dinda.” Lelaki itu cuba memujuk pula.
“Tak ingin nak kesian dengan jantan gatal macam kau ni! Mesti kau ni suka tengok cerita mat salih, kan? Kau pun sama miang macam mat salih dalam tv tu,” marah Adinda.
“Tak sama. Aku miang dengan bini aku aja. Halal. Mat salih tu asal boleh aja. Tak sama! Tak sama!” balas Panglima sambil menggeleng beberapa kali.
“Malas aku nak layan kau. Aku nak tidur!”
“Habis tu tak jadi ke nak malam pertama ni?” tanya Panglima dengan muka seposen.
“Aku tak naklah! Tak selera! Jangan paksa aku, boleh tak? Esok lusa pun aku bini kau jugak! Bagilah aku masa!” ucap Adinda agak kasar.
Panglima terdiam. Kasihan pula dia melihat isterinya itu.
“Yalah.. aku tak paksa. Tapi janganlah pakai benda putih tu tebal sangat. Takut aku mengigau nanti.”
Adinda diam saat menyelak pintu kelambu itu. wajahnya dibersihkan di kamar mandi. Panglima terus termenung sendiri di atas katil itu. Sebaik sahaja masuk ke dalam kelambu itu, Adinda terus berbaring. Tubuhnya diiringkan membelakangi lelaki itu.
“Dinda..”
“Apa lagi?? Heee.. bencilah dia ni!”
“Aku nak peluk kau boleh tak?” tanya Panglima dalam nada yang cukup lembut.
Adinda menoleh semula ke belakang sambil merengus. “Tak nak!”
“Takkan peluk pun tak boleh?”
“Janganlah dekat dengan aku, Panglima. Kau ni memang tak makan samanlah!” tukas wanita itu geram.
“Tak boleh takpelah,” jawab Panglima agak perlahan. Sudahnya dia berbaring di tempatnya. Hampa hatinya kala itu. Tetapi dia mengerti Adinda masih belum boleh menerima dirinya. Buat seketika mereka berdua berdiam.
“Takkanlah sampai ke saat ini kau masih belum jatuh cinta pada aku?”
Adinda menghela nafas perlahan sebelum mencelikkan mata. “Aku baru kahwin dengan kau tak sampai pun 12 jam, Panglima! Bukannya 12 hari. Bukannya 12 bulan. Baru 12 jam!”
“Yalah..” jawab Panglima rendah.
Adinda kembali memejamkan mata setelah lelaki di belakangnya itu berdiam. Lega hatinya lelaki itu tidak lagi menganggunya.
“Aku peluk sikit ya? Peluk aja..”
Adinda tidak sempat berbuat apa-apa. Lelaki itu sudah menghimpitnya. Memang tak makan saman ini Panglima! Bisik hati Adinda dalam kebisuan.
Mereka berdua berdiam. Namun entah apa jampinya daripada batang tubuh wanita itu sekadar mengeras, perlahan mula melonggar. Pelukan itu sekadar dibiarkan sahaja. Namun saat dia terasa ada nafas hangat menyapa lehernya, Adinda menoleh ke belakang. Dia terpandangkan kerdipan mata suaminya. Lemah semangatnya memandang pandangan penuh harap lelaki itu. Entah kenapa dia tidak sampai hati. Adinda kembali memandang ke hadapan tanpa berkata apa-apa. Saat tangannya disentuh Panglima, dia sekadar membiarkan. namun dadanya berdebar. Berkali-kali dia mengatakan kepada dirinya, itu suaminya. Bukan orang lain.
Sehingga akhirnya lelaki itu menarik tubuh wanita itu menghadap kepadanya, Adinda terus rela.



Bab 7

Prakkk.. gedebum!!! Bergegar rumah itu akibat lantainya dihempas sesuatu. Sepasang manusia itu menggelupur turun dari katil.
“Alamak! Katil patah pulak!” ucap Panglima terkejut. Dia dan Adinda berdiri memandang katil uzur itu sudah menyenget. Adinda hanya mampu mengurut dada, juga akibat terkejut.
“Kau berat sangat ke sampai katil ni boleh patah?” tanya Panglima kepada isterinya.
“Aku pulak? Kaulah! Ganas sangat himpit aku!” cebir Adinda geram.
“Mana ada aku ganas?” jawab Panglima sambil menggaru kepalanya.
Adinda hanya mampu menggeleng. Sebiji bantal dicapainya lalu dibawa keluar.
“Nak pergi mana? Kita belum habis lagi kan?” tersengih-sengih lelaki itu sambil bertanya.
“Tak kuasa aku! Aku nak tidur kat luar.” Adinda menjawab siap dengan jelingan.
Panglima menggaru kepalanya sambil memandang langkah isterinya. Kurang asam punya katil! Nak patah pun tunggulah aku selesaikan malam pertama dulu. Ini baru intro katil dah patah, desis hati lelaki itu kecewa.
Sudahnya Panglima ikut membawa bantal ke luar.
“Baring jauh sikit!”
“Alah, kenapa pulak? Tadi boleh aje dekat-dekat?”
“Tadi ialah tadi! Sekarang ni aku nak kau tidur jauh dari aku,” balas Adinda tanpa kemesraan dalam nadanya. Terasa bodoh benar dia sekejap tadi. Mudah sahaja dia dikuasai lelaki itu.
Sudahnya Panglima berbaring sedikit jauh dari Adinda dengan pandangan layu. Tak kesampaian hajatnya. Katil patah menghalangi.
Terkebil-kebil Adinda tidak mampu mencantum lena. Teringat apa yang berlaku tadi. Sungguh-sungguh memalukan! Dalam tidak suka kepada Panglima, dia tetap melayan. Maknanya dia pun sama miang. Entah-entah miang si Panglima dah terjangkit kepadanya. Macam-macam yang difikirkan Adinda saat cuba melenakan dirinya. Sehinggalah dia tersedar Panglima mengejutkan dia semula.
Pagi itu Adinda cuba berlagak tenang di hadapan lelaki itu. Lelaki itu pun nampak biasa sahaja. Selesai mandi Panglima mencari baju di dalam gobok. Kemudian setelah usai menyarung baju melayu dan mengambil songkok, Panglima mula memandang Adinda.
“Aku nak ke masjid ni. Kau solat subuh kat rumah ya?”
Adinda sekadar mengangguk. Baru jam lima suku pagi, Panglima sudah keluar dari rumah. Setelah kelibat lelaki itu menghilang, Adinda duduk semula di katil yang sudah senget itu.
Apa aku nak buat ni??? Bisik hatinya bengang. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia balik ke rumah ayahnya. Tetapi apa alasan dia nak bagi? Mahu dia kena pelangkung dengan ayahnya itu nanti.
Hampir jam tujuh pagi kedengaran Panglima pulang dari masjid. Bunyi motor yang membingitkan itu sudah diketahui Adinda yang itu suaminya biarpun Panglima masih sekilometer jauhnya dari rumah. Sebabnya.. hanya Panglima seorang ada motor yang berbunyi begitu!
Adinda sempat menjenguk melalui tingkap saat motor suaminya selamat tiba di tepi rumah itu. lelaki itu memulas minyak sekali dua membuatkan enjin motor itu mengaum menyakitkan telinga. Macam mahu terbakar hati Adinda melihat gelagat lelaki itu.
“Kau boleh senyapkan motor cabuk kau tu tak? Sakit telinga aku!” jerit Adinda kuat.
“Apa??” balas Panglima dari bawah.
“Sabar ajalah aku dengan dia ni. Aku bakar jugak motor buruk dia tu,” desis Adinda seorang diri.
“Matikanlah motor kau tu!!! Sengal!” jerit Adinda lebih kuat lagi.
“Ha.. dah matikan.” Panglima terus turun dari motornya itu.
“Kau takde beli sarapan ke?” tanya Adinda dari atas itu.
“Takde. Kau buatlah sarapan. Kau kan isteri aku? Lagipun aku tak bawa duit tadi,” jawab Panglima bersungguh.
Huh! Isteri konon! Adinda menjeling sambil berlalu dari situ. Ketika Adinda berada di dapur, Panglima mula menjengah isterinya itu.
"Kau nak sarapan pagi apa?" tanya Adinda kepada suaminya.
"Kek pisang ada?" balas Panglima dengan muka lugu kepada si isteri.
"Dah nak kek pulak. Kau ingat ni bakery ke? Selain itu!"
"Emm.. pengat pisanglah."
"Apa kau merepek ni? Ada ke orang makan pengat pagi-pagi?"
"Ada. Aku?"
"Betul-betullah, Panglima. Malas aku nak layan kau ni!" getus Adinda kebosanan.
Panglima diam memikir seketika. Sarapan pagi apa ya? Selalunya dia makan dua biji pisang aja waktu pagi. Badan bertenaga. Berak pun tak susah.
"Kau buatkan aku kuihlah. Lepat."
"Hmm.. lepat apa?"
"Pisanglah."
"Selain pisang!! Untuk setahun jangan sebut pisang dalam rumah ni, boleh tak? Lepat ubi ke.. labu ke.."
"Aku mana ada tanam labu. Pisanglah. Free.. segar dari kebun. Takde bahan pengawet. Baja hanya yang berkualiti. Pisang ni banyak khasiat kalau kau nak tahu."
Adinda mengurut dada. Suamiku tauke pisanglah katakan!!! Semua benda yang dia nak makan mesti berasaskan pisang!
“Boleh ya? Nanti aku pergi ambil pisang kat kebun. Tengahari nanti kau buat masak lemak pisang muda letak ikan masin.”
Pisang lagi.. keluh hati Adinda muak.
“Mana sempat nak buih kuih ni semua, Panglima. Aku dah laparlah! Pergi ajalah beli sarapan kat luar,” ucap Adinda kepada lelaki itu.
“Emm.. bolehlah. Kau nak aku beli apa? Apam pisang nak? Lepas tu aku beli cekodok pisang ya?”
Pisang lagi!! Takde benda lain ke dalam otak Panglima Pisang ni?? jerit hati si perempuan bosan. Namun dek kerana dia tidak perlu memasak pagi itu, lantaklah kuih apa pun Panglima nak beli. Janji boleh ditelan aja sudah.
Kenyang perut dengan kuih muih yang dibeli Panglima, lelaki itu mula menyarung uniform kerjanya.
“Aku nak pergi tengok lembu ayah. Lepas tu aku nak pergi kebun. Pisang banyak yang dah kena ambil tu. Kejap lagi aku balik ya?” ujar lelaki itu lembut.
“Katil patah tu macam mana?” tanya Adinda sebelum suaminya itu berlalu.
“Nantilah..” jawab Panglima selamba.
Adinda hanya memandang. Dia tahu suaminya mahu ke kebun. Huh! Orang lain baru kahwin sedap pergi honeymoon. Aku? Laki aku sibukkan kebun pisang dia! Dari atas rumah Adinda melihat suaminya kepayahan mahu menghidupkan motor itu. beberapa kali dicuba namun motor itu tetap begitu. Akhirnya Panglima nekad menggunakan cara alternatif. Apa lagi caranya kalau bukan menolak motor itu laju-laju sebelum menekan gear.
Namun apa yang disaksikan Adinda kali itu benar-benar membuatkan dia menggeleng kepala dengan lelaki seorang itu. Panglima menolak laju motornya di halaman rumah sebelum meloncat naik ke atas motor itu. Namun saat dia cuba melompat naik kakinya tersepak kusyen motor. Sudahnya kusyen itu terjatuh lalu tertinggal ke belakang. Panglima terduduk di atas motornya tanpa kusyen. Mengelejat lelaki itu menahan sakit. Tergopoh gapah dia pergi mengutip semula tempat duduk motornya yang terdampar di tengah halaman rumah. Takut dilihat orang.
“Kalau tak sengal, memang bukan laki akulah tu!” desis perempuan itu seorang.




BAB 4-5 ALAMAK TAUKE PISANG

Bab 4

Jumaat yang dinanti penuh debaran. Walaupun tiada kenduri naik pelamin yang gah, namun sekampung berduyun menghadiri majlis akad nikah pasangan mempelai itu. Di Masjid Kampung Tenang Tak Sudah itu mereka berkumpul. Panglima sudah bersedia menghadap tok kadi sambil disaksikan oleh Tok Kenanga dan beberapa orang masjid yang dilantik menjadi saksi.
“Bolehlah kita mula ya, Tok Kenanga?”
“Ialah..” sambut Tok Kenanga dengan senyum simpul.
“Kamu?”
“Ha?” Panglima tersentak di hadapan Kadi itu.
“Dah sedia ke belum? Aku nak nikahkah kamu cepat ni!” ucap Kadi itu kepada Panglima.
“Ialah..” jawab Panglima lantas menyapu peluh di dahinya. Macam panas pulak dirasakan ruangan dalam masjid itu. Dia pun dah tak senang duduk menahan debaran di dalam dada.
“Taufiq Iskandar Bin Ahmad Bakri.”
“Saya!”
“Aku nikah akan dikau dengan Adinda Kesuma Intan Ratnasari Binti Kenanga berwakilwali akan Kenanga Bin Gunong kepada diriku, dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 100 tunai.”
“Eh! Panjangnya nama, tok?” ucap Panglima agak terkejut. Spontan tangannya ditarik dari genggaman tok kadi.
“Aik? Bakal bini kamu.. takkan kamu tak tahu nama penuh dia?”
“Yang saya tahu Adinda aja. Yang belakang panjang-panjang tu saya tak pernah dengar pun. Memang ada ke semenjak lahir ke? Saya tak tahu pun. Apasal nama Tok Kenanga pendek aja?” ujar Panglima lantas menerbitkan gelak sakan dua saksi itu.
“Parah begini ni, Tok Kenanga.”
Tok Kenangan sudah tergelak sendiri. “Teruskan aja..”
“Macam mana? Dah sedia ke tidak?” tanya Imam kampung juga selaku kadi itu kepada Panglima.
“Siapa nama bakal bini saya tadi?”
“Kamu tanya aku?? Ni bakal bini aku ke.. bini kamu?”
“Bakal bini saya. Tok dah ada bini, kan? Marah bini tok nanti. Mana saya ingat, tuk. Ni pertama kali dengar nama panjang macam tu,” jawab Panglima sambil terkulat-kulat memandang orang-orang di hadapannya itu.
"Adinda Kesuma Intan Ratnasari Binti Kenanga.." Ucap Kadi itu sekali lagi.
"Okay.. Saya dah ingat." Panglima mengangguk berkali-kali setelah cuba menghafal nama itu.
Lafaz akad diucapkan sekali lagi oleh kadi sambil didengari dengan teliti oleh pengantin lelaki.
"Aku terima nikahnya Adinda Kesuma Intan Nagasakti Binti Kenanga dengan mas kahwinnya.."
"Apa naga sakti pulak perginya! Ratnasari!" Pintas Kadi itu sedikit meninggi.
"Ha??! Mana ada saya sebut naga sakti?" Balas Panglima sambil menggaru pipinya dalam kegelabahan.
Suasana di situ sudah riuh rendah dengan gelak tetamu. Adinda di tempatnya memang teringin benar nak jadi naga kala itu. Panglima itu mahu disemburnya dengan api! Kurang ajar kau, Panglima. Nama aku sedap-sedap bapak aku bagi. Kau suka-suka aja ubah jadi lain, kan? Siap kau nanti!
“Bawak bertenang, Panglima. Kamu menggelabah ni..” Kadi itu menepuk bahu Panglima beberapa kali sambil ketawa.
Panglima mengurut dadanya seketika. Cuba meredakan debaran di dalam sana.
“Kita cuba sekali lagi ya?”
“Kejap.. kejap, tuk. Ratnadewi ke tadi?”
“Ratnasari!!! Astaghafirullah!!!” jerkah Tok Kadi itu lantas ketawa.
“Okay.. Ratnasari.. Ratnasari..” ucap Panglima sambil memejamkan mata. Seadaya upaya cuba menfokuskan dirinya kepada upacara itu. Adinda di belakang lelaki itu sudah tidak senang duduk dibuatnya. Malu!
Lafas akad diulang sekali lagi oleh kadi itu dan disambut oleh Panglima dengan lancar. Lafas kabul itu disahkan oleh saksi-saksi tanpa banyak soal.
“Alhamdulillah.. selamat dah kamu jadi suami orang!” ucap Kadi itu lantas menadah tangan untuk membacakan doa.
Usai melakukan solat sunat tiba giliran mas kahwin diserahkan kepada Adinda. Sebuah dulang berisi cincin dibawa bersama. Adinda sekadar pasrah tatkala jari manisnya disarungkan cincin emas kuning bermata satu. Itu yang termampu diadakan oleh Panglima. Namun saat wang mas kahwin diserahkan dia terpana.
“Kenapa?” tanya Panglima hairan melihat Adinda tidak menyambut wang itu.
“Takde sampul lain ke??” tekan Adinda geram sambil huluran itu disambut pantas. Sudahlah wang mas kahwin itu tidak digubah di atas dulang. Itu ada ampun lagi. Panglima meletakkan wang itu di dalam sampul duit tahun baru cina punya. Entah tahun bila punya. Kut ya pun.. pilihlah sampul Hari Raya punya! Sengal!



Bab 5

Selesai urusan pernikahan di dalam masjid itu para tetamu dipelawa untuk menjamu selera. Seperti mana yang diberatkan oleh agama islam, walimah atau walimatulurus itu adalah dipertanggungjawabkan kepada pihak suami mengikut kemampuan si suami tersebut. Maka begitulah juga dengan Panglima. Kenduri diadakan mengikut keadaan kewangannya. Tidaklah gah seperti mana majlis orang lain. Tetapi dari tiada biarlah sekadar sederhana.
Di hujung majlis itu tetamu diberikan door gift kononnya sebagai tanda terima kasih. Namun yang Adinda tak sanggup nak memandang door gift itu lama-lama, pemberian itu adalah dua biji pisang yang diikat dengan reben dan pada kulit pisang itu dicopkan dengan tulisan Adinda Love Panglima.
Bila masa aku love dia entah! Bisik hati Adinda bengang.
Setelah selesai sepenuhnya acara makan-makan, Panglima membawa isterinya pulang ke rumah pusaka emak dan ayahnya. Adinda sekadar melangkah longlai ke dalam rumah itu.
“Buatlah macam rumah sendiri.” Panglima terus membawa masuk beg isterinya ke dalam kamar.
“Hmm..” sambut Adinda malas. Ruang tamu rumah itu ditatapnya lama-lama. Ruang tamu itu hanya dipenuhi oleh perabot lama. Tv pun yang fesyen lama. Bolehlah daripada tiada. Kemudian dia ke dapur pula. Memerhati dapur rumah papan itu. Segalanya lengkap untuk surirumah seperti dia nanti.
Adinda menoleh sebaik sahaja terdengar derap kaki manusia memijak lantai papan rumah itu mendekati dia. Figura lelaki itu muncul di hadapan matanya tidak lama kemudian. Panglima sudah menukar pakaiannya kepada kain pelekat semata. Atas tubuhnya dibalutnya dengan tuala.
“Pergilah salin baju. Aku nak mandi sekejap lagi. Nak pergi belakang sekejap.”
Adinda sekadar mengangguk sebelum meninggalkan ruangan dapur itu. Di dalam kamar itu dia termenung sendiri. Memikir! Macam mana dengan malam nanti? Dia masih belum bersedia mahu menjadi isteri dalam erti kata yang sebenarnya kepada lelaki yang tiada di hatinya. Haruskah dia menyerah dalam keadaan diri tidak ikhlas? Haruskah dia akur dalam pada hatinya tidak punya rasa kepada suami sendiri? Entahlah..
Sudahnya Adinda duduk termenung di tepi katil itu. Tidak tahu mahu berbuat apa. Asing benar perasaannya saat ini. Masih tidak mampu menyemai hakikat di dalam jiwa yang ini adalah rumahnya kini. Kalau boleh dia mahu pulang ke rumah ayahnya. Tapi mana boleh? Mahu dia ditengking ayahnya nanti.
Lambat-lambat Adinda bangun. Beg bajunya dicari lalu diletak di atas katil. Kemudian dia menanggalkan baju kurung yang tersarung di tubuhnya lalu dilempar ke tepi. Namun baru sahaja Adinda mahu membuka begnya tiba-tiba Panglima menyelak langsir yang menghadangi ambang kamar itu. Terkejut punya pasal, Adinda hanya mampu mencapai sebiji bantal untuk melindungi bahagian yang terdedah. Panglima terpaku dengan mata terbeliak.
“Kenapa kau masuk?? Aku tengah salin bajulah!!” marah Adinda lantas menyorok di tepi almari.
“Ma.. mana aku tahu. Aku ingatkan dah sudah.” Tergagap-gagap lelaki itu menjawab dengan mulut terbuka.
“Keluarlah!!”
“Nak keluarlah ni..” jawab Panglima agak perlahan. Namun matanya masih tidak mampu berkalih daripada wanita itu biarpun tubuhnya sudah dipusingkan untuk keluar. Sayang benar nak lepaskan pandangan. Bukan selalu boleh nampak permandangan begitu. Sudahnya.. gedegum!!! Bunyi itu bergema kuat di dalam kamar tidur itu.
“Aduh!!” Panglima meraba dahinya. Dia terlanggar ambang pintu rupanya.
“Kat sini pintu rupanya..” ucap lelaki itu sambil menggosok dahinya.
Adinda mengertap bibir memandang suaminya itu. Gatal sangat tengok aku salin baju. Padan muka terlanggar tiang tu!
Baru sahaja Adinda mahu mengambil baju dari dalam beg, tiba-tiba dia menoleh. Terkejut badak dia melihat ada sebiji mata sedang terselit dicelahan tirai yang terbelah dua itu.
“Panglima, jaga kau!!!” Adinda menjerit lantas mengambil beg bajunya lalu dilemparnya ke arah lelaki yang sedang bersembunyi di sebalik langsir itu.
Tiada jawapan yang kedengaran sebaliknya kedengaran derap kaki seseorang kelam kabut berlari ke arah dapur.
“Mati aku! Naga berapi tu nampak pulak aku menginta dia!” desis Panglima dalam pada dia sibuk melarikan diri.

Masam kelat wajah Adinda saat menemui suaminya duduk menyangkung sendiri di ambang pintu dapur itu. Lelaki itu sedang ralik memandang ke luar. Bengang disebabkan peristiwa tadi masih menebal di hati Adinda. Ikutkan hatinya mahu sahaja lelaki itu dilepuknya. Tetapi dia masih sedar itu suaminya. Takkan nak pukul suami? Kejam benar tu!
“Eh! Aku nak pergi halau ayam masuk reban sekejap.” Melihat Adinda sudah ada di situ cepat-cepat Panglima keluar melalui pintu dapur yang terbuka luas. Takut Adinda membalas dendam atas peristiwa tadi.
Adinda sekadar memandang gelagat suaminya sambil melabuhkan duduk di tempat Panglima sebentar tadi. Panglima membuka luas pintu reban bagi membiarkan ayam-ayam belaannya masuk ke dalam reban. Banyak juga ayam dibela oleh suaminya itu rupanya.
Emak-emak ayam meluru masuk ke dalam reban bersama anak-anaknya. Namun seekor ayam jantan terus meliar di luar reban.
“Jalak, masuk reban cepat!” panggil Panglima kepada ayam itu.
“Ayam pun ada nama. Semua benda dia nak letak nama..” desis Adinda seorang diri. Panglima dilihatnya mengekori ayam itu.
“Oi! Aku panggil ni. Nanti aku tak mahu carikan kau bini baru kau tahu, Jalak. Takde keturunan kau nanti.” Panglima mula membebelkan ayam itu.
Adinda terus memerhatikan gelagat suaminya memujuk ayam itu agar masuk ke dalam reban. Sehingga akhirnya ayam itu berjaya juga ditangkap oleh Panglima lalu ayam bapak itu diletakkan di atas bahu. Bukan main senang hati ayam itu berdiri di atas bahu Panglima. Nampaknya ayam itu jinak benar dengan suaminya.
“Degil kau ya, Jalak? Aku suruh masuk reban, kau main-mainkan aku. Bila kau nak merendek dengan si Cimak kakak kawasan tu.. tahu pulak kau masuk reban awal! Asal malam Jumaat aja kau masuk reban cepat! Aku rebus kau buat sup baru kau tahu.” Panglima membebel kepada ayam kesayangannya itu.
Sebagai balasan kepada kata-kata Panglima ayam itu segera menerankan sesuatu dari bawah ekornya. Benda lembik itu melepek di belakang Panglima.
“Kau berakkan aku, Jalak?? Sungguh biadap perangai kau ni!”
Adinda menekup mulutnya. Mahu tergelak melihat gelagat ayam itu dengan suaminya. Padan muka kau, Panglima! Dengan ayam pun boleh bercakap. Seketika kemudian Panglima mengambil satu besen besar dari tepi reban itu. Di dalam itu ada pisang yang dijadikan makanan ayam. Sebahagian pisang yang sudah dicincang itu ditabur di dalam bekas makanan sebelum pintu reban di tutup.
“Tolong buang tahi ayam kat belakang aku ni,” pinta Panglima kepada si isteri dengan lembut.
“Aku geli!”
“Alah.. tolonglah kejap. Aku pun geli jugak.”
Mahu tidak mahu Adinda bangun masuk ke dalam rumah. Sehelai kain buruk di ambil lalu dibawa kepada Panglima. Kesan najis itu dilap lalu kain buruk itu dilempar ke luar.
“Kenapa kau buang kain tu?”
“Biarlah! Dah ada tahi. Gelilah!”
“Basuhlah. Nanti kain tu bersih semula. Malas!” Panglima menggeleng sahaja kepada isterinya.
Adinda sekadar buat tidak tahu kepada kata-kata suaminya. Kain itu tidak pun diambilnya. Geramnya masih menimbun kepada lelaki itu. Termasuk hal ketika di masjid tadi.
“Kau saja aja nak bagi aku malu waktu kat masjid tadi, kan?”
“Bila pulak aku malukan kau? Patutnya hari bahagia macam tu kita seronoklah. Mana ada aku malukan kau pulak.”
“Takde malukan aku konon! Yang kau salah sebut nama aku tu apa? Kau saja aja, kan??” ucap Adinda tajam.
"Mana ada. Aku tak sengajalah. Kau mana tahu perasaan seorang lelaki bila nak menghadap tok kadi. Rumit!" balas Panglima macam bersungguh aja tanpa memandang isterinya itu.
"Apa yang rumitnya? Setakat nak sambut akad nikah tu pun kau boleh salah. Malu aku tahu tak!" balas Adinda tidak mahu kalah.
Panglima kembali menoleh kepada sang isteri.
"Macam-macam benda yang bermain dalam fikiran seorang lelaki bila nak menghadap tok kadi ni. Orang perempuan takkan faham! Semua tu sulit nak dijelaskan dengan kata-kata biasa."
Adinda mencebik. Ialah sangat! Macam poyo aja bunyinya.
"Aku terfikir-fikir.. keindahan malam pertama nanti macam mana," ujar Panglima seorang diri.
Berderau darah Adinda yang sempat mendengar kata-kata itu. "Oh! Depan tok kadi tadi itulah yang kau fikir sampai tersasul sebut nama aku?!!" marah Adinda terus meninggi suaranya.
Panglima menelan liur seketika. "Tak boleh ke?"
Adinda hanya mampu memandang lelaki itu dengan dada turun naik. Tak guna betul! Dasar lelaki!!
“Patutlah kau miang mengintai aku ganti baju tadi ya?”
Panglima terdiam sambil terkulat-kulat. Intai sikit aja pun nak marah. Bukannya banyak. Sikit aja!
“Aku nak minta beritahu sesuatu pada kau,” ucap Adinda nekad.
Panglima sekadar memandang raut wanita di sebelahnya itu tanpa menyahut apa-apa.
“Aku.. emm..” Adinda meraup rambutnya seketika. Tiba-tiba dia jadi gentar pula. Tadi berani benar. Buatnya Panglima tidak sepakat dengannya, naya dia nanti!
“Aku kahwin dengan kau sebab ayah yang suruh. Aku sebenarnya tak bersedia nak jadi isteri sesiapa. Aku harap kau faham apa yang aku maksudkan ni.”
“Aku faham. Jadi?” Panglima membalas biasa.
“Aku.. err.. aku tak mahu kau sentuh aku.” Tiba-tiba kata-kata itu meluncur laju dalam pada Adinda tergagap tadi.
“Ish! Mana boleh macam tu?” sambut Panglima sedikit terkejut dengan kehendak Adinda.
“Kau nak paksa aku sedangkan aku tak suka dengan kau? Macam tu?” balas Adinda pantas.
Panglima memandang isterinya seketika. Kemudian dia mengalihkan renungannya ke luar rumah.
“Kau dengar tak?” tanya Adinda kepada lelaki itu.
“Kau kena balas pantun aku ni..”
Adinda mula menghela nafas panjang. Dia dah mula dahhh..

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan,
Dah terang tak perlu disuluh,
Aku ni lelaki kau tu perempuan.

Sekali pergi menuba,
Sekali ikan merambat,
Takkan sekali pun kau tak nak cuba,
Mana tahu Abang Panglima ni hebat?

Itulah bunyi dua buah pantun yang diberi Panglima membuatkan Adinda tidak terkata. Nak balas apa pun dia tak tahu. Dia pun bukannya suka benar berpantun-pantun ni semua. Tak tahulah kenapa dia ditakdirkan mendapat suami suka berpantun.
“Jawab.. jangan tak jawab!”
“Kau jangan nak main-mainlah, Panglima! Tak kuasa aku nak berpantun dengan kau!” marah Adinda geram.
“Siapa kata aku main-main? Aku serius ni,” ujar Panglima selamba.
Adinda hanya mampu memandang jengkel lelaki itu. Nak balas macam mana? Dia mana tahu berpantun ni semua.
“Kalau kau tak balas pantun aku tu, aku tak mahu dengar cakap kau. Malam ni aku nak kau pakai cantik-cantik!” Spontan lelaki itu bangun.
“Panglima!! Kau ni kejam tahu tak!!!” getus Adinda geram melihat lelaki itu sudah menjauh. Mulalah dia rasa nak lari dari rumah aja. Tapi nak lari ke mana?? Nak pakai cantik-cantik untuk apa kalau bukan untuk melayan kehendak lelaki itu. Adinda hanya mampu menekup wajahnya ke lutut. Kalau boleh, janganlah siang berganti malam!

BAB 3 ALAMAK! TAUKE PISANG


Bunyi bingit yang didengari oleh wanita itu lekas sahaja membuatkan Mak cik Senangin memanjangkan leher untuk mencari dari mana datangnya bunyi itu. Dari jauh dia sudah melihat kelibat seseorang sedang menunggang motor ke arah rumahnya.
“Boleh pulak dibawanya motor tu dalam keadaan macam tu,” ucap Mak cik Senangin seorang diri. Semakin dekat lelaki itu bersama motorsikalnya ke rumah itu, semakin bingit suasana sekeliling dibuat dek motor buruk itu. sehingga wanita itu akhirnya menekup telinga saat motor yang ditunggangi Panglima masuk ke halaman rumahnya.
“Apalah ke teruk benar motor kamu tu? Macam nak pekak telinga aku ni!” tegur Mak cik Senangin setelah Panglima mematikan enjin.
“Ekzosnya dah hilang, mak cik. Assalamualaikum..”
“Waalaikumsalam. Dah kenapa tak hantar bengkel motor kamu tu?” tanya Mak cik Senangin kepada lelaki itu.
Panglima tidak menjawab soalan itu. Punggungnya dilabuhkan di kaki tangga paling bawah rumah Tok Kenanga tanpa dipelawa oleh Mak cik Senangin.
“Kenapa tak hantar?” tanya Mak cik Senangin sekali lagi sambil terus memerhatikan anak muda itu.
“Takde duit sekarang. Nantilah..” jawab Panglima sambil menggaru kepalanya. Terfikir-fikir dia.. nak kahwin nanti tentu nak pakai banyak duit. Jadi terpaksalah dia meminta motornya itu bersabar untuk sementara waktu.
“Tak pasal-pasal ranap motor sebuah ya, Taufiq? Kesian kamu.”
“Takpelah. Motor tu memang dah uzur pun. Nanti ada duit saya belilah yang baru.”
Mak cik Senangin hanya mampu menghela nafas memandang anak muda itu. Kasihan dengan nasib lelaki itu. Setakat bergantung kepada kebun pisang yang tak sebesar mana, manalah dia boleh hidup dalam zaman serba duit sekarang ini. Mujurlah anak muda ini rajin membuat kerja lain untuk menambah pendapatannya. Itupun bukan selalunya ada kerja sampingan yang ditawarkan kepadanya.
“Tunggu sekejap ya. Mak cik ambilkan cawan sekejap.”
“Yalah.” Panglima mengangguk sambil menoleh sekilas kepada wanita di ambang pintu rumah itu.
Namun tidak lama kemudian Panglima terdengar bunyi derap kaki manusia. Ingatkan Mak cik Senangin sudah tiba di situ dengan cawannya. Sebaliknya Adinda yang kelihatan.
“Patutlah aku dengar bunyi memekak tadi. Motor kau rupanya.”
Panglima sekadar membisu kepada wanita itu. adinda duduk di ambang pintu rumah itu sambil memandang motor milik Panglima. Rasanya motor itu diwarisi oleh Panglima dari arwah ayahnya.
Mak cik Senangin segera mencurahkan air teh o ke dalam cawan sebaik sahaja duduk semula di tempatnya.
“Minum, Taufiq.” Pelawa wanita tua itu lembut. Panglima segera menoleh dan menyambut cawan dari tangan wanita itu.
“Terima kasih, mak cik.”
“Tok Kenanga kamu tu suruh kamu jagakan lembu dengan kerbau dia tu. Katanya budak Indon yang selalu jaga kandang tu dah berhenti. Boleh, Panglima?” ucap Mak cik Senangin kepada Panglima. Dia tahu Panglima datang mencari suaminya. Dia sekadar menyampaikan pesan suaminya.
“Boleh.” Panglima menjawab sepatah berserta dengan anggukan.
“Eloklah kau jagakan lembu dengan kerbau bapak aku tu, Panglima. Nanti semua binatang tu kau letak nama. Kuntum kau tu apa khabar?”
Terkulat-kulat Panglima mendengar ejekan Adinda. “Kuntum dah berbuah,” ujar Panglima rendah sahaja.
“Oh.. eloklah. Takdelah dia mandul sebab aku, kan?”
"Kau ni tak beradab betul panggil si Taufiq ni ya? Sedap mulut kau aja panggil dia Panglima. Dia tu tua lima tahun dari kau, Dinda! Cubalah jaga sikit adab tu bila bercakap dengan orang." Mak Cik Senangin segera mencelah.
"Biarlah. Semua orang panggil dia macam tu. Dinda Ikutlah!" Adinda selamba sahaja sambil mengerling tunangnya itu.
"Orang tua-tua tak apa. Itu dia orang bergurau. Yang kau pun sibuk panggil macam tu nak buat apa?"
"Takpelah, mak cik. Saya dah biasa."
"Kamu berdua ni tak lama lagi dah nak kahwin. Mak cik tak mahulah tengok kamu asyik bergaduh aja. Tak baik asyik berperang aja." Mak cik Senangin berkata lembut.
"Dah nama pun Panglima. Memanglah kaki gaduh!" Ujar Adinda seorang diri.
"Dinda!" tegur Mak cik Senangin agak tegas kepada anak daranya.
"Takpe, mak cik. Nanti bila Dinda dah jatuh cinta kat saya, takdelah dia marah saya lagi.."
Menyirap darah Adinda mendengar kata-kata lelaki itu. Eee.. Mamat ni apahal poyo sangat cakap macam tu depan mak aku?? Perasannya!! Siapa nak jatuh cinta dengan dia entah!!
“Eloklah tu. Kau tu bertuah dapat bakal suami macam Panglima ni, Dinda. Penyabar orangnya. Kalau lelaki lain agaknya mulut kau tu asyik makan penampar aja. Asyik nak mencari gaduh aja kerjanya,” ucap Mak cik Senangin kepada anaknya.
“Huh! Kembanglah tu kena puji!” ejek Adinda agak perlahan kepada lelaki itu.
“Nanti bila Dinda dah jadi isteri saya, saya takkan tampar dia kalau dia cari gaduh dengan saya. Paling pun saya azan aja kat lubang telinga dia. Supaya keluar semua jin dalam badan dia tu.”
Spontan berderai tawa Mak cik Senangin mendengar kata-kata Panglima. Tidak dipedulikan wajah ketat Adinda. Spontan Adinda bangun.
“Sengal!!” getusnya lantas masuk ke dalam rumah.
“Kamu berdua ni ada aja hal nak digaduhkan,” komen Mak cik Senangin sambil menggeleng sendiri.
“Takpelah, mak cik. Saya balik dulu ya? Sekejap lagi nak ke masjid. Terima kasih untuk air ni. Kirim salam saya pada Tok Kenanga,” ujar Panglima sebelum bangun dari duduknya.
“Ialah..”
Lama Mak cik Senangin memandang gelagat anak muda itu. Sehinggalah Panglima menghilang dengan motornya yang membingitkan. Namun seketika kemudian wanita itu menggeleng sendiri. Sesuai benar anak muda itu dipilihkan untuk anak daranya. Seorang kaki marah. Seorang lagi macam tak berperasaan.

Adinda terkejut besar saat mendengar namanya dijeritkan oleh ayahnya malam itu. Pantas anak dara itu keluar dari kamarnya menuju ke dapur. Ayahnya baru pulang dari masjid.
“Hah! Ada pulak kau kat rumah malam ni ya? Tak pergi merayap rumah orang ke??”
“Apa dia ni, ayah? Pekak telinga Dinda dengar suara ayah!” desis Adinda geram dengan ayahnya itu. Macamlah dia pekak sampai dijeritkan begitu.
“Malu ayah, Dinda. Malu!!”
“Apa yang malu, ayahnya?” sampuk Mak cik Senangin.
“Satu kampung dah bercerita pasal anak dara awak ni. Katanya si Dinda ni berkelakuan tak senonoh dengan si Taufiq malam tu. Malu saya!”
“Apa yang tak senonohnya? Dinda tak buat apa-apa pun dengan Panglima malam tu.”
“Katanya kau naik motor sambil berpelukan dengan tunang kau tu. Dah macam laki bini! Ramai yang nampak kau dengan Taufiq malam tu,” tegas Tok Kenangan meninggi.
"Itu semua fitnah, ayah!"
"Fitnah kebendanya?? Memang ayah pun nampak kau dengan si Taufiq tu berpelukan atas motor!" Marah Tok Kenanga makin menekan lantang nadanya.
Adinda diam. Memanglah dia ada terpeluk Panglima malam itu. Tetapi dalam keadaan darurat begitu. Maaflah.. Dia dah malu sangat. Ini semua Panglima punya pasal. Motor tahun 70-an pun nak pakai lagi. Sudahnya enjin pun boleh meletup depan orang.
"Apa kau nak jawab? Mulut kau tu kan suka menjawab? Ayah sebagai bakal YB ni.. Malu dengan kelakuan kau, Dinda!"
Tak habis-habis dengan bakal YB dia tu.. Desis hati Adinda dalam kebisuan.
"Nampaknya ayah takde pilihan lain. Ayah kena kahwinkan kau cepat, Dinda!"
"Ayah! Tak naklah.. Dinda tak nak kahwin dengan Panglima tu!"
"Ayah tak peduli. Kau dah menjatuhkan maruah ayah. Sebelum fitnah orang kampung makin melarat, ayah kena kahwinkan kau lekas."
"Lekas tu bila? Hujung tahun ni ke?" Tanya Adinda perlahan.
"Hujung tahun kebendanya! Hujung minggu ni!"
Mata Adinda serta merta terbuntang. Hujung minggu ni??
“Ayah ni kejamlah! Dinda tak mahu hidup dengan lelaki macam si Panglima tu. Macam mana nak kahwin kalau hati tak cinta?” bentak Adinda sudah tidak tertahan. Keputusan ayahnya itu langsung tidak dapat diterimanya.
“Kau tahu apa sebabnya ayah nak jodohkan kau dengan si Taufiq tu. Kenapa dia. Kenapa bukan orang lain. Kau nak tahu?”
Adinda hanya mampu mendiamkan diri menadah telinga kepada bebelan ayahnya.
“Sebab dalam ramai-ramai jantan yang kau kawan dalam selama ni.. semuanya takde berakal di mata ayah! Si Kerol tu.. waktu sekolah dulu kau berkawan dengan dia, ikut dia sana sini dengan motor rempit dia tu. Kau tahu apa kerja si Kerol tu setiap hari? Hisap dadah! Merempit! Jahanamkan anak dara orang. Lepas tu kau pergi KL sana, kau berkawan dengan jantan entah apa-apa.. kawan sekolej konon. Sudahnya jantan tu bawak kau pergi kelab malam. Lepas tu apa jadi? Kau kena tahan polis, kena buang kolej. Itu semuanya lelaki yang kena di mata kau tapi tak kena di mata aku! Pilihan kau lelaki yang tak boleh nak pimpin kau dunia akhirat! Pilihan aku.. memang tak hebat, tak kaya.. tapi Taufiq tu lelaki sejati. Memang dia miskin tapi tak suka meminta-minta. Dia tahu cari sendiri. Berilmu tapi merendah diri. Tak pernah biadap dengan orang tua. Itu lelaki namanya, Dinda! Hanya lelaki yang mampu kebahagiaan kepada orang perempuan. Lelaki yang namanya jantan ni.. bukannya bawa kebahagiaan pada perempuan. Sebaliknya jantan macam ni wujud untuk sumbat kau ke dalam neraka di akhirat nanti! Kau tu jenis perempuan yang senang hanyut disebabkan lelaki. Jadi si Taufiq tu memang sesuai untuk kau! Ayah tak kisah dia tak mampu beri duit hantaran beribu-ribu sekalipun. Yang ayah mahu anak ayah kahwin dengan lelaki yang berguna. Biar ayah menyesal sekarang. Ayah tak mahu sesal di akhirat nanti.” Makin lantang suara Tok Kenanga kedengaran di dapur rumah itu.
Adinda terus terdiam diterpa kemarahan ayahnya. Saat itu benaknya kosong, gagal mencari idea untuk melawan kata-kata Tok Kenanga.
“Betul kata ayah kau tu, Dinda. Mak pun suka dengan si Taufiq tu. Apa yang tak kenanya dengan dia tu sampai kau tak suka benar?” celah Mak cik Senangin sedikit lembut.
“Saya tak peduli dia suka ke tak suka, maknya. Dia nak ke tak nak.. saya tetap akan kahwinkan dia dengan si Taufiq tu hujung minggu ni!” ucap Tok Kenanga serius.
Mak cik Senangin memandang anaknya itu. Adinda hanya tunduk tidak menjawab.
“Kau dengar ke tidak?” Tekan Tok Kenanga.
“Dengar..” jawab Adinda amat perlahan.

“Siap sedia aja. Hari Jumaat ni nikah!”