Rabu, 6 April 2016

DUDA & JANDA BHG 1-2

BHG 1
“SETUJU tak? Mak cik Yati kau tu asyik bertanya aja.”
Fatiya memandang ibunya dengan pandangan redup.
“Entahlah, mak. Tak kenal orangnya macam mana Tia nak bagi jawapan,” ujar Fatiya lembut.
“Pergilah berkenalan. Mana tahu berkenan. Merasalah mak bermenantu lagi,” balas Mak Cik Kamariah biasa.
“Seganlah, mak. Dia tu pun tak pernah hubungi Tia. Macam mana nak berkenalan?” Fatiya berkata perlahan sambal menunduk.
“Mak Cik Yati kau kata, anak jantan dia tu pendiam. Mulut berat. Itu pasal bini pun mak dia yang carikan.”
Fatiya diam pula. Tidak banyak yang dia tahu tentang lelaki bernama Fakhri itu. Seorang duda. Bercerai lebih tiga tahun dulu. Sudah berusia 34 tahun. Agaknya sesuailah dengan dia. Dia pun pernah berkahwin. Sayangnya hanya setahun lapan bulan dia merasa menjadi isteri sebelum bekas suaminya Halim menceraikannya. Lelaki itu kini sudah berkahwin lain.
“Mak Cik Yati kau tu bukannya apa. Risau dengan anak dia tu. Macam tak minat langsung nak cari calon bini lepas bercerai. Semua serah pada mak dia. Tu yang Mak Cik Yati nak padokkan dengan kau. Nak padankan dengan anak dara, takut orang kata tak sedar diri. Kau tu pun dah lama sendiri. Cubalah kenal-kenal si Fakhri tu. Mak cik kau tu pun berhajat sangat,” ujar Mak Cik Kamariah lagi.
“Tengoklah nanti, mak. Tia tak dapat beri jawapan sekarang,” ujar Fatiya lembut.
Usai tengahari, gelagat Mak Cik Kamariah riang semacam setelah mendapat panggilan dari seseorang. Pelik Fatiya melihat emaknya rancak bercerita dengan ayahnya. Teruja. Ayahnya sekadar tersenyum-senyum melayan emaknya.
“Ada apa, mak?” tanya Fatiya setelah mendekat.
“Keluarga Mak Cik Yati kau nak ke mari esok. Siap-siap ajalah.”
Berdebar serta merta dada Fatiya. Agak-agak Fakhri ada sekali ke? Ah! Masakan lelaki itu tidak datang? Dan kalau lelaki itu hadir, apa yang harus dibuatnya? Entah!

*************************************************
LELAKI bernama Mohd Fakhri itu tidak pernah ditemuinya sebelum ini. Kali pertama terpandangkan orangnya, Fatiya pantas mengalihkan pandangan. Lelaki itu juga seolah-olah sedang mencari dia.
“Marilah berkenalan dengan Fakhri ni. Semalam kata tak kenal orangnya. Ini ha.. ada dah depan mata,” ajak Mak Cik Kamariah kepada anak perempuannya.
Berderau darah Fatiya mendengar nada selamba emaknya. Ish! Mak ni.. bisik hatinya yang sudah libang libu. Malu. Namun dia cuba berlagak selamba saat berdiri di sebelah emaknya. Lelaki itu masih tidak berhenti memerhatikan dia. Menambah rasa tidak keruan.
“Dah kenal ni bolehlah ajak pergi dating, Fakhri..” ucap Mak Cik Yati sambal mencuit anaknya. Mak Cik Kamariah ketawa melihat Fakhri tersipu-sipu.
“Mak, Tia ke dapur dulu ya?”
“Ialah..”
Laju kaki membawa diri ke dapur. Sudah tidak sanggup mahu menadah diri di situ. Seingatnya ini bukan kali pertama dia ‘ditanyakan’ orang. Namun entah kenapa kali ini emaknya teruja. Bersungguh. Mungkin kerana Mak Cik Yati itu ada hubungan keluarga dengan mereka. Setahunya, dia dan Fakhri itu tiga pupu.
Dan memang benar seperti yang diberitahu sebelum ini. Fakhri itu pendiam orangnya. Malahan di kalangan kaum bapa berbual, dia lebih banyak mendengar.
Nak berkenalan macam mana? Bercakap dengan aku pun dia tak mahu. Takkan aku yang kena terhegeh-hegeh kat dia, detik hati Fatiya. Sehingga rombongan keluarga Fakhri pulang, lelaki itu langsung tidak mendekati Fatiya. Menimbulkan rasa pelik kepada wanita itu.
“Macam mana? Suka orangnya?” tanya Mak Cik Kamariah malam itu.
Aku nak kahwin macam mana kalau tak kenal perangai dia. Sikap dia. Hati budi dia, ucap hati Fatiya sendiri. Namun dia mengagak, mungkin lelaki itu pemalu.
“Entahlah, mak. Biasa aja,” jawab Fatiya selamba.
“Kau ni, Tia. Semua lelaki yang nakkan kau, kau jawab begitu.”
“Dia tu pendiam sangatlah, mak. Susah Tia nanti.”
“Eloklah pendiam. Banyak mulut sangat nanti, kau yang pening nak layan.” Mak Cik Kamariah lantas masuk ke dapur.
“Ialah. Tapi dia tak tegur Tia pun. Malulah Tia nak bercakap dengan dia,” ujar Fatiya setelah mendekati emaknya.
“Esok dah kahwin biasalah tu. Hilanglah malu.”
“Mak, Tia tak bagi kata putus lagi tau.”
“Alah, terima ajalah Tia. Lelaki mana lagi yang kau tunggu. Kau tu dah menjanda lama. Tak senang hati orang sekeliling tengok. Selagi kau menjanda, selagi itulah telinga mak ni bingit dengan orang sekeliling ni!” ujar Mak Cik Kamariah bersungguh.
Fatiya diam. Tahu benar ragam jiran sebelah menyebelah. Kisah dirinya selalu menjadi bualan jiran. Sebelum ini, sepasang suami isteri menyewa di rumah hadapan. Ketika itu dia menetap bersama orang tuanya selepas bercerai dengan Halim. Namun, setiap hari si suami itu asyik mahu menegur dia. Setiap kali pulang kerja lelaki itu pasti bertenggek di hadapan rumah. Basuh keretalah. Menyapu halamanlah. Sehingga isterinya mula perasan perangai miang si suami. Sudahnya jadi gaduh. Memaksa dia memilih untuk kembali menetap di rumah sendiri. Kini pasangan itu sudah berpindah lagi. Lega sedikit rasanya.
Sulitkah menggalas gelaran sebagai janda? Ya, kadang kala sulit. Segala tindak tanduknya menjadi perhatian. Tersilap langkah, umpat caci orang menjadi makanannya.
“Sekurang-kurangnya Tia nak kenal dia, mak. Tia takut jadi macam dulu.”
“Dulu kau kenal Halim tu pun lama, Tia. Sudahnya betina lain jugak yang dia hadap bila dah berubah hati. Kenal sebelum kahwin dengan lepas kahwin ni tak sama. Orang sekarang ni banyak sangat ragamnya. Banyak sangat masalahnya. Mak dengan ayah kau kahwin dulu, tak ada pulak kami bercinta sakan. Keluar juga anak tiga orang. Kekal sampai sekarang. Orang sekarang nak kahwin, wajib nak bercinta dulu. Cerai berai banyak juga! Mak bapak pilihkan tak mahu. Nak juga pilihan sendiri. Pilihan mak bapak ni, bukan pilih handsome ke tidak, cantik ke tidak. Tapi kami rasa itulah yang sesuai dengan anak-anak.” Mak Cik Kamariah membebel.
Fatiya terdiam. Rasa tersindir dengan kata-kata emaknya. Semenjak dari zaman belajar bercinta dengan Halim. Sudahnya jodoh tidak panjang. Kenal? Lebih dari kenal.
“Mak tahu ke kenapa Fakhri tu bercerai dulu?”
“Samalah spesis macam si Halim tu. Apa lagi?”
“Jadi mak rasa Fakhri tu sesuai ke dengan Tia?” soal Fatiya lagi.
Mak Cik Kamariah segera memandang anaknya.
“Dulu kau berlakikan lelaki banyak mulut. Asal jumpa perempuan aja mulalah nak bertonyeh. Sudahnya kau juga yang sakit jiwa. Haaa.. ni mak nak padokkan kau dengan lelaki tak ada mulut! Tak payahlah kau risau dia main kayu tiga. Kalau bekas bini dia pun tak mahu si Fakhri yang dah macam orang bisu tu, kau ingat perempuan lain nak ke dia tu?” ujar Mak Cik Kamariah selamba.
“Mak ni! Ke situ pulak perginya,” balas Fatiya lantas ketawa.
“Terimalah, Tia. Dah terlanjur orang bersungguh mahu. Mak dengan ayah ni dah tua. Siapa lagi mak nak harapkan untuk jaga kau lepas mak dan ayah tak ada nanti?” ujar Mak Cik Kamariah lagi.
Fatiya terus membisu. Kata-kata emaknya meresap jauh ke dalam fikirannya. Membuatkan dia menjadi pemikir.
***********************************************
BHG 2
SETELAH beberapa ketika masa berlalu, akhirnya mereka berdua bertentangan mata. Bagi Fatiya, mujurlah lelaki ini mengajak bertemu sebelum dia memilih untuk menolak hasrat Mak Cik Yati.
“Lama tunggu?” tegur Fatiya sebaik sahaja tiba di hadapan Fakhri.
“Baru lagi. Duduklah,” suruh Fakhri kepada wanita itu.
Fatiya terus menarik kerusi di hadapan sang lelaki.
“Makan?”
“Tak apa. Saya baru aja makan di rumah dengan mak dan ayah.” Fatiya menjawab perlahan.
“Sihat?” tanya Fakhri lagi.
“Alhamdulillah. Abang?” balas Fatiya biasa.
Fakhri terkejut sedikit. Agaknya tidak pernah mendengar Fatiya memanggil dia begitu.
“Emm.. sihat. Order air?” pelawa Fakhri. Cuba berlagak biasa.
Fatiya mengangguk perlahan sambil memandang pelayan yang berada hampir dengannya. Usai mengambil pesanan pelayan itu segera meninggalkan meja itu. Fatiya kembali memandang Fakhri.
“Tia dah ada jawapan tentang hasrat mak abang?”
“Tak ada.”
Wajah Fakhri berubah sedikit. Terkejut. “Kenapa?” tanyanya.
“Saya ragu. Takut pun ada. Takut pisang berbuah dua kali. Saya pun tak berapa kenal abang,” ujar Fatiya biasa.
Fakhri diam pula. Macam terkilan mendengar jawapan itu.
“Kenapa selama ni abang diam?”
Seperti tadi Fakhri membisu lagi. Namun dia berdeham sedikit. Lama pandangan mata Fatiya memamah wajah sang lelaki.
“Abang pun sebenarnya tak mahu kahwin, kan?” teka Fatiya dalam kebisuan Fakhri.
Fakhri menggaru keningnya seketika. Macam sulit benar mahu berkata-kata.
“Abang nak kahwin. Kalau tidak takkanlah mak dan ayah abang datang ke rumah Tia.” Fakhri menjawab tanpa memandang wanita di hadapannya itu.
“Jadi kenapa abang tak pernah hubungi Tia selama ni?”
“Tia takut nak terima abang? Tia takut abang akan buat perkara yang sama macam bekas suami Tia?” kali itu Fakhri menduga pula. Sengaja mahu mengelak soalan Fatiya.
“Mana ada perempuan yang berani menerima sembarangan lelaki. Apatah lagi saya yang pernah dicurangi lelaki,” jawab Fatiya pantas.
“Lelaki macam abang mungkin susah nak diterima sesetengah wanita. Abang faham kalau Tia tak suka abang,” ujar Fakhri.
“Maksud abang?”
Fakhri menghela nafas panjang. “Abang tak pandai layan perempuan. Tak pandai ambil hati perempuan. Itu yang bekas isteri abang selalu kata pada abang. Abang mengaku, itu salah satu kelemahan abang. Abang tak faham bahasa simbolik. Kadang-kadang, apa yang dia mahu, abang tak ambil berat sebab dia tak berterus terang. Sampai satu masa, dia bosan. Dia tinggalkan abang.”
Fatiya pula yang terdiam memandang lelaki itu. Kiranya lelaki ini jenis kayu. Tak tahu beromantika dan jenis tidak peka.
“Abang tak paksa Tia terima abang. Sebab abang tak mampu nak janjikan yang abang akan ubah sesuatu yang dah menjadi sifat abang semenjak dulu,” ujar Fakhri.
“So, lepas bercerai abang langsung tak cari pengganti?”
Fakhri menggeleng. “Semenjak kebelakangan ni mak asyik bising. Tak larat nak memasak, gosok baju abang lagi,” ujar Fakhri biasa. Dan sedikit senyum terukir tanpa sengaja.
Oh.. patutlah mak dia nak sangat dia berbini. “So, abang nak kahwin sebab nak orang gajilah ya?” ucap Fatiya selamba.
“Tak. Bukan macam tu maksud abang. Abang pun ada keinginan macam lelaki lain. Cuma buat masa ni abang belum belum terjumpa calon yang sesuai. Kecuali Tia.”
Fatiya membisu seketika. Terfikirkan apa pula kehendak dirinya. Bagaimana untuk dia terima lelaki seperti ini di dalam hidupnya?
“Boleh tak kalau saya beri jawapan nanti aja?” soal Fatiya seketika kemudian. Tidak sanggup mahu berjanji apa-apa buat masa ini.
Fakhri mengangguk pula. “Abang tak paksa. Tia ambillah masa. Fikirkan.” Suara Fakhri kedengaran lembut.
“Abang sanggup tunggu biar berapa lama pun?”
Fakhri diam pula. Fatiya tersenyum sendiri. Hati bukan boleh dipaksa-paksa.
“Susah saya nak bagi jawapan. Saya rasa kita ni tak serasi pun,” ucap Fatiya. Fakhri diam lagi. Namun dia mengangguk sedikit.
“Insya-Allah saya akan fikirkan. Tapi saya tak mahu abang letakkan harapan tinggi,” ujar Fatiya lagi.
“Tak apa. apa pun keputusan Tia nanti, abang terima. Kalau ada jodoh kita, adalah.” Fakhri menjawab biasa.
Kata lelaki itu dia seorang yang blur. Tidak faham kiasan. Memang benar! Saat Fatiya meminta untuk pulang, dia sekadar mengangguk. Tidak langsung mengajak dia ke tempat lain. Nama aja dating. Tidak sampai dua jam, mereka sudah berpisah ikut haluan masing-masing. Fatiya sendiri tidak tahu mahu berbual apa jika lelaki itu jenis tidak banyak cakap. Sudahnya dia pulang saja.
Sambil memandu, Fatiya memikir sendiri. Tiada lain yang difikirkan melainkan lelaki itu. Agak aneh zaman sekarang masih ada lelaki yang kolot seperti Fakhri. Ah! Kalau lelaki macam Halim aku benci, lelaki macam Fakhri aku tak mahu.. lelaki persis apa lagi yang aku nakkan? Apa salahnya kalau aku beri dia peluang? Bisik hati Fatiya sendiri.
**********************************************
“DIA langsung tak ajak kau keluar dah lepas tu?”
“Tak. Dia mesej sekali sekala. Tanya khabar. Itu aja,” ucap Fatiya biasa.
“Wau. Kenapa dia macam tu?” balas Jiji hairan mendengar cerita tentang lelaki bernama Fakhri itu.
“Entah. Orang sekeliling kata dia tu pendiam. Plus blur. Plus kayu, batu. Semua adalah!” ujar Fatiya selamba. Tergelak Jiji mendengar kata-kata temannya itu.
“Kau ni, Tia. Kutuk-kutuk. Nanti sungguh dia jadi suami kau, baru tahu.”
Fatiya sekadar mencebik.
“Jadi kau masih belum ada kata putus?” Jiji memandang lagi temannya itu.
“Mak aku tu bising nak aku kahwin. Pening kepala aku,” ujar Fatiya sambil menghela nafas perlahan. Nasi di dalam pinggan dikuis perlahan tanpa berasa mahu menyuapnya lagi. Memikir soal ini kepalanya serabut benar.
“Memang patut pun mak kau bising. Kau tu anak perempuan seorang. Anak bongsu pulak tu,” jawab Jiji.
Fatiya sekadar membisu mendengar itu. Kemudian dia memandang Jiji. “Kalau kau, apa kau buat, Ji?” tanya Fatiya.
“Tia, dulu kau dah memilih sendiri. Tapi tak kesampaian. Kali ni apa kata kau ikut cakap orang tua. Mana tahu dialah jodoh kau yang kekal sampai akhir hayat.”
Sekali lagi Fatiya menghela nafas.
“Istikharah, Tia. Kan Allah itu pemilik jawapannya? Tanyalah pada Allah. Selagi lelaki tu berpegang kepada agama, tak ada apa yang perlu kita risaukan. Asalkan jangan penagih dadah, kaki pukul bini atau kaki judi. Kadang, kita cari yang serasi dengan jiwa. Tapi yang itulah makan jiwa kita balik. Seseorang itu takkan datang begitu sahaja jika bukan ada sebab, kan?” ujar Jiji lagi.
Fatiya sekadar mengangguk.
*************************************************
PAGI itu ketika mahu ke pejabat, Fateya terkandas di rumah. Kereta tidak dapat dihidupkan. Mahu tidak mahu dia menebalkan muka meminta tolong suami kepada jiran sebelah. Lelaki itu datang memeriksa enjin.
“Ini bateri dah kong. Kena jump start,” ujar Irfan sambil memandang bateri.
“Macam mana?”
Lelaki itu mendecit seketika. “Saya tak ada kabel. Kalau tidak boleh tolong start dari kereta saya,” ujar Irfan.
Fateya terdiam. Bagaimana mahu ke pejabat kalau kereta meragam. Di kawasan rumahnya bukan senang mendapat perhidmatan teksi. Bas lagilah jauh! Menumpang orang. Memang taklah!
“Cuba call member lelaki. Mana tahu ada?”
Fateya diam. Siapa kawan lelaki yang rapat dengannya? Tiada! Segan pula mahu memanggil rakan sepejabat ke sini. Setahunya masing-masing tinggal jauh dari kawasan rumahnya.
“Saya cuba call,” ujar Fatiya akhirnya.
“Saya masuk dulu ya? Nak pergi ofis sekejap lagi,” ujar Irfan.
Tinggallah Fatiya sendirian di situ dengan masalah yang masih belum selesai. Beberapa mesej dihantar. Kebanyakannya tidak berbalas. Malah kepada abangnya juga tidak berbalas. Balasan yang didapatinya pun tidak menggembirakan. Sudahnya Fatiya memberanikan diri memanggil Fakhri.
“Kenapa dengan kereta?”
“Tak hidup. Bateri kong. Abang boleh tolong saya tak?”
“Tia nak abang datang sana?”
“Kalau boleh.” Fatiya menyambut pantas.
Fakhri diam seketika.
“Kalau tak boleh tak apalah. Tia panggil ayah aja,” ujar Fatiya.
“Boleh. Tia tunggu sana. Abang datang,” ujar Fakhri pantas.
“Okay.”
 Sementara menunggu Fakhri, Fatiya lepak di ruang tamu rumahnya. Lebih setengah jam dia menunggu barulah Fakhri tiba. Namun dia terkejut besar melihat Fakhri datang menaiki superbike.
“Mari abang hantar ke ofis dulu. Dah lambat ni. Jalan dah sesak,” ucap Fakhri.
Fatiya terpaku. Tidak pernah seumur hidupnya membonceng superbike. Apatah lagi dengan lelaki.
“Mari lekas. Kereta Tia nanti abang uruskan,” ucap Fakhri tanpa riak di wajah.
Serba salah. Malu. Namun dia akur juga mengenangkan sudah tiada pilihan lain. Menggigil kakinya saat memanjat naik ke atas motor itu.
“Pegang abang. Nanti jatuh,” arah Fakhri sebelum menggerakkan motor pergi.
Pegang beralas, tak apa kut. Aku bukannya peluk dia, bisik hati Fatiya sendiri. Baju lelaki itu dikepitnya. Sudahnya dia tegak di belakang Fakhri. Takut berlaga. Kecut perut tak usah ceritalah. Namun perjalanan ke pejabat menjadi lebih pantas dengan kenderaan itu.
Bukan main lagi mata-mata memandang saat Fatiya turun dari motor itu setelah Fakhri memberhentikan motor itu di hadapan lobi. Malu semacam.
“Petang nanti abang ambil Tia ya? Bagi kunci kereta pada abang. Abang tengokkan kereta Tia.”
Fatiya menyelok beg tangannya lalu kunci kereta diberikan kepada Fakhri.
“Terima kasih, bang.”
“Sama-sama.” Dan lelaki itu terus menggerakkan motornya pergi. Terkebil-kebil Fateya memandang sehingga bayang Fakhri menghilang.
Di atas dia bercerita tentang apa yang berlaku kepada Jiji. Tergelak besar Jiji.
“Dia boleh blah macam tu aja. Tak ada ucap apa-apa kat aku.”
“Kau nak dia cakap apa? I love you?”
“Tak adalah. Cakaplah, jalan elok-elok ke? Tak pun tanyalah aku dah sarapan ke belum. Nak sarapan di mana. Tanda prihatin, kan? Dia menonong pergi. Aku tak habis bercakap, dia dah jalan,” omel Fateya.
“Kau ni, Tia. Dia datang tolong kau tu pun dah mujur. Manja juga kau ni rupanya,” komen Jiji lantas menyambung tawa. Fatiya hanya mampu menggeleng.
At least, cakaplah apa-apa dengan aku. Dia cakap benda yang perlu aja.”
“Dah perangai dia macam tu. Mana boleh kita nak suruh dia berubah macam tu aja, Tia. Macam kau. Banyak cakap. Kalau dia tak suka, boleh kau ubah? Tak boleh, kan? Macam tu jugaklah dia.”
Fatiya terdiam pula. Ia tak ia juga. Sudahnya dia menghela nafas perlahan.
Jam sebelas pagi itu, Fakhri memberi mesej kepadanya.
+Kereta dah ok.
Tersenyum Fateya membaca sebaris ayat pendek itu.
-Tq, abang! Nanti saya belanja abang makan ya? Berapa RM? Saya bayar semula pada abang petang nanti. Baik abang ni ya? Nasib baik abang sudi tolong saya.
Hampir lima belas minit dia menunggu balasan dari Fakhri. Saat terdengar nada menandakan mesej masuk ke telefon, laju tangannya membalas. Namun keningnya berkerut melihat jawapan Fakhri.
+Sama2.
Telefon itu pantas dipicitnya geram.

“Aku taip panjang-panjang, dia jawab sama-sama. Itu aja! Tak guna muka handsome kalau dalam mulut tu ada batu!” getusnya geram.