Sabtu, 9 Januari 2016

BAB 20-21 DIA, LELAKI BERHANTU?

Bab 20
BARU mahu berehat, ada orang memetik loceng di hadapan pintu. Aku sangka Julia. Namun setelah diintai, rupanya Zackery. Macam mana dia tahu aku ada di bilik ini? Namun aku segera membuka pintu.
“Kenapa abang datang sini?” soalku sedikit meninggi. Tidak gemar sungguh dengan kehadirannya. Aku mahu berehat. Aku tidak ingin sebarang gangguan apatah lagi daripada lelaki ini.
“Abang nak jumpa Hana. Boleh abang masuk?” jawabnya perlahan sahaja.
“Abang nak apa lagi ni? Baliklah! Hana nak rehatlah. Hana penat!” tegasku benar-benar tidak senang mahu melayannya.
Zackery terdiam menelan nada kasarku. Namun aku sempat melihat dia menghela sedikit keluhan. Namun aku sedikit tidak peduli lagi dengan apa sahaja perasaan yang sedang dirasainya saat itu. Biarlah!
“Baliklah, bang. Takde sebab kita nak jumpa lagi,” ujarku mula merendahkan nada.
“Sampai bila Hana nak buat abang macam ni?”
“Sampai bila?” tanya ku lantas aku ketawa kecil.
“Soalan yang tak seharusnya ditanyakan lagi. Takde maknanya semua perhatian abang pada Hana sekarang! Dah lepaskan kemudian cari semua. Nak buat apa?” jawabku sinis. Tanpa mempedulikannya aku terus masuk semula ke dalam.
“Hana! Kenapa Hana layan abang macam ni?” soal Zackery sambil menarik lenganku. Namun aku pantas menolaknya.
“Abang nak apa lagi ni??”
“Abang nak kita berbincang baik-baik. Kenapa asyik marah abang aja ni?” tukas Zackery. Dia pula mula hilang sabar denganku.
“Hana tak nak bincang apa-apa lagi dengan abang. Sebaiknya kita selesaikan masalah kita di mahkamah aja nanti. Hana pun tak mahu masalah ni terus tergantung begini. Abang baliklah! Hana takkan ajak abang masuk sebab kita bukan lagi macam dulu.”
“Kita bukan lagi macam dulu?” soal Zackery sedikit aneh.
“Ya! Kita dah lama berpisah kalau abang dah lupa. Walaupun Hana ni cuma seorang isteri yang bodoh bagi abang. Tapi jangan layan Hana seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku sebelum ni. Cukuplah! Abang dah terlalu banyak melukakan hati Hana. Betul cakap abang dulu. Hana takkan bahagia dengan abang. Kebahagiaan Hana takde dengan abang. Jadi pergilah! Jangan datang lagi,” balasku bersungguh.
“Hana, abang minta maaf. Abang menyesal dengan apa yang berlaku,” luah Zackery sayu. Jemariku cuba diraihnya. Namun aku lebih cepat menepis tangannya.
“Sesal abang dah tak ada gunanya lagi. Hati Hana dah lama mati untuk abang.”
“Jangan macam tu. Bagi abang masuk sekejap? Kita berbual?”
“Tolonglah! Hana penat sekarang, bang.”
“Mana pergi cincin? Kenapa cincin tu dah tak ada?” tanya Zackery lagi.
“Kenapa?” aku lantas tertawa mendengar pertanyaan yang teramat bodoh pada pendengaranku.
“Tak banyak yang Hana minta dari abang. Cuma beri Hana satu sebab kenapa perlu cincin tu ada lagi di jari ni lepas abang ceraikan Hana dulu?” cabarku sedikit lantang kepadanya.
“Apa dia?” wajah Zackery terus berubah mendengar kata-kataku. Jelas sekali dia amat terkejut dengan kenyataan itu. Lenganku ditariknya sehingga aku terdorong ke arahnya.
“Cakap sekali lagi. Abang tak berapa dengar tadi. Siapa yang ceraikan Hana?” soal Zackery agak keras.
“Lepaslah! Sakit!” bentakku lantas merentap semula tangan darinya.
“Abang tak faham apa yang Hana cakap tadi!”
“Tak faham? Apa pulak yang dah merasuk abang ni? Pak Kiyai tu tak ubatkan abang betul-betul agaknya sampai abang tak faham apa yang abang sendiri buat!” tegasku sedikit pun tidak percaya dengannya.
“Abang betul-betul tak faham! Jangan mempersendakan abang macam ni! Abang masih suami Hana tau!!” tengking Zackery dengan mata membulat.
Aku mula terkedu melihatnya. Bukan kelantangan suaranya yang membuatkan aku terkedu. Tetapi kesungguhannya menegaskan yang dia masih suamiku telah membuatkan aku merasakan ada yang tidak kena saat ini.
“Apa semua ni? Hana keluar dari rumah, abang langsung tak tahu. Hana ke Dubai pun tak pernah minta izin abang. Apa semua ni?” soal Zackery dengan renungan tajam.
“Masuklah. Hana akan jelaskan pada abang.” Aku mengalah akhirnya. Mungkin inilah masanya untuk kami selesaikan masalah itu.
Zackery akur. Dia terus masuk ke kamar itu sebelum aku menutup pintu.
“Hana boleh duduk dengan abang, kalau tak selesa kat sini,” ujar Zackery sambil memandang sekeliling.
“Tak apa. Bilik dah cukup selesa. Duduklah. Hana ambilkan air sekejap,” ujarku lembut. Zackery terus mengambil tempat di sofa, sementara aku terus mengambil minuman untuknya. Dengan dua mug, aku mendekatinya.
“Sorry. Tak ada apa-apa nak hidang,” ujarku biasa.
“Tak apa. Pasal tadi tu. Apa maksud Hana?”
“Hana dapat surat dari abang waktu abang masih di Kunak dulu. Surat tu menyatakan yang abang ceraikan Hana. Surat tu dari abang. Ada nama abang dan tandatangan abang sekali,” ujarku perlahan sahaja.
“Mana surat tu?”
Aku pantas bangun. Beg pakaianku bongkar. Satu fail yang terselit di dalam beg itu aku ambil. Satu persatu isi kandungannya aku selak sehingga ketemu semula surat yang sudah lama tersimpan di dalam situ.
“Tolong jangan koyakkan. Setakat ni itu aja yang Hana ada untuk dibawa ke mahkamah nanti,” ucapku saat surat itu aku serahkan kepadanya.
“Macam yakin sangat abang nak bawa hal ni ke mahkamah,” balas Zackery sedikit sinis.
Menyirap darahku mendengar kata-kata Zackery. “Abang nak main-main, sekarang bukan masanya. Abang tak mahu uruskan surat cerai. Hana yang buat nanti!”
Zackery mula menghela nafas panjang. Geram dengan aku agaknya. Peduli apa aku!
Namun setelah kertas di dalam itu dikeluarkannya, Zackery terpaku. Kertas itu dibalikkannya berkali-kali. Aku sekadar memandang perbuatannya. Kemudian Zackery mula membaca apa yang tertulis di kertas itu. Lama dia tunduk merenung satu persatu perkataan yang tertera. Keningnya berkerut sendiri.
“Abang tak tahu siapa yang tulis ni.”
Aku ketawa sinis. “Ialah. Tulisan abang. Tandatangan abang. Sekarang abang kata abang tak tahu siapa yang tulis.”
Zackery tunduk memicit dahinya. Kemudian pelipisnya digaru perlahan. Macam tidak jemu membaca surat itu.
“Kalau macam ni punya lakaran, abang dah boleh jadi penulis novel ni. Puitis betul kata-kata. Kecuali yang part cerai tulah,” ujar Zackery perlahan.
“Jangan main-main boleh tak? Abang rasa ini joke. Tapi hidup Hana musnah kerana sekeping kertas tu.”
Pantas Zackery memandangku.
“Seumur hidup abang, abang tak pernah kirim surat pada orang. Tak pernah! Abang tak suka menulis. Hana tahu tentang itu? Tulis tangan. Abang tak suka. Abang malas,” ujar Zackery bersungguh.
“Jadi siapa yang tulis tu? Tanda tangan siapa kat bawah tu? Hantu? Kebetulan pulak tulisan tu sama, kan?” perliku pantas.
Zackery diam lagi.
“Hana ingat lagi. Berapa kali abang minta maaf sebab abang selalu buat perkara yang menyakitkan hati Hana. Tapi abang tak sedar pun abang ada buat. Mungkin surat tu salah satu daripadanya. Abang tak sedar tertulis surat cerai pada Hana. Logik, kan?” balasku.
Zackery diam pula. Agaknya dia pun dah keliru.
“Pandai pulak hantu tu bagi surat cerai ya? Tak pernah jejak dalam otak abang ni bagi surat pada orang. Rajin pulak abang tulis panjang-panjang macam ni,” Zackery seolah bercakap sendiri. Kemudian dia menggaru kepalanya.
Seketika kemudian dia melepaskan keluhan. “Hantu ni tak berapa kenal abang sebenarnya. Dah kantoi dah hantu mana yang buat ni. Dasar hantu betul!”
“Apa abang merepek ni??” getusku geram dengan gelagatnya.
Zackery diam pula. Surat itu dilipatnya. “Kita buat report polis ya?” ajak Zackery.
“Untuk?” keningku berkerut merenung wajah Zackery.
“Bukan abang yang tulis ni. Hana fikir abang sebodoh itu. Ceraikan isteri yang dah banyak berkorban untuk abang? Setiap saat abang hanya fikir nak kembali pada Hana. Kenapa mesti abang ceraikan Hana?” tegas Zackery bersungguh.
“Entah. Hana tak tahu. Hana tak berani nak percaya abang lagi.”
“Hana..” pantas Zackery bangun mendekatiku.
“Kalau semua tu tak benar kenapa waktu kat cafe tadi abang tanya Hana dah ada pengganti ke belum? Seolah-olah kita memang dah takde apa-apa hubungan selama ni!” ucapku tanpa sempat Zackery berkata apa-apa.
“Abang tanya begitu sebab kita dah lama berjauhan. Hana tak pernah hubungi abang biarpun sekali! Dan abang sendiri tak tahu macam mana nak hubungi Hana. Tak ada siapa nak beritahu pada abang apa sebenarnya yang dah berlaku. Mak Hana marahkan abang. Abang tak tahu apa salah abang. Abang nak tahu adakah perkahwinan ni masih ada maknanya pada Hana atau Hana dah ada orang lain yang jauh lebih dari abang. Itu sebabnya abang bertanya begitu. Abang tak memaksudkan yang Hana ni bukan lagi isteri abang. Demi Tuhan abang tak pernah ceraikan Hana selama ini!” luah Zackery bersungguh.
Aku terus terdiam. Betapa saat ini ada satu kekusutan yang semakin membuatkan aku semakin tidak mengerti. Apa maknanya semua ini? Kalau bukan dia yang memberi surat itu, siapa lagi? Tiba-tiba aku teringatkan mama. Namun tidak tergamak pula aku mahu menuduh mama.
“Hana, abang tak tahu apa yang dah berlaku selama ini. Abang tak tahu apa sebabnya Hana tergamak tinggalkan abang. Abang balik ke sini tapi Hana dah takde. Abang macam orang gila cari Hana. Tapi abang tetap mahu menunggu Hana kembali semula pada abang. Abang tak pernah putus asa,” luah Zackery tatkala aku berdiam melayan perasaan sendiri.
“Tak! Abang jangan bermimpi di siang hari lagi, bang. Terlalu banyak rintangan di hadapan kita sekarang ini. Ada orang tak suka tengok Hana bersama abang. Hana tahu abang semestinya tahu siapa yang Hana maksudkan sekarang ni. Kalau surat tu palsu tapi apa yang Hana katakan pada abang sekarang ni bukan palsu. Ini benar belaka. Hana dah tak sanggup lagi, bang. Cukuplah dengan segala yang pernah ada. Kita pernah berjanji dulu. Hana hanya mengahwini abang untuk menjaga abang selagi abang sakit. Sekarang abang dah sihat. Tak ada sebab untuk kita teruskan perkahwinan ni lagi,” ujar ku perlahan.
“Takde sebab? Kenapa hanya abang aja yang merasakan ada berjuta sebab yang menanti kita untuk kita tunaikan apa yang tergantung semenjak dulu? Takkan semudah itu abang nak lepaskan Hana selepas apa yang berlaku selama ini?” balas Zackery meninggi.
Aku menghela nafas perlahan. Cawan nescafe di hadapan segera aku capai lalu aku dekatkan ke bibir. Perlahan buih-buih keperangan di atasnya aku hirup.
“Sayang, jangan buat abang macam ni. Abang tahu dah banyak abang lukai hati Hana selama ni. Tapi abang masih perlukan Hana dalam hidup abang,” pujuk Zackery lembut.
“Sampai bila abang perlukan Hana?” balasku sedikit sinis.
“Hana, abang tak bermaksud nak buang Hana!”
“Ia?” balasku lantas menoleh kepadanya.
“Jujurlah pada diri abang sendiri. Kalau surat tu bukan abang yang tulis, sebelum itu abang memang pernah berniat mahu menjauhkan diri dari Hana, kan?” selarku.
“Apa Hana cakap ni??” tekan Zackery benar-benar tidak senang dengan tuduhanku.
“Perkahwinan ni hanya tentang abang saja, kan? Bila abang mahu abang ambil Hana. Bila rasa tak perlu, abang singkirkan! Sekarang bila dah terasa menyesal abang datang lagi. Hana buat segalanya sebab terlalu sayangkan abang. Hana tak kisah kemarahan mak pada Hana. Mak tak setuju Hana kahwin dengan abang. Hana tak peduli dengan perangai mama dan papa abang yang tak pernah membantu meringankan kesusahan Hana. Hana pekakkan telinga pada setiap kemarahan abang. Semuanya sebab sayang! Tapi sikit saja kekurangan yang ada, abang lumpuh, abang tak mampu berfungsi sebagai lelaki sejati. Abang tak mampu keluar mencari rezeki macam suami-suami yang lain.Hanya sebab itu abang putuskan untuk jauhkan diri dari Hana. Abang katakan pada Hana yang abang perlukan masa untuk diri abang sendiri. Hana tak pernah wujud dalam hidup abang selama ini, kan? Kalau tidak, abang akan sedar betapa sesaat pun Hana tak mahu berjauhan dari abang baik dalam keadaan abang sakit apatah lagi dalam keadaan abang sihat. Tetapi kisah hidup ni, perkahwinan ini hanya tentang abang! Tentang kesakitan abang! Penderitaan abang! Tentang kekurangan abang sebagai suami! Semuanya tentang abang. Jadi keputusan juga di tangan abang. Termasuk jugalah tentang kebahagiaan Hana yang abang tentukan ada di luar sana. Semuanya abang yang putuskan.  Ini semua hanya tentang abang!”
“Sayang, bukan macam tu..”
“Kalau apa yang Hana katakan tadi salah, kenapa Hana jadi macam ni? Abang rasa sekadar kerana selembar surat tu, Hana akan pergi begitu saja sebelum Hana berjumpa untuk bertanya dengan abang sendiri? Abang lupa ke, abang tak tahu Hana di mana. Tapi Hana tahu di mana nak cari abang,” tempelakku sebelum sempat Zackery menghabiskan kata. Zackery terus kelu. Pandangannya segera dikalihkan. Tidak sanggup mahu memandang aku lagi.
“Hana macam orang tak ada harga diri. Bila diperlukan diambil. Bila rasa tak mahu, abang suruh Hana pergi jauh dari hidup abang. Tapi sekarang kenapa abang bersusah payah datang cari Hana semula? Datang untuk menuntut makna perkahwinan ini. Sedangkan bagi Hana semua tu dah jauh ditinggalkan, bang. Soalan abang tadi, sampai bila Hana akan begini? Sekarang Hana nak kembalikan soalan itu pada abang. Sampai bila Hana akan terus diletakkan di tempat terakhir dalam hidup abang? Sebab Hana dah letih sangat. Abang fikir hanya abang yang menderita selama ni? Abang fikir dengan menjauhkan diri dari abang kebahagiaan Hana boleh dikembalikan semula? Bila abang nampak Hana masih sendiri begini, abang datang untuk mengutip semula perempuan yang masih belum bertemu dengan kebahagiaan ni. Hanya kerana kedua-dua kaki abang dah boleh digerakkan semula, abang tunjukkan pada Hana betapa murahnya simpati abang pada Hana. Abang fikir Hana akan berlari-lari ke dalam pelukan abang dengan penuh rasa terharu? Tak, bang! Hana tahu bila masanya abang sedar dan abang tak sedar apa yang abang buat. Selama abang sakit dulu sepanjang masa perempuan nilah yang menadah segala macam kesusahan menjaga abang! Hana tahu bukan kehendak abang begitu. Tapi kali terakhir kita berjumpa di rumah Pak Kiyai dulu, Hana tahu abang memang maksudkan kata-kata tu, kan? Abang sedar apa yang abang cakap! Kemudian abang berlakon konon-kononnya tak ingat. Abang ingat Hana buta ya?”
Zackery tunduk meraup wajahnya. Sepatah pun dia tidak mampu menjawab kata-kataku. Aku rasa dia sudah tahu, tidak semudah itu aku boleh diperbodohkan.
“Hati Hana dah lama terluka, bang. Kemuncaknya bila abang bohong pada Hana yang kononnya kaki abang mungkin lambat sembuh. Itu sahaja dah cukup buat Hana faham yang abang memang tak mahukan Hana lagi. Abang tak sudi menyambut harapan dari perempuan ni. Abang dah dapat apa yang abang perlukan. Jadi Hana tak perlu lagi ada dalam hidup abang. Abang jadikan setiap kekurangan abang sebagai tembok alasan supaya Hana memilih untuk berpisah dengan abang. Sampainya hati. Kalau betul dah tak mahu, pergilah. Jangan datang lagi. Hana pun ada perasaan!” ucapku dalam pada suara sudah mula menggigil menahan tangisan.
Zackery terus tunduk meramas rambutnya. Kepalanya digelengkan berkali-kali. Mungkin tidak sanggup mendengar lagi apa yang aku luahkan.
“Hana tak pernah menyesal kahwin dengan abang. Hana dah buat apa yang termampu. Semenjak dulu pun Hana tahu Hana tak boleh letakkan harapan. Hana tahu perempuan macam Hana tak ada harga di mata abang.”
“Cukuplah! Jangan cakap apa-apa lagi!” Zackery terus menoleh kepadaku. Matanya sedikit kemerahan memanah pandanganku.
“Hana nak abang lepaskan Hana. Biarkan Hana hidup sendiri.”
“Jangan, sayang!” Zackery pantas memegang kedua-dua belah tanganku. Dia cuba memelukku. Namun aku terus menolaknya. Kala itu tangisanku sudah pecah tidak terdaya untuk aku tahan lagi.
“Bertahun Hana simpan perasaan sayang pada abang. Hana buat segala-galanya untuk abang. Tapi penyudahnya abang minta Hana pergi jauh dari abang. Waktu tu abang tak fikir apa yang Hana rasa. Hidup Hana dah tak ada makna! Berbulan-bulan Hana menunggu. Sudahnya dapat surat cerai. Surat cerai! Aku memang tak pernah ada harga pada mata kau! Kenapa kau cari aku lagi???” bentakku dalam nada meninggi.
“Hana..” Zackery terus memelukku. Erat sehingga aku tidak mampu bergerak. Puas aku menolaknya tetapi pelukannya kian erat.
“Marahlah abang. Abang terima. Tapi abang takkan lepaskan Hana,” ucap Zackery perlahan.
“Kenapa kau buat aku macam ni??” rintihku. Semakin itu kesedihanku tidak tertahan. Zackery mula melepaskan pelukannya. Wajahku diusapnya lembut.
“Hana, dengar cakap abang. Dengar sini..” bisik lelaki itu perlahan. Aku menggeleng sambil menepis tangannya. Namun Zackery tetap memegang wajahku. Rautku dipandang dengan pandangan sayu. Aku tahu lelaki ini mahu menangis.
“Ya, memang betul abang sedar apa yang abang ucapkan waktu tu. Sebab abang dah tak tahan melihat perempuan yang abang sayang meraung setiap kali abang sakit. Hana tahu tak apa yang abang rasa waktu abang tak mampu bergerak selepas seluruh tubuh ni dah terkunci oleh jin. Mata abang ni memandang Hana menangis. Abang tahu Hana dah cukup menderita. Ingat tak malam tu? Kita makan bersama di bilik hotel tu. Abang rasa bahagia sangat dapat tengok Hana tersenyum. Tapi sesaat kemudian abang nampak Hana menangis. Abang tak mampu nak pujuk Hana. Esoknya, abang banyak berfikir. Abang tak tahu selama mana lagi abang akan terus menanggung dendam orang, Hana. Selama mana lagi abang perlu tatap air mata isteri abang. Abang minta Hana berikan abang masa. Tapi selepas tu abang rindu sangat. Abang tahu abang bersalah pada Hana. Pada diri abang sendiri. Cukuplah sekadar dengar suara Hana untuk ubatkan rindu. Abang tahu Hana kecil hati dengan abang. Abang cuba berlagak macam semua yang pernah abang ucapkan tu tak pernah berlaku. Tapi abang dengar isteri abang menangis lagi kerana abang.” Zackery tiba-tiba tunduk menekup wajahnya. Tersedu-sedu dia menangis sendirian.
Biarpun cuba kutahan, namun air mataku gugur lagi. Betapa payahnya untuk aku mencapai bahagia dalam perkahwinan ini. Biarpun kami pernah merasa derita, aku tetap bahagia ketika itu. Namun setelah itu semuanya dirampas begitu sahaja sehingga aku merasakan hidupku sudah terhenti.
Setelah agak lama kami berdua berdiam, Zackery kembali memandangku.
“Abang khilaf waktu tu, sayang. Abang tak sedar apa yang abang buat. Maafkan abang. Tanpa Hana, sihat begini pun hidup abang dah tak ada seri. Hidup abang jadi kosong. Baru abang tahu betapa mudahnya abang melukai hati seseorang. Tapi bukan mudah untuk mendapat semula kehidupan abang yang dulu biarpun dua kaki ni dah mampu bergerak semula. Sebab waktu tu Hana dah tak ada. Abang menangis setiap malam. Abang tahu Hana pergi kerana abang.” Zackery berkata lagi.
Aku hanya mampu mendengar dalam pada air mataku terus jatuh ke pipi.
“Sayang, abang datang bukan kerana simpati. Hana tahu tak. Ke mana sahaja abang pergi abang akan pandang sekeliling. Dengan harapan abang akan jumpa Hana semula. Abang pernah berjanji pada diri abang sendiri, kalau ditakdirkan abang berjumpa Hana semula abang akan beritahu Hana betapa istimewanya Hana di hati abang. Betapa sayangnya abang Hana. Sepanjang hidup abang, pertama kali abang berjumpa seorang perempuan yang mahu berkorban apa sahaja untuk abang. Semenjak kali pertama abang sedar abang jatuh cinta pada Hana, tempat untuk Hana dalam hati abang tak pernah abang letakkan sesiapa di situ sebelum ini. Macam mana abang mampu lepaskan seorang perempuan yang abang sayangi sepenuh hati? Macam mana tangan ni tergamak menulis surat sebegitu hanya untuk menyakitkan hati perempuan yang abang sayang?” ucap Zackery bersungguh. Aku lihat air mata lelaki itu jatuh lagi.
“Jadi siapa yang tulis surat tu kalau bukan abang? Takkanlah surat tu boleh ada sendiri?” soalku bersungguh.
Zackery mengambil kertas di atas meja itu semula. “Abang ada habit pelik sikit. Abang suka ubah signature. Hanya ada seorang yang tahu tandatangan ni. Untuk dokumen rasmi, tandatangan abang lain. Tapi signature ni hanya Aween seorang yang tahu.”
Aku memandang semula bahagian bawah kertas itu. Tertulis perkataan Andy di situ.
“Sebelum ni abang berkawan dengan Rebecca. Abang guna signature lain. Dengan Hana pun lain. M.Z Andrian. Ingat lagi? Nama itu hanya untuk Hana.”
“Oh. Dengan Rebecca nama apa?”
“Zack Ryan..”
“Dengan perempuan lain lagi? Ada berapa puluh perempuan lain lagi? Semuanya lain signature?” tanyaku. Zackery terus terdiam.
“Siapa lagi selain dari dua perempuan tu??” tekanku bersungguh.
“Mana ada ramai sangat. Dua tu ajalah kawan abang,” ucap Zackery perlahan.
“Ia ke?” balasku sinis.
“Itu dulu, sayang. Sekarang abang dah berubah,” pujuk Zackery sambil mencapai tanganku.
“Ialah sangat!” getusku lantas menepis tangannya. Tidak kusangka perempuan itulah yang menyebabkan hubungan aku dan Zackery porak peranda.
“Hana, maafkan abang. Abang tak mahu Hana pergi jauh dari abang lagi.”
Aku diam tidak menjawab. Memandang Zackery juga tidak. Aku takut. Sebelum ini dia pernah memberikan aku segala macam harapan. Seketika kemudian perasaanku dihempasnya dengan kekekecewaan. Aku sudah tidak berdaya menahan semua itu lagi.
“Abang takkan lepaskan Hana sampai mati! Hana kena ingat kata-kata abang ni. Ke mana pun Hana lari abang akan tetap jumpa Hana semula. Sebab abang tahu Hana memang hak abang,” ujar Zackery agak perlahan namun kedengaran serius.
Aku sempat memandang wajah Zackery. Lelaki itu terus merenungku. Spontan itu dia terus mengucup dahiku.
“Abang perlukan Hana,” bisik Zackery perlahan. Dia cuba mendekatkan wajahnya kepadaku. Namun aku lebih cepat menolaknya.
“Tolonglah!” desisku tidak senang.
“Abang tahu Hana masih tak percayakan abang. Bagi abang peluang. Abang akan buktikan yang abang tak main-main kali ni,” ujar Zackery bersungguh.
Aku sekadar memandangnya tanpa perasaan. Belum sempat aku menahan tubuhku kembali didakapnya. Buat sesaat dua aku hanya membiarkan dia berbuat apa sahaja yang dia suka. Namun seketika kemudian bibirnya sudah melekap di pipiku beberapa kali. Hampir sahaja mengenai hujung bibirku. Aku cuba mengelak. Namun sudahnya ke situ juga dia perginya. Cepat-cepat aku meronta mahu melepaskan diri.
“Dapat juga akhirnya..” ucap Zackery setelah pelukan dilepaskan. Aku terus memukul bahunya. Mukanya senang hati habis.
Zackery kembali membelek surat itu. Kemudian dimasukkan ke dalam sampulnya semula.
“Abang nak surat ni.”
“Tak boleh.”
“Tapi abang perlukan surat ni,” ucap Zackery bersungguh.
“Abang nak buat apa?”
Zackery tersenyum sedikit sambil membelek surat itu. “Cari jawapan tentang tulisan di atas kertas ni,” jawabnya perlahan.
“Abang nak tanya Aween ke?”
“Tak. Takkanlah dia nak mengaku. Kita buat report polis. Sekurang-kurangnya Hana akan tahu itu bukan dari tangan abang. Tulisan ni nampak macam sama. Tapi tak sama. Abang tahu Hana masih tak percayakan abang, kan? Jadi biar pihak lain yang sahkan ini memang bukan abang yang tulis,” balas Zackery membuatkan aku terdiam.
Zackery kembali merapatkan tubuhnya kepadaku. Jemariku diambilnya lalu dibawa ke bibirnya.
“Jangan lari dari abang lagi ya?” ucap Zackery perlahan.
Aku sekadar diam tanpa memberikan sebarang jawapan.
“Dengar tak?”
Aku sekadar memandangnya tanpa menjawab. Zackery merenungku lunak. Daguku dipegangnya. Pada mulanya aku sekadar membiarkan. Namun saat ibu jarinya mula membelai bibirku, aku pantas menepis tangannya.
“Janganlah!”
“Dah lama abang perasan yang bibir tu seksi.”
Malas mahu melayannya aku segera bangun.
“Nak pergi mana?” tanya Zackery lantas mencapai tanganku.
“Kata nak pergi buat report? Hari ni ajalah yang Hana ada masa. Esok Hana kena berkerja kat bawah tu.”
“Okay. Lepas tu kita pergi jalan-jalan ya? Sempena abang dah boleh berjalan.” Zackery berkata sambil mengucup tanganku sekali.
“Sengal!” desisku sebelum berlalu.



BAB 21
PETANG itu setelah selesai urusan di balai polis, Zackery mengajak aku berjalan-jalan di Pavillion. Kami berjalan menghabiskan masa menonton wayang. Aku bukannya gemar benar menonton wayang. Tapi bila ada teman, seronok pula rasanya. Sudahnya dua tayangan kami tonton bersama. Kemudian membeli belah pula. Sedar tidak sedar, kompleks membeli belah itu sudah hampir tamat operasi perniagaan, kami masih lagi di dalam situ.
Aku sangka Zackery akan terus menghantarku pulang. Namun tidak. Dia membawa aku bersiar-siar di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Seronok juga melihat kesibukan manusia berhibur tengah malam. Masing-masing dengan cara masing-masing. Ada yang melepak bersama kawan-kawan di kedai mamak sambil menonton bola. Dan ada juga yang mengunjungi kelab malam.
Namun anehnya Zackery memberhentikan keretanya di sebuah kelab malam.
“Kenapa kita ke sini?” soalku benar-benar tidak senang.
“Tunggu kejap,” ujarnya sambil memandang ke arah segerombolan manusia sedang beratur di hadapan pintu masuk. Walaupun tidak tahu apa yang sedang dilakukan Zackery, aku ikut memandang sekeliling.
“Macam kenal aja minah tu?”
“Mana?” tanya Zackery.
“Tu.” Aku terus menunding ke cermin hadapan kereta. Kelibat seorang wanita memakai dress pendek sedang berjalan sambil memaut lengan seorang lelaki mat salih ke arah kelab malam itu. Zackery sekadar memandang sehingga wanita itu menghilang. Kemudian dia menggerakkan keretanya pergi.
“Abang tengok apa tadi?” tanyaku benar-benar tidak faham apa yang dilakukan Zackery.
“Tak ada apa. Saja aja,” ujar Zackery selamba.
“Abang tunggu Aween ya?” telahku masih tidak puas hati.
Zackery diam pula. Kemudian dia menoleh ke arahku. “Kita pergi supper?” ajaknya lembut.
“Bolehlah.”
Zackery tersenyum sambil mencapai jemariku. Namun aku pantas menarik semula darinya.
“Abang tak jawab lagi soalan Hana. Kenapa kita pergi situ tadi?”
“Saja aja mengimbau kenangan lama. Dulu abang selalu lepak situ,” jawab Zackery selamba.
“Teringin nak jengah tempat tu semula ke?” balasku pantas. Menyampah pula mendengar kata-katanya. Macam bangga aja dulu selalu lepak di situ.
Zackery diam sambil terus memandu. Kemudian kereta diberhentikan di sebuah restoran.
“Kat sini ya? Tak ramai sangat orang,” ajak Zackery.
Aku sekadar mengangguk. Di dalam restoran itu kami duduk agak jauh dari orang ramai. Seperti mana tadi, dia tidak banyak cakap. Asyik memandang ke luar. Aku pula ralik membelek mesej dari Julia. Kemudian telefon aku letakkan di atas meja. Terpandangkan telefon milik Zackery, aku meminta izin untuk melihatnya. Zackery sekadar memandang sekilas aku mengambil telefonnya.
“Macam mana nak buka ni?” tanyaku sambil mengunjukkan telefon itu kepadanya. Telefon itu dikunci dengan kata kekunci.
“Raihana,” balas Zackery sepatah.
“Passwordnya Raihana ke?” tanyaku sekali lagi. Zackery sekadar mengangguk.
Aku sempat memandang lelaki itu sebelum cuba menaip namaku di petak yang tersedia. Sekelip mata kuncinya dinyahkan. Puas aku belek telefon itu. Bukannya luar biasa benar telefon itu berbanding telefon milikku. Namun aku mencari sesuatu. aku menekan lambang facebook yang tertera di skrin. Sekejap sahaja akaun itu tertera di skrin.
“M.Z Andrian ya?” perliku sambil mengerlingnya.
Zackery pantas memandangku. “Hana tengok apa? Bak sini..”
“Hana nak tahu siapa yang selalu mesej Hana dulu. Nama dah tukar. Tapi mesej dalam chat box ni tak padam pun. Kantoilah. Dia rupanya pemburu novel cinta tu,” ejekku sambil memandangnya dengan pandangan mengecil.
“Kalau abang berterus terang mesti Hana tak mahu layan abang,” ujar Zackery lembut.
“Betul,” sambutku pantas. Memang kalau aku tahu itu dia, memang tidak akan layan mesejnya.
Aku kembali memandang telefonnya. Aplikasi WhatsApp pula kuintai. Aku tertarik saat terpandangkan nama mamanya berada di kedudukan teratas sekali dalam deretan nama yang lain. Pantas aku tekan nama itu. Aku terpaku memerhatikan perbualan antara Zackery dan ibunya.
+Mlm ni jgn lupa dinner dengan Aween.
-Yes, mdm!
Mesej itu berlangsung siang tadi. Aku tolak skrin itu ke atas untuk melihat perbualan seterusnya. Zackery pula masih tidak sedar aku sedang memeriksa mesej itu.
Lupakan dia. Mama nak Zack teruskan dengan Aween. Balik rumah!
Dan jawapan Zackery benar-benar mengejutkan aku. Dia menjawab ‘ya’ kepada ibunya. Dadaku terasa nyilu entah kenapa. Tangan menggigil saat menolak lagi skrin itu. Aku terpandangkan pebualan lain antara Zackery dan mama.
+Kenapa tak pergi jumpa Aween? Dia marah dengan mama. Zack ni memang melampaulah! Mama malu!
-That’s your problem la, ma. Janganlah seksa Zack macam ni!
+Zack suka tengok keluarga kita musnah?? Sekali ni aja mama minta Zack fikir baik-baik. Mama buat semua ni utk kebaikan kita.
-Mama yang buat silap. Kenapa Zack yang kena tebus kesalahan mama?? Mana boleh tahan macam ni! Ingat orang ni patung ke?
+Sorry? Mama aja yang buat silap? Zack tak ke?
-Yes!! Memang Zack pun pernah main-mainkan dia. Dah tahu yang dia tu dah macam ratu setan. Lagi nak dekat dengan dia. Masuk akal ke?
+Zack anak mama. Siapa lagi yg mama nak harapkan? Hanya zack aja yang boleh betulkan keadaan ni. Mama tak mahu perempuan tu ada lagi dalam keluarga kita. Dia dah tinggalkan Zack. Enough is enough!
-Lebih baik matilah kalau macam ni!!
+Zackery!!!
Dan perbualan itu terputus di situ. Aku membaca seperenggan perbualan itu berkali-kali. Akukah yang mama pinta Zackery lupuskan dari hidup mereka? Siapa lagi kalau bukan aku. Telefon itu aku letakkan semula di atas meja. Zackery menoleh kepadaku.
“Kenapa, sayang?” tanya Zackery hairan melihat aku memandangnya lain macam.
“Abang nak tahu sesuatu? Semenjak abang berada di Kunak dulu, Hana perasan mama macam tak berapa senang dengan Hana. Tak tahu apa sebabnya,” ujarku.
“Maksud Hana?”
“Jangan berlakon lagi, bang. Abang tahu tentang itu, kan?” balasku dengan sedikit senyuman pahit.
“Taklah. Mama tu okay aja,” jawab Zackery biasa.
“Ia?” aku sengaja mengerling telefonnya itu. Zackery sedikit terpinga sebelum dia mengambil semula telefonnya. Setelah dibuka semula, dia terpaku. Aku sengaja membiarkan perbualan Zackery dan mamanya terbiar di muka hadapan agar dia tahu aku sudah membaca mesej itu.
“Kita bincang balik nanti ya?” ucap Zackery sambil menghela nafas panjang. Aku nampak dia sudah mula resah. Aku sekadar akur dengan permintaannya. Lebih elok kalau kami berbincang di tempat tertutup.
Sepanjang masa itu kami tidak banyak berbual. Seleraku pula benar-benar terencat. Fikiranku ralik berfikir sendiri. Zackery segera mengajak aku beredar tidak lama setelah itu.
Sepanjang di dalam kereta kami membisu. Langsung tiada perbualan melainkan aku terdengar keluhan Zackery berkali-kali. Aku sekadar bersandar memandang ke luar. Setiba di hotel semula, Zackery mengekoriku naik ke kamar.
“Hana..” panggil lelaki itu setelah pintu kamar ditutup.
“Pasal mama, abang minta maaf sebab tak berterus terang.”
“Saja nak bagi harapan palsu ke?”
“Bukan macam tu. Jangan tuduh abang macam tu, sayang. Abang tak sampai hati.”
Aku menggeleng kesal dengan alasannya. Tidak sampai hati. Dia lebih sampai hati melihat aku hidup dalam ketidakpastian.
“Jadi antara mama dan Aween, siapa sebenarnya yang hantar surat tu?”
“Sebelum ni abang tak tahu nak agak siapa lagi selain mama. Dulu waktu abang baru balik, mama cerita macam-macam pasal Hana pada abang. Tapi abang tak percaya. Abang tahu Hana bukan macam tu. Jadi abang diam aja,” jawab Zackery perlahan.
Kata-kata Zackery membuatkan keningku berkerut. “Apa yang mama cerita pada abang?”
“Tak penting semua tu, sayang. Apa yang penting abang tahu Hana bukan seperti yang mama ceritakan tu,” sambut Zackery lembut.
Aku terdiam memandang Zackery. Zackery agak emaknya ada terlibat sama. Aku juga begitu. Dahulu aku sebenarnya dapat lihat pandangan tidak senang mama kepadaku. Daripada pandangan mama itu aku seperti dapat mengagak yang wanita itu macam tidak mahu aku menjadi menantunya lagi. Tapi aku tidak sangka rupanya wanita itu sanggup menjadi talam dua muka.
“Baguslah. Mama abang tak suka Hana. Jadi buat apa kita nak teruskan semua ni lagi,” jawabku akhirnya.
“Sayang, takde siapa yang boleh paksa abang ceraikan isteri abang! Cukup! Abang tak mahu Hana fikir yang bukan-bukan. Hal yang lain tu serahkan pada abang. Biar abang yang selesaikan masalah tu,” tegas Zackery mula menaikkan suaranya.
“Semudah itu? Mama tu mak kandung abang. Syurga anak lelaki tetap di bawah telapak kaki ibu. Hari ni abang bolehlah cakap macam ni. Esok bila mama dah guna kuasa veto dia. Hana tetap kena pergi juga, kan? Waktu tu Hana tak tahulah apa akan jadi pada Hana,” ucapku lantas ketawa kecil.
“Pandang abang..” pinta Zackery lantas menarik aku ke arahnya. Aku hanya akur tanpa perasaan.
“Abang tahu apa yang perlu abang buat, sayang. Abang takkan biarkan sesiapa apa-apakan perempuan yang abang sayang termasuklah mak abang sendiri! Hana kena letakkan kepercayaan tu pada abang. Tanggungjawab abang lindungi isteri abang. Bukannya biarkan dia dianiaya oleh mak abang. Abang tahu apa yang sedang berlaku di sekeliling abang. Hana ingat abang datang sini macam tu aja? Abang dah lama tahu mama memang cuba nak pisahkan kita. Abang dah lama sedar yang mama hanya mempergunakan Hana untuk kepentingan sendiri. Tapi abang tak sekejam itu, sayang. Abang perlukan Hana. Sampai abang mati nanti pun Hana tetap isteri abang!” ucap Zackery bersungguh.
Aku terdiam mendengar kata-kata Zackery. Jadi memang betullah mama memang bencikan aku dalam diam. Dia sebenarnya tidak ingin aku terus menjadi isteri Zackery. Patutkah aku berpaut kepada lelaki ini jika aku sendiri sudah lihat betapa besarnya halangan yang ada di hadapan mata? Selama mana Zackery mampu melindungi aku?
“Hana tak tahu, bang. Hana takut,” jawabku sambil menggeleng sendiri.
“Sayang, abang ada. Apa yang Hana nak takutkan? Abang takkan biarkan Hana seorang diri,” pujuk Zackery cukup lembut.
“Hari ni abang bolehlah cakap macam ni. Esok lusa? Hana takut bila abang dah bagi Hana harapan, abang pergi tinggalkan Hana. Hana tak sanggup!” keluhku tetap tidak mampu mempercayai kata-kata yang aku anggap mudah untuk ditukar. Semuanya percuma! Boleh direka dalam seminit.
Zackery menghela nafas perlahan mendengar itu. “Takkan Hana nak biarkan rumahtangga kita musnah angkara orang lain?”
“Tapi dia tu mak abang. Bukannya orang luar yang senang-senang boleh dilawan,” balasku sedikit meninggi. Zackery terdiam menelan liur sambil memandangku.
“Takkan abang tak nampak apa yang Hana nampak sekarang? Hana pernah dengar dengan telinga Hana sendiri. Mama tu memang berkenankan Aweena sebab family abang dengan dia setaraf! Sama-sama kaya. Banyak kelebihan yang boleh dikongsi sekiranya dua keluarga ni bersatu. Apalah yang ada pada Hana ni?” ucapku lagi. Perlahan mataku mula berkaca. Aku tidak sangka emak mertua ku itu begitu. Setelah apa yang aku korbankan untuk anak lelakinya, aku masih tidak mempunyai tempat di matanya.
“Tapi Hana perempuan yang abang sayang. Semua tu tak boleh diubah sesenang itu, kan? Abang hidup dengan Hana selama ini. Abang tak perlukan semua kelebihan duniawi tu. Abang cuma nak Hana ada dengan abang,” sambut Zackery pantas.
Aku menggeleng lagi. Aku masih terlalu takut untuk percaya kepada kata-kata lelaki ini. Kalau sampai memberikan surat cerai palsu untuk menyingkirkan aku daripada hidup Zackery. Aku tahu apa yang sedang berada di hadapanku ini tidak mudah.
“Sayang, abang cuma minta Hana bagi abang sedikit masa. Abang akan selesaikan masalah ni. Abang janji!” pujuk Zackery lembut. Jemariku diramasnya perlahan.
“Hana pun minta abang berikan Hana masa untuk berfikir. Please. Hana runsing sekarang,” jawabku perlahan.
“Jangan fikir apa-apa. Abang ada depan Hana ni! Masalah tu masalah abang dengan mama.”
“Masalahnya Hana tahu ada masanya abang tunduk juga kepada kehendak mama, kan? Mama minta temankan Aween, abang kata ya! Mama suruh dinner dengan Aween, abang kata ya juga! Jadi Hana nak percaya pada abang macam mana??” balasku meninggi.
“Abang kata ya. Tapi abang tak buat pun apa yang mama suruh. Abang saja jawab begitu sebab malas nak dengar mama membebel kalau abang menolak,” jawab Zackery pantas.
“Ia? Entahlah. Hana tak tahu nak cakap apalah, bang. Tolong tinggalkan Hana sendiri,” ujarku sambil menggeleng. Setiap kata-katanya tidak mampu meyakinkan aku. Aku masih terlalu takut memikirkan masa depan aku dan dia.
“Hana..” Zackery menarik aku ke arahnya semula.
“Kenapa abang tak ikut aja cakap mama supaya lupakan Hana? Kan lebih mudah untuk kita? Hidup Hana pun tak jadi macam ni.”
“Apa Hana cakap ni??” Zackery mula menengking aku.
“Mama abang berlakon cukup cantik waktu abang ada depan dia. Tapi waktu abang tak ada, itulah masa yang sesuai untuk dia keluarkan Hana dari keluarga ni. Waktu tu tak ada siapa yang boleh lindungi Hana. Gabungan dia dan Aween memang mantap. Hana bukan sesiapa di sini. Hana tak sehebat mana pun,” ucapku perlahan.
Zackery terdiam menelan liur. Lama matanya memamah wajahku.
“Selama bertahun-tahun ini hidup ni diuji dengan segala macam ujian, Hana sabar. Sebab Hana tahu abang selalu ada dengan Hana. Tapi lepas tu abang tak ada. Hana tak tahu nak buat apa. Hana dah boleh rasakan tempat untuk Hana dalam rumah tu takkan bertahan lama dalam keadaan abang pun macam dah tak mahukan Hana. Mama pulak asyik perli sana sini. Cari kesalahan Hana. Hanya Tuhan aja yang tahu apa yang Hana rasa waktu tu. Semua tu seolah mimpi ngeri. Hana tak mahu ingat lagi kenangan tu. Tapi semuanya ada dalam fikiran Hana. Seolah-olah macam baru semalam berlaku. Baru Hana tahu rasanya betapa sakitnya bila kita tak disukai oleh mak mentua. Hari ni abang nak pimpin tangan Hana, bawa semula Hana ke dalam kesakitan tu. Hana dah tak boleh. Hana dah tak kuat untuk bertahan.”
“Hana, kali ni abang takkan biarkan Hana seorang diri.”
“Kadang-kadang seorang diri tu lebih bagus. Sekurang-kurangnya Hana tak perlu hadap semua ni. Tempat Hana bukan di sini. Hana balik sekejap aja.”
“Abang tak izinkan, Hana!!” ucap Zackery sedikit meninggi.
Aku ketawa perlahan sambil menggeleng sendiri.
“Jangan risau. Sebelum itu Hana tuntut cerai. Abang fikir Hana buat macam ni sekadar mahu mengada-ada. Minta dipujuk? Sebelum Hana melangkah keluar negara dulu, Hana pernah berjanji pada diri Hana sendiri. Hana nak lupakan abang.”
Zackery mematung memandangku. Semacam terkejut mendengar apa yang aku luahkan.
“Ya, surat tu bukan abang yang hantar. Ya, abang memang khilaf. Tak sengaja luahkan kata-kata yang membuatkan hati Hana hancur. Hari ni abang boleh pujuk Hana. Hana boleh senyum pada abang. Tapi Hana dah tak percaya lagi. Tambah pula mama abang menunggu masa untuk pasangkan abang dengan perempuan yang pernah abang idam-idamkan dulu. Hari ni Hana cuma ada kata-kata abang yang boleh dipegang. Tak tahulah kalau kata-kata tu esok tiba-tiba berubah.”
“Hana, abang dah jelaskan pada Hana..”
“Ya. memang abang dah jelaskan.” Aku memintas lagi kata-katanya.
“Hana tak tahu nak bertahan macam mana dalam keadaan Hana macam ni. Kehidupan Hana di sana lebih baik berbanding di sini. Jadi tolonglah. Hana dah tak sanggup lagi berdepan dengan setiap ahli keluarga abang. Dan Hana pun tak akan meminta abang tinggalkan keluarga abang untuk Hana.”
Zackery terdiam terus menerus. Liurnya ditelan payah.
“Hana tetap nak cerai.” Aku bersuara lagi dalam keadaan lelaki itu tidak berdaya mahu menjawab.
“Abang tak akan ceraikan, Hana. Berhenti cakap tentang itu. Abang tak suka dengar!” tekan Zackery mula keruh wajahnya.
“Terlalu banyak kekurangan untuk diceritakan di mahkamah nanti. Hana tak mahu abang dapat malu. Daripada kita bergaduh besar di depan orang, lebih baik kita bertolak ansur saja tentang itu.”
“Tak sepatutnya Hana sebut tentang itu semata-mata mahu mencabar abang,” ucap Zackery sedikit tajam.
“Hana cakap yang benar. Kenyataan. Bukan mencabar. Takkan selamanya abang nak menyeksa Hana? Hana pun perlukan seorang lelaki yang mampu berikan zuriat. Kalau dah pucuk tu asyik tidur aja, bilalah nak merasa ada zuriatnya,” cebirku perlahan.
Wajah Zackery berubah ketat memandangku. Aku tahu bicaraku sudah menaikkan kemarahannya.
“Hana sengaja cakap macam ni untuk sakitkan hati abang?”
“Dah sampai masanya Hana dapat apa yang Hana mahukan dalam hidup Hana. Asyik berkorban untuk orang aja. Penatlah!” jawabku selamba.
Zackery terus terpaku memandangku. Pandangan matanya seolah-olah mahu dikunyahnya aku hidup-hidup.
“Abang baliklah. Hana nak berehat,” ucapku malas mahu bergaduh dengannya lagi.
“Not so fast!”  Zackery tiba-tiba menerpa ke arahku. Tidak sempat melarikan diri, aku disentap ke arahnya.
“Apa ni??” jeritku geram dengan kekasarannya. Tubuhnya aku tolak sekuat-kuat hati.
“Nak tengok pucuk tu hidup ke mati?” gumam Zackery enggan melepaskan aku.
“Janganlah!” berhempas pulas aku menolak lelaki itu. Berkali-kali aku ditarik ke arahnya.
“Janganlah?” ejek Zackery sambil ketawa sinis.
“Tadi mulut ni yang berani cabar abang. Nak zuriat ya?” perli Zackery. Kedua-dua belah tanganku sudah dikunci dalam genggamannya.
“Dahlah! Lepas!” jeritku mula terasa kalah kepada kekuatannya.
“Bila abang sayangkan seorang perempuan, abang akan buat apa saja supaya dia tak boleh lari dari abang. Ingat senang nak lepaskan diri dari abang? Hana nak cerita apa di mahkamah nanti? Abang tak mampu beri nafkah batin? Hmm??” desis Zackery sengaja mahu menyakitkan hatiku pula.
“Abang, dahlah!!” getusku mula gentar melihat gelagatnya. Sekarang aku rasa nak menangis pula.
“Belum mula apa-apa. Bila masa sudahnya? Abang tak akan lepaskan Hana. Dan abang tak izinkan Hana balik semula ke Dubai. Apa abang cakap. Abang akan kotakan. Nak tengok buktinya?”
Lelaki itu menyeret aku ke kamar tidur. Tangannya aku pukul berkali-kali. Tapi langsung tidak berkesan apa-apa. Di dalam kamar tidur itu tangisanku tidak berlagu. Baju yang melekap ditubuhku semenjak tadi, itulah baju yang paling aku sayang. Sekarang baju itu sudah dirabakkannya!

“Nanti abang beli baru ya, sayang? Jangan nangis.” Hanya itu bisikan yang aku dengar sebelum dia membawa aku jauh dari kekusutan tadi.

Jumaat, 8 Januari 2016

BAB 18-19 DIA, LELAKI BERHANTU?

BAB 18
PANGGILAN dari Adila berkali-kali akhirnya aku jawab juga. Terjerit-jerit dia memanggil namaku dari hujung talian.
“Kau kat mana ni? Aku risau tahu tak!” marah Adila dikala aku hanya membisu.
Aku menghela nafas perlahan. “Aku okay. Kau jangan risau,” ucapku perlahan.
“Apa dah jadi ni, Hana? Mak kau call aku menangis-nangis semalam. Kau kat mana ni? Aku nak jumpa kau!” ucap Adila tegas.
Aku diam seketika. Aku tidak berhasarat untuk memberitahu dia di mana aku berada sekarang.
“Aku ada hal ni. Kau jangan risau. Aku tahu jaga diri,” ujarku setelah dia memanggilku lagi.
“Hana, cakaplah dengan aku. Jangan buat kami macam ni. Apa aku nak jawab dengan mak kau?” pujuk Adila mula merendahkan suaranya.
“Cakap yang aku tak apa-apa. Jangan risau.”
“Senanglah kau bercakap. Kau tahu tak betapa sayangnya mak kau tu pada kau. Dia bimbangkan kau. Kau boleh cakap macam ni! Aku ambil berat tentang kau. Tapi kau jauhkan dari dari aku. Kenapa, Hana?” marah Adila.
Setitis air mata jatuh lagi ke pipi. Namun pantas aku seka. Penat menangis selalu!
“Dila, aku tak dapat bercakap sekarang. Nanti aku call kau balik.” Talian segera aku matikan setelah memberi salam kepadanya.
Aku termenung seketika memandang telefon itu. Seolah-olah sedang ternampak setiap ahli keluargaku di skrin itu.
Maafkan aku, Dila. Aku cuma perlukan sedikit ruang untuk diri sendiri. Aku malu pada orang tua aku. Anak yang tak mendengar kata. Beginilah akhirnya aku.. bisik hatiku sendiri.
“Wei, mak cik. Jom cepat!” panggil Julia dari jauh. Aku segera mengangkat pandangan. Dia melambai. Pantas aku mengekorinya menuju ke balai berlepas.
Julia sempat memandangku saat passport kami diperiksa oleh kakitangan lapangan terbang. Aku lebih banyak berdiam dari tadi.
“Come,” ajak Julia setelah usai kami diperiksa oleh kakitangan keselamatan lapangan terbang.
“Siapa call tadi?” tanya Julia setelah kami berada di ruang perlepasan. Sedang menunggu untuk naik ke pesawat.
“Dila,” jawabku sambil menyelak beg tangan. Telefon bimbit segera aku ubah ke dalam mood penerbangan. Perbuatanku diperhatikan Julia terus terusan.
“Dia dah tahu pasal tu?” tanya Julia lagi.
Aku sekadar menggeleng. Lama pandanganku terpaksa ke arah luar sana. Sehari dua masa berlalu, aku sebenarnya masih tidak percaya dengan apa yang  telah terjadi kepada diriku. Aku tak dapat lepas dari memikirkannya.
“Ambillah masa kau sendiri, Hana. Aku nak tengok kau kembali semula macam dulu. Aku tak suka tengok kau macam ni.” Julia mengusap bahuku perlahan.
Aku mula menoleh kepada Julia. “Maafkan aku kalau aku hampakan harapan mama kau, Ju.”
“Maksud kau?” Julia merenung lama wajahku dengan kerutan di kening. Cuma mencari makna kata-kata tadi.
Aku diam semula. Biarlah. Lama kelamaan nanti dia akan tahu juga.
“Macam yang aku kata tadi, ambil masa kau. Bila kau dah okay, kita bincang semula. Aku ajak kau temankan aku sebab aku nak kau ambil kesempatan ni untuk hiburkan diri kau. Tengok dunia luar.” Julia berkata lagi.
Aku tersenyum sendiri mendengar kata-kata Julia. “Kau tahu kenapa aku nak ikut kau?” ucapku perlahan.
Julia membisu pula kali itu.
“Aku nak lari jauh. Sejauh yang mungkin. Aku rasa mungkin dia tak akan cari aku. Tapi aku tahu kelemahan diri aku. Sebab tu aku ikut kau hari ini. Aku nak lari jauh dari tempat yang aku tahu dia ada di situ. Supaya aku tak pergi cari dia lagi,” ujarku dengan sedikit senyuman. Kata-kataku membuatkan wajah Julia berubah. Namun dia hanya mengusap bahuku perlahan.
“Semua ni mimpi. Tapi aku rasa macam nak gila kerana semua ni. Kenapa aku jadi begitu bodoh sebab cinta? Aku ingkar cakap mak aku. Kau pun dah banyak kali jelaskan pada aku tentang siapa Zackery tu. Tapi aku ni degil. Tengoklah apa yang aku dapat. Padan dengan muka aku, kan?” ucapku lagi.
“Okay. Okay. Hana, jangan cakap macam tu. Aku tahu kau tabah. Ambillah masa kau. Kami tak mahu bebankan kau dalam keadaan kau macam ni. Yang dah berlaku, itu semua takdir. Lepaska dia pergi, Hana. Diri kau lebih bernilai berbanding lelaki begitu. Kalau dia tak mahu hargai kau, percayalah. Ramai lagi orang di sekeliling kau yang sayangkan kau,” pujuk Julia sambil mengusap bahuku.
Aku menghela nafas perlahan. Rasa sendat kembali menghenyak dada. Aku tidak ingin begini selama-lamanya. Dan aku juga tidak berniat mahu mengenepikan orang yang sayangkan aku selama ini. Cuma, aku perlu bina hidup aku semula sehingga aku merasa kebal semula. Sehingga aku merasakan kehadiran Zackery itu tidak lagi bermakna kepadaku.
“Katakan pada Adila. Aku tak mahu dengar pujukan dari orang sekeliling aku. Aku cuma nak bersendirian untuk sementara waktu. Jangan risau tentang aku. Aku tahu jaga diri. Aku nak bina hidup aku semula. Di dunia baru. Dan aku tak akan ada di hadapan mata dia untuk sementara waktu,” ucapku lembut.
Julia hanya memandang kosong kepadaku. Mengangguk tidak. Menggeleng juga tidak. Aku tahu dia mengerti. Keputusanku sudah bulat. Sampai sudah masanya aku mencari hidupku semula. Dan Zackery tidak akan berada di situ lagi!
Ketika panggilan keberangkatan sudah kedengaran, kami antara yang paling lambat masuk ke pesawat. Malas mahu bersesak di celahan orang ramai. Aku sempat menelefon abah. Abah hanya tenang saat diberitahu yang aku akan pergi jauh darinya. Tanpa perlu menyoal selidik apa sebenarnya yang membenani aku, abah seolah tahu aku sedang dalam kesedihan. Malah dia tidak bertanyapun aku mahu ke mana.
“Jaga diri, Hana. Abah tahu Hana dah buat yang terbaik. Doa mak dan abah selalu ada dengan Ana.”
Air mataku jatuh menderu saat mendengar suara abah.
“Maafkan Hana, abah. Hidup Hana tak berjalan seperti yang diharapkan. Hana malu nak jumpa mak dan abah. Maafkan Hana.” Teresak-esak aku menangis.
“Abah faham, nak. Tak apa. Abah tak marah. Sabarlah ya? Allah uji Hana sebab Allah tahu kesabaran Hana di tahap mana. Jangan menyesali apa yang dah berlaku. Ini semua takdir. Sekali sekala telefonlah abah. Abah mahu bila Hana balik nanti, Hana akan jadi lebih kuat dari semalam. Pergilah. Abah faham Hana perlukan masa untuk diri sendiri,” ucap abah lembut.
“Kirim salam Hana dengan mak ya? Hana sayangkan abah dan mak. Insya-Allah nanti Hana akan balik juga.”
Julia hanya membisu mendengar perbualan aku di telefon itu. Kemudian kami bangun bersama. Dia menggenggam jemariku. Secangkir senyuman diberikan kepadaku.
“Aku akan selalu ada untuk kau, Hana. Kau tak sendiri,” ucap Julia lembut.
Aku sekadar tersenyum mendengar itu. Selamat tinggal kenangan semalam. Suatu hari nanti aku akan kembali. Ketika itu, aku bukan lagi seorang wanita mangsa cinta.

HIDUP tidak akan selamanya akan berlangsung seperti yang diharapkan. Jatuh dan bangun adalah adat hidup di dunia. Masa membuatkan kekecewaan lalu tenggelam begitu sahaja.
Dubai, Kota Emiriyah Arab.
Kesibukan dunia aku di antara manusia yang hanyut di dalam arusnya. Namun aku rasa hidup lebih berharga, diri lebih utama. Aku masih berkerja dengan Dato Farah walaupun menetap di kota Dubai. Di kota ini banyak sumber yang boleh digunakan untuk terbitan majalah terbaru keluaran Time Magazine. Sudah lama aku meninggalkan pekerjaan sebenar sebagai penulis novel dek kerana kekangan masa. Tugas sebagai ketua editor majalah memang menyeronokkan. Kehadiranku di sini dianggap langkah kanan. Secara tidak langsung Dato Farah dapat mengembangkan perniagaan restorannya sehingga ke Dubai.
Dan dalam masa yang sama, aku sempat menyambung pengajian di sebuah kolej. Sekadar menambah pengetahuan untuk lebih maju dalam bidang terbitan  majalah. Sedikit sebanyak semua itu membuat aku lupa kepada kisah lalu. Sedar tidak sedar sudah lebih dua tahun aku di sini. Selama itulah aku tidak pernah terfikir mahu pulang.
Malam itu usai Isyak, aku melepak di rumah. Duduk melepak sendiri sambil menikmati kopi, aku membuka internet. Laman web Times Magazine aku jengah. Ada novel terbaru sudah di up date. Tanpa dapat ditahan nafsu, aku mencapai telefon.
“Ju..” sapaku sebaik sahaja terdengar suaranya.
“Ada apa, minah??” balas Julia selamba.
“Nak novel yang terbaru tu, Ju. Macam best aja.”
“Apa susah? Baliklah sini. Kau boleh ambil berapa banyak yang kau nak,” ujarnya selamba.
“Aku serius nilah!” jeritku geram dengan Julia. Tidak serius langsung.
“Aku cakap yang betul. Aku tak boleh nak pergi sana. Banyak kerjalah sekarang.”
“Poslah, Ju. Aku sungguh-sungguh ni,” balasku masih tidak putus asa.
“Nantilah. Aku suruh si Diba pos. Kau pulak bila nak terbit novel? Senyap aja? Dah merajuk tak mahu jadi writer ke? Pembaca yang follow kau semejak dulu, asyik tanya aja bila kau nak terbit novel baru. Jenuh nak jawab tahu tak.”
“Aku tak sempatlah. Berlambak-lambak manuskrip aku yang terbengkalai. Nak baca pun tak sempat. Aku penat,” jawabku perlahan.
“Mama pun tanya bilalah kau nak hantar manuskrip. Kalau orang ramai bertanya, maknanya boleh buat duit ni. Mama tu tak ada lain. Duit! Duit! Duit!” ujar Julia sambil ketawa. Aku ikut ketawa mendengar celotehnya.
“Baguslah. Mama kau rajin buat duit. Kau dapat tempiasnya,” balasku selamba.
“Ialah sangat. Tapi aku serius ni. Karya kau yang last tu dah diulang cetak sampai lunyai mesin cetak tu.” Tergelak kuat Julia meluahkan kata-kata itu. Aku sekadar ketawa tanpa memberikan jawapan.
“Kesianlah follower-follower kau. Sekurang-kurangnya terbitkanlah satu buat pelepas rindu. Jangan senyap macam tu aja,” ujar Julia lagi.
“Tengoklah, Ju. Kalau mampu, aku usahakan.” Aku menjawab lembut. Tidak sanggup mahu berjanji. Bukannya tidak rindu mahu berkarya. Tapi aku tak larat.
“Okay. Kalau macam tu, aku masukkan slot terbitan untuk pesta buku antarabangsa nanti ya? Kasi mantop sales.”
“Eh! Aku tak janjilah. Kau jangan nak pandai-pandai.”
“Alah, usahakan sampai boleh! Raihana boleh!” tegas Julia sambil mengekek ketawa.
“Mengada-ada. Okay. Tapi jangan lupa pos buku kat aku. Kalau tak, tak ingin aku nak layan kau dah,” jawabku selamba.
“Okay, bebeh. Nanti aku cakap dengan Diba. Kirim salam aku kat pak arab yang handsome-handsome kat sana ya?”
“Siapa? Mustafar ke?” tanyaku lantas ketawa.
“Tak nak! Dia dah ada bini. Melepas aku!” jerit Julia membuatkan aku makin galak ketawa. Sudahnya Julia juga ketawa mengenangkan perangai sendiri. Mengurat pengurus restoran cawangan di sini. Rupanya Mustafar yang sememangnya tampan itu sudah bertunang ketika itu dan baru sahaja berkahwin dua bulan lalu. Kesian Julia.
Usai berbual dengan Julia, aku kembali menghadap komputer riba. Manuskrip lama yang masih tersimpan, aku jengah semula. Namun tiada mood mahu menyambungnya. Sudahnya aku buka dokumen baru. Satu jalan cerita yang sudah lama terangka di dalam minda, aku lakarkan. Dan tanpa sedar, mood untuk menulis kembali menyala-nyala.

SEMENJAK kembali melibatkan diri dalam terbitan karya, aku kembali membuka akaun facebook yang sudah lama terbiar. Akaun yang sama namun nama pada akaun itu sengaja aku tukar. Melalui akaun itu kembali berinteraksi dengan pembaca.
Promosi awal dibuat oleh laman web Time Magazine membuatkan nama itu mula mendapat perhatian. Tidak ketinggalan soalan-soalan yang bertanya tentang diriku, penuh di kotak inbox. Aku sekadar menjawab apa yang perlu.
Namun mesej dari seseorang bernama Pemburu Novel Cinta membuatkan aku tertanya-tanya. Rajin dia menghubungiku setiap hari. Tidak ada apa yang penting melainkan dia hanya bertanya adakah aku sihat? Sudah makan? Sudah solat? Menuliskah hari ini? Di mana aku tinggal? Hanya itu.
Siapa gerangannya manusia ini? Katanya dia seorang pembaca novel. Akaun facebooknya aku intai. Tidak banyak aktiviti dan maklumat yang boleh aku lihat dari akaunnya. Dari info di akaun itu, pemiliknya adalah seorang wanita.
Mesej terakhirnya aku baca lagi. Sudah dua kali dia memberi mesej itu. Kali pertama dia meminta untuk berjumpa, aku sengaja tidak menjawab. Kini dia mengutarakan lagi keinginannya itu.
Awak di mana? Saya nak jumpa awak.
Aku balas mesejnya dengan satu soalan pendek.
Awak ni lelaki ke perempuan?
Tidak lama kemudian dia membalas.
Saya peminat awak. Setiap hari saya akan ulang baca karya awak di blog. Setiap kali saya baca kisah itu, saya bayangkan awak adalah heroin dan saya heronya.
Berderau darahku membaca mesej itu. Lain yang aku tanya. Lain yang dia jawab. Seram pulak rasanya. Aku rasa dia ni lelaki. Sedang aku termenung ada satu mesej tiba lagi.
Awak dah ada teman lelaki? Suami ke?
Laju jemariku membalas.
Hal peribadi saya tak bercerita dengan orang luar. Maaf ya. Soalan saya tadi awak masih tak jawab. Awak ni lelaki ke perempuan sebenarnya?
Dan sesaat dua kemudian mesej dari individu itu muncul.
Saya peminat awak. Saya nak jumpa awak sangat-sangat.
Itu juga jawapan yang dia beri. Aku menulis lagi.
Zackery.
Kemudian aku termenung menunggu dia membalas. Manusia itu segera lenyap tanpa membalas mesejku. Pelik. Soalan mudah itu pun dia mahu berahsia. Lagi mahu tanya soalan tentang kehidupan peribadiku. Dan yang membuatkan aku lebih tertanya. Dia tidak bertanya pun siapa Zackery itu. Sama ada dia sudah daftar keluar dari akaunnya. Atau.. dialah Zackery itu. 


                                                      BAB 19
PESTA buku antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur memaksa aku pulang sehari sebelum itu. Teruja melihat persiapan akhir sedang dijalankan. Setelah sekian lama menyepi dari dunia penulisan akhirnya karyaku diterbitkan sempena pesta buku.
Aku ditempatkan si Seri Pacific Hotel sepanjang tempoh berlangsungnya pesta buku. Selain daripada mempromosi karya sendiri, aku turut bertugas di sana sepanjang tempoh itu. Manusia yang paling sibuk kala itu sudah tentulah si Julia.
Hari pertama pesta berlangsung, meriahnya sungguh tidak tersangka. Pertama kali Time Magazine menyertai pesta buku tahun lalu, aku tidak hadir. Disamping suka rela membantu kakitangan membuat jualan, dapat juga berkenalan dengan penulis lain yang turut bernaung di bawah syarikat penerbitan yang sama.
Hari kedua di pesta buku giliran aku untuk menyertai sesi bertemu pembaca. Memandangkan sesi itu hanya berlangsung selama dua jam, aku memilih sesi sebelah pagi. Sambutan untuk karya baru ini memang tidak kusangka. Setiap pembaca yang datang mahu berkenalan, hanya mampu berbual seketika sahaja. Di hadapanku penuh padat manusia bersesak. Ada yang menanti buku ditandatangan. Ada yang sekadar mahu menjadi pemerhati. Pening juga kepala aku dibuatnya. Tangan pun rasa kejung menandatangan buku satu persatu.
Namun ketika sesi sudah hampir berakhir, aku terpandangkan seseorang berada di celahan manusia itu. Spontan reaksiku berubah. Dada mula berdegup kencang. Alamak! Desis hatiku kalut sendiri. Aku sedar dia sedang menunggu giliran untuk sampai kepadaku. Mahu lari dalam keadaan ramai orang di hadapanku? Jangan cari pasal, Raihana!
Kehadiran lelaki itu mula membuat aku tidak fokus. Sehingga akhirnya dia berada betul-betul di hadapan mejaku.
“Hai..” sapa lelaki itu membuatkan aku seperti mahu rebah di situ.
“Saya suka karya awak. Saya nak minta tandatangan awak,” ucap lelaki itu dalam pada aku masih terkaku memandang dia berdiri di hadapan meja. Dia meletakkan sebuah buku di hadapanku. Namun bukan karya nukilan aku yang dia letakkan. Sebaliknya buku bertajuk Hope itu.
Zackery memindahkan pandangan ke arah buku itu. Lambat-lambat aku membukanya.
Biar sejauh mana dia berlari, aku akan bangkit untuk mengejarnya..
Aku membaca nukilan itu berkali-kali. Kali itu barulah Zackery meletakkan sebuah novel di atas buku itu. Buku itu aku buka tanpa memandangnya. Aku turunkan tandatangan di bahagian autograf sebelum aku serahkan semula kedua-dua buku itu kembali kepadanya.
“Saya suka nama pena baru ni. R. Anne Raina. Saya masih boleh cari siapa orang di sebalik nama pena ni. Anne adalah N atau pun Nurul. Raina adalah Raihana. R adalah Rashdan. Betul, kan?” ucap Zackery tanpa mempedulikan orang lain sedang beratur di belakangnya.
“Next!” aku memanggil orang belakang Zackery.
“Abang tunggu sini ya?” Lelaki itu meminggir ke tepi meja itu. Dia mahu jadi penunggu aku pula di tepi meja itu. Walaupun aku cuba berlagak selamba, tangan yang sudah letih semakin menggigil. Mulalah aku rasa nak habiskan sesi ini secepat yang mungkin.
Tidak sekadar menjadi penunggu. Dia juga berusaha menjadi pembantu jualan. Buku yang bersusun di hadapanku itu, dihulurnya kepada seorang gadis.
“Belilah. Dijamin best!” ucap Zackery.
Gadis itu mengerut kening memandang Zackery. Aku rasa macam nak lempang aja dia tu.
“Dah baca ke?” tanya gadis itu kepada Zackery.
“Tak payah baca. Abang punya rekomen mesti okay. Sebab yang tulis buku ni buah hati abang,” ujar Zackery dengan bangganya. Gadis itu tersenyum memandangku. Terus buku itu dibawa ke kaunter.
Biarpun sesi tandatangan sudah selesai, aku menunggu seketika di situ. Penulis yang bakal menggantikan tempatku masih belum muncul.
“Semenjak bila ada pembantu ni?” tegur Julia sambil mendekatiku. Novel display yang bersusun di atas meja itu dialihkan. Diganti dengan novel lain. Aku sempat mengerling lelaki itu. Dia sedang memandang ke arah lain.
“Entah. Dia lantik diri dia sendiri,” ujarku lantas bangun.
“Nak balik bilik ke lepas ni?” tanya Julia.
“Abang nak ajak Hana pergi makan, boleh?” sampuk Zackery sebelum sempat aku menjawab soalan Julia.
Aku terus menoleh. Zackery sudah berdiri di sisiku. Aku sempat memandang dia dari atas ke bawah. Zackery tetap memandangku tanpa berganjak.
“Okaylah. Ada apa-apa call aku ya?” ucap Julia sambil menyerahkan sebuah beg kertas kepadaku. Kemudian dia terus berlalu. Malas mahu memandang Zackery agaknya.
“Hana..” panggil lelaki itu sebaik sahaja aku berlalu.
“Ada apa lagi?” getusku.
“Kita pergi makan ya? Abang laparlah,” ucap Zackery sambil cuba menyaingiku di celahan orang ramai.
Aku hanya diam sambil terus berjalan. Untuk apa lagi dia mencari aku? Aku sudah penat melayan perasaan. Serik dipermainkan.
“Hana, cakaplah dengan abang..”
“Hana tak ada apa nak cakap. Tolong jangan cari Hana lagi,” ujarku sekadar menoleh sedikit kepadanya.
“Hana, nanti dulu.” Zackery cuba memanggil. Dia terperangkap di celahan orang ramai sedangkan aku sudah menonong ke hadapan. Aku tidak menyahut panggilannya. Malah, langkah sengaja aku lajukan menunju ke eskulator.
Agak lama setelah itu, menoleh ke belakang. Zackery sudah tidak kelihatan. Aku sempat berdiri memandang sekeliling. Memang dia sudah tiada. Tanpa menunggu lagi aku terus berlalu ke pintu utama bangunan itu.
Sebenarnya perut memang sedang lapar. Aku duduk di cafe berdekatan dengan Hotel Seri Pacific memandangkan masih banyak meja kosong di situ. Aku sempat memanggil Julia melalui talian.
“Ada apa lagi?” tanya Julia sebaik sahaja panggilanku berjawab.
“Makan dulu jom,” ucapku kepadanya.
“Eh! Mana mamat tu?”
“Entah. Dah lenyap. Turunlah. Aku kat cafe ni,” ajakku bersungguh.
“Okay. Bagi aku lima minit,” jawab Julia sebelum talian dimatikannya.
Aku memesan makanan sementara menanti Julia tiba. Terus dia duduk di hadapanku.
“Tadi aku memang nak ajak kau pergi makan. Tapi Zackery ada pulak. Dia dah blah ke?” tanya Julia hairan.
“Agaknya. Tadi aku sengaja tinggalkan dia,” jawabku hambar. Malas mahu bercakap tentang Zackery lagi.
“Dia nak apa cari kau semula? Pelik. Macam mana dia tahu kau ada kat sini ya? Dia tu memang berhantulah! Tahu aja nak cari kau kat mana.”
“Aku tak tahu. Orderlah cepat,” balasku sambil memandang ke tepi meja. Seorang pelayan sedang menunggu Julia membuat pesanan.
Usai membuat pesanan, Julia kembali memadangku. Riak di wajahku pula dibacanya.
“Kau tu bila Zackery timbul semula, mulalah muka tu tegang aja. Senyum pun mahal. Muka macam stress aja. Kau masih tak boleh lupakan dia ya? Kalau tidak, takkan kau macam ni,” tegur Julia dengan pandangan ekor mata.
“Mana ada!” aku segera menafikan telahan Julia. Namun dalam diam, aku sebenarnya merasakan amat terganggu dengan kehadiran lelaki itu semula. Memandangnya sebentar tadi hati terasa amat pedih. Kalau boleh aku tidak mahu bertemunya lagi sampai bila-bila jika itu lebih baik untukku.
“Muka dia macam tak ada rasa bersalah aja tadi, kan? Aku pulak yang menyirap tengok dia tu,” bebel Julia.
Perlahan aku menghela keluhan. Bagaimanalah untuk aku tenang jika nama Zackery terus diperdengarkan kepadaku?
“Kau dah tahu aku susah nak lupakan dia. Tapi kau asyik bercakap pasal dia,” ucapku perlahan.
“Oh, okay. Sorry. Aku tutup mulut.”
Tidak banyak perbualan antara kami ketika itu. sesungguhnya aku masih tidak mampu mengembalikan diriku ke alam nyata setelah apa yang berlaku. Julia ralik menyuap makanan sambil memandang sekeliling. Namun tiba-tiba dia mencuit tanganku.
“Alamak. Duda kaulah, Hana.”
Tersentap. Aku lantas memandang Julia. Disaat yang sama juga aku sudah ternampak Zackery berjalan ke arah kami. Julia terpaku melihat Zackery menarik satu kerusi lalu duduk.
“Penat abang cari Hana,” ujar Zackery agak lemah.
“Siapa suruh cari?” balasku amat perlahan. Pandangan aku halakan ke arah lain. Julia sudah tidak senang duduk melihat Zackery asyik memandangku. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya.
“Aku naik dululah ya?” cepat sahaja Julia meminta diri. Aku tidak menjawab. Julia berlalu begitu pantas.
Kesempatan yang ditinggalkan Julia segera diregut oleh lelaki itu. Zackery berpindah duduk di kerusi Julia tadi. Bola matanya masih tidak berkalih dari memandang ku. Aku pula? Tidak tahu apa yang harus aku lakukan di hadapannya.
“Hana apa khabar?” Zackery segera memulakan perbualan kami.
“Baik. Abang?” balasku biasa.
“Abang sihat,” jawab Zackery lembut.
Aku tersenyum tawar mendengar jawapannya. Entah kenapa kami amat kekok untuk berbual. Dia lebih banyak memandang ku dan aku pula seperti tidak tahu mahu berkata apa kepadanya. Serba tidak kena rasanya dengan pertemuan ini. Perasaan di dalam semakin tidak tenang.
“Bila balik ke sini?” tanya Zackery cuba mengisi suasana kami yang suram tanpa kata-kata.
“Dua hari lepas. Bila abang boleh berjalan semula?” tanyaku pula kepadanya.
“Lama dulu.” Lelaki itu menjawab jujur.
“Oh! Baguslah. Akhirnya abang dapat jadi diri abang semula,” ucapku dengan senyuman pahit. Entah kenapa aku rasa mahu menangis benar. Dia sudah dapat apa sahaja dia mahukan. Mengapa dia terus mencari aku? Untuk apa dia menyeksa perasaanku lagi?
“Abang buat apa kat sini?” aku bertanya lagi.
“Hana masih nak tanya apa abang buat kat sini? Kenapa? Hana tak suka tengok abang ke?” Zackery menjawab sedikit sinis.
Aku menggeleng perlahan sebelum membuang pandang. Wahai hati, sabarlah dikau.
“Hana dah banyak berubah abang tengok. Makin cantik sekarang,” ucap Zackery sambil mendekatkan tubuhnya ke meja.
“Biasa aja. Takde apa yang berubah sangat. Abang pun dah banyak berubah. Dah makin berisi. Ada cerita terbaru ke?” balasku dengan lagak selamba yang dibuat-buat.
“Cerita apa?” tanya Zackery pantas. Kerutan di keningnya menjelaskan yang dia tidak mengerti akan maksudku.
“Manalah tahu dah ada orang baru dalam hidup abang. Tu yang nampak berseri aja.” Kata-kata itu lantas membuatkan wajah bekas suamiku itu berubah.
“Hana sindir abang ke?”
“Sindir? Langsung tak!” jawabku pantas. Memang langsung tidak terniat untuk menyindirnya. Aku sekadar bertanya cerita terbaru tentang dirinya. Itu sahaja.
“Hana sendiri macam mana? Dah ada pengganti abang ke? Sebab tu tak mahu jumpa abang,” ucapnya sambil pandanganya dijatuhkan ke jemari ku. Mencari cincin pernikahan yang baru agaknya.
Aku hanya menjungkit bahu sambil tersenyum kelat. Pengganti? Itukah istilah yang seharusnya digunakan setelah dia meminggirkan aku dari hidupnya? Lebih dua tahun lalu dia begitu tega membuang aku dari hidupnya. Cukupkah tempoh itu untuk aku menggantikan kelukaan yang dipahatnya dengan kebahagiaan baru?
Kami berdiam seketika. Dia asyik memandang sehingga aku jadi tidak selesa dengan keadaan itu.
“Bang, Hana kena pergi dulu. Ada kerja nak buat ni.” Aku akhirnya memilih untuk berlalu dari situ.
“Hana duduk di rumah Adila ke?”
“Kenapa nak tahu?” soalku tidak senang. Aku memandangnya sekilas sebelum melambai pelayan untuk membuat bayaran.
“Bil!” ucap ku kepada pelayan yang menoleh. Saat itu barulah aku memandang lelaki itu semula.
“Kenapa nak tahu Hana tinggal di mana?” tanyaku sekali lagi.
“Sebab abang nak jumpa Hana lagi. Boleh, kan?” Zackery menjawab lembut.
Aku tidak terus menjawab sebaliknya memandang ke dalam cafe untuk mencari pelayan tadi. Harap-harap dia tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan apa yang aku minta. Apabila terpandangkan lelaki berpakaian seragam putih itu sedang menuju ke arahku, aku memilih untuk mengabaikan sahaja soalan Zackery.
Namun sebaik sahaja pelayan itu tiba di meja, Zackery terus merebut folder hitam ditangan pelayan itu sebelum sempat aku mengambilnya. Terkejut aku dengan perbuatannya itu. Zackery sengaja meletakkan folder itu di atas pahanya bagi mengelakkan aku mengambil semula folder itu.
“Kenapa buat macam ni? Hana boleh bayarlah!” degusku tidak senang dengan perbuatannya itu.
“Biarlah abang bayar. Bukannya banyak pun,” balas Zackery sambil tersenyum. Serentak itu dia menyerahkan folder itu kepada pelayan yang menanti. Pelayan lelaki itu terus berlalu.
“Biar Hana bayar balik duit abang. Berapa harganya?” kata ku enggan terhutang budi dengannya. Kerana selepas ini aku tidak ingin bertemu lagi dengannya.
“Hana, tak payahlah!” pujuk Zackery lembut.
Menyirap darahku dengan kelakuannya. Tidakkah dia sedar apa yang sedang dia lakukan kepada ku saat ini? Harapan yang pernah diberikan selama ini tidak pernah menjadi nyata. Kosong belaka! Kali ini dia melakukannya lagi disaat aku sedang berusaha keras untuk menyingkirkan namanya daripada lipatan kenanganku.
“Suka hati abanglah!” degusku keras. Tanpa menunggu lagi aku terus mengambil beg tangan dan bangun dari situ.
“Hana..” Zackery terus bangun mengejarku. Langkahku terhenti dipertengahan jalan.
“Tolong pergi jauh dari Hana. Tolong! Hana tak mahu jumpa abang lagi. Kalau ada sedikit belas kasihan abang pada Hana, tolong jangan cari Hana lagi. Hana merayu sangat pada abang,” ucapku bersungguh. Namun saat itu air mataku hampir gugur memandang wajahnya.
“Tapi kenapa? Kenapa Hana buat abang macam ni?” balas Zackery bersungguh. Hampir sahaja dia mahu mencapai tanganku. Aku lebih pantas menepis.
“Kenapa?” aku ketawa perlahan. Pedih hati tidak terucap. Mudahnya dia berlagak seolah-olah semuanya hanya ringan belaka. Benar kata Julia. Lelaki ini tidak tahu rasa bersalah langsung.
“Sebab Hana..” aku tidak jadi meneruskan bicara. Buat seketika aku menarik nafas cuba menenangkan perasaan yang kian rusuh. Namun entah kenapa sekeping hati itu kian dilanda kesedihan akibat perasaan yang pernah diabaikan begitu sahaja. Betapa aku masih terlalu terluka dengan keputusannya dulu.
“Pergilah balik, bang. Hana tak mahu jumpa abang lagi. Cukuplah setakat ini,” ucapku sedikit lembut.
“Hana, abang minta maaf kalau ada perbuatan abang yang menyakitkan hati Hana. Banyak yang abang nak katakan pada Hana,” pujuk Zackery lembut.
“Cukuplah! Jangan minta maaf lagi. Kita dah takde hutang apa-apa lagi, bang. Hana tak pernah berdendam dengan abang. Cuma Hana perlukan sedikit masa untuk lupakan semuanya. Itu aja yang Hana minta dari abang. Jangan cari Hana lagi. Hana harap abang faham,” luah ku bersungguh.
Wajah Zackery berubah mendengar kata-kataku. “Hana, kita perlu berbincang..”
“Takde apa lagi yang nak dibincang. Semuanya dah selesai!” pintasku lebih cepat.
“Selesai? Apa yang selesai?” soal lelaki itu pantas. Lengan ku ditariknya agar aku memandangnya.
“Kita! Abang yang selesaikan tanpa bertanya dulu pada Hana. Jadi bincang apa lagi yang abang nak dari Hana sekarang?” balas ku semakin meninggi kepadanya. Tangan ku rentap semula daripada pegangannya.
“Hana abang tak faham, sayang. Hana cakap apa ni?”
“Kita dah tak ada kena mengena lagi. Jadi tolong jauhkan diri dari Hana. Hana tak mahu tengok muka abang lagi,” ucapku tegas.
Zackery terpaku memandangku. Seolah tidak percaya aku tergamak berkata begitu kepadanya.
“Hana.. abang rindukan Hana. Takkan Hana tak rasa apa yang abang rasa. Dah lama abang tunggu Hana balik semula pada abang,” luah Zackery saat aku mula berlalu dari situ.
“Masih bermimpi lagi ke?” balasku sinis. Tiada kepentingan untuk aku merasa bahagia dengan ucapan itu. Aku bukan lagi isterinya. Dan Zackery hanya kaku membiarkan aku pergi jauh darinya.

Namun saat itu baru aku sedar. Betapa lajunya air mata mengalir di pipi menangisi kelukaan yang masih tersimpan di hati. Cukuplah! Cukuplah dengan kelukaan itu. Cinta yang masih ada tidak mungkin boleh digapai olehku lagi. Tidak mungkin akan pernah direalisasikan lagi!