Sabtu, 2 Januari 2016

BAB 3-5 DURI-DURI DI HATI (TAJUK SEMENTARA)

BAB 3
KONONNYA dek kerana belas kasihan. Sudahnya seminggu juga aku terpaksa berkampung di wad itu menemankan anak bujang orang. Kalau tahu dek Dila aku buat kerja ni lagi, habislah lubang telinga aku digerudi dek bebelan pedasnya. Silap-silap kena jumpa pakar psiktrik aku.
Namun apa yang diperkatakan oleh Auntie Nora tentang perubahan Zackery memang benar. Aku perasan ada beberapa ketikanya kelopak matanya bergerak-gerak. Kadang-kala jari jemarinya macam tersentak-sentak. Sekali pandang, Zackery macam tengah tidur lena. Kesan luka di kepalanya juga sudah hampir sembuh.
Alhamdulillah.. baguslah kalau begitu. Cuma daripada apa yang aku dengari sebelum ini Zackery mengalami keretakan kecil pada tulang belakang akibat kemalangan dulu. Namun doktor menjangkakan kemungkinan komplikasi akibat tekanan pada saraf itu hanya sedikit. Pakar perubatan tidak melihat sebarang kecederaan serius kepada saraf. Kalau ada pun komplikasinya mungkin hanya untuk sementara sehingga keadaan tulang itu kuat semula. Namun itu sekadar satu jangkaan awal. Sebelum ini Zackery sudah menjalani pembedahan memasang implan untuk menyokong tulang yang retak bagi mengelakkan kerosakan kekal pada saraf. Aku harap apa yang dijangka doktor itu benar-benar berlaku kepadanya. Selalunya aku dengar orang yang mengalami kecederaan saraf ini akan lumpuh separuh atau sepenuh badan. Mintak jauhlah hendaknya.
Duduk sendiri begini aku mula mengimbas lagi bebelan emak. Emak masih tidak gemar aku membantu auntie Nora. Emak pun tak suka dengan cara auntie Nora dan uncle Abdillah. Sekali pun mereka tidak pernah datang ke rumah bercakap dengan emak dan abah tentang perkara ini. Mereka hanya buat keputusan sendiri. Abah lebih banyak berdiam. Aku tahu abah sedang memberikan aku masa membuat pertimbangan sendiri. Perkara ini tidak harus berlanjutan lebih lama sementelah aku juga ada kehidupan yang perlu diteruskan.
Namun sejauh mana aku mampu menetapkan pendirian? Setiap kali memandang lelaki ini bukan sekadar rasa simpati yang ada di hati. Sebaliknya aku cukup sayu melihat keadaannya. Dahulu dialah lelaki yang hebat. Ke sana ke mari tanpa batasan. Buat apa suka. Tetapi hari ini dia hanya mampu terbaring tidak berdaya. Melihat dia terabai dan sering ditinggalkan sendirian, aku rasa sedih. Aku sendiri tidak mampu membayangkan apa akan terjadi kepada diriku jika aku dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan tidak mampu bergerak begini. Soal kebersihan diri lelaki ini semuanya diuruskan oleh jururawat. Nasib baiklah ramai jururawat lelaki zaman sekarang ini. Aku sendiri pun kalau disuruh memandikan pesakit lelaki agaknya letak jawatan terus! Memang aku tak sesuai menjadi jururawat.
Mengapa dalam keadaan dia begini orang di sekelilingnya sanggup membiarkan dia begitu sahaja? Aku benar-benar tidak faham konsep kasih sayang dalam keluarga Zackery. Dulu kata Auntie Nora, hanya ini satu-satu anak yang dia masih ada. Tetapi aku tengok dia macam tak kisah aja tinggalkan anak dia seorang diri. Boleh pula uruskan syarikat dengan uncle Abdillah macam tidak ada apa-apa berlaku.
Entahlah.. aku benar-benar tidak faham dengan pendirian ibu dan ayah Zackery. Soal duit lebih penting ke berbanding anak sendiri? Ke dia orang tu ada masalah? Ah! Buat apa aku nak pening-pening dengan masalah orang lain? Yang penting sebaik sahaja auntie Nora dan uncle Abdillah balik dari Jakarta, aku akan lepas dari semua ni.
Namun sedang aku termangu sendiri menatap tv, telinga ku menangkap bunyi pergerakan di katil. Sepantas kilat aku menoleh. Berderau darah ku melihat mata lelaki itu sedang terbuka luas. Jelas di mataku dia sedang memandang sekeliling.
Dia dah sedar, seru hati ku dalam rasa terkejut. Aku terus bangun mendekati katil itu. Satu butang merah di tepi katil itu ku tekan beberapa kali untuk memanggil pegawai perubatan segera.
“Ma..” suara lelaki itu mula kedengaran memanggil emaknya.
“Zack..” sapaku dalam nada lembut.
Zackery memandang ku dengan riak kabur di wajah. Agaknya dia pelik mengapa aku boleh berada di sini.
“Kita tunggu doktor sekejap. Awak jangan banyak bergerak,” ucapku sambil memandang ke arah pintu.
“Mama..” panggil Zack agak kuat. Kepalanya cuba ditolehkan. Mungkin mencari emaknya di mana.
“Mak awak ke Jakarta. Esok baru dia balik,” ucapku mula tidak sedap hati melihat reaksi itu.
Zackery kembali memandang ku. “Papa? Amar mana? Amar!!” Zackery mula memanggil ahli keluarganya yang lain. Alamak! Aku sudah mula kecut apabila nama Amar kedengaran di mulut lelaki itu.
“Papa awak pun ada di Jakarta. Dia orang minta saya temankan awak kat sini sementara dia orang tak ada.” Aku sekadar menjawab ringkas. Soal Amar langsung tidak berani untuk aku sebut. Aku tidak berani.
Ketika itu pintu bilik itu mula ditolak dari luar. Beberapa orang lelaki masuk ke bilik itu. Aku segera meminggir untuk memberi laluan kepada para doktor dan jururawat itu mendekati Zackery. Peluang yang ada aku gunakan sebaiknya. Aku keluar dari bilik itu untuk memanggil Auntie Nora. Lima kali aku mendail akhirnya barulah panggilan ku dijawab.
“Ada apa, Hana? Auntie tengah meeting dengan klien ni..”
“Zack dah sedarlah, auntie. Dia tanya auntie dengan uncle. Amar pun dia tanya jugak. Hana tak tahu nak jawab apa. Baliklah sini cepat!” ujarku sedikit gusar.
Tiada jawapan yang kedengaran di sana. “Hello..” seruku agak kuat.
“Ya. Auntie dengar ni. Macam nilah, Hana. Hana temankan Zack sekejap. Auntie balik hari ni jugak,” putus wanita di hujung sana.
“Janji tau! Apa Hana nak jawab kalau dia tanya lagi pasal Amar?” soalku masih tidak mampu berasa lega. Takkanlah aku nak membisu aja sampai auntie Nora tiba ke sini? Mestilah Zackery akan tanya lagi pasal adik dia. Auntie Nora terdiam lagi. Namun aku terdengar keluhannya di hujung sana.
“Soal itu biar auntie dengan uncle aja yang uruskan. Kalau dia tanya lagi pasal Amar, Hana jawab aja kami bawa Amar sekali dengan kami,” ucap Auntie Nora kemudian.
“Okay. Cepat-cepat balik sini, auntie. Hana rasa tak sedap hati ni,” ujarku sekali lagi.
“Ya. Auntie akan balik secepat mungkin.”
Lama aku menunggu di luar. Aku tidak tahu apa yang berlaku di dalam sana. Namun seketika kemudian riuh rendah bilik itu dengan suara pekikan orang. Spontan aku terus menolak pintu untuk melihat apa yang berlaku. Permandangan yang terhidang di hadapan mata membuatkan aku terpaku bagaikan tidak jejak di bumi.
Di atas katil itu Zackery meronta, menjerit, memekik sehingga tegang urat lehernya. Malah dia juga menangis. Beberapa jururawat memegang lengannya sambil dia cuba ditenangkan oleh doktor. Namun lelaki itu terus menangis.
“Sabar dulu. Ini mungkin sekadar komplikasi awal. Jangan banyak bergerak, Zackery.” Dr. Amirul cuba memujuk Zackery.
“Kaki aku! Kaki aku! Aku tak boleh rasa apa-apa. Kenapa dengan kaki aku? Aku tak boleh bergerak!!” Hanya itu yang diluahkan Zackery dalam tangisannya. Aku jadi sayu melihatnya.
“Bertenang. Bawak mengucap. Ingat Allah banyak-banyak. Tulang belakang awak masih cedera. Jangan banyak bergerak sekarang ni, Zackery. Jangan bimbang. Kita akan lakukan pemeriksaan untuk pastikan keadaan awak. kemudian kita akan tentukan kaedah rawatan yang sesuai. Insya-Allah.. awak boleh sembuh.” Dr Amirul cuba menenangkan lelaki itu lagi.
“Aku lumpuh! Aku dah tak boleh rasa apa-apa. Mama!!” jerit lelaki itu lantang. Hingar bingar wad itu jadinya dengan suara lolongan Zackery. Lengannya cuba direntap daripada pegangan jururawat. Namun tidak berjaya.
“Jangan banyak bergerak. Lagi banyak awak bergerak, lagi teruk keadaan awak nanti,” tekan doktor itu sambil dia cuba menahan Zackery.
“Kau tak faham ke aku cakap tadi? Aku lumpuh!!” pekik Zackery semakin kuat.
Tidak berjaya dengan pujukan akhirnya doktor itu mengambil tindakan lain. Zackery disuntik dengan ubat penenang. Sekejap sahaja dia mula lembik di katil itu. Terkebil-kebil mata basahnya memandang semua orang di sekelilingnya. Betapa kasihannya aku melihat keadaan lelaki itu. Agaknya kalau aku yang berada di tempatnya, aku pun macam tu. Terpekik-pekik tidak mampu menerima kenyataan.
Untuk beberapa ketika Zackery terus di kelilingi lelaki-lelaki itu. Aku sekadar menunggu di sofa. Namun tidak lama kemudian Dr. Amirul mula memandang aku.
“Dato Abdillah dengan Datin Noraini dah tahu yang Zackery dah sedar?” tanyanya kepadaku.
“Dah. Saya dah call dia tadi doktor.”
“Kalau boleh minta mereka cepat balik ke sini. Saya perlukan dia orang di sini,” ucap doktor itu lembut.
“Nanti saya akan bagitahu mereka.”
“Buat sementara ni jangan tinggalkan dia seorang diri. Kalau boleh malam ni kena ada orang temankan dia,” pesan doktor itu lagi.
Aku hanya mampu mengangguk begitu sahaja. Tetapi siapa pulak nak temankan dia malam ni? Aku ke? Ish! Mau kena siang aku dengan mak nanti. Habis tu nak biarkan macam tu aja? Aku mula termangu memikir sendiri.
“Kalau ada apa-apa terus panggil kami. Saya keluar dulu,” ujar Dr. Amirul lagi sebelum berlalu.
Pemergian doktor itu hanya mampu ku pandang kosong. Setelah bilik itu ditinggalkan oleh semua kakitangan perubatan itu aku mula duduk di tepi katil. Melihat wajah lelaki itu agak kusut masai, aku mula mencapai tuala kecil di atas meja di tepi katil. Tuala itu aku basahkan dengan air suam. Kelopak mata Zackery bergerak-gerak saat aku mengelap pelupuk matanya yang basah.
“Mama..” keluh Zackery antara sedar dengan tidak.
“Mama awak balik sekejap lagi, Zack. Sabar ya? Ingat Allah banyak-banyak,” ucapku perlahan.
Tuala itu aku bilas dan sekali lagi wajahnya aku bersihkan. Betapa kasihannya aku dengan lelaki ini. Seharusnya saat ini ada seseorang yang dia sayang sedang memujuk kesedihannya. Tetapi siapa yang ada? Mana Aweena yang selalu bersama dengannya? Mana semua sahabat yang sering bergelak ketawa dengan dia?
Tiada! Yang ada hanya aku. Aku yang selama ini tidak pernah ada di matanya.
Betapa leganya hatiku apabila jam 8 malam itu kelibat Auntie Nora dan suaminya tiba di situ. Gelisah yang aku rasa sudah tidak terucap semenjak selepas maghrib tadi. Dengan kehadiran mereka di sini, rasanya cukuplah aku setakat ini. Aku sudah tidak sanggup memandang semua ini lagi. Kalau ditakdirkan dia menderita, aku harap semua itu bukan lagi di hadapan mataku.

PULANG daripada hospital itu aku termenung sendiri atas sofa di ruang tamu rumah Adila yang sudah sebulan menjadi rumahku. Adila yang sedang membancuh air kedengaran bertanya kepada tentang keadaan Zackery dari arah dapur. Namun aku sengaja tidak menjawab. Sengaja menunggu dia datang dekat.
“Macam mana dengan keadaan Zack tu?” tanya Adila lagi sebaik sahaja dia meletakkan mug air di hadapanku.
“Makin teruk. Dia memang lumpuh separas pinggang,” jawabku rendah.
“Iya ke? Eee.. rugi aku tak ikut kau pergi tengok dia tadi.”
“Tak rugilah kau tak pergi pun. Dia bukannya suka orang datang melawat dia. Aku dengan mak dan abah aku pun dapat tengok sekejap aja. Selebihnya kita orang duduk kat luar berborak dengan mak dan ayah dia. Dia masih tak boleh terima kenyataan keadaan diri dia macam tu. Auntie Nora kata dia macam salahkan diri dia sendiri Amar meninggal dunia,” ceritaku perlahan.
Permukaan meja kopi kaca di hadapan kami itu aku pandang lama seolah-olah di situ terlayar segala kejadian di hospital sebentar tadi. Hatiku pedih melihat keadaan lelaki itu. Dia kelihatan cengkung tidak bermaya. Apa yang diceritakan oleh Rahimah sebelum ini memang benar. Zackery nampak macam orang tidak siuman. Tidak terjaga! Abah dan mak sebelum ini sudah pergi melawat Zackery sebelum itu. Rahimah juga yang memberitahu aku keadaan lelaki itu.
“Kalau kita berada di tempat dia pun mungkin kita akan rasa macam tu, Hana. Siapa yang mudah terima kalau kehilangan satu-satunya adik yang ada. Dia perlukan masa untuk terima keadaan ni seadanya. Tak ada dugaan yang Allah beri berlebihan daripada kemampuan kita sebenarnya,” komen Adila perlahan.
Aku diam memikirkan kata-kata Adila. Memang Zackery memerlukan masa untuk menerima kenyataan tentang Amar. Tetapi tentang keadaan dirinya begitu, dia seharusnya bersabar. Doktor menjangkakan keadaan kakinya itu hanya untuk sementara. Memang agak hairan. Menurut doktor, agak pelik bagaimana Zackery boleh lumpuh sedangkan kawalan kepada organ pembuangannya masih elok. Kata doktor selalunya dalam kes-kes seperti ini pesakit akan ada masalah buang air besar dan tidak mampu mengawal kencing. Cumanya dalam keadaan dia begitu terpaksalah menggunakan lampin pakai buang. Sebelum ini doktor menjangkakan Zackery hanya akan mengalami komplikasi kecil iaitu sakit belakang yang mana keadaan itu boleh diselesaikan dengan ubat-ubatan.
Tetapi daripada sebuah artikel di dalam laman web Christopher Reeves Foundation yang aku baca sebelum ini.. kesan kecacatan seseorang yang mengalami kecederaan saraf ini tidak boleh dijangka setepat-tepatnya. Begitu juga dengan kesembuhannya. Kebanyakan kes pesakit tidak boleh sembuh seperti sedia kala. Namun semua itu hanya dinilai menurut kes-kes yang lazim berlaku di seluruh dunia. Namun jika ada sedikit kelainan yang berlaku mereka akan terus membuat pemeriksaan teliti kepada saraf tunjang untuk menilai sejauh mana sebenarnya kerosakan saraf itu sebenarnya. Mungkin inilah yang berlaku kepada Zackery.
“Apa kata mak dengan abah kau pasal ni?” soal Adila memecah menungan jauh ku.
“Takde apa nak katalah, Dila. Abah dengan mak aku pun kesian tengok Zack tu. Abah ada juga bagi cadangan pada uncle Abdillah supaya dapatkan rawatan tradisional juga. Tak boleh hanya bergantung kepada doktor aja. Ubat doktor ni pun keupayaan dia membantu menyembuhkan penyakit tetap terbatas. Terpulang dialah nak buat macamana. Kita hanya boleh bagi advice aja. Doktor ada bagitahu, mungkin lumpuh tu hanya kesan sementara. Apa-apa penyakit pun kena sabar sikit kalau nak sembuh ni,” jawabku biasa.
Adila mengangguk perlahan .
“Aku nak mandi kejap, Dila. Nak solat..” kataku. Soal Zackery tidak inginku perpanjangkan lagi. Hanya Allah sahaja yang mampu membantu dia dalam keadaan macam ni. Sebelum bangun aku menghirup sedikit air yang bancuh Adila.
“Si aween tu ada kau nampak ke kat hospital tadi?” sempat juga Adila melontar pertanyaan itu dalam pada aku bangun dari sofa.
“Tak ada. Entah-entah dah tersangkut dengan mamat mat saleh kat US sana kut. Tu yang tak pernah balik. Pelik.. waktu orang tu tengah sihat dia ada aja. Tapi bila Zack tu dah jadi macam tu dia lenyap tiba-tiba,” komenku.
“Itulah cinta sejati namanya, Hana. Cinta kopi. Sedap diminum masa panas aja. Bila dah sejuk pandang sebelah mata pun tak. Last-last buang jugak akhirnya. Nasib baiklah ada minah sorang tu yang masih setia. Walaupun dah cacat minah tu tetap juga suka kat mamat tu.”
Langkah ke kamar terhenti mendengar kata-kata berbaur sindiran Adila. “Kau cakap pasal siapa ni?”
“Eh! Takde siapalah. Dah! Pergi solat sana. Nanti terlepas pulak waktu asar. Tak baik melengahkan solat ni, cik Raihana oi!”
“Kalau ditakdirkan kau jatuh cinta pada seorang lelaki. Tiba-tiba dia jadi macam ni, kau pun nak larikan diri macam Aweena ke, Dila? Kau tak rasa ke perbuatan tu macam mementingkan diri sendiri? Kita ni pun takkan selamanya sihat walafiat. Bila tiba turn kita nanti, apa perasaan kita bila semua orang jauhkan diri daripada kita?” tekanku cukup tidak senang dengan sindirannya.
“Sorry. Aku tak ada niat nak sakitkan hati kau, Hana.”
“Hanya Allah sahaja yang faham apa yang aku rasa sekarang, Dila. Dan hanya DIA sahaja yang ada jawapan yang tepat, apa yang harus aku buat dengan keadaan ni. Kalau aku jadi dia, aku pun harap orang yang aku sayang akan datang jenguk aku.” Aku berkata lagi sambil memandang Adila.
“Sorry, Hana. Aku takkan cakap macam tu lagi,” ucap Adila perlahan.
Aku sekadar menggeleng kesal sambil berlalu ke bilik air. Tiada siapa yang akan faham perasaan aku sekarang ini. Aku boleh jauhi dia. Tetapi selama ini ingatan ku asyik terbang mencari Zackery. Aku hanya mahu yang terbaik untuk dia. Salahkah itu? Aku bukan Aweena yang tega membiarkan Zackery begitu sahaja. Sekurang-kurangnya aku ingin dia bersemangat untuk bangkit melawan ketidakupayaannya sekarang.
Usai bersolat asar aku lihat Adila masih berada di ruang tamu menatap televisyen. Aku kembali duduk di tempat tadi. Sisa air yang masih ada di dalam mug itu aku hirup semula.
“Sebenarnya Zack tu masih dikira bertuah, Hana. Dia masih ada seseorang yang mahu mengambil berat pada dia walaupun orang tu tak pernah dia pedulikan selama ni. Kalau orang lain mungkin dia tu dah diketawakan. Tapi kau tak pernah buat macam tu,” ucap Adila tiba-tiba mengubah pendiriannya pula.
Aku diam tidak memberi komen. Namun di ruang mataku, aku kembali teringat peristiwa lebih sebulan duhulu saat dia baru tersedar daripada koma. Pandangannya kepadaku seolah-olah sedang menagih harapan. Semoga akan ada seseorang di sisinya menemankan dia saat dia keseorangan. Itu yang dapat aku tafsirkan daripada mata layunya ketika itu.
“Hana, kalau kau rasa ini yang terbaik untuk kau, aku sokong.” Suara Adila kedengaran rendah. Kemudian dia menghela keluhan sendiri.
“Maksud kau?” tanyaku dengan sedikit kerutan di kening.
Adila menghela nafas perlahan. “Semenjak dari zaman sekolah aku tengok Zack tu tak pernah nak dekat dengan kita. Tapi aku tahu dia selalu dekat di hati kau. Kita semua ada cara tersendiri untuk jatuh hati pada seseorang. Mungkin apa yang berlaku ni ada rahsia dan ada sesuatu yang Allah nak tunjukkan pada kita semua. Selagi tindakan kau mampu memberi kebaikan pada orang di sekeliling kau, aku terima dengan hati yang terbuka,” kata Adila lembut.
“Sekejap. Sekejap. Aku tak faham apa yang kau maksudkan ni, Dila?” ucapku semakin keliru.
“Aku tahu sia-sia aja aku suruh kau lupakan dia. Tapi apa yang aku nampak sekarang ni ialah.. semenjak dia jadi macam ni, kau dapat dekatkan diri dengan dia. Mungkin inilah masanya untuk kau dapatkan apa yang kau nakkan selama ni, Hana. Kalau kau tak buktikan siapa diri kau yang sebenarnya, Zack takkan tahu apa yang kau ada untuk dia selama ni,” ujar Adila lembut.
Aku diam sahaja tidak membalas kata-kata Adila.
“Hana, aku tak patut cakap macam tadi tu pada kau. Kita semua pun tak tahu apa pulak yang kita akan lalui pada masa hadapan. Hari ni hari dia. Esok lusa entah kita pulak. Mungkin aku tak mampu nak faham perasaan kau pada Zack tu. Tapi apa yang aku tahu, kasih sayang yang ikhlas bukan hanya ada ketika senang. Dan hilang waktu dia jadi macam tu. Dahlah dia tu dah tak ada lagi adik beradik lain. Kawan-kawan pun haprak belaka!” luah Adila cukup lembut.
“Aku takde apa yang nak dibuktikan pada dia, Dila. Aku tak buat semua ni sebab nak menagih cinta dia,” jawabku perlahan.
“Aku tahu kau ikhlas buat semua tu. Tapi aku ni sepupu kau. Aku sedar dalam diam kau susah hati memikirkan dia. Kalau tak takkan kau dah tak menulis lagi sekarang ni. Dah lama aku tengok lappy kau tu terbiar macam tu aja. Aku sedar sejauh mana kita berlari pun, ingatan kau pada dia takkan boleh ditinggalkan macam tu aja. Nak-nak lagi dalam keadaan dia tengah macam ni. Aku tahu kau bukan jenis perempuan berhati kejam macam tu,” sambut Adila mudah.
Aku menghela nafas perlahan. Mengharapkan dia akan membalas perasaan ku? Aku tahu itu sebenarnya teramat payah untuk ku harapkan. Tengok sahaja kebanyakkan wanita yang mendampingi dia. Semuanya daripada golongan kaya yang pandai bersosial. Berkereta mewah dan berpakaian seperti artis barat. Mereka orang moden. Sedangkan aku hanya wanita yang sederhana. Kehidupan ku biasa-biasa sahaja. Family ku juga hidup sederhana. Kami bukan orang koporat. Daripada seorang jurutera, kini abah ku seorang pengusaha stesen minyak. Aku memang tidak menepati langsung selera dia. Mungkin juga tak sesuai dengan dia.
“Hanya Allah sahaja yang tahu apa sebenarnya yang ada dalam hidup kita ni, Dila. Aku hanya ikut jalan yang dibuka depan mata aku ni.”
“Mungkin jalan tu sebenarnya menghala kepada Zack, Hana. Sebab tu semuanya jadi macam ni,” sambut Adila bersungguh.
“Kenapa lain macam aja bunyi kau bercakap ni? Dulu kau jugak yang tak suka aku pergi pada dia. Kau jugak yang suruh aku lupakan dia,” ucapku dengan sedikit kerutan di kening.
Adila sempat tersenyum memandang kepada ku. “Aku cuma buat andaian aja. Itu yang aku rasa selepas semua yang nampak selama ini. Allah tak jadikan sesuatu tu kosong begitu sajakan, Hana? Ada sebab mengapa semua ni berlaku. Mungkin jugak ada sebab mengapa mak Zack tu asyik minta tolong kau. Aku aja yang suka sangka bukan-bukan,” luah Adila selamba.
“Mungkinlah. Tapi aku tak pandang pun dalam keadaan macam ni dia nak bercinta dengan aku pulak. Diri sendiri pun tak terjaga,” jawabku agak hambar.
“Tiba-tiba kau jadi pesimis pulak dalam hal ni. Macam orang berjauh hati pun ada..” Adila tergelak perlahan sambil merenung tingkahku.
“Nak berjauh hati buat apa? Aku terima keadaan ni seadanya, Dila. Aku terima setiap apa yang Tuhan tentukan untuk aku. Soal Zackery aku tak mahu berharap banyak sangat. Sebab selama ini pun terlalu banyak klu yang diberikan pada aku untuk aku faham,” jawabku semula.
“Habis tu kenapa kau tak lupakan aja dia?” sambut Adila pantas mengenakan aku semula.
Aku tunduk seketika sambil menghela nafas. “Entahlah. Aku pun tak tahu kenapa aku masih ingatkan dia. Perasaan ni ada begitu sahaja, Dila. Takde apa yang dia pernah berikan pada aku yang boleh membuatkan perasaan ni semakin kukuh. Tapi rasa tu tetap ada kat situ. Aku pun tak faham, Dila.”
“Hana, antara kau dan Aween.. aku tahu perasaan yang ada pada kau tu lebih ikhlas. Tak salah pun kalau kau nak ambil peluang ni. Siapa tahu apa yang menunggu kau nanti?” ucap Adila lembut.
Aku diam tidak menjawab. Semuanya masih terlalu jauh di fikiran ku. Macam pelik pun ada. orang lain berebut-rebut mencari bakal suami yang sihat walafiat. Aku pulak dok kejar lelaki lumpuh. Betul ke tidak aku ni sebenarnya? Entah! Aku pun keliru sebenarnya.












BAB 4 
PAGI itu akibat kebosanan yang melampau aku ke kedai buku lagi. Itu memang tempat kegemaran aku. Untuk beberapa jam itu aku tersadai di rak novel. Dari satu buku hingga ke satu buku aku belek. Sedar tidak sedar sudah ada tujuh buah yang aku susun di tepi. Nak belilah tu namanya. Aku ni jenis manusia bila dah sampai mood membaca novel sampai sanggup tak tidur malam semata-mata kerana novel. Dan selalunya lepas membaca novel, mood berkarya pun akan jadi segar semula.
Kemudian langkah aku halakan ke bahagian buku-buku kesihatan pula. Mencari-cari buku yang sesuai untuk penambah pengetahuanku. Kadang-kala buku-buku begini aku simpan kerana banyak info yang berguna untuk aku gunakan di masa hadapan. Juga untuk rujukan ketika menulis.
Namun seketika kemudian aku terpandangkan satu buku motivasi yang bertajuk ‘Hope’karya seorang penulis yang kini sudah cacat akibat akibat kemalangan. Lama aku membaca tulisan di belakang buku itu. Gambar di belakang buku itu tertera seorang lelaki yang duduk di atas kerusi roda.
Melihat buku itu aku mula terfikirkan lelaki seorang itu. Mungkin ada baiknya dia membaca buku ini. Siapa tahu dia kembali kuat untuk menempuh hidupnya seperti si penulis bernama Andrew Martin ini. Akhirnya buku itu aku bawa bersama novel yang lain ke kaunter. Setelah membuat pembayaran aku kembali mendapatkan kereta ku.
Mengenangkan tiada apa yang hendak aku lakukan di rumah, aku terus menghalakan kereta ke Hospital Pantai. Saat aku tiba di bilik wad itu, Zackery tidak tidur. Dia hanya termenung memandang ke atas. Berdebar juga dadaku. Takut dia tidak suka aku datang melawatnya.
“Assalamualaikum..” aku segera menyapa saat mata lelaki itu terhala kepadaku.
“Waalaikumussalam..” dia sekadar menjawab perlahan.
“Sorang aja ke? Auntie Nora mana?” tanyaku sebaik sahaja berada di tepi katilnya.
“Mama kat ofis.”
Aku mengangguk perlahan mendengar jawapan Zackery. Tiada rasa terkejut mendengar itu kerana ini bukan kali pertama Zackery ditinggalkan sendiri.
“Macam mana keadaan awak sekarang? Ada perubahan?” tanyaku lagi. Tidak selesa pula rasanya apabila terus dipandang lelaki itu begitu sahaja.
“Macam nilah.” Jawapan Zackery terus kedengaran hambar di pedengaranku.
“Saya singgah sekejap aja. Saya nak bagi awak buku ni. Dalam keadaan macam ni eloklah awak isi masa terluang dengan membaca,” kataku lantas buku di dalam plastik MPH itu aku berikan kepadanya.
Zackery mengambil buku itu. Lama dia memandang muka hadapannya sebelum buku itu diletakkan sahaja di tepinya.
“Nak buat apa baca lagi. Dah takde guna! Semua ni mengarut aja! Bukannya aku boleh sembuh dengan baca buku ni!” dengusnya kasar.
“Kuasa menyembuhkan memang tiada pada buku tu, Zack. Juga bukan kuasa doktor. Tapi itu semua hak Allah. Awak jangan putus asa sekarang. Ini semua ujian Allah,” balasku lembut.
Ketegangan di wajah Zackery mengendur mendengar kata-kata ku. Perlahan dia melepaskan keluhan kasar. “Hidup aku dah tak ada guna. Aku ni dah macam mayat hidup! Nak bergerak pun tak boleh!”
“Zack, penulis buku tu pun lumpuh juga. Dia pun kemalangan jalanraya juga. Tapi dia bangun untuk diri dia sendiri. Kalau dia tu pun masih boleh berfikiran positif dalam hal macam ni. Kenapa kita tidak, Zack? Kita kena terima Qada dan Qadar daripada Allah dengan lapang dada. Ada sebab kenapa Allah biarkan awak masih hidup sekarang ni. Jangan anggap apa yang masih tinggal tu langsung tak berguna. Itu putus asa namanya!”
Zackery terus berdiam. Melihat dia begitu akhirnya aku memutuskan untuk berlalu sahaja. Aku tidak mahu menganggu dia berehat. “Saya balik dulu. Ada masa awak bacalah buku tu,” ucapku perlahan. Melihat dia tidak menjawab, aku segera berlalu ke pintu.
“Hana..” tiba-tiba kedengaran suara itu memanggilku semula. Lambat-lambat aku menoleh.
“Ya..” jawabku perlahan.
“Boleh temankan aku kat sini sekejap?” ucap Zackery sedikit sedikit lembut.
Aku terdiam mendengar pertanyaan yang sama sekali tidak pernah dijangka. Dia mahu aku temankan dia?
“Kalau kau tak mahu, tak apalah..” ucap Zackery rendah setelah tiada jawapan yang aku berikan.
“Mama awak tak temankan awak ke, Zack? Aween mana?” soalku lantas mendekati dia semula.
“Mama banyak kerja di ofis. Aween.. aku tak tahu dia di mana sekarang. Dia dah lama tak call aku. Aku runsing duduk seorang diri. Aku nak balik rumah tapi doktor tak bagi,” ucap Zackery cukup rendah.
“Bila kita duduk seorang kita akan lekas fikir yang bukan-bukan. Syaitan memang suka kepada orang yang duduk seorang diri. Sebab bila kita seorang diri diri kita rapuh,” sahutku lembut.
“Aku tak mampu nak membayangkan hidup aku macam ni, Hana. Aku dah hilang semuanya. Amar dah takde. Aku pulak lumpuh. Mama dengan papa tak pedulikan aku. Kawan-kawan.. semuanya takde dalam keadaan aku macam ni. Aku rasa sunyi sangat. Aku nak kehidupan aku yang dulu,” jawab lelaki itu agak sayu.
Aku terdiam memandang lelaki itu. Mata layunya yang berkaca segera menerbitkan rasa simpati di hatiku. Perlahan aku mengambil kerusi lalu duduk.
“Ujian yang Allah bagi ada sebabnya, Zack. Sebab yang paling nyata, Allah mahu kita ingat pada dia, tunduk pada kuasa-Nya. Sekurang-kurangnya Allah masih biarkan kedua-dua tangan awak tu berfungsi seperti biasa. Itu salah satu tanda belas kasihan Allah pada kita. Banyakkan bersabar, Zack. Jangan salahkan takdir,” nasihatku lembut.
“Tapi aku tak sanggup hidup terbaring macam ni selama-lamanya, Hana. Kau takkan faham! Kau tak berada di tempat aku! Hidup aku memang malang. Dalam keadaan aku macam ni tak ada siapa pedulikan aku. Mama dengan papa terus sibuk dengan dunia sendiri!” getus lelaki itu sedikit keras.
“Kalau saya tak peduli dengan keadaan awak, saya takkan datang sini bawak buku tu untuk awak baca, Zack!” tegasku sedikit keras melawan suaranya. Zackery terus memandangku.
“Awak nak orang sekeliling pedulikan awak. Tapi awak sendiri pun tak peduli dengan diri sendiri. Awak yang kena bina semula keyakinan diri awak. Orang sekeliling hanya boleh bagi dorongan. Kita tak boleh harap orang lain yang akan faham keadaan kita melainkan kita pun kena kekuatkan diri kita sendiri,” tambahku serius.
Zackery terdiam mendengar kata-kata ku. Wajahnya sedihnya terus terpapar di hadapan mata membuatkan aku jadi simpati kepadanya.
“Memang tak semua orang mahu berada di sisi kita saat kita susah, Zack. Itu semua memang adat dunia. Tapi takkanlah awak nak biarkan diri awak terus lemah begini hanya kerana semua kenikmatan dulu tu dah hilang? Jatuh dan bangun hidup ni memang permainan dunia,” ujarku lagi.
“Aku tak tahu macam mana nak teruskan hidup aku dalam keadaan aku macam ni, Hana. Aku dah tak mampu pergi kerja macam dulu. Nak mandi sendiri pun tak boleh! Hidup apa macam ni? Tak ada makna!” Zackery terus merungut tentang keadaan dirinya. Aku menggeleng perlahan melihat dia.
“Ramai lagi manusia di luar sana yang lebih teruk daripada awak, Zack. Ramai lagi di luar sana yang menderita tak mampu mendapatkan rawatan. Bersyukurlah dengan apa awak ada ni,” tekanku semakin tidak senang dengan kata-katanya itu.
“Lelaki macam aku ni dah takde gunanya, Hana. Aku tak boleh kahwin.. tak boleh ada zuriat. Kau sanggup ke terima lelaki yang cacat macam aku ni untuk jadi suami kau? Sanggup? Kau tak tahu sakit yang aku kena tanggung setiap malam. Aku menderita hidup macam ni!” balas Zackery kasar.
“Tapikan doktor kata awak mungkin cuma lumpuh sementara? Bersabarlah, Zack. Nak sembuh ni kena ambil masa,” pujuk lembut.
Zackery terus menggeleng tidak mampu menerima nasihat ku
“Sampai bila? Aku nak sihat sekarang! Aku tak mahu hidup macam ni, Hana! Aku nak kahwin, nak ada anak. Aku nak pergi kerja macam dulu. Aku tak tahu apa akan jadi pada aku nanti. Aku tak sanggup. Lebih baik aku mati aja daripada hidup macam ni,” luah lelaki itu terus sayu.
“Astaghafirullah. Zack, ada sebabnya Allah tarik balik kenikmatan tu. Awak fikirlah baik-baik. Tak baik awak terus meratap macam ni!” tegasku sedikit terkejut mendengar kata-katanya. Sampai begitu sekali fikirannya.
Zakery meraup wajahnya kasar sambil menggeleng. “Aku runsing memikirkan masa depan aku sendiri, Hana. Aku dah takde sesiapa lagi selain mama dengan papa. Kalau dia orang takde, aku tak tahu apa akan jadi pada aku nanti.” Zackery menggeleng lagi. Ada air mata yang mengalir di hujung matanya.
Kali ini aku pula yang terdiam tidak mampu membalas. Hati ku benar-benar tersiksa melihat kesedihan di wajah lelaki itu.
“Macam mana awak boleh kemalangan waktu tu, Zack?” aku segera mengalih topik perbualan. Takut kalau dia menangis, aku pun menangis sama.
“Malam tu lepas aku ambil Amar di kolej aku terus balik rumah. Aku tak tahu apa sebenarnya yang berlaku tapi yang aku masih ingat ada macam objek terbang masuk ke dalam kereta. Kebetulan waktu tu aku memang biarkan cermin tingkap terbuka. Aku rasa objek tu langgar muka aku. Waktu tulah aku hilang kawalan. Aku terlanggar pembahagi jalan sampai kereta aku terbalik.”
“Objek apa?” soal ku hairan. Batu ke?
“Tak tahu. Kalau tak silap aku mungkin burung. Tapi dia besar. Aku tak nampak jelas sangat apa benda tu sebab waktu tu memang gelap.”
“Burung?” aku sempat merasa terkejut mendengar itu. Tetapi boleh jadi juga. Bukannya aku tak pernah tengok burung tiba-tiba menghentam cermin hadapan kereta waktu kereta tengah laju di jalan raya.
“Aku rasa burung sebab aku selalu mimpikan kejadian tu semenjak kebelakangan ni,” jawab Zackery sambil memandang atas.
“Mimpi ni mainan tidur. Awak jangan terlalu fikirkan sangat benda tu semua. ingat Allah banyak-banyak dalam keadaan macam ni, Zack. Hanya DIA saja yang ada kuasa untuk mengubah keadaan ni,” ujarku lembut.
Zackery hanya diam tidak membalas. Aku juga mula diam sudah tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Aneh pula keadaan kami saat ini. Namun seketika kemudian Zackery mula memandang kepadaku.
“Esok kau sibuk ke?” soal Zackery lembut.
“Tak tahu lagi. Kenapa?”
“Boleh temankan aku lagi nanti?” lembut sahaja cara dia mengalunkan pertanyaan itu. Macam minta simpati pun ada.
“Insya-Allah. Saya tak boleh janji. Kalau saya tak sibuk saya akan datang,” jawabku biasa.
“Kalau kau tak datang, tak ada siapa yang nak berbual dengan aku. Mama dengan papa selalunya datang sekejap aja. Malam aku kena tidur seorang di sini. Aku rasa macam nak gila duduk seorang diri,” cerita Zackery perlahan.
“Kenapa papa awak tak temankan awak di sini?” soalku mula sibuk mahu tahu tentang itu.
Zackery diam seketika pada permulaannya. Wajahnya benar-benar sayu. Macam ada sesuatu yang hendak disampaikannya.
“Mungkin sebab papa tak mahu uruskan aku. Sepatutnya dia yang kena mandikan aku.. bersihkan apa yang patut. Tapi selama ni jururawat yang buat semua tu. Nasib baiklah semuanya lelaki,” jawab Zackery perlahan.
“Papa awak bayar semua khidmat tu, Zack? Biarlah jururawat yang buat,” ucapku lembut.
“Semua ayah akan biarkan jururawat yang buat? Kalau terkena pada abang kau sendiri macam mana? Abah kau pun akan biarkan abang kau terkedang sendiri macam ni hanya disebabkan dia mampu bayar khidmat jururawat?” duga Zackery.
Kata-kata Zackery membuatkan aku terdiam memikir sendiri. Ya tak ya juga.. bukankah ini tandanya kasih seorang ayah kepada anak. Dan kasih seorang anak kepada ayah? Aku tahu abahku bukan jenis begitu. Abah sangat mengambil berat keadaan kami adik beradik.
“Sabarlah, Zack. Ini cuma ujian kecil pada awak. Sekurang-kurangnya papa awak mampu menggajikan orang di sini untuk menjaga awak. Sebab dia tahu dia tak mampu nak menjaga awak dengan baik,” ucapku sekadar mahu menyedapkan perasaannya.
“Kau akan temankan aku nanti, kan? Aku dah tak ada kawan lain selain daripada kau, Hana.” Zackery berkata lembut sambil memandang kepadaku.
Sayu hati ku mendengar kata-katanya. Hanya tinggal aku yang masih peduli kepadanya. Itu pun perhatian yang dapat aku berikan tidak semana.
“Insya-Allah, Zack. Kalau saya tak sibuk, saya akan datang,” jawab ku lembut.

EKOR mataku terkesan pergerakan lelaki itu dalam keralikan aku menyiapkan kerja. Zackery sudah terjaga dari tidurnya. Spontan terhenti segala pergerakan jari yang ralik menaip.
“Kenapa dengan awak ni?” aku segera menegur tatkala lelaki itu kelihatan resah semacam. Laptop aku alihkan ke tepi dan aku bangun mendekati Zackery.
“Sakit belakang,” jawab Zackery perlahan.
“Itulah. Ubat tu kenapa awak tak makan? Dah lama nurse tu letak kat situ. Makanlah ubat tu,” gerutuku geram melihat kedegilan lelaki seorang ini. Dah tahu memang itu masalahnya setiap hari, ubat yang dibekalkan doktor tidak pula dimakannya.
“Aku tak mahu makan ubat tu. Aku tak tahan,” jawab Zackery agak lemah.
“Aku nak balik rumah, Hana. Aku dah tak tahan hidup macam ni,” tambah Zackery lagi.
Kata-kata itu membuatkan aku menghela nafas lagi. Masuk kali ini sudah berpuluh kali dia mengutarakan keinginan untuk balik ke rumah. Namun sehingga ke saat ini dia masih di sini. Sudah lebih lima bulan Zackery terkedang sahaja di katil. Kalau aku pun mahu gila aku dibuatnya. Masalahnya bukannya doktor langsung tidak membenarkan Zackery keluar dari wad. Tetapi kedua ibu dan ayah Zackery tetap mahu Zackery berada di sini untuk rawatan lanjut.
Aku sedar kesan ubat tahan sakit yang dimakan oleh Zackery membuatkan badannya lemah. Rautnya semakin cengkung. Jelas sekali kesan-kesan derita di wajah lelaki itu. Inilah yang membuatkan aku tidak tahan. Setiap rungutannya membuatkan hatiku tersiksa sendiri.
“Awak makanlah ubat tu,” ucapku sudah semakin risau melihat dia resah semacam. Wajahnya berkerut menahan sakit.
“Tak berkesan..” rungut Zackery lemah.
“Kenapa awak tak request ubat lain aja?”
Zackery diam pula. Ubat yang aku hulurkan diambilnya juga bersama dengan bekas air yang berstraw. Aku segera membantu mengangkat sedikit kepalanya supaya mudah dia menelan air. Zackery kembali menghulurkan bekas air itu kepada ku setelah 3 biji pil tadi sudah selamat masuk ke perutnya.
Kemudian aku duduk di tepi katil itu. Zackery pula sekadar memandangku.
“Kenapa Aween tak pernah datang jenguk awak, Zack?” soalku tiba-tiba. Dah lama mahu tahu tentang wanita itu.
“Aku tak perlukan dia kat sini pun.” Zackery menjawab perlahan.
Jawapan itu menerbitkan kerutan di kening. “Kenapa pulak?”
“Takde apa-apa. Aku tak mahu bercakap pasal dia,” jawab Zackery lemah. Nafasnya cuba dihela teratur. Namun kelihatan lemah.
“Takkanlah dia tak risau langsung keadaan awak macam ni, Zack? Atau dia tak tahu yang awak kemalangan sebelum ni?” aku tetap mengajukan soalan tentang itu. Sudah tidak tertahan lagi keinginan di dalam hati untuk tahu ke mana perginya perempuan seorang itu. Macam ada yang tidak kena sahaja.
Zackery diam tidak menjawab. Macam tidak berminat sahaja mahu menjawab pertanyaanku tentang wanita itu.
“Awak dengan dia ada masalah ke?” tanyaku masih tidak berputus asa.
“Dia tak datang pun tak apa sebab aku tak perlukan dia dalam hidup aku!” jawab Zackery tanpa memandang aku.
Melihat Zackery seperti tidak berminat mahu bercakap lanjut tentang wanita itu, aku terus diam. Bimbang kalau aku banyak bertanya nanti, dia naik angin pula.
“Hana, kau duduk sini dengan aku, takde siapa yang marah ke? Maksud aku, kekasih kau tak marah ke?” giliran Zackery pula bertanya tentang diriku.
“Bila masa pulak saya kata saya ni ada kekasih?” desisku perlahan.
“Manalah tahu. Kau tak pernah cerita apa-apa pasal kisah peribadi kau. Kau asyik bercakap pasal aku aja,” sambut Zackery lembut.
“Awak tak pernah tanya, macam mana saya nak cerita? Selama ni pun awak bukannya nak pedulikan saya pun,” balas ku selamba.
Zackery terdiam memandang aku. Spontan aku mula tersedar yang aku sudah terlebih kata. “Maksud saya, kita tak rapat selama ni,” ucapku cuba memperbetulkan maksudku tadi.
“Kenapa kau tetap ambil tahu pasal aku? Selama ni kita tak rapat. Aku tahu aku ni memang tak pernah pedulikan kau,” ujar Zackery pula. Mata lelaki berusia 28 tahun itu masih tidak berkalih dari wajahku.
“Sebab kita dah lama kenal, Zack. Kita satu sekolah. Satu universiti dan kita pun dikira berjiran. Salah ke saya ambil berat tentang awak?” balasku cuba menyelindungkan rahsia hati selama ini.
“Sepatutnya hidup kau berada di luar sana. Layan semua pembaca-pembaca buku kau. Atau cari teman lelaki. Bukannya temankan lelaki cacat macam aku ni. Aku dah banyak menyusahkan kau selama beberapa bulan ni, Hana. Aku minta maaf,” ucap Zackery agak rendah.
“Tak baik awak cakap macam ni, Zack. Hari ni hari awak. Esok lusa mana tahu hari saya pulak. Hidup manusia ni ada putarannya,” jawabku perlahan. Renungan mata redupnya tiba-tiba membuatkan aku segan pula.
“Tapi takkanlah selama ni kau tak ada teman lelaki? Aku tak percaya perempuan macam kau tak ada yang mahu. Kau memilih sangat agaknya?” duga Zackery masih tidak puas hati dengan jawapanku tadi. Kata-kata itu membuatkan aku tergelak perlahan.
“Seru belum sampai, Zack.” Mudah sahaja jawapan yang ku beri. Aku sebenarnya sudah tiada idea lain mahu menjawab. Tersalah cakap nanti, terbongkar lagi rahsia aku.
Zackery tersenyum memandang aku. “Kalau aku tahu, dari dulu lagi aku dah dekat dengan kau,” ucapnya lembut.
“Kalau awak tahu apa?” soalku semula dengan sedikit kerutan di kening.
“Bila pandang kau lama-lama baru aku tahu yang kau ni cantik, Hana.” Spontan Zackery tersenyum pula.
Berderau darah ku mendengar kata-kata lelaki itu. kenapa lain macam pulak dia ni? Kesan ubat ke apa? Dahlah mata kuyu semacam, detik hatiku sendiri. Hairan dengan gelagat Zackery.
“Oh! Tiba-tiba awak rasa saya ni cantik pulak. Dulu Aweena yang cantik, ya tak? Saya ni langsung takde dalam senarai,” perliku selamba.
Ajaibnya lelaki itu ketawa pula dengan kata-kata ku. “Aku pun tak tahu kenapa. Aku tak berapa gemar dengan perempuan yang bertudung. Tapi sekarang bila kau selalu ada depan mata aku, aku selalu terfikir. Macam mana rupa kau kalau kau tak bertudung? Siapa yang dapat tengok tu memang bertuah,” ucap Zackery biasa.
“Apa benda awak mengarut ni, Zack?” semakin terkejut aku mendengar kata-katanya itu. Dah lain benar bunyinya. Aku nampak mata dia macam dah ‘lalok’ sangat. Aku agak dia pun tak sedar apa yang dia cakap.
Zackery tersenyum memandang ku. “Jangan risau. Aku bukannya boleh buat apa-apa pada kau pun. Aku ni dah mati pucuk.” Dengan selambanya dia berkata begitu.
Memang sahlah dia ni dah hayal. “Lebih baik awak tidur. Lagi banyak awak bercakap, entah apa-apa yang yang awak merepek nanti,” balasku agak tidak senang mendengar itu. Nak buat apa dia bongkar pada aku rahsia sendiri?
“Aku tak boleh tidur lena. Setiap kali aku tidur, aku rasa macam aku tengah berjaga. Ada macam-macam benda yang bermain dalam fikiran aku ni. Semua tu tak boleh berhenti. Sebab tu aku tak suka makan ubat tu. Sakit belakang tu tetap tak hilang. Penghabisannya aku yang tak boleh tidur lena,” ucap Zackery sambil mengalihkan pandangannya ke atas.
“Saya tak tahu nak tolong awak macam mana.” Aku membalas perlahan. Kasihan.
Lelaki itu tersenyum sedikit sebelum menjawab kata-kata ku. “Tak apa. Kau dah temankan aku kat sini pun, dah cukup bagi aku. Kalau aku duduk sorang-sorang, lagi banyak benda yang aku fikir.”
“Tak salah berfikir ni. Tapi fikirlah benda yang elok-elok. Jangan bersangka buruk pada Allah. Allah takkan ubah nasib kita kalau bukan kita yang memulakan usaha untuk mengubah nasib kita sendiri, Zack.” Aku berkata lembut kepadanya.
“Bila sendiri macam ni aku selalu teringatkan Amar. Aku betul-betul rindukan dia. Aku sedih sebab kecuaian aku dia meninggal. Kenapa tak aku aja yang mati? Kenapa mesti dia? Setiap kali aku terbayangkan dia, aku tak boleh kawal perasaan aku, Hana. Aku tak dapat tengok dia buat kali terakhir. Kubur dia pun aku belum dapat ziarah,” keluh Zackery sayu.
“Zack, ajal maut ni urusan Allah. Kita tak boleh pertikaikan semua tu. Sampai masa kita pulak yang akan ikut dia ke sana, Zack. Semua orang ada gilirannya. Allah lebih tahu semua ni berbanding kita,” pujukku perlahan.
“Nanti kalau aku dah balik rumah, kau akan jumpa aku lagi?”
Aku terdiam buat seketika.
“Hana, kalau ditakdirkan lelaki yang kau sayang jadi macam aku, kau pun akan tinggalkan dia?” tanpa menunggu jawapan kepada soalannya tadi Zackery mula mengalihkan persoalannya kepada hal itu pula. Bertambah terkedu aku nak menjawab. Hakikatnya aku sedang berada di hadapan lelaki yang aku suka. Hanya dia sahaja yang tidak pernah tahu.
“Kalau awak sendiri macam mana?” sengaja aku balikkan soalan itu kepadanya.
“Entahlah. Mungkin aku pun macam orang lain. Selama ni aku memang macam tak pernah peduli pada perasaan orang lain. Mungkin sebab tu aku dibalas macam ni,” jawab Zackery lemah.
“Banyak pahala kalau kita bersabar, Zack. Mungkin orang lain tu ada urusan mereka sendiri. Sebab tu dia orang takde kat sini waktu awak perlukan dia orang. Siapa tahu, mungkin ada seorang dua kawan-kawan awak yang selalu doakan awak supaya cepat sembuh. Bersangka baik ajalah,” jawabku biasa.
Zackery mengangguk perlahan kepada kata-kata ku. “Kau tak jawab lagi soalan aku tadi.”
“Lah.. nak kena jawab jugak ke soalan tu?” balas ku sambil tergelak sendiri.
“Saya tak tahu apa yang patut saya buat. Sebarang keputusan yang saya ambil, saya kena fikir orang di sekeliling saya juga,” jawabku perlahan.
“Yalah. Mana ada mak ayah yang sanggup membiarkan anak perempuan dia orang memilih calon suami yang cacat macam aku ni, kan? Orang macam aku ni dah jadi kain buruk. Tinggal menunggu mati aja,” jawab Zackery agak rendah. Macam orang berjauh hati aja nadanya.
“Kalau awak sendiri yang menilai diri awak setaraf dengan kain buruk, maka itulah nilai diri awak sebenarnya, Zack. Kalau awak tak mahu buat untuk diri sendiri, sekurang-kurangnya awak kena bangkit semula supaya awak tak susahkan orang di sekeliling awak,” tekanku agak tidak senang dengan kata-katanya. Semudah itu dia berputus asa. Sedangkan apa yang aku nampak dia bukannya tak berguna langsung.
“Kau rasa susah sebab aku?”
“Ya, awak memang selalu susahkan hati saya! Bila awak merungut tentang kecacatan awak ni, awak marah dengan nasib diri awak. Saya rasa susah hati. Sebab awak ni lemah! Sia-sia aja saya nasihatkan awak selama ni,” sambutku sedikit meninggi.
 “Kau takkan tahu apa yang rasa sekarang ni, Hana. Mungkin kalau semua ni jadi pada kau, kau ada mak dan ayah yang sudi menunggu kau siang dan malam di sini. Kau ada adik beradik yang ramai. Dia orang boleh pujuk kau waktu kau susah hati. Kau ada Adila dengan kau. Tapi aku takde semua tu, Hana. Semenjak dulu pun mama dengan papa aku tak begitu pedulikan kami adik beradik. Hanya syarikat yang penting pada dia orang berdua. Kau tahu siapa yang besarkan aku dan Amar selama ni? Orang gaji!”
Aku sekadar diam mendengar luahan hati lelaki itu.
“Mama memang semenjak dulu lebih pentingkan kerjaya dia. Aku tak hairan kalau dia takde di sini dalam keadaan aku macam ni. Papa pulak lebih kurang sama dengan mama. Selama ni aku buat keputusan untuk hidup aku sendiri, Hana. Salah atau tidak jalan yang aku pilih.. semuanya bergantung pada aku. Aku boleh buat apa yang aku suka!”
Zackery diam seketika sambil menghela nafas perlahan. “Hari tu waktu ayah kau datang sini, aku nampak cara dia bercakap dengan kau dan Imah. Aku nampak kasih sayang dia sebagai ayah dalam suara dia. Abah kau sentuh kepala aku, dia berbisik pada aku supaya aku bersabar. Tapi papa aku lain.. boleh dikira berapa kali papa berbual dengan aku. Papa cuma datang sini pandang aku kemudian pergi macam tu aja. Mama pulak selalu beri seribu satu alasan untuk temankan aku di sini. Bagi mama, masa itu emas untuk dibazirkan macam tu aja. Menunggu aku di sini takkan mendatangkan sebarang keuntungan kepada syarikat. Aku dah takde sesiapa lagi selain kau, Hana. Itupun entah untuk berapa lama.” Zackery menambah lagi luahannya.
Luahan demi luahan lelaki itu akhirnya membuatkan air mata ku menitis di pipi. Memang benar. Aku tidak akan mampu menyelami apa yang dia rasai saat ini. Hakikatnya manusia, apabila ditimpa musibah sokongan orang sekeliling sedikit sebanyak membantu untuk memulihkan semangat orang yang malang itu. Tetapi Zackery tiada itu. Kesakitan zahir dan batinnya semuanya ditahan sendiri.
“Kenapa kau menangis? Hidup aku ni memang malang, kan? Aku ada segala-galanya yang aku perlukan. Tapi sayangnya aku tak mampu menyentuh semua tu. Semua tu hanya untuk dipandang,” ucap Zackery perlahan.
“Saya tak tahu apa nak kata lagi, Zack.” Hanya itu yang mampu aku katakan kepadanya kerana dada sudah terasa sendat mendengar luahannya.
“Tak apa. Aku faham, Hana. Sekurang-kurangnya kau mahu juga mendengar kata-kata aku ni. Kau orang luar tapi kau yang paling dekat dengan aku sekarang. Aku tahu kau memang perempuan yang baik, Hana. Apa yang dah kau korbankan untuk aku selama ni tak mampu aku balas sampai bila-bila. Sekurang-kurangnya ada seorang wanita yang baik hati datang menyinggah dalam hidup aku waktu aku lemah. Dia juga yang suapkan makanan pada aku dengan tangan dia sendiri,” balas Zackery sambil memandang kepadaku.
“Tolong jangan cakap lagi. Kalau tak lagi banyak air mata yang keluar nanti ni,” ucapku sambil ketawa kecil.
“Aku memang sengaja buat ayat poyo macam tu untuk menagih simpati kau. Nanti tak adalah kau tinggalkan aku,” sambut Zackery dengan senyumnya.
Tanpa sedar aku tergelak mendengar kata-katanya. Namun seketika kemudian aku lihat senyuman lelaki itu mula memudar saat memandang ke atas. Aku tahu dia sedang memikirkan nasib dirinya. Apa yang akan terjadi kepadanya di masa hadapan semuanya masih terlalu kabur. Entahlah.. kalau jadi dia, mungkin aku pun tak tahu macamana nak meneruskan hidup dalam keadaan begini.
Zackery mengeluh lagi dengan kerutan di wajah. Tangannya mula mencengkam erat tepi katil itu. Aku tahu dia sedang cuba menahan kesakitan yang menyerang bahagian belakangnya. Betapa tersiksanya aku melihat keadaannya itu. Sayangnya tiada apa yang dapat aku lakukan lagi selain daripada meminta dia bersabar lagi.
“Aku tak tahu berapa lama aku perlu menahan kesakitan ni, Hana. Semakin lama sakit tu makin kuat.”
“Mungkin ada baiknya lepas ni awak dapatkan rawatan tradisional, Zack. Siapa tahu cara tu lebih berkesan?” ucapku perlahan.
“Papa dengan mama tak berapa percaya dengan tu semua. Mereka lebih percaya kepada ubat doktor, Hana. Mahu tak mahu aku kena telan juga ubat tu semua,” jawab Zackery lemah.
Susahlah kalau macam ni. Siapa yang nak tengok mak bapak yang tak boleh diharap, itulah dia orangnya! Detik hati ku sendiri.














BAB 5
AKHIRNYA Zackery dapat juga pulang ke rumahnya setelah sekian lama dia terkedang di katil wad. Kini sudah lebih dua minggu dia di rumah. Bermakna selama itu jugalah aku tidak menemani Zackery lagi.
Namun sepanjang tempoh itu aku langsung tidak mampu menumpukan perhatian kepada kehidupanku. Asyik terfikirkan dia. Bila sudah tidak nampak dia, aku pulak yang nanar rasanya. Rindukah aku sebenarnya? Entah.. aku tak pasti. Aku kerap memikirkan setiap detik yang pernah aku habiskan dengannya. Aku tidak tahu siapa yang menjaga dia di rumah sekarang ini. Ah! Mestilah auntie Nora akan mengupah jururawat peribadi untuk menjaga Zackery. Dia banyak duit.. fikir ku sendiri.
Tengahari itu setelah selesai mengemas rumah dan memasak aku cuba menyambung manuskrip yang masih belum siap. Namun tiada apa yang dapat aku lakarkan. Sebaris ayat yang baru tercantum, akhirnya padam semula. Idea ku benar-benar tumpul! Penyudahnya komputer riba kembali dimatikan dan aku masuk ke kamar untuk menunaikan solat zohor.
Sebaik sahaja aku selesai mengaminkan doa, telefon bimbit di atas katil berbunyi. Aku merangkak dari atas sejadah untuk mencapai gadjet itu. Di skrin nombor auntie Nora yang kelihatan.
“Hana kat rumah sewa Hana ni, auntie.” Aku segera menjawab pertanyaannya apabila dia bertanya kedudukanku saat ini.
“Hana datang rumah auntie sekarang, boleh tak? Zack buat hal!”
“Buat hal apa pulak?” tanyaku mula gusar. Dadaku berdegup kencang.
“Susah auntie nak cerita sekarang. Hana tolong datang sini. Dia langsung tak mahu makan langsung, Hana. Asyik mengamuk aja. Tolong auntie ya? Dia asyik minta nak jumpa Hana.” Gusar benar bunyi suara wanita itu.
“Ialah. Hana datang sekarang,” putusku tanpa bertangguh lagi. Apa kenalah mamat seorang ni. Mengamuk pulak dah.. keluh hati ku dalam pada marhana aku lipat. Kusut fikiran memikirkan lelaki seorang itu.
Hampir jam 3 petang barulah aku tiba di rumah Auntie Nora. Wanita itu terus meminta aku naik ke atas. Namun saat berdiri di hadapan pintu bilik lelaki itu aku terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Seiras bau bangkai melintasi deria ku sekali lalu. Langkahku terhenti tiba-tiba di situ.
“Kenapa?” soal Auntie Nora pelik melihat kelakuanku.
Aku memandang auntie Nora seketika. Takkan dia tak bau busuk tadi? Tak ada pulak aku nampak rumah nii kotor. Mungkin bau itu datang dari dalam bilik Zack. Aku mula hairan sendiri. Saat ini bau itu sudah tiada. Agaknya itu cuma perasaanku sendiri.
“Hana?” tegur Auntie Nora lagi saat melihat aku masih termangu di hadapan pintu.
“Err.. ya,” aku mula tersedar apabila wanita itu menyentuh lenganku. Pantas aku menoleh ke sebelah. Kening Auntie Nora berkerut merenung tampangku.
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apalah. Auntie temankan Hana kat dalam ya?” pintaku dalam nada perlahan.
“Ialah,” jawab wanita itu akur.
Sebaik sahaja pintu bilik itu dibuka, aku dihidangkan dengan permandangan bilik yang cukup berkecah! Bantal bergelimpang di atas lantai. Lemas sekali melihat keadaan ini.
“Hana..” lelaki itu terus menyeru namaku penuh semangat saat ternampak aku berada di ambang pintu. Tangannya dihulurkan seolah-olah meminta aku menyambutnya.
“Ya,” jawabku perlahan. Katil itu aku dekati dengan perasaan yang cukup sayu. Dengan bilik bersepah sana sini. Dia sendiri pun kusut masai. Ya Allah.. apa dah jadi pada lelaki ini? Kasihannya dia.. keluh hatiku hiba.
“Awak kenapa, Zack?” tanyaku sambil duduk di tepi katil itu.
“Temankan aku. Aku susah hati. Aku sakit, Hana.” Lelaki itu merintih sayu di hadapanku.
“Kalau awak susah hati ingat pada Allah, Zack. Sebutlah nama DIA. Itu ubatnya.” Suaraku sudah menggigil menahan rasa sedih yang semakin kuat menghimpit dada. Kenapa dia sampai jadi begini? Aku tahu dia sakit. Tapi sakit apa?
“Aku tak tahu macam mana nak hadapi semua ni, Hana. Aku rasa macam nak gila,” luah Zackery teramat sayu.
“Apa yang awak nak saya buat, Zack? Awak sedar tak yang kita tak boleh selalu macam ni. Awak lelaki. Saya ni perempuan. Apa kata mak dan abah saya nanti?” balasku perlahan.
Zackery memandangku sambil menelan liurnya. Terpandangkan halkumnya yang bergerak barulah aku sedar betapa cengkungnya lelaki ini berbanding yang ada dalam ingatanku selama ini.
“Aku cuma nak tengok kau depan mata aku, Hana. Jangan tinggalkan aku. Aku tak mahu terus hidup macam ni. Aku selalu sakit. Aku dah tak tahan lagi, Hana. Tolonglah aku. Beri aku ubat.” Akhirnya sejalur air mata jatuh juga di pipi Zackery.
Ya Allah.. apalah yang harus aku buat sekarang? Ringankanlah derita lelaki ini, wahai Tuhan yang Maha Mengasihani. Aku tak sanggup tengok dia begini, keluh hati ku cukup hiba. Air mataku ikut gugur saat melihat kesengsaraan di wajahnya.
“Awak makan ya? Saya suapkan,” pujukku lembut.
“Zack, makan ya? Mama ambilkan bubur dulu.” Tanpa menanti jawapan anaknya itu, Auntie Nora segera berundur keluar daripada bilik itu.
“Kenapa awak jadi macam ni, Zack? Apa masalahnya?” soal ku setelah kami ditinggal berdua sahaja di dalam bilik itu.
“Aku tak tahu.”
Aku menghela nafas perlahan sambil memandangnya. “Kalau awak tak cakap apa masalahnya, macam mana saya nak bantu?” ucapku perlahan.
“Hana, jangan tinggalkan aku. Temankan aku kat sini. Tolonglah. Aku tak mahu duduk seorang diri,” ucap Zackery bersungguh.
“Ini rumah awak, Zack. Bukannya wad. Apa kata orang nanti kalau saya selalu sangat datang ke sini? Yang menanggung malu nanti mak dan ayah saya,” jawabku cuba untuk membuat dia mengerti.
“Aku cuma ada kau, Hana. Kau kawan aku, kan?” ucap Zackery separuh merayu.
“Kan mama awak ada?” balasku masih tidak begitu mengerti apa sebenarnya mahunya lelaki ini dariku.
Zackery menggeleng laju seolah-olah tidak suka aku menyebut itu. “Takde apa yang mengubah keadaan dalam rumah ni. Yang berubah hanya aku dan Amar. Aku dah cacat dan Amar dah mati! Hanya itu!!!” pekik Zackery lantang.
Aku sempat terkejut melihat wataknya mula berubah. Sensitif benar dia apabila aku menyebut tentang itu. “Bawak mengucap, Zack. Marah-marah macam ni takkan mengubah keadaan. Perasaan marah akan buat keadaan awak makin teruk. Ingat Allah banyak-banyak,” pujukku lembut.
“Jangan tinggalkan aku, Hana. Aku tersiksa hidup macam ni..” rayu Zackery bersungguh. Spontan itu dia mencapai tanganku.
“Zack..” tegahku sambil cuba meleraikan pegangannya.
“Kau pun dah tak mahu pedulikan aku?” kini matanya mencerlang garang kepadaku pula.
“Bukan macam tu..”
“Aku tahu semua orang dah tak suka pada aku. Sebab aku macam ni, kan? Aku dah tak berguna! Kau malu berkawan dengan aku, kan? Kau pun sama macam betina sial tu! Lebih baik aku mati aja daripada hidup macam ni, Hana. Lebih baik aku mati!!!” pekikan Zackery melantang tiba-tiba.
“Zack, bertenanglah! Jangan ikutkan hasutan iblis. Jiwa awak lemah sebab tu awak jadi macam ni,” tekanku mula kalut dengan keadaannya.
“Aku tak nak dengar lagi nasihat kau. Aku tahu kau cuma berpura-pura baik dengan aku. Pergi!!! Keluar dari sini!! Kau pun sama aja macam perempuan lain. Penipu!!” maki Zackery kepadaku.
Astaghfirullah.. Aku tersentak mendengar dia menghalau ku pula. “Bawak mengucap, Zack..”
“Diam!!!!” pekik lelaki itu semakin lantang.
“Zack..” panggil auntie Nora yang baru tiba di bilik itu. Panik dia melihat anaknya mengamuk semula. Dulang yang ditatang diletakkan di atas meja sambil mendekati anaknya itu.
“Keluar semua! Jangan sentuh aku! Aku tak mahu hidup macam ni. Lebih baik aku mati!! Aku benci tengok kau. Berambus!!!” lelaki itu terus memekik-mekik meluahkan perasaannya. Telinganya ditekup kuat sambil menggeleng laju.
“Zack, okaylah. Saya akan temankan awak. Bawak bertenang, Zack. Jangan buat macam ni.” Spontan aku terus memegang lengannya.
Zackery terus terdiam. Namun dia menepis tangan ku pada lengannya. Wajahnya dilindung dengan lengannya. Aku meraup wajah buntu melihat lelaki itu.
“Zack, mari makan..” pujukku sekali lagi. Entah berapa lama dia tidak makan aku sendiri tidak tahu.
“Zack, kan Hana dah datang ni? Mari makan, sayang.” Auntie Nora pula cuba memujuk anaknya itu.
“Buat apa kau nak pedulikan aku lagi. Hidup aku tak ada kena mengena dengan kau! Pergi! Pergi!!!” jerit Zackery dengan pandangan liar kepadaku.
Aku memandang wajah auntie Nora seketika. Kiranya kehadiranku di sini tidak mampu mengubah keadaan. Sama sahaja.
“Okaylah. Awak tak suka saya ada kat sini. Saya balik,” ucap ku sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi.
Zackery terus berdiam. Melihat dia sudah tidak mahu bercakap dengan aku, aku terus bangun dari situ. Saat berada di pintu aku menoleh lagi kepadanya. Dia masih seperti tadi. Menutup wajahnya enggan memandang sesiapa.
Tolong jangan buat macam ni, Zack. Awak tak tahu siapa yang masih sayangkan awak selama ini, rintih hati ku sayu. Aku sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi selain menghadirkan tawakal kepada Allah yang satu. Semoga dia baik-baik sahaja.

KALI terakhir aku melihat Zackery adalah ketika dia mengamuk di rumahnya dahulu. Itu adalah kira-kira sebulan yang lepas. Semenjak itu aku memang tidak mendengar khabar daripada dia, juga auntie Nora. Walaupun aku sengaja mendiamkan diri namun dalam kebisuan aku kerap memikirkan keadaan Zackery saat ini. Sesungguhnya aku tidak menipu diri yang aku benar-benar bimbangkan lelaki itu. Hanya Allah sahaja yang tahu, betapa ketenangan yang berada di hatiku ini tidaklah seberapa setiap kali aku memikirkan dia. Dengan kemampuan yang tidak seberapa, aku hanya mampu mengharapkan Allah memberikan sedikit kesabaran kepada lelaki itu untuk melalui semua kesusahan hidupnya.
Tetapi hari itu, saat mendengar khabar buruk tentang Zackery, ketabahan yang terbina roboh juga. Rahimah sempat memberi pesanan di telefonku, mengatakan Zackery baru sahaja dimasukkan ke hospital sekali lagi akibat terjatuh di bilik air. Bergegar jantungku mendengar itu. Akhirnya aku terpaksa mengajak Adila ke hospital.
Ketika kami tiba di perkarangan wad hanya ada Pak cik Roslan, abah dan seorang wanita yang tidak aku kenali berbual di luar wad itu. Pak cik Roslan itu adalah jiran yang tinggal bersebelahan dengan rumah Zackery.
“Apa dah jadi ni, abah?” Aku terus bertanya setelah mencium tangan abah. Adila turut bersalaman dengan abah.
“Zack jatuh tadi. Tak ada sesiapa di rumah dengan dia selain daripada jururawat dengan orang gaji. Abah terpaksa hantar dia ke sini. Pakcik Roslan pun tak tahu apa nak buat tadi. Kesian dia,” jelas abah tenang sahaja.
“Mama dengan papa Zack mana?” tanya Adila sedikit terkejut mendengar cerita itu.
“Entah. Kata pekerja dia tu, Dato dengan Datin ke luar negara semenjak semalam. Ada urusan penting dengarnya. Dato upah jururawat tu untuk jaga Zack selama dia tak ada,” jawab abah sambil menggeleng sendiri.
Aku tidak terkata dek kerana teramat-amat terkejut. Sampainya hati dua orang tua itu meninggalkan Zackery dalam keadaan lelaki itu begitu.
“Tapi nurse tu kan perempuan? Takkanlah dia yang..” aku tidak mampu meneruskan kata-kata dek kerana masih terlalu terkejut. Masakan secetek itu pengetahuan mereka tentang batas antara lelaki dan perempuan? Masakan wanita itu yang harus memandikan dan membasuh apa patut pada si Zackery itu? Tetapi setahu ku sebelum ini jururawat lelaki yang menjaga Zackery? Mana perginya lelaki itu?  Ah! Dalam keadaan kusut begini memang sakit hatiku memikirkan dua manusia itu.
“Habis tu teruk ke keadaan dia?” tanyaku lagi kepada abah.
“Tak teruk sangat. Doktor kata bahunya bengkak. Tapi tak patah. Badan dia lemah sangat. Kurang zat. Sebab tu doktor terpaksa tahan dia di wad. Tak terjaga budak Zack tu. Kesian pulak abah tengok dia,” jawab abah perlahan.
“Hana nak masuk tengok dia sekejap, abah.” Aku sempat meminta izin sebelum masuk ke dalam kamar itu.
“Pergilah. Dia tak sedar tu. Doktor baru masukkan ubat.”
“Pak long, Dila ikut Hana ya?” Adila turut meminta izin abah untuk mengikut ku masuk melawat wad.
“Pergilah..”
Saat memandang lelaki itu, air mataku terus mengalir laju di pipi. Aku sudah tidak mampu menahan kesedihan lagi. Dahinya ada kesan lebam. Mungkin akibat terhantuk semasa terjatuh itu. Wajahnya pucat, cengkung! Tubuhnya susut teruk. Ya Allah.. inikah dia lelaki yang aku dambakan selama ini?
“Kesiannya dia, Hana. Sampai macam ni sekali. Mama dia tak nampak ke keadaan dia dah teruk macam ni? Lain sangat aku tengok muka dia sekarang ni,” keluh Adila turut terkejut melihat keadaan Zackery yang sudah jauh berbeza berbanding dulu.
“Kalau mak dia pandang dia hari-hari tak adanya dia jadi macam ni, Dila. Masalahnya mak bapak dia lebih sayangkan syarikat daripada anak sendiri. Sepatutnya Auntie Nora tu berhenti kerja, jaga anak dia sepenuh masa,” jawabku perlahan.
“Apa nak jadilah dunia sekarang ni. Kesian betullah tengok dia,” keluh Adila masih tidak mampu mengalihkan pandangan daripada raut Zackery.
“Entahlah. Aku tengok auntie Nora dengan uncle Abdillah tu pun macam ada masalah. Kalau tak takkanlah dia orang tu sampai sanggup biarkan Zack macam ni aja,” kataku sambil memandang di sebelah.
“Maksud kau?” Adila membalas pandanganku dengan kerutan di kening.
“Mungkin syarikat dia ada masalah kut. Kalau takkanlah dia sanggup terkejar-kejar sana sini, tinggalkan anak dalam keadaan macam ni, betul tak? Tapi ni aku agak aja,” telahku mudah. Masakan naluri seorang ibu atau ayah tidak merasa apa-apa saat melihat anak jadi begini. Pelik! Mungkin keluarga ini sedang dalam masalah besar yang orang luar tidak tahu.
Adila terus menggeleng lagi sambil memandang semula ke arah Zackery. “Tapi takkanlah sampai macam ni sekali, Hana. Aku bukannya nak kata apalah. Tapi kita ni kalau cari rezeki tapi tak pernah nak ingat Allah, lama kelamaan Allah akan ambil balik semua tu sikit-sikit. Allah mungkin sedang bagi peringatan sekarang ni.”
Aku pula yang mengangguk akur dengan kebenaran kata-kata Adila itu. Aku faham apa yang dimaksudkan oleh Adila. Cuma aku tidak sanggup menyebut semula apa kekurangan keluarga Zackery. Tidak patut aku menyebutnya di hadapan orang lain.
“Siapa yang jaga dia kat sini malam ni? Takkan nak biarkan dia sorang-sorang?” tanya Adila setelah agak lama kami berdiam diri.
“Entahlah, Dila. Aku tak tahu nak fikir apa sekarang.”
“Kesian sangat aku tengok dia macam ni. Dah macam orang hidup sebatang kara. Kalau tak ada orang temankan, kita temankanlah dia. Aku kesianlah,” luah Adila sayu.
Sedang kami berbual berdua wanita yang dikatakan bekerja sebagai jururawat Zackery  masuk ke situ. Dia terus mendekati aku dan Adila untuk bersalaman dengan kami.
“Nama akak Zubaidah. Panggil aja Kak Zu. Akak yang jaga Zack semenjak seminggu yang lepas,” ucap wanita itu lembut.
“Saya Hana. Ni sepupu saya Dila,” jawabku sambil menoleh kepada Adila. Adila tersenyum sedikit kepada wanita itu.
“Mana pergi jururawat sebelum ni?” tanyaku sudah tidak sabar mahu tahu cerita yang sebenar.
“Datin dah pecat dia. Katanya jururawat tu ada pukul Zack. Entahlah. Kesian betul akak tengok dia ni,” balas wanita itu rendah.
Terbeliak mata ku mendengar cerita Kak Zu. “Pukul Zack?” hampir seretak soalan itu keluar daripada mulutku dan Adila.
“Datin kata orang gaji yang mengadu pada dia. Dia nampak jururawat tu nak tampar si Zack. Agaknya tak tahan sabar kut. Zack ni pun suka marah-marah. Akak pun selalu kena. Bila mood dia tak baik habis semua orang dimakinya. Datin sendiri pun selalu kena,” jawab Kak Zu perlahan.
Aku terus terdiam mendengar cerita Kak Zu. Bab dimaki hamun itu rasanya aku sendiri pun pernah merasa.
“Akak pun rasa nak berhenti aja, Hana. Bukannya akak tak sanggup nak jaga dia atau akak tak senang dengan kerenah dia. Akak faham. Dia tertekan. Orang yang ada masalah macam ni, mula-mula dia memang susah nak terima kenyataan. Tapi akak tak senang hati tengok ni semua. Sepatutnya tugas mandikan Zack bukan kerja akak sebab akak ni perempuan. Itu tanggungjawab ayah dia. Tapi akak tengok dato tu macam tak pedulikan anak dia. Lepas tangan langsung,” ucap Kak Zu lagi. Matanya masih tidak lepas memandang Zackery.
“Macam mana pulak dia boleh jatuh kat bilik air?” soal Adila.
“Dia nak mandi. Akak tak benarkan sebab dia tak boleh terlalu kerap mandi. Nanti sakit belakang dia tu akan semakin teruk. Tapi dia kata tak tahan panas. Akak terpaksa juga bawak dia ke bilik air. Lepas tu dia kata nak mandi dalam tab mandi pulak. Bila akak tak bagi dia nak masuk sendiri. Waktu tulah dia terjatuh,” cerita Kak Zu perlahan.
“Janganlah berhenti, kak. Siapa pulak nak jaga dia lepas ni?” ujarku agak perlahan.
Kak Zu hanya mampu menghela nafas perlahan. Dia pun tiada jawapan.
“Kan ramai nurse lelaki sekarang ni?” celah Adila apabila wanita di hadapan kami itu tidak menjawab.
“Di hospital memang ramai. Tapi yang private ni susah sikit nak dapat. Walaupun ada tapi tak seramai perempuan, Dila. Itulah masalahnya sekarang ni. Datin dah cuba cari tapi tak dapat,” jawab Kak Zu sambil memandang kami berdua.
“Macam mana dengan sakit belakang dia tu? Ada kurang ke?”
“Makin teruk, Hana. Sekarang ni dah tak kira masa. Dah banyak kali tukar ubat tapi masih tak ada perubahan. Sekarang ni tambah pulak lagi dia kata kadang-kadang hujung jari dia rasa macam ada semut merayap. Dia pun susah makan. Asyik tak selera aja. Makan sesuap dua, lepas tu dia dah tak mahu. Macam mana nak baik kalau makan pun culas? Masalahnya dia ni degil. Tak makan dipujuk,” sempat juga Kak Zu membebelkan Zackery.
“Akak temankan dia ke malam ni?” Adila pula mengajukan soalannya kepada Kak Zu.
“Tak. Ayah Hana yang nak tunggu sini malam ni. Dia suruh akak datang esok pagi.”
Spontan Adila mula memandangku. “Eloknya macam tulah. Takkanlah akak nak duduk sini 24 jam,” sambut Adila lega. Ada orang sudi menjaga Zackery buat sementara waktu.
Aku hanya diam sambil memandang lelaki yang sedang tidak sedarkan diri itu. Sengsara benarkah dia dengan keadaan ini? Sampai bila Zackery mahu mengabaikan dirinya begini?

LEWAT petang itu Adila pulang sendirian. Pak cik Roslan dan Kak Zu sudah lama pulang. Aku tinggal di situ menemankan abah.
“Dia perlukan kekuatan untuk diri dia, Hana. Dia tak boleh tempuh semua ni seorang diri,” ujar abah saat kami duduk di luar wad itu.
“Hana tahu, abah. Hana dah cuba apa yang termampu. Tapi keadaan dia tetap tak berubah,” jawabku.
“Dia perlukan kekuatan yang melebihi kekuatan orang di sekelilingnya, Hana. Kita boleh minta dia sabar. Tapi itu bukan senang. Kita takkan faham apa yang dia rasa sekarang ni melainkan kita sendiri yang akan berada di tempat dia suatu hari nanti.”
Aku sekadar diam mendengar kata-kata abah.
“Sebetulnya ujian ni bukan hanya untuk dia seorang. Tapi untuk semua orang yang berada di sekeliling dia. Siapa yang cabut lari dulu, dialah orang yang kalah. Siapa yang paling lama bertahan. Dia orang yang menang.” Abah menyambung lagi bicaranya seketika kemudian.
“Hana tak pernah lari tapi Hana tak tahu apa nak buat untuk bantu dia, abah. Hana bukan Aweena. Kalau boleh Hana nak buat apa saja supaya dia sihat semula. Tapi masalahnya Hana tak mampu. Hana tak sanggup tengok keadaan dia macam tu. Hana sedih sangat,” jawabku dalam suara sedikit bergetar. Tanpa dilihat oleh abah sejalur air mata gugur lagi di pipi.
Abah menghela nafas perlahan sambil menyandarkan kepalanya ke dinding di belakangnya. “Tak sepatutnya dia dibiarkan macam tu aja. Entahlah..” keluh abah teramat perlahan.
“Walau siapa pun dia, dia masih lelaki yang Hana sayang selama ini, abah. Hana tak sanggup tengok dia terus menderita. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang Hana rasa selama ni. Hana tak sanggup berdiam diri lagi. Hana tahu apa yang Hana katakan ni memang gila. Tapi itulah yang ada dalam hat Hana selama ni. Hana cintakan dia, abah.”
Spontan abah mula menoleh kepadaku. Lama abah memandangku, cuba mencari maksud disebalik kata-kata itu. Aku pula mula memikirkan kata-kata Kak Zu sebentar tadi. Dia juga sudah memikirkan jalan untuk mengundur diri dari sisi Zackery. Siapa lagi yang tinggal?
Perlahan aku mula menoleh kapada abah yang masih memandang. “Hana nak jaga dia dengan tangan Hana sendiri. Sampai dia sihat. Hana nak kahwin dengan dia.”
Mata abah terus melekap di wajahku. Tidak berkelip matanya. Namun tiada sebarang perubahan di wajah abah. Seolah-olah langsung tidak terkejut mendengar itu. “Hana sedar tak apa yang Hana cakap ni? Hana tahukan apa risiko yang menunggu Hana?” ucap abah bersungguh.
Entah bagaimana kata-kata itu tidak mampu aku jawab dengan kata-kata. Sebaliknya air mataku semakin deras mengalir. Segala apa yang aku tahan terlerai juga di depan abah. Adakah kerana lelaki yang aku cintai sudah tidak sesempurna orang lain maka aku harus membiarkan dia begitu sahaja?
“Hana tahu terlalu banyak ranjau yang menunggu Hana nanti, abah. Hana tahu abah dan mak takkan suka dengan apa yang Hana mahukan sekarang ni. Tapi membiarkan dia begitu saja, hati Hana tersiksa dalam diam. Hana tahu takkan ada mak dan ayah yang suka anak perempuannya memilih lelaki macam Zackery untuk dijadikan suami. Hakikatnya perasaan ni tak pernah hilang walaupun dia bukan lagi Zackery yang dulu. Keadaan dia begitu membuatkan Hana nak dekat dengan dia selalu. Hana tak ingin hipokrit pada diri Hana sendiri dan orang sekeliling. Dalam fikiran Hana hanya ada dia setiap hari. Tolonglah faham Hana sekali ni, abah. Hana tak boleh biarkan lelaki yang Hana sayang hidup menderita begitu. Hati Hana tak tenang, abah. Hana tak sekuat itu.” Dan air mataku gugur lagi menangisi keadaan Zackery.
Kata-kataku membuatkan abah menghela keluhan panjang. “Abah dah agak dah. Hana akan minta ini akhirnya,” komen abah ringkas.
“Maksud abah?” aku segera menoleh kepada lelaki di sebelahku itu.
“Hana, abah tak kata abah tak suka. Dan abah pun tak mahu menyokong anak-anak buat keputusan yang macam ni. Mana ada ayah yang sanggup tengok anak-anak memilih hidup begini? Tapi macam mana abah melarang pun, abah tahu Hana tetap pergi cari Zack, betul tak?” ucap abah tanpa memandangku. Aku tunduk perlahan. Memang benar itu.
“Hana kena sedar. Tak ada kebahagiaan yang boleh Hana harapkan dengan perkahwinan begini melainkan Hana kena telan setiap cebis kesusahan yang ada. Memang Zackery memerlukan seseorang yang mampu menjaga dia. Tapi abah tak pernah terfikir nak serahkan anak perempuan abah sebagai galang gantinya,” kata abah lagi.
Aku terus berdiam mendengar bebelan abah. Sudah aku agak, abah tidak akan suka.
“Hana fikirkan balik keputusan ni. Nak buat sebarang keputusan, hati kita kena tenang. Jangan ikutkan emosi.”
“Abah rasa Hana ni ikutkan emosi? Hana tak pernah minta semua perasaan ni ada pada Hana, abah. Hana tak ada kuasa untuk menahan perasaan ni. Bila Zack jadi begini, Hana rasa hidup Hana pun ikut sama terhenti. Kalau inilah takdirnya untuk Hana, Hana reda. Sekurang-kurangnya Hana nak buat sesuatu untuk lelaki yang Hana sayang. Selebihnya Hana berserah pada Allah.”
“Bercakap tu lebih mudah berbanding kenyataannya nanti. Hana tahukan mak tak suka dengan semua ni? Zack tu tak mampu beri apa-apa pada Hana melainkan nafkah zahir!” ucap abah serius.
“Hana tahu, abah. Kalau Hana nak lelaki yang sempurna, Hana tak perlu pandang Zackery. Tapi Hana buat semua ni sebab dia sakit. Sekali ini aja Hana minta mak dan abah faham perasaan Hana. Hana tak boleh lupakan dia. Buat masa ni Hana tak mahu berharap dia akan beri Hana segala-galanya. Tapi Hana yang nak berikan apa yang dia perlukan, abah. Hana tak boleh lepaskan dia dari hati Hana dan pilih lelaki lain yang lebih sempurna. Hana tak boleh!” rayuku bersungguh sambil menyeka air mata di pipi.
“Mak dan ayah Zack dah tahu pasal ni?” soal abah mula mengalihkan tumpuan kami kepada dua manusia itu pula.
“Belum..”
“Zack?” soal abah lagi.
Kali ini aku menggeleng pula sebagai jawapan.

“Berbincanglah dulu. Jangan buat keputusan melulu.” Abah akhirnya membuat keputusan itu sebagai jawapannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan