BAB 8
HASIL pemeriksaan dulu, doktor tidak melihat ada kerosakan
pada saraf yang boleh menyebabkan Zackery lumpuh dan sakit belakang. Pertemuan
kali ini apabila aku memberitahu yang Zackery mula ada sakit kepala, sakit
belakang dan kerap kekejangan otot leher Dr. Zubaidi memutuskan ujian MRI
dibuat lagi sekali untuk melihat keadaan saraf dan otaknya. Tetapi hasilnya
masih tetap sama seperti sebelum ini.
“Pelik. You tak ada sembelit,” komen doktor itu perlahan.
Aku sekadar mengangguk mengakui kata-kata doktor itu. Memang dia jarang
mengalami masalah itu. Aku pun tidak amalkan memberi dia makan makanan yang
boleh menyebabkan dia boleh mengalami sembelit.
“Ada muntah selepas makan?” tanya lelaki awal 40-an itu kepada kami.
“Tak ada.” Zackery menjawab perlahan.
“Kalau kita tengok hasil MRI memang tak ada sebarang kecacatan pada saraf.
Keretakan dulu tu dah sembuh sepenuhnya. Sekadar keretakan biasa yang tak
sampai pun pada bahagian lumbar. Even sekarang ni pun, lepas I tengok result
x-ray you, tulang belakang you normal. I masih tak dapat kesan mengapa you
boleh lumpuh, Zackery. I tak nampak ada sebarang kelainan pada otak. macam
tumor ke. Tapi sekarang ni you ada masalah sakit kepala dan kejang leher pulak.
I cadangkan kita buat lumbar puncture.
I takut you ada meningtis.”
“Lumbar puncture?” sambutku pantas.
“Kita ambil air tulang belakang untuk ujian. Samada ada jangkitan kuman
pada otak atau tidak. Kena masuk wad dululah kalau macam tu,” jelas Dr. Zubaidi
perlahan.
Masuk wad lagi? Ambil air tulang belakang pulak. Sebelum ini masuk mesin
sana, keluar mesin sini. Aku mula memandang Zackery. Aku tahu, masuk wad itu
yang dia paling tidak mahu.
“Tak lama. Sekejap aja. Lepas kita buat LP, you kena rehat di katil untuk
beberapa jam. Jangan banyak bergerak,” ucap doktor itu macam faham sahaja apa
yang sedang terhias di wajah Zackery.
“Tak bahaya ke buat lumbar puncture tu?” tanyaku dalam rasa gusar yang
bukan sedikit.
“Tak. Malah kaedah ni sangat penting untuk kita tengok tahap kesihatan
cecair otak. Lagipun husband you ada mengadu sakit kepala dan leher. Itu
mungkin meningtis. Tapi itu pun I tak yakin sebab dia tak ada mengalami demam
dan ruam,” ujar doktor itu.
“Abang, kita ikut cakap doktor ya?” pujukku perlahan. Zackery hanya membisu
sahaja dari tadi. Aku yang lebih banyak bersuara kepada doktor lelaki itu.
“I tahu you tak suka keadaan ni. Tapi ini untuk kebaikan you, Zackery. Kita
cari punca masalah ni sebaik-baiknya. Dah dapat tahu dari mana puncanya, baru
kita boleh pilih rawatan yang sesuai,” ujar Dr. Zubaidi kepada Zackery.
Zackery mengangguk begitu sahaja. Macam sudah pasrah sahaja dengan apa
keputusan doktor itu. Sejam kemudian lelaki itu sudah pun berada di katil wad. Kami
diberitahu yang Zackery harus berpuasa sebelum proses itu dijalankan kira-kira
empat jam kemudian. Aku benar-benar susah hati melihat wajah keruh Zackery.
“Abang, sabar ya? Kalau ini untuk kebaikan abang, kita kena terima,” pujuk
saat aku duduk di tepinya.
“Doktor tu nak ambil air tulang belakang aku sampai habis pun tak apa!
Ambil aja semua supaya aku tak perlu hidup macam ni,” ucap Zackery tajam.
Aku mula beristighfar dalam hati melihat kegarangan Zackery kembali semula.
Ya Allah, janganlah dia mengamuk pulak kat sini, keluh hatiku sendiri. Seriau
aku tengok sinar matanya yang mula berubah tajam.
“Tapi doktor buat keputusan ni untuk kebaikan abang. Bukan saja-saja nak seksa
abang. Dia cuma nak tahu apa punca penyakit abang ni,” ujarku masih cuba untuk
memujuknya. Lengannyaku usap lembut.
Zackery membisu sahaja. Namun ketegangan di wajahnya langsung tidak
menyurut.
“Hana ada temankan abang. Kita hadapi keadaan ni sama-sama, bang. Hana
takkan tinggalkan abang,” ujarku lagi.
“Kau dengar doktor tu kata apa tadi? Dia kata dia tak tahu apa masalah aku
ni. Jadi maknanya sampai mati aku akan lumpuh macam ni. Doktor tu semua memang
bodoh!” desis Zackery cukup tajam.
“Tapi kita kan tengah usaha ni? Mesti ada jawapannya nanti, bang. Kita cuma
kena sabar sikit aja. Doktor hanya manusia. Kepandaian mereka terbatas,” ujarku
tetap lembut.
Zackery mendengus sambil menepis tanganku di lengannya. Terus dia
meletakkan tangannya ke atas dahi sambil memandang ke arah lain. Aku mulai
buntu tidak tahu apa lagi yang harus aku katakan kepadanya. Akhirnya aku hanya
termangu di situ menunggu doktor tiba untuk melakukan ujian seterusnya. Tidak
lama kemudian Zackery terlelap di katil itu.
SEBELUM proses mengambil cecair selaput otak dijalankan, Zackery
diminta menanggalkan pakaian bahagian dalam. Dengan bantuan kakitangan wad, aku
menguruskan lelaki itu. Namun sepanjang masa itu aku lihat matanya liar memandang
sekeliling. Pengalaman sebelum-sebelum ini, bukan sekali dua dia merana akibat
rawatan. Aku tahu dia sudah fobia. Namun aku harap kali ini semuanya mudah
sahaja seperti kata Dr. Zubaidi.
Selesai itu seorang doktor masuk ke situ bersama dengan pembantunya.
“Encik Zackery, kita masukkan ubat dulu ya?” sapa doktor India itu dengan
senyuman manis.
Zackery hanya diam. Saat aku sentuh tangannya, sejuk sekali. Apa yang
dilakukan oleh doktor itu tidak dipandangnya. Setelah dimasukkan ubat, Zackery
mula longlai. Namun dia tidak tidur. Kemudian tubuhnya diubah ke posisi
mengiring dengan kedudukan kaki rapat ke dada. Seorang pembantu membantu agar
kedudukannya kekal begitu.
“Sekejap saja. Relax ya?” ucap doktor itu sebelum memulakan kerjanya.
Zackery nampak tenang sahaja saat menanti jarum di cucuk ke belakang
pinggangnya. Namun dia tersentak sedikit saat bahagian tulang belakangnya
disentuh oleh doktor. Aku segera menyentuh rambutnya, agar dia tenang.
Terkebil-kebil mata Zackery memandang ke hadapan. Aku sempat memerhatikan
apa yang dibuat oleh doktor itu di belakang Zackery. Satu jarum dicucuk masuk
melalui bahagian hujung tulang belakangnya. Kemudian aku memandang Zackery.
Lelaki itu mengalihkan tangannya. Sebelah tanganku dicapainya lalu dibeleknya.
“Jangan bergerak ya?” ucap doktor sebelum cecair yang diperlukan disedut
keluar menggunakan jarum. Seram juga aku melihatnya biarpun doktor itu
melakukan tugasnya dengan penuh kelembutan dan hati-hati.
Tetapi aku lihat lelaki seorang itu tenang sahaja. Jariku dibeleknya
kemudian dibawa ke bibirnya. Sengaja aku biarkan. Bimbang dia bergerak tatkala
jarum itu masih terpacak di belakangnya.
Sehingga doktor itu sudah pun selesai menarik jarum itu keluar, Zackery
seolah-olah tidak merasa apa-apa. Gelagatnya aku perhatikan. Aneh. Selalunya
kalau bab kena jarum, dia memang suka mengamuk. Kali ini agak berbeza.
“Okay. Sudah,” ucap doktor itu seketika kemudian.
“Abang..” sapaku perlahan.
“Hmm?” Zackery memandang aku sekilas.
“Dah,” ucapku lembut.
Zackery cuba menggerakkan kepalanya ke belakang. Aku dan jururawat membantu
lelaki itu berbaring semula setelah selesai prosedur itu.
“Dah ke?” Zackery terpinga seketika sambil memandang sekeliling.
“Tak sakit pun, Encik Zackery. Sakit sikit aja masa bius tadi.” Jururawat
itu tersenyum kepada Zackery.
“Saya bagi baju baru. Boleh salin baju,” ucap jururawat itu kepadaku pula.
“Ha? Dah boleh balik sekejap lagi, kan?” tanyaku hairan.
“Tu. Basah dah. Nanti saya bantu puan.” Jururawat itu sempat memuncungkan
mulutnya ke satu arah.
Terdiam aku melihat katil itu sudah lencun. Dia terkencing! Muka dia macam
tak ada apa-apa berlaku aja. Memanglah aku tahu dia tidak mampu mengawal organ
pembuangannya. Kebetulan pula, sebentar tadi jururawat tidak membenarkan dia
memakai lampin pakai buang. Dan dek kerana takut, inilah masa yang tepat untuk
organ pembuangannya itu melepas.
“Kenapa?” tanya Zackery saat terpandang aku merenungnya.
“Abang kencing ya?”
“Mana ada,” jawabnya sambil membuat muka tidak beremosi. Hujung jarinya
diketil-ketilnya. Nak kontrol malulah tu!
“Doktor tak bagi balik dulu. Kena rehat di wad sehari ya,” ucap jururawat
itu setelah masuk ke situ bersama peralatannya.
“Tapi Dr. Zubaidi kata tadi lepas sejam dah boleh balik.”
“Dia selalu mengadu sakit kepala, kan? Tak boleh balik dulu. Doktor nak tengok keadaan dia lepas ni,” ujar
wanita itu kepadaku. Aku sempat memandang Zackery. Dia sudah mamai. Tidak
dengar apa yang kami bualkan. Sudahnya aku hanya akur sahaja.
Dan sewaktu aku sibuk mengenakan pakaian bersih kepada lelaki itu, Zackery
sibuk berdengkur. Membuatkan wanita yang bersama dengan kami itu ketawa
sendiri. Malam susah tidur. Siang memanglah dia suka tidur. Ditambah pula
dengan ubat tidur yang dimasukkan ke dalam tubuhnya tadi. Lagilah syok!
Sudahnya aku jadi tugu peringatan di kamar itu.
BAB 9
KEPUTUSAN ujian daripada air tulang belakang Zackery masih tidak
memberi apa-apa klu kami tentang masalah yang dihadapi Zackery. Walaupun kata
Dr. Zubaidi air tulang belakang Zackery tidak terdapat sebarang virus atau
bakteria, hakikatnya lelaki itu masih tidak ada jawapan kepada setiap penyakit
fizikal suamiku itu.
Pulang dari hospital emosi Zackery cukup-cukup memberikan aku tekanan. Maki
hamunnya sudah tidak mengira siapa. Semua orang di dalam rumah ini adil
mendapat sebakul seorang makian daripada lelaki itu. Sehingga Nani sendiri mula
takut mahu masuk ke bilik itu. Aku faham, Zackery kecewa dengan hasil ujian
itu. sudahnya aku bawa berbincang dengan mama. Fikirku, adalah lebih baik aku
rujuk masalah Zackery ke hopital kerajaan saja.
“Doktor pakar yang ada di Hospital Pantai tu pun semuanya daripada hospital
gomen.” Itu jawapan mama dengan nada yang cukup sinis.
“Habis tu apa kita nak buat lagi, ma? Doktor pun dah buntu. Dr. Zubaidi
masih tak tahu apa masalah Abang Zack,” ujarku mula lemah dengan reaksi wanita
itu.
“Dr. Zubaidi cakap apa?”
“Dia kata abang Zack tu sepatutnya sihat. Mama tak rasa ini semua pelik
ke?” ujarku bersungguh.
“Kalau macam tu kita tukar hospital lain. Minta pendapat doktor lain.”
“Abang Zack tu dah tak tahan nak kena cucuk selalu, ma. Hana terseksa
tengok dia macam tu. Makin hari keadaan dia makin teruk.”
Mama diam pula. Berfikir sendiri apa lagi jalan yang ada.
“Untuk sementara waktu ni Hana nak mintak abah carikan tukang urut untuk Abang
Zack tu, mama. Hana tak tahan tengok dia mengadu sakit macam tu.” Aku
mengusulkan cadangan itu pula. Kata Dr. Zubaidi tidak ada masalah pada saraf
tunjang Zackery. Bermakna tidak ada apa yang perlu aku risaukan jika kami
memilih rawatan tradisional pula.
“Nak urut buat apa pulak?” tukas mama tidak begitu senang dengan
cadanganku.
“Mama, abang tu ada masalah sakit belakang. Mungkin ada bahagian yang tak
betul pada tulang belakang dia. Hana selalu dengar banyak rawatan alternantif
sekarang ni. Kita cuma perlu cari apa yang sesuai aja,” jelasku bersungguh.
Harap sangat kali ini kata-kataku didengari.
Kali ini mama terdiam memikirkan cadangan yang aku berikan. “Siapa yang
abah Hana nak panggil tu?” tanya mama seketika kemudian.
“Hana tak tahu lagi. Tapi abah pernah cakap dia nak panggil kawan dia jumpa
Abang Zack,” jawabku.
“Suka hati Hanalah. Mama mana tahu sangat pasal ni semua. Mama ikut aja
kalau itu boleh sembuhkan Zackery,” jawab mama akhirnya.
Jawapan mama itu sudah cukup melegakan aku. Jadi rasanya tak perlulah
sampai ke Amerika sana mencari ubat. Berusaha dahulu di Malaysia ini rasanya
dah memadai.
MALAM Jumaat itu abah dan emak datang bersama seorang lelaki.
Masih muda orangnya. Mungkin sebaya Abang Razlan. Sebelum itu, kami sempat
berbual di ruang tamu.
“Saya ada cuba telefon kawan saya tu. Tapi dia tak dapat datang. Jadi saya
minta tolong Syukri ni. Syukri ni pun dulu pernah belajar mengurut ni dengan
kawan saya Pak Kiyai tu,” ucap abah.
“Saya ni pandai sangat tu tidaklah. Tapi saya cuba tolong apa yang
termampu. Kalau tak elok juga. Kita akan usaha cara lain,” ujar Syukri lembut.
“Takpelah. Syukri dah datang bantu kami ni pun dah mujur bagi kami. Nak
harapkan kami ni, susah sikitlah. Kami ni tak ada kepandaian dalam hal-hal
macam ni,” sambut mama sambil tersenyum ramah kepada tetamu kami malam itu.
“Insya-Allah. Setiap penyakit ada ubatnya. Kalau bukan pada saya Allah
kirimkan kesembuhan tu, mungkin melalui orang lain yang lebih tinggi
kepandaiannya daripada saya. Mana orangnya? Boleh saya tengok dia?”
“Ada di atas. Hana, bawakan abang ni naik ke atas,” arah mama kepadaku. Aku
terus bangun bersama lelaki itu. Emak turut meminta diri untuk melihat Zackery.
Namun saat berada di pertengahan tangga langkah lelaki bernama Syukri itu
menjerit kecil. “Astaghafirullah..” ucapnya dalam nada terkejut. Aku dan emak ikut
terhenti sambil memandang lelaki itu yang berada di belakang kami.
“Kenapa?” tanyaku. Hairan melihat dia memandang sekeliling seperti sedang
mencari sesuatu.
“Berapa orang perempuan tinggal di rumah ini?” tanya Syukri perlahan.
“Tiga orang. Saya, mak mentua saya dengan pembantu rumah. Kenapa?”
Dahi lelaki berkopiah itu berkerut dengan riak cukup aneh di wajahnya.
“Saya nampak perempuan di tingkat atas tadi.” Syukri mengurut dada perlahan. Aku
dan emak semakin pelik melihat lelaki itu.
“Siapa, Syukri? Mak cik tak nampak sesiapa pun?” Emak pula ikut bertanya.
Dia juga ikut memandang sekeliling cuba mencari apa-apa yang aneh di sekeliling
kami. Siapa pulak di tingkat atas kalau kami semua berada di sini?
“Eh! Kenapa tak naik lagi?” belum sempat lelaki itu menjawab, mama muncul
di belakang kami.
“Mungkin saya salah pandang tadi. Marilah kita naik ke atas.” Syukri terus
mematikan perbualan kami tentang hal tadi. Kami kembali memanjat tangga itu
untuk mencari Zackery.
Di lantai dua itu Nani tiba-tiba muncul di hadapan kami. Di tangannya ada
dulang terisi gelas dan pinggan kosong.
“Allah! Dia yang saya nampak tadi agaknya,” ucap Syukri sambil tersenyum
kepada gadis Indonesia itu.
“Permisi.” Gadis itu tunduk sedikit kepada kami untuk turun ke bawah.
Syukri meminta aku menerangkan lagi ruangan itu. Sebelum masuk ke bilik
tidur kami, dia masih memandang sekeliling. Entah apa yang dicarinya aku
sendiri pun tidak tahu.
Sebaik sahaja bertemu dengan Zackery, lelaki itu memandang sahaja Zackery.
Zackery terkebil-kebil di atas katil tidak tahu apa yang harus dibuat. Seketika
kemudian barulah lelaki itu mendekati suamiku. Entah apa yang dibuatnya kepada
Zackery. Aku nampak dia sekadar menekan-nekan belakang suamiku itu.
“Sakit selalu di bahagian mana. Saya tekan dulu. Kamu beritahu saya kalau
itu tempat yang selalu kamu rasa sakit ya? Kemudian baru kita mulakan rawatan,”
ucap Syukri lembut.
Setelah ditekan berkali-kali, Zackery mengadu ada tiga kawasan yang sering
kesakitan padanya. Kemudian lelaki itu mula berpindah ke bahagian bawah pula.
Namun sebelum itu dia memandang kepada kami.
“Rasanya tak elok kalau ada orang perempuan di sini. Malu pulak dia nanti
kalau orang tengok dia. Tapi saya nak minta mana-mana orang lelaki di bawah tu
bantu saya di atas ni,” ucap lelaki itu cukup lembut.
Mahu tidak mahu kami semua keluar daripada bilik itu semula. Aku sekadar
menunggu di luar bilik. Emak dan mama turun semula ke bawah. Tetapi tidak lama
kemudian abah naik ke tingkat atas. Dia terus masuk ke bilik itu untuk melihat
apa yang berlaku di dalam bilik itu.
Lebih sejam aku menunggu di luar. Sampai aku mula terasa mengantuk
dibuatnya. Barulah pintu bilik itu dibuka dari dalam.
“Hana panggil mama dengan papa kamu tu. Suruh dia orang naik,” pinta abah
dari dalam bilik itu. Aku akur sahaja dengan arahan abah.
Kami masuk ke dalam bilik itu untuk melihat keadaan Zackery. Lelaki itu
sedang mendengar kata-kata Syukri. Sebaik sahaja kami berada di dalam bilik itu
Syukri mula memberi perhatian kepada kami.
“Dari penilaian saya peluang untuk dia sembuh semula tu memang ada. Tapi
kena usaha sikit lagi. Saya dah urut seluruh badan dia, kita tengok sehari dua
ni ada perubahan ke tidak pada masalah Zackery ni,” jelas Syukri kepada kami.
“Jadi dia memang boleh berjalan semulalah?” papa mula bersuara setelah
mendengar kata-kata Syukri.
“Insya-Allah, dato. Allah punya kuasa ni tiada apa yang mustahil. Kita cuma
kena usaha sikit. Sakit macam ni memang bukan boleh sembuh dalam sehari dua.
Ada pesakit saya dulu lumpuh sampai 6 tahun. Bila dah diurut, urat-urat yang
tersimpul tu diperbetulkan semula. Alhamdulillah, dalam masa sebulan dah ada
perubahan. Kaki dia dah mula boleh rasa,” ucap Syukri sambil memandang papa.
Papa terangguk-angguk puas hati mendengar kata-kata lelaki itu. Baru kini
aku nampak dia mahu mengambil tahu tentang penyakit Zackery.
“Agak-agak berapa lama baru anak saya ni boleh berjalan semula?” soal mama
pula.
“Itu saya tak boleh nak jawab, datin. Ini semua kuasa Allah. Saya hanya
boleh usahakan aja. Saya akan cuba urut dia lagi malam Jumaat depan. Nak
berurut ni pun tak boleh juga setiap hari. Takut dia tak kuat nak tahan. Sakit
berurut ni!” balas Syukri sambil tersenyum memandang Zackery.
“Banyakkan bersabar ya? Benda-benda macam ni memang kena ambil masa sikit.
Jangan cepat putus asa. Bila-bila teringat, amalkan apa yang saya ajarkan tadi.
Insya-Allah, boleh sembuh.” Kali ini lelaki itu berkata kepada Zackery pula. Zackery
sekadar mengangguk akur.
JAM 11 malam barulah Syukri berlalu dari rumah itu bersama
abah dan emak. Aku segera naik semula ke atas untuk melihat keadaan suami ku
itu. Wajahnya tenang sahaja. Jauh berbeza saat pulang daripada hospital sebelum
ini.
“Apa yang Syukri tu buat pada abang tadi? Sampai tak bagi kami tengok dia
rawat abang,” ucapku setelah tubuh aku baringkan di sebelahnya.
“Dia urut badan abang..”
“Tu aja? Hana pun selalu urut abang jugak. Apa yang rahsia sangat?” komenku
masih tidak puas hati.
“Dia ubatkan abang sampai kat dalam. Hana biasa urut luar aja.” Zackery
tersenyum memandangku.
“Ubatkan sampai dalam?” soalku tidak begitu faham.
“Sampai dalam kain,” jawab Zackery sambil tersenyum sendiri entah kenapa.
“Oh. Itu rupanya. Patutlah rahsia sangat. Sakit ke dia urut abang tadi?”
soalku lagi.
“Mula-mula tak rasa apa-apa. Tapi makin lama makin sakit. Dia kata kalau
abang rasa sakit, maknanya dia dah jumpa tempat yang mana bermasalah. Bolehlah
dia fokuskan rawatan kat bahagian itu,” jelas Zackery perlahan.
“Sekarang leher dengan belakang abang masih sakit ke?”
Zackery terus menggeleng. Gelengannya itu sudah cukup membuat aku kelegaan.
“Telapak kaki abang pun rasa panas. Selalunya sejuk,” kata Zackery
kemudian.
“Ia ke? Maknanya ada perubahan positiflah tu, kan? Alhamdulillah..” sambutku
mula teruja mendengar itu. Lebih gembira lagi melihat keceriaan di wajah
Zackery. Aku tahu dia sudah mula bersemangat semula. Itu yang paling aku
harapkan.
“Abang nak apa-apa sebelum tidur?” tanyaku lembut.
“Hana mengantuk ke?” balas Zackery juga dengan soalan.
“Belum lagi. Hana malas nak turun bawah banyak kali. Penat. Abang nak
apa-apa lagi ke? Hana boleh pergi ambil sekarang,” ucapku lantas bangun dari
katil. Aku terlupa membawa air masak naik ke atas sebentar tadi. Aku harus
menyediakan air masak untuk Zackery sebelum tidur.
“Abang nak minum air panaslah,” pinta Zackery lembut.
“Air apa? Milo tak boleh ya.” Kata-kataku segera membenihkan tawa Zackery.
“Apa-apalah asal bukan Milo.”
“Okay. Tunggu kejap ya?” jawabku sambil berjalan ke pintu bilik.
“Abang!!!” Aku berundur menjauhi ambang pintu dengan jeritan keras. Spontan
aku menekup mulut menahan rasa terperanjat dan takut yang datang serta merta.
“Kenapa, Hana? Ada apa?” Zackery terkial-kial mahu bangun daripada
pembaringannya.
“Takde apa-apa.” Aku sempat menoleh seketika kepada suami itu sebelum
kembali memandang ke arah ambang pintu itu. Apa yang aku lihat sekali imbas
tadi sudah hilang kini. Ada kelibat seorang wanita berdiri di ambang pintu itu
sebentar tadi. Apa benda tadi tu? Aku mula tertanya-tanya sendiri. Bulu roma ku
berdiri entah kenapa.
“Hana..” panggil Zackery sekali lagi.
“Ya. Abang baringlah,” jawabku pantas kembali mendekati lelaki itu. Kasihan
dia. Jeritanku tadi membuatkan dia juga ikut terkejut.
“Kenapa Hana menjerit tadi? Ada apa??” Zackery bertanya lagi dalam nada
cemas.
“Ada cicak kat pintu tadi. Hana terkejut. Abang baringlah semula. Hana nak
turun bawah sekejap,” ucapku cuba menutupi apa yang sudah berlaku.
“Hana ni.. tengok cicak, jeritnya macam nampak hantu. Terkejut abang!”
keluh Zackery geram.
“Sorry. tindakan refleks,” jawabku lantas menyengih kepadanya.
Namun setelah itu aku teragak-agak untuk menjengah keluar. Takut apa yang
aku nampak tadi muncul sekali lagi di hadapan mata. Tidak putus-putus kalimah
istighfar dialunkan bibirku. Setelah dintai berkali-kali memang tiada apa-apa. Agaknya
aku yang tersalah pandang kut. Maklumlah. Bila dah malam macam ni, pandangan
mata pun mulalah berkaca-kaca.
Namun dek kerana gambaran itu, perjalanan ke tingkat bawah agak lambat.
Sisa-sisa keseraman tadi masih ada. Tambahan pula tingkat bawah sudah malap,
kebanyakan lampu sudah dipadamkan. Sekadar untuk mengusir ketakutan itu aku
membaca Ayat Kursi berulang kali. Aku yakin perasaan ini hanya ilusi.
Di dapur rupanya Nani masih melakukan tugasnya mengemop lantai. Kasihan aku
lihat gadis Indonesia itu. Dia menguruskan segala kerja rumah ini sendirian
tanpa dapat dibantu sesiapa. Sehingga ke waktu begini dia masih berkerja.
“Tak habis lagi ke, Nani?” sapaku kepadanya.
“Belum, Mbak. Sedikit saja lagi,” jawab Nani lantas tersenyum kepadaku.
“Rehatlah. Dah tengah malam ni. Mop sikit-sikit aje sudah. Bukannya ada
orang lain yang pakai dapur ni pun. Kita aja yang guna,” ucapku lembut.
Bukannya kotor sangat dapur ini sebenarnya. Cuma aku tahu Nani memang teliti dalam
soal kebersihan sekitar rumah. Sebab mama memang cerewet dalam bab itu.
Selesai membancuhkan susu untuk Zackery aku naik ke atas semula bersama
sebekas besar air. Zackery aku lihat sudah sedia menanti sambil bersandar ke
kepala katil. Larat pula dia bangun sendiri.
“Susu aja?” soal Zackery sebaik sahaja aku menyerahkan mug air kepadanya.
“Habis tu? Abang nak minum kopi ke malam-malam macam ni? Abang tu dahlah
susah tidur,” getusku tidak senang dengan kehendaknya. Aku tahu dia juga ada
keinginan mahu makan macam-macam. Tapi keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
“Abang dah tak mahu makan ubat doktor tu lagi, Hana. Abang dah tak sanggup.
Badan ni makin lemah. Nak bangun pun tak larat. Sakit tu tetap juga tak
hilang,” ucap Zackery perlahan sebelum dia meneguk susu suam itu sedikit demi
sedikit.
Aku diam sekadar mendengar. Aku pun tidak tahu apa lagi fungsi ubat itu
jika penyakit Zackery masih juga tidak mampu dipulihkan. Cuma satu jenis antibiotik
itu memang wajib diambil oleh Zackery.
“Kadang-kadang nak bangun pun tak larat. Badan rasa menggigil,” ucap
Zackery lagi.
“Tapi antibiotik tu abang kena ambil juga tau,” ucapku segera akur sahaja dengan
kehendaknya itu. Zackery sekadar mengangguk.
“Apa yang Abang Syukri pesan pada abang tadi tu? Apa benda yang dia suruh
abang amalkan selalu tu?” tanyaku seketika kemudian.
“Dia tak bagi abang baring aja sepanjang hari. Dia suruh abang buat senaman
sikit-sikit supaya otot abang ni bergerak selalu. Bila badan abang ni banyak
bergerak perjalanan darah pun akan semakin lancar. Otot akan kembali kuat,”
jelas Zackery perlahan.
Lega hati ku melihat Zackery mahu mendengar nasihat lelaki itu. Harap-harap
sikap keras kepalanya berkuranglah selepas ini.
“Dah..” Zackery menghulurkan mug kosong itu kepada ku. Aku sekadar
meletakkan di atas meja di tepi katil.
“Hana nak buat kerja Hana, pergilah. Abang belum nak tidur lagi,” ucap
Zackery lembut.
“Tak letih ke?”
“Abang bukannya ada buat apa pun selama ni. Baring aja sepanjang hari. Mana
nak letihnya,” jawab Zackery lantas ketawa kecil.
“Takpe ke Hana tak temankan abang?” tanya ku bersungguh.
“Hana buat kerja kat sebelah abanglah. Nanti Hana pasang lagu, abang
tumpang dengar sekali. Takdelah abang sunyi,” jawab Zackery senang hati.
Aku macam tidak percaya melihat sikap suamiku malam ini. Dia yang aku lihat
sekarang ini seolah-olah bukan Zackery yang aku kenali semenjak selepas dia
lumpuh.
“Hana hidupkan tv nak?”
“Tak payahlah. Abang takde mood nak tengok tv. Baik abang tengok bini abang
ni.” sempat juga Zackery mengusikku. Aku ketawa perlahan. Alahai, abang ni.
Mulalah tu datang mood miang-miang dia tu, bisik hatiku mula berbunga-bunga.
Bersama dengan komputer riba, aku kembali menyambung manuskrip yang sudah lama
terbengkalai di sebelah Zackery. Sambil itu aku memasang lagu sekadar untuk
mengisi kebisuan antara kami.
“Lagu apa tu?” tanya Zackery tiba-tiba setelah agak lama kami tidak
bersuara.
“Ketika Cinta Bertasbih. Kenapa?” aku menoleh memandangnya dengan sedikit
kerutan di kening. Aku tak tahu pula yang dia suka dengar lagu.
“Sedap. Lagu baru ke? Tak pernah dengar pun?”
“Lagu baru apa kebendanya. Dah nak basi! Hana pun suka lagu ni,” ujarku
perlahan.
“Abang kurang dengar lagu Melayu sebelum ni. Sebab tu abang tak tahu,”
jawab Zackery sambil tersenyum.
“Habis tu layan lagi apa kalau tak dengar lagu Melayu? Mat salih? Ke
Hindustan?” giatku sambil memandangnya dengan ekor mata.
“Kadang-kadang lagu Inggeris. Kadang-kadang lagu Cina.”
“Lagi Cina?” Aku hampir ketawa mendengar itu.
“Tak percaya?” Zackery tersenyum-senyum memandangku.
“Lagu Cina yang mana abang dengar? Faham ke Bahasa Mandarin yang dok layan
lagu tu?” ejekku selamba.
Kali ini Zackery tergelak memandangku. “Ada apa lagu Cina yang sedap? Hana
yang tak tahu sebab tak pernah ambil tahu,” ujar Zackery selamba.
“Siapa yang ajar abang dengar lagu Cina pulak ni?” Selalu aku dengar orang
gilakan dengar lagu Hindustan, Spanish atau lagu Korea. Laki aku ni layan lagu
Mandarin. Pelik!
“Dulu abang ada ramai kawan Chinese. Jadi bila naik kereta dengan dia orang,
terpaksalah dengar lagu yang dia orang pasang. Ada sesetengahnya abang suka.
Sedap didengar.”
“Tajuk apa lagu yang sedap sangat tu? Cuba bagi. Nak try layan. Mana tahu
sedapnya luar biasa. Nak jugak tukar selera layan lagu Cina pulak lepas ni.” Sengaja
aku mengolok minat luar biasanya itu.
“Tajuk dia Zheng Fu.”
Dengan penuh kesungguhan yang dibuat-buat aku godek seluruh isi You Tube
itu untuk mencari lagu kegemaran Zackery itu. Tidak lama kemudian aku sudah
menemukan nama lagu itu dengan nama penyanyinya sekali iaitu Na Ying.
Memang sahlah aku tak kenal penyanyi dari negara China ini. Namun dalam
senarai sebanyak-banyak tidak itu, aku terlihat lagu yang sama pernah dinyanyikan
oleh Shila Amzah dalam salah satu pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa.
Wah! Macam menarik ni. Agaknya memang sedaplah lagu tu sampai Shila Amzah
pun boleh menyanyikan lagu itu.
Finally, you’ve found a way to decide a winner,
Win or loose, both of us are deeply hurt,
Outwardly, you look fine but your heart hurt countless
time
I will fight and become a prisoner in this battle
Just like this you’ve conquered me
Cut off the retreat road
My heart is strong but my decision is weak
Just like this you’ve conquered me
I drink a poison you gave me
My story has ended
My love and hatred have been burried
If you walk pass my grave
You may claps your hand and pray for me
“Lagu ni tentang siapa sebenarnya? Aween ya?” soalku perlahan dalam pada
Zackery ralik memandang Shila Amzah yang masih menyanyi di skrin lap top itu.
“Takdelah. Mana ada tentang sesiapa. Takde kena mengena dengan dia pun!”
jawab Zackery pantas. Namun aku sudah mengesan ada sesuatu yang sedang cuba
disembunyikan Zackery daripadaku.
“Apa yang dah berlaku antara abang dengan dia sebelum ni?” soalku perlahan.
Kalau tidak takkanlah Aweena boleh menghilang begitu sahaja. Aku selalu
tertanya-tanya tentang wanita itu.
“Abang tak mahu bercakap pasal dia. Jangan sebut pasal dia.” Seperti mana
wajahnya, begitulah juga suaranya. Serta merta Zackery mula berubah dingin
membuatkan aku tidak berani mahu menyibuk lagi tentang Aweena.
“Sorry..” malas mahu bertanya lagi, aku kembali mengerjakan manuskrip.
“Hana tulis apa tu? Boleh abang baca?” Zackery cuba menjenguk apa yang
tertulis di skrin lap top itu.
“Eee.. tak payahlah. Sibuk aja!” getusku tidak senang.
“Alah! Kedekut. Takkanlah abang pun kena beli novel Hana baru boleh tahu
jalan ceritanya?” desis lelaki itu sambil menyaang sengih kepadaku.
“Buat apa nak tahu. Abangkan tak suka baca novel?” sambutku lebih pantas.
“Seronok jugak baca novel ni, kan? Abang dah curi baca sikit buku yang Hana
beli hari tu. Bila dah baca satu page, mesti nak sambung lagi. Boleh addicted!”
komen Zackery sambil memandangku.
“Tahu tak apa!” aku sekadar menjawab selamba sambil terus menaip. Namun apa
yang terlakar di skrin itu, aku tatap lama. Entah apa-apa yang aku tulis. Fokusku
tidak sepenuhnya kepada manuskrip itu. Aku lebih suka melayan Zackery berbual.
“Hana tak mahu buat cerita tentang abang?” soal Zackery setelah beberapa
minit tiada perbualan antara kami. Lambat-lambat aku menoleh kepadanya dengan
sedikit kerutan di kening.
“Abang nak Hana tulis cerita tentang abang? Kisah abang yang mana satu?”
“Semuanya. Dari mula sampailah lepas abang kahwin dengan Hana,” jawab
Zackery dengan sedikit senyuman. Namun aku lihat senyuman itu agak hambar.
“Oh! Perangai kaki perempuan dulu tu pun nak kena letak juga ke?” perliku lantas
ketawa kecil.
“Letaklah. Kalau tak orang takkan tahu abang jadi macam ni sebab dulu abang
kaki perempuan. Ini balasan yang setimpal untuk abang. Bila abang dah jadi
macam ni, perempuan yang abang tak pernah pandang selama ni yang bersusah payah
untuk abang.” Rendah sahaja nada Zackery. Aku terus terdiam. Menyesalkah dia
dengan sikapnya yang dulu? Perlahan aku matikan komputer riba itu dan aku
letakkan ke tepi. Lelaki itu aku dekati. Lengannya aku peluk erat.
“Tak apa. Hana tetap sayang abang walaupun ditakdirkan abang tak akan
sembuh selama-lamanya. Walaupun orang lain jauhkan diri dari abang sebab abang
dah macam ni. Hana ada untuk abang,” luahku lembut.
“Tapi abang tak mahu terus jadi orang yang tak berguna, Hana. Abang tak
mahu tengok Hana sahaja yang berkorban untuk abang.” Zackery mengeluh perlahan.
“Insya-Allah keadaan ni takkan selamanya, kan? Abang Syukri kata abang masih
ada peluang untuk sembuh. Kita kena ambil kata-kata dia tu sebagai dorongan
untuk kita berusaha lagi, bang. Jangan putus asa,” pujukku bersungguh.
Zackery menghela nafas perlahan. “Abang akan berusaha, sayang. Abang
janji.”
Sayang? Dalam diam perasaan ku terusik mendengar panggilan itu. Macam mimpi
pula. Inilah kali pertama aku terdengar dia memanggilku begitu. Betapa nyamanya
perasaan saat ini. Seolah-olah apa yang aku miliki saat ini sudah terlalu
mencukupi. Aku tidak memerlukan yang lain lagi. Kasih sayang lelaki sudah
memadai bagiku.
“Okaylah. Tak mahu sedih-sedih. Hana nak baca novel. Abang nak tak?”
“Nak.”
Aku bangun meninggalkan katil seketika. Mencari novel yang aku bawa dulu. Dah
beberapa bulan novel itu tidak kujengah. Tiada masa. Aku bawa dua buah novel ke
katil. Satu aku berikan kepadanya.
“Ni rasanya abang dah baca,” ucap Zackery sambil memandang muka hadapan
novel itu.
“Bila masa pulak abang baca?” tegurku sambil mengerutkan kening.
“Entah. Dah lupalah. Tapi gambar ni macam selalu tengok,” ucap Zackery
sambil terus membelek buku itu. kemudian Zackery menoleh kepadaku.
“Tolong ambilkan pensil kat dalam laci meja tu kejap,” pinta Zackery. Jarinya
ditunding ke arah meja tulis di sudut kamar itu.
Tanpa bertanya, aku terus bangun menunaikan kehendaknya. Satu laci kubuka
dan aku menoleh kepadanya.
“Yang mana, bang?” pelik-pelik rupa pensil di dalam bekas itu.
“Ambil ajalah semua tu,” jawab Zackery sambil membelek buku itu. Tunggang
terbalik buku itu dibuatnya. Sudahnya aku membawa bekas pensil itu ke arah
Zackery. Lelaki itu masih sibuk menyelak helaian demi helaian novel itu.
Setelah meletakkan bekas pensil itu di tepi Zackery, aku kembali ke
tempatku. Sambil bersandar, aku juga turut membelek novel. Agak lama kami
membisu. Saat aku menoleh ke sebelah, Zackery bukannya membaca buku yang aku
beri tadi. Sebaliknya dia sedang mencoret sesuatu.
“Abang buat apa?” tanyaku sambil mendekatkan kepala kepadanya.
Namun Zackery pantas mengalihkan buku itu. Tidak mahu aku melihat apa yang
sedang dibuatnya. Melihat dia tidak mahu diganggu, aku kembali membaca buku
yang ada di tangan.
“Nah. Abang buat untuk Hana,” ucap Zackery seketika kemudian.
Buku di tangan segera aku letakkan di tepi. Buku yang diberikan Zackery
pula aku belek. Pada muka surat awal yang seharusnya kosong, sudah penuh dilakar
oleh Zackery.
“Cantiknya,” seruku kagum dengan kebolehan dia melukis karikatur seiras
wajahku.
“Hana suka?” tanya lelaki itu sambil tersenyum.
“Suka.”
“Bak yang tu. Abang lukis gambar kita berdua pulak,” ucap Zackery sambil
meminta sebuah lagi novel yang ada denganku.
Sementara dia ralik dengan hobinya, aku pula melayan hobiku membaca novel.
Bersungguh-sungguh lelaki itu menyudahkan lukisan itu. Seketika kemudian dia
memberi kepadaku buku di tangannya. Aku pun sambutlah dengan rasa tidak sabar.
Namun saat memandang, aku terkedu melihat lukisan itu. Kemudian aku
memandangnya. Dia lukis gambar superman dengan spender S. Tapi muka si superman
itu sudah tentulah muka Zackery. Yang tidak tahannya, aku dilukisnya gambar
perempuan berbuah dada besar dengan punggung lebar dalam baju kurung ketat!
“Hana ke ni?” tanyaku sambil menunjukkan apa yang dilukisnya itu.
Zackery tersengih-sengih memandang aku. “Tak sama tapi serupa, kan?” balas
Zackery lantas ketawa.
“Dia punya gambar dia lukis gambar superman. Ketak sana, ketak sini. Kita punya
gambar, macam perempuan lebih muatan aja,” gerutuku tidak puas hati. Gambar itu
kutatap lagi. Malu rasanya melihat diri sendiri digambarkan seperti itu.
“Nanti abang lukis gambar Hana ya?”
“Tak nak macam ni! Malu!” tukasku pantas.
“Taklah. Kali ni abang lukis cantik-cantik,” balas Zackery sedikit lunak.
“Abang pandai lukis potret ya?” tanyaku. Buku itu sudah kulepaskan.
“Dulu waktu sekolah, abang paling suka kalau cikgu suruh lukis poret. Lukisan
seni bina ni abang tak berapa minat. Tapi terpaksa ambil. Waktu abang masih
belajar, abang selalu lukis gambar permandangan. Tapi mama dah buang kebanyakan
lukisan tu. Tu semua kerja sia-sia,” jawab Zackery perlahan.
Aku diam seketika mendengar itu. Sebelum kemalangan dahulu Zackery
merupakan seorang arkitek. Orang kerja hebat, ada rupa ada segalanya, perempuan
yang berdampingan dengan dia pun bukan calang-calang. Sekadar writer cabuk
macam aku ni, tak akan masuk senarai punya!
“So, semenjak dulu abang memang bercita-cita nak jadi arkitek?” tanyaku.
Zackery menggeleng. “Abang tak ada cita-cita. Semuanya dah ditentukan. Jurusan
di universiti pun orang tua abang yang tentukan. Abang tak boleh pilih apa yang
abang suka,” jawab Zackery perlahan.
“Jadi, apa yang minat sebenarnya?”
“Art. Abang suka melukis. Lukis potret. Lukis permandangan guna cat di atas
kanvas.”
“Sekarang abang boleh praktikkan apa yang abang suka. Sekadar untuk isi
masa. Apa salahnya, kan?” balasku. Daripada Zackery duduk termenung, banyak
berfikir begitu sahaja. Lebih baik dia isi masa dengan hobinya.
Zackery diam memandangku. Namun secangkir senyum diberikan akhirnya. Senyuman
itu sudah cukup memberitahu aku. Yang dia semakin bersemangat untuk mencari
arah hidupnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan