Sabtu, 2 Januari 2016

PROLOG-BAB 2 DURI-DURI DI HATI (TAJUK SEMENTARA)

Prolog

SUASANA tanah perkuburan itu suram. Titisan hujan dan awan mendung semakin memalapkan perasaan insan-insan yang mengiringi perpisahan itu. Seolah-olah seluruh isi alam ini juga sedang menangisi pemergian anak muda itu. Permergian ini pemergian yang tidak dirancang. Kembalinya anak Adam ke hadrat Ilahi bukanlah sesuatu tidak pasti. Sebaliknya ini semua sudah dijanji.
Aku sempat memerhatikan suasana sekeliling tatkala talkin sedang diperlagukan. Ada sayu dan ngeri bermain di dalam jiwa saat mendengar seruan itu. Terbayangkan diri ku, sampai satu masa aku juga pasti akan diiringi dengan keranda ke sini bersama selembar kain putih. Hati ku sayu dan hiba. Sudah cukupkah bekalan ku nanti? Perlahan mata ku pejamkan. Tidak sanggup membayangkan apa yang bakal diterima nanti jika pertanyaan mungkar dan nangkir tidak mampu ku balas.
Dalam pada ralik memikir sendiri tiba-tiba pandangan ku terhala kepada seorang wanita. Auntie Nora.. dia sekadar tunduk tanpa air mata memandang longgokan tanah merah yang membukit di hadapannya. Di dalam timbunan tanah itulah jasad permata hati yang dilahirkan 22 tahun lalu sudah disemadikan. Buat seketika aku sempat merasakan kepiluan hati wanita itu. Pasti perit untuk dia menelan semua ini begitu sahaja. Sementelah seorang lagi anak lelakinya kini koma akibat peristiwa yang sama meragut nyawa ini.
Aku tidak mampu membayangkan betapa beratnya dugaan yang sedang digalas oleh wanita itu. Simpati ku tidak terluah. Aku tahu simpati ku kepada wanita itu tiada maknanya. Semuanya kehendak Allah. Aku sendiri masih tidak mampu membayangkan apa yang akan kurasakan sekiranya ditakdirkan ajal turut menjemput Andrian Zackery. Adakah sekadar kesedihan biasa-biasa yang akan ku alami? Atau aku juga akan tunduk memikirkan takdir seperti wanita itu?
Entah.. semenjak semalam lelaki itu tidak sedarkan diri. Menurut doktor, Zackery akan terus berkeadaan begitu entah untuk beberapa lama lagi memandang dia mengalami masalah bengkak otak.
Adrian Zackery.. lelaki itu sering berada di dalam ingatan ku semenjak dulu. Ke mana pun aku pergi, aku pasti berada di dekat dengannya. Macam dah dijanji-janjikan pula. Kami bersekolah di sekolah yang sama. Menutut di universiti yang sama. Tinggal di kawasan perumahan yang sama. Auntie Nora ibu Zackery juga sudah cukup kenal akan diri ku. Cuma selama ini aku sedar dia tidak pernah berada di dalam genggaman ku. Kami tidak rapat walaupun sering bertemu. Aku tahu dan aku cukup sedar.. dia tidak pernah tahu apa yang aku rasakan setiap kali memandangnya. Aku juga cukup yakin.. dia juga tidak pernah merasakan apa yang aku rasa.



Bab 1
SEMINGGU kemudian..
Pagi itu aku turun ke tingkat bawah seperti biasa. Namun pagi ini aku sudah bersiap kemas untuk keluar menunaikan janji ku kepada Auntie Nora. Aku akan menemankan Zackery di hospital sementara Auntie Nora dan Uncle Abdillah ada urusan di pejabat.
“Nak ke mana cantik benar ni?” tegur emak ku yang sudah kehairanan melihat aku.
“Hana nak ke hospital, mak. Nak jenguk Abang Zack.” Aku menjawab perlahan. Abah yang sedang menyuap nasi lemak ke mulut terus mengalihkan bola matanya kepadaku. Terhenti suapannya serta merta. Adikku terus memandang dengan mata membulat. Dia juga tidak jadi makan. Emak mula memandang abah pula. Seolah-olah meminta abah bersuara.
“Kenapa?” soalku hairan dengan gelagat mereka semua di meja makan itu.
Emak menghela nafas berat. “Hana tak usahlah selalu sangat temankan Zack tu. Tak manis tengok dek orang. Hana tu anak dara,” ucap emak lembut lantas duduk bersebelahan dengan abah.
“Hana nak tolong aja, mak. Hana kasihan dengan auntie Nora tu. Itulah satu-satunya anak dia yang masih ada,” ucapku lembut. Aku terus membaca doa sebelum memulakan aktiviti mengisi perut. Pandangan abah yang masih melekat erat di wajah ku cuba kunyahkan. Namun perasaanku mula tidak sedap melihat abah memandangku begitu.
“Akak nak tolong temankan Abang Zack tu?” ucap Rahimah pula seakan masih tidak percaya dengan kemahuanku.
“Temankan sekejap aja, Imah. Sementara mama dengan papa dia ada urusan di luar.” Aku sekadar menjawab biasa kepada Rahimah.
“Hana mak tak suka Hana baik sangat dalam hal macam ni. Hana tu belum kahwin. Zack tu pulak anak bujang orang. Nanti semua jiran bercakap yang bukan-bukan.” Emak sekali lagi mengingatkan aku akan keadaan itu.
“Mak, Abang Zack tu tengah koma. Apa pulak cerita yang orang nak buat tentang kami?” balasku seolah hal itu hanya remeh.
Emak mula menghela nafas perlahan sambil merenung rautku dengan rasa tidak senang.
“Mak paling tak suka orang bercakap anak dara mak sengaja ambil kesempatan menghimpit anak teruna Dato Abdillah tu. Mak tahu niat Hana baik. Tapi tak semua orang faham, nak. Ada orang yang suka memandang serong, berbanding berfikir yang baik-baik. Mak tak mahu nama baik Hana tercemar nanti. Auntie Nora tu memang baik dengan kita semua. Tapi kita jangan ingat dia ada apa-apa maksud pulak. Kita ni masih tak setaraf dengan dia orang tu, Hana.” Suara emak menekan serius.
Aku terdiam memandang emak. Abah terus membisu tidak berkata apa-apa. Namun aku tahu abah sedang memikirkan sesuatu. Kemudian aku memandang adikku yang menelinga sahaja perbualan kami.
“Kalau macam tu Imah temankan akak,” usulku mudah. Selamat! Bertiga, takkanlah ada orang mahu berkata lagi?
“Bukan soal berdua-duaan sahaja yang mak maksudkan kat sini. Hana fahamkan apa yang mak katakan tadi? Mak tak mahu Hana dipergunakan dan mak tak mahu Hana letak diri Hana di tempat yang tak seharusnya,” tekan emak serius.
Aku kembali terdiam tunduk merenung nasi di dalam pinggan. Abah masih juga diam tidak berkata apa-apa. Ketara benarkah perasaanku ini? Salahkah jika aku sekadar mahu membantu mereka?
“Hana nak pergi hospital, cepat makan. Kita pergi sekali,” ucap abah tiba-tiba. Dia terus mengelap mulutnya dengan tisu di atas meja itu.
Aku sudah dapat mengagak. Abah pasti mahu berkata sesuatu di dalam kereta nanti. Mungkin abah tidak mahu memalukan aku di hadapan ahli keluarga kami yang lain. Tanpa memandang emak lagi, aku melajukan suapan. Apa lagi jika bukan mahu lari bebelan emak yang seterusnya.

“ABAH harap Hana sedar apa yang Hana buat ni,” ucap abah ketika kami dalam perjalanan ke hospital.
Aku terdiam menanti kata-kata abah yang seterusnya. Abah yang sedang memandu menoleh kepadaku seketika.
“Abah pun sependapat dengan mak. Abah tak mahu Hana letak diri Hana di dalam situasi yang menyulitkan hidup Hana nanti,” ujar abah lagi mencelah kebisuan ku.
“Apa maksud abah? Hana cuma nak temankan Abang Zack sekejap aja, abah. Hana takde niat apa-apa,” ujarku perlahan.
“Abah dan mak tahu apa yang Hana simpan selama ini. Pasal Zackery. Abah nak Hana fikir baik-baik tentang itu. Fikir dalam-dalam.” Abah terus berkata lembut kepada ku.
Spontan aku menghela nafas perlahan. “Takde apa yang difikirkan, abah. Hana cuma nak tolong auntie Nora aja. Tak lebih dari itu. Hana tak mahu abah dan mak risaukan Hana pasal hal ni,” ujarku dalam nada agak lemah.
Ya! aku sebenarnya sudah lama berfikir tentang perasaanku kepada Zackery. Aku tahu aku tidak mampu berada di tempat yang paling aku harapkan itu. Aku selalu sedar Zackery tidak pernah memandang aku setinggi itu. Perasaan ini hanya ada padaku seorang. Dan aku tidak melakukannya kerana mahu cintaku dibalas. Sama sekali tidak!
“Baguslah kalau Hana kata macam tu. Benda macam ni, setiap langkah yang kita nak lalui.. sebelum itu kita harus nilai semula kata hati kita dengan menggunakan akal yang rasional. Jangan anggap semua bisikan hati tu benar. Dan bukan semua kehendak hati kita tu akan termakbul akhirnya. Sandarkan harapan yang terbatas, Hana. Abah tak mahu Hana kecewa kemudian hari. Kali ini abah bersedia untuk menganggap yang Hana membantu auntie Nora tu sebab dia sedang dalam musibah. Tak lebih dari itu!” ujar abah malas mahu berceramah kepadaku panjang lebar.
Hampir 40 minit kemudian, abah memberhentikan keretanya di hadapan pintu masuk Pantai Medical Centre. Sebelum keluar daripada kereta aku sempat menyalami tangan abah.
“Terima kasih, abah.”
“Balik nanti naik teksi ya? Hati-hati,” ucap abah saat aku tunduk mencium tangannya.
Aku sekadar mengangguk. Terus aku keluar daripada kereta dan Nissan Navara itu meluncur pergi. Di ruangan legar tingkat bawah sudah ada ramai pengunjung yang memenuhi kawasan itu. Aku lihat bahagian rawatan luar hospital ini sedang padat. Sudah ramai yang menanti untuk mendapatkan rawatan. Aku menggunakan lif untuk naik ke tingkat 3. Dia tingkat itu Zackery sedang ditempatkan.
Sebaik sahaja aku menjengah ke dalam kamar ICU itu, bilik itu hanya sepi. Zackery terdampar sendirian tidak sedarkan diri. Semenjak dari mula dia ditimpa kemalangan itu sehinggalah kini, tidak pernah sekali dia membuka mata.
Buat seketika aku memerhatikan persekitaran kamar itu. Semuanya kemas sahaja. Aku sempat tertanya siapa yang menemankan lelaki ini semalam? Macam tiada tanda-tanda ada orang menghuni bilik ini selain Zackery.
Kemudian aku memandang semula lelaki itu. Melihat dia kaku begitu hatiku sayu. Wajahnya nampak kusut tidak terurus. Misai dan janggut sudah mula tumbuh meliar. Sampai bila keadaan dia akan begini? Teringin benar untuk melihat dia kembali membuka mata dan kembali sihat seperti dulu.
Namun sebahagian lagi daripada hati ku berkata, jika bukan dalam keadaan ini, aku tidak akan mampu mendekati dia sedekat ini. Kerana aku yakin, selama ini aku tidak pernah berada dalam hatinya. Takpelah. Aku berada di sini bukan sebab nak menagih kasih dia. Aku membantu untuk meringankan beban orang yang sedang dalam kesedihan. Itu niat aku. Tak lebih. Tak kurang.
Aku duduk di sisi katil Zackery. Buat seketika aku memandang dia. Namun sudahnya aku memilih untuk mengalihkan tumpuanku kepada hal yang lain. Mujurlah di dalam beg ada novel yang aku selitkan sekali sebelum datang ke sini tadi.
Sambil duduk di tepi katil itu aku cuba menumpukan perhatian kepada pembacaan. Tetapi, entah kenapa mata ini gatal benar mahu memandang wajah lelaki itu lagi. Desakan perasaan ini cuba untukku endahkan. Namun aku mula bosan apabila bola mata ku asyik berlari di barisan ayat yang sama berkali-kali. Apa yang aku baca langsung tidak mampu menarik minat. Akhirnya aku termangu lagi memandang Zackery.
Kenapa aku boleh jatuh cinta pada dia ya? Bisik hatiku sendiri. Dia bukannya pedulikan aku pun selama ini. Nama saja kami sudah kenal lama. Tapi jarang bercakap. Di universiti dahulu pun kami bukannya berkawan rapat. Hanya tegur begitu sahaja kalau terserempak. Seingat aku dia hanya bercakap dengan aku apabila aku bantuan yang diharapkan daripada ku. Selebihnya aku hanya memandang dia dari jauh.
Namun tanpa sebarang respon daripada lelaki ini, perasaan ini tetap membiak sehingga bertahun-tahun lamanya. Aku benar-benar tidak faham. Aku tahu aku bukan perempuan yang menepati citarasanya.
Puas termenung dan berfikir sendiri, bosan juga aku akhirnya. Tiada ada sesiapa yang hendak dijadikan teman berbual. Akhirnya aku hanya duduk menonton tv di sofa.
Jam 3 petang barulah kelibat auntie Nora tiba di situ. Hanya dia sendirian. Ayah Zackery tiada bersama.
“Sorry, Hana. Auntie ni menyusahkan Hana aja. Tadi lepas selesai urusan di JPN auntie kena ke pejabat pulak. Ada meeting penting,” ucap wanita elegan itu sebaik sahaja ternampak aku.
“Takpe. Hana tak kisah pun..” jawab ku sambil tersenyum. Dia dah ada di sini nampaknya bolehlah aku balik lepas ni.
“Ada apa-apa perubahan ke, Hana?” soal wanita itu sambil mendekati tubuh kaku Zackery di atas katil itu.
“Takde apa-apa pun auntie. Dia masih macam tu jugak,” jawab ku perlahan.
Auntie Nora diam. Lama dia berdiri di tepi katil pesakit itu sambil memandang anaknya. Kemudian aku lihat wanita itu memegang lengan Zackery.
“Macam mimpi aja semua ni jadi pada auntie sekeluarga. Sudahlah Amar meninggal. Zack pula jadi begini.” Wanita itu mengeluh tiba-tiba.
Aku sekadar mendengar sambil memandang belakang wanita itu. Auntie Nora kemudian memandang aku dengan riak sedih.
“Auntie kesian dengan Zack. Takde siapa nak beri perhatian pada dia dalam keadaan macam ni. Auntie dengan uncle, kami sama-sama sibuk. Banyak urusan nak diselesaikan,” ujar wanita itu lagi.
Aku terus diam terkebil-kebil memandang wanita berusia awal lewat 40-an itu berkata-kata. Auntie Nora mula datang kepadaku lalu duduk di sofa yang sama.
“Kalau Hana tak ada tadi. Entah siapalah yang nak tolong tengok-tengokkkan Zack.” Auntie Nora tersenyum sambil menyentuh pahaku.
“Hana kesian tengok auntie kelam kabut begini. Sebab tu Hana tolong,” jawabku dalam nada biasa. Lantai marmar putih di bawah aku pandang seketika sebelum memandang ke arah lelaki itu.
“Auntie tak tahu berapa lama lagi keadaan ni akan berterusan, Hana. Auntie sedih tengok Zack macam tu. Apalah perasaan dia kalau dia tahu Amar dah tak ada,” ucap Auntie Nora sedikit sayu.
“Ini semua ujian Allah, auntie. Memang akan ada kesannya. Tapi kena kena sabar. Kena terima walaupun susah,” ucapku perlahan.
“Yes. You’re right.” Auntie Nora mengeluh perlahan.
“Siapa yang temankan Abang Zack kat sini selalunya?” soalku pula.
“Takde siapa. Malam dia cuma seorang di sini. Auntie tak dapat nak temankan dia kat sini sebab auntie kena kerja. Uncle pun sibuk,” jawab auntie Nora perlahan.
Jawapan itu membuatkan aku tidak terkata. Ada sedikit rasa hairan terbit di hati kecil. Patutkah dalam keadaan begini masing-masing terus mengutamakan kepentingan lain? Urusan kerja lebih penting berbanding anak sendiri? Hairan.
Ah! Aku tak seharusnya memikirkan yang bukan-bukan. Bukannya aku tahu sangat apa masalah keluarga dia orang ni.. bisik sang hati cuba untuk menyedapkan perasaan sendiri.
“Auntie, Hana ingat Hana nak baliklah. Nanti mak bising,” ucapku perlahan.
“Hana, esok boleh tolong temankan Zack lagi tak?” meluncur lagi permintaan yang sama seperti semalam membuatkan aku tersentak dalam diam. Sekali ini sahaja pun emak tak suka. Takkan aku nak datang sini lagi? Mahu kena marah aku lagi nanti.. keluh hati ku sendiri. Namun memandang wajah auntie Nora, cukup membuatkan aku jadi tidak sampai hati.
n Abang Zack kat sini selalunya?"dia kalau dia . kkan Zack.a ku. k menjadi kaibah..
“Hana tak boleh janji, auntie. Hana kena tanya mak dengan abah dulu. Kalau dia orang izinkan, insya-Allah Hana datang,” jawabku perlahan sambil mengambil beg tangan di tepi.
“Okay. Hana tanya mak dengan abah dulu ya? Kalau dia orang izinkan, Hana datang aja. Esok auntie memang tak dapat datang ke sini. Auntie kena uruskan projek syarikat yang tengah berjalan sekarang,” ujar Auntie Nora lembut.
Aku sekadar menangguk tanpa kata. Kemudian aku bangun dan menghulur tangan ku kepadanya. “Hana balik dulu ya?”
“Kirim salam auntie pada mak Hana.”
“Insya-Allah, auntie.” Aku menjawab dengan secangkir senyuman. Sebelum berlalu aku sempat memandang lagi lelaki itu. Seperti tadi, dia hanya beku. Aku tahu seperti mana
sebelum-sebelum ini, esok juga aku tidak akan pernah kelihatan di matanya. 

Bab 2
SEDANG aku duduk bersantai di atas buaian di hadapan rumah aku terlihat sebuah Suzuki Swift berhenti di hadapan pintu pagar rumah ku. Tidak perlu dipandang banyak kali, aku sudah tahu kereta itu milik siapa.
“Wei, makcik penulis! Termenung nampak? Takde nak menovel dah ke?” tegur Adila sambil berjalan masuk ke halaman rumah ku melalui pagar kecil di tepi pintu pagar itu.
Aku terus tersenyum kepada sepupu ku itu. Dia juga sahabat karib ku.
“Aku takde moodlah sekarang. Idea pun kurang. Malas nak menulis,” jawabku saat dia melabuhkan duduk di sebelah. Terjahan tubuh Adila membuatkan buaian itu terhayun perlahan.
“Idea kurang? Macam mana pulak tu? Setahu aku kau ni manusia yang paling kuat berangan. Sebab tu jari kau tu laju aja kalau bab berkarya ni,” perli Adila lantas tergelak kecil.
Aku terus tersenyum mendengar celoteh Adila yang sememangnya terkenal dengan mulut banyak itu.
“Otak aku ni bukannya mesin, Dila. Setiap kali berangan semuanya menjadi. Sekali sekala nak kena berehat jugak. Kalau tidak, cerita yang aku buat jalannya sama aja. Saja aja nak ambil masa fikir jalan cerita yang menarik. Lain daripada yang lain,” ucapku sekadar mendatar. Adila mengangguk perlahan sambil bersandar di sebelahku.
“Kau pulak, tak kerja ke hari ni?” soalku sambil merenung wajahnya. Pelik tengok dia ada di rumah ku sedangkan setahu aku minah ni kaki kerja.
“Aku pergi servis kereta tadi. Memang pun aku dah mintak cuti. Aku pun nak berehat jugak. Tapi sehari ni jelah. Esok aku hadap balik kerja aku kat pejabat tu,” jawab Adila tanpa memandangku.
Aku sekadar mengangguk perlahan. “Kau tunggu kejap. Aku buatkan kau air. Aku pun rasa nak minum jugak ni,” ujarku sambil bangun dari situ. Novel di atas riba aku letakkan ke tepi.
“Elok jugak tu. Aku pun memang dah lama teringin nak minum air yang kau buat,” sambut Adila dengan muka selamba. Seketika kemudian Adila mula mencapai buku itu.
“Kau tak boring ke baca buku sendiri? Sendiri yang buat, sendiri baca,” tegurnya sambil tergelak. Aku hanya mencebik mendengar kata-katanya.
Tidak sampai 5 minit kemudian aku sudah keluar menatang dua mug. Adila memang hantu nescafe. Jadi air nescafe tarik yang aku bancuhkan untuknya. Aku pula dengan teh susu kegemaranku.
“Dengarnya Zack accident. Adik dia meninggal ya?” ucap Adila saat aku melabuhkan duduk di buaian itu semula.
Aku mengangguk. Mug di tangan aku serahkan kepadanya. “Dah sebulan lebih, Dila. Dia pun masih koma sekarang.”
Adila menghela nafas perlahan. “Aku ni selalu sangat tak ambil tahu pasal orang sekeliling. Benda macam ni pun aku baru tahu.”
“Takpelah. Sekurang-kurangnya kau tahu jugak akhirnya. Lagipun waktu dia accident tu kau tengah kursus kat Langkawi. Macam mana kau nak tahu.”
“Teruk ke keadaan si Zack tu?” tanya Adila lagi.
“Auntie Nora kata dia suffer spinal cord injury,” jelasku menurut apa yang aku tahu.
“Serius ke kecederaan saraf dia tu?”
“Seriuslah agaknya. Aku pun bukannya tahu sangat,” jawabku biasa. Mulalah ingatanku terbang lagi kepada lelaki seorang itu. Rumah kami tidaklah jauh benar. Hanya berlainan lorong sahaja.
“Habis tu sampai bila dia akan koma macam tu?” Adila bertanya lagi tentang lelaki itu.
“Manalah aku tahu, Dila. Kau tanya macamlah aku ni doktor peribadi si Zack tu. Aku pun dah seminggu tak pergi tengok dia,” jawabku agak lemah. Rindukah aku? Entahlah.. ikutkan hati memang nak aja aku pergi ke sana. Tapi aku bimbang emak marah lagi. Nanti tak pasal-pasal aku dicop anak dara gatal. Walaupun kaki ni memang gatal asyik nak ke sana.
“Macam tak percaya aja, kan?” ucap Adila perlahan.
“Tak percaya pun kena percaya jugak. Semua ni kehendak Allah, Dila.”
Adila mengangguk setuju dengan kata-kataku. Kemudian dia menoleh lagi kepadaku.
“Kau mesti selalu pergi jenguk dia tu, kan?” soalnya dalam nada sedikit aneh. Kalau aku tidak tersalah tafsir, nada itu lebih kepada rasa tidak senang.
“Minggu lepas tiap-tiap hari aku kena ke sana. Aku cuma tolong auntie Nora tengok-tengokkan Zack tu sementara auntie Nora uruskan kerja dia.”
“Ye ke cuma tolong? Ke kau memang suka nak ke sana?” sambut Adila lantas mencebik. Siap dengan sorotan mata agak sinis kepada ku.
“Entah-entah dalam diam kau pun memang harap sangat Auntie Nora tu mintak tolong kau?” Adila menambah lagi perliannya.
Spontan aku ketawa. Pahanya aku cubit geram. “Kau pun sama macam mak aku!” getusku geram.
“Aku bukannya baru kenal kau semalam, Hana. Aku tahu kau masih syok dekat si Zack tu, kan?” desis Adila terus bernada sinis.
“Salah ke kalau aku tolong orang yang tengah susah ni, Dila? Kalau kita kat tempat dia macam mana? Apa kau nak buat?” tempelakku semula.
“Ialah. Baik pada orang ni kena jugak berpada-pada, Hana. Jangan bagi orang ambil kesempatan kat kau. Auntie Nora tu memang baik pada semua orang. Tapi dia tu dalam diam pilih bulu jugak. Dia baik dengan kau masa anak dia sakit ni aja. Kalau tak, tak pandang pun!” tukas Adila sedikit sinis.
“Kau pun rasa dia nak ambil kesempatan pada aku?” ucapku lantas tersenyum kecil.
“Kalau dia nak dah lama dia rekemenkan kau pada anak dia tu. Tapi tak ada pun kan? Dia siap sokong lagi Zack tu berkawan dengan Aweena. Yalah.. Awen tu anak dato jugak. Keluarga kita ni walaupun tak miskin tapi kita bukannya orang koporat. Bussines family kita ciput aja. Tak macam dia orang tu. Juta-juta punya cerita. Kenapa dia tak suruh si Awen tu yang jaga Zack? Kenapa mesti kau? Oh! Sebab dia tahu kau kerja penulis cabuk aja. Kerja kau tak perlu nak punch card macam orang lain, jadi senanglah dia nak ambil kesempatan, kan?” tempelak Adila cuba menyedarkan aku.
Aku terus terdiam mendengar kata-kata Adila itu. Aku memang perasan Aweena tiada semenjak dari hari pemergian Amar dahulu. Hanya emak dan ayah dia yang hadir ketika itu. Aku pun tidak pernah pula bertanya tentang Aweena kepada Auntie Nora. Nak buat apa tanya? Buat sakit hati aku aja.
“Hana, Zack tu tak sesuai untuk kau. Kau lupakanlah dia. Ramai lagi lelaki lain dalam dunia ni yang lagi baik dari itu, Hana. Kenapa dia jugak yang kau suka? Zack tu pun kaki perempuan. Takkan kau tak sedar lagi?” nasihat Adila tatkala aku berdiam memikir sendiri.
“Kalau aku boleh dah lama aku buat, Dila. Tapi tak boleh,” luahku perlahan.
“Kau tak boleh atau kau belum cuba? Kalau aku jadi kau, aku pindah dari sini. Cari rumah sendiri. Duduk sendiri. Kau duduk sini pun dia bukannya pandang kau walaupun tiap-tiap hari terjumpa!” balas Adila selamba.
 Aku diam lagi cuba memikirkan kebaikan daripada cadangan Adila itu. Mungkin ada bagusnya juga aku bertukar angin. Bak kata Adila tadi. Aku tercongok kat sini pun bukannya ada mendatangkan faedah. Sama aja!
“Tengoklah nanti macamana, Dila.”
“Kalau kau nak, kau duduk aja dengan aku. Aku tak kisah..”
“Nantilah aku tanya abah aku dulu.” Aku sekadar menjawab ringkas.

MALAM itu setelah beberapa hari menyepikan diri Auntie Nora kembali menghubungiku. Masih juga dengan permintaan yang sama. Namun apa yang membuatkan aku berat hati, Auntie Nora meminta aku menemankan Zack selama seminggu kerana dia perlu ke Indonesia bersama Uncle Abdillah. Tidak terkata aku jadinya. Namun tiba-tiba aku teringatkan Aweena.
“Kenapa auntie tak suruh Aween aja?” ucap ku perlahan.
“Awen ada di US. Hana tak tahu ke?”
Lah.. kat US pulak dah. Boyfreind sakit teruk dia boleh ke US. Apa punya mata air ni? Takkanlah dia tak balik-balik jenguk buah hati dia tu? keluh hatiku sendiri.
“Hana tak tahu pulak pasal tu. Kenapa auntie tak suruh aja dia balik? Hana bukannya apa. Hana takut orang sekeliling mengata, auntie. Tak elok.” Aku segera mencipta alasan.
“Hana tolonglah auntie. Auntie dah takde siapa nak diharapkan sekarang ni. Kalau auntie tinggalkan Zack macam tu aja, hati auntie ni tak senang,” ucap wanita itu mula menggunakan nada rendah.
Kalau macam tu tak payahlah ke Indonesia tu. Biarlah Uncle Abdillah seorang saja yang pergi. Tak boleh ke? hatiku berkata-kata sendiri lagi. Perlahan sebuah keluhan aku lepaskan dari dua rongga hidung. Nak tolong ke tidak ya? Serba salah.
“Hana, Zack tu kan kawan Hana. Apa nak dikisahkan? Mulut orang ni tak payahlah peduli sangat. Dia orang tu bukannya faham pun masalah orang lain. Tahu nak mengata aja,” celah Auntie Nora lembut.
Kawan? Dia kawan aku. Tapi aku ni kira kawan dia ke? Dia tegur aku pun bila ada hal penting aja. Selebihnya dia buat tak tahu aja pun. Sebelah mata tak pandang. Ah! Hana, ini bukan masanya untuk mengungkit semua itu.
“Bolehkan Hana? Keadaan Zack tu pun dah semakin elok. Doktor kata tak lama lagi dia sedarlah tu.” Pandai Auntie Nora memancing persetujuanku dengan berita itu.
“Okaylah..” aku akhirnya memberikan juga persetujuan dalam rasa hati yang separuh ikhlas.
“Terima kasih banyak-banyak, Hana. Kalau takde Hana tak tahulah apa nak jadi pada keluarga auntie ni.”
“Sama-sama, auntie.” Aku sekadar menjawab kosong. Terbayangkan reaksi emak nanti, aku mula menyesal pula memberi persetujuan tadi. Mahu saja aku tukar nombor telefon supaya auntie Nora tak dapat call aku lagi selepas ini. Tapi kalau aku tukar nombor telefon bimbit, nombor telefon rumah macam mana? Takkan nak tukar jugak? Kalau tak dapat call aku kat rumah, dia datang rumah terus cari aku. Maknanya tak berkesan jugaklah main tukar-tukar nombor telefon ni sebenarnya.

Hish! Bosan betul jadi orang lembik hati ni.. getus ku sendiri. Tak boleh jadi. Aku kena ikut cakap Dila! Pindah rumah! Muktamad!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan