BAB 6
HASRAT yang ku sampaikan kepada abah akhirnya tiba juga ke
pengetahuan orang di sekeliling ku. Emak dan ayah Zackery yang paling mudah
memberikan persetujuan. Namun tidak bagi emak. Emak memetir marah mendengar
kemahuan gilaku itu. Emak tidak mampu menunjukkan ketenangannya seperti mana
abah dan abangku, Razlan.
“Dah tak ada kerja ke? Tak ada bala pergi cara bala buat apa?” bentak emak
ketika aku di rumah abah petang itu.
“Hana sayangkan dia, mak.” Alasan itu aku berikan lagi buat kesekian
kalinya. Tiada guna aku jelaskan panjang-panjang. Aku tahu emak tidak boleh
terima.
“Mak tak suka dengan keputusan Hana ni! Banyak lagi lelaki lain dalam dunia
ni. Kenapa dia jugak yang Hana nak? Tengok apa yang dah jadi pada dia? Dia tak
mampu beri zuriat pada Hana. Lelaki macam tu ke yang Hana nak buat suami??”
melengking suara emak melawan pendirianku.
“Tapi keadaan dia macam tu bukan untuk selamanya. Dia masih boleh sembuh.
Mak tolonglah faham perasaan Hana.”
“Bila nak sembuhnya? Setahun lagi? 2 tahun lagi? Atau 10 tahun kemudian?
Hana tahu tak berapa usia Hana waktu tu? Dah 36 tahun! Nak beranak apa lagi
umur macam tu? Umur habis menunggu lelaki macam tu aja. Itu pun kalau dia
sembuh. Kalau dia terus lumpuh sampai bila-bila, macam mana? Mak tak suka,
Hana. Mak tak sanggup tengok anak perempuan mak berkorban sampai macam tu
sekali. Tak boleh!” tempelak emak semakin lantang.
Aku yang duduk di atas anak tangga mula berdiam sambil meraup wajah
kebuntuan.
“Kalau dah nak kahwin benar mak akan carikan calon untuk Hana. Ramai aja
yang nak! Hana tu aja masih nak menunggu si Zack tu. Bila dah jadi macam ni
cepat pulak Nora tu nak kahwinkan anak dia dengan Hana. Apa dia ingat Hana ni
tukang jaga anak dia ke apa?” bebelan emak semakin panjang.
“Yah..” suara abah tiba-tiba kedengaran mencelah kemarahan emak. “Mungkin
ada sebab semua ni berlaku,” ucap abah lembut, meminta emak bertenang.
“Apa pun sebabnya saya tak suka, bang! Saya tak lahirkan anak-anak saya
untuk jadi macam ni. Saya dah dapat bayangkan apa yang Hana akan lalui nanti,”
balas emak kepada abah.
“Kita tanyalah Hana apa yang paling membahagiakan hati dia sekarang ni.
Kita memang tak boleh tunduk begitu sahaja kepada kehendak anak-anak. Tapi
memaksa dia buat perkara yang akan membuat dia menderita, itu pun tak patut.
Yang nak lalui semua tu nanti dia. Bukannya kita,” pujuk abah lembut.
“Saya lebih rela tengok Hana tak kahwin daripada berkahwin dengan lelaki
macam tu. Hati saya tak sekuat abang. Hana ada kehidupan dia sendiri. Dia ada
pilihan yang lebih baik selain daripada berkahwin untuk menjaga si Zackery tu!
Saya tak mahu anak saya dipergunakan!” tegas emak.
“Yah, jangan fikir yang bukan-bukan. Bersangka baiklah. Mari kita
bergantung pada Allah. Kita tak mampu nak ramal bila Zackery tu akan sembuh.
Tapi jangan putus asa. Kalaulah ini yang boleh buat anak kita bahagia, kita kena
terima, Yah. Kebahagiaan ni terlalu subjektif untuk kita bayangkan hari ni. Kalau
kita bersabar insya-Allah, akan ada jalan keluarnya. Kita tak boleh mendabik
dada hanya kerana kita tak berada di tempat dia, Yah. Sekurang-kurangnya ada
sedikit ihsan dapat kita berikan pada Zackery untuk lihat dia sembuh,” kata
abah lagi. Abang Razlan kelihatan mengangguk setuju dengan kata-kata abah.
“Jadi abang suka anak abang kahwin dengan lelaki macam tu?” tukas emak
tidak puas hati.
“Saya tak kata saya suka. Dan saya pun tak sampai hati nak membantah begitu
saja. Tapi saya reda kalau inilah yang terbaik untuk Hana. Menghalang pun apa
gunanya kalau itu yang membuatkan hati dia merana, Yah. Memang kita nak yang
terbaik untuk anak-anak. Tapi ini ujian Allah. Kita kena bersangka baik pada
Allah. Takde apa yang mustahil untuk Allah makbulkan. Kita doakan mereka, Yah.
Doa kita ni mustajab untuk anak-anak.”
Emak terus menggeleng tidak bersetuju dengan pendapat abah. “Saya tak mahu
Hana jadi sebahagian daripada keluarga macam tu. Saya tak sanggup tengok apa
yang akan Hana lalui nanti, bang. Penat saya lahirkan dia, besarkan dia. Akhirnya
dia hanya jadi penjaga kepada lelaki mati pucuk macam tu. Selama ni dia orang
tu tak pedulikan Hana pun!” tempelak emak kepada abah.
“Macam abang kata tadi, bersangka baiklah. Ini tentang Hana dan Zackery.
Tentang perasaan sayang antara anak kita kepada lelaki tu. Yah, hari ni hari
dia. Hari kita.. kita tak tahu bila. Jangan terlalu takbur sangat menyebut
tentang kelemahan orang. Kalau benda ni terkena pada Razlan, apa yang kita
patut buat? Kita tak selamanya mampu jaga anak-anak kita. Pada siapa kita nak
harapkan nanti, Yah?”
Aku tunduk merenung jemari ku sambil mendengar pertelagahan emak dan abah.
Namun kata-kata abah mula membuatkan emak terdiam.
“Zackery tu takde sesiapa lagi selain mak dan ayah dia. Tak ada adik
beradik. Tak ada saudara mara mahu berkongsi kesusahan tu bersama. Dia hanya
ada seorang perempuan yang sayangkan dia. Susah senang ni kita pikul
bersama-sama, Yah. Bukan Hana seorang yang perlu menanggungnya. Tapi kita semua
sebagai ahli keluarga! Jangan terlalu fikir yang tidak-tidak. Setiap kebaikan
yang ikhlas kerana Allah, pasti akan ada balasannya. Yakin dengan Allah,” ucap
abah lembut.
Emak mula menuntaskan pandangan tajamnya kepadaku. Aku tidak berani mahu
membalas lama.
“Berapa lama Hana mampu bertahan hidup macam tu? Selama-lamanya?” ucap emak
keras.
“Hana terima keadaan ni seadanya, mak. Hana tak mahu berharap banyak. Hana
cuma nak bantu Zackery supaya dia sembuh,” jawabku dalam pada tunduk memandang
ke bawah.
“Mak tak tahu kenapa Hana perlu buat keputusan yang bodoh ni! Ramai lagi
lelaki lain kat luar sana yang lebih baik daripada dia. Kenapa dia jugak yang
Hana nak? Anak dara lain berebut-rebut mencari lelaki yang boleh menjamin masa
depan. Hana pulak pilih lelaki yang serba tak mampu. Memang keluarga dia banyak
duit. Tapi dalam hubungan suami isteri ni zahir dan batin kena seiring,” bebel
emak masih geramkan aku.
Aku segera mengangkat pandangan kepada emak. “Sebab lelaki lain tu bukan
Zackery, mak. Hana sayangkan Zackery. Hana tak mampu lupakan dia. Hana tak
boleh biarkan dia macam tu aja. Hana tak sanggup, mak.”
“Terpulang Hanalah! Berbuih mulut mak nasihatkan Hana. Membazir aja. Budak
tu jugak yang Hana nak. Tapi nanti jangan mengadu apa-apa pada mak. Mak tak
mahu dengar!” tegas emak keras.
“Hana cuma harapkan doa mak dan abah pada Hana. Itu aja, mak.” Aku menjawab
rendah.
“Hana kena kuatkan hati untuk terima keadaan lelaki macam tu. Ini semua
bukan senang, Hana. Abang pun sependapat dengan mak dan abah. Abang tak kata
abang suka. Tapi kalau ini juga yang Hana nak, Hana kena ada kekuatan fizikal
dan mental. Bukan senang menjaga orang yang ada masalah macam ni.” Baru kali
ini kedengaran suara Abang Razlan mencelah perbincangan itu.
“Kita kena usahakan juga cara lain. Tak boleh bergantung pada ubat doktor.
Zack tu mengadu sakit belakangnya tu semakin teruk. Eloklah kalau dicarikan
tukang urut,” sampuk abah pula.
“Lan banyak dengar ada rawatan alternatif untuk orang lumpuh ni. Kenalah
usaha sikit. Tak boleh dok terbaring aja tunggu Allah sembuhkan,” komen Abang
Razlan mudah.
Penerimaan abang Razlan dan abah membuatkan aku sedikit tenang. Namun tidak
emak yang masih mencuka tidak mahu menyampuk perbualan abah dan Abang Razlan.
Aku tahu emak masih tidak rela menerima keputusanku.
Perlahan aku dekati emak yang duduk di meja makan. Emak hanya membatu tidak
sudi memandangku.
“Hana minta maaf kalau Hana dah kecilkan hati mak. Hana tak pernah minta
keadaan ni jadi pada Hana, mak. Hana dah cuba biarkan semua ni berlalu macam tu
aja. Tapi akhirnya benda ni tetap datang pada Hana. Hana cuma harap mak akan
doakan yang baik-baik untuk Hana,” luahku lembut.
Emak diam tidak menjawab. Namun ada sedikit ketegangan mula mengendur di
wajahnya.
“Mak tolonglah jangan marahkan Hana,” rintihku perlahan. Tangan emak segera
kucapai lalu kukucup perlahan.
“Hana tak boleh hidup dengan lelaki lain dalam pada fikiran Hana ada lelaki
lain, mak. Hana tak mampu nak biarkan dia dalam keadaan dia begini. Maafkan Hana
ya?” ucapku lagi.
“Mak nak Hana dengar cakap mak. Kalau Hana rasa tak bahagia dengan dia,
Hana kena cepat-cepat minta cerai! Mak tak mahu Hana terus menghabiskan seluruh
hidup Hana untuk lelaki yang tak mampu beri Hana apa-apa. Faham tak? Mak nak
tengok Hana ada anak-anak dan suami yang boleh jaga Hana. Bukannya dok menunggu
lelaki macam ni!” tegas emak mula memandang wajahku.
“Hana faham,” jawab ku sedikit lega. Harap-harap ada kebaikan di hari depan
yang mampu mengubah pendirian emak tentang ini.
“AKU macam tak percaya dengar kau nak kahwin dengan aku.”
Zackery berkata perlahan saat aku mengunjunginya di rumah petang itu.
“Saya nak jaga segala keperluan awak. Saya tak sanggup tengok awak terus
berkeadaan macam ni, Zack. Tak terurus.” Aku sekadar menjawab perlahan.
Sebenarnya tidak ada secebis pun rasa teruja untuk melangsungkan perkahwinan
ini. Melainkan seribu macam rasa dan andaian terus bermain dalam benak sendiri.
Mampukah aku sebenarnya? Entah. Aku hanya mampu tawakal.
Zackery tersenyum sendiri mendengar kata-kata ku.
“Kau tahu, kan? Aku ni dah tak guna. Aku tak boleh jadi suami yang sempurna
untuk kau. Aku tak mahu kau menyesal kemudian hari kalau kau terpaksa buat
semuanya untuk aku,” luah Zackery tanpa memandangku.
“Saya dah sedia maklum keadaan tu sebelum saya buat keputusan ni. Jadi awak
tak payah risau tentang itu. Saya tahu apa yang patut saya minta daripada awak
dan apa yang tak patut. Awak jangan bimbang. Kalau saya mahukan kehidupan yang
sempurna, saya takkan buat keputusan macam ni,” jawabku cuba dalam pada aku
cuba berlagak biasa.
Zackery diam pula. Namun saat aku memandangnya aku lihat dia seperti sedang
terkenangkan sesuatu.
“Aku bertuah sebab kau sudi terima aku dalam keadaan aku macam ni. Aku tak
mampu berikan kau apa-apa selain daripada kesusahan, Hana. Aku takut kau
menyesal nanti.”
“Saya cuma harap awak akan cepat sembuh, Zack. Saya tak harapkan awak
sesempurna lelaki lain. Saya terima keadaan ni seadanya. Sekurang-kurangnya saya
nak buat sesuatu supaya awak kuat semula,” ucapku amat perlahan.
“Selama mana kau sanggup berada di sisi aku? Aku takut sampai satu masa kau
juga akan tinggalkan aku bila kau dah tak tahan dengan semua ni.” Bicara
Zackery agak pahit.
Aku terdiam tidak menjawab. Tidak ada jawapan kepada soalan itu sebenarnya.
Hanya mampu aku berharap, moga akan ada kesabaran yang akan dikurniakan kepadaku
untuk menempuhi segala yang mendatang.
“Hati aku kosong, Hana. Aku nampak segala keistimewaan yang ada kau tapi
aku tak mampu nak balas semua tu. Aku tak tahu kenapa perasaan aku macam ni.
Kadang-kadang aku keliru dengan diri aku sendiri,” ujar Zackery lagi.
“Jangan terlalu fikir yang bukan-bukan, Zack. Itu semua kerja iblis yang
nak menyesatkan manusia. Beristighfarlah selalu,” balasku lembut. Zackery
menghela nafas perlahan mendengar kata-kataku.
“Saya tahu awak tak suka dengan keadaan ni, Zack. Saya tahu saya tak rasa
apa yang awak rasa. Mungkin saya tak faham sebenarnya. Tapi kita kena banyak
bersabar dalam hal-hal macam ni. Marah sana sini pun keadaan tak akan berubah.
Malah kemarahan akan menyulitkan lagi keadaan. Ingat pada Allah banyak-banyak,
Zack. Apa pun yang berlaku kepada kita, kita tetap hamba yang kena reda pada
takdir Allah,” nasihatku lembut.
“Aku tahu aku dah banyak menyusahkan orang di sekeliling aku,” jawab
Zackery rendah sahaja.
“Bukan soal menyusahkan atau tidak. Saya tahu mama dengan papa awak dah
cuba jalankan tanggungjawab mereka sebaiknya. Cuma kita ni kadang-kadang
keupayaan kita tak semana. Mungkin apa yang mereka beri selama ini, itulah yang
termampu oleh mereka. Sedangkan itu masih tak cukup untuk awak. Sebab tu saya
ada di sini, Zack. Saya nak bantu mengurangkan beban yang ada,” ujarku sambil terus
memandang kepadanya.
Zackery mengangguk perlahan. “Kau tak kisah ke? Kahwin dengan aku, takkan
ada majlis perkahwinan yang meriah? Rasanya semua perempuan berangan-angan
nakkan majlis perkahwinan yang gilang gemilang.”
“Tak apa. Semua tu tak wajib. Memang saya pun sama macam perempuan lain.
Mungkin keinginan kami sama saja. Tapi saya faham. Keadaan tak mengizinkan.
Saya pun tak boleh letakkan harapan melebihi dari kemampuan dan keadaan,”
jawabku biasa.
“Kau aja yang masih ambil berat pada aku. Orang lain semua sibuk dengan
kepentingan masing-masing.”
Kata-kata itu membuatkan aku menghela nafas perlahan. Setiap jalan yang
cuba aku tunjukkan kepadanya langsung dia tak nampak. Zackery suka berfikiran
negatif tentang orang di sekelilingnya terutama sekali emak dan ayahnya. Aku
tahu sikap papa dan mama Zackery memang tidak patut. Tetapi aku pun tidak
senang melihat dia hidup berputus asa sedangkan Allah masih membiarkan separuh
daripada kudrat itu berada di dalam diri Zackery. Mengapa itu juga dibiarkan
begitu sahaja seolah-olah itu tidak berharga langsung?
“Zack, kita akan usahakan cara lain untuk awak sembuh. Kita tak boleh
bergantung pada ubat doktor tu aja. Abah saya ada kenal ramai orang. Siapa tahu
ada di antara dia orang tu boleh tolong kita,” ucapku sekadar mahu mengalihkan
fikirannya kepada perkara yang lain pula.
“Kalau doktor sendiri pun tak boleh nak sembuhkan aku, takkanlah orang yang
bukan doktor boleh ubatkan aku? Mengarutlah,” jawab Zackery selamba.
“Doktor ni manusia sama macam kita. Ilmu yang ada pada mereka pun terbatas.
Sedangkan ilmu yang Allah letakkan atas muka bumi ni terlalu banyak. Kita jangan
bergantung pada manusia semata-mata, Zack. Manusia ni cuma pengamal saja. Yang
menentukan hasilnya adalah Allah. Kita wajib percaya pada kuasa Allah. Tiada
apa yang mustahil bagi Allah. Kita kena bersangka baik dengan Allah dan jangan
putus asa,” pujukku lagi.
“Suka hatilah. Aku ikut aja,” balas lelaki itu tanpa rasa teruja. Aku tahu
dia masih ragu-ragu dengan apa yang aku katakan tadi. Atau pun mungkin dia
tidak mahu berharap terlalu banyak buat masa ini.
“Awak kena kuat semangat, Zack. Bila rohani kita lemah, penyakit lain akan
cepat datang.”
Zackery terus berdiam tidak menyambut bicara ku. Aku tahu kata-kata ku
masih tidak memberikan dia apa-apa makna. Dia masih juga begitu. Tidak
mengapalah. Mungkin dengan cara lain dia akan lebih positif untuk dirinya
sendiri.
PERNIKAHAN kami berjalan secara sederhana. Tiada majlis resepsi
yang gilang gemilang. Melainkan sekadar kenduri kecil usai acara akad nikah dan
hanya jiran-jiran yang terdekat yang hadir.
Ironinya baru sejam aku menjadi isterinya sudah ada sedikit kekecohan
antara dua keluarga kami. Isunya kecil sahaja. Abah berhasrat untuk membawa
Zackery tinggal bersama kami. Atau dalam erti kata lainnya, abah tidak mahu aku
tinggal di rumah Zackery. Aku sememangnya sangat senang dengan cadangan abah.
Aku faham apa maksud tindakan abah begitu. Abah mahu aku selalu berada di
hadapan matanya. Selain daripada itu abah tidak mahu aku menanggung semua ini
sendirian. Sekurang-kurangnya apabila Zackery berada di kalangan keluarga ku
sendiri, aku yakin Zackery tidak akan terbiar begitu sahaja ketika aku sibuk
dengan kerja ku. Emak dan Rahimah selalu ada di rumah. Emak walaupun tidak
suka.. tetapi aku yakin emak tidak akan sampai hati membiarkan Zackery hidup
tidak terjaga.
Tetapi sayangnya orang tua Zackery pula tidak senang. Tidak mahu berjauhan
dengan anak tunggal mereka itu kononnya. Pelik pula memikirkan mama dan papa
Zackery. Kata tidak mahu berjauhan. Tapi mereka juga yang sering meninggalkan
Zackery begitu sahaja. Sungguh aku tidak faham apa pendirian sebenar orang tua
Zackery.
Demi tidak mahu mengusutkan lagi keadaan, abah meminta aku akur sahaja
dengan kehendak mama dan papa Zackery. Lagipun jarak rumah kami bukannya jauh
benar. Jalan kaki pun boleh sampai.
“Awak nak makan lagi ke? Tadi awak makan sikit sangat,” ucapku setelah
masuk ke bilik tidur lelaki itu. Kenduri sudah lama selesai. Namun di bawah
masih ada ramai orang.
“Aku tak selera,” jawab Zackery perlahan sahaja.
“Tak lapar?” tanyaku hairan. Zackery diam macam tidak berminat mahu
menjawab soalanku.
“Rumah awak ni panas. Dah macam dalam sauna saya rasa. Kenapa ya? Aircond
tu terpasang elok aja. Tapi saya rasa bahang,” ucapku mula hairan dengan
keadaan itu. Bukan baru kali ini aku merasa keadaan ini. Rumah orang tua aku
pun rumah batu juga. Tidak pun rumah kami beraircond sepanjang masa. Hanya
ruang tamu sahaja yang menggunakan aircond. Tapi tidak pulak aku rasa panas
lain macam.
“Aku tak tahu. Memang dah lama aku rasa macam ni,” jawab Zackery ikut
memandang ke arah yang sedang aku pandang.
Perlahan aku mula menanggalkan tudung di kepala. Tangan aku gunakan sebagai
kipas dek kerana leher sudah berpeluh semenjak tadi.
“Saya kena buka tingkap tu. Kalau tak, bertambah panas bilik ni,” ucapku
tanpa mempedulikan pandangan Zackery. Aku terus bangun menuju ke jendela. Semua
jendela di kamar itu aku buka luas. Namun hasilnya lebih kurang sama aja pun sebenarnya.
Matahari sekitar jam 3 petang masih garang cahayanya. Tetapi sekurang-kurangnya
aku dapat merasakan udara segar keluar masuk daripada bilik ini.
“Awak nak mandi ke? Waktu-waktu macam ni eloklah awak mandi. Lepas tu boleh
solat asar,” ucapku lantas kembali memandang Zackery.
Zackery hanya diam. Matanya masih ralik memandangku. Pelik aku melihat
gelagatnya. Pandang aku macam nak telan pulak. Tadi kata tak selera nak makan.
“Ada apa-apa yang tak kena ke?” tanyaku sambil meraba wajah sendiri.
“Inilah pertama kali aku nampak kau tak pakai tudung. Kau nampak lain
sangat. Cantik,” ucap Zackery mula tersenyum sedikit.
Tersentak aku serta merta. Baru terperasan tentang itu. Tadi bukan main
selamba aku tanggalkan tudung tanpa fikir ada orang lain dalam kamar ini.
Sekarang rasa macam nak pakai balik tudung tu. Segan benar dipandang Zackery.
“Lain yang saya cakap, lain pulak yang ada dalam otak awak tu ya?” getusku
cuba berlagak selamba.
Zackery tergelak perlahan. Baik pulak mood dia hari ini. Senang juga hatiku
melihatnya. Kalau tidak mama asyik mengadu dia mengamuk.
“Lepas Kak Zu berhenti, selalunya siapa yang mandikan awak, Zack?” tanyaku
lantas mendekati lelaki itu.
Zackery sekadar diam pada mulanya. Ada sesuatu di wajahnya mula terkesan
oleh pandanganku.
“Awak tak mandi ke?” tanyaku lagi.
“Mama lap-lap macam tu aja pakai dettol. Aku dah lama sangat tak dapat
mandi,” jawab Zackery perlahan.
“Papa awak buat apa?” soalku lagi.
“Papa tak pernah masuk ke sini pun. Agaknya dia geli,” luah Zackery dengan
mimik muka semacam. Spontan sebuah keluhan terhela lagi dari rongga hidungku.
Simpati melihat dia.
“Awak nak mandi ke?” tanyaku dengan sedikit senyuman.
“Nak! Aku dah tak tahan macam ni. Badan aku panas sangat,” jawab lelaki itu
bersungguh.
“Saya siapkan baju awak dulu. Nanti saya datang balik,” balasku lantas
bangun dari situ. Ruangan pakaiannya aku jengah. Sehelai kain pelekat aku ambil
bersama sehelai baju tee. Sebelum itu sempat juga aku menukar baju yang ada di
tubuh kepada pakaian yang lebih ringkas. Kalau boleh aku sendiri pun rasa nak
mandi sekarang juga. Panas!
Saat mahu menyalinkan pakaian lelaki itu memang mencabar. Nampak sahaja
kurus, tapi berat juga lelaki seorang ini. Bahagian separas pinggang ke bawah
lembik, langsung tidak mampu digerakkan.
"Selalu nurse buat macam mana?" tanyaku tanpa memandang lelaki
itu.
Zackery terus diam membatu. Sekilas pandang aku lihat dia seolah sedang
menahan nafas.
"Kenapa diam aja?" tegurku sambil mengerutkan kening.
Zackery mengerling aku sekilas sebelum memandang ke arah lain. Sempat juga
dia membuat muka tidak senang. Pahanya yang sudah terdedah aku picit sedikit.
"Rasa tak saya sentuh kaki awak ni?" tanyaku tanpa mempedulikan
reaksi lelaki itu. Mood dah mula tak baiklah tu!
"Tak tahu," jawab Zackery amat perlahan.
Tanpa mempedulikan reaksinya aku terus menarik seluarnya keluar dari kaki.
"Tak payahlah tanggal semua!" getus lelaki itu tiba-tiba.
Tangannya terus mencapai tuala di tepi, lalu ditutupnya apa yang perlu.
"Dah nak mandi macam mana kalau awak tak bagi tanggal semua?"
tanyaku sambil ternganga memandang reaksinya. Malu dengan aku ke?
"Tak ada apa yang menarik pun kat situ!" getus Zackery sambil
menjeling.
"Saya bukannya nak tengok apa yang menarik kat situ. Saya nak cuci,
Encik Zackery. Tak payahlah tutup-tutup. Bukannya saya nak cerita pada orang
yang awak punya tu tak boleh bangun!" aku membalas selamba membuatkan
Zackery bertambah angin dengan aku.
"Tak payah buat! Tak payah! Biar aja aku macam ni," marah
Zackery. Wajahnya ketatnya dihalakan ke arah lain.
Aku hanya menggeleng melihat gelagatnya. “Tadi kata nak mandi, kan? Tak
payahlah malu. Selama ni jururawat buat awak tak malu pun. Dengan saya
tiba-tiba pulak malu,” ucapku lembut.
Zackery memandang aku yang sedang duduk di hujung kakinya. Aku segera
tersenyum kepadanya. “Saya isteri awak. Saya tahu awak tak biasa dengan saya.
Saya pun tak biasa. Dalam keadaan macam ni, apa guna kita nak malu-malu?”
ujarku lagi.
Mahu tidak mahu Zackery membiarkan juga aku menguruskan dirinya. Lampin
pakai buangnya aku buka. Bahagian itu aku bersihkan terlebih dahulu sebelum aku
sarungkan dia dengan kain pelekat.
Namun setelah itu ada lagi satu masalah besar saat mahu memindahkan lelaki
itu ke kerusi rodanya. Zackery masih tidak mampu menongkat tubuhnya menggunakan
tangan. Aku suruh dia peluk aku supaya senang dia dipindahkan ke atas kerusi
roda. Namun dia tidak mahu.
Sudahnya aku turun semula ke tingkat bawah untuk mencari papa Zackery. Seronok
benar nampaknya berbual dengan jiran-jiran di bawah khemah sambil menghisap
cerut. Gembira wajahnya macam dialah pengatin yang baru mendapat isteri kedua.
Abah juga turut berada di kalangan kaum lelaki itu.
“Papa, tolong Hana angkat Zack sekejap. Dia nak mandi,” ucapku saat berdiri
di sisi lelaki itu.
“Panggil mama kat dalam sana,” jawab lelaki itu sambil menunding ke dalam
rumah.
Terkedu aku mendengar jawapannya. Mama? Baik suruh aku yang muda ni aja!
Hatiku mendongkol seolah-olah tidak percaya. Betapa acuh tidak acuh lelaki ini.
Abah tiba-tiba bangun mendekatiku.
“Mana dia? Abah nak tengok Zackery,” ucap abah perlahan. Aku hanya mampu
mengerling jengkel lelaki seorang itu. Langsung tidak peduli.
Ketika kembali ke bilik, lelaki itu sudah tiada di atas katil. Rupanya dia
dah terbaring di atas lantai, di tepi katil. Kasihannya aku tengok dia
terkial-kial mahu bergerak.
“Astaghafirullah..” abah terkejut melihat Zackery sudah terdampar di atas
lantai. Mujurlah lantai itu dialas oleh permaidani.
“Inilah sebabnya abah nak Zack pindah duduk dengan abah dan mak. Susah
kalau begini,” keluh abah kesal. Abah mengangkat Zackery lalu diletakkan di
atas kerusi roda.
“Mari abah mandikan dia, Hana..” ucap abah kepadaku.
Zackery hanya diam saat abah menyorongnya ke bilik air. Aku pula terus
mengekori abah. Satu persatu perbuatan abah aku perhatikan bersungguh-sungguh.
Aku pun bukannya ada kepandaian menjaga orang kurang upaya. Tetapi abah macam sudah
tahu saja apa yang perlu dilakukan.
Zackery pula, setelah tubuhnya dikenakan pancuran air dia cukup seronok.
Aku tersenyum sendiri melihat gelagatnya. Macam budak-budak! Namun aku simpati.
Kalau dah lama sangat tak dapat mandi. Memang nikmat rasanya dapat menyentuh
air semula. Nak-nak lagi bahagian yang ‘terkurung’ selama ini dibersihkan
bersungguh oleh abah. Aku lihat Zackery mula sedikit bermaya. Wajahnya nampak
segar.
Selesai mandi abah juga yang membantu mengenakan Zackery pakaian bersih.
Aku masih lagi sebagai seorang pemerhati. Selesai itu abah memegang kepala Zackery
perlahan.
“Solat ya? Mohon kekuatan dari Allah. Hanya Allah yang paling mengetahui
apa yang ada di hati setiap hamba-Nya. Insya-Allah.. Allah takkan biarkan doa
hamba-Nya begitu saja,” ucap abah cukup lembut.
“Solat?” tanya Zackery semula. Riak wajahnya aneh. Keliru.
“Ya. Walaupun dalam keadaan tak upaya, solat tetap wajib untuk semua orang.
Tak mampu berdiri macam orang lain. Solat duduk pun boleh. Mari kita ambil wuduk
dulu,” balas abah lembut. Sekali lagi Zakcery dibawa ke bilik air.
Aku pula mula mencari tuala mandi. Waktu asar sudah masuk. Lima minit
kemudian abah menolak Zackery keluar daripada bilik air. Wajahnya masih basah
oleh wuduk.
“Arah mana kiblat?” tanya abah lembut. Zackery mula terpinga-pinga tidak
mampu menjawab soalan abah. Aku sekadar memerhatikan gelagat dua lelaki itu.
“Arah sana.” Soalan tadi masih abah juga yang menjawabnya. Kerusi roda
lelaki itu dihadapkan ke arah kiblat. Aku tahu abah sekadar nak menguji lelaki
itu.
“Jangan abaikan kewajipan kita sebagai hamba Allah, Zackery. Sembahyang
kewajipan utama sebagai umat islam. Apa yang kita mahukan dalam hidup ni, disamping
usaha kita kena juga bergantung pada Allah. Insya-Allah.. Allah akan bantu
kita, Zack. Jangan berputus asa kepada rahmat Allah. Ingat pesan abah ni ya?”
Abah berkata lembut sehingga Zackery aku lihat tunduk sedikit. Agaknya dia malu
ditegur oleh abah tentang itu.
“Solatlah ya? Abah nak balik dah ni. Dah lama sangat abah kat sini. Abah
pun nak ke masjid pulak lepas ni,” ujar abah tetap lembut.
“Terima kasih, abah.” Aku sempat mendengar ucapan itu dihulurkan Zackery
kepada abah. Sayu kedengaran suaranya.
“Bersabarlah, nak. Ini semua ujian Allah. Orang yang bersabar dengan setiap
ujian Allah, dialah orang yang kuat imannya.” Abah tunduk memeluk Zackery. Dan
entah bagaimana Zackery terus menangis. Tersedu-sedu dia sehingga aku yang
memandang mula terasa mahu menangis sama. Pantas aku mengalihkan pandangan ke
arah lain.
“Hana, abah balik ya? Jaga diri Hana baik-baik. Ingat apa yang selalu abah
pesan pada Hana selama ni. Ikhlaskan hati dalam setiap perbuatan. Insya-Allah..
Allah akan balas dengan ganjaran yang baik,” ucap abah setelah dia mendekatiku.
“Terima kasih banyak sebab tolong Hana,” jawabku lantas menghulurkan tangan
kepadanya.
“Tak apalah. Ini dah jadi tanggungjawab kita bersama. Ada apa-apa masalah,
telefon abah ya?” ucap abah saat aku tunduk mencium tangannya.
Aku sekadar mengangguk sayu. Berlalunya abah dari bilik itu bermakna
segalanya harus aku pikul sendirian. Kerana aku tidak tahu sejauh mana aku
mampu berharap kepada orang tua Zackery tentang anaknya ini.
Bab
7
KETIKA punggung aku cecahkan ke tilam, aku lihat dia agak resah.
Sudah lewat malam namun dia masih belum tidur.
“Awak tak mengantuk ke?” tanyaku sambil mengengsot mendekati tempat Zackery
berbaring.
“Belakang aku sakit,” ucap Zackery perlahan.
“Nak makan ubat tak?”
Zackery pantas menggeleng. Aku sudah lama tahu, ubat itu tidak mampu
menghilangkan kesakitan itu sepenuhnya. Aku sendiri hairan mengapa jadi begitu.
“Saya sapukan minyak ya?” tuturku lembut. Zackery hanya diam saat aku
bangun mendapatkan sebotol minyak urut yang aku bawa dari rumah. Kemudian
butang baju lelaki itu tanggalkan satu persatu. Tubuhnya aku tolak sehingga
mengiring.
Sambil minyak urut itu kuratakan ke seluruh belakangnya, otot-otot belakang
Zackery aku urut dengan ibu jari. Spontan lelaki itu mendongak sedikit saat ibu
jariku menekan ditengah-tengah bahagian tulang belakangnya.
“Sakit?” tanyaku.
“Sakit sikit,” jawabnya amat perlahan.
“Masuk angin agaknya ni? Awak pun selalu sangat tak mahu makan,” komenku
sambil jemari masih rancak merawat lelaki itu.
Zackery diam tidak mampu memberikan jawapan. Nampak selesa sedikit dia
setelah bahagian belakangnya aku urut berkali-kali. Sesekali dia bersendawa.
Sesudah itu bajunya aku kemaskan.
“Selesa tak?” tanyaku sambil sedikit senyuman aku berikan kepadanya.
Zackery hanya mengangguk. Matanya terus memandang aku.
“Tidur ya?” ucapku lembut. Rambutnya aku usap sedikit.
“Kau tidur sebelah aku?” tanya Zackery perlahan.
“Habis tu kat mana lagi saya nak tidur?”
Zackery mengangguk lagi. Bola matanya dihalakan ke atas pula.
“Awak dah banyak berubah, Zack. Zack yang biasa saya lihat dulu, dah tak
ada lagi,” luahku perlahan.
“Aku dah cacat. Aku memang dah tak macam dulu.”
“Tak baik cakap macam tu. Ada orang lain yang lebih teruk dari awak. Tak
apa. Saya tetap ada di sebelah awak walau macam mana pun awak sekarang,”
balasku cuba untuk membuat dia terpujuk. Aku tahu dia sedih. Disaat begini,
barulah jelas siapa kawan sejati dan siapa yang mementingkan diri sendiri.
“Aku tak pernah jumpa orang macam kau. Aku tak sangka ada perempuan yang
hatinya macam kau.” Suara Zackery teralun perlahan.
“Kenapa dengan saya?” balasku semula.
“Kau yang selalu ada dengan aku waktu aku sakit. Kau sanggup kahwin dengan
aku. Semata-mata nak menjaga aku. Sebelum ni kita tak rapat pun,” ujar Zackery
rendah.
Kali itu aku diam memandangnya. Dia mungkinlah tidak sedar yang aku selalu
ada di hadapan matanya semenjak dulu.
“Saya cuma harap keadaan awak akan beransur baik lepas ni, Zack. Tidurlah.
Tak elok tidur lewat sangat.”
Zackery terus membisu sehingga saat aku membaringkan tubuhku di sebelahnya.
Aku lihat dia hanya pegun merenung siling.
“Zack,” panggilku. Spontan lelaki itu menoleh.
“Tidur. Jangan banyak fikir.”
Aku tidak tahu berapa lama masa diambil oleh lelaki itu untuk melenakan
dirinya. Dan aku tidak sedar bila masanya pula aku sendiri yang terlena. Aku
hanya tersedar semula saat terdengar suara Zackery memanggil-manggil seseorang.
Aku segera menoleh. Kepala suamiku terteleng ke kiri dan ke kanan berkali-kali.
Mulutnya bercakap dalam mata terpejam. “Zack!” aku pantas mengerakkan tubuh
lelaki itu. Zackery terus meracau. Nama Amar dipanggilnya berkali-kali.
“Zack, bangun!” panggilku sekali lagi. Zackery tersentak dan matanya
terbuntang luas serta merta.
“Amar mana? Amar?? Aku jumpa Amar tadi.” Cerlang mata lelaki itu memandang
sekeliling.
“Istighfar, Zack. Mana ada Amar. Awak mimpi ni,” ucapku lembut. Dahi
Zackery basah oleh keringatnya sendiri.
“Aku rasa semua tu macam betul,” ujar Zackery perlahan.
“Awak mimpi. Sebab tu saya kata jangan banyak fikir yang tidak-tidak. Apa
yang selalu ada dalam fikiran kita kadang-kadang terbawa dalam tidur,” ujarku
lembut. Lelaki itu membisu pula kali itu. Namun matanya masih segar bugar enggan
menyambung lena.
“Awak nak minum?”
“Boleh jugak,” jawab Zackery perlahan. Aku pantas bangun mendapatkan air
masak yang sudah tersedia di atas meja di sudut kamar. Air itu kubawa
kepadanya. Sekejap sahaja segelas air itu habis diteguk Zackery.
“Tidur ya?” ucapku setelah berpuas hati dengan keadaannya.
Zackery terus memandang sehingga aku kembali ke katil itu. Naik hairan aku
melihat gelagatnya.
“Awak asyik pandang saya kenapa?” tanyaku.
“Lengan aku ni rasa kebas. Boleh sapukan minyak tak?”
“Baru dengar suara awak bercakap,” balasku lantas mencari semula minyak
yang aku gunakan semalam. Setelah naik ke atas katil, aku segera duduk di
sebelahnya. Lampu tidur di sebelahnya aku nyalakan agar lebih terang kamar itu.
Kemudian bantal aku tambah di belakangnya agar kedudukan tubuhnya lebih tinggi.
Seperti tadi mata Zackery terus menyoroti pergerakanku.
“Rasa tak saya picit jari awak ni?” tanyaku sambil hujung jarinya aku
gentel berkali-kali.
“Rasa.”
Dari pangkal lengan sehingga ke hujung jarinya aku lumur dengan minyak.
Kemudian aku urut otot-ototnya. Berkerut-kerut wajah Zackery. Entahkan sakit
atau pun tidak tahan geli.
“Saya sapu minyak pada badan awak ni ya?” ujarku setelah selesai mengurut
kedua-dua belah tangannya.
Zackery hanya mengangguk. Butang baju tidurnya aku tanggalkan sehingga
bahagian hadapan tubuhnya terdedah. Minyak urut berwarna kehijauan itu aku
lumur pula ke dada dan bahunya. Seterusnya lebih ke bawah lagi. Kurus benar
lelaki ini. Jauh berbeza berbanding ketika masih sihat dulu. Sedang aku ralik membuat
kerja, aku sempat terpandang Zackery bergerak seolah mahu menaikkan tubuhnya ke
atas lagi.
“Tak selesa?” tanyaku lantas membantu dia bersandar.
“Kat sini belum,” jawab Zackery sambil menepuk bahagian perutnya.
Aku berkalih duduk di tepi pinggangnya. Minyak itu aku tuang ke tangan
sebelum aku lumur pula ke perut dan pinggangnya. Mungkin peredaran darah di
dalam badannya tidak sempurna membuatkan dia sering merasa kebas di beberapa
bahagian. Namun sedang aku tertunduk-tunduk, aku terlihat Zackery seperti
mendongak sedikit. Saat aku memandang kepadanya, cepat-cepat dia berpaling ke
arah lain. Pada mulanya aku sekadar membiarkan. Namun melihat dia bersungguh
benar mahu melihat sesuatu, aku segera memandang dia semula. Kali itu Zackery
tidak sempat mahu menukar reaksinya. Spontan aku memandang diriku. Baru aku
perasan apa yang sibuk diintainya dari tadi.
“Awak tengok apa ni?” tanyaku lantas kolar baju tidurku genggam agar lohong
itu segera tertutup.
“Tak ada apa-apa,” jawab lelaki itu sedikit menggelabah. Zackery buat-buat
memandang ke arah lain. Macam tidak ada apa-apa berlaku kononnya. Patutlah
sibuk sangat nak duduk!
“Tengah sakit pun sempat lagi mata tu ya?” getusku sambil mengerling lelaki
itu.
Kali itu Zackery pegun memandang ke tepi. Dah puas cuci mata, berlagak suci
pula. Seterusnya seluar tidurnya aku tolak sedikit ke bawah. Namun tiba-tiba
dia menahan.
“Tak payah kat situ.”
“Kenapa?” balasku hairan. Zackery diam pula.
“Saya nak sapu minyak pada bawah perut ni. Jangan risau. Saya tak usik yang
selebihnya tu,” ucapku selamba.
Terkulat-kulat Zackery membiarkan seluarnya dilondehkan lagi. Aku hanya
selamba meneruskan kerja. Namun sesekali aku sempat mengerling lelaki itu. Dia
mengeraskan diri sambil memandang ke arah lain. Aku tahu dia malu dengan kekurangannya
satu itu. Sesudah itu butang bajunya aku kenakan semula.
“Tidur,” ucapku sambil mendekati dia semula. Membantu dia berbaring dengan
selesa. Satu bantal di belakangnya aku alihkan.
“Awak susah nak tidur ya?” tanyaku tanpa terus berbaring.
“Aku memang selalu macam ni,” jawab Zackery lemah sahaja.
“Tak pernah mengadu pada doktor masalah tu? Sebab ubat atau apa
sebenarnya?” tanyaku lagi.
“Doktor pernah bagi ubat tidur. Tapi tak berkesan. Bila aku pejam mata,
banyak bayangan muncul dalam fikiran. Kadang-kadang aku rasa sakit,” jawab
Zackery tetap lemah suaranya.
Keningku berkerut mendengar itu. “Sakit macam mana maksud awak?”
“Entah. Aku tak tahu nak cerita macam mana. Kadang-kadang aku lebih selesa
tak tidur daripada tidur. Apa yang ada dalam fikiran aku ni aku tak mampu nak
kawal,” jelas Zackery tanpa memandangku.
Aku terdiam memandang Zackery. Berfikir penawar apa yang sesuai untuk
mengubati masalah sukar tidurnya.
“Cuba baca ayat kursi sebelum tidur,” ucapku lembut. Zackery hanya diam.
“Tahu tak nak baca ayat kursi?”
“Tahu,” balas Zackery amat perlahan.
“Baca ayat kursi kemudian ludah ke kiri tiga kali,” pesanku sebelum tubuhku
labuhkan ke tempat tidurku semula.
Sepanjang masa aku cuba melenakan diri, Zackery masih terkebil-kebil
memandang atas. Spontan aku menyentuh lengannya.
“Pejam mata..” bisikku perlahan.
“Tak boleh,” jawab Zackery tanpa mengalihkan pandangannya. Perlahan aku
mula bangun lalu memindahkan bantal dekat kepadanya. Sambil berbaring aku tepuk
bahunya lembut. Kira dodoikan dialah ni. Zackery sempat menoleh ke arahku.
“Pejamlah mata tu. Tak payah fikir nak cuci mata lagi,” gumamku amat
perlahan.
Tapi sudahnya.. aku yang lena. Dia? Entah. Aku sudah tidak sedar.
BERSAMA mangkuk bubur dan segelas air di tangan, aku
berdiri lama saat itu memerhatikan perbuatan lelaki itu satu persatu. Hampir
sebulan menjadi isterinya, aku sudah mengesan sesuatu yang tidak kena dengan
lelaki seorang ini. Solatnya!
Liat saat disuruh bersolat itu memang satu kelaziman bagi lelaki seorang
ini. Memujuknya supaya mendirikan solat kadang-kala sampai habis separuh waktu
barulah dia akur. Itu tidak kisahlah.
Tetapi sudah beberapa kali aku perasan keanehan rutin solatnya. Rakaat yang
dikerjakan juga macam tidak cukup. Pertama kali memandang, aku rasa mungkin aku
yang tersalah kira. Tetapi sudah acap kali aku melihat solatnya semacam lintang
pukang sahaja rukunnya.
“Dah?” Aku segera menegur apabila Zackery menoleh. Zackery sekadar
mengangguk. Aku mula mendekatinya. Kerusi rodanya aku tarik mendekati katil.
Aku duduk di birai katil menghadap kepadanya.
“Mari makan. Lepas ni boleh makan ubat.” Suara aku alun lembut buatnya.
Bubur jagung di dalam mangkuk aku kacau berkali-kali sehingga panasnya reda.
Sementara itu aku terus berfikir bagaimana untuk mengutarakan pertanyaan yang
sudah lama berada di benak ku. Mood lelaki seorang ini bukan boleh dijangka.
Petang-petang begini memang waktu yang paling dia suka mengamuk.
Zackery memandang lama mangkuk bubur di tanganku. “Apa tu?”
“Bubur jagung. Awak suka bubur jagung, kan?” ucapku sambil tersenyum.
“Siapa cakap dengan kau yang aku suka bubur jagung?” tanya Zackery semula.
Langsung tiada kejernihan pada wajahnya saat itu. Sorotan matanya mula kelihatan
bersinar tajam. Aku tahu moodnya sudah tidak okay.
“Nani yang bagitahu saya,” jawab ku sambil terus menghulurkan sudu ke
bibirnya.
“Siapa Nani?” tanya Zackery dengan kerutan di kening. Mulutnya dibuka
sedikit untuk menikmati bubur itu.
Aku terkedu seketika. Lama mata ku singgah di wajahnya. Masalan si Nani pun
dia tidak kenal?
“Pembantu rumah nilah. Takkan awak tak kenal Nani?” desisku kehairanan. Dah
jadi pelupa pulak ke dia ni?
“Oh!” Zackery mengangguk perlahan. Rahangnya bergerak perlahan mengunyah
makanan di dalam mulutnya. Aku sengaja berlengah supaya dia mengunyah lebih
lama sebelum menelan makanannya.
“Lagi..” tegurku.
Zackery hanya membuka sedikit sahaja mulutnya. Bubur di atas sudu itu tidak
habis. Macam tidak berselera. Sepanjang masa itu dia hanya membisu, memandang
ke arah dinding batu di hadapannya seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.
“Awak solat tadi berapa rakaat, Zack?” tanyaku ldalam pada bubur di dalam
mangkuk itu aku kacau lagi.
“Tigalah. Kenapa? Kau ingat aku ni tak tahu sembahyang langsung ke?” soal
Zackery agak tajam. Sekali lagi jawapan Zackery membuatkan aku tersentak. Dia
tak tahu sembahyang ke tidak ni? Semenjak bila pulak solat asar jadi tiga
rakaat?
“Awak solat asar ke mahgrib tadi?” tanyaku masih dalam nada terkejut.
Wajah Zackery mula berubah. Dahinya dikerutkan seolah-olah cuba mengingati
solat apa yang dikerjakannya tadi. Apa yang dapatku lihat, wajah itu cukup
sarat dengan kekeliruan.
“Err. Tadi aku solat asar rasanya,” desis Zackery amat perlahan.
“Solat asar empat rakaat, Zack. Yang tiga rakaat ni solat maghrib.” Aku
sengaja menurunkan nada selembut-lembutnya. Bimbang dia naik angin pula.
Zackery terus terpaku memikir sendiri. Aku menghulur lagi sudu yang berisi
bubur itu.
“Sedap ke?” pancingku sambil tersenyum apabila melihat dia mula laju mengunyah
bubur itu. Senang hatiku melihat seleranya sudah mula laju. Selalunya masuk
suapan ke-tiga dia sudah tidak mahu. Kalau dipaksa juga, akibatnya terbang
makanan itu dibuatnya. Jenuh juga memikirkan masakan apa yang mampu membuatkan
dia kembali berselera.
“Sedap. Kau yang masak?” lembut sahaja nada Zackery sambil memandang kepadaku.
“Awak ada isteri lain lagi ke selain saya?” balasku sengaja mahu mengajak
dia ketawa. Zackery sekadar tersenyum sedikit.
“Kau pandai memasak?” soal Zackery lembut.
“Pandai sangat tu tak juga. Masak yang simple-simple saya tahulah. Kalau
awak suruh saya masak makanan barat, itu saya memang mengaku kalah aja. Saya
tak tahu,” jawabku sambil memajukan sudu berisi bubur itu ke mulutnya.
Zackery sekadar mengangguk sebelum menghirup bubur dari sudu itu. Kemudian
dia kembali memandang ke hadapan. Semenjak kebelakangan ini aku nampak dia memang
suka termenung. Sepatah aku bertanya, sepatah dia menjawab. Ketawa? Lagilah
susah nak nampak. Kadang-kadang jenuh aku bercakap dengan dia. Sepatah-sepatah
aja dia menjawab. Tapi kalau bab marah, banyak patah pulak yang keluar dari
mulut dia.
Keadaan kesihatan Zackery juga sering tidak menentu. Kadang-kadang dia
mengadu sakit kepala yang teruk sampai tidak mahu tengok cahaya. Lehernya
kejang sehingga dia sukar mahu menoleh. Susah tidur malam itu memang sudah
menjadi makanan seharian. Dia lebih mudah tidur pada waktu siang.
“Awak tahukan hari Rabu ni awak ada temujanji lagi dengan pakar?” ucap ku
dalam pada menanti dia menghabiskan bubur di dalam mulutnya.
“Aku tak ingat..”
“Boleh tak kalau awak jangan bahasakan diri aku bila awak bercakap dengan
saya?” ucapku tiba-tiba.
“Kenapa pulak?”
“Macam kasar sangat. Saya tak suka dengar. Saya rasa macam saya ni
jururawat awak pulak,” jawabku sambil tunduk mengaut bubur jagung itu. Ketika
aku mengangkat pandangan Zackery sedang merenungku.
“Aku dah biasa,” jawab Zackery perlahan.
“Agak-agak sampai bila awak nak bahasakan diri aku tu?”
Zackery diam tidak membalas. Dia tunduk merenung tangannya pula. Mendung
sahaja wajahnya. Sukar untuk aku faham apa sebenarnya yang sedang berada di
dalam hati lelaki ini. Kadang-kadang dia selalu marah walaupun sekadar untuk
satu hal yang remeh. Terlalu sensitif.
“Awak suami saya, Zack. Walau apa pun kekurangan awak, saya sedia terima
hakikat tu. Saya tak mahu awak bataskan hubungan kita hanya kerana awak macam
ni,” ucapku lembut. Baki bubur di dalam mangkuk cuba kusuakan kepadanya. Namun
dia mula buat pegun. Memandang pun tidak.
“Awak mungkin anggap saya berkahwin dengan awak sebab kasihankan awak. Awak
sendiri pun terima saya sebab awak perlukan seseorang menjaga awak selama awak
berada dalam keadaan macam ni. Mungkin apa yang ada dalam hati awak tak lebih
dari itu. Tapi saya kahwin dengan awak sebab saya sayangkan awak,” luahku agak
perlahan. Seribu satu rasa mula bermain dalam diri saat meluahkan kata-kata
itu. Seumur hidupku, tidak pernah aku meluahkan perasaan sayang kepada seorang
lelaki. Nak-nak lagi kepada seorang lelaki yang aku tahu dia tidak pernah
mencintaiku.
Spontan Zackery memaku pandangan ke wajahku. Aku mula rasa tidak senang
duduk jadinya. Tiba-tiba keadaan ini jadi begitu aneh. Pantas aku tunduk.
“Kau sayangkan aku?” soal lelaki itu seakan tidak percaya.
“Awak tak tahu, kan? Sebab saya tak pernah berada dalam senarai calon teman
hidup awak selama ni. Saya tak pernah menyinggah lama pada pandangan mata awak.
Saya masih ingat awak pernah kata, perempuan macam saya ni memang bukan taste
awak,” jawabku sedikit hambar sambil memandang mangkuk bubur di tangan.
Zackery menelan liurnya perlahan. “Jadi sebab tu kau selalu temankan aku
selama ni?”
“Awak rasa?” balasku pantas. Sengaja meminta dia memikirkan jawapan itu
sendiri. Kerana cintakan dia, aku langgar semua pantang larang. Emak dan abah
tak suka aku terlalu dekat dengan Zackery, itu pun aku langgar juga. Tetapi di
sebalik semua tu, langsung tidak terlintas di hati ku untuk menggunakan peluang
ini untuk menggodanya. Aku sebenarnya terlalu bimbangkan keadaan dia.
“Kau masih sayangkan aku walaupun keadaan aku macam ni?” soal Zackery macam
orang bodoh. Dia memandang dengan pandangan lugu.
“Zack, perasaan saya bukan cuma wujud waktu awak masih seorang lelaki
perkasa. Saya pun tak pernah termimpi perasaan ni akan berbalas. Saya tahu
perempuan macam saya tak pernah berada dalam mimpi awak. Cukuplah bila saya
nampak awak kembali sihat, awak gembira semula macam dulu. Itu nilai kasih
sayang bagi perempuan macam saya, Zack. Bila lelaki yang saya sayang berada
dalam keadaan macam ni, saya tak tergamak nak tinggalkan dia dan pilih lelaki
lain. Saya tak boleh!” ucapku bersungguh.
Zackery terdiam mendengar kata-kata ku. Ada perubahan terpeta di wajahnya.
Mungkin dia tidak sangka akan mendengar semua ini dariku.
“Makanlah sikit lagi. Awak dah kurus sangat saya tengok sekarang ni. Kalau
awak kurang makan, macam mana awak nak sihat? Badan awak perlukan zat.” Aku
mula mengalihkan topik perbualan kami.
Perlahan lelaki itu membuka mulutnya. Saat itu aku perasan bola matanya
masih terhala kepadaku. Tetapi sengaja aku buat tidak nampak.
“Jangan lupa hari Rabu ni kita kena pergi hospital semula.”
“Tadi kau dah bagitahu,” jawab Zackery perlahan sahaja.
Aku mula menghulurkan air kepada lelaki itu. Zackery sekadar meneguknya dua
kali. Kemudian gelas itu diberikan semula kepadaku.
“Aku dah kenyang.”
Mangkuk bubur itu aku letakkan di atas meja. Beberapa biji kapsul yang
wajib diambilnya terus aku berikan kepadanya bersama gelas yang masih bersisa
air masak tadi. Zackery menelan rakus semua kapsul itu bersama air.
“Awak nak baring ke?” tanyaku seketika kemudian.
Zackery menggeleng perlahan. “Aku nak duduk kat balkoni sana. Aku bosan
duduk dalam bilik ni,” jawab lelaki itu lembut.
“Nanti belakang awak sakit lagi kalau awak duduk lama, Zack.”
“Kalau aku baring aja pun sakit tu tetap datang, Hana. Sama aja.” Dia
membalas cepat. Mahu tidak mahu aku turutkan juga kehendak lelaki itu. Selama
ini dia hanya mampu pergi setakat ke balkoni itu sahaja. Itu pun setelah aku
berada di rumah ini. Zackery hanya dapat keluar dari rumah untuk ke hospital
sahaja.
“Kau kata aku ni buat kau macam jururawat aku. Tapi kau sendiri pun layan
aku macam kawan kau,” ucap Zackery tiba-tiba tidak lama selepas itu.
“Saya layan awak macam kawan?” balasku hairan.
“Aku rasa janggal bila kau sebut aku ni suami kau. Sebab aku tak nampak
apa-apa yang berubah pun pada kita ni.” Zackery bersuara tanpa memandang aku.
“Apa lagi yang awak nak kita ni berubah?” soalku bersungguh. Aku tidur
sebelah dia setiap malam, itu bukan suami isteri ke namanya? Aku jaga makan
minum dia. Jaga kebersihan diri dia. Jaga segala keperluan dia. Apa lagi yang
aku terlupa?
“Kau pun suka panggil aku Zack. Sama aja macam dulu,” ujar Zackery selamba.
“Oh. Jadi awak nak saya panggil awak apa? Baby? Darling?” ucapku lantas
tergelak kecil. Zackery ketawa kecil sambil memandang ke arahku.
“Selalu dalam novel, kau buat watak isteri panggil suami dia darling ke?”
tanya Zackery sambil tersenyum sendiri.
“Tengok watak wanita tu pulaklah. Sesetengah perempuan memang suka panggil
suami darling. Tak suka panggilan abang. Nampak kolot.”
“Tapi kau jenis perempuan yang kolot, kan?” celah lelaki itu pantas.
Senyumannya masih tersungging elok di bibir.
“Oh! Mana awak tahu yang saya ni kolot?” cabarku mula seronok melihat dia
sudah mula banyak bercakap.
“Sebab dulu kau tak suka aku pegang tangan kau,” jawab Zackery mudah.
“Hanya sebab tu awak rasa saya ni kolot?”
“Kadang-kadang aku nampak kau pakai kain batik. Tapi aku suka. Sebab kau
nampak seksi, bila pakai kain batik. Masa tu baru aku dapat tengok bentuk tubuh
kau yang sebenarnya. Kalau tak, aku tengok kau suka pakai baju longgar,” jawab
Zackery semakin selamba. Dia mula memandangku dengan sedikit sengihan.
Berderau darahku entah kenapa. Aku tak tahu pulak yang dia suka perhatikan
aku. Ialah. Lelaki yang ada masalah seperti Zackery, yang tidak berfungsi hanya
organ bawak dia tu saja. Keinginan tetap ada. Agaknyalah..
“Hmm.. saya ni memang kolot. Saya memang tak pandai nak pakai baju tidur
seksi-seksi ni,” balasku sekadar bersahaja.
“Kadang-kadang aku rasa hubungan ni cuma sementara aja. Sebab tu kita ni
masih macam ni. Kau pun takkan nak hidup dengan lelaki macam aku selama-lamanya,
kan?” ucap Zackery perlahan. Nadanya sudah mula berubah. Riak wajahnya juga
mula berubah sedikit.
“Awak rasa saya ni macam tu ke? Lebih baik saya pilih lelaki lain aja
semenjak awal. Buat apa saya nak buang masa kahwin dengan awak, kalau akhirnya
itu pilihan saya?”
“Habis tu kenapa kau tak panggil suami kau macam watak perempuan-perempuan
dalam novel kau tu? Aku rasa kau kahwin dengan aku sebab kasihankan aku. Bukan
sebab kau memang sayangkan aku.” Zackery pantas mengenakan aku semula.
Panggil abang? Ee.. macam pelik pulak aku rasa. Tiba-tiba aku kehilangan
idea mahu menjawab.
“Kau tak suka ke apa yang aku cakap ni?” soal Zackery tatkala aku masih
terus berdiam.
“Tak. Bukan saya tak suka. Saya sebenarnya.. err..” aku terkaku setelah itu.
Lelaki itu masih memusatkan pandangannya kepadaku. Membuatkan aku semakin payah
mahu meluahkan kata.
“Saya seganlah. Lagipun awak cuma tua dua tahun aja dari saya,” jawabku
akhirnya. Relevan ke agak-agaknya alasan yang aku beri itu? Entah. Itu jawapan
lebih kepada mahu mengelak sebenarnya.
“Sama macam kau, aku pun rasa janggal nak ubah kebiasaan tu. Tapi aku
faham. Mana ada perempuan yang mahu meletakkan harapan pada lelaki cacat macam
aku ni,” sambut Zackery agak tenang.
Aku menghela nafas perlahan memikirkan kata-kata lelaki itu. Ah! Hana.. nak
panggil abang malu pulak. Yang kau pelawa diri kau jadi bini dia, kau tak malu
pun, getus hatiku sendiri.
“Sorrylah. Saya takut lidah saya ni terbelit-belit. Saya memang tak biasa
panggil awak macam tu. Nak kena praktis dulu bagi mahir,” jawabku mula merapu entah
apa-apa. Spontan aku memandang ke arah lain dengan lidah terjelir. Geli geleman
dengan jawapan sendiri. Kulit muka ku sudah terasa tebal melihat senyum aneh di
bibir Zackery. Nak mengejek akulah tu!
“Suka hati kaulah. Aku bukannya
memaksa,” jawab Zackery perlahan.
Tiba-tiba aku terasa bersalah pula melihat wajahnya sudah berubah lain
macam. Dia kecil hati ke? Hati ku tertanya sendiri. Tetapi aku terus berdiam
sambil memandang ke halaman rumah dari atas balkoni itu.
“Pergilah buat kerja kau. Tak payah temankan aku kat sini,” ucap Zackery
tiba-tiba.
“Awak marah saya ke?”
“Tak.” Zackery menjawab sepatah tanpa memandangku. Tak marah konon. Tapi nada
tu macam tengah merajuk aja?
“Saya minta maaf kalau saya dah buat awak kecil hati dengan saya,” ucapku
perlahan.
“Aku tak layak pun nak kecil hati dengan kau. Aku ni cuma kawan kau. Kau tu
dah macam jururawat aku,” balasnya dalam nada sinis. Aku sempat terpandangkan
ekor matanya mengerling aku.
Bagi ajalah apa yang dia nak Hana oi! Bukannya dia minta apa pun.. jerit
hati ku sendiri. Alahai.. aku bab pujuk-pujuk orang merajuk ni memang lemah. Spontan
aku mula menghela nafas perlahan.
“Abang..” akhirnya aku tebalkan juga muka memanggil dia begitu. Tetapi
sungguh! Perasaan saat ini memang tidak menentu. Rasa macam nak terjun dari
balkoni ni pun ada.
Zackery buat pekak tanpa menoleh. Aku mula menggerutu geram melihat muka
tidak berperasannya. Panggil abang tak lut ya. Okay, kita cuba sekali lagi.
“Baby..” usikku dalam menahan tawa.
“Jangan panggil aku macam tu! Aku tak suka,” getus Zackery spontan.
Aku segera ketawa melihat gelagatnya. Tahu pun malu! “Habis tu awak buat
pekak aja saya panggil tadi? Panggil abang tak nak layan. Panggil baby layan
pulak. Panggil baby lagi nanti, baru tau,” usikku sambil ketawa melihat
gelagatnya. Ego konon.
Zackery terus membatu seolah tidak mendengar. Perlahan aku mula mencapai
tangannya.
“Okaylah. Merajuk! Hana minta maaf,” pujukku halus. Lelaki itu tetap pegun
tidak melayan. Tapi tangannya tak pula ditariknya. Memang nak suruh aku pujuk
dialah tu namanya.
“Abang,” panggilku lembut.
“Ya.” Lelaki itu akhirnya menjawab perlahan. Aku pulak rasa mahu tergelak
melihat reaksi Zackery. Aku tahu dia sendiri pun janggal mahu mengubah
kebiasaan dia beraku engkau dengan aku.
“Kalau nak bermanja cakap jelah. Tak payah nak malu-malu. Bukan ada orang lain
nampak pun kat sini,” ucapku sambil tersenyum memandangnya.
Zackery buat-buat tidak dengar. Saat aku cuba mencari pandangan matanya,
dia segera memandang ke arah lain. Sekilas pandang, aku tahu dia malu tapi
mahu.
“Alah! Tu macam nak ketawa aja? Saja buat sombong konon,” cebirku perlahan.
Spontan Zackery menoleh kepadaku dengan pandangan ekor mata. Aku meletakkan
tangan di bawah dagunya.
“Nak gelak ke tak ni?” usikku sambil ketawa kecil.
Zackery mencebik. Konon tak lut. Namun seketika kemudian satu senyuman
sudah mula dilakar oleh bibirnya. Dan saat itu aku tersedar, dia sedang
menggenggam jemariku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan