3
Kalau dah jodoh tak ke mana..
Empat hari kemudian setelah selesai waktu pejabat Syiha
bersama yang lain bergerak meninggalkan pejabat. Namun hari itu dia singgah
seketika di hadapan lobi bangunan itu apabila ternampak Hanim yang merupakan
ketuanya di hadapan lobi itu. Teringin pula dia mahu beramah tamah dengan
wanita akhir dua puluhan itu.
“Tunggu siapa, Hanim?”
Hanim menoleh mencari si penanya. Bibirnya terus
tersenyum apabila ternampak Syiha berdiri dekat dengannya.
“Tunggu tunang saya. Dia janji nak datang ambil,” balas
Hanim sambil tersenyum kepada kakitangan yang masih baru bertugas di jabatannya
itu. Syiha mengangguk sahaja dengan jawapan itu.
“Syiha balik naik apa ni?” Hanim pula menyoal. Gadis
berkulit sawo matang itu direnungnya dengan sedikit senyum. Gadis ini semenjak
kali pertama dilihatnya kira-kira sebulan yang lalu memang suka bersolek tebal.
Setiap hari gincunya berbeza warna. Begitu juga dengan perwarna matanya.
Sesuailah dengan tugas sebagai pegawai pemasaran yang harus siap kelihatan
menarik ketika berada di hadapan klien.
“Naik apa lagi? Naik LRTlah..” jawab Syiha sedikit
meleret. Dia mana ada tunang yang datang menjemput. Inikan pula kereta. Jadi
itu sahajalah pilihan yang dia ada.
“Oh! LRT kat depan tu ya? Nak balik ke mana?” soal Hanim.
Baru kali ini dia berkesempatan bertanya banyak kepada Syiha.
“Bandar Tasik Selatan.”
Jawapan Syiha membuatkan Hanim terdiam seketika. Dia juga
kerap menggunakan LRT sebelum memiliki kereta sendiri. Maklum benar dengan
laluan transit aliran ringan itu. Setahunya LRT tidak sampai ke Bandar Tasik
Selatan.
“Syiha naik LRT sampai mana?” tanya Hanim dengan kerutan
di kening.
“KL Central. Lepas tu naik KTM pulak sampai Alam Perdana.
Jauh jugak nak sampai rumah. Tapi nak buat macamana kan? Saya ni mana ada
kereta,” jawab Syiha merujuk kepada keadaan dirinya yang baru habis belajar dan
memulakan kerja sudah tentulah tidak berkemampuan memiliki kereta. Apatah lagi
di KL ini serba-serbinya memerlukan belanja. Dengan gaji yang tidak sebesar
mana dia hanya mampu memandang sahaja kereta idamannya di ruang pameran kereta.
Jawapan itu disambut dengan anggukan Hanim yang mula
mengerti keadaan itu. “Baru habis belajar macam Syiha ni memanglah kena
bersusah dulu. KL ni pulak kalau gaji tak besar dan tak pandai berjimat cermat
mana nak mampu pakai kereta. Saya dulu pun begitu,” ujar Hanim lembut.
Syiha hanya mengangguk kepada kata-kata Hanim itu.
“Tapi ada baiknya juga naik kenderaan awam ni, Syiha.
Naik KTM atau LRT ni tak perlulah nak beratur panjang dalam kesesakan. KL ni
traffic jam sepanjang masa. Kadang-kadang bosan juga dengan keadaan tu. Saya
pun kadang-kadang naik LRT jugak kalau nak cepat sampai. Naik kenderaan awam
lebih jimat masa dan duit,” sambung Hanim.
“Tapi pagi-pagi jem jugak naik walaupun naik LRT. Ramai
orang gunakan LRT sekarang. Kalau tak pandai menyempit alamat datang lambatlah
saya hari-hari,” balas Syiha pula.
“Memang. Itu memang sejak dulu lagi dah biasa. Tapi
berbanding naik kereta lagi baik naik LRT. Perjalanan LRT tetap ikut masa. Melainkan
di dalamnya tu yang sendat macam tin sardin. Alah! Kita setakat nak menumpang
pergi kerja. Nak buat apa selesa sangat macam dalam bas ekspres,” ulas
Hanim sengaja berseloroh. Syiha tersenyum sahaja.
Kehadiran sebuah kereta membuatkan perbualan mereka
terputus. Spontan pandangan mata mereka berdua terhala ke satu arah serta merta.
Kelihatan sebuah kereta jenis Nissan Fair Lady berwarna putih berhenti di tempat
persinggahan kereta menurunkan penumpang di hadapan lobi itu. Walaupun kawasan
itu adalah kawasan larangan memakir namun tuan punya kereta itu bagaikan tidak
peduli dengan arahan itu.
“Hmm.. ingatkan tunang saya. Rupanya bukan,” ucap Hanim
sambil tergelak kecil. Namun leluconnya itu tidak mendapat perhatian dari Syiha
kerana matanya asyik memandang lelaki yang begitu tampan dengan kaca mata hitam
baru sahaja keluar dari kereta itu. Dengan tergesa-gesa lelaki itu meninggalkan
keretanya di situ dan masuk ke dalam bangunan tanpa memandang mereka berdua
yang berdiri di situ. Mata Syiha terus memandang sehingga bayang sang lelaki
menghilang.
“Hensem gila mamat tu,” ucap Syiha tanpa sengaja.
Kata-kata itu sempat juga didengari oleh Hanim. Tanpa
perlu melihat siapa yang dipandang Syiha, dia sudah tahu siapa yang
diperkatakan Syiha. Dia cukup kenal dengan tuan punya kereta itu yang
sememangnya diakui memang kacak.
“Hensem memang hensem tapi laki orang tu, dik oi. Jangan
pandang lebih-lebih sangat. Nanti tergoda susah pulak,” balas Hanim
mengingatkan dalam seloroh.
“Kenal ke dia tu?” soal Syiha kepada Hanim. Terlupa pula
dia yang mahu ke stesen LRT tadi apabila wajah lelaki yang dipujanya dalam diam
berada di hadapan mata.
“Apa pulak tak kenalnya. Itu Encik Rafael Johan. Dia anak
Tan Sri Muzhaffar, abang kepada bos kita Cik Ariana. Senior arkitek kat sini. Dia
kerja sama floor dengan kita,” jelas
Hanim serba ringkas.
Dada Syiha berdetak tiba-tiba. Anak Tan Sri? soal hatinya
semakin teruja. Pakej yang lengkap! Tampan dan kaya!
“Dia dah kahwin?” soal Syiha semakin tidak keruan untuk
mendengar tentang lelaki itu lagi.
“Dah lama pun. Dulu isteri dia kerja di sini. HR Manager.
Tapi sekarang dengarnya isteri dia kerja dengan airlines antarabangsa. Tapi
walaupun dah tak kerja di sini dia kadang-kadang datang meeting di sini. Kalau
tak silap isteri dia sekarang tengah mengandung anak ketiga sekarang,” cerita
Hanim. Teringat dia memang pernah bertugas di bawah arahan wanita bernama Nur
Azyn itu lama dulu.
“Kenal ke dengan isteri dia tu?” soal Syiha lagi. Berubah
sedikit rentak keterujaannya tatkala bertukar topik cerita.
“Saya pernah berkerja di bawah arahan Cik Puan Azlyn
dulu. Tapi tak sampai setahun dia kerja di sini, dia berhenti sebab dapat
tawaran kerja dengan airlines. Dia orang tu dah lama kahwin. Anak kembar dia
orang pun comel gila.” Hanim terus tersenyum bercerita tentang pasangan itu.
Senyum Syiha kelat sahaja. Entah kenapa perasaannya
merasa lain macam. Pedih dan ngilu bermain-main ditangkai hatinya. Mendengar
kisah mengenai keluarga lelaki itu dia mula dipagut rasa cemburu entah kenapa.
Mengapa harus lelaki itu sudah beristeri? Mengapa tidak bujang sahaja supaya
boleh dia memikatnya?
“Sayang dah pergi check-up
ke?” soal Johan kepada isterinya melalui corong talian itu. Terasa bersalah
pula kerana melupakan janjinya dengan Lyn untuk menemankan isterinya itu untuk
memeriksa kesihatan bayi yang sedang dikandungkan isterinya itu.
“Dah.. penat Lyn tunggu abang tapi abang tak datang pun,”
balas perempuan itu dalam nada sedikit rendah. Kecil hati dengan si suami.
“Abang lupalah, yang. Tadi abang busy sangat sampai lupa terus pasal appoinment Lyn dengan doktor. Sorry ya? Next appoinment abang
temankan.” Akui Johan jujur.
“Abang tu cakap aja. Bulan lepas pun janji yang sama tapi
lupa lagi. Jangan nanti waktu Lyn nak bersalin nanti abang lupa nak datang sudahlah.”
Lyn mendesis geram. Kata-kata Johan langsung tidak mampu untuk digenggamnya.
Bukan sekali ini Johan menggunakan alasan lupa dan sibuk. Dia sudah jelak.
Spontan Johan tergelak. “Yang.. takkanlah abang nak buat
macam tu. Sayang ingat abang ni kejam sangat ke? Abang bukannya sengaja nak
mungkir janji. Tadi abang betul-betul busy,
yang. Sorry ya?” Johan membalas
dengan suara yang dilembutkan sehabis mungkin.
Lyn menghela nafas perlahan. Semenjak awal kehamilan
Johan sekalipun tidak pernah menemankan dia menemui doktor setiap kali
temujanji. Dia hanya sendirian. Selebihnya Johan hanya mendapat hasil
pemeriksaan di rumah sahaja.
“Yalah.. ni pukul berapa nak balik ni? Jangan cakap abang
balik tengah malam lagi sudahlah.” Rendah lagi nada wanita itu. Ternyata rasa kecil
hatinya masih bersisa. Lyn akui suaminya itu memang benar-benar sibuk dengan
segala macam beban kerja. Namun kadang-kala dia merasakan tolenrasi yang
diberikan sedang dipergunakan seenaknya. Johan suka mendahulukan kerjanya
berbanding dirinya. Hanya dia sahaja yang beriya-iya mahu menyambut kelahiran
anak ini. Sedangkan Johan tidak begitu peduli kepadanya. Dahulu Johan sering
mengomplen yang dia tidak memberikan perhatian kepada suami. Tetapi sebaliknya
dia merasakan Johan sepuluh kali lebih teruk mengabaikan dirinya. Selama ini
Johan juga yang meyebut-nyebut mahukan anak lagi. Sekarang dia buat tidak tahu
sahaja.
“Emm.. hari ni abang balik awal sikit dari semalam. Tapi
sekarang abang masih ada kat office
lagi ni. Ada kerja sikit nak buat. Siap aja kerja ni, abang balik ya?” balas
Johan cukup lembut.
“Okaylah. Lyn tunggu.”
Mendengar kelembutan suara sang isteri serta merta hati
Johan diterpa rasa rindu yang tidak bertepi. Dia seperti sedang terlihat wanita
yang sedang hamil empat bulan itu di hadapan matanya. “Hmm.. tadi sayang pergi
jumpa doktor pakai baju apa?” Johan mula mengubah nada ala-ala miang-miang
keladi.
“Pakai baju apa? Kenapa tiba-tiba tanya pasal tu pulak?”
nada Lyn ikut berubah hairan dengan pertanyaan persis itu. Sebahagian hatinya
mulai gelihati dengan gelagat Johan. Tiba-tiba Johan sibuk mahu tahu dia pakai
baju apa tadi.
“Saja nak tahu. Tadi doktornya lelaki ke perempuan?”
tanya Johan dalam pada dia menahan senyum.
“Abang ni.. dah nama pun temujanji dengan doktor Anisah,
dah tentulah jumpa dia. Mana ada doktor lelaki kat klinik tu. Abang ni dah
buang tebiat ke apa tanya benda yang bukan-bukan macam ni?” getus Lyn sambil
ketawa perlahan.
“Hish! Sayang ni tak baik cakap abang macam tu. Pendek nyawa
abang nanti, menjanda awal sayang nanti!” getus Johan pantas.
“Habis tu yang abang bercakap merepek-repek ni kenapa?
Dulu waktu Lyn mengandungkan anak pertama kita pun Lyn pergi klinik itu. Ada ke
pernah abang jumpa doktor lelaki kat situ?” tekan Lyn kegeraman dengan olah
Johan.
“Manalah tahu dah ada doktor lelaki. Abang tak mahu nanti
doktor tu raba-raba perut bini abang. Lepas tu diselaknya baju sayang sampai
atas. Hish! Tak boleh dibiarkan tu, yang. Abang sorang aja yang boleh tengok
sayang macam tu. Siapa berani buat macam tu kat bini abang, abang
cincang-cincang jari dia nanti,” balas Johan macam bersungguh saja.
Meledak tawa Lyn melalui corong itu. Gelihati benar benar
dengan jenaka kosong Johan. Terbuai seketika perasaan Johan oleh tawa riang
seperti itu.
“Dahlah! Malas nak layan orang yang otak senget ni.
Lama-lama nanti baby ni pun boleh
terkenan ikut jadi senget macam bapak dia.”
“I love you..” ucap Johan tiba-tiba.
“Eh! Ingat lagi abang pada ayat tu ya? Ingatkan dah beku
dalam otak abang tu. Dah lama tak dengar abang cakap macam tu pada Lyn. Hmm..
dulu waktu baru kahwin mulut tu tak jemu-jemu cakap I love you. Sekarang ni makna I
love you pun dah tak berapa nak tahu. Yalah anak dah ramaikan? Nak buat apa
romantik-romantik lagi. Dah basi..” perli sang isteri sedikit pelik dengan
kelakuan suaminya itu.
“Mana ada macam tu, yang. Kalau abang tak cakap macam tu
sekalipun itu tak bermakna abang tak sayang Lyn,” pujuk Johan mesra.
“Yalah.. Lyn tahu abang sayang Lyn. Siapa lagi abang nak
sayang kalau bukan Lyn, betulkan?” balas Lyn biasa.
Johan tersenyum kelat sendirian. Sedikit sebanyak dia
merasa tersindir dengan kata-kata isterinya itu. Namun dia sedar dalam
kebanyakan hal dia sememangnya sering kali mengabaikan isterinya itu.
Kadang-kala apabila masing-masing dihambat kesibukan hubungan ini menjadi
hambar seketika. Tetapi itu tidaklah bermakna perasaan itu sudah tiada. Cuma
semenjak kebelakangan ini banyak benda yang perlu difikirkan. Dia keletihan dan
Lyn juga banyak urusan sendiri. Mungkin kerana itulah mulutnya ini sudah tidak
terbiasa lagi mengucapkan ayat keramat itu kepada Lyn. Tetapi biar apa pun
keadaannya Johan tahu dia sayang kepada isterinya. Teramat-amat sayang!
4
Selesai
mengisi perut di kafe tengahari itu Johan segera beransur pergi memandangkan
banyak kerja yang menanti di pejabatnya. Namun sebelum naik ke tingkat 18 dia
singgah seketika di tandas. Selesai menunaikan hajat, Johan bergesa keluar dari
tandas itu. Namun ketika dia terburu-buru keluar dari tandas itu dia terlanggar
seseorang di hadapan pintu tandas wanita. Hampir terjelepuk wanita itu
dirempuhnya. Spontan Johan mencapai pergelangan tangan wanita itu sebelum
wanita terjatuh ke lantai. Berderau darah Syiha akibat insiden yang tidak
dijangka itu.
“Sorry.. sorry.. I tak nampak you tadi. You taka apa-apa?” ucap Johan dalam
kekalutannya. Terasa bersalah kerana tidak berhati-hati.
Syiha
memandang lelaki yang berdiri dekat dengannya itu. Dadanya seperti runtuh
tatkala memandang lelaki itu dari dekat. Akibatnya dia terpana begitu sahaja
tanpa mampu menjawab kata-kata Johan. Dia kelu.
“I
minta maaf. I tak sengaja. You okay ke? Ada sakit kat mana-mana?” ucap Johan
sekali lagi.
“Takpe.
Tak jatuh pun..” gadis genit itu menjawab lembut.
Bibirnya mula tersenyum mekar kepada lelaki itu. Betapa dia amat menyenangi insiden
ini walaupun tubuhnya agak kesakitan dirempuh lelaki itu. Ini lebih daripada
kebetulan yang diharapkannya semenjak tadi.
“You yang duduk depan I waktu dalam kafe tadikan? What is your name?”
entah kenapa tiba-tiba terdetik di hati Johan untuk mengenali gadis ini.
“Nur Syiha. Panggil Syiha aja. Abang ni senior arkitek
kat sini kan?” tanya Syiha dengan nada yang cukup lembut.
Berdetak
jantung Johan tiba-tiba. Abang? bisik hatinya. Di pejabat selain Ariana, tiada
sesiapa yang berani memanggilnya dengan gelaran itu kerana mereka sentiasa
mengamalkan formaliti dalam segala urusan kerja.
“Er.. ya. I kerja di jabatan pembinaan. You
ni department mana?” soal Johan
sedikit gugup. Manja benar nada
suara gadis ini. Boleh tergugat imannya jika dia berlama-lama dengan gadis ini.
Bahaya!
“Sales
Department.” Syiha menjawab selembut yang boleh dan berserta senyuman yang
semanis mungkin.
Johan
mengangguk perlahan. Tidak tahu mahu berkata apa lagi kepada gadis itu namun
matanya terus memandang sang gadis yang tersenyum manis itu.
“Syiha
selalu nampak abang sebelum ni tapi takut nak tegur abang. Yalah.. abangkan
orang atasan. Segan Syiha nak tegur,” kata Syiha mesra. Banyak idea mula
menerpa ke benaknya untuk memikat.
Kening
Johan berkerut sedikit. “Kenapa pulak nak segan? I bukannya suka maki orang..”
balas Johan sambil ketawa kecil. Dia tidak tahu pula yang mereka selalu bertemu
sebelum ini. Kalau ada pun mungkin dia tidak perasan kerana bukan semua
kakitangan NH dia mampu ingat.
“Takdelah..
ingat tak dulu kita pernah tunggu lif sama-sama lepas lunch. Mula-mula kita jumpa depan lif dulu abang macam sombong.
Sebab tu Syiha segan nak tegur,” ucap Syiha semakin seronok melempar kail.
Johan mahu melayan dia.
Johan
diam sekejap. Peristiwa yang disebutkan Syiha itu membuatkan dia teringat. Ya! Mereka ada menaiki lif yang sama tidak lama dahulu.
Tajam pula ingatan Syiha tentang peristiwa tida penting itu.
“I
bukannya sombong. Tapi kalau I tegur nanti takut you kata I ni lelaki miang
pulak. Sebab tu I buat tak tahu aja. Lagipun waktu tu I kejar masa. Tak sempat
nak pandang keliling. I tak pernah terfikir nak menyombong dengan sesiapa pun,”
ucap Johan lembut.
Bersorak
riang hati Syiha mendengar kata-kata Johan itu. Sebuah renungan menggoda
dihadiahkan kepada sang lelaki berserta dengan senyuman yang paling manis yang
pernah dimilikinya.
Meremang
seketika bulu roma Johan melihat Syiha merenungnya seperti itu. Namun entah
kenapa saat ini dia tidak ingin mengelak dari wanita ini. Walaupun dia sedar cara Syiha seperti mahu memikatnya
namun dia tidak mahu menolak. Entah kenapa ada sedikit kenakalan di dalam
dirinya yang mengajak dia berjalan ke arah yang tidak pernah dilaluinya.
Teringin juga mahu menguji sejauh mana kehebatannya sebagai lelaki dalam
menarik minat wanita kepadanya. Mungkin juga dia sudah muak dengan watak
sebagai suami yang setia.
Ah! Semua lelaki pun macam ni. Ada bini kat rumah tapi
kat pejabat mengayat yang lain. Setakat main-main apa salahnya? Bukannya kau
nak kahwin dengan dia pun, Johan. Layan sebagai kawan apa salahnya. Ada suara
bertiup nakal di telinga Johan.
“Abang dah kahwin?” tanya Syiha masih mahu beramah tamah
dengan Johan. Tanpa sedar dia sebenarnya sedang membuang masa di hadapan tandas
itu bersama Johan padahal teman-temannya yang lain sudah lama naik ke pejabat.
“Dah. Anak dah dua, nak masuk tiga. Insya-Allah..” jawab
Johan jujur dengan senyum ramah kepada Syiha. Tentang itu dia sememangnya tidak
ingin berselindung. Ah! Percuma sahaja jika dia menipu kerana ramai orang lain
di dalam pejabat yang sudi untuk membocorkan rahsianya nanti.
“Oh! Anak abang berapa orang perempuan, berapa orang lelaki?”
tanya Syiha lagi walaupun dia sudah tahu yang Johan hanya ada dua anak
perempuan. Sengaja buat-buat tidak tahu supaya ada topik yang mahu dibualkan
dengan Johan.
Semakin lebar senyuman Johan apabila anak-anaknya
ditanyakan orang lain. “Buat masa ni dua-dua perempuan. Harap-harap next baby
lelaki pulak.”
“Mesti comel anak-anak abangkan? Yalah.. ayahnya pun
hensem mestilah anak-anaknya macam tu,” komen Syiha sengaja mahu memuji.
Kerlingannya bagaikan mahu memberi sedikit bayangan kepada Johan mengenai
hatinya yang sudah dilanda rasa suka itu.
Johan tersenyum kosong mendengar pujian itu. “Syiha tak
naik atas? Dah pukul dua lebih ni,” ucap Johan sambil menilik jam di tangannya
itu. Dia juga sebenarnya mahu naik ke pejabat segera.
“Eh! Asyik sangat berborak dengan abang terus terlupa
pula nak masuk kerja..” di akhir kata Syiha ketawa gedik.
“I naik dulu. See you..” kata Johan meminta diri.
“Okay..” sambut Syiha gembira.
Semenjak perbualan itu senyuman Syiha kian mekar.
Sehingga dia tiba di mejanya senyuman itu masih memekar sehingga Syafikah teman
yang duduk paling dekat dengannya menjadi pelik dengan kelakuannya.
“Apa hal kau asyik tersengih ni, Syiha?” soalnya pelik.
Syiha terus memandang Syafikah. Rasanya dia tidak mampu
menyembunyikan sesuatu yang amat menggembirakan dirinya seperti ini. Dia mahu
berkongsi dengan satu dunia, kalau boleh. Betapa saat ini perbualan singkatnya
dengan Johan membuatkan dia merasa dialah manusia yang paling bahagia di atas
dunia ini.
“Kau tahu tak tadi aku borak dengan siapa, Ika?” ucap
Syiha dengan sengihan lebar.
Syafikah sekadar memandang pelik. Kemudian dia
menggeleng. Manalah dia tahu. Bukannya dia ada sekali waktu itu.
“Aku terserempak dengan Encik Rafael Johan tadi. Dia
langgar aku waktu aku lalu kat depan toilet
ground floor dan kami berkenalan. Bestnya, Ika. Tak sangka dia tu
gentleman. Cara dia minta maaf kat aku tu nampak macam dia tu romantik gila.”
Syiha berkata teruja.
Syafikah terlopong seketika. Merudum jatuh semangatnya.
Encik Rafael Johan tu ke? Ingatkan artis manalah yang mahu diceritakan Syiha
hingga membuatkan temannya itu jadi begitu.
“Kau ni buat suprise
aku ajalah. Kau maksudkan anak Tan Sri Muzhaffar tu ke? Apa yang best sangat
borak dengan dia tu? Aku pun selalu bercakap dengan dia. Takde apa yang best
sangat pun,” balas Syafikah sekadar acuh tidak acuh.
“Eeii.. hensem gila dia tu bila aku pandang dari dekat.
Aku dah lama usha dia tu, kau tahu.
Baru hari ni aku dapat berbual dengan dia. Hensemlah dia tu,” ucap Syiha seronok
yang teramat sangat. Senyuman tidak mampu menguncup mengenangkan lelaki seorang
itu.
Syafikah memandang Syiha dengan gelengan. Dia dah buat
dah.. keluh hati Syafikah sendiri. “Kau ni yang seronok sangat ni, kau jangan
lupa dia tu dah berbini. Memang dia hensem tapi dia dah ada yang punya, dah ada
anak.” Syafikah berkata perlahan sahaja. Kurang senang dengan tabiat Syiha yang
terujakan suami orang.
“Aku tahu. Tapi salah ke kalau aku suka kat dia? Semenjak
dari first day aku ternampak dua
minggu lepas aku dah jatuh hati kat dia. Bukannya aku yang minta macam ni tapi
dah hati aku dah suka nak buat macamana?” sambut Syiha selamba.
Syafikah mula mengeluh melihat teman yang dikenalinya
semenjak dari universiti itu. Syiha yang sebaya dengannya pernah digantung
pengajian selama satu semesta sebagai balasan kelakuannya yang melanggar
peraturan universiti iaitu cuba menjalinkan hubungan dengan pensyarah sendiri.
Mujur sahaja pensyarah itu sememangnya bukan jenis yang suka mengambil
kesempatan ke atas pelajar. Namun akibatnya.. ketika rakan-rakan lain berjaya
mendapat segulung diploma, Syiha masih lagi harus mendaki tangga perpustakaan
untuk mengulang kaji. Mujur sahaja Syiha berjaya menamatkan pengajian tidak
lama kemudian. Dia yang bersusah payah merekomenkan Syiha agar memohon kerja di
Neraca Holding ketika Syiha masih terhegeh-hegeh mencari pekerjaan beberapa
bulan yang dulu. Perangai Syiha semenjak dahulu yang memang selalu berkenankan
yang kacak dan berduit itu memang sudah dikenalinya. Tidak kisahlah lelaki itu
sudah berusia dan sudah beristeri.
“Fikir baik-baik apa yang kau buat ni, Syiha.” Syafikah
melontarkan peringatan itu perlahan sahaja. Hanya untuk pendengaran Syiha.
“Aku memang betul-betul suka kat dia tu, Ika. Salah ke?”
“Salah, Syiha! Dia suami orang. Kau tak patut ulang
semula sejarah lama kau dengan Encik Azman. Banyak lagi lelaki lain kat luar
sana yang bujang. Kenapa mesti ganggu rumahtangga orang? Kau tak kasihankan
bini dia? Kalau kau yang diperlakukan macam tu suatu hari nanti apa kau akan
rasa?” ujar Syafikah pantas dan sedikit meninggi.
“Tapi bukannya aku saja-saja nak suka kat dia. Aku tak
sengaja terjatuh hati pada dia. Aku tahu perbuatan aku ni akan membuatkan ada
orang lain sakit hati tapi aku dah tak boleh halang perasaan aku ni lagi, Ika.
Susah aku nak mengelak,” ujar Syiha bersungguh.
“Kau sepatutnya jauhkan diri kau dari dia. Bukannya
memasang angan-angan untuk dekat dengan dia lagi lepas ni. Kalau kau sengaja
goda dia macam yang kau buat pada Encik Azman dulu, tak mustahil dia akan
tergoda. Kasihan isteri dia, Syiha. Kita sama-sama perempuan. Seharusnya kita
bela kaum kita sendiri bukannya kita yang memusnahkan kaum sendiri. Lagipun
Encik Johan tu anak tuan punya syarikat ni. Kalau perbuatan kau ni diketahui
dek bapak dia, tak ke susah kita nanti?” tekan Syafikah bersungguh mahu Syiha
memikirkan akibatnya kemudian hari.
“Alah! Kalau dia kuat iman takdenya dia tergoda kat aku.
Tapi Ika.. kau percaya dengan jodohkan? Kalau dah tersurat aku dengan dia ada
jodoh apa boleh buat. Ini semua kehendak Tuhan. Lagipun salah ke kalau aku
sekadar nak mencari pasangan yang boleh menjamin masa depan aku? Aku tak mahu
lelaki bujang sebab lelaki bawah tiga puluhan ni tak matang dan tak berduit.
Aku tak mahu jadi macam kebanyakan perempuan-perempuan kat luar sana. Lepas
berkahwin masih juga kena keluar berkerja bantu suami untuk besarkan anak-anak.”
Masih dengan nada selamba Syiha menjawab.
Syafikah menggeleng dengan senyuman sinis. Muak dia
dengan alasan seperti itu. Malas mahu melayan Syiha, serta merta dia mengemas
mejanya kerana dia perlu keluar untuk bertemu klien sedikit masa lagi. Sambil
mengemas mejanya itu dia berkata lagi kepada Syiha. “Terpulang pada kaulah,
Syiha. Jangan nanti kerana tindakan kau hari ni, sengsara menunggu sepanjang hayat
kau. Aku ingatkan aja. Allah Maha Melihat segala isi hati kita. Allah tahu niat
di hati kita macamana. Allah pun tak suka kita aniaya orang lain apatah lagi orang
yang kita tak kenal. Duit ni bukan tiket untuk mendapat kebahagiaan. Kalau
dapat suami yang banyak duit sekalipun tapi suami pulak jenis yang tak setia..
itu belum lagi dinamakan bahagia. Tapi ikut suka hati kaulah. Kalau kau rasa
tindakan kau ni bagus untuk kau, teruskanlah. Aku tak nak masuk campur. Tapi
kalau apa-apa terjadi pada kau, kau jangan merayu pada aku minta tolong carikan
kau kerja lagi. Kau tahu-tahulah, Encik Johan tu anak Tan Sri Muzhaffar. Kau
belum kenal lagi Cik Puan Nur Azlyn tu macamana. Jangan nanti apa yang kau
kejar tak dapat tapi apa yang kau ada terlepas macam tu aja.” Panjang pesanan
yang dihulurkan Syafikah. Mungkin ini kali terahkhir dia mahu bercakap tentang
ini.
Syiha mencebik mendengar bicara temannya itu. Ah! Zaman
pengajian tidak sama dengan dunia pekerjaan. Dunia pekerjaan dia rasa lebih
bebas berbanding ketika masih bergelar pelajar. Tiada peraturan sebagai
pelaljar di sini. Jadi kalau dia mahu menggoda bos di pejabat sekalipun itu
tidak menjadi kesalahan dan dia tidak akan digantung kerja. Apa yang dia tahu
dia akan terus mendekati lelaki itu walaupun ada yang bakal menangis kerana
perbuatannya itu. Peduli apa dia!
Langkah
Ariana terhenti tatkala
terdengar tawa manusia dari dalam pantry pejabat itu. Macam kenal aja suara
itu. Macam suara abangnya. Perlahan dia menolak pintu pantry yang separuh
tertutup itu. Batang tubuh Johan dan salah seorang pekerjanya terhiasa di ruang
matanya. Lama Ariana terpaku, sekadar memandang gelagat dua manusia itu berbual
dan ketawa-ketawa. Kedua-duanya masih tidak perasan dia sedang memerhati dari
arah pintu itu.
Abang? Hati Ariana terdetik satu rasa yang tidak enak
tatkala terdengar panggilan yang disebut oleh Syiha kepada abangnya. Mesranya
kedengaran lain macam. Abangnya juga nampak cukup senang melayan gadis itu.
Membuatkan perasaannya semakin tidak enak.
“Ehheemm..” Ariana berdehem agak kuat untuk menyedarkan
dua manusia itu.
Spontan Syiha dan Johan menoleh. Wajah Johan terlebih
dahulu berubah riak tatkala ternampak adiknya memandang dia dan Syiha di situ.
“You buat apa kat sini? Takde kerja nak buat dah?” tanya
Ariana dalam nada serius.
Syiha memandang Johan sekilas. “Saya masuk sini sebab nak
minum air tadi. Tiba-tiba Encik Johan minta saya buatkan dia air. Kami berbual
sekejap, Cik Ariana.” Syiha menjawab rendah. Tidak berani dia mahu memandang
wajah serius Ariana itu lama-lama.
Ariana memandang abangnya seketika. Namun kemudian dia
memandang Syiha semula. “Balik tempat you sekarang. Dah buat airkan?” ucap
Ariana tajam.
Syiha mengangguk sahaja. Dia tunduk sahaja tatkala
melintasi bosnya itu. Ariana menjeling tidak senang. Gedik semacam saja Syiha
dengan abangnya. Serius, dia memang tidak suka!
“Kenapa serius sangat ni?” tanya Johan biasa.
“Jangan kacau staff Ary buat kerja. Setakat buat air aja
pun nak suruh orang ke? Tak payah nak berlama-lama sangat kat dalam ni. Siap
bergelak ketawa bagai. Masa berjalan!” ujar Ariana mula memasuki ruang itu.
“Alahai, Ary ni.. abang cuma borak aja dengan dia
sekejap. Takkanlah itu pun nak berkira? Kerja sepanjang masa pun bosan juga,”
ucap Johan masih tidak serius biarpun dia lihat wajah Ariana agak kelat saat
itu.
Ariana tergelak sinis mendengar itu. “Maybe you should
remind yourself about that. Kerja sepanjang masa pun bosan jugakan? Bukan
setakat bosan tapi meletihkan! Nak-nak lagi Kak Lyn tu. Hari-hari komplen abang
macam dah tak ingat nak balik awal lagi dah sekarang ni.”
“Bohonglah kalau dia cakap hari-hari abang balik lambat.
Ary jangan nak kelentonglah.”
“Memanglah tak hari-hari balik pukul 12 malam. Tapi tak
pernahnya ada kat rumah waktu maghrib. Hari-hari macam tu, betul tak? Dengan
orang lain boleh pulak ada masa relax sambil tergelak-gelak. Tapi dengan family
sendiri kedekut masa,” sambut Ariana agak tajam.
Senyum Johan
memudar serta merta mendengar itu. “Dia mengadu dengan Ary ke?” nada Johan ikut
berubah tajam.
“Kalau takde hal, tak perlu nak mengadukan? Kita tak
boleh rasa kita ni okay aja sepanjang masa. Dan kita tak bolehlah expect orang
akan sabar aja dengan semua perangai kita yang sambil lewa tu,” perli Ariana
tanpa memandang.
“So sekarang Ary nak jadi kaunselor perkahwinan abang
dengan Kak Lyn lah ni?” ucap Johan separuh mengejek.
“Tak! Just to
remind you if you don’t remember anymore. Don’t be typical husband yang membosankan, Abang Johan. Kak Lyn tu
manusia. Bukannya patung! Borak dengan staff perempuan boleh aja adakan masa.
Tapi dengan isteri sendiri asyik bagi alasan,” jawab Ariana selamba.
“Abang memang ada banyak kerja sekarang. Banyak projek
yang abang kena handle. Takkanlah itu pun tak boleh nak faham?” tekan Johan
mula panas hati.
“Ada beza antara banyak kerja dengan bersikap lepas
tangan! Sangat besar perbezaannya. Jangan nak gunakan alasan tu. We are not
stupid! Mungkin Kak Lyn tu jadi bodoh sebab dia terlalu sayangkan abang. Tapi
untuk Ary, Ary memang pantang lelaki macam tu. Daripada begitu lebih baik tak
payah kahwin.”
Johan mendegus keras. Sakit hatinya mendengar ujaran
adiknya itu. Malas mahu menjawab dia meletakkan mug di tangannya itu di sinki
dan terus keluar tanpa memandang adiknya itu lagi.
Ariana sekadar memandang Johan dengan pandangan biasa. “Cakap
kat orang lain pandai. Diri sendiri tak sedar,” cemuhnya setelah Johan
menghilang.