Khamis, 17 April 2014

1-2 BINI AKU CEO!

1
Angin satu badan!
Itulah yang Johan rasakan saat ini. Dengan panggilan telefon tengahari semalam isterinya memberitahu dia terpaksa ke Colombo hari itu juga. Hanya dapat pulang paling awal mungkin pada tengah malam dengan penerbangan terakhir Sri Lankan Airlines ataupun pagi esoknya. Semenjak kebelakangan ini Lyn sememangnya kerap benar ke luar negara. Bulan lepas Lyn ke Muscut atas urusan kerja dan bulan yang dulu ke Abu Dhabi selama seminggu. Kemudian entah ke mana-mana lagi sebelum itu. Dia sudah tidak menghafal jadual kerja Lyn.
Johan termenung sendiri mengimbas semula pertengkaran kecil di antara dirinya dan Lyn semalam.
“Takkanlah takde orang lain yang boleh pergi selain sayang? Kan ramai lagi staff lain?” soal Johan dalam nada tidak berpuas hati.
“Abang, ini bukannya hal main-main. Pesawat UL tu tergelincir dari landasan di Colombo dan pesawat tu datang dari KL pagi tadi. Lyn yang handle flight tu. Mana boleh orang lain yang pergi.” Itulah jawapan Lyn yang dia dengar ketika itu.
“Tapi aircraft tu cuma tergelincir ajakan? Takde orang yang mati pun..” degus Johan mudah. Seolah-olah semua itu tiada kena mengena dengan Lyn. Sedangkan selama ini dia cukup tahu apa yang bakal menanti isterinya itu jika perkara yang diberitahu tadi berlaku kepada penerbangan yang datang dari kawasan transit yang dijaga oleh isterinya itu. Soal kemalangan biarpun tidak ada mengorbankan nyawa. Namun tetap dianggap serius dan sebarang kecuaian oleh mana-mana pihak akan membuatkan pihak itu bakal berhadapan risiko yang besar.
Di hujung sana Lyn mula menghela nafas perlahan. Sekali lagi mereka bertelagah tentang ini. Dia sendiri sudah jelak mahu menjelaskan kepada Johan.
“Memanglah takde orang yang mati. Tapi dia orang komplen berat kargo tak tepat mengikut loadsheet. Kalau hal tu berlaku kerana kecuaian staff di KLIA, Lyn dalam masalah besar, bang. Abang kena faham keadaan Lyn sekarang. Kejadian macam ni walaupun tak melibatkan nyawa tapi dia melibatkan kos ganti rugi pada segala kerosakan dan masa! Lyn tak mahu kesalahan tu diletakkan atas bahu Lyn begitu saja sedangkan Lyn yakin staff dah buat mengikut procedur yang betul,” terang Lyn pula meminta pengertian suaminya.
Johan terdiam seketika. Mencari idea yang lain untuk memenangi perbalahan kecil itu. “Habis tu berapa lama nak ke sana ni?” mengendur sedikit suara Johan dalam pada matanya merenung ke hadapan biliknya. Walaupun marah dia tahu dia harus akur dengan keadaan yang memaksa.
“Tak tahu lagi. Kalau siasatan selesai hari ni malam ni juga Lyn ambil flight UL. Kalau tidak, mungkin esok aja,” jawab Lyn mula melembutkan nadanya.
“Habis tu anak-anak macamana?”
“Abang, Lyn pergi sekejap aja. Insya-Allah paling lambat esok Lyn balik. Abang tolong tengokkan Dina dengan Dani, boleh ya?” pujuk Lyn penuh lemah gemalai suaranya.
Johan mengeluh lagi. Tengokkan anak-anak memang tidak menjadi masalah. Tetapi nampaknya malam ini tidurnya bertemankan batal guling lagilah jawabnya.
“Abang, kenapa diam? Lyn tahu abang tak suka Lyn selalu ke sana ke mari tapi kali ni terpaksa, bang. Please, understand me..” rayu sang perempuan cukup lembut.
“Habis tu abang ni siapa nak faham? Kita dah plan nak dapat anak lagi. Tapi macamana nak dapat anak kalau abang di KL, Lyn pulak entah di mana-mana,” keluh Johan lewat corong itu.
“Lyn tahu tu. Okaylah.. pasal itu nanti kita bincang lagi ya?” pujuk Lyn kepada suaminya itu. Terasa bersalah pula kepada suaminya kerana semenjak kebelakangan ini suaminya kerap menyebut-nyebut mahukan anak lelaki pula.
“Bincang-bincang ni membazir masa aja. Anak tak boleh jadi kalau setakat berbincang. Kena buat barulah jadi..”
Terdengar tawa isterinya meletus perlahan. Damai seketika perasaan Johan saat itu. Hilang rasa marahnya mendengar tawa manja sang wanita.
“Yalah.. kalau nak buat terus nanti balik buatlah terus. Tak payah cakap banyak. Buang masa aja!” sambut Lyn usai tawanya.
Bicara sang isteri menerbitkan rasa suka di dalam diri Johan. “Betul ni? Nanti sayang balik abang nak sayang pakai baju yang paling seksi untuk abang,” urat Johan miang. Tiba-tiba dia tersengih sendiri pula.
“Yalah, bang. Baju seksi pun baju seksilah,” sambut Lyn meleret. Iyakan sajalah kehendak suaminya itu. Kalau dia membantah mahu lagi panjang gaduh mereka nanti.
Tetapi itu perbualan semalam. Ini pula perbualan hari ini..
“Yang, sorry sangat-sangat. Lyn tak boleh balik hari ni sebab terpaksa ke Dubai petang ni..” luah Lyn dalam rasa serba salah yang teramat sangat. Ada rasa gentar sedang membadai hebat hatinya kerana dia tahu Johan tidak akan menyenangi alasannya nanti.
Kata-kata itu serta merta membuatkan darah Johan menggelegak. Anganannya berkecai seribu apabila janji yang sudah diukir dimungkiri begitu sahaja.
“Hah! Ke Dubai pulak? Eloklah tu. Esok ke mana? UK? Lusa? Planet Marikh pulak ke?” tempelak Johan tajam. Sakit hatinya! Apa gunanya beristeri jika selalu ditinggal sendirian begini?
“Abang, please..”
“Abang aja yang nak kena faham keadaan Lyn? Siapa pulak yang nak faham abang?” pintas Johan cepat akibat hati yang sudah memanas sendiri.
Lyn tiba-tiba terdiam di hujung talian. Kelu lidahnya apabila mendengar nada suaminya yang sudah mengeras begitu. Ada rasa bersalah mula meresap ke dalam hatinya. Tetapi apa dayanya?
“Fine! Just go on with your career, Lyn!” ucap Johan agak kesat.
“Abang bukan macam tu. Lyn betul-betul tersepit dengan keadaan sekarang. Keadaan kat sini kelam kabut. Meeting di Dubai tu penting. Diorang takkan lepaskan Lyn selagi siasatan tu belum selesai. Lyn kat sini pun bukannya senang hati, bang. Lyn asyik fikirkan abang dengan anak-anak,” tegas Lyn bersungguh.
Tapi Lyn dah janji nak balik hari nikan? Kenapa susah sangat nak jumpa bini sendiri sekarang ni? Lyn dah tak sukakan abang lagi ke?” bentak Johan semakin tidak terpujuk. Dia sudah bosan mendengar alasan Lyn berkaitan tugasnya.
“Abang, janganlah cakap macam tu. Of course I love you. Masalah tu belum selesai sepenuhnya lagi. Kalau boleh memang Lyn nak balik cepat tapi keadaan tak mengizinkan. Pening Lyn sekarang ni, abang. Patrick dengan Mr. Jocker asyik marah dengan Lyn. Sekarang abang pun marahkan Lyn.” Suara Lyn mula teralun sayu. Bukan dia mahu meminta simpati murahan. Sebaliknya dia mengharapkan timbang rasa Johan dalam keadaan dirinya yang sedang dalam kesusahan.
“Memanglah marah. Semalam janji lain sekarang lain pulak ceritanya. Bukan Patrick dengan Jocker tu aja yang ada perasaan marah dan bukan mereka yang paling utama dalam hidup Lyn. I'm disappointed! Yesterday you gave me hope and now you give excuses,” balas Johan terus sengit nadanya.
Semakin tersiat hati wanita itu mendengar bicara suaminya begitu. Namun dia sekadar mampu memejamkan mata dan menghela nafas untuk menenangkan hatinya. Dia tahu dia yang bersalah dalam hal ini.
“Bukan maksud Lyn nak mungkir janji dengan abang tapi semalam Lyn pun tak sangka proses siasatan akan ambil masa yang lama sedangkan kemalangan tu tak seteruk mana. Sekarang ni management di Dubai dah bising nakkan latest report tentang semalam tu dan mereka nak jumpa Lyn personally. Aircraft tu pun masih belum dibawa ke hanger..”
“Whatever! Just do whatever you want. I have nothing to say anymore. Bye!” Sekalian itu Johan terus mematikan panggilan. Kali ini dia memang tidak mampu lagi bertolak ansur dengan isterinya itu. Perasaannya kian tercabar dengan penjelasan Lyn yang panjang lebar. Bukan itu yang dia nak dengar sangat saat ini.
Seketika kemudian Johan terdiam di tempat duduknya. Tindakannya sebentar tadi ternyata tidak juga memberi dia sebarang kepuasan. Lyn tidak ada memanggilnya semula. Mungkin wanita itu kecil hati dengan tindakannya sebentar tadi. Entah kenapa saat ini mudah benar dia hilang sabar. Terasa dirinya sering diketepikan oleh isterinya sendiri.
“Macam ni bilalah aku nak merasa ada anak lagi? Asyik kena tinggal aja..” rungut Johan sendiri. Keningnya diurut perlahan. Kusut tiba-tiba fikirannya memikirkan hal tadi.
Sebuah keluhan dilepaskan Johan agak deras. Mahu memanggil semula isterinya itu dia merasa berat pula. Egonya menghalang dia berbuat begitu. Namun berkeadaan begini dia susah hati pula. Akhirnya Johan menggeleng perlahan. Malas mahu memikirkannya lagi. Mungkin impiannya untuk mendapatkan cahaya mata lagi harus dikuburkan sahaja. Itu lebih baik daripada mengharapkan sesuatu yang masih belum pasti!


Setelah empat hari di Dubai barulah Lyn dapat menjejakkan kaki semula ke tanah air. Kepulangannya hari ini tidak diberitahu kepada Johan dan dia juga sebenarnya enggan menyusahkan suaminya untuk menjemputnya malam-malam begini walaupun waktu baru sahaja menunjukkan ke angka lapan setengah malam. Dia sedar semenjak beberapa hari yang lalu hubungannya dengan Johan jadi terlalu dingin. Panggilannya langsung tidak dijawab suaminya. Dia tahu benar, Johan masih bengang dengannya.
Tetapi dalam keadaan begitu pun, malam semalam ketika dia memanggil ke rumah untuk bercakap dengan dua anak perempuannya, pembantu rumahnya berkata mereka bertiga keluar semenjak selepas maghrib. Kata Bibik Sutinah, Johan mengangkut dua anak perempuannya itu bersama untuk bertemu kawan-kawannya entah di mana.
Elleh! Dalam marah-marah tu pun boleh lagi jumpa kawan-kawan dia. Ingatkan dah naik bertapa atas gunung melayan sakit hati tu.. desis hati Lyn sendiri.
Dengan setengah jam perjalanan menggunakan perkhidmatan ERL Lyn akhirnya tiba di KL Central kira-kira jam sembilan sepuluh minit malam. Telefon bimbitnya yang dimatikan semenjak dari Dubai tadi dihidupkan semula. Setelah gadjet itu bernyala dia melihat ada beberapa panggilan masuk yang tidak dijawabnya. Paling banyak adalah dari suaminya. Melihat panggilan terakhir dari Johan dibuat kira-kira tiga jam yang lalu, Lyn berhenti seketika di satu sudut untuk memanggil semula suaminya itu.
“Hmm.. kenapa offkan phone? Tak cukup-cukup lagi Pak Arab tu nak mengacau bini orang. Pak Arab tu takde bini ke kat rumah? Yang bini orang tu pun.. ingatlah sikit ada laki yang menunggu kat rumah ni. Walaupun pak Arab tu penting sangat berbanding suami, at least on your phone supaya senang nak dicari!” sergahan Johan terus menampar gegendang telinga Lyn tanpa amaran. Turut menampar kesabaran wanita itu. Kesabarannya mula bergoncang dek olah lelaki seorang itu.
“Yang abang ni tak habis-habis nak marah Lyn kenapa? Tak boleh cakap elok-elok ke?” Lyn membalas geram. Bercakap main sedap tembak aja! Sentiasa mahu menegakkan ego sendiri sedangkan dia sudah meminta maaf berkali-kali. Masakan hal seperti ini mahu diperbesarkan sampai ke tua!
“Aik? Terasa pulak ke? Cakap macam tu pun nak marah?” sindir Johan tajam.
“Malaslah nak layan kepala batu abang ni. Keras kepala tak bertempat! Untuk pengetahuan abang, Lyn dah sampai KL Central dan Lyn matikan telefon sebab Lyn ada dalam flight balik ke KL untuk suami dan anak-anak. Bukannya melayan Pak Arab macam yang abang sangka tu! Kalau abang tak mahu faham Lyn, it’s ok. Tapi janganlah bercakap ikut sedap mulut sebelum tanya situasi orang dulu, ada faham ka?” serta merta mengeras nada Lyn saat itu.
Johan spontan terdiam mendengar Lyn sudah tiba di KL. Jantungnya berdetak hebat. Menyedari dia sudah tersalah sangka mulalah perasaannya jadi libang libur saat ini.
“Erk! Sa.. sayang dah sampai KL? Kenapa tak call abang tadi?” mulalah nadanya berubah tidak tentu hala. Tergagap-gagap dia cuba memperbetulkan keadaan tegang mereka. Itulah akibatnya kalau suka bercakap mengikut sedap mulut!
“Tak call? Ke mana abang pergi lepas maghrib tadi? Lyn call dari semalam abang yang tak jawab.” Giliran Lyn pula memuntahkan sakit di hatinya.
Johan menelan liur kalut. “Sorry, sayang. Sayang dah sampai KL? Abang ambik sayang sekarang ya?” pujuk Johan mula kelam kabut. Alahai.. karang merajuk tak dapatlah aku peluk dia.. bisik hati Johan sendiri.
“Yes, I’m just arrived! Ada lagi kata-kata yang meyakitkan hati yang nak disampaikan? Because I’m running out of time! Lyn nak balik cepat nak tengok anak-anak dan suami yang suka sangat merajuk sekarang ni. Kalau Lyn ni isteri yang tak bertanggungjawab tak kuasalah nak balik cepat. Pergi shopping kat Dubai tu lagi baik! Tapi ada sesetengah orang ni dia memang tak pernah faham betapa beratnya beban yang ada atas bahu ni,” sindir Lyn agak keras nadanya.
Kelat liur Johan rasakan saat itu. Berdesing telinganya akibat disambar perlian demi perlian Lyn.
“Oh! I’m so sorry, sayang. Abang salah cakap tadi. Sayang tunggu sana abang datang ambil.” Johan segera menawarkan diri untuk menjemput sebagai tanda mahu memujuk.
“No thanks! I penat sangat dan I malas nak tunggu lagi. I boleh naik cab aja. See you then.” Talian itu terus dimatikan Lyn. Puas hatinya setelah meluahkan pula kesakitan hatinya yang telah disimpan semenjak beberapa hari yang lalu. Selesai menyimpan telefon itu ke dalam beg tangannya Lyn segera menarik beg beroda itu untuk mendekati kawasan untuk mendapatkan teksi.
Jam sebelas malam itu Lyn selamat tiba di rumah. Anak-anaknya sudah tertidur. Seperti yang diagaknya Johan menyambutnya dengan senyum simpul yang cukup manis. Tubuhnya terus dipeluk suaminya dan bisikan di telinga cukup memberitahunya bahawa lelaki itu sedang merindui dirinya. Tidak lupa juga Johan merayu agar dia dimaafkan atas keterlanjurannya sebelum ini. Malas mahu memanjangkan sengketa Lyn menerima sahaja maaf suaminya itu tanpa banyak kira.
Di dalam bilik Johan bertanya sedikit sebanyak mengenai perkembangan terbaru mengenai masalah yang sedang di hadapi oleh Lyn. Sedaya upaya ditunjukkan sikap mengambil beratnya agar isterinya tidak terus berkecil hati. Selesai mandi dan bersolat isyak Lyn terus ke katil. Tubuhnya mahu direhatkan setelah sembilan jam dia terperuk di dalam perut pesawat.
Namun bagi seorang isteri sepertinya berehat sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan orang lain sudah tidak pernah ada dalam kamus hidupnya. Kini dalam keadaan fikirannya masih tidak tenang dengan masalah kerja dia harus menghadap pula pujuk rayu suami yang seolah-olah tidak tahu yang esok masih ada. Namun menyedari janji yang sudah ditaburkannya sebelum ini antara mahu dengan tidak Lyn menyerah juga.
Tetapi mereka berdua masing-masing bagaikan tidak begitu sejiwa dalam melayari bahtera itu. Lyn lebih banyak membisu dan beku.
“Kenapa ni? Macam takde mood aja?” soal Johan terkilan dengan reaksi sang isteri yang tidak seperti selalu.
“Penat. Fikiran ni runsing,” jawab Lyn perlahan.
“Takkan masa dengan abang pun nak fikir pasal kerja lagi? Tinggalkan dulu semua tu. Kita kat rumah kita sekarang. Bukannya Dubai!” Dada Johan kembali hangat mendengar jawapan Lyn. Terasa dirinya kembali tidak penting dalam hidup sang isteri.
“Tolonglah jangan ajak Lyn bergaduh dalam keadaan macam ni. Orang penat ni. Dah tak larat!” desis Lyn geram dengan suami yang masih mahu menyakitkan hatinya dalam keadaan begini.
“Habis tu abang ni macamana ?” keluh Johan merayu.
Lyn menghela nafas perlahan. Kasihan dia pada suaminya itu. “Macamana apanya? Esok boleh tak? Penatlah..” keluh wanita itu halus. Dalam kesamaran cahaya malam dia membelai rambut suaminya itu lembut. Semoga lelaki itu mengerti dengan keadaan dirinya. Bukan dia sengaja mahu mengelak. Tetapi fikirannya sedang runsing dan dia letih.
“Habis tu bila? Malam esok? Jangan nanti sayang call bagitahu nak ke Abu Dhabi pulak dahlah!” sindir Johan panas hati. Belaian sang isteri tidak lagi mendatangkan sebarang makna dalam keadaan dirinya tercabar begini.
Pleaselah..! Jangan nak perli-perli, boleh tak? You buat I lagi takde moodlah! Tak habis-habis nak ajak orang bergaduh! Dah takde kerja lain agaknya,” bentak Lyn dengan suara tertahan.
“Nak buat macamana kalau orang tu tak sudi. Kita aja yang terhegeh-hegeh,” balas Johan mula menunjukkan rajuknya pula.
“Elleh! Merajuklah tu.. okay, kalau tak nak takpe. Orang tak open tender lama-lama. Siapa yang tak pandai rebut peluang dialah yang rugi,” ujar Lyn malas mahu melayan ragam Johan yang kuat benar merajuk semenjak dua tiga hari ini. Selimut ditariknya dan dia mula memejamkan mata.
Johan memandang lama isterinya itu. Menyedari malam esok belum tentu lagi isterinya itu akan berada di rumah seperti malam ini lebih baik dia rebut sahaja peluang yang ada. Buatnya esok isterinya dipanggil ke Dubai lagi alamat dialah yang gigit jari lagi.
Namun penghabisannya mereka berdua membisu membawa arah sendiri setelah itu. Johan dengan buku di hati yang masih surut dan Lyn pula dengan masalahnya. Keluhan Johan yang kedengaran di telinga Lyn menjelaskan kepadanya keadaan hati masing-masing yang tidak sebulu saat ini.
Buat seketika Lyn merasakan betapa tidak bermaknanya hubungan yang berlangsung sekejap tadi. Namun begitu dia mengerti sudah tentulah itu berpunca dari kesalahan dirinya yang lebih banyak mengutamakan perkara lain berbanding perasaan suaminya. Dia cuba untuk mengerti keadaan ini tanpa mahu menyimpan rasa terkilan di hati. Dia tahu ego seorang suami sudah tentu sentiasa mahu dirinya diutamakan isteri berbanding yang lain. Namun keadaan yang melanda dirinya, siapa pula yang mengerti? Masalah yang sedang merantai fikirannya saat ini siapa pula yang mahu memahami?
Pagi itu selesai solat subuh bersama Lyn mencapai tangan suaminya.
“Lyn minta maaf, bang..” ucapnya perlahan setelah dia tunduk mengucup tangan suaminya. Pagi ini setelah dia terjaga dari tidurnya dan saat memandang wajah suaminya dia mengerti. Betapa besarnya hak lelaki ini ke atas dirinya. Betapa sebelum melelapkan mata sekalipun dia memerlukan keredhaan suaminya ke atas dirinya. Dia tidak boleh selamanya melayan hati tanpa memikirkan apa pula natijahnya jika dia terus membela rasa terkilan di hatinya. Seharusnya diusia perkahwinan yang semakin membanyak dia seharusnya lebih mengerti sikap suaminya. Tetapi tidak. Kadang-kala dia khilaf dan suka melayan hati.
“Abang maafkan sayang..” jawab Johan lembut kepada sang isteri yang merenungnya sayu. Hatinya tersentuh melihat Lyn yang sanggup merendah diri kepadanya. Perlahan Johan meraih isterinya itu ke dalam pelukannya. Dahi sang wanita dikucupnya lama. Betapa saat ini rasa kasihnya semakin menggebu kepada isterinya.
“Lain kali kita jangan bergaduh sebelum tidur ya?” bisik Johan lembut. Matanya merenung wanita yang sedang tersandar di dadanya itu. Lyn mengangguk perlahan. Saat ini satu kelegaan yang amat besar meresap masuk ke dalam dirinya bersama kedinginan pagi yang indah lalu menerbitkan satu keindahan yang amat hebat kepada hatinya. Melihat hubungan mereka suami isteri kembali pulih dia amat bahagia.




2
Suasana lobi bangunan Neraca Holding itu hiruk pikuk setelah kebanyakan kakitangan selesai menikmati makan tengahari. Rata-rata masing-masing mula berkumpul di hadapan kawasan lif untuk naik semula ke tingkat masing-masing. Empat kotak lif yang terdapat di situ ternyata tidak mampu mengangkut kesemuanya sekaligus.
Gadis muda itu berdiri yang paling di belakang sekali. Dek kerana kelewatannya beratur di situ dia terpaksa menanti gilirannya yang ternyata masih jauh untuk sampai kepadanya. Walaupun kebosanan menanti lif yang memberi khidmat kepada setiap aras di dalam bangunan itu namun dia tidak ada pilihan lain selain dari menanti sahaja sehingga lif itu kembali kepadanya.
Sebaik sahaja gilirannya tiba dia ikut menyempit bersama yang lain ke dalam lif itu. Namun sebaik sahaja kedua-dua kakinya mencecah ke dalam lif yang sarat itu, bunyi amaran tiba-tiba kedengaran, menandakan berat yang mampu ditampung oleh kotak lif itu sudah berlebihan. Malangnya dia adalah orang yang terakhir masuk ke situ.
Mahu tidak mahu dengan rasa sebal dan malu gadis muda itu keluar semula dari lif itu. Setelah pintu lif tertutup dia tinggal sendirian di situ menanti lif yang lain. Syiha terus menanti sambil bersandar kepada dinding bersebelahan dengan pintu lif itu. Matanya meliar memandang hiasan di dinding batu itu. Ada lukisan permandangan kota luar negara yang sarat dengan bangunan tinggi. Lukisan itu menjadi santapan matanya. Timbul keinginan hatinya untuk menjejaki kota yang kelihatan indah itu biarpun sekadar dipotret dengan tangan.
Sedang pada itu perhatian Syiha tergugah serta merta apabila kehadiran seorang lelaki yang turut membawa bersama aroma Channel 5 yang menyengat hidungnya. Lelaki yang mengepit gulungan kertas putih bersaiz A1 di celah lengannya itu berdiri beberapa kaki darinya. Kelihatannya lelaki itu juga ingin menanti lif.
Bola mata Syiha tidak mampu berkalih daripada memandang lelaki itu. Sudah hampir tiga minggu dia bertugas di Neraca Holding ini, inilah kali pertama dia terperasankan lelaki setampan ini. Lelaki berkulit cerah yang memiliki bentuk wajah yang cukup ganteng di matanya. Dengan kesan cukuran jambang pada sekitar wajah lelaki itu membuatkan dia terpesona. Syiha benar-benar tidak mampu berkelip mata. Alahai.. kalaulah aku ada pakwe hensem macam ni kan best? hati Syiha berbisik sendiri.
Johan menghalakan pandangannya ke arah gadis itu apabila terkesan ada seseorang yang sedang asyik memerhatikan tindak tanduknya. Tatkala pandangan mata mereka bersabung, dia segera melemparkan sedikit senyuman untuk menyapa. Dada Syiha berdetak hebat melihat senyum ramah itu. Dirinya bak diawang-awangan jadinya.
Melihat si gadis yang masih mahu merenungnya Johan segera mengubah pandangan ke arah angka-angka yang tertera di atas kotak lif itu. Perasaannya mula berubah tiba-tiba. Entah kenapa dia tidak sanggup terus membiarkan dirinya dijamah oleh mata wanita itu. Pandangannya aneh!
Akhirnya pintu lif yang di bahagian tengah terbuka. Dua manusia itu masuk ke lif itu bersama. Angka 21 ditekan Johan. Syiha pula sekadar tegak berdiri di dalam lif itu menahan debar kepada lelaki itu. Gatal benar mulutnya ini mahu menyapa sang lelaki. Namun melihat lelaki itu sekali pun tidak menoleh kepadanya, dia jadi malu pula. Tetapi entah kenapa terasa cerah masa depannya apabila terperasan angka yang ditekan oleh lelaki itu adalah lantai yang sama yang ingin ditujunya. Daripada gaya lelaki itu Syiha tahu lelaki itu mungkin arkitek atau jurutera di syarikat tempatnya berkerja.
Tidak mengapa.. untuk hari yang permulaan maklumat yang masih samar seperti ini sudah terlalu mencukupi untuk dirinya. Sementara menanti hari kedua mungkin dia boleh memikirkan apa yang harus dilakukan untuk memulakan langkah perkenalan dengan lelaki yang sudah mula mengintai ruang hatinya..

“Hmm.. kata nak balik cepat. Pukul 11 jugak baru nampak muka kat rumah,” rungut Lyn sebaik sahaja ternampak wajah suaminya muncul di ruang tamu itu.
Johan menoleh sekilas. “Anak-anak kita dah tidur?” tanya Johan tanpa mempedulikan apa yang diucapkan oleh isterinya itu.
“Dah lama pun..” jawab Lyn dalam nada malas. Pandangannya tidak dialihkan dari kaca tv itu. Namun dalam dada ada rasa tidak puas hati sedang bermain-main.
Johan duduk di sisi wanita itu setelah meletakkan beg kerjanya di atas permaidani. “Ambikkan abang air, sayang..” pinta Johan lembut.
Tanpa sepatah kata Lyn bingkas bangun daripada duduknya untuk ke dapur. Segelas air masak dibawakan kepada Johan. Lelaki itu sedang tersandar keletihan di sofa itu. Johan segera menyambut gelas itu dari tangan Lyn. Air itu diteguk rakus sehingga tidak bersisa lagi.
“Dah makan ke?” Lyn bertanya setelah dia duduk semula di tempatnya tadi.
“Dah tadi. Kenyang lagi ni,” jawab lelaki itu dalam pada dia meletakkan gelas di atas meja kecil berdekatan. Kemudian wajah isterinya dicarinya.
“Balik pukul berapa tadi?” mesra nada yang dilontarkan Johan. Dia tahu wajah keruh isterinya itu apa puncanya.
“Pukul 7..” jawab Lyn hambar sahaja.
“Sorry.. abang banyak sangat kerja kat ofis tadi.” Johan berkata sambil meraih tangan Lyn.
“Dah tahu. Alasan biasa,” jawab Lyn terus tidak memandang lelaki di sisinya itu.
Johan menghela nafas perlahan. “Merajuk ke ni?” usik Johan lembut. Lengannya mula dialihkan ke atas bahu isterinya itu. Lantas tubuh itu ditarik rapat kepadanya.
Lyn membisu tanpa menjawab. Namun perbuatan Johan tidak ditolaknya.
“Sayang..” seru lelaki itu cuba menarik perhatian Lyn sekali lagi.
“Hari-hari macam ni, mana boleh tahan. Bila Lyn takde di rumah abang bising. Bila Lyn balik awal, abang pulak entah kat mana-mana,” luah Lyn akhirnya.
“Bukan abang sengaja. Kerja memang tengah banyak sangat sekarang ni.”
“Kerja takkan pernahnya surut, bang. Selagi kita terus tunduk pada kehendak dunia ni, selagi itulah kita takkan ada masa untuk apa pun! Dalam rumah ni bukan Lyn aja yang ada. Anak-anak abang tu ada ayah! Takkanlah selamanya nak macam ni?” jawab Lyn pantas.
“Hai.. kan selalu abang luangkan masa dengan anak-anak? Ni yang tak puas hati, anak-anak ke atau mummy?” ucap Johan lantas tergelak perlahan.
Lyn pantas menoleh. Geram dia melihat sengih di bibir Johan. “Orang bercakap dengan dia bukannya nak ambil serius pun! Sakit hati!” getus wanita itu lantas bangun meninggalkan sofa itu.
Johan sempat memandang sebelum menggeleng sendiri. Kemudian dia mula mencapai remote tv di atas meja untuk mematikan siaran tv itu. Langkah isterinya diturutinya.
Di dalam bilik Lyn sudah berada di bawah selimut. Riak wajahnya masih seperti tadi. Kelat memanjang biarpun Johan sudah berada di kamar itu. Bimbang marah isterinya semakin melarat Johan segera naik ke katil itu.
“Marah lagi ke?” pujuk Johan mesra.
“Marah pun tak guna. Bukannya ada orang faham pun,” jawab Lyn tanpa memandang suaminya itu.
“Tengok tu?” Johan tersenyum gelihati melihat gelagat Lyn. Perlahan dia berbaring di sisi Lyn. Wanita itu dipeluknya.
 “Pergilah mandi!” getus Lyn pantas menolak tangan Johan di pinggangnya.
“Alah.. abang tak mandi pun tetap wangi. Kalau tak percaya cuba cium abang,” jawab Johan selamba.
“Tak kuasa nak cium orang tak mandi sehari suntuk ni! Tidur lagi baik,” gumam Lyn lantas menarik selimut lebih tinggi lagi. Cepat-cepat dia memejamkan mata tanda malas mahu melayan suaminya itu lagi.
“Sayang, jangan tidur dulu..” bisik Johan di tepi isterinya itu.
“Nak apa lagi? Dah lewat ni. Esok nak kerja,” jawab Lyn lantas mencelikkan matanya kepada Johan.
“Tolonglah urut abang kejap. Belakang abang ni sakit dah beberapa hari. Abang pergi mandi dulu ya? Kejap aja..” pujuk Johan penuh lemah gemalai. Kemudian dia terus bangun dari situ dengan muka penuh ceria.
Permintaan itu membuatkan Lyn segera menarik nafas panjang. Nak urut pulak dah! Keluh hatinya semakin bengang. Namun kehendak suaminya itu membuatkan dia tidak mampu untuk memejamkan mata begitu sahaja tanpa menunaikannya.
Lima minit kemudian Johan sudah selesai membersihkan dirinya. Terang benderang wajahnya tatkala memandang Lyn sedang menunggu dia. Usai mengenakan seluar pijamanya dia terus melompat naik ke katil. Gelagat kebudak-budakkan lelaki itu membuatkan telapak tangan Lyn cepat sahaja hinggap di pahanya.
“Excited sangat pun, janganlah sampai patahkan katil ni,” gerutu Lyn geram.
Johan tergelak nakal. “Okay.. I’m ready.” Spontan dia terus meniarap di sebelah isterinya.
Antara ikhlas dengan tidak, Lyn akur dengan permintaan Johan. Di bahu lelaki itu dia memulakan urutannya. Namun dalam pada itu telinganya terus disajikan dengan arahan Johan. Sekejap dia disuruh urut di bahu. Kemudian di tengah belakang pula. Seterusnya pinggang. Kemudian di betis.
“Dahlah! Penatlah..” keluh Lyn semakin geram dengan lelaki seorang itu.
“Alah.. sikit lagi. Sayang ni malaslah!”
“Sedap aja cakap orang malaskan?” getus Lyn lantas menampar belakang betis suaminya itu. Tidak puas dengan tamparan itu, hujung kukunya memiat kulit betis Johan kuat. Terjerit lelaki itu dibuatnya. Spontan Johan bangun. Lengan Lyn dicapainya.
“Jari ni suka sangat cibut abangkan? Mari sini abang bagi pengajaran.” Geram punya pasal jari Lyn dijentik-jentik Johan sehingga wanita itu pula yang menjerit kesakitan. Bertungkus lumus dia menarik tangannya daripada Johan. Tetapi pegangan Johan terlalu kuat. Gagal menarik tangannya Lyn mencuba cara lain pula.
“Ambik ni!” spontan lengan Johan digigitnya.
“Tak rasa apa-apa pun..” ejek Johan sengaja mahu mencabar isterinya itu lagi.
“Jangan risau. Lyn selalu ada yang lagi sakit! Nak rasa sangat ke?” jawab Lyn pantas.
“Really? So scary, sayang..” Johan mencemik langsung tidak gentar. Kemudian dia tergelak sehingga terlentang di atas katil. Seronok menyakat isterinya itu.
Sakit hati tidak tertahan Lyn menerkam lelaki itu. Salah sebelah telinga itu disasarkannya. Spontan menjerit Johan. Lenyap tawanya.
“Sakit, sayang. Putus telinga abang nanti!” jerit Johan tidak tertahan dengan deraan isterinya itu. Kakinya menendang-nendang udara akibat kesakitan.
“Sakit ke?” ejek Lyn puas hati.
“Sakit..” keluh Johan sambil menggosok telinganya.
“Dah! Tidur sana. Jangan nak mintak yang bukan-bukan lagi. Tak kuasa nak layan,” ucap Lyn lantas kembali semula ke tempatnya. Puas sudah hatinya dapat membalas dendam kepada Johan.
Johan tersenyum memandang belakang Lyn. Otaknya terus ligat mencari idea untuk mengusik wanita itu. Namun seketika kemudian dia merapatkan tubuhnya kepada wanita itu.
“Esok abang janji balik awal ya? Kita dinner sama dengan anak-anak,” bisik Johan lembut.
“Jangan janji kalau abang tak bersungguh nak tunaikan,” jawab Lyn agak hambar.
“Kali ni serius. Pandanglah sini. Tak baik tidur membelakangkan abang ni.”
Lyn diam seketika. Namun kehendak lelaki itu dipatuhinya juga. Pertama yang dia lihat adalah renungan mesra Johan berserta dengan sedikit senyum. Perlahan sebuah kucupan di hadiahkan di dahi isterinya itu tanda kasihnya yang masih marak bernyala. Dan wanita itu terpujuk juga dengan mudah.
“Janji esok ya?” ucap Lyn lembut namun penuh harap.

“Janji..” jawab Johan bersungguh. Tubuh wanita itu terus dipeluknya erat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan