Khamis, 17 April 2014

3-4 BINI AKU CEO!

3
Kalau dah jodoh tak ke mana..
Empat hari kemudian setelah selesai waktu pejabat Syiha bersama yang lain bergerak meninggalkan pejabat. Namun hari itu dia singgah seketika di hadapan lobi bangunan itu apabila ternampak Hanim yang merupakan ketuanya di hadapan lobi itu. Teringin pula dia mahu beramah tamah dengan wanita akhir dua puluhan itu.
“Tunggu siapa, Hanim?”
Hanim menoleh mencari si penanya. Bibirnya terus tersenyum apabila ternampak Syiha berdiri dekat dengannya.
“Tunggu tunang saya. Dia janji nak datang ambil,” balas Hanim sambil tersenyum kepada kakitangan yang masih baru bertugas di jabatannya itu. Syiha mengangguk sahaja dengan jawapan itu.
“Syiha balik naik apa ni?” Hanim pula menyoal. Gadis berkulit sawo matang itu direnungnya dengan sedikit senyum. Gadis ini semenjak kali pertama dilihatnya kira-kira sebulan yang lalu memang suka bersolek tebal. Setiap hari gincunya berbeza warna. Begitu juga dengan perwarna matanya. Sesuailah dengan tugas sebagai pegawai pemasaran yang harus siap kelihatan menarik ketika berada di hadapan klien.
“Naik apa lagi? Naik LRTlah..” jawab Syiha sedikit meleret. Dia mana ada tunang yang datang menjemput. Inikan pula kereta. Jadi itu sahajalah pilihan yang dia ada.
“Oh! LRT kat depan tu ya? Nak balik ke mana?” soal Hanim. Baru kali ini dia berkesempatan bertanya banyak kepada Syiha.
“Bandar Tasik Selatan.”
Jawapan Syiha membuatkan Hanim terdiam seketika. Dia juga kerap menggunakan LRT sebelum memiliki kereta sendiri. Maklum benar dengan laluan transit aliran ringan itu. Setahunya LRT tidak sampai ke Bandar Tasik Selatan.
“Syiha naik LRT sampai mana?” tanya Hanim dengan kerutan di kening.
“KL Central. Lepas tu naik KTM pulak sampai Alam Perdana. Jauh jugak nak sampai rumah. Tapi nak buat macamana kan? Saya ni mana ada kereta,” jawab Syiha merujuk kepada keadaan dirinya yang baru habis belajar dan memulakan kerja sudah tentulah tidak berkemampuan memiliki kereta. Apatah lagi di KL ini serba-serbinya memerlukan belanja. Dengan gaji yang tidak sebesar mana dia hanya mampu memandang sahaja kereta idamannya di ruang pameran kereta.
Jawapan itu disambut dengan anggukan Hanim yang mula mengerti keadaan itu. “Baru habis belajar macam Syiha ni memanglah kena bersusah dulu. KL ni pulak kalau gaji tak besar dan tak pandai berjimat cermat mana nak mampu pakai kereta. Saya dulu pun begitu,” ujar Hanim lembut.
Syiha hanya mengangguk kepada kata-kata Hanim itu.
“Tapi ada baiknya juga naik kenderaan awam ni, Syiha. Naik KTM atau LRT ni tak perlulah nak beratur panjang dalam kesesakan. KL ni traffic jam sepanjang masa. Kadang-kadang bosan juga dengan keadaan tu. Saya pun kadang-kadang naik LRT jugak kalau nak cepat sampai. Naik kenderaan awam lebih jimat masa dan duit,” sambung Hanim.
“Tapi pagi-pagi jem jugak naik walaupun naik LRT. Ramai orang gunakan LRT sekarang. Kalau tak pandai menyempit alamat datang lambatlah saya hari-hari,” balas Syiha pula.
“Memang. Itu memang sejak dulu lagi dah biasa. Tapi berbanding naik kereta lagi baik naik LRT. Perjalanan LRT tetap ikut masa. Melainkan di dalamnya tu yang sendat macam tin sardin. Alah! Kita setakat nak menumpang pergi kerja. Nak buat apa selesa sangat macam dalam bas ekspres,” ulas Hanim sengaja berseloroh. Syiha tersenyum sahaja. 
Kehadiran sebuah kereta membuatkan perbualan mereka terputus. Spontan pandangan mata mereka berdua terhala ke satu arah serta merta. Kelihatan sebuah kereta jenis Nissan Fair Lady berwarna putih berhenti di tempat persinggahan kereta menurunkan penumpang di hadapan lobi itu. Walaupun kawasan itu adalah kawasan larangan memakir namun tuan punya kereta itu bagaikan tidak peduli dengan arahan itu.
“Hmm.. ingatkan tunang saya. Rupanya bukan,” ucap Hanim sambil tergelak kecil. Namun leluconnya itu tidak mendapat perhatian dari Syiha kerana matanya asyik memandang lelaki yang begitu tampan dengan kaca mata hitam baru sahaja keluar dari kereta itu. Dengan tergesa-gesa lelaki itu meninggalkan keretanya di situ dan masuk ke dalam bangunan tanpa memandang mereka berdua yang berdiri di situ. Mata Syiha terus memandang sehingga bayang sang lelaki menghilang.
“Hensem gila mamat tu,” ucap Syiha tanpa sengaja.
Kata-kata itu sempat juga didengari oleh Hanim. Tanpa perlu melihat siapa yang dipandang Syiha, dia sudah tahu siapa yang diperkatakan Syiha. Dia cukup kenal dengan tuan punya kereta itu yang sememangnya diakui memang kacak.
“Hensem memang hensem tapi laki orang tu, dik oi. Jangan pandang lebih-lebih sangat. Nanti tergoda susah pulak,” balas Hanim mengingatkan dalam seloroh.
“Kenal ke dia tu?” soal Syiha kepada Hanim. Terlupa pula dia yang mahu ke stesen LRT tadi apabila wajah lelaki yang dipujanya dalam diam berada di hadapan mata.
“Apa pulak tak kenalnya. Itu Encik Rafael Johan. Dia anak Tan Sri Muzhaffar, abang kepada bos kita Cik Ariana. Senior arkitek kat sini. Dia kerja sama floor dengan kita,” jelas Hanim serba ringkas.
Dada Syiha berdetak tiba-tiba. Anak Tan Sri? soal hatinya semakin teruja. Pakej yang lengkap! Tampan dan kaya!
“Dia dah kahwin?” soal Syiha semakin tidak keruan untuk mendengar tentang lelaki itu lagi.
“Dah lama pun. Dulu isteri dia kerja di sini. HR Manager. Tapi sekarang dengarnya isteri dia kerja dengan airlines antarabangsa. Tapi walaupun dah tak kerja di sini dia kadang-kadang datang meeting di sini. Kalau tak silap isteri dia sekarang tengah mengandung anak ketiga sekarang,” cerita Hanim. Teringat dia memang pernah bertugas di bawah arahan wanita bernama Nur Azyn itu lama dulu.
“Kenal ke dengan isteri dia tu?” soal Syiha lagi. Berubah sedikit rentak keterujaannya tatkala bertukar topik cerita.
“Saya pernah berkerja di bawah arahan Cik Puan Azlyn dulu. Tapi tak sampai setahun dia kerja di sini, dia berhenti sebab dapat tawaran kerja dengan airlines. Dia orang tu dah lama kahwin. Anak kembar dia orang pun comel gila.” Hanim terus tersenyum bercerita tentang pasangan itu.
Senyum Syiha kelat sahaja. Entah kenapa perasaannya merasa lain macam. Pedih dan ngilu bermain-main ditangkai hatinya. Mendengar kisah mengenai keluarga lelaki itu dia mula dipagut rasa cemburu entah kenapa. Mengapa harus lelaki itu sudah beristeri? Mengapa tidak bujang sahaja supaya boleh dia memikatnya?

“Sayang dah pergi check-up ke?” soal Johan kepada isterinya melalui corong talian itu. Terasa bersalah pula kerana melupakan janjinya dengan Lyn untuk menemankan isterinya itu untuk memeriksa kesihatan bayi yang sedang dikandungkan isterinya itu.
“Dah.. penat Lyn tunggu abang tapi abang tak datang pun,” balas perempuan itu dalam nada sedikit rendah. Kecil hati dengan si suami.
“Abang lupalah, yang. Tadi abang busy sangat sampai lupa terus pasal appoinment Lyn dengan doktor. Sorry ya? Next appoinment abang temankan.” Akui Johan jujur.
“Abang tu cakap aja. Bulan lepas pun janji yang sama tapi lupa lagi. Jangan nanti waktu Lyn nak bersalin nanti abang lupa nak datang sudahlah.” Lyn mendesis geram. Kata-kata Johan langsung tidak mampu untuk digenggamnya. Bukan sekali ini Johan menggunakan alasan lupa dan sibuk. Dia sudah jelak.
Spontan Johan tergelak. “Yang.. takkanlah abang nak buat macam tu. Sayang ingat abang ni kejam sangat ke? Abang bukannya sengaja nak mungkir janji. Tadi abang betul-betul busy, yang. Sorry ya?” Johan membalas dengan suara yang dilembutkan sehabis mungkin.
Lyn menghela nafas perlahan. Semenjak awal kehamilan Johan sekalipun tidak pernah menemankan dia menemui doktor setiap kali temujanji. Dia hanya sendirian. Selebihnya Johan hanya mendapat hasil pemeriksaan di rumah sahaja.
“Yalah.. ni pukul berapa nak balik ni? Jangan cakap abang balik tengah malam lagi sudahlah.” Rendah lagi nada wanita itu. Ternyata rasa kecil hatinya masih bersisa. Lyn akui suaminya itu memang benar-benar sibuk dengan segala macam beban kerja. Namun kadang-kala dia merasakan tolenrasi yang diberikan sedang dipergunakan seenaknya. Johan suka mendahulukan kerjanya berbanding dirinya. Hanya dia sahaja yang beriya-iya mahu menyambut kelahiran anak ini. Sedangkan Johan tidak begitu peduli kepadanya. Dahulu Johan sering mengomplen yang dia tidak memberikan perhatian kepada suami. Tetapi sebaliknya dia merasakan Johan sepuluh kali lebih teruk mengabaikan dirinya. Selama ini Johan juga yang meyebut-nyebut mahukan anak lagi. Sekarang dia buat tidak tahu sahaja.
“Emm.. hari ni abang balik awal sikit dari semalam. Tapi sekarang abang masih ada kat office lagi ni. Ada kerja sikit nak buat. Siap aja kerja ni, abang balik ya?” balas Johan cukup lembut.
“Okaylah. Lyn tunggu.”
Mendengar kelembutan suara sang isteri serta merta hati Johan diterpa rasa rindu yang tidak bertepi. Dia seperti sedang terlihat wanita yang sedang hamil empat bulan itu di hadapan matanya. “Hmm.. tadi sayang pergi jumpa doktor pakai baju apa?” Johan mula mengubah nada ala-ala miang-miang keladi.
“Pakai baju apa? Kenapa tiba-tiba tanya pasal tu pulak?” nada Lyn ikut berubah hairan dengan pertanyaan persis itu. Sebahagian hatinya mulai gelihati dengan gelagat Johan. Tiba-tiba Johan sibuk mahu tahu dia pakai baju apa tadi.
“Saja nak tahu. Tadi doktornya lelaki ke perempuan?” tanya Johan dalam pada dia menahan senyum.
“Abang ni.. dah nama pun temujanji dengan doktor Anisah, dah tentulah jumpa dia. Mana ada doktor lelaki kat klinik tu. Abang ni dah buang tebiat ke apa tanya benda yang bukan-bukan macam ni?” getus Lyn sambil ketawa perlahan.
“Hish! Sayang ni tak baik cakap abang macam tu. Pendek nyawa abang nanti, menjanda awal sayang nanti!” getus Johan pantas.
“Habis tu yang abang bercakap merepek-repek ni kenapa? Dulu waktu Lyn mengandungkan anak pertama kita pun Lyn pergi klinik itu. Ada ke pernah abang jumpa doktor lelaki kat situ?” tekan Lyn kegeraman dengan olah Johan.
“Manalah tahu dah ada doktor lelaki. Abang tak mahu nanti doktor tu raba-raba perut bini abang. Lepas tu diselaknya baju sayang sampai atas. Hish! Tak boleh dibiarkan tu, yang. Abang sorang aja yang boleh tengok sayang macam tu. Siapa berani buat macam tu kat bini abang, abang cincang-cincang jari dia nanti,” balas Johan macam bersungguh saja.
Meledak tawa Lyn melalui corong itu. Gelihati benar benar dengan jenaka kosong Johan. Terbuai seketika perasaan Johan oleh tawa riang seperti itu.
“Dahlah! Malas nak layan orang yang otak senget ni. Lama-lama nanti baby ni pun boleh terkenan ikut jadi senget macam bapak dia.”
 “I love you..” ucap Johan tiba-tiba.
“Eh! Ingat lagi abang pada ayat tu ya? Ingatkan dah beku dalam otak abang tu. Dah lama tak dengar abang cakap macam tu pada Lyn. Hmm.. dulu waktu baru kahwin mulut tu tak jemu-jemu cakap I love you. Sekarang ni makna I love you pun dah tak berapa nak tahu. Yalah anak dah ramaikan? Nak buat apa romantik-romantik lagi. Dah basi..” perli sang isteri sedikit pelik dengan kelakuan suaminya itu.
“Mana ada macam tu, yang. Kalau abang tak cakap macam tu sekalipun itu tak bermakna abang tak sayang Lyn,” pujuk Johan mesra.
“Yalah.. Lyn tahu abang sayang Lyn. Siapa lagi abang nak sayang kalau bukan Lyn, betulkan?” balas Lyn biasa. 
Johan tersenyum kelat sendirian. Sedikit sebanyak dia merasa tersindir dengan kata-kata isterinya itu. Namun dia sedar dalam kebanyakan hal dia sememangnya sering kali mengabaikan isterinya itu. Kadang-kala apabila masing-masing dihambat kesibukan hubungan ini menjadi hambar seketika. Tetapi itu tidaklah bermakna perasaan itu sudah tiada. Cuma semenjak kebelakangan ini banyak benda yang perlu difikirkan. Dia keletihan dan Lyn juga banyak urusan sendiri. Mungkin kerana itulah mulutnya ini sudah tidak terbiasa lagi mengucapkan ayat keramat itu kepada Lyn. Tetapi biar apa pun keadaannya Johan tahu dia sayang kepada isterinya. Teramat-amat sayang!


















4
Selesai mengisi perut di kafe tengahari itu Johan segera beransur pergi memandangkan banyak kerja yang menanti di pejabatnya. Namun sebelum naik ke tingkat 18 dia singgah seketika di tandas. Selesai menunaikan hajat, Johan bergesa keluar dari tandas itu. Namun ketika dia terburu-buru keluar dari tandas itu dia terlanggar seseorang di hadapan pintu tandas wanita. Hampir terjelepuk wanita itu dirempuhnya. Spontan Johan mencapai pergelangan tangan wanita itu sebelum wanita terjatuh ke lantai. Berderau darah Syiha akibat insiden yang tidak dijangka itu.
Sorry.. sorry.. I tak nampak you tadi. You taka apa-apa?” ucap Johan dalam kekalutannya. Terasa bersalah kerana tidak berhati-hati.
Syiha memandang lelaki yang berdiri dekat dengannya itu. Dadanya seperti runtuh tatkala memandang lelaki itu dari dekat. Akibatnya dia terpana begitu sahaja tanpa mampu menjawab kata-kata Johan. Dia kelu.
“I minta maaf. I tak sengaja. You okay ke? Ada sakit kat mana-mana?” ucap Johan sekali lagi.
“Takpe. Tak jatuh pun..” gadis genit itu menjawab lembut. Bibirnya mula tersenyum mekar kepada lelaki itu. Betapa dia amat menyenangi insiden ini walaupun tubuhnya agak kesakitan dirempuh lelaki itu. Ini lebih daripada kebetulan yang diharapkannya semenjak tadi.
“You yang duduk depan I waktu dalam kafe tadikan? What is your name?” entah kenapa tiba-tiba terdetik di hati Johan untuk mengenali gadis ini.
“Nur Syiha. Panggil Syiha aja. Abang ni senior arkitek kat sini kan?” tanya Syiha dengan nada yang cukup lembut.
Berdetak jantung Johan tiba-tiba. Abang? bisik hatinya. Di pejabat selain Ariana, tiada sesiapa yang berani memanggilnya dengan gelaran itu kerana mereka sentiasa mengamalkan formaliti dalam segala urusan kerja.
“Er.. ya. I kerja di jabatan pembinaan. You ni department mana?” soal Johan sedikit gugup. Manja benar nada suara gadis ini. Boleh tergugat imannya jika dia berlama-lama dengan gadis ini. Bahaya!
“Sales Department.” Syiha menjawab selembut yang boleh dan berserta senyuman yang semanis mungkin.
Johan mengangguk perlahan. Tidak tahu mahu berkata apa lagi kepada gadis itu namun matanya terus memandang sang gadis yang tersenyum manis itu.
“Syiha selalu nampak abang sebelum ni tapi takut nak tegur abang. Yalah.. abangkan orang atasan. Segan Syiha nak tegur,” kata Syiha mesra. Banyak idea mula menerpa ke benaknya untuk memikat.
Kening Johan berkerut sedikit. “Kenapa pulak nak segan? I bukannya suka maki orang..” balas Johan sambil ketawa kecil. Dia tidak tahu pula yang mereka selalu bertemu sebelum ini. Kalau ada pun mungkin dia tidak perasan kerana bukan semua kakitangan NH dia mampu ingat.
“Takdelah.. ingat tak dulu kita pernah tunggu lif sama-sama lepas lunch. Mula-mula kita jumpa depan lif dulu abang macam sombong. Sebab tu Syiha segan nak tegur,” ucap Syiha semakin seronok melempar kail. Johan mahu melayan dia.
Johan diam sekejap. Peristiwa yang disebutkan Syiha itu membuatkan dia teringat. Ya! Mereka ada menaiki lif yang sama tidak lama dahulu. Tajam pula ingatan Syiha tentang peristiwa tida penting itu.
“I bukannya sombong. Tapi kalau I tegur nanti takut you kata I ni lelaki miang pulak. Sebab tu I buat tak tahu aja. Lagipun waktu tu I kejar masa. Tak sempat nak pandang keliling. I tak pernah terfikir nak menyombong dengan sesiapa pun,” ucap Johan lembut.
Bersorak riang hati Syiha mendengar kata-kata Johan itu. Sebuah renungan menggoda dihadiahkan kepada sang lelaki berserta dengan senyuman yang paling manis yang pernah dimilikinya.
Meremang seketika bulu roma Johan melihat Syiha merenungnya seperti itu. Namun entah kenapa saat ini dia tidak ingin mengelak dari wanita ini. Walaupun dia sedar cara Syiha seperti mahu memikatnya namun dia tidak mahu menolak. Entah kenapa ada sedikit kenakalan di dalam dirinya yang mengajak dia berjalan ke arah yang tidak pernah dilaluinya. Teringin juga mahu menguji sejauh mana kehebatannya sebagai lelaki dalam menarik minat wanita kepadanya. Mungkin juga dia sudah muak dengan watak sebagai suami yang setia.
Ah! Semua lelaki pun macam ni. Ada bini kat rumah tapi kat pejabat mengayat yang lain. Setakat main-main apa salahnya? Bukannya kau nak kahwin dengan dia pun, Johan. Layan sebagai kawan apa salahnya. Ada suara bertiup nakal di telinga Johan.
“Abang dah kahwin?” tanya Syiha masih mahu beramah tamah dengan Johan. Tanpa sedar dia sebenarnya sedang membuang masa di hadapan tandas itu bersama Johan padahal teman-temannya yang lain sudah lama naik ke pejabat.
“Dah. Anak dah dua, nak masuk tiga. Insya-Allah..” jawab Johan jujur dengan senyum ramah kepada Syiha. Tentang itu dia sememangnya tidak ingin berselindung. Ah! Percuma sahaja jika dia menipu kerana ramai orang lain di dalam pejabat yang sudi untuk membocorkan rahsianya nanti.
“Oh! Anak abang berapa orang perempuan, berapa orang lelaki?” tanya Syiha lagi walaupun dia sudah tahu yang Johan hanya ada dua anak perempuan. Sengaja buat-buat tidak tahu supaya ada topik yang mahu dibualkan dengan Johan.
Semakin lebar senyuman Johan apabila anak-anaknya ditanyakan orang lain. “Buat masa ni dua-dua perempuan. Harap-harap next baby lelaki pulak.”
“Mesti comel anak-anak abangkan? Yalah.. ayahnya pun hensem mestilah anak-anaknya macam tu,” komen Syiha sengaja mahu memuji. Kerlingannya bagaikan mahu memberi sedikit bayangan kepada Johan mengenai hatinya yang sudah dilanda rasa suka itu.
Johan tersenyum kosong mendengar pujian itu. “Syiha tak naik atas? Dah pukul dua lebih ni,” ucap Johan sambil menilik jam di tangannya itu. Dia juga sebenarnya mahu naik ke pejabat segera.
“Eh! Asyik sangat berborak dengan abang terus terlupa pula nak masuk kerja..” di akhir kata Syiha ketawa gedik.
“I naik dulu. See you..” kata Johan meminta diri.
“Okay..” sambut Syiha gembira.
Semenjak perbualan itu senyuman Syiha kian mekar. Sehingga dia tiba di mejanya senyuman itu masih memekar sehingga Syafikah teman yang duduk paling dekat dengannya menjadi pelik dengan kelakuannya.
“Apa hal kau asyik tersengih ni, Syiha?” soalnya pelik.
Syiha terus memandang Syafikah. Rasanya dia tidak mampu menyembunyikan sesuatu yang amat menggembirakan dirinya seperti ini. Dia mahu berkongsi dengan satu dunia, kalau boleh. Betapa saat ini perbualan singkatnya dengan Johan membuatkan dia merasa dialah manusia yang paling bahagia di atas dunia ini.
“Kau tahu tak tadi aku borak dengan siapa, Ika?” ucap Syiha dengan sengihan lebar.
Syafikah sekadar memandang pelik. Kemudian dia menggeleng. Manalah dia tahu. Bukannya dia ada sekali waktu itu.
“Aku terserempak dengan Encik Rafael Johan tadi. Dia langgar aku waktu aku lalu kat depan toilet ground floor dan kami berkenalan. Bestnya, Ika. Tak sangka dia tu gentleman. Cara dia minta maaf kat aku tu nampak macam dia tu romantik gila.” Syiha berkata teruja.
Syafikah terlopong seketika. Merudum jatuh semangatnya. Encik Rafael Johan tu ke? Ingatkan artis manalah yang mahu diceritakan Syiha hingga membuatkan temannya itu jadi begitu.
“Kau ni buat suprise aku ajalah. Kau maksudkan anak Tan Sri Muzhaffar tu ke? Apa yang best sangat borak dengan dia tu? Aku pun selalu bercakap dengan dia. Takde apa yang best sangat pun,” balas Syafikah sekadar acuh tidak acuh.
“Eeii.. hensem gila dia tu bila aku pandang dari dekat. Aku dah lama usha dia tu, kau tahu. Baru hari ni aku dapat berbual dengan dia. Hensemlah dia tu,” ucap Syiha seronok yang teramat sangat. Senyuman tidak mampu menguncup mengenangkan lelaki seorang itu.
Syafikah memandang Syiha dengan gelengan. Dia dah buat dah.. keluh hati Syafikah sendiri. “Kau ni yang seronok sangat ni, kau jangan lupa dia tu dah berbini. Memang dia hensem tapi dia dah ada yang punya, dah ada anak.” Syafikah berkata perlahan sahaja. Kurang senang dengan tabiat Syiha yang terujakan suami orang.
“Aku tahu. Tapi salah ke kalau aku suka kat dia? Semenjak dari first day aku ternampak dua minggu lepas aku dah jatuh hati kat dia. Bukannya aku yang minta macam ni tapi dah hati aku dah suka nak buat macamana?” sambut Syiha selamba.
Syafikah mula mengeluh melihat teman yang dikenalinya semenjak dari universiti itu. Syiha yang sebaya dengannya pernah digantung pengajian selama satu semesta sebagai balasan kelakuannya yang melanggar peraturan universiti iaitu cuba menjalinkan hubungan dengan pensyarah sendiri. Mujur sahaja pensyarah itu sememangnya bukan jenis yang suka mengambil kesempatan ke atas pelajar. Namun akibatnya.. ketika rakan-rakan lain berjaya mendapat segulung diploma, Syiha masih lagi harus mendaki tangga perpustakaan untuk mengulang kaji. Mujur sahaja Syiha berjaya menamatkan pengajian tidak lama kemudian. Dia yang bersusah payah merekomenkan Syiha agar memohon kerja di Neraca Holding ketika Syiha masih terhegeh-hegeh mencari pekerjaan beberapa bulan yang dulu. Perangai Syiha semenjak dahulu yang memang selalu berkenankan yang kacak dan berduit itu memang sudah dikenalinya. Tidak kisahlah lelaki itu sudah berusia dan sudah beristeri.
“Fikir baik-baik apa yang kau buat ni, Syiha.” Syafikah melontarkan peringatan itu perlahan sahaja. Hanya untuk pendengaran Syiha.
“Aku memang betul-betul suka kat dia tu, Ika. Salah ke?”
“Salah, Syiha! Dia suami orang. Kau tak patut ulang semula sejarah lama kau dengan Encik Azman. Banyak lagi lelaki lain kat luar sana yang bujang. Kenapa mesti ganggu rumahtangga orang? Kau tak kasihankan bini dia? Kalau kau yang diperlakukan macam tu suatu hari nanti apa kau akan rasa?” ujar Syafikah pantas dan sedikit meninggi.
“Tapi bukannya aku saja-saja nak suka kat dia. Aku tak sengaja terjatuh hati pada dia. Aku tahu perbuatan aku ni akan membuatkan ada orang lain sakit hati tapi aku dah tak boleh halang perasaan aku ni lagi, Ika. Susah aku nak mengelak,” ujar Syiha bersungguh.
“Kau sepatutnya jauhkan diri kau dari dia. Bukannya memasang angan-angan untuk dekat dengan dia lagi lepas ni. Kalau kau sengaja goda dia macam yang kau buat pada Encik Azman dulu, tak mustahil dia akan tergoda. Kasihan isteri dia, Syiha. Kita sama-sama perempuan. Seharusnya kita bela kaum kita sendiri bukannya kita yang memusnahkan kaum sendiri. Lagipun Encik Johan tu anak tuan punya syarikat ni. Kalau perbuatan kau ni diketahui dek bapak dia, tak ke susah kita nanti?” tekan Syafikah bersungguh mahu Syiha memikirkan akibatnya kemudian hari.
“Alah! Kalau dia kuat iman takdenya dia tergoda kat aku. Tapi Ika.. kau percaya dengan jodohkan? Kalau dah tersurat aku dengan dia ada jodoh apa boleh buat. Ini semua kehendak Tuhan. Lagipun salah ke kalau aku sekadar nak mencari pasangan yang boleh menjamin masa depan aku? Aku tak mahu lelaki bujang sebab lelaki bawah tiga puluhan ni tak matang dan tak berduit. Aku tak mahu jadi macam kebanyakan perempuan-perempuan kat luar sana. Lepas berkahwin masih juga kena keluar berkerja bantu suami untuk besarkan anak-anak.” Masih dengan nada selamba Syiha menjawab.
Syafikah menggeleng dengan senyuman sinis. Muak dia dengan alasan seperti itu. Malas mahu melayan Syiha, serta merta dia mengemas mejanya kerana dia perlu keluar untuk bertemu klien sedikit masa lagi. Sambil mengemas mejanya itu dia berkata lagi kepada Syiha. “Terpulang pada kaulah, Syiha. Jangan nanti kerana tindakan kau hari ni, sengsara menunggu sepanjang hayat kau. Aku ingatkan aja. Allah Maha Melihat segala isi hati kita. Allah tahu niat di hati kita macamana. Allah pun tak suka kita aniaya orang lain apatah lagi orang yang kita tak kenal. Duit ni bukan tiket untuk mendapat kebahagiaan. Kalau dapat suami yang banyak duit sekalipun tapi suami pulak jenis yang tak setia.. itu belum lagi dinamakan bahagia. Tapi ikut suka hati kaulah. Kalau kau rasa tindakan kau ni bagus untuk kau, teruskanlah. Aku tak nak masuk campur. Tapi kalau apa-apa terjadi pada kau, kau jangan merayu pada aku minta tolong carikan kau kerja lagi. Kau tahu-tahulah, Encik Johan tu anak Tan Sri Muzhaffar. Kau belum kenal lagi Cik Puan Nur Azlyn tu macamana. Jangan nanti apa yang kau kejar tak dapat tapi apa yang kau ada terlepas macam tu aja.” Panjang pesanan yang dihulurkan Syafikah. Mungkin ini kali terahkhir dia mahu bercakap tentang ini.
Syiha mencebik mendengar bicara temannya itu. Ah! Zaman pengajian tidak sama dengan dunia pekerjaan. Dunia pekerjaan dia rasa lebih bebas berbanding ketika masih bergelar pelajar. Tiada peraturan sebagai pelaljar di sini. Jadi kalau dia mahu menggoda bos di pejabat sekalipun itu tidak menjadi kesalahan dan dia tidak akan digantung kerja. Apa yang dia tahu dia akan terus mendekati lelaki itu walaupun ada yang bakal menangis kerana perbuatannya itu. Peduli apa dia!

Langkah Ariana terhenti tatkala terdengar tawa manusia dari dalam pantry pejabat itu. Macam kenal aja suara itu. Macam suara abangnya. Perlahan dia menolak pintu pantry yang separuh tertutup itu. Batang tubuh Johan dan salah seorang pekerjanya terhiasa di ruang matanya. Lama Ariana terpaku, sekadar memandang gelagat dua manusia itu berbual dan ketawa-ketawa. Kedua-duanya masih tidak perasan dia sedang memerhati dari arah pintu itu.
Abang? Hati Ariana terdetik satu rasa yang tidak enak tatkala terdengar panggilan yang disebut oleh Syiha kepada abangnya. Mesranya kedengaran lain macam. Abangnya juga nampak cukup senang melayan gadis itu. Membuatkan perasaannya semakin tidak enak.
“Ehheemm..” Ariana berdehem agak kuat untuk menyedarkan dua manusia itu.
Spontan Syiha dan Johan menoleh. Wajah Johan terlebih dahulu berubah riak tatkala ternampak adiknya memandang dia dan Syiha di situ.
“You buat apa kat sini? Takde kerja nak buat dah?” tanya Ariana dalam nada serius.
Syiha memandang Johan sekilas. “Saya masuk sini sebab nak minum air tadi. Tiba-tiba Encik Johan minta saya buatkan dia air. Kami berbual sekejap, Cik Ariana.” Syiha menjawab rendah. Tidak berani dia mahu memandang wajah serius Ariana itu lama-lama.
Ariana memandang abangnya seketika. Namun kemudian dia memandang Syiha semula. “Balik tempat you sekarang. Dah buat airkan?” ucap Ariana tajam.
Syiha mengangguk sahaja. Dia tunduk sahaja tatkala melintasi bosnya itu. Ariana menjeling tidak senang. Gedik semacam saja Syiha dengan abangnya. Serius, dia memang tidak suka!
“Kenapa serius sangat ni?” tanya Johan biasa.
“Jangan kacau staff Ary buat kerja. Setakat buat air aja pun nak suruh orang ke? Tak payah nak berlama-lama sangat kat dalam ni. Siap bergelak ketawa bagai. Masa berjalan!” ujar Ariana mula memasuki ruang itu.
“Alahai, Ary ni.. abang cuma borak aja dengan dia sekejap. Takkanlah itu pun nak berkira? Kerja sepanjang masa pun bosan juga,” ucap Johan masih tidak serius biarpun dia lihat wajah Ariana agak kelat saat itu.
Ariana tergelak sinis mendengar itu. “Maybe you should remind yourself about that. Kerja sepanjang masa pun bosan jugakan? Bukan setakat bosan tapi meletihkan! Nak-nak lagi Kak Lyn tu. Hari-hari komplen abang macam dah tak ingat nak balik awal lagi dah sekarang ni.”
“Bohonglah kalau dia cakap hari-hari abang balik lambat. Ary jangan nak kelentonglah.”
“Memanglah tak hari-hari balik pukul 12 malam. Tapi tak pernahnya ada kat rumah waktu maghrib. Hari-hari macam tu, betul tak? Dengan orang lain boleh pulak ada masa relax sambil tergelak-gelak. Tapi dengan family sendiri kedekut masa,” sambut Ariana agak tajam.
 Senyum Johan memudar serta merta mendengar itu. “Dia mengadu dengan Ary ke?” nada Johan ikut berubah tajam.
“Kalau takde hal, tak perlu nak mengadukan? Kita tak boleh rasa kita ni okay aja sepanjang masa. Dan kita tak bolehlah expect orang akan sabar aja dengan semua perangai kita yang sambil lewa tu,” perli Ariana tanpa memandang.
“So sekarang Ary nak jadi kaunselor perkahwinan abang dengan Kak Lyn lah ni?” ucap Johan separuh mengejek.
“Tak! Just to remind you if you don’t remember anymore. Don’t be typical husband yang membosankan, Abang Johan. Kak Lyn tu manusia. Bukannya patung! Borak dengan staff perempuan boleh aja adakan masa. Tapi dengan isteri sendiri asyik bagi alasan,” jawab Ariana selamba.
“Abang memang ada banyak kerja sekarang. Banyak projek yang abang kena handle. Takkanlah itu pun tak boleh nak faham?” tekan Johan mula panas hati.
“Ada beza antara banyak kerja dengan bersikap lepas tangan! Sangat besar perbezaannya. Jangan nak gunakan alasan tu. We are not stupid! Mungkin Kak Lyn tu jadi bodoh sebab dia terlalu sayangkan abang. Tapi untuk Ary, Ary memang pantang lelaki macam tu. Daripada begitu lebih baik tak payah kahwin.”
Johan mendegus keras. Sakit hatinya mendengar ujaran adiknya itu. Malas mahu menjawab dia meletakkan mug di tangannya itu di sinki dan terus keluar tanpa memandang adiknya itu lagi.

Ariana sekadar memandang Johan dengan pandangan biasa. “Cakap kat orang lain pandai. Diri sendiri tak sedar,” cemuhnya setelah Johan menghilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan