Isnin, 4 Januari 2016

BAB 10-12 DIA, LELAKI BERHANTU? (DDDH)

Bab 10
AKU terjaga semula ketika jam menunjukkan ke angka 4 pagi. Masih awal. Namun saat aku memandang ke sebelah, rupanya lelaki seorang itu sedang terkebil-kebil memandang ke atas.
“Abang,” sapaku lantas mengangkat kepala.
Zackery mula menoleh kepadaku.
“Tak tidur lagi?” tanyaku lantas mendekatkan diri kepadanya.
“Tak boleh tidur,” jawab Zackery perlahan.
“Nak minum tak?”
Zackery mengangguk pula. “Boleh tolong abang? Abang nak mandi,” ucap Zackery sebelum aku bangun. Spontan aku memandang suamiku itu semula.
“Mana boleh mandi waktu ni. Sejuklah,” balasku dengan keruntan di kening. Hairan dengan permintaannya.
“Abang rasa panas. Tak selesa,” ujar Zackery rendah.
Aku terus bangun dari situ. Peralatan yang selalu aku gunakan untuk membersihkan Zackery, aku ambil. Lampin pakai buangnya aku gantikan yang baru dan tubuhnya aku lap dengan air sejuk.
“Dah okay?” tanyaku lembut.
“Tak payah pakai bajulah. Abang tak selesa,” pinta Zackery.
Sudahnya aku turuti juga kehendaknya. Segelas air masak aku bawa kepadanya. “Kena banyak minum air masak,” ucapku lantas duduk di sebelahnya. Segelas air itu diteguk habis oleh Zackery.
“Nak lagi?” aku sempat tersenyum melihat gelagatnya. Zackery terus mengangguk.
Usai memberi dia minum, aku pula menyegarkan wajah di dalam kamar mandi. Pintu kamar mandi aku biarkan terbuka. Dan aku dengar suara Zackery sedang bercakap. Pantas aku menjengah ke luar. Terkedu aku melihat Zackery sedang bercakap seorang.
“Abang..” sapaku pantas.
Zackery menoleh. “Hana dah bangun? Abang nak air. Haus,” ucapnya membuatkan aku bertambah terkejut besar. Tak sampai lima minit tadi dia minum dua gelas air. Sekarang dia kata haus.
Aku segera mendekati suamiku itu. Dahinya aku sentuh. Basah! Dia berpeluh teruk.
“Abang rasa panaslah. Nak mandi,” ujar Zackery.
Aku terkaku melihat Zackery. Dia mengulangi dialog yang sama seperti tadi. Aku terus bangun mendapatkan segelas air lagi. Lalu aku berikan kepadanya. Wajahnya aku tatap dalam-dalam. Mencari apa yang tidak kena. Namun Zackery nampak biasa aja.
“Nak lagi?”
Zackery sekadar menggeleng. Aku kembalikan gelas itu ke dulang. Zackery terus memandang aku sehingga aku kembali semula kepadanya.
“Hana urut belakang abang ya?” ucapku sambil duduk di sisinya. Zackery terus mengangguk.
“Abang buat apa tak tidur semalaman?” tanyaku sambil menyapu minyak ke belakang Zackery.
“Abang baca zikir yang Abang Syukri ajarkan sebelum ni.” Perlahan sahaja suara lelaki itu kendengaran. Aku segera tersenyum. Ada perubahan nampaknya. Senang hatiku mendengar itu.
“Tadi abang bercakap dengan siapa?”
“Bila?”
“Waktu Hana dalam kamar mandi. Abang bercakap dengan siapa kat luar ni?”
Zackery diam pula. Memikir sendiri. “Tak tahu. Abang tak ingat,” jawab Zackery rendah.
Dahku agak. Selalu tidak ingat, itu memang dah menjadi kebiasaan Zackery. Kadang-kadang dia macam mamai. Aku sendiri tidak pasti jika itu kesan ubat yang sebelum ini sudah ditukar oleh doktor. Apa yang pernah diberitahu kepadaku, ubat itu tidak memberi kesan mengantuk. Usai mengurut belakangnya, tubuhnya aku balikkan semula sehingga terlentang. Otot-otot lengannya aku urut berkali-kali. Sekali sekala aku mengerling lelaki itu. Sekadar mahu melihat jika urutanku menyebabkan dia kesakitan. Namun dia asyik memandang wajahku.
“Kenapa abang pandang Hana macam tu?” tanyaku lantas ketawa kecil melihat gelagatnya.
“Abang suka tengok bila Hana tak ikat rambut macam ni,” ujar Zackery lembut.
Berkerut keningku mendengar kata-katanya. Namun bicara Zackery tidak kubalas. Jemarinya terus aku picit berkali-kali. Usai itu aku membantu dia duduk bersandar.
“Ada sakit belakang lagi?” tanyaku. Sekadar dari tempat duduk, botol minyak itu cuba aku letakkan di atas meja. Namun botol itu terjatuh ke bawah. Sudahnya aku mengalihkan sedikit kedudukan untuk mengambil semula botol itu.
“Mana ada sakit belakang dah. Abang dah sihat.”
Dan saat aku sedang tunduk mencapai botol itu, aku terkaku. Ada tangan sedang merayap di pinggangku. Pantas aku memandang ke belakang. Zackery sedang merenung belakang tubuhku.
Apa yang sihat? Anu dia tu ke? Bisik hatiku sendiri. Terkejut melihat gelagat Zackery lain macam.
“Abang suka tengok ni,” ucap Zackery seolah bercakap seorang diri. Tangannya terus meliar di pinggulku.
Dah merenyam ke apa dia ni? getus hatiku benar-benar tidak faham dengan apa yang berlaku kepada suamiku ini. Sesudah meletakkan semula botol minyak itu ditempatnya, aku kembali memandang Zackery. Dia nampak ceria pula. Jemariku diambil lalu dielus-elusnya penuh mesra.
Namun entah kenapa, hatiku ini tidak gembira. Aku asyik teringat apa yang berlaku tadi. Dia bercakap seorang diri. Itu sesuatu yang tak pernah aku lihat dilakukan Zackery sebelum ini.

PAGI itu, usai menelan ubat, aku lihat keadaan Zackery berubah lain macam. Berkali-kali aku lihat dia mengurut dadanya. Nafasnya berat.
“Hana..” panggil Zackery tiba-tiba. Wajahnya mula berubah pucat.
“Abang, kenapa ni?” aku terus menerpa ke arahnya semula.
“Tak tahu. Dada ni rasa sempit sangat.” Zackery menjawab payah dalam pada dia cuba menarik nafas.
“Kita pergi hospital ya?” ucapku pantas.
Zackery tidak menjawab. Dia terus tersandar dalam keadaan tercungap-cungap di kepala katil sambil memegang dadanya. Kepalanya terdongak sedikit dalam keadaan mulutnya terbuka.
“Abang!!” Aku cuba memanggil Zackery. Namun lelaki itu sudah tidak menjawab. Tangannya terkulai serta merta. Aku terus berlari ke arah pintu. Dari pintu itu aku menjerit.
“Mama!!!” kemudian aku kembali mendapatkan Zackery. Pipinya aku tepuk sekali dua.
“Abang, bangun! Jangan takutkan Hana macam ni.” Aku cuba menyedarkan lelaki itu.
Zackery terus terdongak memandang atas dengan mulut terbuka. Mata hitamnya sudah tidak kelihatan. Aku semakin takut melihat keadaan Zackery.
“Mama, tolong Hana!!! Mama!!” aku hanya mampu menjerit dengan deraian air mata.
“Kenapa ni, Hana?” tanya mama sebaik sahaja masuk ke kamar itu bersama papa.
“Abang Zackery..” hanya itu yang mampu aku katakan dalam esakan kuat. Papa terus menerpa kepada Zackery.
“Zackery!! Pandang papa ni.” Pipi suamiku ditampar beberapa kali oleh papa. Zackery mendengus sedikit seolah-olah mahu bercakap dengan ayahnya. Selebihnya dia terus tercungap-cungap macam orang tidak cukup nafas.
“Kita pergi hospital sekarang!” Tidak menunggu lagi papa terus mengangkat Zackery dari atas katil itu.
“Nora, lekaslah!!” gesa papa meninggi saat terpandangkan mama masih kaku di tempat dia berdiri. Barulah wanita itu tersedar dari kealpaannya.
Lima minit kemudian Zackery sudah berada di sebuah klinik berhampiran rumah kami. Dia diberikan oksigen sementara menunggu ambulan tiba ke klinik itu. Biarpun keadaan Zackery sudah tidak seteruk tadi. Aku tetap dibaluti kebimbangan melihat dia tidak mampu bernafas seperti biasa. 
Dan dua jam kemudian Zackery sudah berada di wad kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya. Selesai melakukan ECG, dia dibiarkan berehat sementara menunggu ketibaan doktor pakar.
Namun sekali lagi kami diberitakan yang Zackery sihat-sihat sahaja. Tiada sebarang tanda-tanda yang jantungnya mengalami masalah.
“Habis tu kenapa dia sesak nafas?” soalku langsung tidak berpuas hati dengan penerangan doktor itu. Doktor berbangsa India itu terdiam seketika memandang kepada Zackery.
“Ini first time dia mengadu sakit dada, kan?” soal doktor itu perlahan. Aku sekadar mengangguk.
“Jantung dia sihat. See?” ucap doktor itu sambil menunjukkan kertas bergraf di atas fail itu.
“Semuanya normal. Tak ada masalah. Mungkin dia terkena gastrik. Kadang-kadang simptomnya sama. Seolah-olah terkena serangan jantung,” ujar Dr. Siraj lembut.
Keningku berkerut memandang raut lelaki India itu. Gastrik? Mungkinlah. Aku tahu Zackery pun kerap tidak mahu makan.
“Berapa lama sudah ini macam?” tanya doktor itu. Kaki Zackery disentuhnya.
“Dah dekat setahun. Saya tak faham. Dah dua orang doktor sahkan yang dia tak ada masalah saraf. Kalau saraf tak ada masalah, kalau dia sihat, kenapa dia macam ni?” tekanku tetap tidak berpuas hati dengan keadaan Zackery.
“Macam nilah.. kita akan buat ujian MRI sekali lagi untuk tengok keadaan saraf dia,” kata Dr. Siraj sambil memandang kepadaku.
“Tak payah! Aku nak balik!” Zackery tiba-tiba menyampuk perbualan aku dan doktor itu. Spontan kami memandang Zackery di katil.
“Aku nak balik. Aku dah tak nak buat apa-apa ujian lagi. Aku tak mahu duduk sini lagi. Memang pun aku dah sihat!” ucap Zackery agak tajam.
Aku sempat berpandangan dengan doktor itu. Dr. Siraj agak terkejut melihat watak Zackery berubah tiba-tiba.
“Duduk kat sini, kena cucuk sana sini. Masalahnya semua doktor kata aku tak sakit! Kau ingat cucuk jarum tu sedap ke ha? Bodoh punya hospital! Buang duit aku aja datang sini!” Zackery mula menghamburkan kata-kata kesatnya.
“Zackery, itu semua adalah prosedur biasa untuk pesakit macam you. Semua orang akan lalui keadaan tu,” jelas Dr. Siraj tetap lembut.
“Dia orang semua tu memang berpenyakit. Aku ni kau kata sihat, kan? Jadi buat apa kau nak cucuk aku sana sini? Tangan aku ni dah bengkak. Semua kau orang punya kerja! Tak guna punya doktor!” cemuh Zackery semakin berani.
“Takpelah. Kalau macam tu saya nak bawa dia balik, doktor.” Aku cepat-cepat mencelah. Bimbang Zackery lebih lancang memaki doktor itu.
“Okay. Tapi I akan tetapkan satu tarikh lagi untuk kita buat pemeriksaan susulan. Tengok keadaan dia macam mana. Hari ini I akan bagi ubat untuk rawat masalah gastrik tu,” jawab Dr. Siraj lembut.
Aku mengangguk sahaja, tidak tahu apa lagi yang mahu diucapkan. Sementera menunggu giliran untuk mengambil ubat, aku sempat menelefon papa meminta dia menjemput kami. Tetapi sejam kemudian pemandu syarikat yang datang bertemu kami.
“Dato minta saya bawa puan dengan Encik Zackery balik ke rumah. Dato ada meeting penting,” ucap Abang Zaid lembut.
Aku mengangguk sahaja. Aku sebenarnya sudah cukup keletihan untuk memikirkan semua kerenah ahli keluarga ini. Aku mahu balik berehat di rumah segera. Hanya itu!

BAB 11
SEMENJAK dia dapat memegang pensil dan berus lukisan semula, aku lihat tumpuan Zackery lebih banyak kepada kertas lukisannya. Dada kertas itu seakan tempat untuk dia meluahkan moodnya. Jika moodnya baik, maka lukisannya juga yang elok-elok. Jika tidak, entah apa-apa dicontengnya kertas itu. Kadang-kala apa yang dilakarkannya sukar untuk ditafsir.
Dan mood lelaki seorang ini juga susah mahu dijangka. Seolah-olah dia ada dua personaliti. Kalau romantik, romantiklah sangat. Tapi kalau dah moodnya tidak baik, aku dekat dengan dia pun dia akan mengamuk. Tidak mahu bercakap dengan sesiapa. Dan aku perasan sesuatu. Sikap pelupanya semakin kronik. Membuatkan aku semakin risau dengan keadaan mentalnya.
Pagi itu usai bersarapan, Zackery kembali menghadap kertas lukisannya seorang diri di balkoni. Aku mengambil peluang itu untuk mengemas kamar itu. Ketika aku hampir selesai, Nani datang memberitahu ada tetamu mahu bertemu Zackery. Aku segera turun ke bawah.
“Aweena?” tegurku saat melihat satu susuk sedang berdiri merenung gambar keluarga yang terhias di dinding. Wanita itu segera menoleh.
“Hai..” sapanya selamba.
“Ada apa datang ke mari?” tanyaku benar-benar hairan. Tiba-tiba muncul di sini.
“I nak melawat Zack. Mana dia?” balas Aweena. Dengan senyuman dia mula mendekatiku.
“Err.. dia kat atas,” ujarku. Serba salah. Aku tahu Zackery tidak suka nama wanita ini diperdengarkan kepadanya. Kalau berjumpa apa akan jadi nanti? Aku takut Zackery mengamuk pula.
“Boleh I jumpa dia?”
“Nanti saya tanya dia dulu. Mood dia tengah tak baik tu,” ujarku lantas mendaki tangga untuk ke atas semula.
Setiba di sisi Zackery, aku terpaku memandang lukisan di kertas putih itu.
“Siapa ni, bang?” tanyaku. Rasa hati memang tidak sedap benar.
“Seseorang..” ucap Zackery separuh berbisik. Tangannya terus rancak menari di kertas lukisan itu tanpa mempedulikan aku.
“Abang..” panggilku sambil menyentuh bahu Zackery.
“Jangan kacau akulah! Tak nampak aku tengah sibuk ni?? Pergi sana!!” tengkingnya tiba-tiba.
Hampir luruh jantungku melihat perangai kasarnya sudah kembali semula. Melihat sinar matanya, aku sudah tahu mood Zackery benar-benar tidak baik. Tidak seharusnya dia diganggu. Namun tanpa ditahan aku memandang semula apa yang tertera pada kertas lukisan itu. Gambar seorang perempuan. Namun tidak berwajah.
Zackery menoleh kepadaku seketika kemudian. Pandangannya membuatkan aku terpaku.
“Kau pekak ya? Aku kata pergi sana!” ucap Zackery tajam.
Mahu tidak mahu aku berlalu dari situ. Sempat aku menoleh kepada suamiku itu. Dia masih ralik dengan lukisan itu. Masalahnya, siapa wanita tidak berwajah di dalam lukisan itu?? lambat-lambat aku meninggalkan dia di situ.
“Maaf, Aween. Dia tak mahu diganggu.”
“You dah cakap I nak jumpa dia?”
Aku menggeleng perlahan. Tak sempat nak cakap dah kena marah. Macam mana?
“It’s okay. I tak kisah dia nak marah I sekalipun. I cuma nak tengok keadaan dia. Boleh bawa I jumpa dia?” ujar Aweena bersungguh.
Malas mahu bertelagah, aku bawa juga dia naik ke atas. Pintu kamar aku buka luas untuk Aweena. Wanita itu masuk sambil memandang sekeliling.
“Abang..” panggilku setelah berdiri di belakang Zackery.
Zackery sekadar buat tidak dengar sahaja kepada panggilanku. Aweena ketika itu sudah pun berada tidak jauh dari kami.
“Zackery,” panggil Aweena lembut.
Suara itu segera membuatkan kepala Zackery terdongak. Bersusah payah dia mahu memandang siapa yang memanggilnya. Aku segera membantu mengubah kedudukan kerusi rodanya. Lelaki itu aku tolak masuk ke dalam kamar.
Zackery terpaku tanpa reaksi buat seketika. Terkebil-kebil matanya memandang Aweena merendahkan tubuhnya di hadapan Zackery.
“How are you, dear?” tanya Aweena sambil pipi Zackery disentuhnya sekali. Zackery tersentak sedikit seolah-olah baru tersedar dari menungan.
“Aween?” balas Zackery macam tidak percaya siapa yang berada di hadapannya. Pelik aku. Sebelum ini berapi-api kebencian Zackery kepada wanita ini. Sekarang lain pula. Macam suka Aweena datang melawatnya.
“Sorry. I tak dapat datang sebelum ni. I baru balik. Rindukan I ke?” ujar Aweena sambil menggenggam tangan Zackery.
“Mana you pergi? I tunggu you,” jawab Zackery. Aku tersentak mendengar itu. Di dalam dada rasa terhiris.
“I ada urusan penting. Tak dapat balik cepat. I sedih tengok keadaan you, Zack. Nasib baik ada orang sudi jaga you,” ujar Aweena sambil mengerling kepadaku. Aku terasa seperti sedang diejek olehnya.
“Maafkan I. I tak boleh lama di sini. I cuma nak tengok keadaan you aja. Lepas ni I akan balik ke US semula. You kena jaga diri tau.” Aweena berkata lagi.
Zackery tidak menjawab. Pandangan matanya berkaca kepada wanita itu. Aku yang memandang hanya mampu menjadi tugu di situ biarpun hati bak kaca terhempas ke batu.
“I harap you cepat sembuh, Zack. I nak you tahu yang I tak pernah lupakan you,” ucap Aweena kepada lelaki itu.
“You tak pernah lupakan I?” sambut Zackery. Entah bagaimana ceria benar wajahnya. Saat Aweena meletakkan tangan ke pipinya, lelaki itu memegang tangan Aweena erat.
“Kita kawan, kan?” balas Aweena dengan sedikit senyuman. Kemudian dia mula berdiri di hadapan Zackery. Lelaki itu dipandang lama tanpa berkelip. Aku rasa macam tidak wujud aja di situ.
“Jangan pergi,” bisik Zackery tanpa mahu melepaskan tangan Aweena. Lagaknya macam seorang lelaki yang begitu dahagakan kasih sayang sang kekasih.
Aweena sekadar tersenyum kepada lelaki itu. Tangannya ditarik semula dari Zackery. Dan, begitu jelas di mataku senyuman itu mula bertukar kepada sesuatu yang aneh. Sesuatu yang menggambarkan kepuasan.
“Aween..” panggil Zackery setelah wanita itu berlalu.
Aweena menoleh lagi kepada lelaki itu. Kali ini wajah tidak berperasaan ditunjukkan kepada kami.
“Jangan pergi..” rayu Zackery. Terkial-kial dia cuba menolak kerusi rodanya ke arah Aweena. Namun Aweena tidak menjawab. Terus dia keluar tanpa mempedulikan panggilan Zackery.
“Abang..” panggilku cuba menahan Zackery.
“Kau jangan dekat dengan aku!!” tengking Zackery tidak semena-mena. Membuatkan langkahku terkunci.
Melihat bayang Aweena sudah tiada di hadapan matanya, Zackery mula memekik-mekik meluahkan kemarahannya. Aku yang mendapat habuan makiannya. Katanya salah aku Aweena pergi. Sabar sesabar mana sekali pun, air mataku gugur juga. Sedar. Aku masih tidak mampu menandingi Aweena di hati Zackery.

PRANG!!!
Pinggan yang berada di tangan ku terbang ditepis oleh Zackery. Aku sekadar mampu memandang makanan sudah berhamburan di atas lantai. Sedikit pun tidak aku terkejut dengan perbuatannya itu. Ini bukanlah kali pertama dia buat begini. Aku hanya mampu menghela nafas perlahan melihat gelagat Zackery.
“Keluar sekarang!” ucapnya tajam.
“Cubalah bawak beristighfar, bang. Kenapalah dengan abang asyik nak marah aja? Tak penat ke?” keluhku sambil bangkit untuk mengutip cebisan kaca yang sudah berkecai di lantai.
“Diam! Jangan nak membebel. Aku bosan dengar suara kau. Kau faham tak? Keluar!! Keluar!!” jeritan Zackery semakin lantang.
Aku diam tidak membalas. Cebisan pinggan dan nasi itu aku kumpulkan untuk dibuang. Selesai itu aku mengambil tong sampah. Sedang aku memasukkan sisa-sisa nasi dan kaca itu ke dalam tong sampah. Zackery kemudian melemparkan gelas air kepada ku.
“Humban ni sekali! Semua ni tak guna!” ucapnya selamba. Aku tersentak saat gelas itu terkena pada tubuhku. Akibatnya sebahagian daripada pakaianku basah. Nasib baiklah gelas itu tak pecah.
“Kau nak sangat kahwin dengan aku, kan? Kau nak sangat hidup dengan jantan cacat ni. Rasakan!” cemuh lelaki itu dengan mata bersinar tajam. Lagaknya seolah sengaja mahu menyakitkan hatiku.
Astaghafirullah.. ucap ku dalam hati.
“Abang tak makan sepanjang hari, tak lapar ke? Marah-marah. Maki hamun orang. Boleh kenyang ke, bang? Apa lagi yang tak kena?” ucapku kesal.
“Banyak yang tak kena! Jangan bagi aku sebut satu persatu. Nanti kau jugak yang tak tahan telinga. Aku makan ke tidak, sama aja keadaan aku. Takde apa yang berubah. Aku tetap cacat! Aku nak keluar dari sini!! Aku dah bosan duduk atas kerusi ni. Kau tak faham!!” tengking Zackery lantang.
Aku sempat menggeleng perlahan mendengar kata-katanya itu.
“Sabarlah, bang. Baru dua kali abang berubat dengan Abang Syukri tu. Lama-lama nanti baiklah.” Pujukan itu aku berikan tanpa kesungguhan. Tiada guna bercakap dalam keadaan dia tengah angin. Bukannya Zackery nak dengar.
“Berapa lama baru aku boleh berjalan semula? Syukri tu memang tak guna! Dia buat apa pun pada aku, aku tetap macam ni! Takde apa yang berubah. Aku tetap sakit! Buat menghabiskan duit aja panggil dia mengubat aku. Aku dah tak mahu dia datang sini lagi!” melengking lagi suara Zackery di dalam bilik itu.
“Kalau ada yang abang tak puas hati, cakap aja elok-elok. Tak payah nak menjerit, humban barang sana sini. Hana pun tahu letih, bang! Hana ni bukannya robot!” degusku lantaran kesabaran yang sudah tidak setebal mana.
“Diam!! Aku benci dengar suara kau. Kau keluar sekarang. Aku benci tengok muka kau!!” pekik Zackery semakin lantang. Aku hanya menggeleng sendiri.
“Keluar sana! Aku tak mahu tengok muka kau dalam bilik ni. Jangan pedulikan aku!!! Berambus!!” tidak cukup menghumbang gelas, Zackery mencapai bantal pula. Terus bantal itu dilemparnya entah ke mana.
Bimbang dia semakin tidak terkawal, aku akur juga. Selesai membersihkan kawasan yang kotor itu aku terus keluar dari bilik dengan seribu satu rasa yang menjeruk hati. Aku juga perlukan ruang untuk memujuk hati.
Aku faham Zackery kecewa. Mungkin dia terlalu berharap dia akan segera dapat berjalan semula setelah menjalani sesi rawatan dengan Syukri. Tetapi sayangnya hasilnya masih tidak seperti yang diharapkan. Tambah pula Zackery sememangnya jenis orang yang kurang sabar. Bila apa yang dia harapkan tak menjadi, orang sekeliling yang menjadi tempat dia melepaskan perasaan. Orang yang paling sesuai menerima semua itu, sudah tentulah aku. Sepanjang masa orang sekeliling dimaki hamunnya. Mama sampai dah muak melayan perangai anaknya ini. Papa lagilah.. tak masuk dalam kepala.
“Mana pinggannya?” tanya Nani saat aku masuk ke dapur.
“Macam biasalah, Nani. Dah berkecai,” jawabku sambil mencuci tangan di sinki.
Tabrak dinding lagi? Ngapain itu orang? Marah-marah terus sih,” rungut Nani sambil menggeleng sendiri.
“Makan dulu, Nani. Sekejap lagi dah zohor,” ajak ku lembut. Malas mahu memikirkan tentang pinggan yang dah pecah tu. Lantaklah! Mama dia banyak duit. Boleh beli sekapal lagi pinggan baru.
Selesai makan aku naik semula ke atas. Di atas katil Zackery sudah tertidur tanpa baju. Aku hanya mampu menggeleng melihat suami ku itu. Tubuh Zackery sudah susut benar aku lihat. Macam rangka hidup.
Seketika kemudian aku terus ke bilik air untuk membersihkan diri sebelum bersolat tidak jauh dari katil. Usai solat itu aku duduk seketika menadah tangan memohon sesuatu kepada Yang Esa. Sesungguhnya aku tahu Tuhan sedang mendengar suaraku.
Namun suara orang menangis yang halus tiba-tiba kedengaran dari arah katil membuatkan aku menoleh setelah mengaminkan doa. Zackery menangis seperti anak kecil di dalam tidur. Aku segera menanggalkan marhana untuk mendapatkannya.
“Abang..” tubuhnya aku tepuk lembut. Bola mata Zackery bergerak-gerak di bawah kelopak mata yang terpejam.
“Abang, bangun!” sekali lagi dia aku kejutkan. Spontan Zackery mencelikkan mata. Dadaku berdegup kencang melihat mata putihnya yang kelihatan kemerahan. Pandangan mata hitamnya pula cukup liar.
“Kenapa ni? Abang menangis dalam tidur tadi,” ucapku mula tidak sedap hati.
Zackery tidak menjawab. Perlahan matanya disapu. Masih ada sisa air mata pada bulu matanya.
“Abang mimpi ke?” soalku sambil menghela nafas perlahan. Zackery sekadar mengangguk tanpa kata.
“Solatlah, bang. bila tak solat, jin dengan iblis memang senang ganggu kita,” ucapku lembut.
“Kau nak sembahyang, kau sembahyang ajalah! Tak payah nak ajak aku! Aku tahulah bila masa aku nak sembahyang!” tengking Zackery serta merta.
“Sampai bilalah abang nak berperangai macam ni? Sembahyang pun tak mahu. Dalam keadaan macam ni, pada siapa lagi kita nak minta tolong, bang?” keluhku sambil menggeleng sendiri.
“Jangan nak membebel lagi. Pergi keluar sana. Aku nak tidur! Menyemak aja! Pot-pet pot-pet membebel.” Zackery terus mengambil bantal lalu menekup mukanya.
Aku terus bangun dari sisi katil itu. “Eloklah tidur masa matahari tengah tinggi macam ni. Lepas tu mimpi lagi yang bukan-bukan. Nak tidur pun sembahyanglah dulu. Ini tak! Eloklah syaitan temankan abang tidur sekali. Syukurlah Allah tak bagi lidah tu lumpuh sekali sekali dengan kaki abang. Memang Allah bagi mulut tu supaya senang kita maki hamun orang sana sini. Orang bila tengah sakit ingat Tuhan. Ini asyik nak marah orang,” getusku sudah malas mahu melayan kemarahannya.
“Diamlah! Membebel macam ustazah,” tempelak Zackery meninggi setelah bantal dialihkan daripada wajahnya.
Malas mahu melayannya aku sengaja sibukkan diri dengan mengemas bilik yang sedikit bersepah. Zackery senang pula tertidur semula. Tanpa gangguan daripada lelaki itu, aku mula menjengah manuskrip ku semula. Sedar tidak sedar satu bab sudah berjaya aku selesaikan. Waktu pula sudah menunjukkan ke angka empat petang. Aku menghidupkan tv siaran astro oasis untuk menanti azan asar. Mendengar zikir sedang dialunkan oleh Ustaz Dzulkarnain melalui kaca tv itu, aku menaikkan sedikit tahap volumenya. Sambil itu aku duduk semula di hadapan komputer sambil berfikir sendiri.
Saat azan mula kedengaran, Zackery mula terjaga dari tidurnya.
“Bisinglah! Tutup tv tu!” terus aku ditengking Zackery lagi.
“Biarlah. Kan azan tu?” balasku pantas.
“Aku tak nak dengar benda tu. Kau tutup sekarang! Panas badan aku ni!!!!” Zackery memekik bagaikan orang gila. Aku terus terpaku mendengar kata-katanya.
“Tutup tu! Aku pecahkan tv tu karang!!!” jerkah Zackery semakin menggila.
Melihat dia lain macam aku nekad membesarkan lagi suara tv itu. Aku mahu lihat apa reaksinya. Zackery benar-benar tidak keruan saat itu. Bantal dicampakkannya ke arahku. Apa yang ada di atas meja di tepinya habis ditepis hingga berteraburan di lantai. Tidak cukup itu dia menarik rambutnya sendiri.
“Diam!! Aku tak nak dengar benda tu! Aku panas!!!” pekik Zackery bagaikan sudah tidak tertahan. Telinganya ditekup sekuat-kuat hati. Tubuhnya mengeliat bagaikan sedang kesakitan.
Semua gelagat Zackery ku perhatikan dengan dada turun naik menahan debar. Aku tidak tahu siapa yang sedang berada di hadapan mata ku ini. Selama ini aku memang tidak pernah terfikir untuk berbuat begini. Zackery tidak suka suasana bising di sekelilingnya. Rupanya inilah sebabnya!


Bab 12
MEMIKIRKAN tiada jalan lain, aku memutuskan untuk memanggil abah ke rumah. Abah datang agak lewat.
“Zackery tidur ke di atas tu?”
Aku mengangguk. “Itu ajalah kerjanya setiap kali lepas asar. Dia dah makin teruk, abah. Hana tahu dia ada yang tak kena dengan dia,” ucap ku bersungguh.
“Abah nak tengok dia sekejap,” ucap abah lantas memandang ke arah tangga. Saat di dalam bilik abah duduk seketika di sisi Zackery. Kepala suamiku itu disentuhnya.
“Dia memang tengah sakit ni,” ucap abah perlahan.
“Kalau tak takkan dia kurus macam ni, abah.”
Abah mengangguk-angguk sambil menghela nafas sendiri.
“Nanti abah bagitahu Syukri tu. Tengok apa dia boleh buat. Tapi untuk sementara ni kita usaha sendiri dulu,” ucap abah setelah agak lama dia berfikir.
“Ambil satu besen bawa sini.” Abah menoleh sekilas kepada ku. Aku sekadar akur dengan permintaan abah. Aku tahu abah mahu melakukan sesuatu kepada suamiku itu.
Seketika kemudian abah mula membaca surah Al Fatihah. Diikuti surah Al Baqarah ayat 1-5 kemudian surah yang sama ayat 102, 163-164. Seterusnya tanpa berhenti ayat kursi pula diperdengarkan. Ketika itu juga Zackery mula tersedar. Rupanya sudah berubah lain macam. Tajam matanya memandang abah membaca ayat Al Quran di sisinya.
“Apa ni? Bisinglah! Kau siapa??” herdiknya lantang kepada abah.
Abah tidak mempedulikan suamiku itu. Sehabis ayat kursi diperdengarkan abah meneruskan bacaan daripada surah yang sama ayat 285 hingga 286 dan surah Al Imran ayat 18 dan 19.
Zackery mula terlentang di atas katil memegang dadanya. Dadanya turun naik macam orang sesak nafas. Abah membuat isyarat tangan meminta aku mendekati suami ku dengan besen itu.
Tanpa mempedulikan keadaan Zackery yang sudah lain macam, abah mengalunkan Al-'Araf 54 hingga 56, Al-'Araf ayat 117 sehingga ayat 122, surahYunus ayat 81 dan 82, Surah Toha ayat 69. Kemudian surah Al-Mukminun ayat 115 hingga ayat 118. Bacaan abah semakin kuat pada surah As-Soffaat ayat 1 hingga 11, surah Al-Ahqaaf ayat 29 higga ayat 32, surah Ar-Rahman ayat 33 hingga 36, surah Al-Hasyr ayat 21 hingga ayat 24.
Saat surah Al-Jin ayat 1 hingga 9 dibacakan, Zackery mula mengelitai di atas katil kepanasan. Dadanya dipegang seolah-olah sedang menahan sengsara yang teramat sangat. “Diam! Diam! Aku dah tak tahan! Tolong aku!!” jeritnya semakin lantang.
“Abah,” keluhku tidak sanggup melihat suami ku berkeadaan begitu. Namun abah hanya buat tidak tahu kepada kami. Bacaan diteruskan lagi kepada surah Al-Ikhlas, Al Falaq dan surah An-Naas. Sehabis bacaan itu barulah abah memandang ke arah Zackery.
“Zackery..” panggil abah kepada suami ku yang terlentang memandang siling dengan mata buntang. Wajahnya berpeluh-peluh macam orang baru habis berlari.
“Zackery, abah kat sini ni. Pandang abah. Sedar ke tak ni?” abah menepuk sedikit pipi suamiku itu. Kali itu barulah Zackery memandang abah.
“Abah? Bila abah datang?” soalnya kehairanan. Kemudian dia memandangku pula. Hairan benar dia melihat abah boleh ada di situ.
“Ada rasa loya tak?” soal abah lembut. Soalan Zackery tidak dilayannya.
Perlahan Zackery mengangguk. Lemah sahaja anggukannya.
“Benda tu belum keluar lagi ni,” ucap abah sambil memandang kepadaku. Kata-kata abah itu membuatkan liur yang ku telan terasa pahit. Kuat sangatkah gangguan itu? Hanya itu soalan yang bermain dalam fikiranku.
“Cuba bangun. Duduk bersandar pada kepala katil tu. Kalau ada rasa nak muntah lagi. Muntahkan aja ya? Jangan ditahan,” ucap abah lantas membantu suamiku itu bangun.
“Abah nak buat apa ni?” soal Zackery dengan mata sedikit liar kepada abah.
“Abah cuma nak tolong kamu. Bisikan pada telinga kamu tu, kamu kena lawan, Zackery. Itu semua bisikan syaitan. Kita cuba sekali lagi ya? Kalau kamu nak sembuh, kamu kena dengar cakap abah ni. Ingat Allah banyak-banyak ya? Beristighfar,” pujuk abah lembut.
Melihat Zackery hanya diam, abah membacakan sekali lagi ayat-ayat suci Al Quran. Pada mulanya semuanya elok sahaja. Pada pertengahan bacaan, Zackery kembali lagi seperti tadi. Dia mengeliat memegang dadanya. Abah menarik besen lalu di letakkan di atas ribaan Zackery. Suamiku itu terus menekup wajah dengan besen itu. Tatkala abah menggosok belakangnya, aku dengar dia muntah berberapa kali ke dalam besen itu.
Sehingga abah habis membaca surah An-Naas, Zackery terus muntah di dalam besen itu. Berkali-kali aku dengar dia bersendawa. Abah turut membantu menggosok belakangnya. Setelah selesai itu barulah abah memberikan bekas itu kepada ku untuk dibuang. Di dalam besen itu tiada apa pun sebenarnya.
“Kita mandi ya? Dah petang sangat ni. Eloklah kalau kamu bersolat ni, Zackery.”
Anehnya dengan abah, Zackery cukup patuh. Tidak pula dia melenting bila disuruh bersolat. Petang itu abah yang memandikan Zackery sementara aku sekadar menanti di luar dengan persalinan bersih.
Selesai berpakaian Zackery dibantu oleh abah menghadap kiblat sementara aku mengunakan peluang itu untuk membersihkan tempat pembaringannya. Sementara Zackery bersolat, abah memandang sahaja Zackery daripada belakang. Kemudian abah menarik kerusi lalu duduk berdekatan dengan Zackery setelah dia selesai bersolat.
“Cuba bacakan niat bersolat yang kamu baca tadi tu?” ucap abah lembut.
Zackery memandang abah lama sebelum tunduk memandang lantai. Dahinya berkerut-kerut memikirkan sesuatu. Semua itu ku perhatikan dalam pada aku sibuk membersihkan tempat tidur Zackery. Zackery tidak menjawab.
“Tak ingat?” telah abah tetap dalam nada lembut. Zackery menggeleng.
“Kamu tahu tak selepas tasyahud akhir salam mesti dimulakan sebelah kanan kemudian baru kiri. Kamu bagi salam kiri kemudian kanan,” ucap abah lagi.
“Saya tak ingat.” Perlahan sahaja suara Zackery.
Abah menghela keluhan perlahan sambil memandang suami ku. “Surah Al Fatihah ingat tak?” duga abah lagi.
Lama Zackery memikirkan jawapannya. sehingga abah mula mencelah lagi dengan soalannya. “Kamu sedar tak yang kamu ni ada isteri?”
“Ingat.” Pantas Zackery mengangguk.
“Oh! Nasib baik kamu ingat Hana tu isteri kamu. Tang itu kamu ingat pulak ya? Surah Al Fatihah kamu tak ingat.”
Zackery terus terkedu dikenakan abah. Dia sempat mengerling kepadaku sebelum tunduk memandang dua tangannya. Aku sekadar tersenyum sendiri dalam diam.
“Zackery, kamu ni sakit. Kamu perlu berubat,” ucap abah lembut.
“Saya memang sakit, abah. Saya lumpuh,” balas Zackery cukup rendah.
“Bukan itu yang abah maksudkan. Kamu sakit lain. Ada benda yang ganggu kamu selama ni. Kalau kamu tak berubat, keadaan kamu akan lebih teruk,” jelas abah bersungguh.
“Benda?” soal Zackery tidak faham.
“Jin. Abah rasa kamu ni diganggu makhluk halus. Sakit kamu ni doktor memang tak upaya nak ubatkan. Kamu makan ubat berdozen sehari pun, itu takkan mampu sembuhkan kamu. Rohani kamu ni kosong! Ada makhluk lain duduk di situ. Itu yang perlu dikeluarkan cepat,” ucap abah serius.
Zackery meneguk liur memandang abah di tepinya. “Saya tak tahu apa nak buat, abah. Saya tak rasa apa-apa yang pelik pun,” jawab Zackery.
“Kamu memang tak perasan. Tapi orang sekeliling kamu yang perasan. Kamu tak boleh dengar azan. Tak suka dengar ayat Al Quran. Itu semua petanda ada makhluk halus duduk dengan kamu,” ucap abah cuba meyakinkan Zackery.
“Mana ada saya macam tu? Saya okay je,” sambut Zackery tidak percaya kepada abah.
Aku sempat berpandangan dengan abah. Sebelum ini dia jugak yang memekik-mekik saat azan diperdengarkan. Waktu abah membacakan ayat-ayat suci Al Quran tadi dia kepanasan macam sedang dipanggang api. Sekarang dia kata dia okay pulak. Memang sahlah ada jin!
“Kamu solat tadi, kamu khusyuk tak?” duga abah lagi.
“Khusyuk!” jawab Zackery bersungguh.
“Ia ke? Kalau khusyuk takkanlah salam pun boleh terbalik? Niat pun kamu lupa?” bidas abah cukup mudah.
Zackery terdiam lagi. Matanya terkebil-kebil memandang abah. Abah menghela nafas perlahan.
“Cuba baca Al Fatihah,” pinta abah sekali lagi.
“Bismillahi..” hanya setakat itu sahaja yang mampu disebutkan Zackery. Abah menggeleng lagi.
“Teruk kamu ni, Zakcery. Kalau kamu tak berubat cepat, abah tak tahu apa akan jadi pada kamu,” ucap abah perlahan. Abah kemudian memandang kepadaku. Dia memandang jam di pergelangan tangannya.
“Kenapa mama dengan papa Zackery tak balik lagi ni?” tanya abah kepadaku.
“Selalu papa dengan mama sampai rumah lepas maghrib. Kalau ada hal penting. Malam baru sampai rumah,” jawabku biasa.
“Lepas maghrib nanti baca Al Quran. Selalu baca Al Quran dalam rumah ni. Biar iblis dengan syaitan tak lekat di sini,” ucap abah kepadaku.
“Abang Syukri tu boleh ke tengokkan benda-benda macam ni?” tanyaku kepada abah.
“Abah akan usahakan sesuatu nanti. Hana sabar dulu. Banyakkan mengaji Al Quran. Itu pendinding diri kita dari mahkluk macam ni. Jangan takut pada benda tu. Dia pun makhluk Allah juga. Keupayaan dia terbatas,” pesan abah sambil memandang suamiku yang masih terkebil-kebil di atas kerusi rodanya.
“Ada apa-apa masalah telefon abah lekas,” ucap abah sebelum menghulur tangannya kepadaku. Aku sekadar mengangguk sebelum mencium tangan abah.
“Zack, abah balik dulu ya?” ucap abah sambil memegang bahu Zackery.
Zackery sekadar mengangguk sambil menghulurkan tangannya kepada abah. Tangan abah diciumnya sebelum abah tunduk memeluk suami ku itu. Entah apa yang diucapkan abah kepada Zackery. Lelaki itu terangguk-angguk akur dengan pesanan abah.

SEPERTI yang diminta abah siang tadi, malam itu ketika makan malam, aku cuba bercakap dengan papa dan mama tentang masalah Zackery. Terbeliak mata mama mendengar penjelasanku.
“Hana ni biar betul. Takkanlah si Zack tu ada jin pulak? Mengarutlah!” tekan mama langsung tidak percaya.
“Mama, Hana tengok Abang Zack tu lain macam sangat, ma. Waktu dengar azan, dia boleh terpekik-pekik marah. Tadi waktu abah bacakan ayat Al Quran, dia tak tentu arah. Orang yang normal takkan buat macam tu,” tekanku bersungguh.
Mama mula memandang suaminya. Kunyahan papa mula perlahan mendengar kata-kataku. Dahinya berkerut sedikit.
“Macam mana boleh tiba-tiba ada gangguan jin pulak ni? Zack tu sakit akibat kemalangan dulu tu,” ucap papa juga tidak percaya dengan apa yang aku beritahu.
“Memanglah. Tapi papa tak pelik ke? Doktor kata Abang Zack tu tak seharusnya lumpuh sebab takde kecederaan pada saraf. Semua doktor yang periksa dia kata dia sihat. Kalau betul dia sihat, takkan dia sampai jadi macam tu?”
“Habis tu takkanlah jin boleh buat dia sampai jadi lumpuh? Merepeklah,” ucap mama pula.
“Mama, Hana tak mampu nak jelaskan semua tu sebab Hana sendiri pun tak pandai sangat bab ini. Tapi apa yang Hana tahu, kebanyakan tanda gangguan jin memang ada pada Abang Zack. Tanda yang paling jelas, dia tak boleh dengar azan. Itu aja dah cukup buat Hana percaya dia memang ada masalah tu!” jelasku bersungguh.
“Kalau macam tu kita kena panggil bomoh ubatkan dia,” balas mama sambil memandang suaminya.
“Bomoh?” terbeliak mataku bagaikan tidak percaya dengan jalan yang sedang diusulkan oleh emak mentuaku itu.
“Ialah! Bomohkan yang pandai usir hantu ni semua?” sambut mama cukup yakin.
“Mama, bukan bomoh yang kita kena panggil ni. Kita kena bawa ustaz yang tahu ubatkan orang yang ada masalah gangguan macam ni. Bomoh sendiri pun guna jin untuk mengubatkan orang. Bomoh jugak yang hantar jin untuk kucar kacirkan hidup orang lain. Takkan kita nak panggil bomoh yang ubatkan Abang Zack? Hana takut hilang satu masalah, timbul masalah lain!” balasku sedikit meninggi. Maaflah. Aku bukannya mahu biadap kepada dua orang tua ini. Tetapi aku sakit hati melihat mereka tidak memandang hal ini sebagai sesuatu yang serius. Mereka langsung tidak mahu mengambil tahu atau belajar sesuatu daripada pengalaman ini.
“Papa tak kenal mana-mana ustaz. Abah Hana ada kenal ke?” ujar papa sambil tunduk memandang makanannya.
“Abah kata dia nak tanyakan pada seseorang. Tengoklah nanti macam mana,” jawab ku hambar. Bercakap banyak dengan dia orang ni pun tak guna. Bukannya ada jalan keluar. Akhirnya aku kena fikir sendiri. Nasib baiklah aku ada abah.

TENGAH malam itu ketika aku sedang mengaji, Zackery mengigau lagi. Kali ini lebih teruk. Tangannya meligas ke sana ke mari seperti sedang cuba memukul sesuatu. Aku terpaksa menghabiskan bacaan untuk mendapatkan lelaki itu. Dia tersentak ketakutan saat aku mengejutkannya.
“Kenapa, abang?” soalku mula risau melihat dia menggigil.
“Ada benda hitam duduk atas dada abang. Benda tu marah abang. Hana jangan pergi mana-mana. Temankan abang kat sini,” ucapnya sambil memandang sekeliling.
“Hana ada kat sini. Jangan takut. Tak ada apa-apa,” pujukku perlahan.
“Abang takut, Hana. Jangan tinggalkan abang,” rayu Zackery dengan suara mengigil. Lenganku dipeluknya seperti anak kecil. Matanya terus meliar memandang suasana bilik itu.
“Hana tak pergi mana-mana pun. Hana baca Al Quran kat sini tadi,” pujukku untuk menenangkannya. Dahinya yang berpeluh lebat kuusap lembut.
“Baca Al Fatihah dengan ayat kursi sebelum tidur ya? Hana ajarkan abang.”

Zackery sekadar mengangguk akur. Surah itu diulangnya selepas aku menyebutnya. Setelah itu dia kembali memejamkan matanya. Aku segera membetulkan selimutnya. Naskah Al Quran yang aku baca tadi aku letakkan di tepi Zackery. Buat seketika aku memandang lagi suami ku itu. Janganlah ada lagi gangguan kepada suamiku ini. Aku tahu sudah tidak berdaya. Dan aku juga sudah tidak berdaya melihat dia menderita begini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan