BAB 13
KUSANGKA panas sehingga ke petang. Namun tidak. Pagi itu aku
kejutkan dia seperti selalu. Namun dia hanya mampu membuka mata. Tidak mampu bergerak
langsung. Dia hanya mengerang seperti sedang dalam kesakitan. Tidak terhitung
deraian air mataku melihat perubahan Zackery.
“Kita bawa dia ke hospital,” putus papa setelah melihat keadaan Zackery.
“Papa, bukan Hana nak membantah. Tapi Hana tak sanggup tengok dah. Biarlah
dia kat sini.” Aku membantah dalam nada lembut.
Papa mula mengeluh panjang sambil meraup wajahnya. Terus dia bangun
meninggalkan kami di situ.
Jam 10 pagi itu abah datang menjenguk Zackery bersama emak. Lama abah
memandang Zackery yang begitu pucat.
“Semalam dia tak macam ni,” ucap abah seolah bercakap seorang diri. Memang benar.
Ketika abah datang petang samalam, Zackery masih mampu bergerak. Masih boleh
bersolat.
“Malam tadi abang Zack kata dia mimpi. Ada lembaga hitam duduk atas dia,”
ujarku.
“Benda tu ada lagi ni,” ucap abah sambil memicit dahinya.
“Zack, banyakkan zikir ya? Insya-Allah, Allah akan tolong kita. Abah akan
usahakan sesuatu. Kuatlah, nak. Jangan putus asa,” ucap abah sambil memegang
tangan Zackery.
Seketika kemudian abah terus bangun. “Abah dengan mak tak boleh lama di
sini. Abah nak cari seseorang.” Abah berkata kepadaku.
Aku sekadar mengangguk.
“Ada apa-apa call mak terus tau. Susah juga Hana nak jaga Zack seorang diri
macam ni,” pesan emak sambil memelukku. Kesal agaknya. Emak dan ayah Zackery
tiada di rumah kala ini. Masih mengutamakan urusan lain.
Sepanjang hari itu aku hanya duduk di sisi Zackery. Menjaganya bersungguh-sungguh.
Makanan yang aku suap kepadanya dia muntahkan semula selepas makan. Langsung tidak
berdaya menelan apa-apa biarpun sekadar air masak.
“Seluruh badan abang sakit, Hana. Ada benda tajam dalam badan ni. Tolong abang,”
rayu Zackery amat perlahan. Terketar-ketar bibirnya saat meluah bicara. Aduannya
itu membuatkan aku menangis di sisinya.
“Siapa yang buat abang sampai jadi macam ni? Kalau Hana tahu siapa
orangnya, Hana sanggup pergi minta maaf pada dia untuk abang.”
Zackery hanya memandang aku tanpa menjawab. Aku lihat dia seperti mahu
mengangkat tangannya untuk menyentuhku. Namun dia tidak mampu. Aku ambil
tangannya itu lalu kukucup lama.
“Hana sayangkan abang. Hana nak hidup dengan abang.” Air mataku terus
berderai menangisi nasib Zackery. Sesungguhnya saat ini aku terasa sudah kalah
kepada keadaan. Aku tidak sekuat mana.
Zackery hanya termampu memandangku. Aku lihat ada setitis air matanya jatuh
di hujung matanya. Aku tahu dia tidak mampu menggambarkan kesakitan yang
ditanggungnya saat ini. Namun dia menggenggam erat jemariku. Sejuk aku rasakan
tangannya.
SEMINGGU keadaan Zackery terus nazak. Dia tidak mampu bangun
langsung. Setiap hari abah dan emak datang melawatnya. Dan petang itu ketika
aku sedang berdiri di tingkap bilik aku ternampak kelibat abah dan Abang Syukri
bersama seorang lelaki yang tidak pernah aku lihat berdiri di hadapan rumah.
Aku mula kehairanan. Siapa lelaki itu? Mereka bertiga bercakap-cakap sambil
memerhatikan rumah ini. Memandangkan Zackery sedang tidur, aku mula mencapai
tudung untuk turun ke bawah. Abah terus melambai apabila ternampak kelibat aku
di pintu pagar.
“Kenapa tak call Hana sebelum datang sini?” tanyaku sebaik sahaja aku
berada di kalangan mereka.
“Abah bawa orang ni ke sini. Katanya nak tengok keadaan rumah ni,” jawab
abah sambil memuncungkan mulut kepada lelaki yang tidak aku kenali itu. Lelaki
berpakaian jubah dan berserban itu masih ralik memandang ke arah rumah mentuaku.
Tetapi aku lihat mulutnya terkumat-kamit sendiri. Jarinya tidak berhenti
menggentel buah tasbih.
“Namanya siapa ni?” lelaki itu mula memusatkan pandangannya kepada ku.
Loghat jawa Indonesianya jelas kedengaran dalam bicaranya.
“Raihana..” jawabku perlahan. Lelaki itu mula tersenyum.
“Cantik namanya. Nama saya Solihin. Yang sakit di dalam rumah itu suami
kamu?” tenang sahaja nada lelaki itu berbicara denganku.
Aku sekadar mengangguk sambil memandang abah seketika. Lelaki itu kemudian
mengangguk-angguk sendiri. Dia kembali memandang ke rumah itu.
“Saya disuruh ayah saya ke mari untuk melihat rumah ini. Dia bilang ada
yang tidak elok di sini. Sekarang saya sudah faham apa yang dimaksudkan oleh
bapa saya itu,” luah lelaki itu tanpa memandang kami.
Serta merta bulu roma ku mula berdiri mendengar kata-kata lelaki itu.
Alamak.. apa yang tak elok tu? Bumbungnya ke? Ke catnya yang dah tak cantik?
Atau ada benda lain yang menumpang? Macam mana rupanya? Hodoh tak? Aku mula
menggelabah dalam diam.
“Kamu harus segera bawa dia ketemu sama Pak Kiyai, Pak Rashdan. Rumah ini..
gelap sekali suasananya. Saya tahu pasti ada yang tidak senang jika saya masuk
ke dalam. Ini bukan sesuatu yang ringan.” Kali ini kata-kata itu ditujukan
kepada abah pula.
“Apa yang kau dah nampak?” tanya abah.
“Seeloknya saya tidak berbicara tentang itu sekarang. Biar Pak Kiyai saja
yang uruskan tentang itu. Bawa saja menantu Pak Rashdan itu kepada Pak Kiyai.
Dia pasti mahu bantu kamu,” ujar Solihin lagi.
Abah mula memandang ku dengan sedikit keluhan. “Tapi jauh sangat tempat tu,
Solih. Menantu aku tu lumpuh. Bukan senang nak bawak dia sampai ke sana,” ucap
abah perlahan.
“Saya tahu, pak. Usahakanlah supaya dia dapat sampai kepada Pak Kiyai. Pak
Kiyai sendiri kepingin benar untuk bertemu dengan menanti bapak itu,” jawab
Solihin sambil memandang abah.
Aku terpinga-pinga menelinga perbualan abah dan lelaki bernama Solihin itu.
Siapa pulak Pak Kiyai ni?
“Ada yang tidak kena di sini,” ucap Solihin setelah dia memandang lagi ke
rumah itu.
“Anak aku kata dia ada nampak kelibat perempuan di dalam rumah ni sebelum
ni,” cerita abah tanpa disuruh.
“Saya pun ada nampak. Perempuan tu duduk di tingkat dua. Bila nampak saya
dia lari. Saya tak mahu menyangka yang bukan-bukan. Tapi saya rasa benda tu
duduk di sini.” Syukri juga ikut menyampuk setelah mendengar sahaja dari tadi.
Solihin mengangguk-angguk. “Ya. Saya juga nampak. Tadi saya ada ternampak
dia ada di atas bumbung itu. Sebaik sahaja kita sampai di sini, dia terus pergi.
Saya fikir dia tak suka kita berada di sini. Saya nampak dia pandang kepada kita,”
ucap Solihin sambil memandang semula kepada kami.
Eee.. janganlah buat episod misteri nusantara pulak. Karang aku pulak yang
tak boleh nak tidur sebelah Zackery. Sekarang ni pun aku dah seram semacam.
“Habis tu macam mana sekarang ni, Solih?” keluh abah perlahan.
Solihin memandang abah. “Bisa saja Pak Rashdan panggil mana-mana pak dukun
ke mari. Tapi perlu diingat sesuatu. Penyakit seperti ini tidak bisa sembuh dengan
sekali dua sesi pengobatan. Menantu bapak itu mesti diisi rohaninya dengan kekuatan.
Baru dia bisa bertahan dari serangan tukang sihir atau jin. Bapak sudah bacakan
dia ayat-ayat suci sebelum ini bukan? Tapi sehari dua dia elok. Kemudian dia
sakit lagi. Itu kerana.. iblis laknatullah itu, tidak akan puas selagi dia
tidak dapat apa yang dia mahukan. Dia bisa masuk ke dalam tubuh menantu bapak
itu kapan-kapan pun dia mahu. Kerana itu Pak Kiyai mahu menantu bapak itu
dibawa bertemu sama Pak Kiyai,” jelas Solihin.
Abah mengangguk-angguk perlahan. “Itu aku kena bincangkan dengan orang tua
Zackery dulu, Solih.”
“Jangan terlalu lambat, pak. Sihir angin yang tajam ini bisa makan kita
dalam diam. Penghabisannya, kita sudah tahu bagaimana.” Solihin berkata
perlahan.
Kami semua berdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Aku sendiri masih
terfikir-fikir bagaimana untuk menunaikan kehendak Pak Kiyai itu.
“Saya minta ijin untuk lihat
keadaan suami kamu. Bisa?” ucap Solihin kepadaku.
Rasanya aku sudah tiada pilihan lain lagi selain daripada membenarkan
lelaki asing ini masuk ke rumah untuk bertemu Zackery. Nak tunggu mama dengan
papa ada pun, dia orang bukannya selalu ada.
“Boleh..” jawabku akhirnya.
Di dalam bilik Zackery tidak sedar dirinya sedang dipandang oleh orang
ramai.
“Pucat benar,” bisik Solihin cukup perlahan.
“Sebelum ni dia tak seteruk ini. Lepas aku bacakan ayat Al Quran, sekejap
aja dia elok. Lepas tu dia makin teruk. Malam dia mimpi yang bukan-bukan,”
cerita abah kepada Solihin.
“Sihir itu masih ada dengan dia. Mungkin juga sihir ini agak kuat. Bawakan
air mineral ke sini. Saya cuba sesuatu dulu,” ucap Solihin tanpa memandang
kami.
Setelah diberikan apa yang diminta lelaki itu membuka penutupnya. Banyak
ayat yang dibacanya. Kebanyakannya aku tidak dengar kerana dia lebih banyak
berbisik. Seketika kemudian dia meniup mulut botol itu sehingga habis nafas.
Kemudian botol air mineral itu diberikan kepadaku.
“Nanti bila dia sudah sadar, beri
dia minum air ini. Amalkan minumnya. Tetapi ini sekadar untuk sementara. Dia
harus dirawat lagi.”
Aku segera menyambut. “Terima kasih..”
“Kapan agaknya orang tua dia akan pulang?” tanya Solihin.
“Lepas maghrib agaknya. Kenapa?” jawabku.
“Rumah ini harus dipagar. Saya akan bina pagarnya. Seeloknya saya mesti
berbicara sama tuan rumah ini untuk mendapatkan keijinan,” kata Solihin kepadaku.
“Saya boleh panggil ayah mentua saya balik sekarang,” sambutku.
“Tidak mengapa. Seeloknya rumah dipagar pada waktu malam. Jadi lepas
maghrib nanti saya akan ke mari lagi. Harap-harap orang tuanya sudah ada di
rumah,” ujar lelaki itu lantas tersenyum lembut.
Setelah itu ketiga-tiga lelaki itu berlalu. Aku segera menelefon papa. Meminta
papa pulang awal. Zackery tersedar sebelum azan maghrib kedengaran. Ajaibnya dia
tidak lagi muntah setelah aku memberikan air yang diberikan oleh Solihin. Tetapi
dia masih tidak mahu makan.
Beberapa minit sebelum waktu isyak, abah datang lagi dengan Solihin dan
Abang Syukri. Kali ini papa yang menyambut kedatangan mereka. Buat seketika
kesemua mereka sekadar berbual di ruang tamu.
Sehinggalah isyak menjelma. Solihin mengajak bersolat berjemaah di
tengah-tengah rumah itu. Aku pula bersolat di bilik untuk menemankan lelaki
yang masih terlantar itu. Kemudian abah, Abang Syukri dan Solihin berpecah.
Mereka mengambil satu ruang untuk membacakan satu juzuk surah Al Baqarah. Abah
meminta aku membacakan di dalam bilik tidurku sementara abah membaca di
bahagian luar.
Sewaktu aku khusyuk mengalunkan ayat-ayat suci itu, aku terdengar seperti
bunyi guli terjatuh di atas siling. Pembacaan ku terhenti serta merta. Spontan
aku memandang ke atas mencari di mana datangnya bunyi itu. Aku lihat Zackery
juga sedang memandang ke arah siling. Bunyi itu kedengaran lagi beberapa kali.
Namun aku kembali meneruskan bacaan sehingga selesai.
Selesai membaca surah Al Baqarah, Solihin memulakan upacara memagar di
dalam rumah. Abah pula menguruskan bahagian luar rumah. Air yang sudah bacakan
dengan beberapa surah direnjiskannya ke arah dinding. Sambil itu dia terus
membacakan ayat Kursi. Ketika sampai di bilik kami, Solihin terus melakukan
rutin yang sama sehingga dia mula terhenti saat terdengar bunyi yang sama aku
dengar ketika aku membaca Al Quran sebentar tadi. Dia mendongak memandang ke
arah siling. Papa juga ikut memandang.
“Bunyi apa tu?” soal papa pelik.
“Dia main-main sama kita..” ucap Solihin agak perlahan.
Main-main? Ajak main guli pulak ke?
Adui.. ini yang aku tak senang ni. Berdiri juga bulu romaku mendengar kata-kata
lelaki itu. Selesai upacara memagar Solihin kembali untuk melihat keadaan
Zackery.
Lama lelaki itu melekapkan tangan di dada Zackery sambil membaca sesuatu. matanya
terus terpejam dan dia pegun agak lama. Dan tiba-tiba dia tersentak. Tangannya ditarik
daripada Zackery. Beberapa kali hujung jarinya diletakkan di dada Zackery.
Zackery tiba-tiba menggelepar kesakitan. Syukri masuk ke kamar itu memanggil
Solihin agar turun ke bawah.
“Maaf. Saya permisi sebentar, pak.” Solihin keluar dari kamar itu.
Aku terus menunggu di sisi Zackery sambil mengusap kepalanya. Kemudian papa
dan mama pula yang dipanggil ke bawah. Mulalah aku sibuk nak tahu apa yang
berlaku. Aku mula menjengah dari atas tangga. Aku lihat mereka sedang memandang
bingkai gambar di dinding itu. melihat itu, aku segera mendekat. Betapa terkejutnya
aku melihat rupa Zackery dan Amar di dalam gambar itu sudah menjadi hitam. Berdebar
habis dadaku melihat itu. bukan sahaja Zackery, gambar Amar juga hitam. Apa maknanya?
Pantas aku naik ke atas semula. Dan tidak lama kemudian mereka semua masuk
semula ke dalam kamar itu.
“Lepas rumah ni dipagarkan, boleh ke benda tu tembus lagi, Pak Solih?”
tanya papa kepada lelaki itu.
“Semuanya dengan izin Allah, pak. Tukang sihir ini mereka pasti akan selalu
mencari peluang untuk tembusi pagar rumah orang. Memang tidak semua tukang
sihir ada kemampuan menembusi pagar rumah. Tetapi ada juga yang bisa kerana
ilmu mereka sangat kuat. Tetapi hakikatnya.. pagar siapa yang tidak kukuh, pasti
benda itu akan masuk juga,” jawab Solihin dengan sedikit senyuman.
“Maksudnya?” soal papa tidak faham.
“Begini, pak. Pagar yang sedang kita perkatakan ini hakikatnya dia sama
saja seperti pagar batu yang ada di luar rumah bapak ini. Apabila sudah lama
dibiarkan begitu sahaja, pagar itu akan mereput. Apabila yang reput tidak
diperbaiki, maka pagarnya akan runtuh. Harus diganti yang baru. Begitu juga
dengan pagar ini. Cuma bedanya.. pagar ini kan rosak akibat perbuatan orang di
dalam rumah ini sendiri. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. Rasululullah SAW
bersabda yg bermaksud; ‘janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya utk tidur),
sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah.’
Maksudnya.. dalam rumah harus dimeriahkan dengan solat dan alunan zikrullah.
Juga bacaan Al Quran selalu. Jika rumah dibiarkan kosong, maka jin dan iblis senang
tembus ke mari.” Kami semua terdiam
mendengar kata-kata Solihin itu.
“Kita harus ingat, Allah tidak memberikan kita semuanya
begitu sahaja. Dengan sekali memagar itu tidak bermakna semuanya sudah cukup
selamat bagi kita. Kita harus berusaha lagi. Caranya seperti yang saya katakan
tadi. Seisi rumah harus banyak bersolat, baca Al Quran dan berzikir. Rumah yang
kita diami jangan dijadikan sebagai sarang melakukan dosa. Kerana itu iblis
sangat suka dengan rumah kita. Dan itu juga salah satu cara kita merosakkan
pagar rumah kita sendiri. Apa yang saya bacakan pada air tadi, itu adalah ayat
Al Quran yang sangat mudah dibaca dan dihafal. Amalkan selalu. Itu cara yang
paling tepat untuk kita mengukuhkan lagi pagar rumah ini daripada ditembusi
oleh syaitan,” tambah Solihin sekadar untuk pengetahuan kami.
Papa dan mama terus terdiam mendengar kata-kata Solihin
itu. Aku pula benar-benar berharap kata-kata lelaki itu akan memberikan
perubahan kepada sikap segelintir penghuni di dalam rumah ini yang tidak mengamalkan
solat lima waktu entah untuk berapa lama. Apatah lagi membaca Al Quran.
“Anak bapak ini sakitnya sangat berat. Saya minta bapak usahakan supaya dia
dapat bertemu dengan bapa saya segera. Saya simpati dengan dia.” Solihin mula
bercakap tentang Zackery pula.
“Maksud Pak Solih, memang benarlah Zackery disihir orang?” soal papa dengan
nada tidak percaya.
“Ia. Dan saya lihat benda itu memang sangat suka pada dia.”
“Ya Allah..” papa meraup wajahnya sambil menggeleng. Mama hanya mampu
memegang lengan papa. Dia juga nampak terkejut dengan apa yang dia dengar.
Sekarang baru dia orang percaya apa yang aku cakap!
Coin Casino No Deposit Bonus Codes (2021)
BalasPadamBest ์นด์ง๋ ธ No Deposit Casinos for Canada ๐️ Only $25 Free in ์ธ์นด์ง๋ ธ Canada ๐️ Only $25 Free in Canada ๐ฐ Get ๋ฐ์นด๋ผ ์ฌ์ดํธ $50 Free Bonus!