Jumaat, 8 Januari 2016

BAB 18-19 DIA, LELAKI BERHANTU?

BAB 18
PANGGILAN dari Adila berkali-kali akhirnya aku jawab juga. Terjerit-jerit dia memanggil namaku dari hujung talian.
“Kau kat mana ni? Aku risau tahu tak!” marah Adila dikala aku hanya membisu.
Aku menghela nafas perlahan. “Aku okay. Kau jangan risau,” ucapku perlahan.
“Apa dah jadi ni, Hana? Mak kau call aku menangis-nangis semalam. Kau kat mana ni? Aku nak jumpa kau!” ucap Adila tegas.
Aku diam seketika. Aku tidak berhasarat untuk memberitahu dia di mana aku berada sekarang.
“Aku ada hal ni. Kau jangan risau. Aku tahu jaga diri,” ujarku setelah dia memanggilku lagi.
“Hana, cakaplah dengan aku. Jangan buat kami macam ni. Apa aku nak jawab dengan mak kau?” pujuk Adila mula merendahkan suaranya.
“Cakap yang aku tak apa-apa. Jangan risau.”
“Senanglah kau bercakap. Kau tahu tak betapa sayangnya mak kau tu pada kau. Dia bimbangkan kau. Kau boleh cakap macam ni! Aku ambil berat tentang kau. Tapi kau jauhkan dari dari aku. Kenapa, Hana?” marah Adila.
Setitis air mata jatuh lagi ke pipi. Namun pantas aku seka. Penat menangis selalu!
“Dila, aku tak dapat bercakap sekarang. Nanti aku call kau balik.” Talian segera aku matikan setelah memberi salam kepadanya.
Aku termenung seketika memandang telefon itu. Seolah-olah sedang ternampak setiap ahli keluargaku di skrin itu.
Maafkan aku, Dila. Aku cuma perlukan sedikit ruang untuk diri sendiri. Aku malu pada orang tua aku. Anak yang tak mendengar kata. Beginilah akhirnya aku.. bisik hatiku sendiri.
“Wei, mak cik. Jom cepat!” panggil Julia dari jauh. Aku segera mengangkat pandangan. Dia melambai. Pantas aku mengekorinya menuju ke balai berlepas.
Julia sempat memandangku saat passport kami diperiksa oleh kakitangan lapangan terbang. Aku lebih banyak berdiam dari tadi.
“Come,” ajak Julia setelah usai kami diperiksa oleh kakitangan keselamatan lapangan terbang.
“Siapa call tadi?” tanya Julia setelah kami berada di ruang perlepasan. Sedang menunggu untuk naik ke pesawat.
“Dila,” jawabku sambil menyelak beg tangan. Telefon bimbit segera aku ubah ke dalam mood penerbangan. Perbuatanku diperhatikan Julia terus terusan.
“Dia dah tahu pasal tu?” tanya Julia lagi.
Aku sekadar menggeleng. Lama pandanganku terpaksa ke arah luar sana. Sehari dua masa berlalu, aku sebenarnya masih tidak percaya dengan apa yang  telah terjadi kepada diriku. Aku tak dapat lepas dari memikirkannya.
“Ambillah masa kau sendiri, Hana. Aku nak tengok kau kembali semula macam dulu. Aku tak suka tengok kau macam ni.” Julia mengusap bahuku perlahan.
Aku mula menoleh kepada Julia. “Maafkan aku kalau aku hampakan harapan mama kau, Ju.”
“Maksud kau?” Julia merenung lama wajahku dengan kerutan di kening. Cuma mencari makna kata-kata tadi.
Aku diam semula. Biarlah. Lama kelamaan nanti dia akan tahu juga.
“Macam yang aku kata tadi, ambil masa kau. Bila kau dah okay, kita bincang semula. Aku ajak kau temankan aku sebab aku nak kau ambil kesempatan ni untuk hiburkan diri kau. Tengok dunia luar.” Julia berkata lagi.
Aku tersenyum sendiri mendengar kata-kata Julia. “Kau tahu kenapa aku nak ikut kau?” ucapku perlahan.
Julia membisu pula kali itu.
“Aku nak lari jauh. Sejauh yang mungkin. Aku rasa mungkin dia tak akan cari aku. Tapi aku tahu kelemahan diri aku. Sebab tu aku ikut kau hari ini. Aku nak lari jauh dari tempat yang aku tahu dia ada di situ. Supaya aku tak pergi cari dia lagi,” ujarku dengan sedikit senyuman. Kata-kataku membuatkan wajah Julia berubah. Namun dia hanya mengusap bahuku perlahan.
“Semua ni mimpi. Tapi aku rasa macam nak gila kerana semua ni. Kenapa aku jadi begitu bodoh sebab cinta? Aku ingkar cakap mak aku. Kau pun dah banyak kali jelaskan pada aku tentang siapa Zackery tu. Tapi aku ni degil. Tengoklah apa yang aku dapat. Padan dengan muka aku, kan?” ucapku lagi.
“Okay. Okay. Hana, jangan cakap macam tu. Aku tahu kau tabah. Ambillah masa kau. Kami tak mahu bebankan kau dalam keadaan kau macam ni. Yang dah berlaku, itu semua takdir. Lepaska dia pergi, Hana. Diri kau lebih bernilai berbanding lelaki begitu. Kalau dia tak mahu hargai kau, percayalah. Ramai lagi orang di sekeliling kau yang sayangkan kau,” pujuk Julia sambil mengusap bahuku.
Aku menghela nafas perlahan. Rasa sendat kembali menghenyak dada. Aku tidak ingin begini selama-lamanya. Dan aku juga tidak berniat mahu mengenepikan orang yang sayangkan aku selama ini. Cuma, aku perlu bina hidup aku semula sehingga aku merasa kebal semula. Sehingga aku merasakan kehadiran Zackery itu tidak lagi bermakna kepadaku.
“Katakan pada Adila. Aku tak mahu dengar pujukan dari orang sekeliling aku. Aku cuma nak bersendirian untuk sementara waktu. Jangan risau tentang aku. Aku tahu jaga diri. Aku nak bina hidup aku semula. Di dunia baru. Dan aku tak akan ada di hadapan mata dia untuk sementara waktu,” ucapku lembut.
Julia hanya memandang kosong kepadaku. Mengangguk tidak. Menggeleng juga tidak. Aku tahu dia mengerti. Keputusanku sudah bulat. Sampai sudah masanya aku mencari hidupku semula. Dan Zackery tidak akan berada di situ lagi!
Ketika panggilan keberangkatan sudah kedengaran, kami antara yang paling lambat masuk ke pesawat. Malas mahu bersesak di celahan orang ramai. Aku sempat menelefon abah. Abah hanya tenang saat diberitahu yang aku akan pergi jauh darinya. Tanpa perlu menyoal selidik apa sebenarnya yang membenani aku, abah seolah tahu aku sedang dalam kesedihan. Malah dia tidak bertanyapun aku mahu ke mana.
“Jaga diri, Hana. Abah tahu Hana dah buat yang terbaik. Doa mak dan abah selalu ada dengan Ana.”
Air mataku jatuh menderu saat mendengar suara abah.
“Maafkan Hana, abah. Hidup Hana tak berjalan seperti yang diharapkan. Hana malu nak jumpa mak dan abah. Maafkan Hana.” Teresak-esak aku menangis.
“Abah faham, nak. Tak apa. Abah tak marah. Sabarlah ya? Allah uji Hana sebab Allah tahu kesabaran Hana di tahap mana. Jangan menyesali apa yang dah berlaku. Ini semua takdir. Sekali sekala telefonlah abah. Abah mahu bila Hana balik nanti, Hana akan jadi lebih kuat dari semalam. Pergilah. Abah faham Hana perlukan masa untuk diri sendiri,” ucap abah lembut.
“Kirim salam Hana dengan mak ya? Hana sayangkan abah dan mak. Insya-Allah nanti Hana akan balik juga.”
Julia hanya membisu mendengar perbualan aku di telefon itu. Kemudian kami bangun bersama. Dia menggenggam jemariku. Secangkir senyuman diberikan kepadaku.
“Aku akan selalu ada untuk kau, Hana. Kau tak sendiri,” ucap Julia lembut.
Aku sekadar tersenyum mendengar itu. Selamat tinggal kenangan semalam. Suatu hari nanti aku akan kembali. Ketika itu, aku bukan lagi seorang wanita mangsa cinta.

HIDUP tidak akan selamanya akan berlangsung seperti yang diharapkan. Jatuh dan bangun adalah adat hidup di dunia. Masa membuatkan kekecewaan lalu tenggelam begitu sahaja.
Dubai, Kota Emiriyah Arab.
Kesibukan dunia aku di antara manusia yang hanyut di dalam arusnya. Namun aku rasa hidup lebih berharga, diri lebih utama. Aku masih berkerja dengan Dato Farah walaupun menetap di kota Dubai. Di kota ini banyak sumber yang boleh digunakan untuk terbitan majalah terbaru keluaran Time Magazine. Sudah lama aku meninggalkan pekerjaan sebenar sebagai penulis novel dek kerana kekangan masa. Tugas sebagai ketua editor majalah memang menyeronokkan. Kehadiranku di sini dianggap langkah kanan. Secara tidak langsung Dato Farah dapat mengembangkan perniagaan restorannya sehingga ke Dubai.
Dan dalam masa yang sama, aku sempat menyambung pengajian di sebuah kolej. Sekadar menambah pengetahuan untuk lebih maju dalam bidang terbitan  majalah. Sedikit sebanyak semua itu membuat aku lupa kepada kisah lalu. Sedar tidak sedar sudah lebih dua tahun aku di sini. Selama itulah aku tidak pernah terfikir mahu pulang.
Malam itu usai Isyak, aku melepak di rumah. Duduk melepak sendiri sambil menikmati kopi, aku membuka internet. Laman web Times Magazine aku jengah. Ada novel terbaru sudah di up date. Tanpa dapat ditahan nafsu, aku mencapai telefon.
“Ju..” sapaku sebaik sahaja terdengar suaranya.
“Ada apa, minah??” balas Julia selamba.
“Nak novel yang terbaru tu, Ju. Macam best aja.”
“Apa susah? Baliklah sini. Kau boleh ambil berapa banyak yang kau nak,” ujarnya selamba.
“Aku serius nilah!” jeritku geram dengan Julia. Tidak serius langsung.
“Aku cakap yang betul. Aku tak boleh nak pergi sana. Banyak kerjalah sekarang.”
“Poslah, Ju. Aku sungguh-sungguh ni,” balasku masih tidak putus asa.
“Nantilah. Aku suruh si Diba pos. Kau pulak bila nak terbit novel? Senyap aja? Dah merajuk tak mahu jadi writer ke? Pembaca yang follow kau semejak dulu, asyik tanya aja bila kau nak terbit novel baru. Jenuh nak jawab tahu tak.”
“Aku tak sempatlah. Berlambak-lambak manuskrip aku yang terbengkalai. Nak baca pun tak sempat. Aku penat,” jawabku perlahan.
“Mama pun tanya bilalah kau nak hantar manuskrip. Kalau orang ramai bertanya, maknanya boleh buat duit ni. Mama tu tak ada lain. Duit! Duit! Duit!” ujar Julia sambil ketawa. Aku ikut ketawa mendengar celotehnya.
“Baguslah. Mama kau rajin buat duit. Kau dapat tempiasnya,” balasku selamba.
“Ialah sangat. Tapi aku serius ni. Karya kau yang last tu dah diulang cetak sampai lunyai mesin cetak tu.” Tergelak kuat Julia meluahkan kata-kata itu. Aku sekadar ketawa tanpa memberikan jawapan.
“Kesianlah follower-follower kau. Sekurang-kurangnya terbitkanlah satu buat pelepas rindu. Jangan senyap macam tu aja,” ujar Julia lagi.
“Tengoklah, Ju. Kalau mampu, aku usahakan.” Aku menjawab lembut. Tidak sanggup mahu berjanji. Bukannya tidak rindu mahu berkarya. Tapi aku tak larat.
“Okay. Kalau macam tu, aku masukkan slot terbitan untuk pesta buku antarabangsa nanti ya? Kasi mantop sales.”
“Eh! Aku tak janjilah. Kau jangan nak pandai-pandai.”
“Alah, usahakan sampai boleh! Raihana boleh!” tegas Julia sambil mengekek ketawa.
“Mengada-ada. Okay. Tapi jangan lupa pos buku kat aku. Kalau tak, tak ingin aku nak layan kau dah,” jawabku selamba.
“Okay, bebeh. Nanti aku cakap dengan Diba. Kirim salam aku kat pak arab yang handsome-handsome kat sana ya?”
“Siapa? Mustafar ke?” tanyaku lantas ketawa.
“Tak nak! Dia dah ada bini. Melepas aku!” jerit Julia membuatkan aku makin galak ketawa. Sudahnya Julia juga ketawa mengenangkan perangai sendiri. Mengurat pengurus restoran cawangan di sini. Rupanya Mustafar yang sememangnya tampan itu sudah bertunang ketika itu dan baru sahaja berkahwin dua bulan lalu. Kesian Julia.
Usai berbual dengan Julia, aku kembali menghadap komputer riba. Manuskrip lama yang masih tersimpan, aku jengah semula. Namun tiada mood mahu menyambungnya. Sudahnya aku buka dokumen baru. Satu jalan cerita yang sudah lama terangka di dalam minda, aku lakarkan. Dan tanpa sedar, mood untuk menulis kembali menyala-nyala.

SEMENJAK kembali melibatkan diri dalam terbitan karya, aku kembali membuka akaun facebook yang sudah lama terbiar. Akaun yang sama namun nama pada akaun itu sengaja aku tukar. Melalui akaun itu kembali berinteraksi dengan pembaca.
Promosi awal dibuat oleh laman web Time Magazine membuatkan nama itu mula mendapat perhatian. Tidak ketinggalan soalan-soalan yang bertanya tentang diriku, penuh di kotak inbox. Aku sekadar menjawab apa yang perlu.
Namun mesej dari seseorang bernama Pemburu Novel Cinta membuatkan aku tertanya-tanya. Rajin dia menghubungiku setiap hari. Tidak ada apa yang penting melainkan dia hanya bertanya adakah aku sihat? Sudah makan? Sudah solat? Menuliskah hari ini? Di mana aku tinggal? Hanya itu.
Siapa gerangannya manusia ini? Katanya dia seorang pembaca novel. Akaun facebooknya aku intai. Tidak banyak aktiviti dan maklumat yang boleh aku lihat dari akaunnya. Dari info di akaun itu, pemiliknya adalah seorang wanita.
Mesej terakhirnya aku baca lagi. Sudah dua kali dia memberi mesej itu. Kali pertama dia meminta untuk berjumpa, aku sengaja tidak menjawab. Kini dia mengutarakan lagi keinginannya itu.
Awak di mana? Saya nak jumpa awak.
Aku balas mesejnya dengan satu soalan pendek.
Awak ni lelaki ke perempuan?
Tidak lama kemudian dia membalas.
Saya peminat awak. Setiap hari saya akan ulang baca karya awak di blog. Setiap kali saya baca kisah itu, saya bayangkan awak adalah heroin dan saya heronya.
Berderau darahku membaca mesej itu. Lain yang aku tanya. Lain yang dia jawab. Seram pulak rasanya. Aku rasa dia ni lelaki. Sedang aku termenung ada satu mesej tiba lagi.
Awak dah ada teman lelaki? Suami ke?
Laju jemariku membalas.
Hal peribadi saya tak bercerita dengan orang luar. Maaf ya. Soalan saya tadi awak masih tak jawab. Awak ni lelaki ke perempuan sebenarnya?
Dan sesaat dua kemudian mesej dari individu itu muncul.
Saya peminat awak. Saya nak jumpa awak sangat-sangat.
Itu juga jawapan yang dia beri. Aku menulis lagi.
Zackery.
Kemudian aku termenung menunggu dia membalas. Manusia itu segera lenyap tanpa membalas mesejku. Pelik. Soalan mudah itu pun dia mahu berahsia. Lagi mahu tanya soalan tentang kehidupan peribadiku. Dan yang membuatkan aku lebih tertanya. Dia tidak bertanya pun siapa Zackery itu. Sama ada dia sudah daftar keluar dari akaunnya. Atau.. dialah Zackery itu. 


                                                      BAB 19
PESTA buku antarabangsa yang berlangsung di Kuala Lumpur memaksa aku pulang sehari sebelum itu. Teruja melihat persiapan akhir sedang dijalankan. Setelah sekian lama menyepi dari dunia penulisan akhirnya karyaku diterbitkan sempena pesta buku.
Aku ditempatkan si Seri Pacific Hotel sepanjang tempoh berlangsungnya pesta buku. Selain daripada mempromosi karya sendiri, aku turut bertugas di sana sepanjang tempoh itu. Manusia yang paling sibuk kala itu sudah tentulah si Julia.
Hari pertama pesta berlangsung, meriahnya sungguh tidak tersangka. Pertama kali Time Magazine menyertai pesta buku tahun lalu, aku tidak hadir. Disamping suka rela membantu kakitangan membuat jualan, dapat juga berkenalan dengan penulis lain yang turut bernaung di bawah syarikat penerbitan yang sama.
Hari kedua di pesta buku giliran aku untuk menyertai sesi bertemu pembaca. Memandangkan sesi itu hanya berlangsung selama dua jam, aku memilih sesi sebelah pagi. Sambutan untuk karya baru ini memang tidak kusangka. Setiap pembaca yang datang mahu berkenalan, hanya mampu berbual seketika sahaja. Di hadapanku penuh padat manusia bersesak. Ada yang menanti buku ditandatangan. Ada yang sekadar mahu menjadi pemerhati. Pening juga kepala aku dibuatnya. Tangan pun rasa kejung menandatangan buku satu persatu.
Namun ketika sesi sudah hampir berakhir, aku terpandangkan seseorang berada di celahan manusia itu. Spontan reaksiku berubah. Dada mula berdegup kencang. Alamak! Desis hatiku kalut sendiri. Aku sedar dia sedang menunggu giliran untuk sampai kepadaku. Mahu lari dalam keadaan ramai orang di hadapanku? Jangan cari pasal, Raihana!
Kehadiran lelaki itu mula membuat aku tidak fokus. Sehingga akhirnya dia berada betul-betul di hadapan mejaku.
“Hai..” sapa lelaki itu membuatkan aku seperti mahu rebah di situ.
“Saya suka karya awak. Saya nak minta tandatangan awak,” ucap lelaki itu dalam pada aku masih terkaku memandang dia berdiri di hadapan meja. Dia meletakkan sebuah buku di hadapanku. Namun bukan karya nukilan aku yang dia letakkan. Sebaliknya buku bertajuk Hope itu.
Zackery memindahkan pandangan ke arah buku itu. Lambat-lambat aku membukanya.
Biar sejauh mana dia berlari, aku akan bangkit untuk mengejarnya..
Aku membaca nukilan itu berkali-kali. Kali itu barulah Zackery meletakkan sebuah novel di atas buku itu. Buku itu aku buka tanpa memandangnya. Aku turunkan tandatangan di bahagian autograf sebelum aku serahkan semula kedua-dua buku itu kembali kepadanya.
“Saya suka nama pena baru ni. R. Anne Raina. Saya masih boleh cari siapa orang di sebalik nama pena ni. Anne adalah N atau pun Nurul. Raina adalah Raihana. R adalah Rashdan. Betul, kan?” ucap Zackery tanpa mempedulikan orang lain sedang beratur di belakangnya.
“Next!” aku memanggil orang belakang Zackery.
“Abang tunggu sini ya?” Lelaki itu meminggir ke tepi meja itu. Dia mahu jadi penunggu aku pula di tepi meja itu. Walaupun aku cuba berlagak selamba, tangan yang sudah letih semakin menggigil. Mulalah aku rasa nak habiskan sesi ini secepat yang mungkin.
Tidak sekadar menjadi penunggu. Dia juga berusaha menjadi pembantu jualan. Buku yang bersusun di hadapanku itu, dihulurnya kepada seorang gadis.
“Belilah. Dijamin best!” ucap Zackery.
Gadis itu mengerut kening memandang Zackery. Aku rasa macam nak lempang aja dia tu.
“Dah baca ke?” tanya gadis itu kepada Zackery.
“Tak payah baca. Abang punya rekomen mesti okay. Sebab yang tulis buku ni buah hati abang,” ujar Zackery dengan bangganya. Gadis itu tersenyum memandangku. Terus buku itu dibawa ke kaunter.
Biarpun sesi tandatangan sudah selesai, aku menunggu seketika di situ. Penulis yang bakal menggantikan tempatku masih belum muncul.
“Semenjak bila ada pembantu ni?” tegur Julia sambil mendekatiku. Novel display yang bersusun di atas meja itu dialihkan. Diganti dengan novel lain. Aku sempat mengerling lelaki itu. Dia sedang memandang ke arah lain.
“Entah. Dia lantik diri dia sendiri,” ujarku lantas bangun.
“Nak balik bilik ke lepas ni?” tanya Julia.
“Abang nak ajak Hana pergi makan, boleh?” sampuk Zackery sebelum sempat aku menjawab soalan Julia.
Aku terus menoleh. Zackery sudah berdiri di sisiku. Aku sempat memandang dia dari atas ke bawah. Zackery tetap memandangku tanpa berganjak.
“Okaylah. Ada apa-apa call aku ya?” ucap Julia sambil menyerahkan sebuah beg kertas kepadaku. Kemudian dia terus berlalu. Malas mahu memandang Zackery agaknya.
“Hana..” panggil lelaki itu sebaik sahaja aku berlalu.
“Ada apa lagi?” getusku.
“Kita pergi makan ya? Abang laparlah,” ucap Zackery sambil cuba menyaingiku di celahan orang ramai.
Aku hanya diam sambil terus berjalan. Untuk apa lagi dia mencari aku? Aku sudah penat melayan perasaan. Serik dipermainkan.
“Hana, cakaplah dengan abang..”
“Hana tak ada apa nak cakap. Tolong jangan cari Hana lagi,” ujarku sekadar menoleh sedikit kepadanya.
“Hana, nanti dulu.” Zackery cuba memanggil. Dia terperangkap di celahan orang ramai sedangkan aku sudah menonong ke hadapan. Aku tidak menyahut panggilannya. Malah, langkah sengaja aku lajukan menunju ke eskulator.
Agak lama setelah itu, menoleh ke belakang. Zackery sudah tidak kelihatan. Aku sempat berdiri memandang sekeliling. Memang dia sudah tiada. Tanpa menunggu lagi aku terus berlalu ke pintu utama bangunan itu.
Sebenarnya perut memang sedang lapar. Aku duduk di cafe berdekatan dengan Hotel Seri Pacific memandangkan masih banyak meja kosong di situ. Aku sempat memanggil Julia melalui talian.
“Ada apa lagi?” tanya Julia sebaik sahaja panggilanku berjawab.
“Makan dulu jom,” ucapku kepadanya.
“Eh! Mana mamat tu?”
“Entah. Dah lenyap. Turunlah. Aku kat cafe ni,” ajakku bersungguh.
“Okay. Bagi aku lima minit,” jawab Julia sebelum talian dimatikannya.
Aku memesan makanan sementara menanti Julia tiba. Terus dia duduk di hadapanku.
“Tadi aku memang nak ajak kau pergi makan. Tapi Zackery ada pulak. Dia dah blah ke?” tanya Julia hairan.
“Agaknya. Tadi aku sengaja tinggalkan dia,” jawabku hambar. Malas mahu bercakap tentang Zackery lagi.
“Dia nak apa cari kau semula? Pelik. Macam mana dia tahu kau ada kat sini ya? Dia tu memang berhantulah! Tahu aja nak cari kau kat mana.”
“Aku tak tahu. Orderlah cepat,” balasku sambil memandang ke tepi meja. Seorang pelayan sedang menunggu Julia membuat pesanan.
Usai membuat pesanan, Julia kembali memadangku. Riak di wajahku pula dibacanya.
“Kau tu bila Zackery timbul semula, mulalah muka tu tegang aja. Senyum pun mahal. Muka macam stress aja. Kau masih tak boleh lupakan dia ya? Kalau tidak, takkan kau macam ni,” tegur Julia dengan pandangan ekor mata.
“Mana ada!” aku segera menafikan telahan Julia. Namun dalam diam, aku sebenarnya merasakan amat terganggu dengan kehadiran lelaki itu semula. Memandangnya sebentar tadi hati terasa amat pedih. Kalau boleh aku tidak mahu bertemunya lagi sampai bila-bila jika itu lebih baik untukku.
“Muka dia macam tak ada rasa bersalah aja tadi, kan? Aku pulak yang menyirap tengok dia tu,” bebel Julia.
Perlahan aku menghela keluhan. Bagaimanalah untuk aku tenang jika nama Zackery terus diperdengarkan kepadaku?
“Kau dah tahu aku susah nak lupakan dia. Tapi kau asyik bercakap pasal dia,” ucapku perlahan.
“Oh, okay. Sorry. Aku tutup mulut.”
Tidak banyak perbualan antara kami ketika itu. sesungguhnya aku masih tidak mampu mengembalikan diriku ke alam nyata setelah apa yang berlaku. Julia ralik menyuap makanan sambil memandang sekeliling. Namun tiba-tiba dia mencuit tanganku.
“Alamak. Duda kaulah, Hana.”
Tersentap. Aku lantas memandang Julia. Disaat yang sama juga aku sudah ternampak Zackery berjalan ke arah kami. Julia terpaku melihat Zackery menarik satu kerusi lalu duduk.
“Penat abang cari Hana,” ujar Zackery agak lemah.
“Siapa suruh cari?” balasku amat perlahan. Pandangan aku halakan ke arah lain. Julia sudah tidak senang duduk melihat Zackery asyik memandangku. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya.
“Aku naik dululah ya?” cepat sahaja Julia meminta diri. Aku tidak menjawab. Julia berlalu begitu pantas.
Kesempatan yang ditinggalkan Julia segera diregut oleh lelaki itu. Zackery berpindah duduk di kerusi Julia tadi. Bola matanya masih tidak berkalih dari memandang ku. Aku pula? Tidak tahu apa yang harus aku lakukan di hadapannya.
“Hana apa khabar?” Zackery segera memulakan perbualan kami.
“Baik. Abang?” balasku biasa.
“Abang sihat,” jawab Zackery lembut.
Aku tersenyum tawar mendengar jawapannya. Entah kenapa kami amat kekok untuk berbual. Dia lebih banyak memandang ku dan aku pula seperti tidak tahu mahu berkata apa kepadanya. Serba tidak kena rasanya dengan pertemuan ini. Perasaan di dalam semakin tidak tenang.
“Bila balik ke sini?” tanya Zackery cuba mengisi suasana kami yang suram tanpa kata-kata.
“Dua hari lepas. Bila abang boleh berjalan semula?” tanyaku pula kepadanya.
“Lama dulu.” Lelaki itu menjawab jujur.
“Oh! Baguslah. Akhirnya abang dapat jadi diri abang semula,” ucapku dengan senyuman pahit. Entah kenapa aku rasa mahu menangis benar. Dia sudah dapat apa sahaja dia mahukan. Mengapa dia terus mencari aku? Untuk apa dia menyeksa perasaanku lagi?
“Abang buat apa kat sini?” aku bertanya lagi.
“Hana masih nak tanya apa abang buat kat sini? Kenapa? Hana tak suka tengok abang ke?” Zackery menjawab sedikit sinis.
Aku menggeleng perlahan sebelum membuang pandang. Wahai hati, sabarlah dikau.
“Hana dah banyak berubah abang tengok. Makin cantik sekarang,” ucap Zackery sambil mendekatkan tubuhnya ke meja.
“Biasa aja. Takde apa yang berubah sangat. Abang pun dah banyak berubah. Dah makin berisi. Ada cerita terbaru ke?” balasku dengan lagak selamba yang dibuat-buat.
“Cerita apa?” tanya Zackery pantas. Kerutan di keningnya menjelaskan yang dia tidak mengerti akan maksudku.
“Manalah tahu dah ada orang baru dalam hidup abang. Tu yang nampak berseri aja.” Kata-kata itu lantas membuatkan wajah bekas suamiku itu berubah.
“Hana sindir abang ke?”
“Sindir? Langsung tak!” jawabku pantas. Memang langsung tidak terniat untuk menyindirnya. Aku sekadar bertanya cerita terbaru tentang dirinya. Itu sahaja.
“Hana sendiri macam mana? Dah ada pengganti abang ke? Sebab tu tak mahu jumpa abang,” ucapnya sambil pandanganya dijatuhkan ke jemari ku. Mencari cincin pernikahan yang baru agaknya.
Aku hanya menjungkit bahu sambil tersenyum kelat. Pengganti? Itukah istilah yang seharusnya digunakan setelah dia meminggirkan aku dari hidupnya? Lebih dua tahun lalu dia begitu tega membuang aku dari hidupnya. Cukupkah tempoh itu untuk aku menggantikan kelukaan yang dipahatnya dengan kebahagiaan baru?
Kami berdiam seketika. Dia asyik memandang sehingga aku jadi tidak selesa dengan keadaan itu.
“Bang, Hana kena pergi dulu. Ada kerja nak buat ni.” Aku akhirnya memilih untuk berlalu dari situ.
“Hana duduk di rumah Adila ke?”
“Kenapa nak tahu?” soalku tidak senang. Aku memandangnya sekilas sebelum melambai pelayan untuk membuat bayaran.
“Bil!” ucap ku kepada pelayan yang menoleh. Saat itu barulah aku memandang lelaki itu semula.
“Kenapa nak tahu Hana tinggal di mana?” tanyaku sekali lagi.
“Sebab abang nak jumpa Hana lagi. Boleh, kan?” Zackery menjawab lembut.
Aku tidak terus menjawab sebaliknya memandang ke dalam cafe untuk mencari pelayan tadi. Harap-harap dia tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan apa yang aku minta. Apabila terpandangkan lelaki berpakaian seragam putih itu sedang menuju ke arahku, aku memilih untuk mengabaikan sahaja soalan Zackery.
Namun sebaik sahaja pelayan itu tiba di meja, Zackery terus merebut folder hitam ditangan pelayan itu sebelum sempat aku mengambilnya. Terkejut aku dengan perbuatannya itu. Zackery sengaja meletakkan folder itu di atas pahanya bagi mengelakkan aku mengambil semula folder itu.
“Kenapa buat macam ni? Hana boleh bayarlah!” degusku tidak senang dengan perbuatannya itu.
“Biarlah abang bayar. Bukannya banyak pun,” balas Zackery sambil tersenyum. Serentak itu dia menyerahkan folder itu kepada pelayan yang menanti. Pelayan lelaki itu terus berlalu.
“Biar Hana bayar balik duit abang. Berapa harganya?” kata ku enggan terhutang budi dengannya. Kerana selepas ini aku tidak ingin bertemu lagi dengannya.
“Hana, tak payahlah!” pujuk Zackery lembut.
Menyirap darahku dengan kelakuannya. Tidakkah dia sedar apa yang sedang dia lakukan kepada ku saat ini? Harapan yang pernah diberikan selama ini tidak pernah menjadi nyata. Kosong belaka! Kali ini dia melakukannya lagi disaat aku sedang berusaha keras untuk menyingkirkan namanya daripada lipatan kenanganku.
“Suka hati abanglah!” degusku keras. Tanpa menunggu lagi aku terus mengambil beg tangan dan bangun dari situ.
“Hana..” Zackery terus bangun mengejarku. Langkahku terhenti dipertengahan jalan.
“Tolong pergi jauh dari Hana. Tolong! Hana tak mahu jumpa abang lagi. Kalau ada sedikit belas kasihan abang pada Hana, tolong jangan cari Hana lagi. Hana merayu sangat pada abang,” ucapku bersungguh. Namun saat itu air mataku hampir gugur memandang wajahnya.
“Tapi kenapa? Kenapa Hana buat abang macam ni?” balas Zackery bersungguh. Hampir sahaja dia mahu mencapai tanganku. Aku lebih pantas menepis.
“Kenapa?” aku ketawa perlahan. Pedih hati tidak terucap. Mudahnya dia berlagak seolah-olah semuanya hanya ringan belaka. Benar kata Julia. Lelaki ini tidak tahu rasa bersalah langsung.
“Sebab Hana..” aku tidak jadi meneruskan bicara. Buat seketika aku menarik nafas cuba menenangkan perasaan yang kian rusuh. Namun entah kenapa sekeping hati itu kian dilanda kesedihan akibat perasaan yang pernah diabaikan begitu sahaja. Betapa aku masih terlalu terluka dengan keputusannya dulu.
“Pergilah balik, bang. Hana tak mahu jumpa abang lagi. Cukuplah setakat ini,” ucapku sedikit lembut.
“Hana, abang minta maaf kalau ada perbuatan abang yang menyakitkan hati Hana. Banyak yang abang nak katakan pada Hana,” pujuk Zackery lembut.
“Cukuplah! Jangan minta maaf lagi. Kita dah takde hutang apa-apa lagi, bang. Hana tak pernah berdendam dengan abang. Cuma Hana perlukan sedikit masa untuk lupakan semuanya. Itu aja yang Hana minta dari abang. Jangan cari Hana lagi. Hana harap abang faham,” luah ku bersungguh.
Wajah Zackery berubah mendengar kata-kataku. “Hana, kita perlu berbincang..”
“Takde apa lagi yang nak dibincang. Semuanya dah selesai!” pintasku lebih cepat.
“Selesai? Apa yang selesai?” soal lelaki itu pantas. Lengan ku ditariknya agar aku memandangnya.
“Kita! Abang yang selesaikan tanpa bertanya dulu pada Hana. Jadi bincang apa lagi yang abang nak dari Hana sekarang?” balas ku semakin meninggi kepadanya. Tangan ku rentap semula daripada pegangannya.
“Hana abang tak faham, sayang. Hana cakap apa ni?”
“Kita dah tak ada kena mengena lagi. Jadi tolong jauhkan diri dari Hana. Hana tak mahu tengok muka abang lagi,” ucapku tegas.
Zackery terpaku memandangku. Seolah tidak percaya aku tergamak berkata begitu kepadanya.
“Hana.. abang rindukan Hana. Takkan Hana tak rasa apa yang abang rasa. Dah lama abang tunggu Hana balik semula pada abang,” luah Zackery saat aku mula berlalu dari situ.
“Masih bermimpi lagi ke?” balasku sinis. Tiada kepentingan untuk aku merasa bahagia dengan ucapan itu. Aku bukan lagi isterinya. Dan Zackery hanya kaku membiarkan aku pergi jauh darinya.

Namun saat itu baru aku sedar. Betapa lajunya air mata mengalir di pipi menangisi kelukaan yang masih tersimpan di hati. Cukuplah! Cukuplah dengan kelukaan itu. Cinta yang masih ada tidak mungkin boleh digapai olehku lagi. Tidak mungkin akan pernah direalisasikan lagi! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan