BAB
14
KG MADAI, Kunak, Sabah.
Kami sekeluarga tiba di perkarangan rumah tahfiz itu pada jam tujuh setengah malam iatu sebelum
waktu isyak di Sabah. Abah yang memandu turun dari van itu untuk bertanyakan
Pak Kiyai kepada seorang lelaki yang menyambut kedatangan kami. Tidak menunggu
lagi lelaki itu berlalu naik ke rumah kampung yang agak besar itu.
Tidak lama kemudian muncul seorang lelaki tua. Lelaki itu turun menemui
abah. Mereka berpelukan seolah-olah seperti sepasang sahabat lama yang sudah
bertahun tidak bertemu. Kini aku sudah tahu Pak Kiyai itu rupanya sahabat lama
abah ketika abah berkhidmat di negeri ini suatu masa dulu. Pak Kiyai itu
berasal daripada Indonesia namun sudah lama menetap di kampung ini.
“Mana orangnya?” aku terdengar Pak Kiyai itu bertanya kepada abah.
“Sini..” abah segera membawa Pak Kiyai mendekati kami berdua yang masih
tertinggal di dalam van itu. Lelaki itu memandang Zackery yang bersandar lemah
tidak mampu bergerak.
“Masya-Allah! Berat sakitnya ni. Ayuh! Bawa dia ke atas. Nanti saya minta
anak-anak tahfiz bantu kamu.” Pak Kiyai berkata perlahan setelah memandang
suamiku itu.
Lega benar hati ku setelah tiba di rumah lelaki ini. Harap-harap Pak Kiyai
yang diceritakan abah ini mampu menunjukkan jalan penyelesaian kepada masalah kami
semua.
Di atas rumah itu keadaan Zackery diperhatikan lama oleh lelaki yang
menjadi kepala kepada rumah tahfiz ini. Lama dia memegang dahi suamiku itu
sebelum mengeluh sendiri. Seketika kemudian dia beralih pula ke bahagian
belakang badan Zackery. Beberapa orang pembantunya itu dimintanya agar membantu
suamiku supaya duduk membelakangkannya. Aku perhatikan dengan penuh minat segala
perbuatan lelaki yang dipanggil Pak Kiyai itu. Dia menyentuh tulang belakang
Zackery sambil membaca sesuatu. Seketika kemudian dia menyuruh pembantunya membaringkan
semula Zackery.
“Udah berapa lama dia mengalami
kecelakaan mobil?” tanya Pak Kiyai
sambil memandang kami bersilih ganti.
“Dah lebih setahun, Pak Kiyai. Dia tak boleh berjalan akibat kecederaan
pada tulang belakang.” Papa menjawab bagi pihak kami.
“Jadi semenjak kecelakaan itu dia langsung tidak bisa berjalan biarpun
sedikit?”
Papa hanya menjawab pertanyaan Pak Kiyai itu dengan anggukan.
“Berapa umurnya anak bapak ini?” tanya Pak Kiyai lagi.
“29 tahun, Pak Kiyai.”
“Waduh! Kasihan sekali. Masih muda orangnya,” ucap Pak Kiyai perlahan.
“Saya minta kalau Pak Kiyai ada ikhtiar yang boleh membantu anak saya ni
tolonglah tunjukkan pada kami. Semenjak kebelakangan ni keadaan dia makin
memburuk. Ubat doktor pun dah tak boleh membantu,” luah papa penuh harapan.
“Kamu ini sakit berat, nak. Ada orang benci sama kamu. Ada orang mahu
memusnahkan hidup kamu.” Pak Kiyai memulakan bicaranya perlahan.
“Maksud Pak Kiyai apa?” Papa segera bertanya sebelum Pak Kiyai menghabiskan
bicaranya.
“Ada makhluk lain duduk bersama anak bapak ini. Bukan kecelakaan mobil itu
yang membuatkan dia menderita begini. Tetapi ini angkara sihir. Sebelum ini Pak
Rashdan ada menelefon saya. Minta saya tengokkan keadaan anak bapak tapi
malangnya saya tidak bisa tembus kepada dia dan dari bayangan yang pernah ada
fikiran saya sebelum ini suasana rumah bapak hitam sekali. Kusam dan sukar
dilihat. Itu tandanya ada sesuatu yang sedang mengontrol rumah itu. Saya kira
itu adalah kerja iblis. Saya minta Solihin segera ke sana. Karna itu juga saya
minta bapak dan Pak Rashdan segera membawa anak bapak ke sini. Jika bisa
dibantu mahu saya membantu bapak sekeluarga,” ujar Pak Kiyai.
Papa kelihatan terkejut dengan penjelasan lelaki tua itu. Dia memandang
mama agak lama sebelum kembali memandang Pak Kiyai.
“Jadi macam mana sekarang ni, Pak Kiyai?” abah yang hanya menelinga dari
tadi menyampuk juga akhirnya.
“Dari apa yang saya lihat sepertinya ada sesuatu yang tak elok dihantar
sama anak kamu ini. Dan dia sudah menghantarnya lebih dari sekali. Satu bahagian
diberikannya supaya anak kamu ini hilang kelelakiannya. Kebetulan dia pernah
mengalami kecelakaan mobil. Jadi diletakkannya barang itu dibahagian yang sudah
rusak supaya anak kamu ini tidak bisa
berjalan dan langsung impontensi. Barang itu ada ditulang belakangnya. Benda
itu harus dikeluarkan segera sebelum anak kamu ini habis dikerjain sama orang itu.”
Bicara Pak Kiyai itu sekali lagi membuatkan orang tua Zackery berpandangan
berdua. Pak Kiyai memandang Zackery yang sedang mendengar. Namun suamiku itu
langsung tidak berkata apa-apa. Juga tidak merasa terkejut dengan penjelasan
lelaki itu.
“Barang kedua dihantar sama kamu saya kira baru-baru ini. Supaya kamu benci
sama isteri kamu. Biar perkahwinan kamu berantakan terus-terusan dan akhirnya
pernikahan kamu musnah. Dipasaknya rasa benci dalam diri kamu sehingga kamu
ikut membenci semua orang di sekeliling kamu. Kadang-kadang kamu rasa kamu
marah sama isteri kamu tanpa sebab. Benar?” ujar Pak Kiyai sambil menundingkan
jarinya kepadaku.
Zackery agak lambat menjawab. Namun dari telahanku, apa yang digambarkan
oleh air muka Zackery saat ini, itulah seperti apa yang dikatakan oleh Pak
Kiyai.
“Ini perkerjaan yang palinggggg disukai
iblis. Merusakkan hubungan suami isteri. Supaya bercerai berai. Syukurlah kamu
berdua bersabar dengan cobaan ini. Jika tidak pasti ada yang musnah angkara
sihir ini,” ujar Pak Kiyai lembut sambil mengalihkan pandangannya kepadaku.
“Barang ketiga dihantar pada kamu melalui angin supaya kamu tidak bisa makan
dan sakit berpanjangan hingga akhirnya kamu mati. Dia benar-benar mahu
memusnahkan kamu. Ini angkara dendam yang cukup hebat. Cuba kamu fikir apa pernah
kamu sakiti hati sesiapa sebelum ini? Mantan pacar mungkin?” kata Pak Kiyai kepada Zackery.
Zackery terus berdiam. Dia memandang sahaja Pak Kiyai tanpa mampu menjawab.
“Ya, mungkin kamu tidak sadar atau mungkin sudah lupa. Tidak mengapa. Kita
lupakan semua itu dulu. Masalah ini harus diselesaikan segera. Segala yang
tidak elok berada dalam badan kamu harus segera dikeluarkan.” Pandangan Pak
Kiyai kemudian beralih kepadaku.
“Ada pernah sesiapa datang ke rumah..” belum sempat Pak Kiyai meneruskan
kata-kata, Zackery tiba-tiba ketawa dengan suara aneh. Aku menjerit spontan
akibat ketakutan.
“Allah!” getus lelaki tua itu turut terkejut melihat Zackery tiba-tiba
berubah. Tiga lelaki mula mendekat. Masing-masing sudah bersiap sedia mahu
memegang Zackery.
“Bagus! Kamu sudah merasa terusik ya?” ucap Pak Kiyai.
“Jangan ganggu aku!!!” jerit Zackery tiba-tiba. Betapa anehnya. Sebelum ini
dia lemah sekali. Namun kali ini berbeza. Dan, sungguh! Suaranya memang
benar-benar menakutkan aku.
“Keluar kamu dari situ,” ucap Pak Kiyai kepada Zackery. Lama dia memandang
Zackery ketawa sendiri. Pak Kiyai membaca Ayat Kursi agak kuat.
“Jangan ganggu aku, orang tua! Kau takkan boleh lawan aku!” Zackery berkata
keras sebelum dia mengilai begitu lantang sekali. Ayat Kursi yang dibacakan Pak
Kiyai, selamba sahaja diejeknya. Serentak itu aku memaut lengan emak di sebelahku.
Bulu roma sudah mula meremang.
“Kamu main-mainkan ayat Allah. Berani kamu ya?” ucap Pak Kiyai.
“Kau fikir aku tak pandai baca Al Quran?” balas Zackery. Begitu senang
hatinya melambakkan tawa jahatnya.
“Kamu jin kafir?” tanya Pak Kiyai.
“Ya,” jawab Zackery. Aku sempat memandang lelaki itu. Zackery hanya pegun
memandang ke atap. Bola matanya tidak bergerak langsung.
Pak Kiyai mengengsot semakin dekat kepada Zackery. Kemudian dia memandang
tuga anak tahfiz yang sedang memerhatikannya. “Pegang kaki dia,” ucap Pak
Kiyai. Tiga anak muda itu akur.
“Sekarang kamu rasakan!” Pak Kiyai mula memegang dahi Zackery. Surah Al
Ikhlas dibacakan berulang kali.
Zackery memekik sambil menggelepar. Kepalanya cuba dipalingkan namun Pak
Kiyai memegang kuat kepalanya.
“Keluar kamu dari tubuh manusia ini!”
“Aku tidak akan keluar! Jangan ganggu kerja aku!” balas Zackery kuat.
“Kerja apa? Apa kamu mahu dari dia?”
“Aku nak dia mati. Dia dah ganggu tuan aku!!” jeritan Zackery semakin
keras.
“Kenapa kamu mahu dia mati? Siapa tuan kamu itu. Panggil dia sekarang! Biar
dia berbicara sama aku! Lekas panggil dia ke mari!” balas Pak Kiyai tanpa mahu
melepaskan kepala Zackery. Ayat Kursi dibacakan bersama surah tiga Qul.
Saat itu Zackery hanya mengerang tanpa menjawab. Kemudian mulut Zackery
terkumat kamit membaca sesuatu suatu mentera untuk melawan ayat suci yang
dibaca Pak Kiyai. Dari apa yang aku dengar kalimah-kalimah yang disebutkan itu
agak aneh. Entah bahasa apa. Namun semakin garang Pak Kiyai, dia lebih garang
lagi.
“Kamu berdegil ya?? Nak mencabar?” Pak Kiyai memberi isyarat kepada
pembantunya. Serentak itu dua lagi pembantunya bangun ikut membantu menahan
tangan Zackery ke lantai. Kali ini ibu jari kaki Zackery dikepitnya. Suamiku
mula menjerit keras.
“Sakit! Sakit! Papa, tolong Zack. Sakit, papa. Tolong suruh dia berhenti.”
Zackery mula merintih sambil memandang papa yang resah menyaksikan semua itu.
Papa cuba menyentuh Zackery namun ditegah Pak Kiyai.
“Biarkan dia. Dia menipu! Sakit, kan?? Kamu mahu lagi?”
“Lepaskan aku! Aku akan balas dendam pada kau orang semua!!!” Zackery
memekik lantang. Suaranya kian garau sehingga aku mula duduk berhimpit dengan
emak. Seram benar bunyi suaranya itu.
“Kamu yang harus lepaskan manusia ini. Kamu tidak seharusnya mengganggu
dia. Mahu aku buktikan siapa lagi kuat? Kamu atau ALLAH lagi berkuasa? Mahu
lagi yang lebih hebat?” ancam Pak Kiyai.
“Lepaskan aku. Tolong!!” kali ini suara Zackery sudah kembali kepada
suaranya.
“Jangan kamu seksa manusia ini. Aku sudah ingatkan. Aku ajarin kamu ni!!”
marah Pak Kiyai. Seterusnya barulah Pak Kiyai mula membaca ayat-ayat penawat
Ruqyah. Zackery melolong-lolong sepanjang masa Pak Kiyai membaca ayat-ayat itu
mengikut turutan. Saat dibacakan surah Jin, Zackery menangis teresak-esak.
“Jadi sekarang aku mahu kamu keluar dari badan dia. Jangan menyeksa dia
lagi. Keluar sekarang!” Entah kepada siapa herdikan itu ditujukan aku sendiri
tidak tahu. Namun apa yang aku tahu, suasana rumah itu sudah cukup menyeramkan
aku.
“Tidak! Aku akan terus duduk di sini dengan dia! Kalau aku keluar sekalipun
aku akan kembali lagi untuk ganggu dia! Itu perjanjian aku dengan tuan aku!”
cemuh Zackery masih berdegil.
“Oh! Kamu degil ya? Aku kerjakan kamu satu persatu,” ucap Pak Kiyai masih
tidak mahu mengalah. Kemudian dia meminta seorang remaja lelaki yang memerhati
sahaja dari tadi mengambil baldi untuknya.
“Bangunkan dia. Biar dia rasa!” ucap Pak Kiyai.
Zackery menggelupur saat tubuhnya cuba didudukkan. Pak Kiyai berkalih duduk
di belakang Zackery. Baldi itu diletakkan di hadapan Zackery.
“Kamu cabar aku ya? Syaitan laknatullah! Aku habiskan kamu!” marah Pak
Kiyai sambil memegang tengkok Zackery. Dia tunduk membaca ayat kursi diikuti
dengan ayat-ayat lain. Semakin diulang bacaannya itu Zackery semakin tidak
keruan. Dia mengerang kuat.
“Arggghh!!!! Diam kau!!!” akhirnya dia memekik akibat tidak tertahan.
Tubuhnya menggigil dan spontan kepalanya terdongak ke atas. Semakin itu juga
Pak Kiyai menguatkan bacaannya. Pembantu Pak Kiyai asyik meminta Zackery
beristighfar. Namun suami ku itu tidak mampu melakukannya.
Aku hampir menangis apabila suami ku seperti sedang diseksa. Remaja lelaki
itu mendekatkan baldi itu di hadapan Zackery apabila melihat suami ku itu
semakin kuat mengerang. Kepalanya terus terdongak dan mulutnya terbuka luas.
Urat-urat lehernya tegang bagaikan sakaratulmaut sedang mencabut nyawanya.
“Laillahaillallah!!” jerit Pak Kiyai kuat sebelum belakang Zackery ditepuk kuat
sehingga suami itu tertunduk ke dalam baldi itu. Zackery terbelahak kuat
sehingga kami semua di ruang tamu itu berpandangan sesama sendiri.
“Muntahkan lagi! Muntahkan semuanya,” pinta Pak Kiyai sambil menepuk-nepuk
belakang suami ku itu.
“Uwweekk.... uwwekkkk..” semakin kuat Zackery memuntahkan segala isi
kandungan perutnya.
Sementara Zackery masih muntah, Pak Kiyai terus membaca sesuatu sambil
sebiji telur ayam kampung digolekkkan di bahagian tulang belakang Zackery. Setelah
keletihan akhirnya dia mengangkat kepalanya dari mulut baldi itu. Saat itu
barulah aku ternampak mulutnya yang dipenuhi darah pekat dan dari bayangan
dalam baldi berwarna merah itu aku lihat hampir suku baldi itu dipenuhi oleh
muntah suami ku itu.
Pak Kiyai membaca sesuatu pada segelas air. Kemudian dia menyuruh Zackery
berkumur dengan air itu. Kesan darah di sekeliling mulutnya dibasuh menggunakan
air itu. Zackery dibaringkan semula. Bajunya diselak. Kali itu Pak Kiyai
menggolekkan buah limau nipis di atas dada Zackery sehingga ke perut. Kemudian
diambil sebiji yang lain, diulanginya lagi perbuatan itu. kami hanya memerhati
tanpa berkata apa-apa. Usai itu, Pak Kiyai membaca pula ayat-ayat suci pada
sebiji kelapa muda yang sudah ditebuk hujungnya. Selesai itu kelapa gading
berwarna kuning itu diberikan kepada Zackery.
“Masukkan airnya dalam gelas itu. kasi diam minum. Kalau bisa habiskan
sahaja. Nanti isinya kamu makan. Bisa pulihkan perut kamu itu,” ucap Pak Kiyai
lembut. Pembantu Pak Kiyai segera patuh kepada arahan tok gurunya.
“Bismillah dan selawat dahulu..” ucap pembantu itu lembut.
Zackery pegun seketika dengan mulut terkumat kamit. Seketika kemudian dia
meminum air itu perlahan-lahan.
“Baringlah. Rehat. Kamu pastinya masih berasa sakit,” ujar Pak Kiyai kepada
Zackery. Zackery dibantu berbaring
semula. Dan lelaki itu terus terlena begitu sahaja.
Pak Kiyai menjengukkan kepalanya ke dalam baldi bekas muntah tadi. Serentak
itu dia beristighfar.
“Inilah kerja iblis. Mari lihat, pak.” Pak Kiyai lantas dia menyorongkan
baldi itu kepada papa yang datang dekat dengannya untuk melihat isi kandungan
baldi itu. Spontan itu papa terkejut.
“Ya Allah... anak aku,” luah papa hamlir tidak terkata. Matanya berkaca
saat berpaling kepadaku. Seolah meminta aku melihat juga isi kandungan dalam
baldi itu.
Rasa ingin tahu yang mendesak mambuatkan aku menjenguk ke dalam baldi itu.
Terpaku aku melihat isi kandungan baldi itu yang masih bergerak-gerak. Beratus-ratus
ekor lintah yang gemuk-gemuk belaka mengeliat di dalam bekas itu bersama dengan
kaca dan paku.
“Ini juga kerja iblis,” ucap Pak Kiyai lalu diunjukkan mangkuk yang berisi isi
telur ayam kampung tadi. Aku hanya mampu beristighfar melihatnya. Langsung
tiada rupa isi telur ayam. Sebaliknya ketulan-ketulan darah yang sudah
kehitaman memenuhi mangkuk itu. Seterusnya isi limau nipis itu pula ditunjukkan
kepada kami. Ketiga-tiganya terdapat benang hitam, paku, kain kapan yang diikat
menyerupai sup bunjut, duri dan sedikit darah.
“Banyak barang-barang tajam sekali yang dihantar sama dia. Kasihan dia.
Pantaslah selama ini dia sering kesakitan,” ucap Pak Kiyai perlahan.
“Jadi sekarang macam mana ni, Pak Kiyai? Masih ada lagi yang tertinggal
dalam badan dia?” soal abah setelah puas memandang isi kandungan limau di dalam
mangkuk putih itu.
“Bergantung juga, Pak Rashdan. Sakit seperti ini tidak akan bisa sembuh
dalam masa yang singkat. Mungkin ada yang tersisa. Tapi mungkin tidak lagi
banyak seperti tadi. Sekarang dia masih lemah. Jadi tidak boleh kita paksa dia
malam ini. Biar dia berehat dulu. Sesudah habis semua segala barang-barang itu
dikeluarkan dari tubuhnya barulah kita mandikan dia supaya tubuhnya bersih dari
segala benda-benda kotor itu,” ujar Pak Kiyai lembut.
“Pak, macam mana kalau orang tu hantar lagi barang tu pada dia?” soalku
perlahan. Aku sendiri mendengar Zackery menceceh entah apa-apa tadi. Katanya
dia akan kembali lagi untuk membalas dendam.
“Sihir ini hanya boleh ditentang dengan kekuatan rohani. Jika batin lemah
maka sesiapa pun mudah terkena. Banyakkan solat, mengaji untuk menutup
lubang-lubang yang pernah didiami oleh jin itu. Banyakkan memohon dan berserah
kepada Allah. Perlindungan Allah itulah yang paling selamat buat kita semua.
Kalau dia kerap mimpi buruk lagi maka bawa dia berjumpa dengan pakar-pakar
ugama. Minta mereka ubatkan jika tidak mampu ke sini lagi. Saya kira dia sudah
tidak seteruk sebelum ini. Tadi saya nampak dia sudah boleh menggerakkan
tangannya.” Pak Kiyai menjawab lembut sambil memandang Zackery. Tidur siap
berdengkur!
“Jadi boleh tak kalau kami nak tahu
siapa yang hantar barang-barang ini?” mama pula bersuara.
Pak Kiyai tidak terus menjawab. Dia memandang Zackery terus-terusan sambil
menghela keluhan.
“Kalau saya bicarakan sesuatu, pastinya ibu akan terkejut. Saya tidak tahu
semuanya. Tapi sebelum ini Solih ada memberitahu saya yang ibu dan bapak punya
dua anak lelaki, bukan? Seorangnya sudah meninggal akibat kecelakaan mobil.”
Papa dan mama mengangguk pantas.
“Pada gambar keluarga di rumah kalian, Solih berkata gambar almarhum anak
bapak yang meninggal itu juga hitam. Saya tidak faham kenapa jadi begitu,” ucap
Pak Kiyai sambil menggaru pelipisnya.
“Saya fikir.. orang ini telah mengerjakan kedua-dua lelaki anak bapak dan
ibu. Seorangnya telah tewas,” ucap Pak Kiyai perlahan.
Papa terdiam. Mama menangis semahu-mahunya mendengar itu sehingga papa
memeluk untuk menenangkannya. Namun aku lihat air mata papa juga jatuh ke pipi.
"Kita orang islam, seharusnya sabar. Ini sudah ketentuan Allah.
Ajalnya sudah sampai. Maka redalah," ujar Pak Kiyai rendah.
“Apa yang patut kami buat? Kami tak mahu dia terlepas begitu saja. Anak
saya seorang dah tak ada, Pak Kiyai. Seorang lagi jadi begini. Saya tak akan
maafkan dia!” rintih papa dalam deraian air mata. Sebak dadaku mendengar
kata-kata papa.
“Sebetulnya saya tidak mengamalkan ilmu balas membalas ini. Saya tidak mahu
nanti akan timbul kesan yang lebih buruk jika dia tahu kita membalas sama dia.
Tetapi agak mustahil sihir ini dihantar oleh orang yang jauh. Melainkan orang
itu dekat dengan kita. Saya tidak berani mahu menyebut siapa. Bimbang saya
tersilap orang. Bapak tidak mahu maafkan dia. Ia, itu terserah bapak sama ibu.
Sebaiknya kita gantung harapan kepada Allah agar kita terus dijauhkan dari
perkara sebegini,” jawab Pak Kiyai tenang sahaja. Kami hanya mampu berpandangan
mendengar itu.
“Kadang-kadang kerana cinta manusia boleh jadi buta akal fikirannya.
Kekayaan dan rupa yang cantik juga lebih memburukkan keadaan. Manusia memang
sering kufur dengan nikmat Allah. Lebih lagi, nikmat yang diberikan Allah
kepada pada seseorang itu akan cepat menimbulkan perasaan jahat dalam diri
orang lain. Banyakkan beristighfar. Lebih elok jangan diganggu orang itu lagi.
Karna jika kita balas membalas, pasti dia akan mencari lagi ilmu sihir yang
lebih kuat untuk mengerjakan anak bapak ini. Lebih baik tak usah! Biar Allah
sahaja yang menguruskan dia.” Pak Kiyai menambah lagi bicaranya. Papa dan mama
akhirnya mengangguk mengerti dengan bicara pak Kiyai. Aku juga ikut setuju
dengan kata-kata Pak Kiyai.
“Terima kasih banyaklah, Pak Kiyai..” ucap abah lembut. Lega dengan
pertolongan lelaki itu kami akhirnya ketemu dengan jawapan yang dicari selama
ini.
“Jangan berterima kasih sama saya, Pak Rashdan. Sama Allah saja. Tanpa ijin Allah, semua ini tidak akan berlangsung
dengan baik. Sebaiknya kerjakan solat syukur sebaga tanda bersyukur dengan
keberkatan ini. Alhamdulillah.. saya nampak muka menantu bapak ini sudah
sedikit kemerahan. Tadi pucat sekali. Seperti mayat! Nampak, kan?” balas Pak
Kiyai sambil menunding ke arah Zackery. Kali ini secangkir senyuman terhias di
bibirnya buat kami semua.
Ya. Aku juga nampak keadaan itu. Dan yang pastinya, orang lain sibuk
bersembang, dia sibuk membuta sambil berdengkur tanpa segan silu lagi. Nyenyak
benar. Namun aku lihat, sudah lama dia tidak dapat tidur lena begitu. Aku tahu
ada perubahan baik kepada lelaki itu. dan aku hanya mampu berbisik sendiri.
Syukur kepada-Mu, Ya Allah!
BAB
15
SEMALAMAN Zackery tidur. Setelah dia bangun, dia terus meminta
makanan. Rasa macam kelaparan benar sehingga tidak mampu menunggu biarpun sekejap.
Dan ketika disuapkan makanan, Zackery macam orang kebuluran. Sebaik sahaja
disuap, terus ditelan. Betapa kasihan aku melihatnya. Aku tahu dia sudah lama
tidak ada selera makan.
Sepanjang hari itu keadaan kesihatannya semakin elok pada pandangan mata
kami. Cuma dia suka termenung. Tidak banyak bercakap. Dan sifat malas
bersolatnya masih tebal. Selamba sahaja dia menggeleng saat diminta berwuduk.
“Itu tidak pelik sama sekali. Ketika diri dikawal jin, enggan solat, tidak
ingat bacaan dalam solat, suka termenung, selalu marah-marah. Malahan ada
kalanya dia tidak sedar tentang apa yang diucapkan, itu semua biasa. Sering
merasa keliru. Keadaan itu kadang kala akan berterusan biarpun sudah dirawat. Kita
tidak boleh mengharapkan dia akan sembuh serta merta. Akan ambil masa untuk
pulih. Bergantung kepada diri dia sendiri. Sejauh mana dia mampu melawan
perasaan itu,” ujar Pak Kiyai kepada kami.
Dan lewat petang itu Zackery meminta untuk pulang. Melihat keadaan fizikalnya
sudah jauh lebih baik Pak Kiyai membenarkan Zackery pulang. Papa dan mama
memutuskan untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur esok pagi. Tidak mahu
berlama-lama di pekan kecil itu.
Di kamar, Zackery lebih banyak tidur. Namun sebelum itu dia mengatakan
pahanya sudah mula berasa kebas dan hangat. Betapa bersyukurnya aku dengan
perubahan itu. Cuma dia seperti tidak ingat apa yang berlaku sebelum ini.
Apabila ditanya semula dia hanya diam tidak berkata apa-apa.
Malam itu, usai menunaikan solat isyak, aku cuba melelapkan mata di sebelah
Zackery. Namun aku terus berjaga biarpun keletihan. Aku hanya berbaring sambil
memerhatikan dia terlena. Seperti semalam, Zackery tidur pulas sekali.
Kata Pak Kiyai, untuk sementara waktu memang Zackery akan kerap tidur untuk
menggantikan tenaganya yang banyak hilang. Lama kelamaan dia akan kembali
normal.
Jam tiga pagi itu aku terjaga dek kerana suara Zackery.
“Jangan! Jangan kacau aku!! Pergi!!!!! Tolong!!! Jangan kacau aku lagi!!!”
jeritan itu bergema kuat di bilik kami. Tangannya menerawang ke sana sini. Aku
terus bangun dari pembaringan.
“Abang! Abang!” panggilku sambil tangannya kucapai. Aku tahu dia bermimpi
buruk lagi.
“Abang!” sekali lagi aku mengejutkan Zackery. Kali ini barulah Zackery benar-benar
terjaga. Dia tersentak kuat. Spontan matanya membulat memandangku. Peluh di
wajahnya cukup memberitahu aku betapa takutnya dia saat itu.
“Abang mimpi lagi ke?” soalku sambil mengusap-usap lengannya untuk
menenangkannya. Kasihan benar aku melihatnya. Baru sekejap dia merasa aman.
Kini diganggu lagi oleh mimpi-mimpi buruk itu.
Zackery sekadar mengangguk perlahan. Seluruh wajahnya diraup sambil dia
beristighfar perlahan. Sesuatu yang sudah lama tidak aku lihat. Dia beristighfar.
Seketika kemudian dia memandangku.
“Tidurlah. Abang ganggu Hana ya?” ucap Zackery cukup perlahan.
“Abang mimpi apa tadi?” soalku masih diulit rasa bimbang.
“Takde apa-apa. Tidurlah,” jawab Zackery perlahan.
Aku kembali berbaring. Namun mata masih memerhatikan gelagat Zackery. Zackery
cuba melenakan dirinya semula. Baru mahu melelapkan mata, tiba-tiba aku
terdengar bunyi sesuatu. Serentak itu kelopak mataku celik semula. Zackery
sedang memadang ke atas. Menyedari aku sedang memandang, dia ikut menoleh
kepadaku.
“Bunyi apa tu?” tanyaku kepadanya. Bunyi itu seakan aku kenal. Cuma aku
keliru. Entahkan milikku atau milik Zackery.
“Bunyi perut abang. Lapar. Ada makanan tak? Lapar sangat abang rasa ni,”
ucap Zackery perlahan sahaja.
“Roti ada. Nak tak?” jawabku setelah teringatkan bungkusan roti yang aku beli
sebelum ini. Makanan berat memanglah tiada dalam waktu-waktu seperti ini. Pekan
ini pula hanya sekadar pekan kecil. Bukan senang mencari kedai yang masih
dibuka seperti waktu ini.
“Bolehlah. Roti pun rotilah..” jawab Zackery akur sahaja.
“Hana buatkan abang air panas ya? Cicah dengan air lagi senang abang nak
makan nanti. Pak Kiyai kata abang kena makan sesuatu yang lembut buat sementara
waktu ni,” ucapku lantas bangun semula dari pembaringan.
Tidak sampai lima minit kemudian aku sudah menatang semug susu panas
untuknya. Zackery meminta untuk makan di lantai pula. Enggan lagi makan di
katil seperti selalu. Setelah menurunkan kakinya dari katil aku membantu dia
untuk turun ke bawah. Zackery duduk berlunjur di atas permaidani sambil
bersandar di katil.
Roti ban kosong itu aku keluarkan dari plastik. Setelah dicicah dengan susu
suam itu dia menyumbat habis sebuku roti itu ke dalam mulutnya. Belum pun yang
dalam mulut ditelan dia sudah meminta lagi.
“Abang, perlahan-lahanlah makan tu. Tercekik nanti,” tegurku. Lapar benar
Zackery ku lihat.
“Abang lapar sangat,” jawabnya dengan mulut yang penuh dengan roti itu.
Tangannya terus dihulurkan agar diberikan lagi roti itu. Kasihan melihatnya,
aku berikan juga roti itu kepadanya. Selesai membaham enam buku roti dia meneguk
habis sisa susu dalam cawannya itu. Tidak sampai lima minit mengisi perut dia
sudah bersendawa panjang.
“Dah kenyang?” tanyaku sambil tersenyum sendiri. Gelihati melihat
gelagatnya. Tidak pernah aku melihat dia seperti itu.
Zackery hanya mengangguk. Dia tersenyum sebelum menyerahkan mug kosong
ditangannya itu kepadaku.
“Hana tak lapar?” tanya Zackery pula.
“Tengok abang makan aja pun dah cukup mengenyangkan Hana. Lega rasanya bila
nampak abang dah berselera semula. Alhamdulillah,” balasku lembut.
Zackery tersenyum lembut sambil memandang ku. “Abang tahu Hana pun dah lama
tak berselera makan, kan? Nanti bila abang dah sihat semula kita akan makan
sedap-sedap kat luar sana,” ujar Zackery bersungguh.
“Hana basuh cawan ni sekejap ya? Abang duduk dulu,” kataku dengan sedikit
senyuman. Namun belum sempat aku bangun dia sudah memegang pergelangan
tanganku. Aku terus memandangnya. Zackery merenungku agak lama.
“Kenapa, bang?” Aku mula sidapa hairan dengan sikapnya saat itu. Lain
macam.
“Abang bertuah ada isteri yang sabar macam Hana ni. Kalau orang lain
agaknya dah lama abang kena tinggal. Abang tahu abang dah banyak menyusahkan
Hana,” ucap Zackery perlahan.
“Abang, jangan nak mengarut boleh tak? Abang dah cukup takutkan Hana
sebelum ni. Jangan teruskan lagi,” balasku tidak senang dengan ucapannya itu.
Zackery tersenyum sedikit sebelum melepaskan genggaman tangannya.
Tidak sampai seminit masa yang aku ambil untuk membasuh cawan itu. Namun
saat aku kembali semula aku dikejutkan dengan sesuatu yang tidakku duga.
Zackery mengalami sawan di tepi katil itu. Matanya terbeliak memandang ke
hadapan. Mulutnya menyenget seperti orang terkena strok. Kaki dan tangannya
kaku dan sejuk.
“Ya Allah! Abang, kenapa ni, bang?” aku cuba menyedarkan Zackery. Namun dia
tidak memberi apa-apa reaksi kepadaku. Sebaliknya sawannya semakin kuat.
Ya, Allah...” aku menjerit panik
apabila melihat ada darah pekat mula menuruni tepi bibirnya. Tidak tahu mahu
berbuat apa aku akhirnya berlari ke bilik sebelah untuk memanggil papa. Daun
pintu kamar sebelah ketuk bertalu-talu. Sebaik sahaja pintu bilik itu dibuka,
aku terus terjelepuk jatuh di hadapan papa. Suaraku seakan sudah hilang. Hanya
tangisan sahaja yang tinggal. Tanpa menunggu papa terus berlari menuju ke bilik
sebelah. Seketika kemudian jeritannya pula yang kedengaran memanggil anaknya
itu. Aku sudah tidak mampu melihat itu semua lagi.
Jika Tuhan sudah berkehendakkan nyawa suami ku itu, janganlah dia diambil
di hadapan mataku. Jikalau dapat digantikan dengan nyawaku, maka aku sanggup
memberikannya asalkan Zackery baik-baik sahaja. Namun sayangnya aku hanya mampu
menangis. Kekuatanku hilang entah ke mana.
Hingga akhirnya Zackery dibawa pergi aku masih menangis di bilik itu.
Menangis dan menangis. Saat yang paling tidak mampu untuk aku lalui ialah.. saat
dia berlalu pergi dari hidupku. Itulah saatnya!
SETIA ke akhir hayat. Itu sekadar mimpi semata.
Semenjak kami tiba di rumah tahfiz itu, Zackery masih juga tidak sedar di
dalam sebuah bilik tidak jauh dari ruang tamu itu. Namun menurut Pak Kiyai,
keadaan dia baik-baik saja. Tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang kejadian
semalam.
“Seeloknya biar saja dia di sini untuk sementara waktu. Saya bimbang jika
saya benarkan dia pulang, orang itu akan menghantar ilmunya kepada anak bapak
lagi. Sekurang-kurangnya tempat ini masih selamat buat Zackery. Ilmu tukang
sihir itu tidak bisa masuk ke sini.” Pak Kiyai berbicara kepada kami ketika
kami berlonggok di ruang tamu itu.
Abah mengangguk seolah-olah bersetuju dengan pendapat Pak Kiyai itu. Papa
dan mama tidak menjawab. Papa lebih banyak tunduk memikirkan cadangan Pak
Kiyai.
“Di sini juga dia bisa belajar agama, Pak Abdillah. Itu sangat penting
untuk kekuatan diri dia sendiri. Dalam keadaan begini hanya ayat-ayat Al Quran
dan iman di dalam diri yang mampu menjadi pendinding diri kepada semua dugaan
yang Allah beri kepada kita. Tiada jampi atau mentera lain yang lebih hebat
berbanding kepercayaan kita kepada Allah. Untuk menepis kuasa sihir ini, kita
perlu ada amalan. Amalan tidak akan sempurna jika tiada ilmu. Itu yang saya
mahu Zackery belajar di sini. Di sini saya mengajar anak-anak muda mengaji Al
Quran dan pengajian ilmu tauhid yang mana setiap laki-laki mesti tahu tentang
itu semua untuk melindungi seluruh ahli keluarganya yang lain di masa hadapan,”
jelas Pak Kiyai tetap tenang. Papa mula mengangkat pandangan kepada Pak Kiyai.
“Berapa lama agak-agaknya tu, Pak Kiyai?” soal papa perlahan.
“Terpulang kepada dia sendiri. Kalau dia rasa dia sudah cukup kuat. Dia
sudah sihat. Maka dia boleh pulang,” jawab Pak Kiyai lembut.
“Tapi macam mana dengan keadaan dia yang lumpuh tu? Saya takut nanti dia
akan susahkan Pak Kiyai,” ucap papa masih agak ragu untuk menerima cadangan
itu.
“Pak Abdillah, di sini kami amalkan sifat saling membantu satu sama lain.
Setiap penghuni di sini seperti satu keluarga. Jangan bimbang tentang itu, pak.
Di sini ada ramai orang boleh menguruskan keadaan dia. Itu sama sekali tidak
akan menjadi masalah,” jawab Pak Kiyai tetap tenang.
“Hana?” abah mula bersuara meminta pandanganku.
“Apa yang Abang Zackery mahu, Hana ikut aja.” Hanya itu yang mampu aku
jawab. Abah mengangguk perlahan. Namun bola mata emak singgah lama di wajahku.
Aku mula tunduk enggan membiarkan emak mencari apa yang sedang aku sembunyikan
saat ini.
“Bersabarlah. Setiap kesabaran yang kamu peruntukkan itu, Allah tidak akan
sia-siakan. Insya-Allah.. kamu berdua akan baik-baik saja nanti,” ucap Pak
Kiyai kepadaku. Aku sekadar menghela nafas perlahan.
Tengahari itu ketika aku menyuapkan nasi kepada Zackery, lelaki itu kembali
menjadi pendiam. Walaupun keadaannya sudah tidak seteruk semalam, namun aku
lihat dia agak murung. Selama kami saling berhadapan, aku sentiasa
terfikir-fikir keadaan kami selepas ini. Kata-kata Pak Kiyai itu sering
bermain-main di fikiran. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa beratnya hatiku
untuk berjauhan daripadanya.
“Hana pergilah balik. Biarkan abang kat sini buat sementara waktu,” ucap
suamiku itu tiba-tiba. Namun kelembutan itu seakan-akan sudah membunuh segenap
perasaanku. Permintaan itu sudah aku jangka. Namun entah kenapa sukar untuk aku
menelannya dengan hati yang lapang.
“Abang nak Hana balik dan tinggalkan abang di sini?” tanyaku agak pahit.
“Abang rasa lebih baik abang ada di sini, Hana. Betul cakap Pak Kiyai. Masih
banyak yang perlu abang perbaiki pada diri abang ni. Lagipun abang masih perlu
dirawat oleh Pak Kiyai,” balas Zackery agak mendatar nadanya.
“Hana nak jaga abang.” Aku mula sebak dengan permintaannya itu. Bagaimana
untuk untuk aku berjauhan darinya? Sesaat sahaja aku sudah cukup terseksa.
“Abang dah cukup banyak susahkan Hana selama ni. Abang tahu Hana pun perlukan
rehat. Pergilah balik ke KL. Insya-Allah suatu hari nanti abang akan balik
juga.” Zackery menjawab lembut.
Hana tak mahu rehat. Hana cuma nak selalu dengan abang, hatiku merintih
sendiri. Lidah entah kenapa jadi begitu berat dalam keadaan diri terlalu ingin
menangis.
“Abang tak mahu susahkan Hana lagi. Abang akan jaga diri abang sendiri,”
ucap Zackery tanpa memandangku. Tersentak aku mendengar kata-katanya. Apa
maksud Zackery?
“Abang?” aku terus terpaku memandang wajah lelaki itu. Zackery seolah-olah
tidak mahu memandangku.
“Abang tak sanggup tengok Hana terus menangis kerana abang. Abang tak mahu
terus menyeksa hidup, Hana. Abang akan berikan Hana masa.” Bicara Zackery rendah
tiba-tiba. Dia tunduk memegang kakinya.
“Masa untuk apa?” soalku agak kabur dengan maksud sebenar Zackery. Apa yang
aku fahami, kali ini dia tidak lagi memaksudkan yang dia memerlukan masa untuk
mencari ketenangan diri. Sebaliknya tentang lain.
Zackery menghela nafas perlahan. Sukar benar untuk dia meluahkan kata-kata.
Aku lihat dia juga lebih banyak hanyut oleh pemikiran sendiri. Apa sebenarnya yang
dia ingin sampaikan kepadaku?
“Abang nak kita berpisah ke?” tidak sabar dengan kebisuannya, aku lantas
meluahkan tekaan itu. Riak mendung di wajahnya semakin meyakinkan aku tentang apa
yang aku fikirkan saat ini.
“Apa yang ada pada abang ni, Hana? Kenapa Hana nak teruskan hidup dengan
lelaki macam abang? Abang lumpuh, Hana. Abang tak mampu berikan Hana seorang
cahayamata. Abang tak mampu berfungsi sebagai seorang suami kepada seorang
isteri. Abang terlalu kekurangan untuk diangkat tinggi oleh seorang isteri,”
ucap Zackery mula bernada sayu. Dia hanya menoleh sekilas kepadaku.
“Selama ini Hana terlalu meminta-minta ke, bang? Hana dah tahu abang lumpuh
bukannya dari semalam. Tapi semenjak sebelum kita kahwin dulu. Kenapa baru
sekarang abang fikir semua ni? Kalau nak cerita pasal derita, tak tersukat lagi,
bang. Tak tersukat!” balasku bersungguh. Terkilan benar aku dengan ucapannya
sebentar tadi. Apakah dia fikir semuanya boleh diselesaikan semudah dia
mengucapkannya?
“Abang mahu Hana bahagia.” Perlahan sahaja luahan itu kedengaran dari mulut
Zackery.
“Hana cuma nak bahagia dengan abang. Bahagia terlalu subjektif untuk
dirungkaikan dengan gambaran hidup kita sekarang, bang. Hana dah lama terima
kenyataan ni. Kalau kesempurnaan yang Hana cari dalam diri abang, untuk apa
kita kahwin selama ini? Hana terima abang seadanya. Kalau selama ini Hana boleh
bersabar dengan keadaan abang. Takkan sikit pun tak ada kekuatan dalam diri
abang untuk berusaha mencari kebahagiaan kita? Mudah untuk abang bercakap. Tapi
susah untuk Hana terima!” sanggahku pantas.
“Tapi abang malu dengan keadaan diri abang macam ni! Abang dah tak boleh
terima lagi,” ucap Zackery sedikit menunduk sambil menggeleng berkali-kali. Aku
terus terdiam memandang lelaki itu meluahkan kesedihannya.
“Abang rasa diri abang tak berguna, Hana. Abang tak layak! Abang tak mampu
berikan kebahagiaan yang berhak diterima oleh seorang isteri yang selama ini
selalu ada dengan abang. Abang tak mahu menyeksa hidup Hana lagi. Cukuplah
dengan pengorbanan Hana selama ni. Dengan abang, bahagia itu belum tentu. Tapi
sengsara itu dah pasti. Abang tak mahu terus menyeret isteri abang ke dalam derita
tu lagi,” ucap lelaki itu tanpa memandangku. Keruh di wajahnya sudah cukup
memberitahu aku apa yang sedang dipendam oleh lelaki ini.
Akhirnya aku mengerti apa yang sedang disampaikan Zackery. Dia memang mahu
berpisah denganku. Cuma dia tidak mahu mengatakannya secara jelas. Dia mahu aku
faham-faham sendiri akan maksudnya semenjak tadi. Mungkin juga dia mahu aku
bersedia sebelum diceraikan nanti. Beginikah akhirnya perkahwinan ini?
“Hana ikut mama dengan papa balik. Biarkan abang di sini buat sementara
waktu. Maafkan abang, Hana. Abang harap akan tiba satu masa nanti Hana akan
mengerti apa maksudnya semua ini. Mungkin abang nampak kejam. Tapi abang tak
mahu janjikan sesuatu yang belum pasti. Hana tak berhak untuk hidup sengsara
begini lagi,” ujar Zackery tenang sahaja.
Aku terdiam. Tidak mampu untuk berbicara lagi. Rasa terluka itu terus
menghukum dada sehingga perit rasa kerongkongku menahan tangis. Tega benar dia
membuat keputusan begini tanpa mahu berfikir panjang tentangnya.
“Maafkan abang, sayang. Abang tahu susah untuk Hana terima semua ni. Tapi ini
lebih baik untuk diri Hana sendiri.”
Aku hanya diam. Tidak mampu menjawabnya. Bukan maafnya yang aku mahukan. Jika
kesihatan yang baik itu telah merampas dia dariku, tegakah aku membiarkan dia
terus sengsara seperti dahulu asalkan dia selalu ada di hadapan mataku?
Ah! Cinta yang ikhlas ialah membiarkan orang yang dicintai hidup bahagia
biarpun tidak seiring dengan kemahuan sendiri. Aku harus siap menerima
keputusannya jika itulah yang mampu membuatkan dia gembira.
“Kalau itu yang abang mahu Hana akan turutkan.” Tanpa memandangnya aku meluahkan
bicara itu perlahan. Reda dengan keputusannya biarpun rasanya terlalu sakit. Ikutkan
hati, aku mahu meraung sekuat-kuat hati.
“Jangan marah abang, Hana.”
Aku lantas mengukirkan senyuman kepadanya. “Dulu Hana pernah kata yang Hana
akan berada di sisi abang sehingga abang sembuh. Kita hidup bersama bukan untuk
membina masa depan berdua. Tapi sebab Hana nak jaga abang selagi Hana mampu. Mungkin
dah sampai masanya kita tunaikan apa yang dah dijanjikan dulu,” ucapku
perlahan.
Hipokrit! Hati ku menjerit mengutuk kepalsuan sendiri. Kata-kata itu tidak
pernah aku lafazkan dulu. Aku mengukirnya saat ini untuk menutup perasaanku sendiri.
Kalau aku berkata benar sekalipun aku tahu dia tidak ingat tentang itu semua.
Zackery pula yang terdiam sambil memandangku. Seketika kemudian dia
memandang kakinya. “Kata Pak Kiyai kalaupun abang boleh berjalan semula itu
akan mengambil masa yang lama. Itu pun belum tentu. Selama mana Hana akan
menunggu?” ucapnya kemudian.
Air mataku gugur juga mendengar kata-katanya. Dia tidak melihatnya. Aku segera
menyekanya.
“Tak apa. Hana takkan menunggu abang lagi. Betul cakap abang. Ada
kebahagiaan di luar sana. Mungkin itulah yang sebenarnya ditakdirkan untuk
Hana. Hana cuma datang menyinggah dalam hidup abang.” Aku membalas pantas.
Namun hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa terlukanya hati. Bukan sekali dua ini
dia menolak ku dari hidupnya. Tetapi sudah acap kali.
“Hana, abang tak bermaksud nak membuang Hana.” Terkesan olehnya luka di
hatiku, dia lantas meluahkan kata-kata itu untuk memujuk hatiku pula.
“Takpe. Hana faham. Abang kata abang perlukan masa. Ya! Hana jugak perlukan
masa untuk bersedia. Hana tak pernah menjangka yang masa tu akan tiba secepat
ini. Tapi sebenarnya, lambat atau cepat, tak ada beza, kan? Suatu hari nanti
kita akan hidup dengan jalan kita sendiri juga.” Aku menjawab lembut sambil
cuba untuk tersenyum kepadanya. Namun senyuman itu menjadi pahit sekali. Kalau boleh
aku mahu segera pergi dari sini. Supaya aku dapat menangis sepuas-puasnya.
“Nanti bila abang balik dari sini kita jumpa ya?” pujuk lelaki itu lembut.
“Hana tak boleh janji. Lepas ni mungkin banyak kerja yang Hana kena
siapkan. Banyak manuskrip yang masih belum dihantar,” balas ku kelat. Untuk apa
lagi kita berjumpa? Di hati aku merintih sendiri.
“Hana, maafkan abang..” ucap Zackery teramat lembut. Jemariku sempat
dicapainya. Namun aku segera menarik tanganku semula.
“Cukuplah meminta maaf, bang. Takde apa yang nak dimaafkan.”
“Abang tak pernah layan Hana dengan baik selama ni. Kebaikan Hana tak
pernah abang pandang dengan seikhlas hati. Semenjak dulu abang tak pernah
hargai seorang wanita yang selalu ada depan mata abang,” akui Zackery ikhlas.
“Baguslah. Sekurang-kurangnya hari ni Hana takkan rasa berat hati untuk
tinggalkan abang. Tentu susah untuk kita kalau terlalu banyak kenangan manis
selama kita bersama, kan? Hana tak pernah berdendam dengan abang selama ini.
Hana redakan semuanya, bang. Hana faham keadaan abang,” balasku sekadar mahu
memujuk hatiku sendiri.
Zackery menarik tanganku lalu digengam erat sehingga aku tidak mampu
meleraikan tautan tangan kami.
“Abang tahu, sampai ke hujung dunia pun abang takkan jumpa wanita lain
seistimewa Hana. Sampai satu masa nanti Hana akan faham juga apa yang ada di
sebalik ni semua, sayang. Abang tak mahu sengsara kerana abang kesalahan abang
yang dulu. Sedangkan itu semua tak ada kena mengena dengan Hana.”
Aku sekadar tersenyum pahit mendengar kata-kata Zackery. Bukan salah dia
kalau aku sengsara. Aku yang menempah sengsara aku sendiri. Aku tahu semenjak
dulu Zackery memang tidak pernah ada hati kepada ku. Malah selama ini dia tidak
mengakui yang dia juga memiliki perasaan yang sama seperti yang aku rasa. Tidak
pernah sehingga ke saat ini! Hanya aku yang perasan sendiri. Kalau benar aku
ikhlas, aku harus meredai keputusannya. Aku juga tak mahu dia menerima aku kerana
merasa terhutang budi denganku.
“Hana akan balik esok. Abang jaga diri baik-baik. Hana doakan abang akan
cepat sembuh. Supaya abang dapat menjadi diri abang semula,” ucap ku perlahan.
Aku tahu itulah yang paling diinginkan Zackery selama ini. Dia hanya ingin
menjadi dirinya semula! Dan aku harap dia akan diberikan peluang itu.
Dan setiba semula di kamar hotel, aku terus mencampak beg ke atas katil. Namun
tubuhku longlai. Bersendirian di dalam kamar itu, aku menangis semahu-mahunya. Betapa
hanya Allah sahaja yang tahu sengsara di jiwaku saat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan