Isnin, 7 Mac 2016

BAB 22-23 DIA LELAKI BERHANTU

BAB 22
SEMUA ini seolah mimpi.
Terkebil-kebil mataku memandang lelaki itu dalam kesamaran suasana kamar yang kelam. Aku tahu Zackery masih belum tidur. Dia sedang termenung memandang atas. Kami hanya membisu. Langsung tidak bertegur sapa. Aku rasa aneh. Malu.
Saat terpandangkan Zackery menoleh, aku pantas memejamkan mata. Konon-konon dah tidur. Namun lelaki itu tiba-tiba bergerak ke arahku. Pantas aku juga aku buat-buat berkalih ke arah lain.
“Tengok tu?” keluh Zackery perlahan. Secara tidak sengaja kelopak mataku celik lalu aku menoleh ke arahnya. Zackery menyengih sambil wajahnya didekatkan kepadaku.
“Sayang abang..” sapanya lunak.
“Hana nak bangun kejap,” ucapku perlahan sebelum selimut aku selak. Lengan Zackery yang melingkar ditubuhku, aku kalihkan lembut. Zackery bangkit dari pembaringan. Kemudian dia juga ikut bangun.
“Hana..” panggil suamiku saat berada di ambang kamar mandi. Aku sekadar menoleh sekilas. Zackery tidak terus bersuara. Sebaliknya dia mendekatiku. Aku sempat memandangnya melalui cermin di hadapan kami.
“Hana marahkan abang?”
Aku menggeleng perlahan. Dia mengambil haknya. Layakkah aku untuk merasa marah?
“Dari tadi Hana langsung tak bersuara. Abang tak suka keadaan kita macam ni. Cakaplah apa yang Hana nak cakap. Jangan berdiam aja macam ni. Hana marah pasal tadi?” ujar Zackery sambil tangannya diletakkan di atas bahuku.
“Tak apa. Hana ni perempuan. Hana kena patuh pada suami.”
“Hana..” panggil Zackery lantas menarik bahuku memandangnya. Lama dia memandangku.
“Abang lebih rela tengok ada air mata di pipi ni daripada begini. Abang tahu hati Hana dah kosong,” ucap Zackery perlahan.
“Tak apa. Ambillah yang mana masih tersisa. Hana ikut aja. Kuasa bukan di tangan Hana.”
“Abang minta maaf, sayang. Abang tahu Hana masih marahkan abang. Abang tak sepatutnya buat macam tu,” ucap Zackery lagi.
Aku hanya diam. Maaf itu sudah tiada ertinya lagi kepadaku. Aku tahu dia lakukan begitu untuk menahan aku dari pergi jauh. Usai membasahkan wajah, aku keluar dari kamar mandi. Zackery terus mengekoriku. Katil yang berselerak aku kemaskan sedikit.
“Hana, abang faham apa yang Hana rasa. Tapi abang janji tak akan biarkan Hana macam tu aja. Abang ada, sayang. Kenapa Hana nak takut?” Zackery terus memujukku.
“Hana cuma tak tahu sejauh mana Hana mampu letakkan harapan pada abang.”
“Dua tahun lebih abang tak pernah jemu cari Hana. Itu masih tak memadai bagi Hana untuk letakkan kepercayaan pada abang?” balas Zackery sambil mendekatiku. Aku ditarik agar duduk bersamanya di sisi katil.
Aku hanya membisu. Ya. Itu sudah memadai. Malah sebenarnya terlalu memadai. Jika bukan kerana ibu Zackery, sudah pasti aku akan merasa benar-benar bahagia kini.
“Hana takut. Kesakitan dulu pun Hana masih tak mampu lupakan,” luahku lalu mataku terpejam perlahan. Bayangan seorang wanita mampir di ruang mata. Dia bukan sesiapa kepada kami. Dia hanya ibu kandung Zackery. Hanya ibu kandung!
“Selepas apa yang kita lalui selama ini, abang tak akan biarkan Hana pergi jauh dari abang lagi. Abang akan selalu ada untuk Hana. Abang tak akan sia-siakan Hana. Percayalah,” balas Zackery bersungguh.
Aku membisu lagi sehingga Zackery menarik aku ke dalam pelukannya. Kepalaku ditekan ke dadanya. Kemudian rambutku diusap berkali-kali.
“Maafkan abang tentang apa yang terjadi tadi,” bisik Zackery perlahan. Aku sekadar diam. Tentang apa, aku seolah sudah lupa. Ada rasa damai mula meresap ke dalam hati.
“Tapi abang tak menyesal sikit pun,” tambah Zackery dalam pada aku ralik sendiri. Spontan kelopak mataku terbuka luas. Dan tubuhnya aku tolak.
“Menyampah!” getusku geram melihat riak wajahnya. Macam tidak bersalah aja.
“Ialah. Benda dah jadi. Takkan nak menyesal pula? Kalau menyesal, esok lusa tak dapat lagi dah. Rugilah abang,” ucap Zackery selamba.
“Dahlah! Malas nak dengar,” gerutuku lantas naik ke atas katil semula. Dasar miang! Getus hatiku geram dengan Zackery.
Spontan Zackery ketawa perlahan. Kemudian dia ikut merangkak naik ke atas ranjang sebelum berbaring di sebelahku.
“Dah lama abang tak nampak Hana berbaring sebelah abang macam ni. Dulu dapat tengok aja. Maklumlah. Mati pucuk. Sekarang pucuk tu dah segar bugar,” ucap Zackery lunak. Spontan pinggangku dipautnya sehingga aku rapat semula kepadanya.
“Merenyam!” desisku perlahan.
“Apa pulak merenyam. Hana sendiri yang cakap, nak zuriat. Kenalah abang usahakan,” sambut Zackery semakin lemah gemalai nadanya.
“Dahlah. Hana nak tidur. Penat,” ujarku perlahan. Saat mata aku pejamkan, dahiku dikucup Zackery agak lama.
“Abang sayang Hana. Abang nak habiskan sisa-sisa hidup ni dengan Hana,” ucap Zackery lembut. Spontan kelopak mataku kembali terbuka. Wajah lelaki itu aku tatap lama.
“Jangan pergi jauh dari abang ya? Abang janji, abang akan jaga Hana baik-baik. Abang takkan biarkan sesiapa ganggu Hana. Abang janji,” ucap Zackery bersungguh.
Aku membisu lagi sambil memandang mata redupnya. Cuba mencari kesungguhan dan kejujurannya.
“Abang akan bagi Hana masa untuk letakkan kepercayaan pada abang. Abang tahu semua ni tak semudah yang disangkakan. Tapi abang nak Hana beri abang peluang untuk perbaiki kehidupan kita,” ujar Zackery lagi.
“Kalau Hana tanya sesuatu boleh?”
“Tanyalah.”
“Siapa yang hantar sihir tu pada abang dulu?”
Pertanyaanku disambut dengan perubahan di wajah Zackery. Lama dia merenung wajahku tanpa merungkai tanda tanya yang sudah lama berada di benakku selama ini. Aku mahu tahu benar siapa yang menganiaya Zackery dulu.
“Abang tak tahu siapa,” jawab Zackery perlahan.
“Ia ke? Atau abang sengaja nak berahsia,” ucapku sedikit tidak percaya.
Zackery menghela nafas perlahan. “Abang tak sesungguhnya tahu siapa orang tu. Abang cuma agak aja.”
“Siapa?”
“Aween,” balas Zackery perlahan.
“Pak Kiyai cakap memang Aween ke yang hantar benda tu?”
“Pak Kiyai pun tak berani nak pastikan siapa. Dia takut tersalah orang. Cuma dia cakap pengamal ilmu tu perempuan muda. Ciri-ciri yang dia pernah sebut, abang tahu itu memang Aween.”
Keningku berkerut sendiri. “Mama takkan tak tahu ni semua Aween punya angkara?”
“Mama tahu. Tapi dia tak boleh nak buat apa. Abang tak sepatutnya cerita pasal ni. Papa tak tahu cerita yang sebenarnya.”
“Maksud abang?” keningku berkerut memandang wajah Zackery.
“Hana tak boleh cerita ni pada orang lain. Ni rahsia besar mama. Maruah abang.”
Aku pantas mengangguk dek kerana rasa mahu tahu itu sudah tidak mampu ditahan.
“Mama terdesak nak ambil hati Aween, sebab dia ada buat salah besar pada mama Aween.”
“Salah apa?” tanyaku pantas.
“Dia dengan ayah Aween dulu, pernah ada skandal. Aween dah lama tahu.”
Aku terus ternganga. “Maksud abang, Aween ugut mama ke?”
“Lebih kurang begitulah. Sebetulnya, dia kenakan abang dan mama.”
“Apa kaitannya dengan abang pulak?” aku semakin tidak faham letak duduk cerita.
Zackery diam pula. Wajahnya mula berubah mendung.
“Abang dengan mama sama-sama ada buat hal dengan keluarga Aweeena. Mama curang pada papa. Dengan ayah Aween. Sedangkan mama Aween tu layan mama baik selama ni.”
“Abang?” tanyaku pantas.
Zackery diam lagi. Agak susah untuk dia berterus terang apa sebenarnya yang berlaku.
“Papa masih tak tahu sebab abang, Amar meninggal. Abang pernah sakitkan hati Aween. Sekarang dia balas dendam pada abang dan mama. Amar yang tak bersalah jadi mangsa.”
“Tapi mama tetap nak jadikan perempuan tu menantu dia?” ujarku benar-benar hairan. Dah tahu perempuan tu jahat, lagi nak padukkan dengan anak lelaki sendiri? Apa punya formulalah tu!
Zackery menghela nafas perlahan. “Dia nak senang tutup kes, dia ikutlah cakap Aween. Lagi pulak dia untung. Bapak Aween tu kaya raya. Abanglah jadi mangsa. Selagi dia tak dapat apa dia nak, dia takkan berhenti,” ujar Zackery.
“Apa sebenarnya yang dia nak?”
“Abanglah.” Zackery membalas sepatah.
Aku terus terdiam. Maknanya Aweena memang betul-betul sukakan Zackery dan akulah yang merampas lelaki idamannya.
“Hana jangan bimbang. Selagi rahsia tu masih rahsia. Mama takkan berani buat apa-apa pada Hana,” ujar Zackery lembut.
“Tapi Aween macam mana? Dia takkan mengalah, kan? Hana tak mahu jadi apa-apa pada abang,” ujarku perlahan. Aku lebih takut Zackery sakit semula angkara sihir. Aku tidak sanggup melihatnya.
“Jangan risau, sayang. Selagi Allah tak izinkan, abang tak akan apa-apa. Tak ada satu makhluk pun dalam dunia ni mampu mengatasi kuasa Allah. Hana lupa ke? Doa senjata orang mukmin. Zikir pendinding diri. Semua panduan sudah Allah sediakan cukup buat kita. Hanya amal kita aja yang Allah tunggu,” balas Zackery lembut.
Spontan aku terdiam. Ya, memang benar. Seharusnya kami bergantung kepada Allah. Bukankah perlindungan Allah yang paling selamat buat semua hamba-Nya?
Spontan tubuh lelaki itu aku dakap erat. Selagi ada ruang, aku ingin merasa kasih sayangnya. Dan aku mahu memberi apa yang terdaya. Kerana aku sendiri tidak tahu, bila masanya takdir akan tiba memisahkan kami berdua.

BAB 23
“WEI, mak cik. Dah tahu kaki tu sakit, pergilah balik berehat kat bilik. Kau berjalan sana sini. Nanti bertambah teruklah,” tegur Julia kepadaku petang itu.
“Tak laratlah nak jalan. Berdenyut-denyut,” keluhku.
“Inilah dia kalau dah memang jenis degil, kan? Dah tahu buku tu berat, sibuk nak angkat. Sudahnya sakit kaki. Siapa yang merana sekarang?” Julia membebel lagi sambil mengambil kerusi. Dia terus duduk di hadapanku. Kakiku diangkat lalu diletakkan di atas pahanya. Kaki seluarku diselak sedikit. Saat pergelangan kaki dipicitnya, aku terus menjerit.
“Sakitlah,” getusku tidak tahan.
“Kan dah cakap? Tunggu kejap. Nanti dah tak busy aku hantar kau naik atas,” ucap Julia sambil menghela nafas perlahan.
“Tak apalah. Kau buatlah kerja kau. Orang ramai. Kesian budak-budak tu. Takcukup tangan nak buat kerja. Aku usaha sendiri. Bukannya jauh pun,” jawabku lembut. Sudahlah pembantu kurang. Aku lagi mahu menyusahkan dia. Julia memandang jam tangannya seketika.
“Dah pukul 4 lebih ni. Panggillah Zackery datang sini. Kau pun belum makan dari tengahari tadi,” ucap Julia lembut.
Aku sekadar mengangguk untuk menyedapkan hati Julia. Julia terus bangun meneruskan kerjanya. Aku duduk melepak sendiri. Sementara itu aku belek telefon. Ada mesej dari Zackery rupanya.
Abang kat bawah ni. Ayang balik pukul berapa hari ni?
Aku tersenyum sendiri sambil menaip balasan kepada lelaki itu.
Naik atas boleh tak? Tak larat nak jalan ni.
Mesej itu berbalas tidak sampai seminit.
OTW!
Lega hatiku serta merta. Dan tidak sampai lima minit Zackery sudah muncul di celahan orang ramai. Cepat betul!
“Kenapa ni?” tanya Zackery saat aku mencapai tangannya. Sambil berpaut kepadanya aku cuba berdiri.
“Sakit kaki. Hana nak balik,” jawabku ringkas. Sambil berlalu aku sekadar melaung kepada Julia yang aku akan pulang ke hotel. Julia sekadar mengangguk.Tersengkot-dengkot aku berjalan sambil memaut lengan Zackery. Sudahlah kakisakit. Berjalan pula di lautan orang ramai. Sepanjang jalan asyik terkandas sahaja sedangkan aku sudah tidak sabar mahu lekas keluar dari bangunan ini.
“Bang, jom makan dulu. Laparlah.”
“Kat sini ajalah. Susah nak pergi jauh-jauh kalau macam ni,” balas Zackery akur.
“Kat cafe aja. Dah tak tahan lapar ni.”
Lega rasanya saat dapat melabuhkan punggung ke kerusi dalam keadaan kaki sedang dicengkam rasa sakit.
“Macam mana boleh sakit kaki pulak ni?”
“Pagi tadi budak-budak tu biarkan buku yang belum bersusun atas lantai.Hana tak nampak. Waktu tengah angkat buku lain, Hana terpijak buku. Terus terpelecok. Dah terpelecok, jatuh pulak lagi. Nasib baiklah waktu tak ada orang. Malu betul!” ceritaku perlahan.
Zackery sekadar menggeleng. Nak marah pun apa guna? Mujurlah makanan yang kami pesan lekas tiba. Bukan main laju lagi aku memulun nasi tomato. Lapar dan penat. Zackery sekadar menikmati set sandwichnya.
“Tengok Hana makan, abang pun rasa lapar pulak ni,” ujar Zackery lantas melambai pelayan. Sandwich yang dipesan sudah licin. Dia meminta lagi yang lain.
“Macam makan kat rumah,” komen Zackery sambil ketawa kecil melihat gelagatku meratah ayam.
Aku sekadar buat selamba melihat dia memerhatikan aku makan. Lapar punya pasal, hilang idea nak kontrol ayu. Spontan Zackery mengambil tisu. Hujung bibirku dilap dengan tisu. Ada kuah ayam masak merah rupanya. Pelahap betul aku rupanya.
Usai menghabiskan sepinggan nasi, kami berkongsi sandwich yang baru tiba. Sakan memulun sampai aku tersandar kenyang. Kami lepak seketika di meja itu.
“Mama tak marah ke abang asyik datang sini jumpa Hana?” tanyaku.
“Mama tak tahu,” jawab Zackery perlahan.
“Mama tak tanya kenapa abang selalu tak balik?”
“Tanya. Abang cakap ada hal.”
“Kalau mama tahu abang jumpa Hana kat sini, macam mana? Mesti dia tak suka, kan?” telahku perlahan.
“Tak apa. Untuk sementara waktu ni kita gunakan aja masa yang ada untuk diri kita. Biarkan aja mama tu,” jawab Zackery tenang sahaja.
Aku diam seketika sambil memandang sekeliling. Ralik fikiran bermain dengan segala macam andaian tentang apa yang akan berlaku sekiranya mama tahu aku selalu bersama dengan anaknya.
“Lepas habis pesta buku ni kita pergi jalan nak? Habiskan masa bersama.”
Aku segera mengangguk. “Jomlah naik, bang. Tak larat dah ni.”
Zackery terus melambai pelayan untuk melunaskan bayaran. Lambat-lambat aku bangun. Serentak itu rasa bisa di pergelangan kaki menyerang semula. Makin susah mahu berjalan. Sepanjang perjalanan ke kamar, aku dipapah Zackery. Setiba di kamar, aku terus duduk di sofa. Zackery duduk di hadapanku.
“Bengkak teruk dah ni.”
Aku sekadar membiarkan jemari kasar itu meliar di pergelangan kakiku. Seterusnya aku tersandar. Sedap diurut begitu dalam keadaan kesakitan masih berdenyut-denyut. Namun tidak lama kemudian Zackery bangun semula.
“Kita masuk dalam ya?” ucapnya. Tanganku ditarik mengajak aku berdiri. Kemudian aku dipapah Zackery ke kamar. Zackery meminta aku duduk di katil. Aku sekadar memandang dia mendekati telefon di meja. Zackery meminta sebekas ais.
“Nak pergi klinik?”
Aku pantas menggeleng. “Tak naklah. Hana dah penat. Tak larat nak keluar dah,” jawabku lantas merebahkan tubuh ke tilam.
Zackery duduk di sisiku. Terus sahaja tangannya mencapai butang seluar jeansku.
“Eh! Tak payahlah.” Tangannya sempat aku tahan.
“Bukalah. Senang nak ubat kaki tu,” balas Zackery bersungguh.
“Ambilkan tuala dulu.”
Suamiku itu terus bangun mendapatkan apa yang aku minta. Sekadar melindungi separas pinggang ke lutut, aku menanggalkan seluar di atas katil itu. Kemudian seluar itu aku letakkan di hujung katil sebelum kembali berbaring. Tanpa disuruh Zackery segera bangun untuk mengalihkan seluar itu. Namun sebelah tangannya sengaja mencapai hujung tuala itu. Sudahnya tuala itu tertarik pergi bersama Zackery.
“Abang! Baklah sini tuala tu!” marahku. Terkial-kial aku mencari sesuatu untuk menutupi kawasan cik V yang terdedah. Tak sempat nak fikir apa, tutup pakai bantal aja senang.
“Eh! Tuala ni nak pakai lagi ke? Lah.. abang ingat dah sudah,” ucap Zackery sambil menyengih.
“Saja aja, kan??” marahku geram melihat muka selambanya.
Lelaki itu kembali semula kepadaku. Tuala itu dikembangkan sebelum kawasan rahsia itu ditutupinya. Kemudian dia duduk di sisiku. Rambut di dahiku disuak lembut.
“Hana tunggu kejap. Abang ada minta ais. Rendam kaki dalam ais. Supaya bengkak tu tak melarat,” ujar Zackery lembut.
Tidak lama kemudian ada seseorang memetik loceng di hadapan pintu. Zackery berlalu mendapatkan tetamu itu. Kemudian dia kembali semula sebekas ais. Dia meminta aku duduk di birai katil. Setelah beberapa minit merendam kaki ke dalam ais, rasa sakit itu mula hilang. Kaki sudah terasa kebas.
“Okay tak?”
“Lega sikit,” jawabku lembut.
Zackery mengangguk perlahan sambil memandang ke dalam bekas itu.
“Pandai abang rawat kaki terseliuh ya?” ucapku sambil mengusik rambutnya.
“Abang tahu sikit-sikit aja. Kalau dah bengkak macam ni tak elok urut. Salah urut nanti bertambah sakit,” ujar Zackery sebelum dia bangun lalu duduk di sisiku.
“Esok kalau bengkak tu tak surut, kita pergi klinik ya?”
Aku sekadar mengangguk. Namun sudah beberapa minit, rasa sakit itu sudah tidak sehebat tadi.
“Hana rehat aja. Jangan berjalan-jalan dah. Nanti bertambah sakit kaki tu,” ucap Zackery lembut.
“Hana nak cuci muka sekejap.”
“Mari abang tolong,” sambut lelaki itu lantas menarik tanganku.
Usai urusan di kamar mandi, aku sempat menukar pakaian dan bersolat. Kemudian aku terus berbaring di katil. Tidak sedar bila masanya aku terlena. Aku hanya tersedar ketika waktu sudah tengah malam. Pantas aku berkalih untuk melihat tempat tidur Zackery. Lelaki itu tiada di situ.
“Abang,” panggilku.
Beberapa saat kemudian Zackery muncul di muka pintu semula.
“Dah bangun?” tanya Zakcery sambil mendekatiku. Lelaki itu duduk di birai katil.
“Ambilkan air sekejap. Hauslah,” pintaku lembut.
Dengan senang hati lelaki itu mengambilkan aku segelas air putih. Habis segelas air aku teguk. Benar-benar dahaga. Zackery tersenyum memandang gelagatku. Gelasyang sudah kosong segera diambil.
“Kenapa tak tidur lagi?” tanyaku.
“Abang buat kerja kat depan tv,” jawab Zackery lembut. Kakiku dibeleknya.
“Bengkak lagi ni. Sakit tak?”
Aku menggeleng perlahan. “Tak sangat. Esok eloklah ni,” jawabku seketika kemudian.
“Ni kalau bawa ke tukang urut sedap ni,” ucap Zackery sambil terus membelek kakiku.
“Jangan! Hana tak mahu urut,” jawabku pantas menarik kakiku dari pegangannya. Spontan Zackery memandangku. Tajam. Seolah-olah tidak senang dengan perbuatanku tadi.
“Sorry. Hana tak sengaja,” bisikku perlahan. Tidak tentu arah dengan renungannya.
Ketika itu Zackery mula mengalihkan duduknya lebih dekat denganku tanpa mengalihkan pandangannya. Aku sedikit terpinga-pinga tidak tahu apa yang akan dia lakukan kepadaku.
“Hana tahu sesuatu? Semenjak dulu abang suka pandang Hana waktu Hana tidur,” ucap Zackery separuh berbisik.
“So?” aku berpaling sedikit saat dia mendekatkan wajahnya kepadaku. Hujung hidungnya menyentuh pipiku.
“Itulah waktu paling mencabar.”
“Mencabar?” aku cuba mencari pandangan matanya. Namun sesuatu berlaku membuatkan aku terdiam. Aku biarkan sahaja dia melakukan apa yang dia suka. Namun nampaknya tiada tanda-tanda akan berhenti. Aku terkapai-kapai sendiri sehingga dia mula memelukku.
“Abang tunggu Hana terjaga dari tadi,” bisik Zackery lembut.
“Untuk?” balasku lemah.
Zackery tidak menjawab. Kemesraan tadi disambung lagi. Dan aku? Kaki sakit apalah sangat, kan? Mabuk cinta punya pasal, aku telah terlupa segala-galanya!



Malam itu aku sendirian di rumah Adila. Sebelum maghrib tadi Adila ada memberitahu aku yang dia akan pulang lambat. Semenjak petang tadi aku perasan Zackery langsung tidak menghubungiku. Pelik.
Agaknya dia sibuk, bisik hatiku sediri. Cuba bersangka yang elok-elok kepada lelaki itu.
Sebelum ini Zackery ada meminta aku tinggal bersamanya. Namun aku menolak. Aku lebih senang di rumah ini bersama Adila. Aku tahu Zackery terkilan dengan keputusanku. Aku takut mama Zackery tahu aku dan Zackery masih berhubung. Tidak tahu sampai bila keadaan akan terus begini. Tetapi buat masa ini aku masih belum bersedia mahu berhadapan dengan mama Zackery.
Sedang aku sibuk menghadap kerja di komputer riba, loceng di pintu ditekan orang. Aku segera bangun untuk melihat tetamu itu. Zackery! Pintu segera kubuka.
“Hai,” sapa lelaki itu dengan senyuman. Dia merenungku lama saat pintu besi aku buka untuknya.
“Dila ada?”
“Belum balik,” jawabku sambil menarik tangannya agar masuk. Namun sebaik sahaja pintu itu tertutup dia menarikku ke dalam pelukannya.
“I love you,” bisiknya lunak. Senang mendengar ucapan itu, tubuh sasanya aku peluk erat. Seharian tidak berbual dengan Zackery, aku rasa nanar oleh rindu. Aku relakan segala-gala yang dilakukannya kepadaku.
“Jangan! Dila balik bila-bila masa aja,” tegahku saat dia mahu pergi lebih jauh.
Zackery diam menatapku. Aku cuba berpaling namun dia kembali menarik pandanganku ke arahnya.
“Look at me,” pinta Zackery bersungguh.
Sesungguhnya aku takut mahu menatap pandangannya. Aku sedar keinginannya untuk hidup bersama terlalu tinggi. Aku kasihankan dia. Tetapi aku lebih rela begini daripada kehilangan dia begitu cepat.
“Maafkan Hana,” ucapku seketika kemudian. Aku tahu dia terseksa.
Namun Zackery menggeleng perlahan. Jemarinya mula bermain di daguku.
“Abang tak marah. Kita berhak hidup macam orang lain. Abang tak salahkan Hana kalau Hana rasa tak selamat bersama abang,” ujar Zackery lembut.
“Hana pun sayangkan abang. Tapi mama macam mana?” balasku rendah.
Zackery diam pula. Perlahan dahiku dikucupnya lama.
“Abang janji keadaan ni tak akan lama. Hana sabar ya?” ujar Zackery seketika kemudian.
Aku hanya mampu memegang kata-kata itu. Seperti mana Zackery, seharusnya aku juga berpegang erat kepadanya. Supaya dia kuat untuk berhadapan dengan segala cabaran hidup kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan