Ahad, 13 Mac 2016

BAB 28-29 DIA LELAKI BERHANTU

BAB 28
BERMULA dari awal pagi kami sudah menjelajahi tempat menarik di puncak Cameron. Ini bukanlah kali pertama kami ke sini. Sudah acap kali sebenarnya. Namun inilah pertama kali kami datang berdua sahaja. Seronok juga biarpun hampir semua tempat ini sudah acap kali aku kunjungi sebelum ini. Bab membeli belah sudah tentulah tidak ketinggalan sama sekali.
Hampir petang barulah kami kembali ke Tanah Rata. Sampai di rumah semula, aku terus terduduk di sofa. Betis sudah terasa kekejangan akibat terlalu banyak berjalan.
“Sayang..” panggil Zackery sambil duduk di sisiku.
“Ya. Penatlah,” aduku perlahan.
“Puas hati berjalan hari ni?” tanya Zackery sambil memaut bahuku.
Aku tersenyum kecil memandang ke hadapan. “Penat sangat. Tapi tak pernah jemu datang sini,” ucapku perlahan.
“Dulu waktu kita masih di universiti, kita pernah datang sini, kan? Dengan member-member lama,” ucap Zackery pula.
“Abang ingat lagi. Kenangan tu dah lama, kan? Bukannya ada apa-apa yang menarik nak dikenang semula,” balasku biasa. Rasanya sudah empat atau lima tahun berlalu.
“Sayangnya waktu tu kita tak peduli antara satu sama lain. Hana dengan hal Hana. Abang dengann kawan-kawan abang,” ucap Zackery dengan helaan nafas perlahan.
“Ia ke? Abang yang macam tu kut,” ujarku selamba. Zackery pantas menoleh kepadaku. Lama matanya singgah di wajahku.
“Waktu tu Hana sukakan abang?” tanya Zackery.
“Entah. Sukalah kut.” Aku menjawab acuh tidak acuh. Sekadar mahu menyembunyikan kelemahan sendiri.
“Betul ke? Waktu tu Hana sukakan abang?”
“Kenapa nak tahu?” balasku pantas. Pantas juga aku memandang Zackery.
“Kenapa Hana tak pernah beritahu abang?”
“Untuk apa? Untuk diketawakan?” getusku lantas menjelingnya. Berterus terang dalam keadaan aku sendiri tahu dia tidak ada perasaan kepadaku. Ramai pula wanita mengelilinginya. Aku sendiri tidak tahu mengapa mata ini suka benar memandang Zackery.
Zackery diam pula. Ternyata topik kali ini tidak menggembirakan kami. Aku juga tiba-tiba jadi canggung. Kenapa aku biarkan dia tahu tentang itu?
“Orang yang abang tak pandang dulu, akhirnya dia yang ada di sebelah abang. Jaga abang waktu abang sakit. Setia beri sokongan, temankan abang waktu abang dalam kesusahan. Abang rasa bersalah pada Hana..”
“Tak apa. Perasaan tak boleh dipaksa. Hana tak salahkan abang pun,” pintasku sebelum dia habis meluahkan bicara.
Zackery meghela nafas sambil meraup wajahnya. “Dulu waktu abang sakit, sesetengah perkara abang tak ingat. Abang tak sedar apa yang abang buat pada Hana. Sesetengah perkataan yang abang luahkan pada Hana, abang tak maksudkan. Abang tahu dah banyak kesakitan yang abang berikan pada Hana dulu. Abang minta maaf. Abang tak bermaksud begitu,” ujar Zackery perlahan.
“Kenapa kita bercakap tentang itu lagi?”
“Sebab abang rasa tak adil. Terlalu banyak pengorbanan yang abang tagihkan dari orang sekeliling abang terutama sekali isteri abang. Tapi abang masih tak mampu buat apa-apa untuk bahagiakan Hana,” balas Zackery rendah.
“Mana abang tahu Hana tak bahagia? Ya, hidup tak selalunya berjalan seperti yang kita nak. Semua orang ada masalah. Tak ketinggalan kita. Bukan hidup yang sempurna Hana tagihkan dari seorang suami. Kalau benar begitu, Hana takkan kahwin dengan abang. Tapi kesetiaan. Sejauh mana abang akan bertahan sekiranya apa yang abang lalui dulu berlaku pada Hana. Abang akan tunggu? Abang akan terima kekurangan Hana? Atau abang akan cari yang lain?” jelasku bersungguh.
Zackery pegun memandang ke hadapan tanpa memberikan jawapan. Kemudian dia mencapai jemariku lalu diletakkan di atas pahanya.
“Kasih sayang bukan sekadar di mulut, kan?” Zackery memandangku dengan sedikit senyuman.
“Ya.” Aku mengangguk perlahan.
“Abang akan buktikan yang abang bukan seorang suami yang mementingkan diri sendiri,” ucap Zackery bersungguh.
“Kita tunggu dan lihat aja nanti,” balasku selamba.
Zackery tersenyum sambil memandangku. Bahuku dipaut lebih erat.
“Abang tak akan berlaku kejam pada perempuan yang dah banyak berkorban untuk abang. Sayangnya abang tak tahu apa yang Hana simpan semenjak dulu. Abang sangka semuanya bermula selepas abang kemalangan dulu. Tapi abang harap masih belum terlambat. Dan abang yakin perjalanan yang dah Allah tentukan itu lebih bermakna untuk kita,” ujar Zackery tenang.
Aku sekadar membisu mendengar kata-kata suamiku itu. Memang perjalanan ini lebih baik untuk kami. Kerana aku sendiri tidak pernah berharap akan tersenarai sebagai bekas teman wanita yang jemu dipakai, terus dibuang.
“Hana..”
“Ya.” Aku mula menoleh kepadanya. Zackery merenung tampangku agak lama dan dalam.
“Lepas segala yang berlaku pada abang, pada kita berdua. Tak ada apa lagi yang abang harapkan. Kisah yang dulu banyak mengajar abang. Hidup ni singkat untuk dibazirkan begitu sahaja. Nyawa pada tubuh ni hanya pinjaman. Abang nak jalani hidup dalam erti kata yang sebenar. Abang akan jaga Hana baik-baik. Itu janji abang semenjak abang terlepas dari penderitaan dulu,” ujar Zackery lembut.
Aku pamer senyum nipis buatnya. Aku percaya dia sudah belajar banyak dari kesilapan lalunya dan bukan hakku mengungkit semua itu. Dan aku sendiri lihat dia sudah banyak berubah. Semua orang berhak diberi peluang untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Hidup ni unik. Sentiasa membawa sesuatu untuk kita lihat dengan mata hati. Siapa yang lalai, dia akan kerugian,” ujarku rendah.
“Lebih unik bila seseorang yang kita tak sangka datang waktu kita keseorangan. Dia pertaruhkan segalanya semata-mata untuk lihat orang yang dia sayang kembali tersenyum. Dia buat mata abang terbuka luas melihat apa sebenarnya erti kasih sayang,” sambut Zackery perlahan. Disaat kucupannya berlabuh di ubun-ubun rambutku, aku hanya membisu. Rasa hati cukup aman.
“Malam ni kita dinner dekat Smokehouse nak?”
“Naklah!” jawabku pantas. Teruja. Antara restoran membawa gaya Inggeris yang terbaik di Tanah Rata.
Zackery ketawa kecil melihat gelagat keanak-anakan aku.
“Jom!” ajak Zackery lantas bangun dari sofa.
“Ke mana?”
“Mandi. Solat. Lepas tu kita sambung berjalan,” jawab Zackery selamba.
Mendengar itu aku terus bangun. Hilang sakit kaki dengar dia ajak berjalan lagi.

JAM 10 malam barulah kami pulang semula ke rumah. Zackery sudah keletihan benar. Usai solat isyak dia terus menghempas tubuh ke katil. Aku ikut mendekatinya. Lelaki itu sudah terlentang di tengah katil dalam keadaan mamai-mamai menahan mengantuk.
“Penat ke?” perliku sambil mengerlingnya. Dia yang ajak berjalan sakan. Dia yang pancit dulu.
“Penat campur mengantuk,” jawab Zackery perlahan.
“Hmm.. semalam dengarnya angan-angan tu tinggi. Nak takutkan oranglah kononnya. Apa abang cakap semalam? Tiap-tiap hari nak minum power root tongkat Ali? Bulan madulah katakan. Belum apa-apa dah terbongkang!” ejekku sambil tergelak sinis.
Zackery tiba-tiba mengangkat kepala. “Ialah. Abang lupa nak beli air tu tadi. Apa barang honeymoon kalau kita tidur awal. Inilah masanya! Abang pergi beli sekaranglah.” Terus lelaki itu bangun semula.
“Eh! Jangan nak mengada-ngada! Hana pun nak rehat ni,” tukas ku mula seriau melihat dia segar semula. Entah kenapa dengan lelak ini aku sering merasa kalah. Ada saja olahnya yang membuatkan aku rasa nak tenyeh-tenyeh aja lelaki ini. Melihat riak nakal di wajahnya, aku bertambah bengang.
“Tahu pun takut. Meh sini baring dengan abang.” Zackery menepuk-nepuk lengannya meminta aku berbaring di situ.
Dengan senyum simpul aku pun melabuhkan kepala di lengannya.
“Abang..” seruku lembut.
“Ya..”
“Hana kena juga balik Dubai dalam masa terdekat ni,” ucapku lembut.
Spontan Zackery menoleh. Matanya sudah mula kemerahan. “Bila?”
“Mungkin dalam seminggu dua lagi. Tengok keadaan macam mana.”
Zackery terdiam pada permulaannya. Matanya dialihkan memandang atas. Riak wajahnya sudah mula berubah. Aku tahu dia tidak suka mendengar itu.
“Dengar tak?”
“Dengar. Takkan Hana nak tinggalkan abang sorang-sorang kat sini? Kita dah janji nak hidup bersama, kan? Hana takkan pergi jauh dari abang lagi,” keluh Zackery perlahan.
“Hana pergi kejap ajalah. Hana nak ambil barang-barang Hana dari rumah sana,” jawabku pantas.
“Sekejap tu berapa lama? 3 hari? 4 hari?” ucap Zackery lantas mengalihkan kedudukan tubuhnya. Lengannya segera melingkar di pinggangku.
“Sebulan,” balasku bagaikan tidak berperasaan.
“Sebulan??” terangkat kepala lelaki itu dengan mata segar bugar.
“Lama sangat tu. Tak boleh! Tiga hari je abang bagi. Lepas tu Hana kena balik sini semula,” putus Zackery bersungguh.
“Tiga hari nak buat apa? Tak sempatlah! Paling pun kenalah ada kat sana seminggu!” getusku tidak senang dengan kehendaknya. Kalau tiga hari, alamat baru nak letak punggung, dah kena balik semula.
“Tak boleh. Tiga hari je. Nanti abang kat sini tak ada siapa nak peluk.”
“Nanti Hana balik, Hana peluklah abang sebanyak mana yang abang nak. Seminggulah, bang..” pujukku lembut.
“Tiga hari..”
“Seminggu aja pun nak berkira ke? Tiga hari tak sempatlah, bang.”
“Dua hari..” ucap Zackery serius.
“Ialah! 3 hari! Kedekut betul,” desisku geram. Bukannya bertambah. Tolak sehari lagi ada!
“Abang tak boleh jauh dari Hana. Nanti abang tak boleh tidur malam,” ucap Zackery sambil tersenyum memandangku.
“Ialah sangat! Habis tu selama ni Hana tak ada dengan abang, abang memang langsung tak boleh tidurlah?” tukasku selamba.
Zackery tersengih tiba-tiba. “Sebelum tu lain. Sekarang dah lain..”
“Apa yang lainnya?”
“Sebelum ni abang tak pernah nampak Hana seksi-seksi depan abang,” jawab Zackery dengan sengihan nakal. Geram aku tengok gelagatnya. Tak ada kerja lain agaknya!
“Tidurlah cepat. Tadi mengantuk sangat, kan? Otak tu jangan nak melilau ke sana sini,” ucapku lantas memejamkan mata. Bukannya boleh dilayan benar lelaki seorang ini. Terbabas nanti.
“Hmm.. Tiba-tiba hilang mengantuk bila tengok Hana dekat-dekat macam ni.” Zackeru merenungku mesra. Tangannya laju mengusap belakangku.
“Hee.. Hana pun nak kena berubat dengan Pak Kiyai kalau macam ni,” desisku mula tidak senang.
“Kenapa pulak?”
“Hari-hari kena kacau, mana boleh tahan? Penat tahu tak!”
Zackery mengekek ketawa serta merta. “Alah.. Kitakan tengah honeymoon ni? Apa barang tidur?” bisiknya dalam nada miang.
“Bukan hari ni aja malam. Esok pun insya-Allah ada malam,” jawabku sambil menjelingnya.
“Tengok tu? Tak payahlah pergi Dubai kalau macam ni,” ugut Zackery pantas.
“Abang ni memang saja aja, kan?” getusku makin geram dengan lelaki seorang ini. Main ugut-ugut pulak dia!
“Macam tulah. Hana sayang abang, kan?” Zackery menyeringai gembira. Jelinganku langsung tidak dipedulikannya.
Aku mula buat-buat menguap. Malas mahu melayan ayat-ayat cintanya.
Andrian Zackery.. bila ada sesuatu yang dia nak, ayat berbunga-bunga dah macam tokey kebun bunga. Sayang punya pasal, bagi ajalah, Raihana oi! Kalau tidak, mahu sampai ke pagi lelaki seorang itu tak bagi aku tidur.



BAB 29
DI pertengahan malam itu..
Sungguh aku tidak dapat lena. Dengkuran lelaki di sebelahku ini benar-benar membuatkan aku tidak mampu memejamkan mata. Rasanya sudah berjam-jam Zackery tidur dalam posisi yang sama. Langsung tidak bergerak. Aku terkebil-kebil sendiri tidak tahu bagaimana mahu menjemput lena. Puas juga mencari posisi baring yang selesa, mata masih juga berdegil. Sudahnya aku menekan lampu. Kamar itu terang sedikit.
Sekadar menunggu mata mengantuk, aku membelek telefon. Aktiviti di kotak What’s App aku belek. Tersenyum-senyum melihat perbualan Julia dengan beberapa teman yang lain di dalam kumpulan yang kami tubuhkan sebelum ini. Yang masih bujang bercerita tentang teman lelaki masing-masing. Kemudian aku memandang lelaki di sebelahku itu. Telefon itu aku halakan ke arahnya. Beberapa gambar dirakam oleh telefon itu membuatkan Zackery terjaga oleh kilatan cahaya dari kamera itu.
“Hana tak tidur lagi ke?” tegurnya sambil menggosok mata.
Aku pantas menoleh. “Belum.”
“Terang sangat. Macam mana nak tidur. Silau,” ucap Zackery dengan kerutan di kening.
“Alah, pandanglah sana. Hana tak mengantuk pun.” Aku bereaksi selamba.
“Hana mesej siapa tu?”
“Tak ada siapa.”
“Bak sini abang nak tengok.” Zackery terus mengambil telefon dari tanganku.
“Janganlah!” getusku. Tidak sempat menahan telefon itu sudah berada di tangan Zackery.
“Hana ambil gambar abang waktu tengah tidur nak buat apa? Hodohlah,” bebel Zackery sambil cuba memadamkan gambar itu.
“Abang! Janganlah padam. Hana nak simpan,” getusku. Telefon itu segera aku ambil semula. Hasilnya aku lihat dua dari tiga gambar itu sudah berjaya dipadam Zackery.
“Tidurlah. Takkan tak mengantuk. Dah pukul satu pagi ni,” ucap lelaki itu dengan wajah selamba. Telefon di tanganku itu diambilnya lalu diselitkan di bawah bantal. Kemudian tubuhku dirangkulnya.
“Padam lampu. Silau ni,” suruh Zackery lembut.
Aku sekadar buat tidak tahu sahaja.
“Saja nak cabar abang ya?” ucap Zackery sambil dia memanjangkan tangannya memadamkan lampu tidur itu. Baru sahaja Zackery menarik selimut, aku nyalakan semula lampu itu.
“Silaulah, Hana! Padamkan..” Zackery mendecit tidak senang.
“Abang pandanglah sana. Ini kawasan Hana! Sibuk ajalah!” kami sudah mula bertekak tentang lampu pula.
“Hana ni saja aja, kan? Padam cepat lampu tu..”
Aku terus buat tidak tahu. Mata aku pejamkan dengan muka selamba. Tidak berpuas hati Zackery segera memanjangkan tangan ke arah lampu itu. Sekejap sahaja lampu itu terpadam semula.
“Apa ni? Bukaklah balik! Bukannya kena kat dia pun,” marahku. Dan aku nyalakan lagi lampu itu.
“Hee... bini siapa degil sangat tengah-tengah malam macam ni? Ada lagi yang dia naklah tu. Padam lampu tu cepat!” rengus Zackery sedikit keras.
“Tak nak!”
Zackery cuba mencapai lagi lampu itu. Namun aku lebih cepat menjauhkan suiz lampu itu daripadanya. Lelaki itu mula mendecit geram.
“Abang nak tidur, Hana kacau. Sekarang ni abang dah tak jadi tidur. Terimalah akibatnya!”
Tahu apa yang Zackery ingin lakukan kepada aku, aku cepat-cepat bangun. Namun belum sempat aku menjauhkan diri Zackery sudah mencapai hujung baju tidurku. Langkahku terhenti serta merta.
“Lepaslah!” jeritku sambil hujung baju tidur cuba aku rentap. Namun tanganku pula yang dicekupnya.
“Sini! Mana mahu pergi? Mahu lari ya??”
“Lepaslah, abang. Koyak baju Hana ni nanti.” Berkali-kali aku cuba melepaskan pegangan lelaki itu. Langsung tidak berjaya.
“Koyaklah bagus! Itu memang abang suka,” jawab Zackery selamba. Kemudian dia mula menyeringai jahat.
Geram dengan gelagat lelaki itu, aku mencapai bantal dengan sebelah tangan. Dengan sekuat-kuat hati aku membelasah lelaki itu dengan bantal itu. Zackery sempat menepis libasan itu. Tidak berjaya sekali aku cuba lagi beberapa kali dengan penuh perasaan. Akibat kepakaran aku melibas orang, salah satu hayunan tepat mengenai lampu yang kami rebutkan tadi.
Penutup lampu itu terbang dan lampu itu tercampak ke lantai. Badan lampu yang diperbuat daripada tanah liat itu sudah pecah akibat terhempas ke dinding. Hanya tinggal mentol sahaja masih selamat, tidak terpadam. Aku terpaku melihat itu.
“Ah sudah! Pecah! Hana yang buat. Aiyokkk..” Zackery segera menyalahkan aku.
Aku mengertap bibir geram. Melihat lelaki itu sedang leka memandang ke arah lampu itu, bantal itu aku hayun lagi sehingga terkena kepala Zackery. Terkejut Zackery akibat perbuatanku.
“Hana ni memang saja nak cari pasal dengan abang, kan?” gerutu lelaki itu lantas bangun daripada katil.
Aku cepat-cepat melarikan diri apabila dia melepaskan aku. Tetapi Zackery lebih cepat menghadang bilik air untuk menghalang aku masuk ke situ. Membuatkan langkahku terhenti serta merta di hadapannya.
“Nak lari mana? Bilik ni kecik aja,” ejek Zackery. Dia mula menapak ke hadapan untuk mendekatiku. Sengaja dia menayang sengih jahat tanda dia sudah menang.
“Janganlah!!!” jeritku mula takut melihat gelagatnya.
“Janganlah? Tadi Hana berani sangat cabar abang, kan? Mari sini, sayang..”
Sebelum dia dapat menyentuhku, aku terus melarikan diri ke arah lain. Tetapi Zackery lebih cepat menangkap tubuhku. Dia tergelak menang setelah aku berada dalam pelukannya.
“Ini dia resepi ayam golek bermadu. Memang sedap diratah malam hari. Memang mood nak meratah tengah menyala-nyala ni,” giat Zackery lantas tergelak miang. Aku diangkatnya dalam keadaan aku meronta-ronta. Tidak sampai beberapa saat aku sudah dihumbannya ke atas katil. Zackery melompat ke atas katil. Terjahan tubuhnya pantas sahaja membuatkan katil itu bergoyang kuat.
Aku tolak lelaki itu sekuat-kuat hati sebelum sempat dia menangkap tanganku. Aku cuba lari. Tetapi baru mahu merangkak jauh, Zackery menarik sebelah kakiku sehingga aku tertarik ke belakang semula. Aku diangkatnya lalu dibalikkan kasar.
Zackery ketawa kuat melihat aku sudah kalah.
“Janganlah!!” Lelaki itu aku tolak lagi.
“Suka menjerit, kan? Sejak bila ni? Abang memang suka perempuan suka menjerit malam-malam ni. Advanture!!” ugut Zackery. Tubuhku dihempapnya kuat.
Prakk!! Kami terdiam.
“Bunyi apa tu, abang?” tanyaku.
“Entah.” Menggelupur cuba Zackery bangkit. Namun..
Bummm!!! Serentak itu aku rasa terhempas ke lantai. Macam nak pitam aku rasa. Zackery terus terkaku. Aku merasakan katil itu sudah tidak seperti tadi. Kepala kami condong di arah lantai dan kaki ke atas.
“Katil ni patah ke, sayang?” soal Zackery perlahan.
“Habis tu?” marahku geram.
“Bangunlah!!”
Zackery terus akur. Dengan muka sudah lain macam dia bangun sambil memandang bentuk katil yang sudah tidak seperti tadi. Salah satu kakinya sudah terbaring di lantai.
“Perangai ganas macam singa! Asyik nak terkam orang aja. Abang tidurlah situ. Hana nak tidur kat sofa,” getusku lantas mencapai bantal.
“Sayang, abang ni macam mana?” soal Zackery dengan mata terkebil-kebil.
“Tidurlah atas katil patah tu.” Aku menjawab selamba sambil berjalan ke ruang tamu. Tubuh aku labuhkan di sofa. Namun baru sahaja aku mahu melelapkan mata penuh keamana, terasa ada sesuatu mula menyempit di belakangku. Spontan mata kembali terbuka.
“Sana sikit. Abang nak tidur juga ni,” ucap Zackery penuh lemah gemalainya.
Aku yang mendengar sudah menyirap.
Hee... dia nak tidur sini juga. Anak siapalah ni! Namun jeritan itu sekadar di dalam hati. Zackery sudah pun menghenyak tubuhnya ke sofa. Membuatkan aku terperosok di antara tubuhnya dan penyandar.
“Good night, sayang..” bisik Zackery sambil memelukku.
Terkebil-kebil mataku. Boleh pula dia sambung tidur macam tiada apa berlaku??

RASANYA sudah beratus-ratus kali aku menguap. Tetapi sekali pun tidak aku dapat mencantum lena. Letih tak usah katalah. Teramat letih! Tetapi sebenarnya usahkan tidur, bernafas pun aku rasa tidak mampu saat ini. Sempit sungguh. Nak bergerak pun tak boleh. Asyik kena himpit dengan Zackery semenjak tadi. Susah jugak kalau dapat suami terover romantik. Over dose miang!
Sudah tidak tertahan, aku mula memandang Zackery. Bukan main sedap lagi dia berdengkur. Langsung tak sedar hampir biru mata hitamku kena himpit dengan lelaki seorang ini. Tiba-tiba timbul rasa dengki di hati melihat dia boleh tidur dengan senang lenang.
“Dah terbarai katil tu dia buat, sedap aja dia berdengkur. Bukannya nak ambil tahu apa jadi kat kita ni.” Aku mula membebel sambil memandang Zackery yang begitu lena.
“Kita baring kat sini dia pun menyibuk jugak. Abang!” Aku nekad menggegarkan tubuh lelaki itu.
“Hmm..” Zackery menjawab malas.
“Bangunlah!”
“Apa? Abang mengantuk ni,” keluh lelaki itu sambil memalingkan wajahnya ke arah sana.
“Hana tak boleh tidurlah. Sakit badan ni tak boleh bergerak dari tadi. Abang tidur kat bawahlah! Sempit sangat ni,” rungutku agak payah.
Zackery tidak menjawab. Dekurannya kedengaran lagi menandakan aduanku tidak singgah pun di fikirannya. Ikutkan hati nak aja aku tolak dia ni.
“Abang, bangunlah..” rengus ku lebih kuat daripada tadi. Tubuhnya ku goncang berkali-kali.
Zackery mendecit apabila tidurnya terganggu.
“Apa dia? Abang ngantuklah. Esoklah kita sambung bergusti untuk round yang seterusnya. Abang dah tak larat ni,” keluh Zackery perlahan.
Hey.. ada jugak yang kena tolak ke bawah ni karang.
“Siapa pulak yang nak ajak bergusti round yang seterusnya? Hana tak boleh bergerak ni. Abang turun bawahlah! Penat baring setempat macam ni,” ucapku agak kuat.
“Hanalah baring kat bawah..”
“Hey! Sorry sikit ya. Hana cop tempat ni dulu. Sibuk aja menyempit kat sini. Turun bawah cepat! Kalau tak Hana tolak abang nanti,” ugutku serius.
Zackery buat pekak sahaja sambil meletakkan lengannya di atas dahi.
“Tak pun abang pergi baring atas katil sana. Hana nak tidur sini. Cepatlah..” Aku tolak sedikit tubuhnya. Namun langsung tidak memberi kesan.
Dalam mata yang terpejam rapat aku lihat Zackery tersengih. “Tak nak! Katil tu dah senget. Hana dah patahkan katil tu,” ucap Zackery sedikit meleret.
Betapa geramnya aku mendengar kata-kata Zackery. Asyik aku aja yang kena. Padahal yang merenyam macam ulat bulu, dia! Tak pasal-pasal aku kena tidur atas sofa. Bulan madu sangatlah ni kononnya. Tak pernah ada dalam sejarah orang bulan madu sampai patah katil. Buat malu aja!
“Dia yang perangai macam singa tak makan 3 bulan, cakap orang pulak. Sekarang ni abang tidur bawah. Hana nak tidur atas sofa ni,” gesaku lantas menggoyang lagi tubuhnya. Aku dah nak terperosok ke dalam sofa ini. Badan dia seorang dah penuh satu sofa. Masalahnya aku yang baring kat sini dulu. Menyibuk betul!
Zackery mencelikkan matanya serta merta. “Kita tidur bawah sama-samalah..”
“Tak nak. Abang tidur bawah. Hana nak tidur atas ni. Hana yang baring sini dululah!” tegasku.
“Mana adil abang seorang aja kena tidur bawah? Kita yang sama-sama patahkan katil tu, kan? Mana boleh abang seorang kena denda,” bisiknya halus.
“Tolong sikit ya. Itu semua abang punya fasal.”
“Habis tu lampu meja yang pecah tu siapa punya kerja? Abang juga? Siapa yang mula-mula kacau abang tidur tadi?” ucap Zackery dengan renungan ekor mata.
Spontan itu aku terus terdiam menahan hati. Nak menjawab semula macam tak berani pula. Takut aku terkena semula. Zackery tersenyum menang melihat aku tidak terjawab.
“Bukan abang seorang aja yang macam singa tak makan tiga bulan, kan? Tepuk sebelah tangan takkan berbunyi, sayang. Hana yang selalu goda-goda abang. Abang pasrah ajalah..” Zackery terus merebut peluang itu untuk mengenakan aku semula. senyum senang hati dipamerkan bagi melengkapkan lagi kejayaannya mengenakan aku.
“Diamlah! Pasrah konon,” marahku semakin geram.
Zackery ketawa perlahan. “Tulah. Lain kali pakai seksi-seksi lagi.”
“Habis tu takkanlah tidur nak pakai jubah siap dengan purdah pulak? Ee.. masalah betullah kalau dapat laki miang macam ni. Asyik nak bergusti aja. Penat!”
“Biarlah. Bini abang. Suka hati abanglah nak berapa round pun. Cepat sikit kita dapat anak nanti,” jawab Zackery selamba.
Geram dengan kata-kata lelaki itu aku terus menolak lelaki itu dengan sekuat-kuat hati. Tak cukup kedua belah tangan, kaki ikut berusaha menolak agar dia jatuh dari atas sofa itu. Tidak sampai beberapa saat Zackery sudah jatuh terlentang di atas permaidani di tepi sofa itu. Terkebil-kebi matanya memandang ke atas. Seolah-olah tidak percaya apa dengan apa yang baru berlaku kepadanya. Gelihatiku melihat wajah Zackery.
“Jangan marah ya, bang. Hana baring kat sini dulu. Abang tidur kat bawah.” Kataku sambil menurunkan bantal Zackery ke bawah.
“Sampai hati Hana suruh abang tidur bawah,” cebir Zackery siap mencebik. Kemudian aku dijelingnya sambil memusingkan tubuhnya ke arah sana. Merajuk konon.
“Good night, bang.” Aku ketawa kecil dalam pada ikut mengubah posisi ke arah lain. Senang hati dapat memboikot sofa seorang diri. Namun entah kenapa aku masih tidak dapat lena. Sedangkan waktu sudah lewat benar. Sudahnya aku kembali memandang Zackery. Mata lelaki itu sudah terpejam.
“Abang..” panggilku.
“Hmm?” sayup sahaja balasan Zackery.
“Nak tidur bawah juga ya?” ucapku perlahan.
Zackery mula membuka mata mencariku. Perlahan bibirnya melarik senyuman.
“Sini, sayang..”
Aku bangkit sambil mengaut bantal. Terus sahaja aku meletakkan kepala di atas dadanya. Seterusnya lelaki itu memaut tubuhku erat.
“Esok kita beli katil baru ya?” bisik Zackery.
Aku terus mengangguk. Aku sedar, aku lebih memerlukan dia berbanding keselesa
an i
tu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan