Khamis, 10 Mac 2016

BAB 26-27 DIA LELAKI BERHANTU

BAB 26
TIDAK tahu kepada siapa hendak aku meluahkan setiap cebisan kebimbangan dan kedukaan di hati. Setiap ketakutan itu selalu ada. Sungguh memeritkan. Ketiadaan Zackery saban hari membuatkan aku nanar.
Emak dan abah turut datang menziarahiku setelah mendapat tahu bencana yang menimpa Zackery. Namun sama seperti aku, emak dan abah juga tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu Zackery. Abah membuat solat hajat. Supaya pelaku sebenar dapat dibawa ke muka pengadilan.
Setiap hari aku menjadi pengunjung balai polis. Tidak jemu-jemu mendapatkan berita terkini tentang kes yang sedang disiasat. Sepanjang masa itu aku hanya diberi peluang bertemu dengan Zackery sekali sahaja. Itu pun hanya sekejap.
Aku menangis saat melihat keadaan Zackery. Lelaki itu digari seperti pesalah. Dia lebih banyak tunduk daripada memandangku. Lebih banyak berdiam. Hanya kedengaran dia mengadu tidak tahan dikurung di lokap. Dia amat tertekan.
Lebih menakutkan sebaik sahaja kes disebut di mahkamah dia akan dipindahkan ke penjara sehingga kes itu dibicarakan. Ikat jamin tidak dibenarkan. Melainkan polis mendapat petunjuk lain yang membawa kepada pembunuh sebenar.
“Macam mana abang yang kena sedangkan malam tu abang ada dengan Hana?”
Zackery tunduk sambil menjeling pegawai polis yang berada tidak jauh dari kami.
“Polis belum tahu waktu kematian. Keputusan post mortem belum dapat,” bisik lelaki itu perlahan.
“Jadi selama itu abang akan terus macam ni?”
Zackery hanya mengangguk.
“Siapa yang sampai hati aniaya abang macam ni?”
Zackery menghela nafas perlahan. Mahu membuka mulut tetapi seolah-olah takut ada orang lain mendengar.
“Siapa, bang?”
“Perempuan tu,” bisik Zackery.
“Habis tu takkan polis tak siasat dia?”
Zackery tunduk. Liurnya ditelan payah. “Rumah Rebbeca. Alarmnya dimatikan malam tu. Cctv tak berfungsi. Orang yang tahu tentang itu hanya abang.”
Aku terpaku memandang Zackery. Nampaknya memang Zackery dikenakan habis-habisan.
“Hana jangan bimbang. Papa akan dapatkan peguam terbaik untuk abang. Dulu dia dah buat kita. Kita tak kalah dengan dia. Insya-Allah sekali ini pun kita takkan kalah,” ucap Zackery lembut.
“Tapi tengoklah keadaan abang ni. Hana tak dapat tidur fikirkan abang kat dalam ni,” luahku sayu. Air mataku gugur lagi saat memandang raut lelaki kesayanganku ini. Wajahnya cengkung. Aku tahu dia takut dengan segala kemungkinan yang bakal dihadapnya. Ketenangan itu hanya palsu.
“Abang tahu, sayang. Sabar ya? Polis masih siasat kes ni. Kita masih ada beberapa hari. Allah akan tolong kita,” ucap Zackery bersungguh.
“Polis tak ada call Adila.”
“Alibi tu tak laku selagi polis tak dapat keputusan post mortem. Sebab tu polis tak call,” jawab Zackery perlahan.
Aku hanya mampu memandang Zackery. Kami bukan orang yang memegang tampuk undang-undang. Walaupun tidak adil. Kami tiada pilihan.
Selesai pertemuan dengan Zackery aku dipanggil lagi bertemu dengan pegawai penyiasat. Lelaki itu sekadar memberitahu maklumat terkini siasatan. Namun ada sedikit sinar apabila mendengar penjelasan lelaki itu. Katanya tempoh tahanan berkemungkinan tidak akan disambung. Memaksudkan Zackery akan dilepaskan.
Cctv kawasan parkir menunjukkan kelibat kereta Zackery berada di rumah aku dan Adila semenjak jam 10 malam sehingga pagi. Rakaman cctv di lobi utama juga menunjukkan kelibat Zackery hanya kelihatan pada malam dan pagi itu. Kesemua pintu masuk ke kawasan apartment kami dirakam sepenuhnya oleh kamera. Tiada rakaman menunjukkan Zackery ada meninggalkan kediamanku sebelum jam 8 pagi.
Namun kata lelaki itu Zackery tetap perlu menunggu keputusan bedah siasat untuk menentukan waktu kematian Rebbeca. Cuma dari agakan awal berdasarkan maklumat dari jiran, kedengaran bunyi anjing milik jiran sebelah sekitar jam satu pagi. Memungkinkan anjing itu mengesan sesuatu yang aneh di rumah Rebbeca.
Banyak lagi keraguan yang ditimbulkan pegawai itu yang memberi kemungkinan Zackery tidak akan dituduh di mahkamah. Bukti yang terdapat di tempat kejadian seperti sengaja diletakkan.
“Saya tak faham tentang pisau tu? Maksudnya apa?”
“Saya percaya pisau yang saya tunjukkan pada puan sebelum ni bukan senjata yang digunakan pelaku. Pisau tu sengaja diletakkan di situ. Luka pada tubuh si mati tidak sepadan dengan pisau yang kami ambil dari tempat kejadian.”
Betapa besarnya kelegaan mendengar itu. Sebelum ini kami diberitahu terdapat cap jari Zackery pada pisau tersebut.
Sepulang ke rumah aku diterpa oleh pertanyaan demi pertanyaan dari Adila. Katanya ada panggilan dari polis bertanyakan tentang Zackery.
“Jadi kau ceritalah apa kau nampak malam tu?” tanyaku dengan mata membuntang.
“Aku ceritalah. Dah dia tanya,” jawab Adila perlahan.
Terkedu aku menatap wajah Adila. Sengal betullah dia ni! buat malu aku aja, getus hatiku.
“Aku harap apa yang aku beritahu tu dapat tolong dia. Kesian dia, Hana.”
Aku menghela nafas perlahan. Kalau dia berharap begitu, aku lebih lagi. Masih terbayang-bayang wajahnya sebentar tadi. Dan aku teramat rindukan usikan dan tawanya.
Di penghujung malam, di atas sejadah aku bermunajat. Dengan serendah-rendah hati aku meminta agar suamiku dilepaskan dari kesusahannya saat ini. Sebagai isterinya, aku akan terus menunggu sehingga saat itu berlaku.

AWAL pagi itu papa menghubungiku. Meminta aku ke balai polis lebih awal. Tempoh tahanan Zackery seharusnya tamat hari ini. Samaada tempoh reman akan disambung lagi atau Zackery akan dibebaskan, kami masih belum pasti.
Aku tiba jam 9 pagi. Papa hanya sendirian di situ. Mama tiada bersamanya.
“Ada apa-apa berita, pa?” tanyaku pantas.
Papa segera mengangguk. “Encik Nusran kata Zack dibebaskan. Tiada tuduhan.”
Ya Allah.. seru hatiku penuh rasa syukur. Ketakutan yang terkepung semenjak awal Zackery ditangkap terbang melayang melapangkan jiwa. Berkali-kali lidah melafazkan kalimah syukur kepada Allah.
Setelah selesai segala urusan, Zackery dibebaskan. Dari jauh aku lihat dia diiringi seorang anggota polis ke pintu keluar balai itu. Langkahnya longlai. Kusut masai rupa lelaki itu saat berada di hadapanku. Entah berapa hari dia tidak tidur.
Tanpa segan silu aku terus memeluknya. Di tubuhnya aku menangis sayu. Hampir seminggu dikurung di dalam lokap tanpa sebarang kesalahan, aku tidak tahu apa telah terjadi dengan dunia ini sebenarnya. Kalau bukan kerana cctv yang merakam kehadiran Zackery di lobi kediaman aku dan Adila malam itu, mungkin Zackery masih tetap dituduh dengan kesalahan yang tidak dilakukannya.
“Jangan menangis. Insya-Allah abang tak apa-apa,” ucap Zackery perlahan.
Saat aku pandang wajah Zackery, aku tahu dia begitu kusut. Tidak tenteram. Mungkin juga trauma. Tatapan matanya kepadaku sayu.
“Mungkin ini balasan dosa abang dulu, Hana. Abang tak tahu apa akan jadi pada abang kalau Allah tak bantu abang kali ni,” ujar Zackery rendah.
“Tak! Jangan cakap macam tu. Ini semua ujian. Yang penting abang dah bebas dari tuduhan tu,” balasku bersungguh. Seketika kemudian Zackery mula mengalihkan pandangan kepada ayahnya.
“Zack..” sapa papa lembut.
“Terima kasih, papa.” Zackery terus memeluk ayahnya. Ayahnya setia menunggu di sini setiap hari sehinggalah ke hari ini. Mama? Dia tidak mahu hadir disebabkan aku.
“Sabar ya? Allah tak akan biarkan kita begitu sahaja. Kita di pihak yang benar. Allah ada dengan kita,” ucap papa lembut.
Zackery sekadar mengangguk.
“Balik! Rehatkan fikiran. Jangan banyak fikir.” Papa berbisik perlahan sambil menepuk belakang anaknya itu. Kemudian dia menyerahkan sesuatu kepada Zackery. Zackery sempat memandang kunci di telapak tangannya.
“Papa tahu Zack perlukan ruang untuk tenangkan fikiran. Rehatlah. Pergilah bawa Hana ke sana. Sana jauh dari orang. Tak ada gangguan,” ucap papa perlahan. Zackery sekadar mengangguk lemah.
Seterusnya kami berpisah arah. Aku tidak faham kenapa papa tidak meminta Zackery balik ke rumahnya. Mungkin kerana mama. Zackery meminta aku yang memandu. Aku akur sahaja demi melihat keadaannya yang agak tidak bermaya.
“Kita makan dulu ya?” ajakku sebelum menggerakkan kereta dari perkarangan balai polis itu.
Zackery menggeleng tanpa menjawab. Pandangannya dihalakan ke luar. Seperti sedang termenung.
“Abang..” panggilku sambil menyentuh lengannya.
“Ha?” Zackery pantas menoleh.
“Kita pergi makan ya?”
Zackery menggeleng lagi. “Balik rumah. Abang nak mandi. Abang tak mahu berada di tempat ramai orang. Abang rimas.” Zackery menjawab sambil menggaru rambutnya yang kusut.
Aku sekadar mengangguk akur dengan kehendaknya. Aku tahu dia masih tidak tenteram. Dan sepanjang aku memandu pulang ke rumah, Zackery hanya tersandar tanpa bersuara sepatah pun. Dia asyik memandang ke luar. Mungkin dia perlukan masa untuk memulihkan jiwanya.
Setiba di rumah, Zackery terus masuk ke kamar mandi. Begitu lama dia di dalam sana sehingga aku jadi bimbang. Namun ketika aku mahu mengetuk pintu kamar mandi itu, aku terdengar sesuatu. Zackery menangis sendirian di dalam sana. Sayu hatiku mendengar suaranya.
Namun aku memilih untuk membiarkan sahaja. Biarlah dia melepaskan kesakitan yang ditanggungnya selama ini. Bukan semenjak semalam dia diuji dengan semua ini. Tetapi semenjak tiga tahun yang lalu.

SELESAI mandi, Zackery nampak lebih tenang. Nampak lebih segar. Aku duduk di sisinya di birai katil. Belakangnya aku usap lembut di kala dia tunduk tidak tahu mahu berbicara apa denganku.
“Semuanya akan okay nanti. Hana tahu abang hanya perlukan masa untuk sembuhkan perasaan abang sekarang,” pujukku perlahan.
“Kita pergi dari sini? Untuk sementara waktu. Abang tak mahu jumpa sesiapa,” balas Zackery sambil dia menoleh kepadaku.
Aku terus mengangguk. “Tapi ke mana?”
“Papa bagi kunci rumah. Kita ke sana. Hana kemas baju. Abang tunggu kat depan,” ucap Zackery lantas bangun dari duduk. Aku sekadar memandang lelaki itu berlalu dengan helaan nafas perlahan. Harap-harap esok dia akan pulih semula.
Usai mengemas pakaian, aku mendapatkan Zackery di hadapan. Dia sedang termenung di balkoni.
“Abang, Hana dah siap.”
Zackery pantas menoleh. Kemudian dia masuk lalu pintu gelangsar dirapatkan lalu dikunci semula. Beg pakaianku diambilnya lalu dia terus menarikku pergi.
Kali itu Zackery yang memandu. Tanpa memberitahu ke mana kami akan pergi, dia membawa aku ke sebuah rumah selepas setengah jam memandu.
“Abang ambil barang sekejap. Mari masuk dulu.”
Walaupun tertanya, aku akur dengan ajakannya. Cantik kawasan perumahan ini. Masih baru.
“Hari tu sepanjang hari abang ada di sini. Abang ingat nak suprisekan Hana. Tapi lain yang jadi. Halaman rumah ni tak siap lagi. Baru separuh abang buat,” ucap Zackery sambil membuka pintu utama.
“Ini rumah abang?”
“Rumah kita,” jawab Zackery sambil menoleh sekilas kepadaku. Pintu utama ditolaknya. Mataku terus terpusat ke dalam. Ruang tamu masih kosong tanpa perabot. Bau cat kuat menyengat. Juga peralatan mengecat masih terbiar di ruang tamu. Namun kesemua dinding sudah dicat cantik.
“Abang buat sendiri semua ni?” tanyaku kagum. Aku tahu dinding ini baru ditukar ke warna lain.
“Kalau boleh buat sendiri kenapa nak upah orang?” Zackery tiba-tiba tersenyum kepadaku. Semenjak tadi baru kini aku nampak dia tersenyum.
“Cantik.”
“Kita naik atas. Abang nak ambil baju,” ajak Zackery.
Di dalam kamar, hanya ada katil terdampar rapat ke dinding. Selebihnya kosong.
“Sebelum ni abang tinggal di sini ke?” tanyaku sambil memandang sekeliling.
“Tak. Rumah ni baru siap. Abang datang sini sekali sekala aja bila abang ada masa nak kerjakan rumah ni.” Zackery melayan bicaraku sambil mengutip kain bajunya di dalam kloset.
Puas hati dengan jawapannya aku membisu. Sekadar memerhatikan dia mengambil sesuatu dari dalam kloset. Kain bajunya dilonggokkan di atas katil bersama beg.
“Abang masih tak bagitahu kita nak ke mana sebenarnya ni,” ucapku lembut sambil kain bajunya aku muatkan ke dalam beg.
“Tanah rata. Papa ada apartment kat sana,” jawab Zackery serba ringkas.
Aku membisu semula sambil meneruskan kerja. Zackery duduk di birai katil. Menanti aku siap mengemas kain bajunya. Sesekali dia mengusap rambutnya.
“Banyak yang abang rancangkan tak menjadi. Lain yang jadi. Sebelum ni abang memang merancang nak bawa Hana ke sana. Tapi bukan dalam keadaan macam ni,” luah Zackery tidak lama kemudian.
Aku sempat memandangnya sambil beg itu aku zip kemas. “Tak apalah. Kita hanya merancang, bang. Semua ni takdir. Hana tak kisah pun.”
“Abang dalam masalah besar, Hana. Selagi polis tak jumpa siapa yang aniaya Rebecca, selagi itulah abang tak mampu hidup tenang. Bila-bila masa aja polis boleh tangkap abang semula.”
“Hana tahu, abang. Tapi Allah ada, kan? Allah bersama orang yang benar,” ucapku sambil menyentuh rambutnya.
Zackery membisu. Jemariku dicapainya lalu dikucup lama. Aku mula berdiri di hadapannya.
“Doa senjata orang mukmin. Ini semua ujian Allah. Siapa sebenarnya yang aniaya Rebecca, dia tak akan mampu hidup aman. Tidak selama-lamanya. Biar apa pun keadaannya, tetap Allah yang berkuasa ke atas dunia ni,” ucapku sambil lelaki itu aku bawa ke dalam dakapan. Ubun-ubunnya aku usap agar dia tenang dan kuat semula.
Lama Zackery membisu. Sehingga aku tunduk untuk melihat wajahnya. Dia terkebil-kebil sendiri.
“Kita gerak sekarang?” ajakku lembut.
Zackery mengangguk sambil melepaskan tubuhku. Beg pakaiannya dicapai sambil bangkit dari tilam. Lima minit kemudian, kami sudah berada di jalan raya. Meneruskan perjalanan ke tempat yang jauh dari kekusutan semalam.



BAB 27
KAMI tiba di Tanah Tinggi Cameron ketika asar sudah menjelma. Sebaik sahaja masuk ke rumah, Zackery terus menanggalkan pakaiannya. Tanpa berkata apa-apa kepadaku, dia masuk ke kamar mandi. Naik hairan aku melihat gelagatnya.
“Abang solat dulu ya? Tak larat dah ni,” ucap Zackery setelah selesai mandi.
Aku sekadar mengangguk. Sebelum mandi, aku ke dapur seketika. Membelek apa yang ada di dapur. Segala kabinet kosong sama sekali. Hanya pekakas dapur yang ada. Sudahnya aku memanaskan air dan menghidupkan peti ais. Mujurlah dalam perjalanan tadi kami ada membeli sedikit barang dapur. Selesai urusan di dapur aku kembali ke kamar. Terkejut aku melihat Zackery sudah terlentang di atas katil.
“Dah tidur?” ucapku seorang diri. Tidak mahu menganggunya, aku pula yang mandi untuk menunaikan solat asar.
Namun solatku terganggu dek dengkuran lelaki seorang itu. Usai solat aku menoleh ke arah katil. Zackery sudah tidak sedar apa-apa lagi. Macam orang tak tidur setahun gelagatnya. Serba salah mahu mengejutkannya. Kasihan.
Senyap-senyap aku keluar. Mencari restoran terdekat dengan kediaman kami. Aku ingin memesan makanan untuk makan malam. Juga membeli sedikit lagi keperluan kami di rumah itu. Ketika aku sampai di rumah, Zackery masih tidur. Dari pintu hadapan aku dapat mendengar dengkurannya.
“Mengantuk benar tu,” rungutku saat melihat lelaki itu sudah terlungkup di atas katil. Sementara dia masih tidur, aku membongkar pakaian dari dalam beg. Sedang aku sibuk mengemas, Zackery bergerak di atas katil. Aku sempat memandang gelagatnya. Kemudian dalam mata terpejam tangan Zackery terkapai-kapai ke ruangan kosong di sebelahnya. Spontan matanya terbuka semula. Aku agak dia sedang mencari aku.
“Sekarang pukul lima petang, bang. Bukan pukul satu pagi.”
“Sejuk. Tak ada perempuan gebu nak peluk abang.” Zackery merungut sambil memandang ke arah jendela. Kemudian dengan selamba dia menyambung tidur semula sambil memeluk bantal.
“Merepek apa dia tu? Siapa yang gebu?” ucapku seorang diri.
Selesai mengemas pakaian, aku ke hadapan. Dari balkoni aku menikmati pemandangan sekeliling. Sepi sahaja kawasan ini. Tidak ramai orang. Penat berdiri di balkoni, aku masuk semula ke dalam rumah. Ruang tamu itu aku kelilingi. Satu persatu hiasan di dalam rumah itu aku belek. Berhabuk. Seperti sudah lama rumah ini tidak dijejak orang.
Sedang aku menghabiskan masa sendiri, telefonku dihubungi abah. Pantas aku menjawab.
“Hana kat mana ni?”
“Cameron.”
“Zack macam mana?”
“Dia okay. Cuma nampak pendiam sikit. Suka termenung,” jawabku perlahan.
“Biasalah tu. Esok-esok eloklah. Jangan tekan dia sangat. Dia terkejut lagi tu. Hana macam mana?” balas abah lembut.
“Hana biasa aja, abah.”
“Baguslah. Abah harap kamu berdua baik-baik aja di sana tu. Kalau ada apa-apa masalah beritahu abah,” ucap abah lembut.
“Ya, abah.”
“Kirim salam abah pada Zack.”
“Insya-Allah..”
Pendek sahaja perbualan kami kali itu. Aku tahu abah sekadar mahu mendengar khabar kami. Seterusnya aku termenung sendirian di ruang tamu. Sebelum maghrib, aku mengejutkan Zackery. Lelaki itu bangun juga biarpun agak payah.
“Sembahyang dulu. Makan. Tengahari tadi abang makan sikit aja. Lepas tu nak tidur semula pun boleh,” ucapku lembut.
Zackery meraup wajahnya sambil duduk di birai katil.
“Dah berapa lama abang tak tidur?” tanyaku sambil rambutnya aku elus lembut.
“Seminggu kut. Semenjak abang masuk lokap,” jawab Zackery dalam pada dia menunduk.
Patutlah mengantuk benar. Namun aku faham. Dalam keadaan tertekan dan terkurung di tempat begitu, siapa yang mampu melelapkan mata?
“Mandilah. Supaya segar badan tu,” pujukku lagi.
Zackery mengangguk perlahan. Sementara dia di dalam kamar mandi, aku kemaskan sedikit tempat tidurnya. Namun sehingga aku selesai mandi, Zackery tidak keluar dari kamar mandi. Malah tidak kedengaran bunyi air dari dalam kamar mandi.
“Abang..” aku menolak sedikit pintu kamar kecil itu. Tiada balasan dari dalam. Dadaku mula terasa aneh. Pintu itu aku tolak sepenuhnya.
Tiada kelibat Zackery di pancuran. Malah kawasan itu kering. Namun aku terpaku melihat Zackery terbaring di dasar tab mandi dengan air yang memenuhi tab itu. Dadaku tidak keruan melihat dia hanya kaku.
Pantas aku seluk tangan ke dalam air itu. Namun tiba-tiba tanganku dicekupnya membuatkan aku menjerit terkejut. Dan lelaki itu timbul semula ke permukaan air.
“Hana raba abang ya?”
“Abang tu kenapa buat perangai pelik-pelik? Hana takut tahu tak?” bentakku geram. Aku sangka dia dah mati lemas di dalam tab itu.
“Abang memang suka buat macam tu. Hana yang tak tahu,” ucap Zackery selamba. Kemudian dia mencapai tanganku.
“Jom kita berenang sekali,” ajaknya dengan muka selamba.
Rasa macam nak tenyeh aja muka lelaki seorang ni. Dah buat aku sakit dada, dia boleh ajak mandi sekali pulak!
“Jomlah mandi sekali,” ucap Zackery. Sekalian itu tanganku direntapnya sehingga aku terduduk di tepian tab itu. Pantas dia menarik pinggangku sehingga aku menggelongsor masuk ke dalam air tanpa dapat berbuat apa-apa. Sungguh aku tidak terkata saat melihat Zackery mengekek ketawa.
“Abang dah lama bercita-cita nak buat macam ni,” ucap Zackery selamba.
“Mengada!” getusku geram. Bersusah payah mahu keluar dari tab mandi itu. Zackery asyik menarik aku semula. Sudahnya pakaianku habis basah kuyup.
“Janganlah lama-lama. Dah nak maghrib ni,” ucapku tetap berusaha mahu keluar dari tempat mandi itu. Kalau dilayan lelaki seorang ini, mahu sampai ke subuh esok tidak habis cerita.
“Mandilah dulu. Abang sabunkan Hana ya?” ucap Zackery. Butang bajuku cuba ditanggalkannya.
“Tak payahlah. Heee.. kalau bab tanggalkan, memang laju aja tangan tu!” gerutuku lantas menepis tangannya. Zackery menyeringai saat aku menjelingnya. Muka orang tidak makan saman memang begini agaknya.
“Hana nak keluar ni.”
“Alah. Apa salahnya mandi sama kat dalam ni?”
“Nak buang airlah. Tak tahan dah. Boleh kat dalam ni?” balasku selamba.
“Oh, itu tak boleh kat sini.”
“Tak sempatlah, bang. Ahhh.. leganya..”
Spontan menggelupur Zackery bangkit dari dalam tab itu. Membuatkan aku tergelak melihat gelagatnya.
“Hana dah melepas kat dalam tu ke??” tanya lelaki itu. Membulat matanya memandang aku bersimpuh di dalam tab mandi itu dengan muka selamba.
“Ha’ah..” jawabku macam orang tidak berperasaan. Zackery terus bercekak pinggang memandang aku.
“Boleh dia melepas kat dalam air mandi,” bebel Zackery sambil mendekati pancuran.
“Salah satu cara nak halau abang keluar dari tab mandi ni. Berjaya, kan?” ucapku selamba. Kalau tak buat begitu, alamat sampai sekarang kami berdua masih berkubang di dalam ini!


1 ulasan: