Rabu, 9 Mac 2016

BAB 24-25 DIA LELAKI BERHANTU


BAB 24
“DAH nak balik ke?” tanyaku saat melihat Zackery asyik memandang ke pintu.
“Abang takut Dila balik. Karang pengsan pulak dia tengok kita berdiri belakang pintu ni,” jawab Zackery.
“Cepatnya nak balik? Duduklah dulu. Hari Jumaat macam ni, kalau jam tu belum cecah pukul dua tiga pagi, tak adanya muka dia kat rumah ni. Abang dah makan ke?” tanyaku sambil tangannya aku tarik ke sofa.
“Dah. Hana?”
“Dah. Hana buatkan abang air sekejap ya?” ucapku lantas ke dapur. Zackery sukakan nascafe. Jadi aku bancuhkan nescafe buatnya.
“Air, bang..”
“Duduk sini,” pinta Zackery lantas menepuk tempat di sebelahnya.
Aku sekadar akur tanpa banyak kira. Sambil bersandar siaran televisyen aku tukar. Namun tiada apa yang menarik menjelang tengah malam begini.
“Dila pergi mana?” tanya Zackery sambil menoleh kepadaku.
“Dating.”
Spontan Zackery tersenyum. “Kita dating kat rumah dia. Dia dating kat luar,” ujar Zackery diikuti tawa kecil.
“Dia kenalah dating kat luar. Belum halal. Kita kenalah dating kat dalam rumah. Dah kahwin,” ujarku biasa.
“Abang setuju tu.”
Aku diam sesaat dua. Namun seketika kemudian aku mula menoleh dengan kerutan di kening.
“Maksudnya?”
“Tak ada maksud apa-apa. Abang setujulah kata-kata Hana tu. Kita dah kahwin kenalah dating di rumah saja. Nak dating kat luar pun boleh. Tapi susah sikitlah.”
“Apa yang susahnya?”
Zackery ketawa kecil sebelum menjawab. “Susah kalau terlanjur bercinta ni. Asyik nak ke situ aja. Jadi kat rumah lagi selamat. Untuk kita berdualah.”
Ternganga aku dengan jawapan entah apa-apa suamiku ini. “Apa yang ke situ aja tu?” tanyaku semakin tidak faham.
“Situ itulah. Alah, Hana ni buat-buat blur pulak!”
“Memanglah blur. Apa yang asyik nak ke situ tu? Abang aja yang macam tu. Orang lain tak pun!” balasku selamba.
“Tengok tu? Mana mungkin abang seorang aja yang begitu. Hana pun sama,” ucap Zackery sambil memandangku dengan ekor mata.
“Eh! Tak ada masa ya? Abang aja yang macam tu. Hana tak pun,” cebirkuperlahan.
Zackery mula tersengih-sengih memandangku. Kemudian bahuku dipautnya. Buat seketika dia sekadar memandang sisi wajahku. Kemudian mulalah dia sibuk nak menghimpit aku.
“Minggu depan abang ambil cuti, kita pergi honeymoon ya?”
“Dari hari tu cakap nak bawa Hana berjalan. Tak ada pun,” cebirku dengan cebikan.
“Minggu depan abang free. Minggu ni tak dapat, sayang.”
“Mama tak tanya ke abang bercuti nanti?” tanyaku sambil memandang tampang Zackery.
“Biarkan itu dengan abang. Abang tak mahu Hana terlalu fikir tentang mama buat masa ni. Kita gunakan aja masa yang ada ni untuk diri kita,” balas Zackery lembut. Jemarinya mula berpindah ke rambutku.
“Kita berhak hidup gembira macam orang lain. Tapi tak ada satu manusia pun yang tak hadapi masalah dalam hidup. Insya-Allah akan ada jalan keluar nanti,” ujar Zackery lunak.
Aku sekadar diam mendengar kata-kata Zackery. Fikiranku ligat berfikir sendiri. Ada berapa ramai pasangan yang tidak mendapat restu dari orang tua untuk hidup bersama? Berapa ramai menantu yang dibenci mentua? Dan berapa ramai pula yang berjaya mengharunginya? Entah.
“Serahkan pada abang. Abang tahu apa yang abang buat,” ujar Zackery lembut.
“Ia? Hana harap penyudahnya bukan Hana yang merana,” jawabku biasa.
“Abang usahakan supaya keadaan tak jadi begitu, sayang. Percaya pada abang ya? Abang tahu Hana tak senang hati sebab ini melibatkan mama abang. Tapi mesti ada caranya untuk kita keluar dari masalah ni,” pujuk Zackery dalam nada perlahan.
Aku lantas memandang lelaki itu. Dia tersenyum merenung tampangku.
“Hana percayakan abang,” ucapku akhirnya.
“Abang tahu Hana akan selalu berdiri di sisi abang dalam apa juga keadaan,kan? Hana takkan tinggalkan abang.”
Aku membisu. Bagaimana untuk aku pergi jauh darinya jika seluruh jiwaku ini terlalu ingin hidup bersama dengannya? Tergamakkah aku membiarkan dia terkapai-kapai sendiri?
“Hana takkan ke mana-mana melainkan abang yang buang Hana,” jawabku perlahan.
“Abang takkan buat macam tu. Mungkin orang lain tak mampu melihat apa yang abang pandang selama ni. tapi ada seorang perempuan setia menjaga abang waktu abang sakit. Dia terima abang waktu abang tak mampu beri apa-apa. Dia tetap sayangkan abang. Perempuan tu istimewa untuk abang. Perempuan terbaik di antara seramai-ramai wanita yang pernah ada dalam hidup abang. Susah macam mana sekalipun, abang takkan lepaskan Hana.”
Terharu mendengar pengakuan itu. Aku hanya mampu membisu membiarkan Zackery memelukku. Mataku terpejam saat kucupannya berlabuh di ubun-ubun rambutku. Perasaan ini, keadaan ini sudah lama aku dambakan. Betapa berharganya detik ini untuk aku rasai bersamanya.
Namun lelaki seorang ini, asalkan berpeluang mulalah melarat jauh. Penat aku menegah. Macam-macam alasan diberinya. Sudahnya aku ikutkan sahaja kehendaknya.

BERMADU kasih di lautan asmara. Sayang, sampannya karam tak sempat ke tepian..
“Hana, kau belum.. erk?? Alamak!!!” Adila terjerit kaget.
Tersirap darah ku mendengar terjahan suara Adila di muka pintu. Spontan lelaki itu terus aku tolak dari atas tubuhku dengan sekuat-kuat hati. Zackery terus bangun. Pucat wajahnya melihat Adila sudah pulang.
Adila terkaku dengan mata terbuntang. Namun seketika kemudian dia terus mengilai lantang.
“Tak senonoh punya laki bini! Lain kali.. kut ya dah tak tahan nak berasmara dana pun, tutuplah pintu ni rapat-rapat. Kunci! Ini baik punyaberomen. Tapi pintu tak kunci. Tak pasal-pasal aku tertengok aksi persilatan kau orang berdua. Kelabu bijik mata aku ni weh!” ucap Adila kuat sambil tergelak cukup lantang.
Mukaku sudah tidak tahu apa warnanya. Tidak tertadah pandanganku wajah si Adila.Aku benar-benar terasa bodoh. Dalam banyak-banyak perkara ‘aksi persilatan’ itu pula yang boleh ditangkap oleh Adila. Spontan belakang lelaki itu aku tampar.
“Ni semua dia punya pasal!” getusku cuba untuk mengawal malu. Sudah tidak ada cara lagi untuk melepaskan diri melainkan menyalahkan Zackery. Memang diapun yang salah. Merenyam sangat!
Zackery hanya mampu membisu seribu bahasa. Malu agaknya sampai tidak mampu berkata apa-apa. Selebihnya kesal kerana terlalu cuai.
Adila menggelengkan kepalanya sambil memandang kami.
“Nasib baiklah kau orang masih bertutup penuh. Hi! Tak pernah aku jumpa laki bini macam kau orang berdua ni. Rumah aku jugak yang kau orang jadikan sarang berasmara. Tak senonoh betul. Ha! Sambunglah berasmara tu. Aku nak balik rumah bapak aku ni.” Adila membebel panjang kemudian di hujungnya dia ketawa gelihati. Tak lalu nak mendengar bebelannya, aku terus menekup wajah.
Menghilang sahaja Adila daripada pandangan kami, aku terus memandang Zackery. Lelaki itu tergaru-garu sendiri. Melihat aku memandang tajam kepadanya Zackery buat muka seposen lagi.
“Sorrylah. Abang tak sempat nak kunci pintu tadi. Semangat tengah berkobar-kobar. Lupa pulak nak kunci pintu.”
“Buat malu aja! Gelojoh sangat inilah padahnya. Tadi kata nak balik. Dah ke sini pulak perginya,” getus ku lantas bangun merapatkan pintu yang terbuka luas. Kemudian aku berlalu ke tempat pembaringan. Agak jauh daripada lelakiitu.
“Ialah. Hana jugak yang tak bagi abang balik cepat. Macam mana tak terbabas. Bukan salah abang seorang,” jawab Zackery rendah.
Aku diam. Ia tak ia. Bahaya sungguh. Memang berhantu lelaki seorang ini.Entah macam mana aku boleh tidak sedar kami dah melalut jadinya. Tadi elok bersembang di depan. Sekarang dah dalam bilik pula!
Kami berdua membisu seribu bahasa. Terdengar langkah Adila di luar kamar. Kemudian pintu hadapan dibuka dan ditutup Adila. Benarlah kata Adila. Dia mahu pulang ke rumah orang tuanya. Nasib baik jugalah. Kalau tidak di manalah aku nak letak muka?
Zackery menoleh kepadaku dengan mata terkebil-kebil. “Bolehlah sambung berasmara bak kata Adila tadi. Dia tak marah,” ucapnya lembut.
“Abang ni memang tak malu! Asal boleh aja,” getusku geram. Banyak pulak mood dia tu!
“Tak sempat apa-apa pun tadi, yang..” keluh Zackery amat rendah.
“Baguslah tak sempat. Kalau tak lagi malu besar tadi. Dah tahu gatal sangat, tutuplah pintu! Bagi hilang mood aja,” bebelku tanpa memandangnya.
Zackery ikut berbaring dekat dengan ku. Dia menyeringai lagi. “Kan pintu dah tutup tu?” bisiknya penuh makna.
“Malas nak layan. Gatal sangat.” Aku terus berbaring membelakanginya.
Lelaki itu mendecit perlahan. Tubuh ku dihimpitnya daripada belakang. Pinggangku dipautnya.
“Mana boleh bagi alasan malas pada suami yang dahagakan belaian. Dahlah abang ni baru sembuh dari mati pucuk,” pujuk Zackery dekat di telingaku.
Spontan pahanya aku cubit. Ada aja ayat sengal lelaki seorang ini.
“Tak mahulah. Tak selesa kat rumah orang,” ujarku perlahan.
“Okaylah. Abang tak mahu paksa,” balas Zackery perlahan.
“Tapi abang nak tidur sini ya?”
Aku sekadar mengangguk dalam pada mata terkebil-kebil memandang ke hadapan. Memikir keadaan kami selepas ini. Apa yang harus dibuat agar tidak selamanya kami hidup begini?
Namun sedang aku berdiam, tangan Zackery sibuk buat kerja sana sini. Memang tak makan saman punya orang!
“Tak boleh tidurlah. Kenapalah mata ni degil sangat,” rungut Zackery perlahan.
Aku diam. Macam tahu aja apa maksudnya itu. Sengaja aku buat-buat tidur.
“Abang tak boleh tidur ni, Hana. Macam mana? Alamat mengantuklah abangesok,” ucap Zackery sambil menarik bahuku.
Aku mendengus perlahan. “Drama tu jangan tinggal! Selagi tak dapat, memang banyaklah auta dia tu. Cepatlah!” getusku sambil menjelingnya.
Namun Zackery tersenyum lebar. “Hana ni memang memahami abanglah. Ini yang buat abang bertambah sayang ni,” ucapnya sambil menyeringai. Lampu hijau menyala semula. Lajulah lelaki itu meragut apa yang dia suka.
Aku hanya mampu menggeleng. Senget punya laki!


BAB 25
PAGI itu aku terjaga dalam keadaan keletihan yang masih banyak tersisa. Zackery sudah tiada di sebelah ku. Sementara menanti Zackery keluar daripada kamar mandi, aku kembali memejamkan mata. Nak tidur baliklah konon buat seminit dua.
“Bangun, sayang. Subuh dah ni.” Suara Zackery kembali mencelikkan mata yang masih berat. Ya Allah.. sakitnya kepala aku ni, bisik hati ku sendiri.
Malas-malas aku bangun dari katil. Zackery sedang terbongkok-bongkok ditepi katil. “Abang cari apa kat situ?” ucapku agak lemah. Takkan dia mencari bajunya di tepi katil?
“Abang nak check mana tahu katil ni ada patah. Senang abang pergi order katil baru sebelum Dila perasan Hana dah patahkan katil ni,” ucap Zackery dengan riak serius.
Spontan bantal di atas lantai aku capai dan terus aku lemparkan kepadanya.
“Hana yang patahkan, kan?” desis ku geram. Zackery ketawa besar. Namun aku memang tiada mood nak ketawa dengan usikannya. Berpinar-pinar pandangan mata akibat rasa mengantuk yang masih menebal.
Usai solat subuh aku segera memandang Zackery. Lelaki itu sedang duduk dibirai katil sambil menaip mesej entah untuk siapa. Saat itu Zackery turut menoleh.
“Abang ada hal, sayang. Abang belikan sarapan. Hana duduk rumah ya? Abang datang petang nanti,” ujarnya.
“Ialah..” aku tidak mahu bertanya hal apa yang penting benar. Kalau dah riak wajahnya semacam, siapa lagi yang sedang memanggil dia kalau bukan ibunya.Cemburu juga hati melihat Zackery bergegas berlalu. Namun aku sedar tidak seharusnya aku menahan jika dia lebih mengutamakan ibunya.
Sesudah bersarapan aku mengambil peluang merehatkan mata semula. Aku hanya tersedar semula jam dua petang. Selesai mandi dan solat zohor, aku mencarimakanan di dapur untuk mengisi perut. Semenjak bangun dari tidur tadi mood terasa terbang melayang. Tambah pula setelah diperiksa langsung tiada panggilan atau mesej dari Zackery semenjak dia pergi tadi. Aku terkebil-kebil sendiri dihadapan tv melayan bosan. Hampir sejam melanguk sendirian masih tiada mesej dari lelaki seorang itu. Sudahnya aku yang memulakan.
*^&$%#@*&????
Aku segera menghantar mesej yang aku taip di kotak what’s App. Telefon itu aku letakkan ke tepi sambil mendengus. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi ditelefon.
Marah? Sorry. Abang busy ni. Kejap lagi abang datang.
Laju jariku menaip balasan kepada lelaki itu.
$%#^&*^$@*&^!!! (malam karang tidur luar!!!)
Tidak sampai seminit mesej itu aku hantar Zackery menghubungiku.
“Oh, no! Takkanlah abang kena tidur luar?” Zackery bersuara dengan tawa kecil.
Aku mencebik sendiri. Sebut kena tidur luar, laju dia call aku!
“Sorry, sayang. Abang betul-betul busy ni.”
“Ia ke? Ni boleh pulak call,” jawabku separuh memerli.
Zackery mula menghela nafas perlahan. “Abang bukan sengaja. Ni pun abang terkejar-kejar sebab nak cepat siap. Petang nanti abang ambil Hana ya?” ucap Zackery lembut.
“Ialah. Mama ada kat situ ke?”
“Taklah. Abang bukannya kat rumah papa sekarang. Hana dah makan ke?” seperti selalu nada lelaki itu tetap lembut.
“Dah. Abang?”
“Dah. Baru lepas. Abang ada kerja lagi ni. Nanti abang call semula ya? Bye, sayang.” Terus talian dimatikan Zackery.
Aku terus termenung di hadapan tv sehabis berbual dengan lelaki itu. Namun telefonku sekali lagi diganggu panggilan. Kali ini dari Julia. Aku segera menjawabnya.
“Laki kau mana, Hana?” pertanyaan itu menerpa tanpa salam dari Julia.
“Eh! Kenapa ni? Tiba-tiba tanya pasal Zack. Zack kerja.”
“Kau tengok berita pukul 1 tadi tak?”
“Tak. Aku tidur. Kenapa, Ju?” balasku. Mula rasa tidak sedap hati mendengar nada Julia kalut semacam.
“Rebbeca dah mati!”
“Ha??” aku tersentak hebat mendengar itu.
“Meninggal kenapa, Ju?”
“Aku tak pasti. Kena bunuh kut. Berita tadi sikit sangat. Aku cuma nampak polis banyak dalam rumah dia. Zack kat mana sekarang?”
Aku terdiam serta merta. Di mana? Aku tidak tahu ke mana Zackery semenjak tadi! Ah! Untuk apa aku merasa kalut? Masakan Zackery ada kaitan dengan hal itu.
Tidak puas hati, aku mula mencari berita tentang Rebecca. Seperti yang diduga, berita tentang kejadian itu sudah berada di dalam media. Berita mengkhabarkan gadis itu ditikam berberapa kali di rumahnya dan waktu kejadian masih dalam siasatan polis. Pelaku juga masih diburu.
Berdiri bulu roma aku membaca kekejaman manusia meragut nyawa orang lain. Langsung tidak ada belas kasihan. Sehingga ke petang Zackery masih tidak datang mencariku. Dan telefonnya tidak lagi dapat dihubungi membuatkan aku mula merasa tidak aman. Aku mahu memanggil seseorang untuk bertanyakan tentang Zackery. Tetapi siapa?
“Abang, manalah abang pergi ni,” keluhku sudah tidak tertahan oleh rasa bimbang.
Lewat petang itu telefonku dipanggil seseorang. Tangan terasa menggigil saat menjawab panggilan dari nombor asing itu. Aku tahu ada sesuatu telah berlaku. Seorang lelaki memberi salam dan memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat. Betapa terkejutnya aku tatkala diberitahu yang dia mahu bertanya tentang Zackery.
“Andrian Zackery ni suami awak ke?” tanya lelaki bernama Nusran itu.
“Ia. Di mana dia??” tanyaku pantas.
“Jangan bimbang, puan. Kami terpaksa memanggil suami puan ke balai untuk membantu siasatan berkenaan satu kes kematian Rebbeca Lim. Saya nak bertanyakan kedudukan suami puan malam tadi. Di mana dia berada?”
“Dengan saya. Di rumah saya,” jawabku dalam ketenangan yang tidak mampu hadir.
“Pagi tadi dia ke mana? Puan tahu?”
Aku terdiam seketika. “Dia kata dia ada kerja. Tapi tak beritahu di mana,”jawabku rendah.
“Ada sesiapa boleh sahkan yang suami puan ada bersama puan malam tadi?”
“Sepupu saya Adila. Dia ada di rumah malam tadi sebelum dia balik ke rumahayah dia,” ucapku bersungguh.
“Boleh saya dapatkan nombor untuk hubungi dia?”
“Boleh. Tak mungkin suami saya terlibat dalam kes ni, encik. Dia bukanjenis begitu.”
“Jangan bimbang, puan. Suami puan bukan orang yang dituduh. Kami akan lepaskan dia sebaik sahaja soal siasat selesai.”
Adakah aku harus merasa lega mendengar itu? Tidak. Aku tahu kes pembunuhan begini tidak semudah itu Zackery akan dilepaskan.
Usai solat maghrib aku terus keluar dari rumah. Kereta aku halakan ke balai polis tempat Zackery ditahan. Namun di perkarangan balai itu begitu ramai orangtermasuk papa dan mama Zackery. Aku jadi teragak-agak mahu mendekati mereka. Namun demi Zackery aku beranikan diri juga.
Seperti yang aku jangka, pandangan mama cukup tajam saat terpandangkan aku. Papa kelihatan tenang sahaja.
“Siapa call Hana?” tanya papa lembut.
“Encik Nusran. Hana nak jumpa Abang Zack, papa.”
“Tak dapat. Papa pun tak dapat jumpa dia semenjak tadi. Dia dah kena tahanan reman,” ujar papa rendah. Mama mendengus sambil menapak menjauhi kami. Terhiris benar hatiku melihat gelagatnya. Apa salahku sehingga dia membenci aku begitu?
“Jangan ambil hati ya?” ucap papa lembut.
Aku sekadar menggeleng perlahan sebelum kembali memandang lelaki tua itu. “Hana nak jumpa pegawai yang siasat kes ni. Semalam Abang Zack dengan Hana. Kenapa dia yang kena tahan?” ujarku benar-benar tidak faham.
“Dia ada kat dalam. Pergilah jumpa. Dengar apa yang dia nak cakap,” jawab papa perlahan. Sekilas pandang aku tahu papa juga tidak tahu apa yang perlu dibuat untuk melepaskan anaknya.
Kepada pegawai polis di sebalik kaunter aku meminta untuk berjumpa dengan pegawai polis bernama Nusran itu. Agak lama juga aku menunggu barulah lelaki itu tiba. Aku tidak dibawa bertemu dengan Zackery. Sebaliknya dia membawa aku ke dalam pejabatnya.
“Saya nak jumpa Zackery.”
“Tak ada sesiapa boleh berjumpa dia sekarang. Dia masih dalam tahanan,” ucap lelaki itu biasa.
 “Apa ni? Tadi awak cakap dia akan lepas. Sekarang kena tahan pulak?” marahku terus meninggi.
Lelaki itu hanya tenang sambil memicit telefonnya. Kemudian sekeping gambar ditunjukkan kepadaku.
“Kenal ni?”
Aku terus terdiam memandang sekeping lukisan yang sudah comot dengan kesandarah. Aku tahu itu lukisan Zackery.
“Hanya ini sebabnya Zackery ditahan?”
“Orang terakhir yang menghubungi si mati adalah suami puan. Keterangan dari suami puan juga menunjukkan yang mereka ada hubungan intim sebelum ini. Buat masa ini belum ada bukti yang boleh mengenepikan suami puan sebagai suspek.”
Aku terus tersandar. Rasa mahu menangis. Mahu meraung sekuat-kuat hati dihadapan lelaki ini.
“Petang tadi, dia ada call puan. Apa dia cakap?”
“Dia kata dia nak balik jumpa saya.”
“Bukan sebab dia minta puan mengaku yang puan ada dengan dia semalam?”
“Awak ingat saya ni kaki penipu ke??” bentakku serta merta. Lelaki ituterdiam merenung wajahku. Aku menghela nafas perlahan. Masakan aku harus bercerita dalam-dalam apa yang berlaku malam tadi? Itu rahsia kami!
“Jadi kalau betullah pihak polis rasa Zackery pembunuh tu. Apa motifnya?” selarku selamba.
“Motif masih dalam siasatan.”
Aku hanya mampu menggeleng sendiri. “Jadi awak tahan Zackery semata-mataberdasarkan potret tu?”
“Semenjak bila puan tahu suami puan ada hubungan sulit dengan si mati?”
“Dah lama. Tapi saya tak pernah tanya dia. Sebetulnya saya dapat tahu dari cerita orang. Tapi itu dulu!” tegasku.
“Jadi apa perlunya suami puan menghubungi mangsa ni petang semalam?”
“Saya tak tahu. Dan saya pun tak tahu pula menjadi satu kesalahan bila suami saya menghubungi kawan dia. Dia orang berkawan dah lama! Itu tak bermakna suami saya bunuh perempuan tu!” tegasku geram.
Lelaki itu menggaru dahinya sebelum menunjukkan satu gambar lain di dalam telefonnya. “Biasa nampak pisau ni?”
Aku memandang gambar itu sekilas. Kemudian aku terus menggeleng. Tak sanggup mahu memandang gambar itu lama-lama. Seram!
“Ni?” pegawai penyiasat itu menyelak gambar lain lalu diberikan untuk aku lihat. Aku terpaku memandang gambar itu. Tandatangan Zackery ada pada lantai.
“Suami saya ditangkap atau sukarela datang ke sini?”
“Kami panggil dia ke sini.”
Aku ketawa kecil sambil menggeleng.
“Saya faham keraguan puan. Kami juga begitu. Tetapi buat masa ni kami bergantung kepada bukti yang ada sehinggalah keputusan bedah siasat dan ujian DNA selesai,” ucap pegawai penyiasat itu lembut.
“Baguslah kalau faham. Ironis sungguh. Kan lebih baik kalau dia call polis lepas dia bunuh perempuan tu? Dia tinggalkan bemacam-macam tanda supaya dia tertangkap. Pelik betul stail Zackery membunuh Rebecca. Amatur! Kemudian dia sukarela datang ke sini untuk ditahan,” ujarku selamba.
Pegawai penyiasat itu terdiam mendengar bidasanku. Kemudian dia menyorong memo pad dekat kepadaku.
“Tolong tulis alamat kediaman puan sekarang.”
Aku sekadar akur dengan permintaannya.
“Lagi satu saya nak bertanya. Zackery ada menyebut tentang satu laporan polis yang pernah dibuat oleh dia dan puan. Tentang satu surat. Saya perlukan salinan laporan tu untuk semakan,” ujar lelaki itu dikala aku masih sibuk menulis.
“Kenapa pulak kes itu terkait sama?”
“Gambar yang saya tunjukkan tadi. Hanya ada beberapa orang yang tahu tulisan itu. Puan, Rebbeca dan Aweena.”
Kata-kata pegawai penyiasat itu membuatkan aku terfikir. Ia tak ia. Zackery pernah beritahu dia punya habit pelik. Tandatangannya sering bertukar.
“Zackery ada beritahu saya, tak ramai yang tahu dia suka tukar signature.”
“Puan aja yang tahu. Orang lain tak tahu. Itu yang dia beritahu kami tadi,” jawab pegawai penyiasat itu lembut.
“Salinan report tu ada di rumah. Saya akan bawa esok pagi.”
“Call saya kalau ada apa-apa maklumat,” sahut lelaki itu sebelum dia bangun menghantar aku ke pintu.
Dan pemergian aku ke balai polis itu hanya dihadiahkan kehampaan. Aku tetap tidak dapat melihat keadaan Zackery.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan