Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 2 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG

"Eh! Dinda.."
Adinda yang sedang berjalan kaki di lorong kecil itu segera menoleh ke tepi. Ada sebuah motor tiba-tiba berhenti di tepinya. Dalam kegelapan di sekelilingnya dia tidak mampu mengecam siapa pemilik motor itu.
"Akulah! Kerol.."
"Hmm..kau rupanya Kerol." Adinda sekadar menyapa malas. Langkahnya kembali diatur.
"Lama kita tak jumpa. Nak pergi mana ni?"
"Balik."
"Berani kau jalan kat sini malam-malam macam ni ya?"
"Takde hantu kat kampung ni pun. Nak takut apa? Kalau ada pun, orang yang perangai macam hantu. Tak merempit ke malam ni? Ke dah takde duit nak isi tangki motor kau tu?" Ujar Adinda siap dengan perlian. Malas mahu melayan lelaki itu. Hantu yang dia maksudkan itu si Kerol inilah. Semenjak habis sekolah tak pernah bekerja. Tahu merempit dengan motorsikalnya setiap malam.
"Lepak dengan aku, jom?" Ajak anak muda itu sambil mengekori Adinda dengan motorsikalnya.
"Aku nak balik. Dah lambat ni. Ayah aku balik dari masjid sekejap lagi. Mati aku kalau dia tengok aku takde kat rumah," ujar  Adinda tanpa memandang bekas teman sekolahnya itu.
"Kalau macam tu mari aku hantarkan kau." Pelawaan itu diberikan sambil motornya diberhentikan di hadapan Adinda. Sekaligus menghalang perjalanan gadis itu. Kerol turun dari motor.
"Jomlah.." Ajak Kerol semakin lembut nadanya.
Adinda mengerling sedikit anak muda itu. Naik motor dengan lelaki ini? Alamat tak sampailah dia ke rumah.
"Dinda, kau nak pergi mana? Sinilah.." Kerol segera menarik tangan Adinda bagi menghalang gadis itu berlalu.
"Kita round-round dulu sebelum balik, nak?" Ucap Kerol dalam nada nakal.
"Janganlah! Aku nak balik ni. Kau tak payah sibuk nak hantar aku. Tak ingin aku nak naik motor kau," marah Adinda sambil menepis tangan lelaki itu.
"Alahai, Dinda.. Dulu kan kau biasa naik motor aku. Jomlah kita pergi jalan."
"Aku tak naklah! Nanti bapak aku marah," ujar  Adinda agak keras. Tangannya cuba ditarik semula daripada mat rempit kampungan itu.
"Aku tak beritahu bapak kau punya. Jomlah lepak dengan aku. Aku bawak kau pergi tempat aku."
"Kau ni dah kenapa? Kau ingat aku ni bohsia kau ke, bohjan?? Lepaslah!! Ayah!!!"Jerit Adinda semakin kuat.
"Kau ni loratlah pulak. Diamlah!! Aku memang dah lama geram dengan kau!" Lelaki kurus itu mula agresif saat memeluk Adinda.
"Woi!!!"
Belebek!!! Samseng kampung itu tiba-tiba tercampak jauh. Terasa tulang belakangnya macam nak patah. Kena terajang agaknya. Terkial-kial dia mahu bangun.
"Hei!! Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung daik bercabang tiga! Tunang aku jangan kau jamah, Aku hantar kau ke batu dua!"
Adinda terpaku memandang lelaki yang baru muncul itu. Dia ni nak berlawan ke nak berpantun??
"Ke tepi, Dinda. Abang Panglima mari nak selamatkan Dinda ni." Ucap Panglima kepada tunangnya itu. Kain pelekatnya disinsing ke lutut sebagai permulaan untuk bertarung. Adinda mengerutkan kening memandang gelagat lelaki itu.
"Tapi untuk apa pantun tadi tu?? Pantun tu buat kau lagi kuat ke apa?"
"Abang Panglima memang suka dengan pantun. Tepi! Biar aku kerjakan budak tak cukup akal tu! Berani dia ganggu tunang aku!"
Namun baru sahaja bunga silat mahu dibuka, anak muda yang membuat gangguan tadi sudah kelam kabut mencari motornya. Bukannya dia tidak tahu siapa Panglima itu.
"Tengok? Dia dah lari. Baru dengar pantun aku. Belum tengok bunga silat lagi," ujar  Panglima macam bersungguh aja.
"Kau buat apa kat sini?" Tanya Panglima hairan. Kawasan menghala ke kebunnya ini agak sunyi. Apatah lagi dalam waktu begini. Gelap campur sunyi!
"Nak balik."
"Mana motor kau?"
"Ayah sorok kunci. Saja tak bagi orang berjalan. Terpaksa aku jalan kaki," cebir Adinda agak perlahan.
"Dah ayah kau tak bagi kau berjalan, buat apa kau keluar juga?"
"Aku pergi bersembang dekat rumah Shima. Bosan duduk rumah!"
"Dah. Mari aku hantar kau balik. Motor aku ada kat situ. Nasib baiklah aku baru balik dari masjid," ujar Panglima agak lembut.
Adinda sekadar mengekori lelaki itu ke motornya. Panglima terus bertenggek di atas motor.
"Sekejap. Aku hidupkan enjin."
Adinda sekadar memandang segala perbuatan lelaki itu. Masuk kali ke tujuh motor lama itu masih tidak bernyala enjinnya.
"Bila boleh naik ni?" Perli Adinda kepada Panglima.
"Bila enjin dah hidup baru kau naik." Panglima menjawab bersahaja. Tempat menghidupkan enjin itu ditendang lagi. Adinda hanya mampu menunggu dengan penuh kebosanan di tepi motor itu.
"Kalau aku jalan kaki tadi aku rasa aku dah sampai rumah. Tapi motor kau ni masih kat sini," perli Adinda seketika kemudian.
Panglima menghela nafas perlahan sambil turun dari motor itu. Kemudian jentera dua tayar itu disorong laju dan laju sebelum dia melompat naik ke atas motor itu. Sekaligus gear ditekan. Tiba-tiba enjin motor itu bernyala.
Adinda hanya mampu menghela nafas bosan sambil mendekati tunangnya itu yang sudah jauh ke hadapan.
"Motor ni magik sikit," komen Panglima tanpa disuruh.
"Apa-apalah!" Jawab Adinda malas sebelum meraba tempat duduk untuk dirinya. Tetapi dia terasa aneh. Kenapa macam berlobang-lobang?? Malah kulit kusyen motor itu boleh diangkat-angkat pula.
"Macam mana aku nak duduk ni?"
"Duduk ajalah macam biasa. Kau nak duduk terkangkang ke.. Nak duduk senget ke.. Suka hati kaulah." Panglima menjawab sambil menoleh.
"Seat motor kau ni! Kenapa macam ni?? Aku nak duduk pun takut!" Ujar  Adinda terus berdiri di tepi motor itu.
"Dah buruk. Memanglah macam tu. Naik ajalah. Nanti ayah kau marah."
Mahu tidak mahu Adinda duduk bertenggek juga di belakang Panglima. Punggungnya separuh duduk di atas kusyen. Separuh lagi terasa duduk di atas tangki minyak motor itu. Isi kandungan kusyen motor itu entah di mana. Takut punya pasal baju Panglima digenggamnya kuat.
"Ish! Jangan pegang aku kuat-kuat sangat. Nanti orang fitnah kita ni suami isteri!" Tangan Adinda di pinggangnya ditepis sedikit.
"Heee.. Poyo betullah mamat ni. Aku bukannya nak peluk kau pun! Aku pegang baju kau aja," getus Adinda di belakang lelaki itu.
"Itulah kau.. Siapa suruh merayap malam-malam macam ni? Kan dah susah," bebel lelaki itu sambil menggerakkan motor Honda Cup 70 miliknya ke rumah Tok Kenanga.
Adinda sekadar berdiam di belakang. Sedar memang salahnya sehingga terjadi peristiwa tadi. Melonjak-lonjak dia dibelakang Panglima saat motor lama itu dipandu dalam kemalapan suluhan lampu motor itu. Sakit pada punggungnya tak usah katalah. Terhentak atas tangki minyak motor itu agaknya.
"Orang perempuan ni elok duduk rumah aja. Jangan keluar sangat. Nanti difitnah orang. Kau tu dahlah tunang aku."
"Kau boleh diam tak??" Marah Adinda dalam pada menahan sakit di buntutnya.
"Nanti lepas kau dah sampai rumah kau, aku diamlah. Aku belum habis bercakap lagi ni."
Adinda di belakang mengertap bibir. Sibuk nak membebelkan orang! Bawa ajalah motor ni cepat!! Getus hatinya geram.
Tatkala motor itu cuba berpindah naik ke satu lorong tar, secara tidak sengaja bahagian bawah motor itu tersagat pada tepian lorong tar yang tidak diturap kemas. Beban dua manusia di atas motor itu memberi hentakan kuat.
"Aduh!!" Jerit Adinda. Sakit punggungnya tidak terkata.
Panglima hanya mampu tergelak sendiri di hadapan. Minyak dipulas agar motor itu lebih laju. Namun tiba-tiba ada letupan berlaku pada bahagian bawah enjin itu.
"Panglima, apa tu??" Adinda sudah mula panik melihat ada percikan api yang ditinggalkan oleh motor itu dibelakang. Juga bunyi bising seperti ada besi yang diseret oleh motor itu. Apabila dipandang ke bawah Adinda terlihat ekzos motor itu sedang terseret di atas jalan. Malahan gabungan bunyi ekzos itu dan bunyi enjin motor itu yanh sudah berubah, sudah cukup menjadikan keadaan sangat membingitkan. Makin gelabah Adinda tatkala melalui satu kedai makan. Ada orang sedang melepak di kedai itu, memandang penuh ketaksuban ke arah mereka.
"Panglima!!"
"Diamlah!! Jangan tegur. Buat tak tahu aja pasal ekzos tu!" Ucap Panglima tegas. Sehabis sahaja dia berkata ekzos yang diseret di atas tar itu tertanggal lalu tertinggal di belakang. Kala itu bunyi motor itu sudah berubah menjadi sangat hodoh.
Kala itu juga Adinda sudah tidak peduli. Tubuh lelaki itu dipeluknya dan wajahnya disembunyikan di belakang Panglima. Tidak sanggup mahu menadah pandangan orang-orang di gerai itu. Dan Panglima.. Hanya mampu memulas minyak motor itu sehingga habis agar mereka dapat lari dari insiden memalukan itu sesegera yang boleh. Sumpah! Dia takkan ke gerai itu selama seminggu. Tak sanggup membiarkan Tuan gerai itu memulangkan ekzos itu semula!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan