Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 4-5 ALAMAK TAUKE PISANG

Bab 4

Jumaat yang dinanti penuh debaran. Walaupun tiada kenduri naik pelamin yang gah, namun sekampung berduyun menghadiri majlis akad nikah pasangan mempelai itu. Di Masjid Kampung Tenang Tak Sudah itu mereka berkumpul. Panglima sudah bersedia menghadap tok kadi sambil disaksikan oleh Tok Kenanga dan beberapa orang masjid yang dilantik menjadi saksi.
“Bolehlah kita mula ya, Tok Kenanga?”
“Ialah..” sambut Tok Kenanga dengan senyum simpul.
“Kamu?”
“Ha?” Panglima tersentak di hadapan Kadi itu.
“Dah sedia ke belum? Aku nak nikahkah kamu cepat ni!” ucap Kadi itu kepada Panglima.
“Ialah..” jawab Panglima lantas menyapu peluh di dahinya. Macam panas pulak dirasakan ruangan dalam masjid itu. Dia pun dah tak senang duduk menahan debaran di dalam dada.
“Taufiq Iskandar Bin Ahmad Bakri.”
“Saya!”
“Aku nikah akan dikau dengan Adinda Kesuma Intan Ratnasari Binti Kenanga berwakilwali akan Kenanga Bin Gunong kepada diriku, dengan mas kahwinnya Ringgit Malaysia 100 tunai.”
“Eh! Panjangnya nama, tok?” ucap Panglima agak terkejut. Spontan tangannya ditarik dari genggaman tok kadi.
“Aik? Bakal bini kamu.. takkan kamu tak tahu nama penuh dia?”
“Yang saya tahu Adinda aja. Yang belakang panjang-panjang tu saya tak pernah dengar pun. Memang ada ke semenjak lahir ke? Saya tak tahu pun. Apasal nama Tok Kenanga pendek aja?” ujar Panglima lantas menerbitkan gelak sakan dua saksi itu.
“Parah begini ni, Tok Kenanga.”
Tok Kenangan sudah tergelak sendiri. “Teruskan aja..”
“Macam mana? Dah sedia ke tidak?” tanya Imam kampung juga selaku kadi itu kepada Panglima.
“Siapa nama bakal bini saya tadi?”
“Kamu tanya aku?? Ni bakal bini aku ke.. bini kamu?”
“Bakal bini saya. Tok dah ada bini, kan? Marah bini tok nanti. Mana saya ingat, tuk. Ni pertama kali dengar nama panjang macam tu,” jawab Panglima sambil terkulat-kulat memandang orang-orang di hadapannya itu.
"Adinda Kesuma Intan Ratnasari Binti Kenanga.." Ucap Kadi itu sekali lagi.
"Okay.. Saya dah ingat." Panglima mengangguk berkali-kali setelah cuba menghafal nama itu.
Lafaz akad diucapkan sekali lagi oleh kadi sambil didengari dengan teliti oleh pengantin lelaki.
"Aku terima nikahnya Adinda Kesuma Intan Nagasakti Binti Kenanga dengan mas kahwinnya.."
"Apa naga sakti pulak perginya! Ratnasari!" Pintas Kadi itu sedikit meninggi.
"Ha??! Mana ada saya sebut naga sakti?" Balas Panglima sambil menggaru pipinya dalam kegelabahan.
Suasana di situ sudah riuh rendah dengan gelak tetamu. Adinda di tempatnya memang teringin benar nak jadi naga kala itu. Panglima itu mahu disemburnya dengan api! Kurang ajar kau, Panglima. Nama aku sedap-sedap bapak aku bagi. Kau suka-suka aja ubah jadi lain, kan? Siap kau nanti!
“Bawak bertenang, Panglima. Kamu menggelabah ni..” Kadi itu menepuk bahu Panglima beberapa kali sambil ketawa.
Panglima mengurut dadanya seketika. Cuba meredakan debaran di dalam sana.
“Kita cuba sekali lagi ya?”
“Kejap.. kejap, tuk. Ratnadewi ke tadi?”
“Ratnasari!!! Astaghafirullah!!!” jerkah Tok Kadi itu lantas ketawa.
“Okay.. Ratnasari.. Ratnasari..” ucap Panglima sambil memejamkan mata. Seadaya upaya cuba menfokuskan dirinya kepada upacara itu. Adinda di belakang lelaki itu sudah tidak senang duduk dibuatnya. Malu!
Lafas akad diulang sekali lagi oleh kadi itu dan disambut oleh Panglima dengan lancar. Lafas kabul itu disahkan oleh saksi-saksi tanpa banyak soal.
“Alhamdulillah.. selamat dah kamu jadi suami orang!” ucap Kadi itu lantas menadah tangan untuk membacakan doa.
Usai melakukan solat sunat tiba giliran mas kahwin diserahkan kepada Adinda. Sebuah dulang berisi cincin dibawa bersama. Adinda sekadar pasrah tatkala jari manisnya disarungkan cincin emas kuning bermata satu. Itu yang termampu diadakan oleh Panglima. Namun saat wang mas kahwin diserahkan dia terpana.
“Kenapa?” tanya Panglima hairan melihat Adinda tidak menyambut wang itu.
“Takde sampul lain ke??” tekan Adinda geram sambil huluran itu disambut pantas. Sudahlah wang mas kahwin itu tidak digubah di atas dulang. Itu ada ampun lagi. Panglima meletakkan wang itu di dalam sampul duit tahun baru cina punya. Entah tahun bila punya. Kut ya pun.. pilihlah sampul Hari Raya punya! Sengal!



Bab 5

Selesai urusan pernikahan di dalam masjid itu para tetamu dipelawa untuk menjamu selera. Seperti mana yang diberatkan oleh agama islam, walimah atau walimatulurus itu adalah dipertanggungjawabkan kepada pihak suami mengikut kemampuan si suami tersebut. Maka begitulah juga dengan Panglima. Kenduri diadakan mengikut keadaan kewangannya. Tidaklah gah seperti mana majlis orang lain. Tetapi dari tiada biarlah sekadar sederhana.
Di hujung majlis itu tetamu diberikan door gift kononnya sebagai tanda terima kasih. Namun yang Adinda tak sanggup nak memandang door gift itu lama-lama, pemberian itu adalah dua biji pisang yang diikat dengan reben dan pada kulit pisang itu dicopkan dengan tulisan Adinda Love Panglima.
Bila masa aku love dia entah! Bisik hati Adinda bengang.
Setelah selesai sepenuhnya acara makan-makan, Panglima membawa isterinya pulang ke rumah pusaka emak dan ayahnya. Adinda sekadar melangkah longlai ke dalam rumah itu.
“Buatlah macam rumah sendiri.” Panglima terus membawa masuk beg isterinya ke dalam kamar.
“Hmm..” sambut Adinda malas. Ruang tamu rumah itu ditatapnya lama-lama. Ruang tamu itu hanya dipenuhi oleh perabot lama. Tv pun yang fesyen lama. Bolehlah daripada tiada. Kemudian dia ke dapur pula. Memerhati dapur rumah papan itu. Segalanya lengkap untuk surirumah seperti dia nanti.
Adinda menoleh sebaik sahaja terdengar derap kaki manusia memijak lantai papan rumah itu mendekati dia. Figura lelaki itu muncul di hadapan matanya tidak lama kemudian. Panglima sudah menukar pakaiannya kepada kain pelekat semata. Atas tubuhnya dibalutnya dengan tuala.
“Pergilah salin baju. Aku nak mandi sekejap lagi. Nak pergi belakang sekejap.”
Adinda sekadar mengangguk sebelum meninggalkan ruangan dapur itu. Di dalam kamar itu dia termenung sendiri. Memikir! Macam mana dengan malam nanti? Dia masih belum bersedia mahu menjadi isteri dalam erti kata yang sebenarnya kepada lelaki yang tiada di hatinya. Haruskah dia menyerah dalam keadaan diri tidak ikhlas? Haruskah dia akur dalam pada hatinya tidak punya rasa kepada suami sendiri? Entahlah..
Sudahnya Adinda duduk termenung di tepi katil itu. Tidak tahu mahu berbuat apa. Asing benar perasaannya saat ini. Masih tidak mampu menyemai hakikat di dalam jiwa yang ini adalah rumahnya kini. Kalau boleh dia mahu pulang ke rumah ayahnya. Tapi mana boleh? Mahu dia ditengking ayahnya nanti.
Lambat-lambat Adinda bangun. Beg bajunya dicari lalu diletak di atas katil. Kemudian dia menanggalkan baju kurung yang tersarung di tubuhnya lalu dilempar ke tepi. Namun baru sahaja Adinda mahu membuka begnya tiba-tiba Panglima menyelak langsir yang menghadangi ambang kamar itu. Terkejut punya pasal, Adinda hanya mampu mencapai sebiji bantal untuk melindungi bahagian yang terdedah. Panglima terpaku dengan mata terbeliak.
“Kenapa kau masuk?? Aku tengah salin bajulah!!” marah Adinda lantas menyorok di tepi almari.
“Ma.. mana aku tahu. Aku ingatkan dah sudah.” Tergagap-gagap lelaki itu menjawab dengan mulut terbuka.
“Keluarlah!!”
“Nak keluarlah ni..” jawab Panglima agak perlahan. Namun matanya masih tidak mampu berkalih daripada wanita itu biarpun tubuhnya sudah dipusingkan untuk keluar. Sayang benar nak lepaskan pandangan. Bukan selalu boleh nampak permandangan begitu. Sudahnya.. gedegum!!! Bunyi itu bergema kuat di dalam kamar tidur itu.
“Aduh!!” Panglima meraba dahinya. Dia terlanggar ambang pintu rupanya.
“Kat sini pintu rupanya..” ucap lelaki itu sambil menggosok dahinya.
Adinda mengertap bibir memandang suaminya itu. Gatal sangat tengok aku salin baju. Padan muka terlanggar tiang tu!
Baru sahaja Adinda mahu mengambil baju dari dalam beg, tiba-tiba dia menoleh. Terkejut badak dia melihat ada sebiji mata sedang terselit dicelahan tirai yang terbelah dua itu.
“Panglima, jaga kau!!!” Adinda menjerit lantas mengambil beg bajunya lalu dilemparnya ke arah lelaki yang sedang bersembunyi di sebalik langsir itu.
Tiada jawapan yang kedengaran sebaliknya kedengaran derap kaki seseorang kelam kabut berlari ke arah dapur.
“Mati aku! Naga berapi tu nampak pulak aku menginta dia!” desis Panglima dalam pada dia sibuk melarikan diri.

Masam kelat wajah Adinda saat menemui suaminya duduk menyangkung sendiri di ambang pintu dapur itu. Lelaki itu sedang ralik memandang ke luar. Bengang disebabkan peristiwa tadi masih menebal di hati Adinda. Ikutkan hatinya mahu sahaja lelaki itu dilepuknya. Tetapi dia masih sedar itu suaminya. Takkan nak pukul suami? Kejam benar tu!
“Eh! Aku nak pergi halau ayam masuk reban sekejap.” Melihat Adinda sudah ada di situ cepat-cepat Panglima keluar melalui pintu dapur yang terbuka luas. Takut Adinda membalas dendam atas peristiwa tadi.
Adinda sekadar memandang gelagat suaminya sambil melabuhkan duduk di tempat Panglima sebentar tadi. Panglima membuka luas pintu reban bagi membiarkan ayam-ayam belaannya masuk ke dalam reban. Banyak juga ayam dibela oleh suaminya itu rupanya.
Emak-emak ayam meluru masuk ke dalam reban bersama anak-anaknya. Namun seekor ayam jantan terus meliar di luar reban.
“Jalak, masuk reban cepat!” panggil Panglima kepada ayam itu.
“Ayam pun ada nama. Semua benda dia nak letak nama..” desis Adinda seorang diri. Panglima dilihatnya mengekori ayam itu.
“Oi! Aku panggil ni. Nanti aku tak mahu carikan kau bini baru kau tahu, Jalak. Takde keturunan kau nanti.” Panglima mula membebelkan ayam itu.
Adinda terus memerhatikan gelagat suaminya memujuk ayam itu agar masuk ke dalam reban. Sehingga akhirnya ayam itu berjaya juga ditangkap oleh Panglima lalu ayam bapak itu diletakkan di atas bahu. Bukan main senang hati ayam itu berdiri di atas bahu Panglima. Nampaknya ayam itu jinak benar dengan suaminya.
“Degil kau ya, Jalak? Aku suruh masuk reban, kau main-mainkan aku. Bila kau nak merendek dengan si Cimak kakak kawasan tu.. tahu pulak kau masuk reban awal! Asal malam Jumaat aja kau masuk reban cepat! Aku rebus kau buat sup baru kau tahu.” Panglima membebel kepada ayam kesayangannya itu.
Sebagai balasan kepada kata-kata Panglima ayam itu segera menerankan sesuatu dari bawah ekornya. Benda lembik itu melepek di belakang Panglima.
“Kau berakkan aku, Jalak?? Sungguh biadap perangai kau ni!”
Adinda menekup mulutnya. Mahu tergelak melihat gelagat ayam itu dengan suaminya. Padan muka kau, Panglima! Dengan ayam pun boleh bercakap. Seketika kemudian Panglima mengambil satu besen besar dari tepi reban itu. Di dalam itu ada pisang yang dijadikan makanan ayam. Sebahagian pisang yang sudah dicincang itu ditabur di dalam bekas makanan sebelum pintu reban di tutup.
“Tolong buang tahi ayam kat belakang aku ni,” pinta Panglima kepada si isteri dengan lembut.
“Aku geli!”
“Alah.. tolonglah kejap. Aku pun geli jugak.”
Mahu tidak mahu Adinda bangun masuk ke dalam rumah. Sehelai kain buruk di ambil lalu dibawa kepada Panglima. Kesan najis itu dilap lalu kain buruk itu dilempar ke luar.
“Kenapa kau buang kain tu?”
“Biarlah! Dah ada tahi. Gelilah!”
“Basuhlah. Nanti kain tu bersih semula. Malas!” Panglima menggeleng sahaja kepada isterinya.
Adinda sekadar buat tidak tahu kepada kata-kata suaminya. Kain itu tidak pun diambilnya. Geramnya masih menimbun kepada lelaki itu. Termasuk hal ketika di masjid tadi.
“Kau saja aja nak bagi aku malu waktu kat masjid tadi, kan?”
“Bila pulak aku malukan kau? Patutnya hari bahagia macam tu kita seronoklah. Mana ada aku malukan kau pulak.”
“Takde malukan aku konon! Yang kau salah sebut nama aku tu apa? Kau saja aja, kan??” ucap Adinda tajam.
"Mana ada. Aku tak sengajalah. Kau mana tahu perasaan seorang lelaki bila nak menghadap tok kadi. Rumit!" balas Panglima macam bersungguh aja tanpa memandang isterinya itu.
"Apa yang rumitnya? Setakat nak sambut akad nikah tu pun kau boleh salah. Malu aku tahu tak!" balas Adinda tidak mahu kalah.
Panglima kembali menoleh kepada sang isteri.
"Macam-macam benda yang bermain dalam fikiran seorang lelaki bila nak menghadap tok kadi ni. Orang perempuan takkan faham! Semua tu sulit nak dijelaskan dengan kata-kata biasa."
Adinda mencebik. Ialah sangat! Macam poyo aja bunyinya.
"Aku terfikir-fikir.. keindahan malam pertama nanti macam mana," ujar Panglima seorang diri.
Berderau darah Adinda yang sempat mendengar kata-kata itu. "Oh! Depan tok kadi tadi itulah yang kau fikir sampai tersasul sebut nama aku?!!" marah Adinda terus meninggi suaranya.
Panglima menelan liur seketika. "Tak boleh ke?"
Adinda hanya mampu memandang lelaki itu dengan dada turun naik. Tak guna betul! Dasar lelaki!!
“Patutlah kau miang mengintai aku ganti baju tadi ya?”
Panglima terdiam sambil terkulat-kulat. Intai sikit aja pun nak marah. Bukannya banyak. Sikit aja!
“Aku nak minta beritahu sesuatu pada kau,” ucap Adinda nekad.
Panglima sekadar memandang raut wanita di sebelahnya itu tanpa menyahut apa-apa.
“Aku.. emm..” Adinda meraup rambutnya seketika. Tiba-tiba dia jadi gentar pula. Tadi berani benar. Buatnya Panglima tidak sepakat dengannya, naya dia nanti!
“Aku kahwin dengan kau sebab ayah yang suruh. Aku sebenarnya tak bersedia nak jadi isteri sesiapa. Aku harap kau faham apa yang aku maksudkan ni.”
“Aku faham. Jadi?” Panglima membalas biasa.
“Aku.. err.. aku tak mahu kau sentuh aku.” Tiba-tiba kata-kata itu meluncur laju dalam pada Adinda tergagap tadi.
“Ish! Mana boleh macam tu?” sambut Panglima sedikit terkejut dengan kehendak Adinda.
“Kau nak paksa aku sedangkan aku tak suka dengan kau? Macam tu?” balas Adinda pantas.
Panglima memandang isterinya seketika. Kemudian dia mengalihkan renungannya ke luar rumah.
“Kau dengar tak?” tanya Adinda kepada lelaki itu.
“Kau kena balas pantun aku ni..”
Adinda mula menghela nafas panjang. Dia dah mula dahhh..

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan,
Dah terang tak perlu disuluh,
Aku ni lelaki kau tu perempuan.

Sekali pergi menuba,
Sekali ikan merambat,
Takkan sekali pun kau tak nak cuba,
Mana tahu Abang Panglima ni hebat?

Itulah bunyi dua buah pantun yang diberi Panglima membuatkan Adinda tidak terkata. Nak balas apa pun dia tak tahu. Dia pun bukannya suka benar berpantun-pantun ni semua. Tak tahulah kenapa dia ditakdirkan mendapat suami suka berpantun.
“Jawab.. jangan tak jawab!”
“Kau jangan nak main-mainlah, Panglima! Tak kuasa aku nak berpantun dengan kau!” marah Adinda geram.
“Siapa kata aku main-main? Aku serius ni,” ujar Panglima selamba.
Adinda hanya mampu memandang jengkel lelaki itu. Nak balas macam mana? Dia mana tahu berpantun ni semua.
“Kalau kau tak balas pantun aku tu, aku tak mahu dengar cakap kau. Malam ni aku nak kau pakai cantik-cantik!” Spontan lelaki itu bangun.
“Panglima!! Kau ni kejam tahu tak!!!” getus Adinda geram melihat lelaki itu sudah menjauh. Mulalah dia rasa nak lari dari rumah aja. Tapi nak lari ke mana?? Nak pakai cantik-cantik untuk apa kalau bukan untuk melayan kehendak lelaki itu. Adinda hanya mampu menekup wajahnya ke lutut. Kalau boleh, janganlah siang berganti malam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan