Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 8-9 ALAMAK SUAMIKU TAUKE PISANG

Bab 8
Usai mengemas rumah Adinda menunggu suaminya pulang. Memang benar seperti yang dijanjikan Panglima pagi tadi. Lelaki itu pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi.
“Dinda..” panggil Panglima dari arah pintu dapur. Topi koboinya ditanggalkan. Tubuh yang terasa hangat dikipas dengan topi itu.
“Ya..” sambut Adinda lantas mendekati lelaki itu.
“Air kopi tadi ada lagi? Bak sini.. aku haus ni.”
Tanpa banyak soal Adinda mendapatkan apa yang dimahukan oleh suaminya itu. Setelah menyambut cawan dari tangan Adinda, Panglima menyengih.
“Kau ni makin cantiklah semenjak kahwin dengan aku, Dinda.”
Pujian itu dibalas oleh Adinda dengan jelingan meluat. Baru kahwin semalam, hari ni dah makin cantik ke? Saja nak tipulah tu! getus hati sendiri.
“Mana barang yang kau cakap tadi? Aku nak masak ni.”
“Ini ha..” sambut Panglima lantas dua beg plastik diberikan kepada isterinya. Adinda membelek seketika barang yang dibawa pulang oleh suaminya. Ada sayur pucuk ubi dan beberapa barang keperluan dapur yang lain. Di dalam beg plastik yang kedua ada beberapa ekor ikan temakang yang masih segar.
“Mana kau dapat ikan ni, Panglima?”
“Pak Leman yang bagi. Dia ambik pisang aku kat kebun. Dia tukar dengan ikan tu.”
“Ha?” Adinda tercengang.
“Dia bagi kau ikan ni aja? Duit tak bagi?”
“Dia takde duit. Macam mana dia nak bagi.”
“Jadi kau bagilah pisang kau kat dia?” balas Adinda macam tidak puas hati aja. Kalau macam ni bila nak kaya?
“Yalah.. alah, bukan banyak pun. Dua sisir aja yang dia mintak. Dia takde duit nak bayar. Kira ikan tu sebagai gantilah. Bolehlah tu. Boleh buat lauk kita hari ni. Rezeki jugak namanya.”
Pulak? Pakai sistem buter pun boleh.
“Kata nak masak lemak pisang? Mana pisangnya?” tanya Adinda lagi.
“Pisang orang dah beli semua,” jawab Panglima sambil memandang ke luar.
Malas mahu bersoal jawab lagi, Adida mula ke dapur. Usai menikmati secawan kopi sejuk sisa sarapan pagi tadi, Panglima mula ke belakang. Ayam-ayamnya diberi makan. Seekor emak ayam dilihatnya tidak mahu keluar dari reban. Sedang mengeram telur di dalam sarang. Panglima senyum. Insya-Allah.. murahlah rezekinya nanti. Ayamnya makin banyak membiak.
“Hebat kau Jalak ya? Semua ayam betina aku kau balun! Dasar kaki ayam betina punya Jalak. Aku jugak yang belum dapat-dapat. Adinda tak nak dekat aku. Kempunan aku, Jalak.” Panglima membebel kepada si Jalak. Si Jalak hanya buat tidak tahu kepada kehadiran Panglima. Ayam jantan itu sedang berkeliaran dengan ayam betina yang masih dara. Buang masa aja mendengar aduan Panglima.
Selesai menguruskan ayam-ayamnya, Panglima masuk ke dapur semula. Isterinya sedang rancak memasak. Lelaki itu duduk di satu sudut, memerhatikan Adinda memasak sambil menjadikan peti ais sebagai alas belakangnya. Lama mata lelaki itu terpasak kepada Adinda yang sedang membelakanginya.
Cantik juga bini aku ni.. bisik hati Panglima ralik. Lenggok Adinda membuat kerja di dapur terus diperhatikan.
“Tepi sikit. Aku nak buka peti ais ni.”
Tanpa menjawab Panglima sekadar berkalih sedikit. Tanpa mempedulikan lelaki itu Adinda menyelongkar peti ais. Mencari sesuatu. Lintang pukang barang-barang di dalam peti ais itu tidak bersusun. Pening kepalanya dibuatnya.
Panglima terus memandang isterinya itu tertonggeng-tonggeng di hadapan peti ais yang terbuka.
“Kau cari apa?” tanya Panglima.
“Ikan bilis,” jawab Adinda tanpa memandang suaminya.
“Oh..” Panglima sekadar melogo merenung Adinda.
“Lama lagi ke?” tanya Panglima seketika kemudian.
Adinda mula menoleh kepada suaminya itu. “Kau duduklah tempat lain. Aku tak jumpa mana kau letak ikan bilis ni,” getus Adinda sedikit meninggi kepada lelaki itu.
“Lah.. kenapa tak cakap nak ikan bilis. Meh aku tolong kau cari.” Spontan Panglima terus mendekati Adinda di ambang peti ais itu. Dengan selamba dia ikut menjenguk ke dalam peti ais tanpa meminta Adinda berundur dari itu. Sudahnya berlaga mereka berdua di ambang peti ais kecil itu.
“Kau ni!!!” Adinda memukul kuat bahu Panglima.
“Apa? Aku nak tolonglah ni.” Panglima buat-buat selamba.
Adinda hanya mampu memandang penuh rasa geram kepada lelaki itu. Kalau tak menyakitkan hati dia memang bukan Panglimalah tu!
“Aku nak tolonglah ni..” jawab Panglima biasa. Ruangan bawah peti ais itu diselongkarnya tanpa mempedulikan Adinda yang sedang merenung dia.
“Hah! Ni dia ikan bilis.” Sebungkus ikan bilis di dalam plastik berwarna jernih diberikan kepada isterinya.
“Ini ikan bilis tambanlah!”
“Tapi ikan bilis jugak, kan? Bolehlah tu. Asalkan ada ikan bilis je sudahlah,” jawab Panglima selamba.
Malas mahu bertekak dengan lelaki itu akhirnya bungkusan di tangan Panglima direngut kasar oleh Adinda berserta dengan sedikit jelingan. Ikan bilis pun takde!
“Aik? Ambik macam tu aja ke? Upah takde?” ucap Panglima macam beria aja.
“Kau dah takde kerja lain ke selain daripada menghadap aku memasak kat dapur ni? Ada hati nak mintak upah pulak!” gerutu Adinda makin membukit sakit hatinya kepada lelaki itu.
“Aku temankan kau. Mana tahu kau tak jumpa belacan pulak lepas ni. Aku tolong carikan. Kau masih tak biasa dengan dapur ni, kan?” lelaki itu terus menjawab bersahaja. Itulah alasan yang paling bernas untuk dia berada di dapur itu.
Adinda sekadar membisu sambil meneruskan kerjanya. Di atas lantai dapur itu, bersama dengan lesung batu dia menumbuk bahan-bahan untuk masak lemak pucuk ubi.
“Bila kau nak ganti katil tu?” pertanyaan Adinda tiba-tiba memecah kebisuan antara mereka berdua.
“Kejap lagilah aku pergi kedai perabot..”
“Aku tak nak tidur atas lantai lagi malam ni.”
“Yalah.. aku pun tak mahu tidur atas lantai. Kejap lagi aku pergilah kedai Pak Ayob tu. bukannya jauh sampai ke pekan pun,” jawab Panglima sekadar sambil lewa.
Adinda kembali membisu. Kerjanya diteruskan lagi. Selesai menumbuk bahan-bahan masakannya sehingga lumat, Adinda mula menghadap tungku dapur pula. Api dapur itu segera dihidupkan. Periuk ditenggek di atas dapur itu.
Panglima tiba-tiba bangun lalu mendekati Adinda. “Kau ni nampak macam isteri mithali aja bila memasak kat dapur ni, Dinda.”
Spontan Adinda menoleh kepada lelaki disebelahnya. Panglima sedang merenungnya.
“Kau nak bodek aku ke apa ni?” tanya Adinda pantas.
“Mana ada bodek. Aku ikhlas ni..” jawab Panglima penuh kesungguhan.
Adinda kembali memandang gulai masak lemak di atas dapur itu. Namun seketika kemudian lelaki itu kembali dipandangnya.
“Kau nak apa ni, Panglima?”
“Aku nak kau. Eh! taklah.. maksud aku, aku nak tolong kau memasak. Supaya cepat sikit siap sebab aku dah lapar.” Di hujung bicaranya Panglima menayang sengih buat Adinda.
“Kalau kau tak menyibuk kat dapur dengan aku lagi aku cepat siap buat kerja!” nada Adinda terus tegang tanpa kemesraan. Sakit jiwa menghadap gelagat lelaki seorang ini.
“Alah.. usik sikit pun tak boleh. Kau tu isteri aku. Mestilah aku nak usik kau. Mula-mula usik sikit.. lepas tu usik banyak,” ucap Panglima lembut.
“Tak payah sibuk nak mengacau aku kat dapur ni. Aku tahu apa nak buat. Kau pergilah layan ayam kau tu ke? Tak pun cari aja kerja lain selain daripada merenung punggung aku!”
Tersentak Panglima dibidas Adinda. Macam terkena tepat ke wajahnya.
“Ish! Mana ada aku renung kat situ? Aku tertengok sikit aja,” jawab Panglima sambil terkulat-kulat. Macam mana Adinda tahu dia merenung punggung Adinda? Magik betul!
“Tertengok sikit konon..” ejek Adinda dengan mimik muka jengkel. Semalam renung betis dia. Hari ini renung punggung dia. Memang gatal punya Panglima!
“Dah punggung kau tu seksi.. nak buat macam mana? Aku tengoklah puas-puas” rungut Panglima seorang.
Berderau darah Adinda mendengar bicara itu. Biarpun teramat perlahan namun menyapa elok lubang telinganya. Betapa langsung tiada rasa bersalah lelaki itu meluahkan kata-kata itu. Itu yang membuatkan dia rasa nak naik hantu dengan lelaki ini.
“Biarlah seksi ke apa! bukan aku suruh kau tengok pun!”
“Yalah.. memanglah kau tak suruh. Kalau nak kena tunggu kau suruh, kempunan ajalah aku ni sampai bila-bila. Aku pandai-pandai sendirilah.” Laju mulut Panglima menjawab.
“Heeee.. geramnya aku dengan dia! Mulut tu ada aja nak menjawab. Rasa nak aja aku masukkan kau dalam periuk gulai ni! Baru puas hati aku.” Marah Adinda makin menghebat. Memang tak makan saman betul dia ni. Laki siapalah ni! Kutuk hati Adinda.
“Yalah.. aku pergilah. Kau tak suka kat aku.” Terkulat-kulat Panglima memandang isterinya dengan muka kasihan. Kemudian dia berlalu ke pintu dapur. Adinda hanya mampu menggeleng. Makin lama dilayan lelaki ini makin lambat kerjanya siap.
“Kena marah sikit mulalah buat muka kesian. Saja nak bagi aku lemahlah tu!” bebel Adinda seorang sambil menggaul gulai di atas dapur. Saat dia berpaling tiba-tiba matanya tertangkap kelibat seseorang sedang mengintai di ambang pintu dapur dari luar. Cepat sahaja manusia itu melarikan diri daripada pandangan Adinda.

Adinda hanya mampu mengertap bibir sendiri. Sengal! Bisik hatinya sebal dengan lelaki seorang itu. namun seketika kemudian dia terfikir sendiri. Seksi benar ke punggung aku ni sampai dia sanggup mengintai macam tu? Adinda tiba-tiba tergelak seorang di dapur itu.


                               
                                Bab 9

Selepas makan tengahari Panglima mula bersiap mahu ke masjid pula untuk menjalankan tugasnya. Adinda tinggal di rumah sendirian. Usai menunaikan zohor, dia menonton tv sehinggalah kedengaran bunyi motor suaminya pulang ke rumah. Adinda pantas bangun menjenguk lelaki itu di jendela.
“Eh, Dinda.. dah mandi?” tegur Panglima cukup ceria.
“Hmm.. dah.” Adinda sekadar menjawab selamba.
“Sembahyang dah?” tanya Panglima lagi.
“Dahlah..” jawab Adinda malas sahaja nadanya.
“Sekejap lagi ada orang hantar katil baru,” kata Panglima dari bawah itu.
“Baguslah tu..” sekali lagi Adinda menjawab dengan nada yang sama.
“Itu aja? Aku dah beli katil baru ni. Upah takde ke?” tanya Panglima lantas menyengih.
Adinda merenung lelaki itu seketika. Baik aku bagi upah dia sekarang. Buatnya dia mintak upah atas katil baru dia tu, jenuh aku nanti.. bisik hati Adinda.
“Aku buatkan kau airlah.” Adinda berkata biasa.
“Boleh jugak. Kopi ya? Jangan pekat sangat, jangan manis sangat.”
“Yalah..” Adinda terus menuju ke dapur. Lega hatinya. Nasiblah lelaki seorang itu tidak meminta yang bukan-bukan.
Usai membancuhkan air kegemaran suaminya, Adinda terus ke hadapan. Panglima sedang melepak di ambang pintu depan sambil memandang ke luar.
“Terima kasih. Cantiklah kau bila dah mandi ni, Dinda. Berseri-seri..” Sempat juga pujian itu dihulurkan Panglima sambil menyengih.
“Malas aku nak layan kau! Sengal!” rengus Adinda lantas ke hadapan tv semula.
“Aik? Aku puji pun tak suka?” ucap Panglima sambil memandang Adinda berjalan ke arah kerusi rotan di ruang tamu itu. Adinda sekadar buat tidak dengar aja.
“Hmm.. sedapnya air yang kau buat ni, Dinda. Tak pernah aku rasa air sesedap ini. Macam tak cukup aja secawan ni.”
Spontan Adinda bangun menuju ke arah dapur. Seketika kemudian dia muncul semula dengan sebuah teko.
“Nah, kalau tak cukup!” ucap Adinda lantas meletakkan teko itu di tepi suaminya.
“Kau ni memang memahami akulah, Dinda. Marilah duduk dengan aku ni..” ajak Panglima lembut.
“Heee.. duduk ajalah seorang kat situ. Aku nak tengok tv ni!” rengus Adinda malas mahu menurutkan pelawaan suaminya itu. orang tengah sedap tengok drama Indon ni.. dia sibuk nak ajak termenung depan pintu tu!
“Tak baik menolak ajakan suami, Dinda. Allah tak suka,” ucap Panglima sedikit mengingatkan.
Adinda mula menghela nafas perlahan. Sudahnya punggungnya dihempas sebelah suaminya. Panglima mula tersenyum memandang sang isteri walaupun wajah itu agak mencuka. Adinda pun nama aja duduk di sebelah dia. Pandang dia tak mahu. Masih ralik memandang ke arah tv.
“Malam ni kita tidur atas katil baru ya?” ucap Panglima lantas menarik tangan isterinya.
“Janganlah!” wanita pantas menarik semula tangannya. apa yang diucapkan suaminya tadi tidak masuk ke benaknya dek kerana dia sibuk menghayati sinetron di kaca tv.
“Alah.. aku pegang sekejap pun tak bagi. Kalau bukan tangan isteri aku, aku nak pegang tangan siapa?” ucap Panglima lantas menarik semula jemari isterinya. Kali itu Adinda hanya membiarkan. Dah tak kisah tangannya dipegang Panglima dek kerana fokusnya seratus peratus kepada babak sedih antara hero dan heroin drama itu.
Melihat Adinda hanya membiarkan Panglima membawa jemari itu ke hidungnya. “Emm.. wangi. Kau pakai sabun apa jadi wangi macam ni?”
“Apa dia, Panglima? Kau ni banyak cakaplah! Aku tengah khusyuk ni!”
Panglima senyum seorang diri. Jemari itu dikelebeknya lagi. Empat jari Adinda dilipat sementara satu jari ditegakkan. Kemudian jari itu diangkat naik ke hidungnya.
“Aku pinjam jari kau ni..” ucap Panglima lantas meletakkan jari Adinda di ambang lubang hidungnya. Tinggal nak countdown aja lagi sebelum jari itu ditolak masuk.
Saat terasa ada hembusan hangat pada hujung jarinya, Adinda pantas menoleh. “Panglima!!!” jerit Adinda lantas cuba menarik tangannya semula.
“Pinjamlah.. hidung aku dah seminggu tak korek ni,” ucap Panglima sengaja tidak mahu melepaskan jemari itu. Sebelah tangannya lagi digunakan untuk menegakkan jari telunjuk Adinda. Kemudian dihalakan lagi ke lubang hidungnya.
“Taknaklah!! Kau ni memang tak senonohlah!! Aku jerit nanti!!” terjerit-jerit Adinda takut jari telunjuknya termasuk ke lubang hidung lelaki itu. Bersungguh-sungguh dia menarik tangannya daripada Panglima. Akhirnya tangannya dilepaskan Panglima.
“Benci! Benci! Bencilah dengan kau ni!” Bahu lelaki itu ditamparnya berkali-kali untuk melepaskan geram.
Terkekeh-kekeh Panglima tergelak di situ. Seronok benar dapat menyakat isterinya.
“Menyampah! Gelaklah lagi!” marah Adinda dengan jelingan tajam.
“Baru kau nak pandang aku, kan? Kalau tak aku macam bercakap seorang,” omel Panglima.
“Kau tu nak ajak aku bersembang pun janganlah time aku nak tengok drama kesukaan aku,” cebir Adinda sebal. Masih terkenang-kenang betapa nyaris jarinya mahu termasuk ke lubang bijih lelaki itu.
“Buat apa tengok drama tu? bukannya ada faedah pun? Tengoklah suami kau ni. Dapat pahala.”
Adinda sekadar menjeling tanpa jawapan. Sudahnya dia bersandar di sebelah lelaki itu. Panglima memandang ke luar. Kelihatan ada sebuah lori satu tan masuk ke halaman rumahnya.
“Ha.. orang kedai perabot dah sampai,” seru Panglima lantas bangun.
Adinda ikut bangun bersama cawan dan teko air kopi itu. Laju langkahnya membawa diri masuk ke dalam. Dua pekerja kedai perabut membawa rangka katil dan tilam naik ke atas. Hampir lima minit masa diambil untuk memasang katil itu. Usai itu dua pekerja itu segera meminta diri. Panglima menghantar dua lelaki itu ke bawah.
Setelah berlalu lori itu, Panglima segera berpaling untuk naik ke rumahnya. Namun satu suaranya menyapa membuatkan langkahnya termati.
“Baru beli katil ke orang sebelah?” mak cik Senah sekadar menjerit dari ambang tingkap di tepi rumahnya.
“Ha’ah.. katil patah semalam. Katil dah uzur. Berat nak tampung dua orang.” Panglima sekadar menjawab sopan kepada wanita tua itu.
“Hai.. dahsyat juga kau dengan Dinda ya? Sampai patah katil? Siapa yang ganas ni? Kau ke Dinda?” mengilai perempuan tua itu entah kenapa.
Panglima terkeruk-keruk sendiri. “Takdelah. Mana ada ganas. Saya ni memang buas sikit bila atas katil,” ujar Panglima biasa. Makin kuat wanita itu mengilai. Kening Panglima berkerut. Mak cik Senah ni sihat ke tidak?
“Mak cik tu perli kaulah!” ujar Adinda dari dalam rumah.
“Perli apa pulak?” jawab Panglima kepada isterinya.
“Malam pertama! Takkan tak faham? Yang kau pergi mengaku kau tu buas tu nak buat apa? sengal tak habis-habis!” gerutu Adinda agak kuat.
Spontan bola mata Panglima membuntang.
“Maksud saya.. saya tidur buas, mak cik. Mak cik.. oo.. mak cik.. saya belum habis bercakap lagi ni.” Sayangnya kelibat Mak cik Senah sudah tiada di situ. Panglima mula kalut. Janganlah hendaknya cerita itu heboh sekampung.
“Mak cik tu dah takde kat situlah. Macam mana ni ya? Kau rasa dia bagitahu orang lain tak apa yang aku cakap tadi?” ucap Panglima kepada isterinya.
“Mana aku tahu. Padan dengan muka kau!” ujar Adinda lantas berjalan menuju ke dapur.
Panglima menggaru pipinya seketika. Hatinya terus tidak sedap di situ. Buatnya kalau Mak cik Senah bercerita pada orang lain dan orang lain bercerita kepada orang lain dan begitulah seterusnya sampai sekampung heboh, mana dia nak letak muka? Sudahnya Panglima menghayun langkah ke rumah sebelah. Apa jadi sekalipun kenyataannya tadi harus diperbetulkan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan