Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 6-7 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG

Bab 6

Malam itu Panglima katanya tidak ke masjid. Selepas mandi petang itu lelaki itu mengajak Adinda berjemaah bersamanya.
“Cepat sikit, Dinda!” tegur Panglima kepada isterinya itu. Masih terhegeh-hegeh sedangkan waktu solat sudah lama masuk.
“Kejaplah..” rengus Adinda lantas mendekati suaminya itu.
“Solat mana boleh lambat-lambat. Nanti kita yang paling lambat masuk syurga. Kalau penuh dengan orang-orang alim, kita duduk kat pintu aja,” ucap Panglima sudah lama berdiri di atas sejadah itu.
Adinda hanya mampu membisu kepada bebelan suaminya itu. Sementara Adinda mengenakan marhana, lelaki itu melaungkan azan. Kala itu wanita itu memandang lama belakang tubuh lelaki berbaju melayu itu. ini bukanlah kali pertama dia mendengar suara suaminya melaungkan azan. Tetapi inilah kali pertama dia mendengar sendiri suara lelaki itu tanpa pembesar suara. Lebih jelas lenggok dan merdunya. Lebih dekat di telinganya. Lebih cepat meresap ke hatinya.
Setelah iqamat dialunkan, Panglima mengetuai solat berjemaah itu. Bagi Adinda, pertama kali solatnya diimamkan oleh seorang lelaki dipanggil suami. Buat Panglima, pertama kali menjadi imam kepada makmum sendiri.
Usai solat jemaah itu, Adinda bangun meninggalkan sejadah. Tinggal Panglima di situ membilang wirid untuk menanti isyak. Setelah telekongnya ditanggalkan, Adinda keluar dari kamar itu. Sekadar mahu melihat nasi yang dimasaknya tadi. Lauk pauk yang dibawa pulang selepas kenduri mereka segera dipanaskan. Lalu dihidang di tempat makan. kemudian baru dia kembali ke dalam kamar semula untuk menyempurnakan solat isyak.
Usai makan malam Panglima lepak menghadap tv di ruang tamu. Adinda yang baru sahaja selesai membasuh pinggan kembali ke ruang tamu.
“Mana ubat nyamuk? Banyak nyamuklah kat dapur tu. Habis kaki aku digigitnya,” adu Adinda saat mendekati suaminya.
“Nyamuk gigit kau??”
Adinda sekadar mengangguk sambil membelek kaki. Tanpa sedar kain batik yang dipakai diangkat sehingga menampakkan betisnya. Panglima terpaku dengan mata membulat. Macam tu ke rupa betis perempuan??? Mak oi.. Cantiknya, seru hatinya penuh berselera.
Adinda yang ralik membelek kakinya mula memandang lelaki itu. berderau darahnya melihat Panglima merenung betisnya dengan pandangan rakus. Macam tengah lapar aja! Nak terkam dia ke apa tu? Cepat-cepat kainnya diturunkan semula.
“Tak gatal dah ke? Sekejap aja garu dah hilang gatal?”
“Apa yang gatal?”
“Kaulah..” ucap Panglima.
“Bila masa aku gatal? Kau tu yang gatal pandang betis aku macam nak makan!” sergah Adinda geram.
“Aku Cuma tengok aja. Bukan aku nak makan pun.” Terkulat-kulat Panglima menahan rasa terkilan. Tak dapat pandang betis Adinda dah. Pandang sikit pun tak boleh, bisik hatinya sendiri.
Kata-kata lelaki itu dibalas dengan jelingan tajam oleh Adinda. “Sibuk aja nak tengok betis kita. Tengoklah betis sendiri!”
“Takkanlah aku nak tengok betis sendiri? Dah selalu tengok. Tak best pun.” Laju mulut Panglima menjawab.
“Diamlah! Benci! Tengok tv tu lagi baik daripada kau renung betis aku ni,” desis Adinda lantas bangun dari situ sambil diperhatikan Panglima.
Sudahnya Panglima tergaru-garu sendiri di ruang tamu itu. Nak pandang tv pun macam dah tiada mood. Fikirannya asyik terkenang-kenang kemulusan betis si Adinda. Kalau dah pandang pun Adinda tak mahu beri, apatah lagi nak disentuh.
Agak-agak dapat tak malam pertama nanti ya? Bisik hati sang suami itu sendiri.
Ish! Takkanlah dia tak bagi, kan? Akukan suami dia.. tambah sang hati itu yang sedang berharap.
Adinda di dalam kamar itu pula resah sendiri. Terkenang sekejap lagi Panglima pasti akan masuk ke dalam kamar itu untuk beradu. Kalau beradu semata okeylah juga. Kalau Panglima menuntut yang lain, bagaimana? Aduh.. senak perut perempuan itu memikirkan keadaan itu nanti.
Dalam keadaan dia termangu sendiri di katil itu, Panglima pun masuk ke dalam kamar. Adinda tersentak dalam diam melihat kemunculan lelaki itu. Alamak.. macam mana ni? desis hati Adinda kalut.
Sebaik sahaja Panglima mendekati katil itu, Adinda bingkas bangun.
“Kau nak pergi mana?”
“Emm.. bilik air.” Spontan jawapan itu disediakan Adinda buat si suami.
“Hmm.. pakai cantik-cantik, seksi-seksi!” ucap Panglima sekalian dengan anggukan sambil berjalan ke penjuru katil. Kelambu yang masih bergumpal di penjuru itu dileraikan untuk dipasang. Adinda melajukan kakinya keluar dari kamar itu.
“Apa aku nak buat ni? Aduhai..” keluh perempuan itu kalut di dalam kamar mandi itu. Takkan dia nak tidur dalam kamar mandi ini? Tak mungkin.
Namun tiba-tiba timbul satu idea di benaknya saat teringatkan bedak sejuk miliknya ada tersimpan di dalam beg bajunya tadi. Adinda kembali semula ke dalam kamar. Kelambu sudah siap dipasang. Panglima sudah tidak kelihatan. Adinda mula menyelongkar begnya. Botol bedak sejuk itu ditemui di celahan kain bajunya.
Teruja benar hati Panglima saat menyedari Adinda sudah kembali ke kamar itu. disabarkan seketika sang hati yang melonjak suka. Nak jadi suamilah katakan! Namun sedetik dua detik berlalu, kesabarannya sudah mula terhakis. Adinda masih berlama-lama di luar kelambu.
"Kau buat apa lagi tu? Sinilah cepat, Adik Dinda.."
Mahu termuntah Adinda mendengar panggilan miang lelaki itu. Ingat ni cerita dulu kala ke??
"Kejaplah.. aku tengah berhias cantik-cantik untuk kaulah ni," balas Adinda sambil lewa kepada lelaki yang sudah bersiap sedia di dalam kelambu itu.
Panglima tersengih senang hati sambil membayangkan keindahannya nanti. Macam mimpi aja semuanya. Malam pertama sebagai seorang suami adalah impian semua lelaki.
Panglima menoleh sebaik sahaja pintu kelambu diselak. Namun macam mahu gugur kedua-dua belah bola matanya melihat keadaan Adinda.
"Apa kat muka kau tu??"
"Masker nak bagi cantik jelita," balas Adinda selamba.
"Cepatlah.. kata tadi nak malam pertama sangat, kan? Aku dah sedia ni." Adinda mula mendekati lelaki itu.
Panglima menelan liur. Mana muka bini aku? Dah macam tepung roti canai bertempek kat muka dia. Mana aku selera kalau macam ni.. bisik hati Panglima dalam pada dia terpinga-pinga memandang Adinda.
Adinda terus selamba dalam pada hatinya ketawa sendiri. Nak sangat, kan? Ambik kau, Panglima! Kau pandanglah muka aku ni sampai muntah!
“Tak boleh ke pakai esok ke? Lusa ke?”
“Tak boleh.” Adinda menyambut kata-kata suaminya pantas.
“Tak cantik macam tu. Aku nak pandang pun takut.”
Eleh.. nak orang berhias cantik-cantik, seksi-seksi.. dia tu dengan kain pelekat gulung sampai ke dada. Ingat hensem sangatlah tu! Tak selera! Kutuk hati Adinda kepada suaminya.
Panglima menggaru rambutnya seketika. Nak ke tak nak ni ya? Takkan nak tangguh malam esok? Argh! Sapu ajalah, Panglima! Buat tak nampak aja muka dia yang mengerikan tu.. bisik hatinya sendiri.
“Eh! Eh! apa ni?” Adinda mula kalut melihat lelaki itu tiba-tiba mengalihkan duduk dekat dengannya. Panglima siap memuncungkan bibir sambil memejam mata. Lelaki itu terus ditolak Adinda.
“Kenapa kau buat mulut macam tu ha?” marah Adinda.
“Cepatlah.. kata nak malam pertama? Aku dah tak sabar dah ni. Selalu aku tengok orang putih buat macam tu, kan?” jawab Panglima sedikit terkebil-kebil.
Macam mahu berasap telinga perempuan itu mendengar ucapan Panglima. Dah tak sabar nak malam pertama?? Orang putih mana yang ajar ilmu malam pertama kat mamat ni? Mana dia?? Aku nak siat-siat kulit orang putih tu!
“Kenapa kau pandang aku macam tu? Macam hantu aku tengok muka kau tu,” tegur Panglima. Adinda terus bangun sambil mencapai bantal guling di tengah katil itu.
"Kau ni memang lorat! Lorat! Lorat!" Bantal guling dihempuknya kepada lelaki itu.
"Apa pulak?" balas Panglima sambil terkulat-kulat memandang Adinda.
"Muka aku macam ni pun kau nak jugak ke?"
"Naklah.. nanti aku pejamlah mata. Takdelah aku asyik nampak muka kau yang mengerikan tu," sambut Panglima agak rendah.
Turun naik dada perempuan itu menahan geram. Dasar gatal! Asal boleh aja! desis hatinya.
"Cepatlah, Dinda sayang.."
"Aku tak nak!"
"Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hak aku bila kau nak bagi? Kau tengok ayam dalam reban aku tu? Anak ramai! Aku ni seorang pun tak lepas lagi."
"Itu ayam!"
"Yalah.. tapi aku tuan ayam tu. Takkan aku tak tercabar tengok si Jalak tu lagi pandai tambah keturunan daripada aku ni," ujar Panglima bersungguh.
"Kau ni memang sengal! Dengan ayam pun kau nak cemburu ke??" marah Adinda.
“Alah, Dinda.. kau kan bini aku? Takkan tak boleh? Kesian aku ni, Dinda.” Lelaki itu cuba memujuk pula.
“Tak ingin nak kesian dengan jantan gatal macam kau ni! Mesti kau ni suka tengok cerita mat salih, kan? Kau pun sama miang macam mat salih dalam tv tu,” marah Adinda.
“Tak sama. Aku miang dengan bini aku aja. Halal. Mat salih tu asal boleh aja. Tak sama! Tak sama!” balas Panglima sambil menggeleng beberapa kali.
“Malas aku nak layan kau. Aku nak tidur!”
“Habis tu tak jadi ke nak malam pertama ni?” tanya Panglima dengan muka seposen.
“Aku tak naklah! Tak selera! Jangan paksa aku, boleh tak? Esok lusa pun aku bini kau jugak! Bagilah aku masa!” ucap Adinda agak kasar.
Panglima terdiam. Kasihan pula dia melihat isterinya itu.
“Yalah.. aku tak paksa. Tapi janganlah pakai benda putih tu tebal sangat. Takut aku mengigau nanti.”
Adinda diam saat menyelak pintu kelambu itu. wajahnya dibersihkan di kamar mandi. Panglima terus termenung sendiri di atas katil itu. Sebaik sahaja masuk ke dalam kelambu itu, Adinda terus berbaring. Tubuhnya diiringkan membelakangi lelaki itu.
“Dinda..”
“Apa lagi?? Heee.. bencilah dia ni!”
“Aku nak peluk kau boleh tak?” tanya Panglima dalam nada yang cukup lembut.
Adinda menoleh semula ke belakang sambil merengus. “Tak nak!”
“Takkan peluk pun tak boleh?”
“Janganlah dekat dengan aku, Panglima. Kau ni memang tak makan samanlah!” tukas wanita itu geram.
“Tak boleh takpelah,” jawab Panglima agak perlahan. Sudahnya dia berbaring di tempatnya. Hampa hatinya kala itu. Tetapi dia mengerti Adinda masih belum boleh menerima dirinya. Buat seketika mereka berdua berdiam.
“Takkanlah sampai ke saat ini kau masih belum jatuh cinta pada aku?”
Adinda menghela nafas perlahan sebelum mencelikkan mata. “Aku baru kahwin dengan kau tak sampai pun 12 jam, Panglima! Bukannya 12 hari. Bukannya 12 bulan. Baru 12 jam!”
“Yalah..” jawab Panglima rendah.
Adinda kembali memejamkan mata setelah lelaki di belakangnya itu berdiam. Lega hatinya lelaki itu tidak lagi menganggunya.
“Aku peluk sikit ya? Peluk aja..”
Adinda tidak sempat berbuat apa-apa. Lelaki itu sudah menghimpitnya. Memang tak makan saman ini Panglima! Bisik hati Adinda dalam kebisuan.
Mereka berdua berdiam. Namun entah apa jampinya daripada batang tubuh wanita itu sekadar mengeras, perlahan mula melonggar. Pelukan itu sekadar dibiarkan sahaja. Namun saat dia terasa ada nafas hangat menyapa lehernya, Adinda menoleh ke belakang. Dia terpandangkan kerdipan mata suaminya. Lemah semangatnya memandang pandangan penuh harap lelaki itu. Entah kenapa dia tidak sampai hati. Adinda kembali memandang ke hadapan tanpa berkata apa-apa. Saat tangannya disentuh Panglima, dia sekadar membiarkan. namun dadanya berdebar. Berkali-kali dia mengatakan kepada dirinya, itu suaminya. Bukan orang lain.
Sehingga akhirnya lelaki itu menarik tubuh wanita itu menghadap kepadanya, Adinda terus rela.



Bab 7

Prakkk.. gedebum!!! Bergegar rumah itu akibat lantainya dihempas sesuatu. Sepasang manusia itu menggelupur turun dari katil.
“Alamak! Katil patah pulak!” ucap Panglima terkejut. Dia dan Adinda berdiri memandang katil uzur itu sudah menyenget. Adinda hanya mampu mengurut dada, juga akibat terkejut.
“Kau berat sangat ke sampai katil ni boleh patah?” tanya Panglima kepada isterinya.
“Aku pulak? Kaulah! Ganas sangat himpit aku!” cebir Adinda geram.
“Mana ada aku ganas?” jawab Panglima sambil menggaru kepalanya.
Adinda hanya mampu menggeleng. Sebiji bantal dicapainya lalu dibawa keluar.
“Nak pergi mana? Kita belum habis lagi kan?” tersengih-sengih lelaki itu sambil bertanya.
“Tak kuasa aku! Aku nak tidur kat luar.” Adinda menjawab siap dengan jelingan.
Panglima menggaru kepalanya sambil memandang langkah isterinya. Kurang asam punya katil! Nak patah pun tunggulah aku selesaikan malam pertama dulu. Ini baru intro katil dah patah, desis hati lelaki itu kecewa.
Sudahnya Panglima ikut membawa bantal ke luar.
“Baring jauh sikit!”
“Alah, kenapa pulak? Tadi boleh aje dekat-dekat?”
“Tadi ialah tadi! Sekarang ni aku nak kau tidur jauh dari aku,” balas Adinda tanpa kemesraan dalam nadanya. Terasa bodoh benar dia sekejap tadi. Mudah sahaja dia dikuasai lelaki itu.
Sudahnya Panglima berbaring sedikit jauh dari Adinda dengan pandangan layu. Tak kesampaian hajatnya. Katil patah menghalangi.
Terkebil-kebil Adinda tidak mampu mencantum lena. Teringat apa yang berlaku tadi. Sungguh-sungguh memalukan! Dalam tidak suka kepada Panglima, dia tetap melayan. Maknanya dia pun sama miang. Entah-entah miang si Panglima dah terjangkit kepadanya. Macam-macam yang difikirkan Adinda saat cuba melenakan dirinya. Sehinggalah dia tersedar Panglima mengejutkan dia semula.
Pagi itu Adinda cuba berlagak tenang di hadapan lelaki itu. Lelaki itu pun nampak biasa sahaja. Selesai mandi Panglima mencari baju di dalam gobok. Kemudian setelah usai menyarung baju melayu dan mengambil songkok, Panglima mula memandang Adinda.
“Aku nak ke masjid ni. Kau solat subuh kat rumah ya?”
Adinda sekadar mengangguk. Baru jam lima suku pagi, Panglima sudah keluar dari rumah. Setelah kelibat lelaki itu menghilang, Adinda duduk semula di katil yang sudah senget itu.
Apa aku nak buat ni??? Bisik hatinya bengang. Ikutkan hatinya mahu sahaja dia balik ke rumah ayahnya. Tetapi apa alasan dia nak bagi? Mahu dia kena pelangkung dengan ayahnya itu nanti.
Hampir jam tujuh pagi kedengaran Panglima pulang dari masjid. Bunyi motor yang membingitkan itu sudah diketahui Adinda yang itu suaminya biarpun Panglima masih sekilometer jauhnya dari rumah. Sebabnya.. hanya Panglima seorang ada motor yang berbunyi begitu!
Adinda sempat menjenguk melalui tingkap saat motor suaminya selamat tiba di tepi rumah itu. lelaki itu memulas minyak sekali dua membuatkan enjin motor itu mengaum menyakitkan telinga. Macam mahu terbakar hati Adinda melihat gelagat lelaki itu.
“Kau boleh senyapkan motor cabuk kau tu tak? Sakit telinga aku!” jerit Adinda kuat.
“Apa??” balas Panglima dari bawah.
“Sabar ajalah aku dengan dia ni. Aku bakar jugak motor buruk dia tu,” desis Adinda seorang diri.
“Matikanlah motor kau tu!!! Sengal!” jerit Adinda lebih kuat lagi.
“Ha.. dah matikan.” Panglima terus turun dari motornya itu.
“Kau takde beli sarapan ke?” tanya Adinda dari atas itu.
“Takde. Kau buatlah sarapan. Kau kan isteri aku? Lagipun aku tak bawa duit tadi,” jawab Panglima bersungguh.
Huh! Isteri konon! Adinda menjeling sambil berlalu dari situ. Ketika Adinda berada di dapur, Panglima mula menjengah isterinya itu.
"Kau nak sarapan pagi apa?" tanya Adinda kepada suaminya.
"Kek pisang ada?" balas Panglima dengan muka lugu kepada si isteri.
"Dah nak kek pulak. Kau ingat ni bakery ke? Selain itu!"
"Emm.. pengat pisanglah."
"Apa kau merepek ni? Ada ke orang makan pengat pagi-pagi?"
"Ada. Aku?"
"Betul-betullah, Panglima. Malas aku nak layan kau ni!" getus Adinda kebosanan.
Panglima diam memikir seketika. Sarapan pagi apa ya? Selalunya dia makan dua biji pisang aja waktu pagi. Badan bertenaga. Berak pun tak susah.
"Kau buatkan aku kuihlah. Lepat."
"Hmm.. lepat apa?"
"Pisanglah."
"Selain pisang!! Untuk setahun jangan sebut pisang dalam rumah ni, boleh tak? Lepat ubi ke.. labu ke.."
"Aku mana ada tanam labu. Pisanglah. Free.. segar dari kebun. Takde bahan pengawet. Baja hanya yang berkualiti. Pisang ni banyak khasiat kalau kau nak tahu."
Adinda mengurut dada. Suamiku tauke pisanglah katakan!!! Semua benda yang dia nak makan mesti berasaskan pisang!
“Boleh ya? Nanti aku pergi ambil pisang kat kebun. Tengahari nanti kau buat masak lemak pisang muda letak ikan masin.”
Pisang lagi.. keluh hati Adinda muak.
“Mana sempat nak buih kuih ni semua, Panglima. Aku dah laparlah! Pergi ajalah beli sarapan kat luar,” ucap Adinda kepada lelaki itu.
“Emm.. bolehlah. Kau nak aku beli apa? Apam pisang nak? Lepas tu aku beli cekodok pisang ya?”
Pisang lagi!! Takde benda lain ke dalam otak Panglima Pisang ni?? jerit hati si perempuan bosan. Namun dek kerana dia tidak perlu memasak pagi itu, lantaklah kuih apa pun Panglima nak beli. Janji boleh ditelan aja sudah.
Kenyang perut dengan kuih muih yang dibeli Panglima, lelaki itu mula menyarung uniform kerjanya.
“Aku nak pergi tengok lembu ayah. Lepas tu aku nak pergi kebun. Pisang banyak yang dah kena ambil tu. Kejap lagi aku balik ya?” ujar lelaki itu lembut.
“Katil patah tu macam mana?” tanya Adinda sebelum suaminya itu berlalu.
“Nantilah..” jawab Panglima selamba.
Adinda hanya memandang. Dia tahu suaminya mahu ke kebun. Huh! Orang lain baru kahwin sedap pergi honeymoon. Aku? Laki aku sibukkan kebun pisang dia! Dari atas rumah Adinda melihat suaminya kepayahan mahu menghidupkan motor itu. beberapa kali dicuba namun motor itu tetap begitu. Akhirnya Panglima nekad menggunakan cara alternatif. Apa lagi caranya kalau bukan menolak motor itu laju-laju sebelum menekan gear.
Namun apa yang disaksikan Adinda kali itu benar-benar membuatkan dia menggeleng kepala dengan lelaki seorang itu. Panglima menolak laju motornya di halaman rumah sebelum meloncat naik ke atas motor itu. Namun saat dia cuba melompat naik kakinya tersepak kusyen motor. Sudahnya kusyen itu terjatuh lalu tertinggal ke belakang. Panglima terduduk di atas motornya tanpa kusyen. Mengelejat lelaki itu menahan sakit. Tergopoh gapah dia pergi mengutip semula tempat duduk motornya yang terdampar di tengah halaman rumah. Takut dilihat orang.
“Kalau tak sengal, memang bukan laki akulah tu!” desis perempuan itu seorang.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan