Sabtu, 28 Mac 2015

Bab 1 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG



Bingit telinga Adinda mendengar leteran ayahnya. Muncungnya tak usah katalah. Panjang macam pisang tunduk! Benci mendengar setiap patah bebelan lelaki tua itu.
"Ayah tu kolot. Suka paksa Dinda buat perkara yang Dinda tak suka!"
"Ah! Kau tu bukannya boleh diharap. Kalau kau pergi KL tu nanti, kerja apa yang kau boleh buat?" Balas Tok Kenanga meninggi.
"Apa-apalah! Kat KL tu banyak kerja kosong. Kerja ajalah." Adinda Kesuma menjawab patah.
"Tak payah!! Duduk aja kat kampung ni. Kau kat sini ni pun, kalau bukan sebab ayah ni tok ketua yang bakal jadi YB, dah lama kau jadi bohsia. Kalau kat KL nanti macam mana? Siapa nak jaga kau? Tak pasal-pasal ayah dapat malu lagi nanti," Balas Tok Kenanga terus meninggi suaranya.
"Dinda pandailah jaga diri. Ayah ni membosankan!" Marah Adinda. Bengkak berdenyut-denyut hatinya. Sudahlah tak dapat mencapai cita-cita nak ke bandar. Kena kahwin paksa pulak. Ingat ni zaman P Ramlee agaknya.
"Ah! Ayah tak percayakan kau. Kau tu asal nampak lelaki aja mula nak menyengih. Ayah tak suka!"
Muncung Adinda makin mengetat. Dalam kebisuan itu dia dok fikir macam mana nak pujuk ayahnya supaya membenarkan dia pergi KL.
"Ayah, Bolehlah.."
"Tak boleh! Kau ni apa nak jadi? Dulu elok-elok kau masuk kolej, kau pergi masuk kelab malam. Sampai kena buang kolej. Peluang dah ada. Kau yang sia-siakan. Ayah malu dengan perangai kau ni, Dinda. Ayah ni bakal YB!"
Tak habis-habis dengan angan-angan nak jadi YB dia tu. Semenjak 10 tahun yang lepas asyik bakal YB aja. Bila nak dapat jadi YB entahlah.. Kutuk Adinda sendiri dalam hati.
Tok Kenanga menggeleng. "Dah! Ayah dah putuskan. Tak payah kau mimpi nak ke KL sana."
"Kali ni Dinda janji Dinda tak buat macam tu dah, ayah."
"Ayah tak percaya. Kau tu bila dah nampak bangunan tinggi aja, mulalah kau lupa diri. Seronok sangat ke tengok bangunan tinggi macam kat KL tu?"
"Yalah.. Moden. Kat kampung ni apa yang ada?"
"Tak payah nak melawan cakap ayah. Kau duduk aja kampung ni."
"Okay.. Tapi Dinda tak mahu kahwin."
"Habis tu kau nak duduk rumah menghabiskan beras? Dah alang-alang ada orang masuk meminang tu.. Ayah terima aja. Perempuan yang mengelejat aja macam kau ni memang eloknya berlaki cepat!"
"Bencilah dia tu, ayah. Nak kahwin macam mana kalau hati tak suka? Dia tu bukan taste Dinda!"
"Apa yang kau nak bencinya? Budak Taufiq tu baik. Agamanya cukup. Rupapun bolehlah. Kerja pun mantap! Apa lagi yang kau nak?" Balas Tok Kenanga selamba.
Taufiq konon! Ejek Adinda meluat.
"Kau jangan nak banyak songel, Dinda. Hari tu ayah benarkan kau ke KL tapi kau yang buat hal sampai ayah kena bawa kau balik kampung. Kau sendiri yang menempah nasib macam ni."
"Dinda nak belajar lagi, ayah. Tolonglah.." Rayu Adinda kepada lelaki itu.
"Tak payah nak buang masa. Kahwin, jadi bini orang, jadi mak orang lagi ada faedahnya daripada kau jadi tak tentu hala di KL sana. Baru dua bulan duduk KL, kau dah lupa diri," bebel Tok Kenanga sambil menggeleng. Geram dengan anaknya seorang ini. Degil!
"Ayah.."
"Dah.. Jangan banyak cakap. Kau cuba lari dari rumah, siap kau!" Ugut Tok Kenanga sambil bangun membetulkan kemeja batiknya. Namun sebelum berlalu anak daranya itu dipandang semula.
"Tu.. Tunang kau bagi. Ganti cincin tunang. Cincin tunang dia tak sempat nak beli," ujar  lelaki tua itu sambil memuncungkan mulutnya kepada objek di atas meja itu.
Adinda ternganga. Ini ke yang diterimanya dari tunangnya? Spontan objek itu diambil lalu dilempar ke arah dapur.
"Apa kena ni, Dinda?? Kenapa dibuang benda alah ni? Kan membazir nanti," Tegur Mak cik Senangin dari arah dapur. Terkejut mendengar bunyi hentaman. Kepalanya hanya mampu digelengkan dengan perangai anak daranya
Adinda hanya mampu membisu dengan dada turun nai.k menahan geram. Orang lain terima cincin emas sebagai tanda dia tunangan orang. Dia terima sesikat pisang emas. Dah selamat berkecai pun pisang emas itu.
"Kan si Taufiq yang bagi ni? Kenapa dihumban?
"Si Panglima tu memang dah buang tebiat meminang Dinda. Benci!!" Ujar  Adinda kepada ibunya.
"Apa pulak buang tebiatnya? Dia meminang anak dara. Bukan bini orang." Mak Cik Senangin menjawab selamba.
Panglima!!! Aku memang benci dengan kau!!!! Jerit hati Adinda penuh geram.


"Assalamualaikum.."
Tiada jawapan setelah dia menunggu. Dua tiga kali Adinda terus memberi salam. Namun tiada jawapan.
"Panglima!! Oh, panglima!!" Adinda memekik di hadapan pintu rumah itu.
"Apa yang kamu terjerit-jerit ni, Dinda? Cari si Panglima ke?" Tegur jiran sebelah rumah dari tingkapnya.
"Ialah.. Mana dia, mak cik?"
"Dia di kebun pisang dialah. Siang malam dia di situ. Tidur pun kat sana selalunya Jarang dia balik ke rumah ni. Hari Jumaat aja dia balik," ujar  Mak cik Senah.
Adinda termanggu seketika. Nak ke kebun itu? A
Alahai.. Malasnya!
"Mak cik dengar kamu sikit lagi nak kahwin dengan Panglima ya?"
"Entah. Tak jadi kut." Adinda menjawab selamba.
"Aik? Kenapa pulak tak jadi? Kesian si Panglima tu. Masuk yang dengan kamu ni dah dua kali kena tinggal dek orang perempuan." Mak cik Senah berkata dari ambang tingkap rumahnya.
Adinda mencebik. Tak kesian langsung! Desis hatinya sendiri.
"Kalau jadilah si Panglima tu berbini, takdelah sunyi rumah tu. Ada juga penyeri. Mak cik ingat jadilah kamu nikah dengan dia. Rupanya tak jadi ya? Takde rezeki Panglima nak bermentuakan Tok Kenanga lah tu." Mak cik Senah menceceh lagi.
"Takpelah, mak cik. Dinda nak pergi cari Panglima ni. Balik dulu ya?"
"Ialah.."
Dengan skuter Yamaha milik ayahnya Adinda mengarahkan perjalanan seterusnya ke kebun Panglima. Tak sabar rasanya nak bertemu dengan lelaki itu.
Setiba di satu kawasan yang dipenuhi dengan rumpun pisang, Adinda memberhentikan motorsikalnya di kawasan masuk kebun itu. Terdapat sebuah motor Honda Cup 70 terpakir di hadapan pondok kecil di dalam kebun itu.
Adinda meninggalkan motornya di pintu masuk itu. Langkah diatur dengan hati-hati sepanjang pencarian dia kepada si Panglima. Semakin jauh dia menapak semakin dekat dia dengan bunyi sesuatu. Seperti ada aktiviti menebas di hadapannya. Tidak lama kemudian Adinda sudah ternampak lelaki yang dicari sedang sibuk membersihkan kebunnya. Namun lelaki berusia 30 tahun itu menoleh terlebih dahulu sebelum Adinda merapatinya.
"Kat sini kau rupanya.."
Panglima diam. Kerjanya kembali diteruskan. Pelepah daun pisang yang sudah kering ditarik daripada lalu dipotong dengan parang tajamnya sebelum dibuang ke tepi.
"Oi! Aku bercakap dengan kau ni!"
"Aku dengar.." Panglima sekadar bersahaja.
"Habis tu jawab lah ya ke.. Ha'ah ke.. Ini buat pekak aja!" Ucap Adinda sedikit kasar.
"Ha`ah.." Sambut Panglima selamba lagi.
Adinda mula mengertap bibir. Terasa lelaki bertopi koboi itu sengaja mempersendakan kata-katanya tadi. Tidak tahu mengapa lelaki ini yang mahu dipadokkan dengannya. Dia pun bukannya kenal rapat dengan Panglima. Berkawan tak pernah. Bercinta? Lagilah ampun! Mereka jarang berbual. Paling pun.. Bila Panglima datang ke rumah mencari ayahnya, dia yang tukang jawab salam. Dia juga tukang jawab soalan Panglima bila lelaki itu mencari ayahnya. Tanpa sedar mata gadis itu merayap lama kepada si lelaki yang sedang sibuk dengan kerjanya. Sehingga Panglima menoleh.
"Kau nak renung aku sampai bila?"
Adinda tersentak. "Aku ada hal nak bincang dengan kau."
"Pasal apa?" Balas Panglima dengan soalan sambil menaikkan topi koboinya yang menghalang pandangan.
Adinda diam seketika. Matanya tiba-tiba merenung topi itu.
"Mana kau dapat topi macam tu?"
"Kenapa? Cantik ke?"
"Cantik lagi pokok pisang tu!" Cemuh Adinda sambil mencebik.
"Habis tu yang kau sibuk tanya topi kesayangan aku ni kenapa?"
"Sebab pelik! Buang topi koboi kau tu. Kita kat kebun pisang kau. Bukannya kat Texas!" Ejek Adinda siap dengan jelingan.
"Buang? Kau ingat topi aku ni free? Aku beli ni kat bundle tahu tak. Apa kau nak cari aku? Pisang takde yang masak. Semua aku dah jual!"
"Hai, mangkuk tingkat betul dia ni. Ingat aku harap sangat ke pisang kau tu?" Cemik Adinda meluat.
"Habis tu takkan kau nak ajak aku bercumbu-cumbu pulak kat tempat macam ni? Tak baik. Berdosa! Kita belum kahwin. Nanti dah kahwin baru boleh."
Meruap-ruap rasa geram Adinda melihat gelagat lelaki itu. Macam orang tidak berperasaan aja. Siapa nak bercumbu dengan dia entah!!
"Aku nak kau putuskan pertunangan kita. Aku tak nak kahwin dengan kau," ujar Adinda selamba.
"Apasal pulak tak nak kahwin dengan aku?" Tanya Panglima masih bersahaja.
"Sebab aku tak suka kau!" Bicara itu meluncur cukup mudah dari celahan bibir Adinda.
"Apasal pulak kau tak suka aku?"
"Ya Allah.. Apalah ke bingung kau ni, Panglima. Soalan tak boleh blah!!" Jerit Adinda mula hilang kekuatan untuk bersabar.
"Nanti bila dah kahwin kau sukalah dengan aku. Aku pun suka dekat kau." Panglima menjawab sambil berpaling semula untuk menyambung kerjanya.
"Sakitnya jiwa bercakap dengan kau ni!"
Panglima meneruskan kerja seolah-olah Adinda tiada di situ. Geram punya pasal Adinda menyepak pohon pisang tidak jauh darinya.
"Hoi! Kenapa kau sepak si Kuntum tu?"
Adinda terpana seketika. Kuntum? Siapa Kuntum?
"Mintak maaf pada Kuntum! Nanti Kuntum aku tu tak mahu berbuah, siapa yang susah??" marah Panglima.
Spontan Adinda memandang pokok pisang yang ditendangnya tadi. Itu kuntum ke??
"Apasal kau menganga??"
"Aku.. Aku.. Err.. Aku rasa kau ni dah biol, Panglima. Sama dengan kuntum kau!" Serta merta meledak tawa Adinda. Pokok pisang pun nak dibagi nama?
Panglima hanya mampu tercegat memandang Adinda mentertawakan dia. Kurang asam punya bakal orang rumah! Dah disepaknya pokok pisang aku. Dia gelakkan aku!
"Aku lagi rela kahwin dengan kuntum kau ni." Adinda menyambung gelak lagi. Gelihati benar. Pokok pisang ada nama?? Ini pertama kali dia dengar.
"Kau ingat kelakar ke ni?"
"Kalau tak kelakar takkan aku gelak!" Sambut Adinda.
"Dah! Kalau datang setakat nak menyakitkan hati aku, lebih baik kau balik. Malas aku nak layan kau," ujar  Panglima geram.
"Aku serius ni. Aku nak kau putuskan pertunangan kita!"
"Boleh. Tapi dengan syarat. Aku nak kau mintak maaf pada kuntum aku ni seratus ribu kali. Mula dari sekarang!" Ucap Panglima lantas menyengih senang hati. Puas hatinya dapat mengenakan Adinda semula. Melihat wajah Adinda berubah, dia tergelak sendiri.
"Aku benci kau dengan kuntum kau ni. Boleh jalan!!" Jerit Adinda sebelum meninggalkan tempat itu.
Panglima tergelak seorang diri sebelum membelek kuntumnya.

"Sabar ya, kuntum? Orang perempuan ni memang susah nak kawal emosi. Dah nak monopouselah tu!" Ucapnya pada pokok pisang itu. 

1 ulasan:

  1. Casino Tycoon 3D Poker - MapYRO
    Find out more about Casino 제천 출장마사지 Tycoon 3D Poker 정읍 출장마사지 - Complete 청주 출장샵 Texas Holdem poker game in MapYRO. 아산 출장마사지 Complete 남양주 출장마사지 the casino game and complete the game, winning in

    BalasPadam