Sabtu, 28 Mac 2015

BAB 10-11 ALAMAK! SUAMIKU TAUKE PISANG

BAB 10

“Dia merajuk lagi ke ek?” resah hati Adinda. Takut juga dia kalau suaminya benar-benar merajuk.
“Takkan dia nak duduk kat pondok dia tu pulak, kan? Tak mungkin lelaki gatal macam tu sanggup duduk kat pondok tu sorang-sorang. Dia mesti balik punya. Lagipun si Jalak kesayangan dia tu dia tak bawak pun.” Adinda membebel seorang diri lagi. Dalam tak kisah pun Adinda ralik memikirkan si Panglima.
“Ish! Tapi kalau dia tak balik jugak macam mana? Takkan aku nak kena pergi jemput dia balik? Malulah..”
Adinda menghela nafas kuat. Tertekan sudah dia. Namun dalam diam dia terus memikirkan suaminya itu. lelaki itu memang nampak macam lurus bendul, gatal pun ia juga, suka menyakat. Tetapi satu perkara yang dia tidak boleh nafikan tentang Panglima ialah.. lelaki itu setiap kali pulang ke rumah suka membawakan dia sesuatu. Selalunya roti yang berharga 70 sen itu. Sebagai buah tangan kononnya. Dia tak pernah meminta pun.
Sudahnya Adinda pergi ke rumah sebelah. Kepada si Karim dia meminta tolong lagi.
“Kau cakap dengan Panglima, kedai tutup pukul 7..” ujar Adinda.
“Itu aja?” tanya Karim kehairanan. Tadi suruh beritahu dia memasak gulai pisang muda. “Macamlah Panglima tak tahu kebanyakan kedai runcit di kampung mereka ini tutup jam berapa.” Karim berkata dengan pandangan hujung mata kepada Adinda.
“Aku tahulah apa aku buat. Kau pergi ajalah! Cepat! Tolong aku!” gesa Adinda tidak peduli akan kehairanan lelaki itu.
“Yalah..” Karim akhirnya akur.
Sesudah itu Adinda pulang ke rumah. Di hadapan pintu dia menunggu. Si Karim pun lepas itu terus tidak pulang. Entah ke mana perginya. Tak penting pun untuk dia ambil tahu. Yang penting sekarang ialah Panglima!
Sudahnya Adinda tercongok di depan pintu. Sesekali dia memandang jam di ruang tamu. Bayang Panglima masih juga tidak muncul.
"Manalah laki aku tak balik-balik!" Adinda membebel sendiri. Resah hatinya sudah tidak terucap. Tapi batang hidung suaminya itu entah di mana sekarang sedangkan waktu sudah menunjukkan pukul enam petang.
Adinda terus menunggu di ambang pintu itu. Sambil itu dia memerhatikan gelagat manusia bersimpang siur di jalan di hadapan rumah itu. Petang-petang begini masing-masing keluar berjalan-jalan. Ada yang bersembang sesama jiran.
Namun tidak lama kemudian Adinda ternampak kelibat seseorang. Terkedek-kedek dengan kenderaannya pulang ke rumah. Hampir menganga wanita itu.
"Astaghafirullah.. laki siapa tu? laki aku ke tu? kenapa sampai macam tu sekali? Ya Allah.." Adinda meraup wajah yang mula terasa hangat. Semakin dekat Panglima dengan rumah mereka semakin dia tidak sanggup memandang.
Panglima turun dari kenderaannya sambil memandang Adinda.
"Tunggu aku ke?" sapa Panglima.
"Apasal kau naik benda tu? Siapa punya tu?" tanya Adinda cukup pantas.
"Motor rosak. Ada kat kebun. Ini ayah kau punya. Aku pinjam sampai motor tu elok nanti," jawab Panglima sambil memandang kenderaan barunya.
Adinda hanya mampu memandang kenderaan itu dengan perasaan bercampur baur. Baru nak ajak pergi meround sekampung dah motor rosak pulak. Kalau naik benda itu. Tak ingin dia!
"Itulah! Aku suruh kau hantar pergi bengkel motor tu kau degil!" ucap Adinda geram.
"Mana aku ada duit. Takpelah. Naik ini pun boleh jugak. Sampai jugak rumah," jawab Panglima agak perlahan.
"Memanglah! Motor cabuk kau tu dengan benda tu sama aja lajunya. Takde beza!" kutuk Adinda semakin geram dengan jawapan suaminya.
"Nak pergi kedai ke? Jomlah.."
"Tak ingin!!" dengan pantas Adinda bangun lalu masuk ke dalam rumah. Panglima hanya mampu terkebil-kebil memandang. Kemudian dia memandang kenderaan barunya itu.
"Dia malu ke nak naik kau?" tanya Panglima kepada kenderaan barunya itu. Kenderaan itu yang juga seekor lembu sekadar terkebil-kebil kepada Panglima. Dalam hati si lembu berkata.. 'Yang tak malu naik badan aku ni cuma kau aja, Panglima. Sebab kau muka tak malu!'
“Dinda..” panggil Panglima lagi. Adinda muncul semula tidak lama kemudian. Di tangannya ada secawan kopi. Tanpa kata air itu diberikan kepada suaminya.
“Inilah dia isteri mithali. Isteri akulah tu..” ujar Panglima lantas menyengih. Sambil menghirup air itu matanya masih tidak lepas dari wajah isterinya.
“Aku nak pergi jalan-jalan, Panglima. Bosanlah memerap kat rumah,” rungut Adinda.
“Jomlah..” ajak Panglima selamba.
“Taknaklah naik benda alah tu. Kau ingat ni India ke? Malulah!”
Panglima memandang lembut itu seketika. Sudah elok duduk bersimpuh.
“Kita jalan kakilah.” Panglima berkata sambil cawan yang sudah kosong itu diberikan semula kepada isterinya. Kalau dah naik lembu tak mahu, jalan kaki ajalah jalan yang terakhir mereka ada. Bukannya dia ada kereta nak bawak Adinda.
Mahu tidak mahu Adinda menurut saja. Sudah jam enam lebih. Sekejap lagi suaminya perlu ke masjid. Jadi mereka berjalan dekat-dekat sahaja.
“Itulah.. cakap aku kau tak nak dengar. Mintaklah dengan ayah tu motor baru. Ayah tu banyak duit!” bebel Adinda sambil menapak turun ke bawah.
“Tak sukalah mintak-mintak dengan orang ni. Susah dulu takpelah. Nanti aku dah cukup duit aku belilah motor lain. Sementara ni pakai aja motor yang ada tu.”
“Aku nak naik motor tu pun aku malu, Panglima. Bising! Kau takpelah. Lembu tu pun kau boleh tunggang. Asal boleh aja. Kau memang tak kisah orang kutuk kau apa pun.” Adinda memuncungkan mulutnya kepada lembu itu sambil meleter.
“Yalah.. daripada kita jalan kaki baik kita naik lembu.”
“Heee.. entah apa-apa naik lembu. Busuk!”
"Janganlah kutuk dia. Nanti dia marah," tegur Panglima tidak senang.
Huh! Tak kuasa aku nak naik kau, lembu! Adinda menjeling lembu yang sedang tertambat di tiang itu. Bukan main sedap lagi lembu itu bersimpuh.
"Boleh tak kau letak lembu ni jauh sikit. Depan tangga ni jugak nak ikat lembu dia!" Ucap Adinda kepada suaminya.
"Biarlah. Dia tak kacau orang." Panglima sekadar sambil lewa.
"Nanti dia berak! Hiii.. Geram betullah dia ni," bebel Adinda sambil mencari seliparnya. Tiada! Mana pulak perginya?? Adinda mula terpusing-pusing mencari.
"Kau cari apa?"
"Selipar aku."
Panglima ikut mencari. Memang tiada selipar milik Adinda.
"Entah-entah dia dah makan selipar aku, tak??" Tuduh Adinda kepada lembu itu. Kebetulan pula lembu itu sedang mengunyah.
"Hish! Takkanlah dia makan selipar pulak." Panglima cuba mencari di bawah rumah. Adinda pula mengelilingi lembu yang sedang bersimpuh senang hati itu. Dia terlihat macam ada sesuatu di bawah perut lembu jantan itu.
"Kau duduk atas selipar aku!!" Marah Adinda kepada lembu itu.
"Ada ke?"
"Kat bawah ni."
Panglima menarik tali tambatan lembu itu. Spontan lembu jantan itu bangun. Adinda tunduk mengambil seliparnya. Namun dia terasa punggungnya ditepuk seseorang. Spontan Adinda menoleh. Suaminya tiada di belakangnya. Jadi siapa yang menepuk punggungnya tadi? Sedang dia mencari kelibat Panglima sekali lagi ada tepukan lembut terasa di punggungnya. Serta merta Adinda memandang lembu itu.
"Kau buat apa ha? Laki aku pandai silat tau!" 
Dengan muka bersahaja lembu itu melibas ekornya ke punggung Adinda. 
"Panglima!! Lembu kau ni raba aku!!!"
“Ha? Apa dia? Mana? Dia raba kau kat mana?” cepat-cepat Panglima mendekati isterinya.
“Ekor dia tampar kat sini!!” marah Adinda sambil menunjuk kawasan yang terkena. Nasib baik kau tu lembu. Kalau kau tu Kuntum memang aku dah sepak kau.. kutuk Adinda dalam diam.
“Teruk ke dia raba? Macam elok je ni? Oh.. macam ni rasanya punggung perempuan ya? Patutlah lembu pun nak meraba,” ujar Panglima. Kawasan itu dibelek lama dengan tangannya. Teliti sungguh dia membelek. Adinda yang masih bengangkan lembu itu teralpha seketika. Tidak sedar ada makhluk lain ikut meraba tempat yang sama.
“Panglima!!” Adinda menjerit sambil menepis tangan suaminya. Terkejut Panglima tatkala tangannya ditampar tiba-tiba oleh Adinda.
“Apa?” lelaki itu tercengang memandang isterinya.
“Kau pun nak ambil kesempatan pada aku ya?” ujar Adinda.
“Dah kau kata kau kena raba. Takkan aku nak biarkan? Aku periksalah.. kut ada yang dah cacat ke?” ujar Panglima dengan muka blur.
“Kau marahlah lembu kau tu. Sibuk raba aku jugak!”
“Esok aku marahlah dia. Yang penting kau tu tak apa-apa.” masih lagi dengan nada polos Panglima menjawab.
“Menyampah!! Kau dengan Jalak kau dengan lembu kau.. sama perangai. Gatal!” getus Adinda lantas meninggalkan Panglima di situ. Laju kakinya menghala ke halaman rumah.
“Terima kasih, lembu. Esok aku belanja kau makan rumput baik punya!” ucap Panglima lantas memegang tanduk lembu itu. Seketika kemudian dia berlari anak mengejar isterinya yang sudah menjauh.

                                                    Bab 11

Pagi itu sesudah subuh Panglima membantu siak mengemas masjid seketika sebelum berjalan kaki pulang ke rumah. Setiba di rumah kedengaran Adinda sedang sibuk di dapur. Panglima masuk ke dalam kamarnya seketika. Terpaku matanya melihat kamar itu. Harum. Ada taburan bunga melur di atas tilam bercadar kuning itu.
Baju melayu yang tersarung di tubuhnya di tanggalkan. Kemudian dia keluar untuk melihat ayam-ayamnya. Ayam-ayam itu diberi makan sambil reban itu dibersihkan sedikit. Setelah itu dia sekadar memandang gelagat ayam-ayam kesayangannya. Dalam fikirannya mula merangka mahu membela itik pula untuk menambah pendapatan.
Sesudah menyiapkan lempeng pisang buat suaminya Adinda menjenguk lelaki itu di belakang. Panglima dilihatnya sedang duduk bercangkung menghadap ayam-ayamnya sedang makan.
“Panglima, sarapan dah siap,” laung Adinda kepada lelaki itu.
Panglima menoleh seketika. Kemudian dia bangun. Adinda sudah pun masuk semula ke rumah.
“Dinda, jom sarapan sekali,” ajak Panglima sambil mencuci tangannya di sinki. Isterinya sudah kembali semula ke dapur itu bersama bakul baju.
“Sekejap.. aku nak basuh baju. Air kopi aku dah letak kat depan. Pergilah..”
“Marilah makanlah dulu. Nanti dah makan barulah buat kerja,” bicara Panglima kian melembut.
Adinda tidak menjawab. Baju suaminya sehelai demi sehelai dimasukkan ke dalam mesin basuh. Saat itu Panglima mula mendekati isterinya.
“Aku tak selera makan seorang.”
Adinda mula menoleh kepada suaminya. Akhirnya kain baju itu dibiarkan sahaja di situ sementara menunggu air memenuhi ruangan dalam mesin itu. Langkah Panglima diturutinya sehingga ke anjung rumah itu.
“Hmm.. sedap kau buat lempeng pisang,” puji Panglima setelah sedikit lempeng itu disuap ke mulutnya. Hanya Adinda sahaja yang agak perlahan menyuap. Dia bukannya suka benar dengan pisang. Disebabkan suaminya suka.. dia terpaksa telan juga lempeng itu.
Seketika kemudian Adinda bangun untuk melihat kain basuhannya. Air sudah memenuhi ruangan dalam mesin itu. Namun mesin itu tidak berfungsi. Puas dicubanya berkali-kali. Namun gagal.
“Hee.. dia dah buat dah!” getus Adinda mula sakit hati.
“Panglima, mesin ni..” adu Adinda kepada lelaki itu.
“Kenapa?” balas Panglima sekadar sambil lewa.
“Marilah betulkan sekejap! Dia buat hal lagi.”
Mahu tidak mahu Panglima bangun juga untuk mendapatkan isterinya. Mesin basuh itu cuba dibetulkan namun tetap gagal. Panglima mula menggaru kepalanya. “Dah rosak kut..”
“Itulah aku cakap. Belilah mesin baru. Bosanlah macam ni!” bebel Adinda geram.
“Nantilah..”
“Kau tulah.. asyik nantilah!” bentak Adinda lantas mengaut kain baju di atas lantai. Sudahnya semua kain baju itu disumbat ke dalam mesin di dalam kamar mandi. Panglima terus mencuba membaiki mesin basuh itu. Sudahnya dia mengalah juga. Mesin basuh itu tetap tidak berfungsi.
Adinda dengan mulut termuncung mengambil bangku kecil untuk dijadikan alas duduk. Bukan main banyak sabun dicurahnya ke dalam besen itu. Sengaja! Biar padan dengan muka Panglima kena beli sabun lagi.
Tergaru-garu Panglima melihat isterinya mula mencuka kepadanya. Kasihan pula dia melihat Adinda terpaksa membasuh pakaiannya dengan tangan.
“Kau tak nak pergi kebun ke?” tanya Adinda tiba-tiba.
“Pergi..”
“Habis tu? Pergilah makan sana cepat. Lepas tu mandi!”
Panglima akhirnya ke hadapan semula. Sambil menyambung suapan kepalanya mencongak-congak berapa wang yang perlu digunakan untuk membeli mesin basuh dan membaiki motornya itu. Namun memikirkan pemborong akan datang memborong pisangnya hari ini lega sedikit perasaannya. Lagipun ayah mentuanya masih belum membayar upahnya menjaga kandang lembu untuk minggu lalu.
Sesudah kenyang dengan beberapa keping lempeng pisang, Panglima bangun mengambil tuala mandi. Ketika dia kembali semula ke kamar mandi itu, Adinda sedang rancak memberus kain. Terpaku Panglima melihat Adinda. Aik? Basuh baju kena seksi macam tu ke?
“Aku nak mandi ni..” ucap Panglima.
“Mandi ajalah..” ujar Adinda selamba.
Melihat Adinda tidak mahu keluar, Panglima masuk juga ke dalam kamar itu. Tuala disangkut di tepi dinding. Namun matanya terus memandang Adinda.
“Aku tumpang mandi ya?” ujar Panglima.
“Yalah..” jawab Adinda tanpa memandang. Krak.. kruk.. krak.. kruk.. laju tangannya menyental baju suaminya dengan berus plastik.
Panglima terkulat-kulat lagi di hadapan kolah itu memerhatikan Adinda. Mandinya tak juga.
“Nanti aku belikan kau mesin basuh baru ya?”
“Bila?” tanya Adinda sambil menoleh kepada suaminya sekilas.
“Nantilah.. bila ayah dah bagi duit upah aku, aku pergilah beli.”
Adinda tidak menjawab. Kerjanya semakin dilajukan. Semangat pula bila mendengar dia bakal mendapat mesin basuh baru.
Panglima terus memerhatikan isterinya. Ikutkan hati macam malas sahaja mahu ke kebun. Mahu meneman Adinda di dalam kamar mandi ini.
“Cepatlah mandi. Kata nak pergi kebun,” tegur Adinda. Dah dekat lima minit Panglima berada di belakangnya. Belum jugak mandi.
“Nak mandilah ni..” jawab Panglima lantas mencapai gayung. Sambil menggayung air di dalam kolah matanya terus memandang ke arah Adinda.
“Kau menung apa lagi tu? Cepatlah mandi! Dah pukul berapa ni?” Adinda terus menoleh semula kepada lelaki itu. cepat-cepat Panglima memandang ke hadapan.
“Nak mandilah ni. Baca niat dulu..” jawab lelaki itu agak kalut.
“Niat apa pulak ni?” balas Adinda semakin hairan.
Erk! Ya tak ya? Niat apa ya? “Niat mandi nak pergi kebunlah. Sahaja aku mandi sebab aku nak pergi kebun..” jawab Panglima macam bersungguh sahaja. Adinda masih merenung dia agak tajam.
Adinda menggeleng. “Sengal tak habis-habis!”
“Janganlah tengok aku mandi. Malulah..” terkulat-kulat Panglima di tempatnya.
“Tak ingin tengok kau mandi!” jawab Adinda lantas menyambung semula kerjanya.
Kesempatan itu kembali disauk Panglima. Bukan main lagi biji matanya merenung Adinda berkemban. Macam seksi aja rupanya Adinda. Tanpa memandang di mana tempat sabun tangannya teraba-raba. Kemudian sabun itu dilumurkan ke badannya. Sesudah itu botol shampu pula dicapai. Cecair di dalam botol itu dituang terus atas kepalanya. Rambutnya digonyoh sehingga buih melata di atas kepala. Sebahagiannya jatuh di mata. Kelam kabut Panglima mencari gayung. Tetapi tidak jumpa.
“Aduh.. pedihnya. Mana gayung?? Dinda.. mana gayung? Alamak.. buta nanti mata aku ni, Dinda. Mata aku ni ada buat salah ke??” Panglima sudah kelam kabut mencari gayung.
Adinda mula menoleh kepada lelaki itu. kepalanya digelengkan sambil dia bangun menuju ke arah Panglima. Gayung yang sudah hanyut ke hujung kolah itu diambil.
“Duduklah. Aku siramkan..” arah Adinda.
Panglima mencangkung. Sekejapan itu terasa air dicurah ke atas kepalanya. Dua tiga kali Adinda mencurah air, pandangan mata Panglima mula clear semula. Di hadapan matanya kini ada batang tubuh isterinya.
“Dah hilang pedih?” tanya Adinda sambil dengan selambanya membetulkan kain kembannya di hadapan Panglima.
Panglima ternganga memandang gelagat Adinda.
“Dah ke?” tanya Adinda sekali lagi.
“Belum..” jawab Panglima sambil menelan air mandi yang masuk ke mulutnya. Pahit! Rasa sabun.
Adinda mengambil secebok air lagi lalu dicurah ke atas kepala suaminya. Namun sedang dia mencedok air lagi Panglima tiba-tiba memaut pinggannya. Sudahnya dia terjatuh di atas Panglima dan Panglima jatuh terduduk di atas lantai simen. Air yang dicedoknya tadi tersiram ke tubuh mereka berdua.
“Panglima, apa kau buat ni ha?!!! Janganlah!!!” jerit Adinda menggelupur mahu bangun.
“Kau ni beratlah, Dinda..”
“Aku selam jugak kau dalam kolah ni karang. Lepaslah!!” marah Adinda. Nak bangun namun dia tidak berdaya. Panglima sedang memeluk dia.
“Alah.. gurau sikit aja.” Panglima ketawa nakal.
“Janganlah. Kau ni dah buang tebiat ke?” berhempas pulas Adinda cuba melepaskan dirinya. Tangannya melantun-lantun memukul dada lelaki itu. Takut peristiwa malam pertama tidak jadi itu berulang lagi.
“Janganlah pukul aku!”
“Kau tu.. lepaslah, Panglima. Tercabut kain aku ni nanti.”
Panglima tergelak seronok mendengar itu. Makin kuat pinggang Adinda dipeluknya. Rontaan Adinda mula melonggar. Sia-sia aja dia meronta bagai. Tenaga lelaki itu tidak mampu untuk dilawannya.
“Lepaslah..” rayu Adinda sambil menekan dada Panglima agar lelaki itu jauh darinya.
“Yalah.. aku lepaslah ni. Peluk sikit pun tak boleh.” Panglima akhirnya melonggarkan pelukannya.
Susah payah Adinda bangun menuju ke arah besen kain tadi. Sesuatu diambilnya dari dalam besen itu lalu dilempar ke arah Panglima. “Ambik tu!” Seterusnya Adinda segera melarikan diri.
Panglima terkaku saat sesuatu tertempek di wajahnya. Objek itu jatuh melepek di atas ribanya. Bau sabun basuh cukup kuat di hidungnya. Saat dia mengambil semula apa yang dibaling Adinda, Panglima terkaku melihat segumpal kain yang kebasahan akibat direndam oleh air sabun.
“Seluar dalam aku ke ni?” ucap Panglima seorang diri.


1 ulasan: