Khamis, 26 Mac 2015

JODOHKU BERTAMU DI PINGGIR JALAN! BAHAGIAN 3


MH 19 Amsterdam-Kuala Lumpur.
Sekumpulan lelaki itu lekas mengambil tempat masing-masing. Ruangan kelas perniagaan itu hanya dipenuhi oleh kumpulan mereka yang baru selesai berurusan di Rome. Lelaki seorang itu duduk di kedudukan yang paling hampir dengan kelas ekonomi.
Kamarul memejamkan mata seketika. Tidak sabar mahu pulang ke tanah air. Sementara menunggu penumpang lain memenuhi penerbangan itu, mereka dihidangkan dengan air. Sehingga dia terlihat tirai yang membatasi bahagian dapur pesawat itu mula diikat. Dan seorang pramugara menutup pintu pesawat yang paling hadapan.
Pengumuman keberangkatan mula kedengaran. Seterusnya pesawat ditolak keluar dari parking bay sementara juruterbang melaporkan melalui system pembesar suara yang pesawat bakal bergerak ke landasan dan anak-anak kapal diminta duduk. Dan lampu di ruangan kabin mula dimalapkan sebagai persediaan untuk berlepas.
Kamarul memandang ke luar jendela. Kelibat cahaya pada terminal sudah mula mengecil menandakan mereka sedang berada di landasan. Seterusnya enjin pesawat mengaum dan kenderaan Boeng 777 200 itu mula bergerak laju untuk terbang.
Sejam kemudian, ruangan kabin itu kembali terang benderang. Makan malam dihidangkan. Kamarul hanya bersandar di kerusi sambil memejamkan mata. Namun dia disenggol teman sebelahnya.
Dinner..” ucap lelaki itu separuh berbisik. Dua orang anak kapal kelihatan sedang melayan penumpang di kerusi sebelah sana.
Di pertengahan jam penerbangan itu, Kamarul masih tidak mampu lena. Gerak pesawat itu sedikit tergoncang. Isyarat pasangkan tali keledar kembali dinyalakan. Dadanya berdebar seketika. Dia cuba mengintai ke luar. Namun gelap sahaja. Tiada apa yang dapat dilihatnya dalam ketinggian seperti ini. Cuma dirasakan pesawat gergasi itu turun naik seolah-olah cuba mengelak sesuatu. Kemudian diikuti pengumuman dari juruterbang bahawa mereka sedang melalui cuaca yang kurang menyenangkan.
Kamarul meraup wajahnya seketika. Letih mengharungi penerbangan selama berjam-jam begini. Hati juga tidak aman.
May I?” ucap perempuan amat perlahan.
Kamarul segera mengangkat pandangan. Di matanya tertera seseorang yang pernah dikenalinya. Lama matanya terpasak ke raut itu. Wanita itu sempat mengalihkan pandangan kepada seorang lagi lelaki yang memandangnya. Namun pandangannya hanya singgah seketika sahaja.
“Excuse me, sir..” ucap wanita itu lembut. Meminta izin untuk mengembalikan meja itu ke kedudukan yang asal. Gelas berwarna jernih di atas meja itu dialihkan sebelum meja itu dinaikkan.
“Thank you,” ucap lelaki itu kepada Irina.
“You’re welcome. Fasten your seat belt please.” Ucapan itu dialihkan kepada Kamarul pula.
Kamarul terus terpaku sehingga wanita itu meninggalkan kawasan tempat duduknya. Irinakah itu?? Ya! Irina. Tapi lelaki itu ragu. Masih ingatkah wanita itu kepadanya?
“What’s up?” lelaki di sebelah Kamarul itu menegur. Hairan melihat temannya memanjangkan leher ke arah dapur pesawat di hadapan sana. Bukannya nampak apa-apa. Dapur itu dibatasi oleh langsir.
“Nothing.” Kamarul menggeleng sedikit sebelum kembali bersandar ke kerusi. Hatinya meronta entah kenapa mahu ke situ. Wanita itu mahu dilihatnya lagi.
Dia dah kahwin ke agaknya? Bisik hati lelaki itu sendiri. Dia masih ingat, kali terakhir dia menghubungi Irina dahulu, wanita itu mengaku yang dia sudah berteman. Takkan masih belum kahwin?
Sejam kemudian isyarat pasangkan tali keledar kembali dipadamkan. Kesempatan itu segera direbut Kamarul. Konon buat-buat ke tandas. Padahal saat melalui ruangan dapur pesawat itu dia memandang tiga orang anak kapal yang sedang berbual sesama sendiri di situ. Tiada Irina di situ. Sudahnya dia terus mencari tandas berhampiran dengan kawasan kokpit. Di lorong kecil hadapan tandas itu dia terlihat seorang perempuan sedang berdiri sambil bercakap melalui telefon. Wanita itu agak terkejut melihat Kamarul ada di situ. Namun dia segera mengalihkan kedudukannya yang menghadang jalan.
Kamarul terus berdiri di situ memandang wanita yang sedang membelakanginya itu. Irina menoleh semula. Ganggang telefon itu dikembalikan ke tempatnya.
“Toilet kat sana, encik..” ucapnya lantas menunjukkan di mana kedudukan tandas.
“Saya nak jumpa awak,” ucap Kamarul kepada wanita itu. Pada tanda nama di seragam kebaya yang dikenakan Irina tertera nama Nur Irina. Bermakna memang benarlah ini Irina yang pernah ditemuinya dahulu.
“Saya rasa awak masih ingat saya,” ucap Kamarul tanpa dapat mengalihkan pandangan daripada raut itu. Entah kenapa hatinya pedih saat memandang raut itu.
“Saya tak tahu nak cakap apa..” balas wanita itu amat perlahan. Dadanya terasa mahu pecah saat dia terpandang lelaki itu tadi. Sebak entah kenapa. Tidak sangka Tuhan menemukan mereka di sini.
“Awak dah kahwin?” Tanya Kamarul amat perlahan.
“Awak?”
Kamarul terus membisu. Wajah itu dipandang tanpa jemu. Harap-harap masih ada ruang untuk dia mendekati wanita ini. Dahulu cintanya tidak kesampaian. Tentu ada sebab mengapa Tuhan menemukan mereka berdua semula.
“Saya tunggu awak yang kahwin dulu,” ujar Kamarul seketika kemudian.
Irina meraup wajahnya. Entah kenapa hatinya dipagut kesedihan mendengar itu.
“Saya belum kahwin..” ucap Irina tanpa memandang sang lelaki.
Kamarul mengangguk perlahan penuh kelegaan. Nampaknya masih ada peluang untuknya.
“Saya nak bermula semula dari awal. Saya tunggu awak di tempat kita pernah berjumpa dulu. Saya tahu awak ada tulis sesuatu di situ. Tapi awak padamkan. Kenapa?”
Irina tersandar pada dinding di belakangnya. Setitis air matanya gugur di tubir mata. Ya Allah.. hebatnya ujian-Mu.
“Saya takut saya bertepuk sebelah tangan.”
Kamarul meraup wajahnya sambil menggeleng sendiri. Sayangnya dia pernah kehilangan telefon suatu masa dahulu. Satu-satunya nombor yang dapat menghubungkan mereka sudah tiada dalam simpanannya. Sebelum dia bertolak ke London dahulu, dia pernah berdiri di hadapan batu itu. Memadam nombor telefonnya di batu itu dengan rasa pedih di hati. Harapan terakhir agar Irina menghubunginya sirna semuanya.

Namun takdir hari ini cukup indah. Setelah lima tahun berlalu, dia dan wanita ini bertemu lagi. Dan dia mahu memulakan semula semuanya!

8 ulasan: