Jumaat, 27 Mac 2015

SAMBUNGAN BHG AKHIR JODOHKU BERTAMU DIPINGGIR JALAN

Musim bulan madu sudah berlalu. Kehidupan harus diteruskan. Masing-masing punya tanggungjawab untuk dijalankan. Kamarul dengan kerjanya di litar lumba dan Irina harus meneruskan tugas sebagai seorang pramugari penerbangan.
Beberapa minggu selepas pemergian sang lelaki, rasa rindu kian hebat melanda. Monyok tak sudah-sudah isteri orang itu. Lumrah berjauhan dari suami. Perasaannya tidak mampu ditenangkan semudah itu. Nak-nak lagi mereka berdua baru sahaja berkahwin. Panggilan telefon tidak memadai. Apatah lagi teks sms. Dia mahu lelaki itu selalu ada di hadapan mata.
“Irin, kau memerap aja dalam bilik kenapa? Kau ada dalam rumah ni macam takde aja. Risau aku..” ujar Marla malam itu. Matanya memandang Irina meniarap di atas katil melayan menungan.
“Aku sunyilah, Mar..” keluh Irina seorang.
“Sunyi ke angau? Rindulah ni..” ejek Marla selamba.
Irina terus menjeling. Sebut pasal rindu, mulalah dia terasa mahu menangis. Memang dia rindu. Rindu teramat sangat kepada lelaki seorang itu. Bercakap dengan Kamarul, kadang kala bukannya dengar sangat suara suaminya. Bunyi motor yang lebih jelas kedengaran. Nasiblah, kan? Dah nama pun dapat suami kerja mekanik.
“Apasal kau tak ikut dia? Berhenti aja kerja. Tak payah nak tunggu lepas naik pelamin ke apa. Dah halal, kan? Takde siapa nak marah. Kau kerja pun bukannya duduk rumah selalu. Berhari-hari baru balik. Lebih baik kau pergi ikut dia.”
“Kau nak aku mati cepat? Aku masih dalam kontraklah! Mana boleh berhenti serta merta,” jawab Irina pantas.
Marla diam seketika. Itu dia memang sudah tahu.
“Tapi kalau dah terpaksa, lantaklah. Daripada duduk berjauhan lama-lama? Bahaya! Dahlah Kamarul tu handsome. Setahu akulah, kan.. kat track tu ramai perempuan-perempuan seksi. Gedik! Kau tak takut ke biarkan laki kau bersendirian sampai berbulan-bulan?” giat Marla semakin seronok melihat Irina menggelabah.
“Mar! Kau jangan nak serabutkan otak aku lagi boleh tak?” marah Irina makin geram. Berderai air matanya mengenangkan lelaki seorang itu. Seksanya perasaan!
“Dah menangislah pulak. Eh! aku main-main ajalah..”
“Aku sedih ni. Kau tu bukannya nak senangkan hati aku!” gerutu Irina dengan esakan halus.
“Kesiannya aku dengan kawan aku seorang ni. Kena tinggal lagi. Sebak dada rasanya. Muka asyik frust aja,” ucap Marla sambil menggeleng.
“Diamlah!” marah Irina geram. Wajahnya dialihkan ke sebelah sana. Sekaligus menyuci air matanya dengan bantal yang sedang dipeluknya itu.
“Itulah.. siapa suruh kawan dengan orang macam tu. Kau jugak yang merana kena tinggal,” giat Marla lantas tersenyum sendiri.
Irina mula mengongoi sendiri. Sedih! Marla memang tak faham perasaannya. Mengejek lagi ada.
“Sebelum dia tinggalkan takkan dia tak bagi apa-apa kut?”
“Bagi apa?” Tanya Irina lantas menoleh semula kepada temannya itu.
“Elleh.. buat-buat bertanya pulak. Bekal! Takkan takde bekal!”
Irina terus mengerut kening. “Bekal apa pulak kau ni?”
“Bekallah! Nikah gantung pun kena ada bekal jugak! Tiga bulan tak jumpa.. lama tu!” ucap Marla lantas mengilai.
“Sengal aku bercakap dengan kau ni!”
“Alah.. buat-buat malu pulak ya?”
Irina diam malas mahu menjawab. Itu rahsia. Mana boleh cerita.
“Sabar ajalah, Irin. Dah ada halangan, nak buat macam mana. Sekurang-kurangnya dia selalu call, kan?”
Irina hanya mengangguk. Tetapi itu tidak cukup! Dia mahu hidup dengan lelaki itu. Biarpun Kamarul pernah menjelaskan kehidupan yang dilalui lelaki itu tidak akan sama seperti orang lain, dia tidak peduli. Dia mahu bersama suaminya biar di mana lelaki itu berada. Biarpun mereka terpaksa tawaf satu dunia semata-mata untuk sesuap nasi. Tetapi itulah pekerjaan Kamarul. Sebagai isteri dia harus akur biarpun dia selalu mengangankan kehidupan seperti wanita-wanita lain. Setidaknya dia harus tahu.. dia tidak boleh meminta sesuatu yang tidak mampu diberikan sang suami.
“Tapi aku betul-betul proudlah dengan Kamarul tu. Tak sangka, kan? Anak bangsa kita mampu sampai ke luar negara dalam bidang itu. Kata orang tak mustahil itu semua boleh dicapai kalau kita usaha.” Marla bersuara lagi dalam menungannya. Paling membanggakan, Kamarul bertanggungjawab menyelia enjin jentera yang ditunggang oleh pelumba antarabangsa. Khidmat dan kepakarannya digunapakai oleh satu pasukan yang cukup ternama. Bukan lagi sekadar menyelia motor untuk anak muda tempatan seperti dahulu. Nama Kamarul Hisyam sudah ada nilainya dalam dunia motor lumba.
“Dulu dia mekanik cabuk. Aku kenal dia, dia hanya seorang mekanik yang sengal. Tapi aku jatuh hati sebab dia bersungguh-sungguh membantu aku waktu kereta kau buat hal. Sayangnya waktu tu aku dah ada Aizul,” balas Irina perlahan.
“Kalau dah jodoh, Irin. Selama mana kau dengan Aizul pun tapi kalau Allah tak izinkan.. Tak jadi juga, kan? Sudahnya kau balik semula pada Kamarul. Allah tahu siapa yang lebih baik untuk kau. Lima tahun kau tak jumpa dia. Tapi kalau Allah dah berkehendak, dalam flight pun kau boleh jumpa dia semula.”
Irina mengangguk perlahan. Ya.. dan Allah juga yang maha mengetahui siapa yang berada di dalam hatinya selama bertahun-tahun ini.

“Nur Irina!!! Kau memerap apa lagi dalam bilik tu. Cepatlah turun!! Terkeluar anak tekak aku memanggil, kau buat pekak aja, kan?”
“Apa dia??” jerit Irina dari atas.
“Bini orang oi! Tak elok terjerit-jerit macam langsuir. Cepat turun! Menyesal kau nanti..” Marla menjerit makin kuat dari tingkat bawah rumah itu.
Sibuk aja si Marla ni.. desis Irina sebal. Malas-malas dia bangun untuk turun ke bawah. Namun setiba di pertengahan tangga, kakinya terkaku. Di hujung tangga di bawah sana seorang lelaki sedang berdiri memandang ke atas. Macam nak pengsan dia saat ini. Macam mimpi pun ada. Lelaki yang dinanti sedang berada di depan mata. Oh! Janganlah hendaknya ini semua mimpi belaka!
“Irin..” ucap Kamarul lembut.
“Abang!!!” jerit Irina lantas berlari ke bawah. Tanpa segan silu lelaki itu diterjahnya. Kamarul tersenyum melihat gelagat sang isteri. Namun tubuh itu dipeluknya penuh kerinduan.
Wajah Kamarul dipegang Irina. Memang betul. Ini Kamarul dan dia bukannya sedang bermimpi.
“Hmm.. Kamarul, angkutlah bini kau ni cepat. Dah kronik tu. Buatlah apa yang patut kasi hilang angau dia tu. Jangan nak buat aksi biru kat rumah ni pulak,” perli Marla saat melintasi sepasang manusia itu.
“Kau diamlah, Mar!” marah Irina geram. Malu mukanya dipandang Kamarul.
“Eh! Tak betul ke apa aku cakap ni? Dah! Cepat ikut laki kau tu..” desis Marla selamba. Kamarul sekadar ketawa sendiri. Namun kedua-dua belah pipi sang isteri dikucup seketika sehingga puas.
“Tak cakap pun balik sini?” Tanya Irina hairan.
“Kalau cakap awal-awal, abang tak dapat tengok aksi terjun tadi tu..”
Tersipu-sipu perempuan nan seorang itu. Malu. Gelojoh sangat tadi. Tak sempat nak kawal diri.
“Bila abang sampai KL?”
“Petang tadi. Jom? Abang belum makan lagi ni,” ucap Kamarul lembut.
Dengan penuh kesukaan Irina berlari naik ke atas semula. Bukan main bertenaga lagi dia. Hilang monyok!
Kamarul memandu ke Bukit Lanjan. Restoran Subak menjadi persinggahan mereka malam itu. Dekorasi yang indah di dalam restoran itu benar-benar memberi mood lembut dan syahdu antara dua manusia itu.
“Kenapa balik awal? Tak bagitahu pulak tu,” ucap Irina saat berhadapan dengan lelaki itu.
“Abang dapat cuti panjang kali ni. Rider accident. Tak boleh berlumba semula. Team abang dah bungkus beg, tak merasa nak rebut gelaran juara dunia untuk season ni. So abang baliklah cari isteri abang,” jawab Kamarul lembut.
“Oh..” Irina termangu seketika memandang lelaki itu.
“Tapi lepas ni Irin kena ikut abang. Kontrak abang disambung lagi untuk season depan. Semuanya akan bermula macam biasa semula,” ujar Kamarul lagi. Hujung jemari wanita itu disentuh lembut.
“Ke mana?”
“Japan..”
Irina tersenyum lagi. Negara yang indah walaupun serba serbinya mahal.
“Irin memang nak ikut abang. Tak sanggup terus hidup macam ni,” ujar wanita itu seketika kemudian. Dia rela.. biarpun terpaksa melepaskan kerjayanya sebagai pramugari. Dia lebih sayangkan ikatan perkahwinannya dengan Kamarul.
“Kita takkan selamanya hidup macam ni. Abang tahu Irin tak suka dengan keadaan tu. Abang ada perancangan abang sendiri. Sampai satu masa nanti kita akan balik juga ke sini,” ucap Kamarul pula.
“Maksud abang?”
“Bukan duit semata yang penting untuk kita kejar di luar sana. Tapi pengetahuan, pengalaman. Bila kita balik sini.. itu semua bernilai untuk kita. Abang nak buka business sendiri suatu hari nanti,” jelas Kamarul lembut.
Irina terus mengangguk. Apa sahaja yang terbaik untuk mereka dia pasti akan menerimanya.
“Kita balik?” ajak Kamarul tidak lama kemudian. Pelayan dilambai untuk menjelaskan bayaran.
Di kamar hotel Hyatt Regency Kuala Lumpur mereka menyulam kasih lagi. Saat keluar dari kamar mandi, Irina terpaku melihat lelaki itu berdiri terpacak di hadapan pintu kamar mandi itu dengan tuala sekerat. Dia segera meminggir ke tepi untuk memberi laluan kepada lelaki itu.
Namun tiba-tiba Kamarul menarik wanita itu dekat kepadanya. Tangan yang tersembunyi di belakang dikeluarkan. Sekuntum ros merah pekat kelihatan di mata Irina. Irina memandang dua bola mata lelaki itu seketika.
Kamarul hanya diam dengan pandangan redup buat sang isteri. Ros merah itu dielus lembut ke serata wajah Irina sehingga ke bibir. Kemudian ros itu turun ke dada sang perempuan yang terdedah. Lembik lutut perempuan seorang dibuat sang lelaki.
“I love you..” tiga patah kata itu diluahkan teramat perlahan dari ulas bibir sang lelaki.
Irina tidak terkata. Ros di tangan lelaki itu diambilnya. Redup pandangan sang suami membuatkan dia dilambung rasa indah yang tidak bertepi. Kuntuman ros itu ditatap seketika dengan senyum manis. “Cantik,” ucap Irina sepatah.
“Isteri abang lagi cantik.”
Irina tersenyum lagi sambil menggigit bibir. Renungan lunak sang lelaki dibalas mesra. Terlalu mudah untuk dia jatuh cinta kepada lelaki ini. Apa yang hebatnya Kamarul Hisyam ini? Hebatnya lelaki itu.. bersama lelaki ini dia terasa hidup. Dia terasa diperlukan. Dia terasa dirindui. Dan dia terasa diangkat tinggi sebagai seseorang yang istimewa sebagai isteri. Hakikatnya.. jika ditakdirkan lelaki ini masih lagi seorang mekanik cabuk yang mencari rezeki dan pengalaman di jalanan seperti dahulu, dia tetap rela dicintai oleh lelaki ini.
“Tunggu abang..”
Irina sekadar mengangguk saat memandang lelaki itu berlalu ke kamar mandi. Dadanya mula terasa berdebar sendiri. Apalah yang dia nak buat pada aku agaknya ya? Bisik hatinya sendiri.
Lima minit bersendirian dia ruangan malap itu, pintu kamar mandi terbuka semula. Mata Irina pantas terhala ke situ. Kamarul berdiri di ambang pintu memandang kepadanya. Dirinya sudah disarungkan dengan gaun satin berwarna hitam. Sedikit terdedah pada bahagian bahu dan belakang. Sengaja mahu menarik perhatian sang suami dengan pakaian yang tidak biasa dipakainya sebelum ini.
Mata Kamarul mula melekap pada susuk si isteri. Seketika kemudian langkah terus diatur mendekati Irina.
“Mana beli ni?” Tanya lelaki itu setelah berdiri di hadapan si isteri.
“Kenapa?”
Tanpa jawapan tiba-tiba wanita itu dicempungnya lalu dibawa ke ranjang.
“Abang suka gaun ni..” ucap Kamarul setelah tubuh itu diletakkan di atas katil.
Irina tersenyum lantas memaut leher lelaki itu. “Rezeki ada depan mata. Cepatlah.. nanti lauk basi! Abang gigit jari.”
Kamarul tergelak sendiri sambil menggeleng. Berani sungguh Irina menggodanya. Tetapi bak kata Irina, rezeki ada depan mata. Halal.. dan gunakan tanpa was-was!

Pengumuman keberangkatan sudah kedengaran. Perlahan jemari sang isteri diraih Kamarul. Irina menoleh kepada lelaki di sebelahnya. Mereka berdua bangun serentak.
Selangkah lagi.. dunia baru akan dijejakinya. Malaysia akan ditinggalkan untuk bersama lelaki ini. Mencari kehidupan di luar sana selagi tenaga sang lelaki masih diperlukan. Sampai satu masa mereka akan pulang juga. Namun dia tidak ingin menyesali keputusan yang telah dibuatnya. Tekad hatinya sudah bulat. Biarpun suatu masa dahulu dia ingin lari jauh dari kehidupan yang pernah dilaluinya saat bergelar kekasih kepada seorang pelumba. Namun takdir tetap membawa dia dekat kepada dunia seperti itu. Mungkin Tuhan mahu mengajar dia menerima hidup ini seadanya.
Tautan tangan mereka kian mengerat. Bermakna selama mana pun atau biar ke mana sahaja mereka merantau selepas ini, tautan tangan itu tidak akan terlepas tanda mereka berdua sehati dan bersama. Inilah kehidupan mereka. Apa sahaja cabarannya nanti mereka mahu terus bersama saling menemani, saling melengkapi dan saling menyokong.
Kamarul Hisyam dan Nur Irina.. bertemu mereka di pinggir jalan itu. Jodoh bertamu tidak terduga. Hati sudah tersulam bersama. Namun kekuatan jodoh tidak akan datang begitu sahaja jika tidak Allah hadirkan ujian buat mereka. Biar benua memisahkan mereka, hati tetap mahu bersatu. Sehingga Allah melorongkan jalan untuk mereka bersatu di dalam ikatan suci itu.
Buat Kamarul.. dia sudah lama mengerti betapa besar erti cinta yang ada di hatinya. Ke mana langkah dia menuju, Irina tetap ada dalam hatinya. Tidak mampu untuk dilepaskan biarpun dia pernah cuba melupakan.
Bagi Irina.. lelaki inilah tunggak harapannya setelah dia merasa sakit dipersia. Betapa besar erti kesabaran lelaki ini meletakkan cinta ke atas dirinya biarpun dia memilih lelaki lain. Semua itu tidak terduga untuknya. Ajaibnya.. biar selama mana mereka terpisah, lelaki itu tetap ada dalam kenangannya.

Kerana mereka berdua manusia pilihan. Jodoh bertamu dipinggir jalan. Di mana mereka bertentang mata.. di situ jugalah mereka akhirnya mengucapkan kata cinta. Semoga jodoh itu kekal sehingga ke jannah. AMINN..

TAMAT

9 ulasan: