BAB 16
DUA bulan kemudian.
Tanpa kehadiran lelaki itu di sisiku, aku sememangnya tidak mampu melakukan
apa-apa! Aku ingin tabah. Tetapi sebenarnya tidak mudah. Setiap hari aku hanya
mampu memandang tempat pembaringannya. Tanpa panggilan telefon daripadanya dan aku
sendiri tidak dapat menghubungi dia di sana. Aku hanya mampu merinduinya begitu
sahaja.
Letih melayan perasaan sendiri aku akhirnya bangkit mengisi ruang kosong
dalam hidup. Ada sesuatu yang lebih bererti. Kerjayaku sebagai penulisa sudah
lama aku tinggalkan akibat tuntutan tanggungjawab kepada Zackery. Rasanya
inilah masa yang sesuai untuk aku menulisa semula.
Sebelum kembali mengerjakan manuskrip, aku membelek email yang dah berzaman
tidak kujengah. Aku melihat ada berpuluh email daripada seseorang. Satu persatu
emailnya aku baca. Hairan. Kenapa Julia tidak pernah menghubungi telefonku?
Sudah lama kami tidak bertemu.
Telefon bimbit aku capai. Nombor Julia yang baru aku salin ke telefon.
Kemudian aku mula bermain mesej dengannya. Kami tidak berbual panjang. Sekadar
menetapkan janji akan bertemu esok di tempat kerjanya.
“NAK keluar ke mana pagi-pagi ni?” tanya mama. Hairan melihat
aku pagi itu.
“Hana ada kerja sikit, ma.” Aku menjawab perlahan.
“Kerja apa?” soal mama pelik. Papa hanya buat tidak tahu sahaja kepada
perbualan kami. Dia terus khusyuk dengan akhbar di tangannya sambil mengunyah.
“Hana nak jumpa member lama.”
Mama memandangku dengan kerutan di kening. Ada rasa tidak senang mendengar
jawapan itu.
“Lelaki ke perempuan?” soal mama kemudian.
“Perempuan, ma. Jangan bimbang. Hana keluar bila ada hal penting aja.
Bukannya saja-saja menghabiskan masa tak tentu hala,” jelasku sambil menghirup
milo panas di dalam cawan.
“Hmm. Selama Zack tak ada ni mama tak mahu Hana bebas sangat ke sana ke
mari. Nanti apa pulak kata dia kalau dia tahu Hana asyik keluar aja. Tak manis
tengok dek orang,” ucap mama biasa.
Asyik keluar sana sini? Selama ini duniaku hanya di rumah ini dan rumah
orang tuaku. Masakan mama masih tidak nampak?
“Hana tahu, ma. Hana pun bukan selalu keluar. Tak ada apa yang nak dikejar
di luar tu pun.” Aku menjawab perlahan. Hakikatnya jiwaku ini benar-benar
terseksa. Dah lama tak pergi kedai buku! Dah lama tak dapat menambah koleksi
novel.
Enggan membiarkan wanita itu terus berleter, aku terus bangun. Tanganku
hulurkan kepada mama sebelum beralih kepada papa.
“Hana.” Papa tiba-tiba memanggilku sebelum sempat aku berlalu.
“Ya, pa..”
“Ambik ni.” Papa menghulurkan sesuatu yang diambil daripada kocek bajunya.
Lambat-lambat aku mengambilnya. Ada beberapa helai not 50 sudah berlipat berada
di tanganku kini. Untuk apa duit ni? Bisik hatiku sendiri.
“Selama ini papa tak pernah ambil berat tentang kebajikan Hana sebagai
isteri Zack. Segala macam pengorbanan yang Hana dah lakukan untuk Zack, papa
rasa dah sampai masanya kami pula menjaga Hana sebaik-baiknya,” ucap papa cukup
lembut.
Aku hanya diam memandang lelaki tua itu. Macam tidak percaya sahaja aku
mendengar semua itu dari mulut papa. Gaya, tutur katanya kedengaran berbeza
berbanding selalu.
“Ini amanah yang Zack dah serahkan pada papa sebelum kita balik ke sini
dulu. Papa mesti tunaikan amanah tu sebaik-baiknya. Pendirian papa sama macam
mama, papa tak suka Hana menghabiskan masa di luar tanpa hal penting selama
Zack tak ada di sini. Papa bukan nak menyekat kebebasan Hana. Tapi Hana masih
ada suami.” Papa menyambung lagi setelah melihat aku terdiam sahaja.
“Hana faham. Terima kasih, papa.” Hanya itu yang mampu aku katakan kepada
papa sambil memandang seketika kepada mama. Dia hanya menayang wajah selamba di
meja makan itu.
“Pergilah. Jangan balik sampai tengah malam,” ucap papa lembut.
Saat berpaling aku sempat mengucap rasa syukur. Aku nampak banyak sekali
perubahan papa semenjak kebelakangan ini. Perubahan pertama yang aku lihat
ialah hari pertama kami pulang semula ke sini dulu, papa sanggup bersedekah
besar kepada anak-anak yatim. Malahan semenjak kebelakangan ini aku selalu
nampak kopiah putih berada di kocek kemejanya. Alhamdulillah.. tidak terhingga
rasa syukur melihat itu.
HAMPIR sejam memandu aku tiba di Bangsar Shopping Centre. Aku
sudah berjanji untuk bertemu Julia di sini. setelah mendapatkan pakir, aku
sempat berlenggang kangkung di dalam pusat membeli belah itu. kebanyakam kedai
masih belum dibuka. Hanya restoran sudah memulakan operasi perniagaan.
Aku bertemu Julia di luar cafe restoran yang terletak bersebelahan dengan
pintu masuk ke shopping mall itu. Dia hanya bersendirian disamping pekerja cafe
masih sibuk dengan tugas masing-masing.
“Assalamualaikum, Cik Julia..” sapa ku lembut.
“Waalaikumussalam. Ha! Sampai pun. Susah betullah nak jumpa puan writer
seorang ni. Email banyak kali tak berjawab. Nombor telefon kedekut! Nasib
baiklah cousin kau tu ada. Mama aku dah bising, kau tahu tak!” Julia terus
membebel sebaik sahaja terpandangkan aku. Aku tergelak kecil kepada Julia
sambil menarik kerusi.
“Sorrylah. Ni kan aku dah ada depan kau ni,” ucapku lembut. Julia adalah
bekas rakan seuniversiti dengan ku dahulu. Boleh dikatakan agak rapat dengan ku
suatu masa dahulu.
“Breakfast?” pelawa Julia sambil memanggil pelayan yang berdekatan dengan
kami.
“Boleh juga,” sambutku senang. Aku tahu aku akan duduk agak lama di sini.
Banyak yang harus kami bincangkan kali ini. Selesai membuat pesanan aku kembali
memandang Julia.
“Kau sihat ke?” tanyaku lembut.
“Macam yang kau nampak ni. Kau? Aku dengar kau dah kahwin dengan Zackery
ya?” ucap Julia sambil memandang tepat kepadaku.
“Aku sihat. Alhamdulillah.” Soalan tentang kahwin itu sengaja aku abaikan.
Julia memandangku agak lama sebelum menghela nafas perlahan.
“Kau okay ke ni? Macam ada yang tak kena aja? Soalan aku tak jawab pun,”
ujar Julia tidak puas hati dengan lagak selambaku.
“Aku malas nak sebut pasal tu semua, Ju. Biarlah. Aku tak datang sini
supaya kau boleh jadi kaunselor pasal perkahwinan aku. Nanti aku menangis,
susah pulak kau nak kena pujuk aku,” degusku tidak senang. Aku tahu. Tak perlu
aku bersusah payah bercerita dari A sampai Z. Adila dah buka cerita dulu.
Julia mengangguk perlahan. “Okay. Kita bincang apa yang sepatutnya. Tapi
sekarang ni kita breakfast dulu. Aku pun belum makan lagi ni,” ucap Julia
sambil memandang ke arah dalam restoran itu.
“Mama kau sihat ke?” perhatianku mula beralih kepada mama Julia pula.
“Sihat. Dia selalu tanyakan kau. Tapi semenjak kami dapat tahu yang kau dah
kahwin, aku malas nak kacau. Kecil hati aku. Kahwin tak ajak aku langsung. Tak
ajak pun tak apalah. Bagitahu pun tak. Aku dapat tahu dari orang lain,” jelas
Julia sambil mencebik.
Spontan aku menghela nafas perlahan. “Aku minta maaf, Ju. Aku sebenarnya
lupa nak bagitahu kau. Waktu tu agak kelam kabut. Aku nikah emergency.”
“Tak apalah. Nak marah pun tak guna. Benda dah jadi. So, apa pelan kau
sekarang?” balas Julia malas mahu bercakap panjang tentang hal lama itu.
“Sekarang aku free. Pasal tawaran dulu tu, aku dah fikirkan. Aku terima,”
ucapku bersungguh.
“Betul ke ni? Kau jangan tarik diri pulak nanti. Aku cekik-cekik kau sampai
kurus kering!” tegasnya mula ceria dengan jawapanku. Jawapan yang amat
dinantikannya.
“Tak. Kali ni aku serius. Tapi aku ada syarat aku sendiri.”
“Apa dia?”
“Aku nak handle Time Magazine ikut cara aku. Aku ni masih seorang writer.
Benda tu aku tak boleh tinggal,” ucapku pula.
“Aku tahu. Sebab kau writerlah mama aku nak kau uruskan Time Magazine. Time
Magazine dah tak boleh bergantung kepada produk yang ada sekarang ni. Kita kena
beralih kepada penerbitan novel yang tengah meletup-letup sekarang. Aku ni
manalah tahu sangat bab itu.”
Aku terus mengangguk. Time Magazine susah untuk hidup selesa disebabkan
syarikat itu hanya bergantung kepada majalah Time yang setahuku tidak dibaca
oleh semua golongan. Majalah lain juga kurang mendapat sambutan. Semakin lama
anak syarikat kepada Millenium Corporation itu semakin malap dan kini sudah
berada di ambang keruntuhan. Mujurlah Millenium Corporation memiliki banyak
cabang perniagaan. Kebanyakannya dalam bidang Food and Beverages. Cafe restoran
yang sedang kami duduki saat ini juga adalah salah satu cawangan cafe yang
bernaung di bawah Millenium Corporation.
“So family kau tak kisah ke kalau kau dah tak kerja sebagai freelance
sekarang ni?” soal Julia setelah kami berdiam seketika.
“Mak dengan ayah aku lagi suka. Sekurang-kurangnya ada jaminan untuk masa
depan selain mengharapkan royalti novel. Lagi bagus. Aku tak ada masa nak fikir
benda lain. Hidup segan mati tak mahu. Macam dunia ni dah kiamat duduk
termenung aja,” jawabku perlahan.
“True! Salah satu cara nak kontrol diri bila frust menonggeng,” sambut
Julia pantas.
Spontan aku memandang Julia. “Excuse me?”
“Aku tak maksudkan kau. Kau terasa ke?” balas Julia lantas melambakkan
tawa.
“Mulut kau tu memang elok dicilikan aja!” gerutuku geram. Aku tahu dia
perli aku tadi.
“Zackery dah sihat ke sekarang?” tanya Julia agak berhati-hati. Mahu juga
mengorek rahsia tentang kisah hidup aku dengan Zackery.
“Entah. Sihat kut,” jawabku agak hambar.
“Aku tengok kau macam dah berubah sekarang, Hana. Dulu kau tak macam ni.”
“Maksud kau?” aku memandang Julia semula.
“Entahlah. Nada kau bercakap serius sangat. Aku macam tengah bercakap
dengan seseorang yang aku tak kenal. Dulu kau suka ketawa dengan aku. Sebab dia
ke kau jadi macam ni?” ucap Julia sambil memandangku tanpa putus. Segala yang
ada di wajahku cuba dirakam dengan dua bola matanya.
“Dulu aku tak serius memikirkan hidup aku, Ju. Sekarang ni aku serius,”
jawabku mudah.
“Really? Kalau kau tak serius, kau takkan pilih jadi writer sedangkan dulu
kau student bussines. Setahu aku Raihana yang aku kenal berani ambil risiko.
Termasuklah buat keputusan untuk kahwin dengan lelaki lumpuh. Itu sesuatu yang
jarang dibuat orang. Tak wujud perkataan main-main dalam hidup kau. Tapi itu
tak bermakna kau kena formal selalu dalam semua hal. Betul tak?” ucap Julia
sambil tersenyum sedikit.
“Kadang-kadang kita perlu keluar dari kepompong lama tu, Ju..” luahku
dengan keluhan perlahan.
“Maksud kau?”
“Aku yang ada depan kau ni masih Raihana yang sama. Cuma keadaan mungkin
dah tak sama macam dulu. Aku dah lalui seribu satu pengalaman dalam hidup.
Semua tu akhirnya membawa aku ke sini. Raihana yang kau nampak sekarang ini,
itulah aku,” jawabku biasa.
“Kau dengan Zackery macam mana sekarang?”
“Entah. Macam ni jelah sampai tua kut. Paling tidak pun, aku dah boleh join
kelab mama kau tak lama lagi. Kelab janda meletop!” ucapku lantas tergelak
sendiri.
“Tak baik kau cakap macam tu. Kau macam dah putus harap aja?” balas Julia
rendah.
“Ju, aku bukannya putus harap. Aku cuma tak mahu berharap benda yang aku
tak yakin mampu digapai. Aku dengan dia memang dah cukup jauh sekarang.
Macam-macam boleh jadi dalam keadaan kami macam ni. Dah dua bulan aku tak
dengar suara dia. Aku tak tahu khabar dia apa sekarang,” sambutku dalam
ketenangan yang dibuat-buat. Mengenang lelaki itu, aku rasa mahu menangis.
“Kau tak rasa ke yang kau memang tak berbaloi untuk lelaki macam Zackery
tu? Kau bukannya tak cantik sampai kau terpaksa pilih lelaki macam tu untuk
dijadikan suami. Aku ingat lagi si Dila pernah cerita dengan aku. Dia dengar
mak kau kata si Zack tu memang berhantu. Apa aja dia buat kat kau, kau tetap
sukakan dia. Aku pun tak fahamlah,” ucap Julia agak payah.
Aku sekadar mampu tersenyum hambar mendengar itu. Bukan Julia seorang
sahaja yang beranggapan begitu. Hampir semua orang di sisi aku semuanya
mengatakan begitu. Tetapi semua itu sudah terlambat untuk aku ambil kira.
Menyesalkah aku sebenarnya? Entah.
“Aku tahu kau memang sukakan dia semenjak dulu. Tapi lelaki macam dia
memang tak sesuai langsung dengan kau, Hana. Serius aku cakap. Aku sebenarnya
terkejut sangat bila dengar kau kahwin dengan dia. Aku tak sangka kau sayangkan
dia sampai macam tu sekali. Dia tak pernah pandang kau pun selama ni.”
“Bodoh aku ni sebenarnya. Aku pandang orang yang tak ingin pandang aku. Padanlah
dengan muka aku,” sambutku kelat.
Julia menghela nafas dengan sedikit gelengan. “Memang bodohlah kalau dia
sia-siakan kau, Hana.”
“Taste dia bukan pada perempuan macam aku. Tapi yang elegan macam Aweena
tu. Kalau dah itu yang dia suka, takkan aku nak paksa pula. Biarlah dia. Aku
malaslah nak fikir, Ju.” Aku mendengus sediki. Bosan mendengar nama Zackery
asyik disebut dikala fikiranku masih tidak stabil tentang lelaki itu.
“Kau tahu, kan.. Zack selalu lepak sini sebelum dia accident dulu.
Kadang-kadang dia dengan Aween. Kadang-kadang dia orang lepak sini dengan
perempuan Cina lagi seorang tu,” ujar Julia perlahan.
Aku sekadar mengangguk perlahan. Namun seketika kemudian aku tersedar Julia
ada menyebut lagi seorang yang aku tidak kenal.
“Eh! Siapa pulak perempuan Cina yang kau maksudkan ni?” tanyaku pantas.
“Rebecca Lim. Best freind Aween.”
“Oh!” aku mengangguk lagi. Manalah aku tahu siapa best freind si Aweena tu. Aku pun bukannya rapat dengan Aweena.
“Aku ada dengar orang cerita pasal benda ni lama dulu. Aku tak tahulah
benda ni betul ke tak. Zack tu semua orang kat sini kenal dia tu kaki
berfoya-foya. Aku ada dengar tentang dia dengan Rebecca.”
“Maksud kau?” aku terus mengerutkan kening memandang Julia.
“Maksudnya, dia madukan si Aween tu dengan kawan baik si Aween tu dalam
diam. Ini aku dengar cerita oranglah. Tak tahu betul ke tak. Tapi memang
kadang-kadang aku nampak dia lepak sini berdua aja dengan si Rebecca tu. Tapi
semenjak kebelakangan ni aku perasan si Aween dengan si Rebecca tu pun dah lama
tak ke mari,” jelas Julia serius.
Aku terpaku seketika memandang Julia. “Maksud kau dia skandal dengan
Rebecca dalam diam?” tanyaku dengan lebih jelas lagi. Julia terus mengangguk.
“Manager cafe ni yang bagitahu aku. Ada seorang manager yang kenal rapat
dengan Zackery. Dia yang selalu layan Zackery waktu laki kau tu lepak sini
dengan kawan-kawan dia. Dia siap cerita dengan budak manager tu, dua-dua minah
tu dia dah rasa. Sebab tu aku tak suka si Zack tu,” ujar Julia selamba.
Kata-kata Julia itu membuatkan aku terdiam. Apa maksud Julia? Rasa apa?
Mulalah dadaku rasa tidak sedap.
“Aween tahu ke pasal skandal tu?” tanyaku lagi.
“Itu aku tak pasti pulak. Tak tahu kut,” jawab Julia selamba.
Aku hanya mampu menggeleng perlahan mendengar cerita Julia. Menyesalkah aku
mengahwini lelaki persis itu? Sudah terlambat. Tiada apa yang hendak aku
kesalkan lagi. Mungkin nasib aku lebih kurang sama saja dengan nasib
wanita-wanita lain yang pernah dipermainkan Zackery.
“Kau tak tahu ke siapa yang buat si Zackery sampai jadi macam tu?”
Aku terus menjungkit bahu. “Aku malas nak fikir, Ju. Sekarang ni.. aku cuma
nak makan sebab makanan dah sampai. Tutup cerita pasal Zackery!” jawab ku sambil
memuncungkan mulut kepada pelayan yang mendekati kami bersama makanan yang kami
pesan tadi.
BAB
17
Petang itu aku tiba di rumah agak lewat. Hampir jam 7 baru aku
muncul di muka pintu. Mentuaku masih tiada di rumah. Hanya Nani sendirian.
Sedang aku duduk merehatkan tubuh di ruang tamu rumah telefon rumah berbunyi.
Aku bangkit semula mendapatkan telefon itu.
Suara lelaki yang memberi salam membuatkan aku terpaku dengan dada tidak
keruan pada permulaannya. Zackery?
“Hana.” Zackery segera menegur lagi tatkala aku masih alpa sendiri.
“Ya. Err.. sorry. Tak dengar sangat suara abang.”
“Hana sihat?” tanya Zackery lembut.
“Sihat. Abang?” aku turut membalas dengan soalan yang sama.
“Abang sihat..”
Namun seketika kemudian kami terdiam seolah-olah tidak tahu apa yang hendak
dibualkan. Aku pula masih terfikir-fikir cerita Julia tadi.
“Abang rindukan Hana,” ucap Zackery tidak lama kemudian.
Aku terdiam menelan liur sendiri. Kata-kata itu sebenarnya terlalu bermakna
buatku. Kata-kata yang paling ingin aku dengar. Tetapi entah kenapa aku tidak
berani untuk merasa gembira.
“Hana..” sekali lagi Zackery memanggil.
“Ya..”
“Kenapa ni, sayang? Hana tak suka bercakap dengan abang?” ucap Zakcery
tetap lembut.
“Tak. Bukan macam tu. Hana cuma terkejut abang telefon Hana semula. Dah dua
bulan kita tak berbual macam ni,” jawabku agak rendah.
“Kat sini susah nak telefon. Tak ada coverage. Ini pun abang terpaksa suruh
orang bawak abang jauh dari rumah tahfiz. Bukannya abang sengaja nak abaikan
Hana. Setiap hari abang teringatkan Hana. Abang bimbangkan keadaan Hana kat
sana,” balas Zackery.
“Tak apa. Hana faham.” Aku sekadar menjawab biasa. Aku tahu dia tidak
berbohong. Perkampungan Madai itu berada di kaki Gua Gomantong yang masih
diliputi hutan simpan Gomantong. Memang susah mendapat isyarat telefon di
kawasan itu.
“Hana tak rindukan abang?”
Aku tersenyum pahit mendengar soalannya itu. Soalan tipikal! Peduli rupanya
dia kepada perasaanku.
“Kenapa sibuk nak tahu? Kan abang pun dah tak mahukan Hana?” balasku selamba.
Zackery terdiam serta merta.
“Kenapa diam?” balasku sedikit sinis.
“Abang tak tahu apa Hana cakap ni, sayang.” Zackery sedikit tergagap di
hujung talian. Aku sempat ketawa sinis.
“Sendiri cakap sendiri pun lupa?” selarku. Cuba aku kawal perasaan. Namun
aku tidak kuat. Hatiku sakit mengenang semuanya.
“Abang cakap apa? Abang tak ingat,” balas Zackery.
Dah mereng agaknya dia ni, getus hatiku sendiri.
“Kenapa hari tu Hana tak datang jumpa abang sebelum balik?” soal Zackery
lagi dalam pada aku berdiam.
“Hari tu Hana tak sihat. Hana sakit kepala sebab tu Hana tak dapat pergi
sana.” Alasan itu aku berikan untuk menutupi apa sebenarnya yang berlaku.
“Abang ingat Hana marahkan abang. Dah tak mahu jumpa abang lagi. Abang
tunggu Hana datang. Tapi papa dengan mama aja yang ada. Abang tanya pada mama
tapi mama kata Hana tak buka pintu bilik waktu mama panggil Hana waktu tu.”
Zackery berkata dengan nada sedikit lirih.
Aku terdiam mendengar kata-kata Zackery. Dia menunggu aku? Mama ketuk pintu
bilik aku? Bila masa pula dia ketuk kalau dah sebelum itu lagi aku memang ada bertemu
mama? Ke aku pula yang nyanyuk sekarang ni? Desis hatiku sendiri.
“Hana tak sihat waktu tu, bang. Hana tak sangka pulak yang abang tunggu
Hana.”
“Abang macam dah tak sabar nak balik. Tapi ada yang masih belum abang
selesaikan kat sini. Abang tengah belajar mengaji dengan Pak Kiyai sekarang.
Selagi pengajian tu tak selesai, abang tak boleh balik ke semenanjung. Hana
tunggu abang balik ya? Abang akan balik juga nanti. Abang nak Hana ada depan
mata abang,” ucap Zackery lembut.
Sebuah helaan nafas aku lepaskan. Keliru. Aku tidak tahu mana satu yang
benar saat ini. Dia sedar atau tidak apa yang dia janjikan saat ini? Kerana aku
sudah letih dipermainkan.
“Hana tak tahu nak cakap apa sekarang,” jawabku seketika kemudian.
“Apa maksud Hana ni? Hana marahkan abang ke?” tanya Zackery bersungguh.
Masih seperti tadi, aku menjadi terlalu dingin untuk menjawab setiap
pertanyaannya.
“Pak Kiyai selalu beritahu abang. Dia larang abang duduk seorang diri.
Larang abang termenung. Jangan banyak berfikir dalam keadaan jiwa bercelaru.
Sebab akan ada makhluk yang lain tolong tunjukkan jalan membuatkan abang
bertambah sesat. Kadang-kadang abang tak sedar apa yang abang buat,” jelas
Zackery tanpa menunggu aku menjawab pertanyaannya.
“Abang sedar apa yang abang cakap sekarang? Abang tahu tentang apa?”
balasku akhirnya.
“Abang rasa abang dah kecilkan hati Hana.”
Aku tersenyum sinis seorang diri. Dia tak sedar dia sudah mengatakan
sesuatu yang membuat aku terluka.
“Hana, abang minta maaf. Itu dulu. Sekarang abang dah tak macam tu. Kalau
boleh abang nak balik sekarang juga.”
“Baguslah,” jawabku biasa.
“Abang dah terbiasa Hana ada depan mata abang. Kadang-kadang abang
tercari-cari seseorang yang abang sayang. Dulu dia selalu ada dengan abang,”
ujar Zackery perlahan.
Aku membisu lagi. Namun entah kenapa dada ini menjadi sendat sekali. Aku
rindukan dia. Zackery yang dulu. Zackery yang pernah berada di sebelahku. Jika
dia tercari-cari, aku lebih dari itu. Namun aku sedar, dia sudah semakin sihat.
Dan aku tidak tahu selama mana aku akan berada di dalam hidupnya.
“Hana..” panggil Zackery.
“Ya..” jawabku perlahan. Namun suaraku menggigil tanpa dapat dikawal.
“Hana menangis?”
“Taklah.” Air mata yang sudah jatuh ke pipi pantas aku seka.
“Hana, abang tak berniat untuk melukai hati Hana. Abang minta maaf, sayang.
Jangan menangis. Abang akan susah hati.” Suara Zackery berubah cukup sayu.
“Hana tak apa-apa, bang. Jangan risaukan Hana. Hana baik-baik aja di sini.
Hana tunggu abang balik,” jawabku cuba mengusir rajuk jauh.
“Abang sayangkan Hana. Ingat tu baik-baik. Suatu hari nanti, abang tetap
akan balik untuk Hana,” ujar Zackery bersungguh.
“Ya. Hana tunggu abang.”
“Sayang, abang kena balik ni.
Sekejap lagi ada kuliah agama. Nanti abang call lagi ya?” ucap Zackery dengan
nada mula berubah tergesa-gesa. Agaknya ada orang memanggil dia di sana.
“Yalah. Abang jaga diri baik-baik ya?” ucapku lembut. Cukuplah aku dapat
mendengar suaranya tanda dia baik-baik sahaja di sana.
Seketika kemudian talian dimatikan setelah aku menjawab salamnya.
Mengenangkan maghrib sudah menjelma aku segera naik ke atas untuk membersihkan
diri. Namun sepanjang jalan aku naik ke atas ada sesuatu mula bermain di
fikiran.
Mengapa mama berbohong kepada Zackery waktu itu? Aku tidak faham. Sedangkan
sebelum itu aku memang sudah memberitahu mama yang aku tidak dapat ke sana dan
aku sempat berkirim salam kepada Zackery. Mengapa jauh benar melencong cerita
mama? Entahlah!
Malam itu sebelum tidur, aku sempat membelek lukisan yang pernah dihasilkan
Zackery. Ada beberapa keping yang membuat aku terpaku lama. Tidak jemu
memandang lukisan itu. Beberapa lukisan yang dihasilkannya adalah gambarku.
Kertas lukisan itu aku gulung penuh hati-hati.
Namun sebelum menyimpannya aku ternampak ada tulisan tangan di belakang
lukisan itu. pantas aku buka semula.
I know I can't survive another night away from her. I’m
in love with her.
Your man,
-M.Z Andrian-
Aku menyelak pula pada lukisan yang lain. Tulisan itu ada pada semua
gambarku. Dan saat aku terpandangkan satu lukisan aneh yang pernah dilakarnya,
aku cuba melihat ke belakang. Anehnya tiada apa-apa tulisan sebaliknya nama
Andy yang tertera di bawah lukisan itu.
“Siapa pulak Andy ni?” ucapku seorang diri. Aku agak Andy itu sebenarnya
Andrian. Tapi aku tidak pernah dengar ada sesiapa memanggil Zackery dengan nama
itu.
Usai menyimpan lukisan itu, aku terus naik ke atas katil. Sambil menanti
mata terlelap, aku melayan novel yang sudah sekian lama terbengkalai. Namun
novel yang berada di tanganku itu semakin membuatkan aku tidak mampu melepaskan
ingatan kepada Zackery. Habis novel aku dicontengnya. Aku ketawa sendiri
membaca apa yang dia tulis di bahagian atas pada satu muka surat itu.
Abang lagi romantik dari hero ni. Handsome dah tentulah
abang lagi handsome. Abang lagi sesuai jadi hero Hana!
Pada muka surat lain-lainnya, ada lagi yang tulisan merapu si Zackery.
Macam tahu aku akan membaca juga novel ini. Sengaja meninggalkan jejaknya di
situ. Sudahnya aku menutup novel itu lalu aku letakkan di tepi kepala. Sambil mengiring,
aku selak kulit novel itu. Aku ternampak lukisan Zackery pada muka surat
hadapan. Pantas aku ambil semula buku itu. Apa yang dilukis Zackery aku tatap. Gambar
karikatur aku dan dia. Di bawah lukisan itu dia menulis kapsyen yang membuatkan
aku tergelak seorang diri.
Novel yang bakal meletup di pasaran..
Bini aku suka tengok pampers aku!
Nama penulisnya M.Z Andrian.
“Sengal!” getusku sambil menggeleng sendiri.
Namun seketika kemudian senyumanku memudar. Lukisan Zackery aku tatap lama
sambil jariku mengelus wajah karikatur itu. Kemudian buku itu aku bawa ke dalam
pelukan. Rindu yang aku rasakan saat ini tidak mahu kebah. Aku sedar rindu itu melebihi
dari segala-gala rasa luka yang pernah aku rasa kepadanya. Dan aku ingin
memaafkan khilafnya sebelum ini. Kerana, saat ini aku terlalu inginkan dia ada
di dalam hidupku.
SETELAH lebih sebulan aku mula berkerja, akhirnya ada juga
penghuni rumah ini yang perasan aku kerap tidak lekat di rumah. Malam itu
ketika kami sedang makan malam papa bertanya juga tentang aktivitiku.
“Papa nampak Hana selalu sibuk di luar sekarang. Hana buat apa?”
“Hana kerja, papa.”
Kening lelaki itu berkerut memandangku. “Kat mana? Tak cakap pun Hana nak
kerja?” ujar lelaki itu agak terkejut.
“Time Magazine.”
“Kenapa tak bagitahu papa yang Hana nak kerja? Boleh papa masukkan Hana di
syarikat papa,” ucap papa terus-terusan memandangku.
“Kerja tu sesuai dengan minat Hana. Hana sukakan buku,” jawabku lembut.
“Jual buku aje? Boleh maju ke syarikat setakat jual buku?” celah mama sambil
mengerlingku. Papa mengalihkan pandangan kepada isterinya itu pula.
“Sebelum ni Time Magazine memang ada masalah sebab produknya tak berapa
menarik. Tapi sekarang kami dah beralih kepada penerbitan novel. Itu salah satu
bahan bacaan yang paling cepat mendapat perhatian orang ramai. Itu langkah
pertama yang syarikat mampu buat dalam tempoh terdekat ni,” jelasku kepada
mama.
“Orang yang suka baca novel ni tak realistik. Hidup dalam angan-angan. Tak
jejak di bumi nyata,” komen mama tanpa disuruh. Tersirap darahku mendengar
kata-katanya. Aku suka baca novel, jadi aku pun dikira tak realistiklah? Dia tak
tahu, anak kesayangan dia tu pun dah berjangkit suka baca novel!
“Itu semua minat orang. Kita kena hormati kesukaan orang lain.
Sekurang-kurangnya itu mampu memberi pendapatan pada syarikat juga. Buku ni
masih boleh menjadi satu cabang perniagaan yang menguntungkan kalau kita pandai
mencari bahan yang sesuai untuk diisi dalam buku tu.” Papa ikut mencelah dengan
pendapatnya pula. Aku terus mengangguk setuju dengan kata-kata papa.
Mama segera mencebik sinis. “Tapi lambat nak maju. Satu buku untungnya tak
seberapa. Lainlah kalau kita dapat projek sana sini. Itu dah tentu berjuta
dalam tangan. Buang masa aja Hana duduk kat situ. Lebih baik Hana kerja dengan
kami. Cari projek besar. Bagi keuntungan lebih lagi pada syarikat. Buat apa belajar bussines kalau sudahnya
kerja macam tu aja? Rugi aja!”
“Hana tak pandai buat kerja macam tu, ma.”
“Aik? Apa guna kelulusan tu kalau tak digunakan di tempat yang betul?
Setakat jual buku, apalah yang advanture sangat? Mama dengan papa ni memang
tengah tak cukup staff. Dahlah Zack pun dah lama tak masuk kerja.”
“Hana tak boleh buat kerja yang Hana tak minat. Kalau Hana paksa diri, keadaan
tu takkan bertahan lama, ma. Hana kerja dengan Dato’ Farah sebab Hana memang
minat dengan buku. Jiwa Hana memang ada kat situ,” jawabku lembut. Harap-harap
mama faham dengan situasiku.
“Zack tahu Hana dah mula kerja di luar?” celah papa tidak mahu soal itu
terus diperdebatkan.
“Belum..”
“Kenapa Hana tak bagitahu dia?” mata papa mencerun sedikit kepadaku. Tidak senang
mendengar itu.
“Hana tunggu dia call Hana. Tapi sampai sekarang dia masih belum call. Hari
tu Hana betul-betul terlupa nak cakap dengan dia. Dia pun tak dapat nak berbual
lama dengan Hana,” jawabku perlahan.
Papa mengangguk seketika sambil menyuap nasi ke mulutnya.
“Bilalah si Zack ni nak balik? Duduk kat sana lama-lama pun buat apa?
Syarikat tu kelam kabut bila dia tak ada. Susah betullah!” Mama mula membebel
tentang itu pula.
“Dia belajar agama kat sana. Biarlah. Itu semua untuk kebaikan dia. Sebagai
lelaki dia perlu ada semua pengetahuan tu,” tegas papa tidak senang dengan
kata-kata mama.
“Setakat belajar mengaji takkan boleh sampai berbulan-bulan? Belajar
setakat untuk baca lepas sembahyang aja pun. Kompeni kita tu lebih perlukan
dia. Itu lebih penting sekarang ni,” balas mama sedikit meninggi kepada
suaminya itu.
Aku sekadar menelinga sahaja biarpun mulut ku ini ringan sahaja mahu
menjawab semula kata-kata emak mertua ku itu. Sakit hati ku mendengar mama
melabelkan kepentingan membaca Al Quran sekadar untuk mengisi masa selepas
sembahyang. Seolah-olah itu sekadar satu hobi seperti membaca novel.
Papa menggeleng memandang mama di sebelah.
“Jaga sikit lidah awak tu bila bercakap, Nora. Sakit macam Zackery tu, tak
ada doktor atau ubat moden yang sembuhkan dia. Ini realiti! Bukannya cerita
dongeng yang direka-reka. Kita sendiri nampak apa yang berlaku pada Zackery
hari tu. Itu semua pengajaran buat kita! Apa yang Pak Kiyai katakan hari tu
memang benar. Hanya Allah sahaja yang boleh bantu kita dalam keadaan begini,”
ujar papa tidak puas hati dengan kata-kata isterinya.
Mama mula terdiam menelan suara meninggi papa. Aku mula tidak senang dengan perbalahan mulut
antara dua manusia itu. Nak makan pun dah tak selera. Akhirnya aku bangun
membawa pinggan ke dapur.
“Nani dah makan ke?” soalku kepada Nani yang sedang mengelap atas kabinet
dapur itu.
“Sudah, mbak..” jawab Nani lembut. Seketika kemudian gadis Acheh itu
memandang kepada ku. “Kenapa bergaduh di depan tu?” tanyanya agak perlahan.
“Biasalah, Nani. Biarkanlah.. hal kecik aja tu.”
Nani menggeleng sendiri mendengar jawapan ku. “Dato sama Datin kerap sekali
bertengkar sekarang. Bising sekali! Rumah saya di kampung kecil saja.
Penghuninya lebih ramai daripada rumah ini. Tapi kami baik-baik saja,” keluh
Nani cukup perlahan. Rumah ini nampak sahaja tersergam indah. Tetapi sebenarnya
indah khabar dari rupa.
“Rumah ni memang panas, Nani. Sebab kita yang jadikan dia macam ni. Bukan
salah rumah ni. Tapi salah kita. Penghuni yang kita nampak hanya kita empat
orang aja. Penghuni yang kita tak nampak ada ramai. Masalahnya kita yang jemput
makhluk tu datang menentap di sini. Sebab tulah penghuni rumah ni asyik nak bergusti
mulut aja,” jawabku sambil membasuh pinggan di sinki.
“Disuruh solat enggak mau. Sudahnya setan bisa jadi kawan!” desis Nani
seorang diri.
PETANG itu sebaik sahaja aku sampai ke rumah Nani memberitahu
yang ada surat ditujukan kepadaku tiba tengahari tadi. Aku sedikit hairan
dengan kedatangan surat itu. Aku segera naik ke kamar. Surat itu Nani letakkan
di atas bantal. Sambil duduk, hujung sampul itu aku buka.
Assalamualaikum..
Semoga isteri abang Nurul Raihana berada dalam keadaan
sihat di bawah lindungan Allah selalu. Abang di sini sihat sahaja.
Alhamdulillah.. semuanya baik-baik sahaja. Melainkan dua kaki ini sememangnya
masih tidak mampu menampung badan ini. Entah berapa lama abang akan terus
berkeadaan begini.
Hana, maafkan abang jika kedatangan surat ini tidak
menggembirakan Hana. Tapi inilah yang harus abang lakukan untuk kebahagiaan
Hana. Abang tahu tindakan abang ni keterlaluan dan boleh dianggap dayus. Tapi
percayalah. Inilah lebih baik untuk kita. Abang sudah puas memikirkan semua
ini. Abang tak mahu menyiksa hidup Hana lagi. Abang rasa bersalah melihat
setiap titis air mata isteri abang menangisi setiap penderitaan abang. Abang
tak tergamak membiarkan Hana terus tergelam dalam harapan. Sedangkan abang
masih juga begini. Mungkin sampai bila-bila abang takkan boleh berjalan lagi.
Hana, maafkan abang. Maafkan abang sekali lagi. Abang tak
layak untuk Hana. Carilah orang lain yang lebih berupaya dari abang, sayang.
Demi masa depan Hana, abang rela Hana pergi jauh dari abang. Abang tak boleh
mementingkan diri abang sendiri sedangkan tiada apa yang mampu abang berikan
pada Hana sebagai seorang suami.
Terlalu banyak pengorbangan yang Hana dah lakukan untuk
abang selama ini. Apabila sudah terlalu banyak, abang semakin merasa tersiksa
melihat semua itu. Abang rasa tidak adil membiarkan Hana seorang yang berkorban
untuk abang. Jadi anggaplah ini pengorbanan terakhir abang demi kebahagiaan
isteri abang. Abang harap Hana redha dengan keputusan abang. Abang tahu hari
ini Hana akan menangisi perpisahan ini. Tapi insya-Allah masa akan menyembuhkan
luka. Abang harap suatu hari nanti kita akan bertemu semula dan waktu itu abang
yakin Hana pasti sudah bertemu dengan seorang lelaki yang mampu membahagiakan
Hana dunia akhirat.
Sayang, satu saja yang abang minta dari Hana. Mama dan
papa dah lama menderita kerana abang. Mama banyak menangis semenjak dari hari
pertama abang mendapat kecelakaan itu. Abang dah tak mahu tengok dia bersedih
lagi. Begitu juga dengan papa. Demi itu abang merayu pada Hana supaya
tinggalkan keluarga abang dengan cara baik dan jangan libatkan mereka dalam
soal ini. Soal kita berdua biarlah menjadi rahsia kita termasuklah tentang
warkah ini. Sampai satu masa nanti kita akan selesaikan mengikut kehendak
undang-undang.
Dengan itu, bersama lafaz bismillahirahmannirrahim. Saya,
Muhammad Andrian Zackery Bin Abdillah Zain melepaskan isteri saya Nurul Raihana
binti Mohd Rashdan dengan talak satu.
Semoga ALLAH melindungi Hana selalu dan doa abang akan
terus mengiringi langkah Hana biarpun Hana bukan milik abang lagi. Maafkan
abang, sayang. Inilah yang terbaik untuk kita berdua. Sekian..
Yang Benar,
Abang.
Sesungguhnya usai membaca surat itu, aku terkaku begitu sahaja. Seluruh kekuatan
melayang entah ke mana. Sehingga lembaran kertas itu terlepas dari tangan. Terkejut!
Sebak! Hati ku hancur sehingga tiada sebarang kata-kata yang mampu aku luahkan
saat itu. Fikiranku kosong.
Mimpikah aku? Aku raba wajah. Tidak. Ini bukan mimpi. Basah.Aku memandang
telapak tangan sendiri. Setitis demi setitis air mata terus gugur di atas
telapak tanganku sendiri. Sesaknya nafas sehingga tiada kata-kata dapat aku
luahkan. Aku hilang upaya biarpun sekadar mahu menelan liur sendiri. Alam sekeliling
terasa sedang berputar ligat.
Surat ini bukan surat untuk menyatakan rindunya kepada ku. Jauh lagi dari
itu! Sebaliknya surat ini adalah untuk menghancurkan lagi sekeping hati yang
selama ini langsung tidak berharga untuknya. Tergamaknya dia mempermainkan
perasaanku. Apakah selama ini aku langsung tidak bermakna untuknya? Inikah yang
selayaknya aku terima atas kasih sayang yang aku hulurkan kepadanya? Inikah
dia?
Di birai katil itu aku menangis tidak berlagu. Dalam sekelip mata aku rasa
seperti sudah kehilangan semuanya. Lenyap begitu sahaja.
Ya Allah, katakanlah yang semua itu hanya mimpi. Hatiku merintih sendiri.
Akhirnya apa yang pernah dia maksudkan dulu, dijadikan kenyataan. Kenyataan
yang teramat-amat melukakan!
“Sampainya hati kau buat aku macam ni, Zackery!” aku merintih dalam
tangisan yang tidak dapat dikawal. Di katil tempat pembaringan suamiku itu aku
hanya mampu meluahkan kelukaan itu dengan air mata.
Namun kemudian tangisan itu lenyap. Aku pegun memandang kamar itu. Fikiranku
ligat memikirkan diriku. Zackery meminta aku keluar dari rumah ini. Aku sedar
tempatku bukan lagi di sini. Malam ini akan menjadi malam terakhir aku akan berada
di sini.
Keesokan paginya, aku tidak turun bersarapan pagi bersama orang tua Zackery.
Sengaja. Tidak mahu berhadapan dengan sesiapa buat masa ini. Selepas papa dan
mama keluar ke pejabat, barulah aku bergerak.
Sebuah buku bertajuk Hope yang pernah aku hadiahkan kepadanya dahulu
sengaja aku letakkan di atas meja belajarnya. Pada muka hadapannya aku lakarkan
sesuatu buatnya.
Ada masanya kita harus belajar melepaskan seseorang biarpun
sudah bertahun dia bertahta di hati. Ada masanya kita harus sedar di mana kita
berpijak. Persinggahan akan selalu jadi persinggahan. Sampai masanya perjalanan
mesti diteruskan. -Hana-
Namun, saat aku memandang semula kamar itu, air mataku jatuh lagi. Di sinilah
duniaku bersama seorang lelaki yang aku sayangi. Sayangnya kini, tempatku bukan
lagi di sini.
“Aku lepaskan kau, Zackery. Pergilah dari hati ini..”
Sedihnyaaaaa
BalasPadamSedihnyaaaaa
BalasPadam