Rabu, 6 Januari 2016

BAB 16-17 DIA, LELAKI BERHANTU?

BAB 16
DUA bulan kemudian.
Tanpa kehadiran lelaki itu di sisiku, aku sememangnya tidak mampu melakukan apa-apa! Aku ingin tabah. Tetapi sebenarnya tidak mudah. Setiap hari aku hanya mampu memandang tempat pembaringannya. Tanpa panggilan telefon daripadanya dan aku sendiri tidak dapat menghubungi dia di sana. Aku hanya mampu merinduinya begitu sahaja.
Letih melayan perasaan sendiri aku akhirnya bangkit mengisi ruang kosong dalam hidup. Ada sesuatu yang lebih bererti. Kerjayaku sebagai penulisa sudah lama aku tinggalkan akibat tuntutan tanggungjawab kepada Zackery. Rasanya inilah masa yang sesuai untuk aku menulisa semula.
Sebelum kembali mengerjakan manuskrip, aku membelek email yang dah berzaman tidak kujengah. Aku melihat ada berpuluh email daripada seseorang. Satu persatu emailnya aku baca. Hairan. Kenapa Julia tidak pernah menghubungi telefonku? Sudah lama kami tidak bertemu.
Telefon bimbit aku capai. Nombor Julia yang baru aku salin ke telefon. Kemudian aku mula bermain mesej dengannya. Kami tidak berbual panjang. Sekadar menetapkan janji akan bertemu esok di tempat kerjanya.

“NAK keluar ke mana pagi-pagi ni?” tanya mama. Hairan melihat aku pagi itu.
“Hana ada kerja sikit, ma.” Aku menjawab perlahan.
“Kerja apa?” soal mama pelik. Papa hanya buat tidak tahu sahaja kepada perbualan kami. Dia terus khusyuk dengan akhbar di tangannya sambil mengunyah.
“Hana nak jumpa member lama.”
Mama memandangku dengan kerutan di kening. Ada rasa tidak senang mendengar jawapan itu.
“Lelaki ke perempuan?” soal mama kemudian.
“Perempuan, ma. Jangan bimbang. Hana keluar bila ada hal penting aja. Bukannya saja-saja menghabiskan masa tak tentu hala,” jelasku sambil menghirup milo panas di dalam cawan.
“Hmm. Selama Zack tak ada ni mama tak mahu Hana bebas sangat ke sana ke mari. Nanti apa pulak kata dia kalau dia tahu Hana asyik keluar aja. Tak manis tengok dek orang,” ucap mama biasa.
Asyik keluar sana sini? Selama ini duniaku hanya di rumah ini dan rumah orang tuaku. Masakan mama masih tidak nampak?
“Hana tahu, ma. Hana pun bukan selalu keluar. Tak ada apa yang nak dikejar di luar tu pun.” Aku menjawab perlahan. Hakikatnya jiwaku ini benar-benar terseksa. Dah lama tak pergi kedai buku! Dah lama tak dapat menambah koleksi novel.
Enggan membiarkan wanita itu terus berleter, aku terus bangun. Tanganku hulurkan kepada mama sebelum beralih kepada papa.
“Hana.” Papa tiba-tiba memanggilku sebelum sempat aku berlalu.
“Ya, pa..”
“Ambik ni.” Papa menghulurkan sesuatu yang diambil daripada kocek bajunya. Lambat-lambat aku mengambilnya. Ada beberapa helai not 50 sudah berlipat berada di tanganku kini. Untuk apa duit ni? Bisik hatiku sendiri.
“Selama ini papa tak pernah ambil berat tentang kebajikan Hana sebagai isteri Zack. Segala macam pengorbanan yang Hana dah lakukan untuk Zack, papa rasa dah sampai masanya kami pula menjaga Hana sebaik-baiknya,” ucap papa cukup lembut.
Aku hanya diam memandang lelaki tua itu. Macam tidak percaya sahaja aku mendengar semua itu dari mulut papa. Gaya, tutur katanya kedengaran berbeza berbanding selalu.
“Ini amanah yang Zack dah serahkan pada papa sebelum kita balik ke sini dulu. Papa mesti tunaikan amanah tu sebaik-baiknya. Pendirian papa sama macam mama, papa tak suka Hana menghabiskan masa di luar tanpa hal penting selama Zack tak ada di sini. Papa bukan nak menyekat kebebasan Hana. Tapi Hana masih ada suami.” Papa menyambung lagi setelah melihat aku terdiam sahaja.
“Hana faham. Terima kasih, papa.” Hanya itu yang mampu aku katakan kepada papa sambil memandang seketika kepada mama. Dia hanya menayang wajah selamba di meja makan itu.
“Pergilah. Jangan balik sampai tengah malam,” ucap papa lembut.
Saat berpaling aku sempat mengucap rasa syukur. Aku nampak banyak sekali perubahan papa semenjak kebelakangan ini. Perubahan pertama yang aku lihat ialah hari pertama kami pulang semula ke sini dulu, papa sanggup bersedekah besar kepada anak-anak yatim. Malahan semenjak kebelakangan ini aku selalu nampak kopiah putih berada di kocek kemejanya. Alhamdulillah.. tidak terhingga rasa syukur melihat itu.

HAMPIR sejam memandu aku tiba di Bangsar Shopping Centre. Aku sudah berjanji untuk bertemu Julia di sini. setelah mendapatkan pakir, aku sempat berlenggang kangkung di dalam pusat membeli belah itu. kebanyakam kedai masih belum dibuka. Hanya restoran sudah memulakan operasi perniagaan.
Aku bertemu Julia di luar cafe restoran yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk ke shopping mall itu. Dia hanya bersendirian disamping pekerja cafe masih sibuk dengan tugas masing-masing.
“Assalamualaikum, Cik Julia..” sapa ku lembut.
“Waalaikumussalam. Ha! Sampai pun. Susah betullah nak jumpa puan writer seorang ni. Email banyak kali tak berjawab. Nombor telefon kedekut! Nasib baiklah cousin kau tu ada. Mama aku dah bising, kau tahu tak!” Julia terus membebel sebaik sahaja terpandangkan aku. Aku tergelak kecil kepada Julia sambil menarik kerusi.
“Sorrylah. Ni kan aku dah ada depan kau ni,” ucapku lembut. Julia adalah bekas rakan seuniversiti dengan ku dahulu. Boleh dikatakan agak rapat dengan ku suatu masa dahulu.
“Breakfast?” pelawa Julia sambil memanggil pelayan yang berdekatan dengan kami.
“Boleh juga,” sambutku senang. Aku tahu aku akan duduk agak lama di sini. Banyak yang harus kami bincangkan kali ini. Selesai membuat pesanan aku kembali memandang Julia.
“Kau sihat ke?” tanyaku lembut.
“Macam yang kau nampak ni. Kau? Aku dengar kau dah kahwin dengan Zackery ya?” ucap Julia sambil memandang tepat kepadaku.
“Aku sihat. Alhamdulillah.” Soalan tentang kahwin itu sengaja aku abaikan.
Julia memandangku agak lama sebelum menghela nafas perlahan.
“Kau okay ke ni? Macam ada yang tak kena aja? Soalan aku tak jawab pun,” ujar Julia tidak puas hati dengan lagak selambaku.
“Aku malas nak sebut pasal tu semua, Ju. Biarlah. Aku tak datang sini supaya kau boleh jadi kaunselor pasal perkahwinan aku. Nanti aku menangis, susah pulak kau nak kena pujuk aku,” degusku tidak senang. Aku tahu. Tak perlu aku bersusah payah bercerita dari A sampai Z. Adila dah buka cerita dulu.
Julia mengangguk perlahan. “Okay. Kita bincang apa yang sepatutnya. Tapi sekarang ni kita breakfast dulu. Aku pun belum makan lagi ni,” ucap Julia sambil memandang ke arah dalam restoran itu.
“Mama kau sihat ke?” perhatianku mula beralih kepada mama Julia pula.
“Sihat. Dia selalu tanyakan kau. Tapi semenjak kami dapat tahu yang kau dah kahwin, aku malas nak kacau. Kecil hati aku. Kahwin tak ajak aku langsung. Tak ajak pun tak apalah. Bagitahu pun tak. Aku dapat tahu dari orang lain,” jelas Julia sambil mencebik.
Spontan aku menghela nafas perlahan. “Aku minta maaf, Ju. Aku sebenarnya lupa nak bagitahu kau. Waktu tu agak kelam kabut. Aku nikah emergency.”
“Tak apalah. Nak marah pun tak guna. Benda dah jadi. So, apa pelan kau sekarang?” balas Julia malas mahu bercakap panjang tentang hal lama itu.
“Sekarang aku free. Pasal tawaran dulu tu, aku dah fikirkan. Aku terima,” ucapku bersungguh.
“Betul ke ni? Kau jangan tarik diri pulak nanti. Aku cekik-cekik kau sampai kurus kering!” tegasnya mula ceria dengan jawapanku. Jawapan yang amat dinantikannya.
“Tak. Kali ni aku serius. Tapi aku ada syarat aku sendiri.”
“Apa dia?”
“Aku nak handle Time Magazine ikut cara aku. Aku ni masih seorang writer. Benda tu aku tak boleh tinggal,” ucapku pula.
“Aku tahu. Sebab kau writerlah mama aku nak kau uruskan Time Magazine. Time Magazine dah tak boleh bergantung kepada produk yang ada sekarang ni. Kita kena beralih kepada penerbitan novel yang tengah meletup-letup sekarang. Aku ni manalah tahu sangat bab itu.”
Aku terus mengangguk. Time Magazine susah untuk hidup selesa disebabkan syarikat itu hanya bergantung kepada majalah Time yang setahuku tidak dibaca oleh semua golongan. Majalah lain juga kurang mendapat sambutan. Semakin lama anak syarikat kepada Millenium Corporation itu semakin malap dan kini sudah berada di ambang keruntuhan. Mujurlah Millenium Corporation memiliki banyak cabang perniagaan. Kebanyakannya dalam bidang Food and Beverages. Cafe restoran yang sedang kami duduki saat ini juga adalah salah satu cawangan cafe yang bernaung di bawah Millenium Corporation.
“So family kau tak kisah ke kalau kau dah tak kerja sebagai freelance sekarang ni?” soal Julia setelah kami berdiam seketika.
“Mak dengan ayah aku lagi suka. Sekurang-kurangnya ada jaminan untuk masa depan selain mengharapkan royalti novel. Lagi bagus. Aku tak ada masa nak fikir benda lain. Hidup segan mati tak mahu. Macam dunia ni dah kiamat duduk termenung aja,” jawabku perlahan.
“True! Salah satu cara nak kontrol diri bila frust menonggeng,” sambut Julia pantas.
Spontan aku memandang Julia. “Excuse me?”
“Aku tak maksudkan kau. Kau terasa ke?” balas Julia lantas melambakkan tawa.
“Mulut kau tu memang elok dicilikan aja!” gerutuku geram. Aku tahu dia perli aku tadi.
“Zackery dah sihat ke sekarang?” tanya Julia agak berhati-hati. Mahu juga mengorek rahsia tentang kisah hidup aku dengan Zackery.
“Entah. Sihat kut,” jawabku agak hambar.
“Aku tengok kau macam dah berubah sekarang, Hana. Dulu kau tak macam ni.”
“Maksud kau?” aku memandang Julia semula.
“Entahlah. Nada kau bercakap serius sangat. Aku macam tengah bercakap dengan seseorang yang aku tak kenal. Dulu kau suka ketawa dengan aku. Sebab dia ke kau jadi macam ni?” ucap Julia sambil memandangku tanpa putus. Segala yang ada di wajahku cuba dirakam dengan dua bola matanya.
“Dulu aku tak serius memikirkan hidup aku, Ju. Sekarang ni aku serius,” jawabku mudah.
“Really? Kalau kau tak serius, kau takkan pilih jadi writer sedangkan dulu kau student bussines. Setahu aku Raihana yang aku kenal berani ambil risiko. Termasuklah buat keputusan untuk kahwin dengan lelaki lumpuh. Itu sesuatu yang jarang dibuat orang. Tak wujud perkataan main-main dalam hidup kau. Tapi itu tak bermakna kau kena formal selalu dalam semua hal. Betul tak?” ucap Julia sambil tersenyum sedikit.
“Kadang-kadang kita perlu keluar dari kepompong lama tu, Ju..” luahku dengan keluhan perlahan.
“Maksud kau?”
“Aku yang ada depan kau ni masih Raihana yang sama. Cuma keadaan mungkin dah tak sama macam dulu. Aku dah lalui seribu satu pengalaman dalam hidup. Semua tu akhirnya membawa aku ke sini. Raihana yang kau nampak sekarang ini, itulah aku,” jawabku biasa.
“Kau dengan Zackery macam mana sekarang?”
“Entah. Macam ni jelah sampai tua kut. Paling tidak pun, aku dah boleh join kelab mama kau tak lama lagi. Kelab janda meletop!” ucapku lantas tergelak sendiri.
“Tak baik kau cakap macam tu. Kau macam dah putus harap aja?” balas Julia rendah.
“Ju, aku bukannya putus harap. Aku cuma tak mahu berharap benda yang aku tak yakin mampu digapai. Aku dengan dia memang dah cukup jauh sekarang. Macam-macam boleh jadi dalam keadaan kami macam ni. Dah dua bulan aku tak dengar suara dia. Aku tak tahu khabar dia apa sekarang,” sambutku dalam ketenangan yang dibuat-buat. Mengenang lelaki itu, aku rasa mahu menangis.
“Kau tak rasa ke yang kau memang tak berbaloi untuk lelaki macam Zackery tu? Kau bukannya tak cantik sampai kau terpaksa pilih lelaki macam tu untuk dijadikan suami. Aku ingat lagi si Dila pernah cerita dengan aku. Dia dengar mak kau kata si Zack tu memang berhantu. Apa aja dia buat kat kau, kau tetap sukakan dia. Aku pun tak fahamlah,” ucap Julia agak payah.
Aku sekadar mampu tersenyum hambar mendengar itu. Bukan Julia seorang sahaja yang beranggapan begitu. Hampir semua orang di sisi aku semuanya mengatakan begitu. Tetapi semua itu sudah terlambat untuk aku ambil kira. Menyesalkah aku sebenarnya? Entah.
“Aku tahu kau memang sukakan dia semenjak dulu. Tapi lelaki macam dia memang tak sesuai langsung dengan kau, Hana. Serius aku cakap. Aku sebenarnya terkejut sangat bila dengar kau kahwin dengan dia. Aku tak sangka kau sayangkan dia sampai macam tu sekali. Dia tak pernah pandang kau pun selama ni.”
“Bodoh aku ni sebenarnya. Aku pandang orang yang tak ingin pandang aku. Padanlah dengan muka aku,” sambutku kelat.
Julia menghela nafas dengan sedikit gelengan. “Memang bodohlah kalau dia sia-siakan kau, Hana.”
“Taste dia bukan pada perempuan macam aku. Tapi yang elegan macam Aweena tu. Kalau dah itu yang dia suka, takkan aku nak paksa pula. Biarlah dia. Aku malaslah nak fikir, Ju.” Aku mendengus sediki. Bosan mendengar nama Zackery asyik disebut dikala fikiranku masih tidak stabil tentang lelaki itu.
“Kau tahu, kan.. Zack selalu lepak sini sebelum dia accident dulu. Kadang-kadang dia dengan Aween. Kadang-kadang dia orang lepak sini dengan perempuan Cina lagi seorang tu,” ujar Julia perlahan.
Aku sekadar mengangguk perlahan. Namun seketika kemudian aku tersedar Julia ada menyebut lagi seorang yang aku tidak kenal.
“Eh! Siapa pulak perempuan Cina yang kau maksudkan ni?” tanyaku pantas.
“Rebecca Lim. Best freind Aween.”
“Oh!” aku mengangguk lagi. Manalah aku tahu siapa best freind si Aweena tu. Aku pun bukannya rapat dengan Aweena.
“Aku ada dengar orang cerita pasal benda ni lama dulu. Aku tak tahulah benda ni betul ke tak. Zack tu semua orang kat sini kenal dia tu kaki berfoya-foya. Aku ada dengar tentang dia dengan Rebecca.”
“Maksud kau?” aku terus mengerutkan kening memandang Julia.
“Maksudnya, dia madukan si Aween tu dengan kawan baik si Aween tu dalam diam. Ini aku dengar cerita oranglah. Tak tahu betul ke tak. Tapi memang kadang-kadang aku nampak dia lepak sini berdua aja dengan si Rebecca tu. Tapi semenjak kebelakangan ni aku perasan si Aween dengan si Rebecca tu pun dah lama tak ke mari,” jelas Julia serius.
Aku terpaku seketika memandang Julia. “Maksud kau dia skandal dengan Rebecca dalam diam?” tanyaku dengan lebih jelas lagi. Julia terus mengangguk.
“Manager cafe ni yang bagitahu aku. Ada seorang manager yang kenal rapat dengan Zackery. Dia yang selalu layan Zackery waktu laki kau tu lepak sini dengan kawan-kawan dia. Dia siap cerita dengan budak manager tu, dua-dua minah tu dia dah rasa. Sebab tu aku tak suka si Zack tu,” ujar Julia selamba.
Kata-kata Julia itu membuatkan aku terdiam. Apa maksud Julia? Rasa apa? Mulalah dadaku rasa tidak sedap.
“Aween tahu ke pasal skandal tu?” tanyaku lagi.
“Itu aku tak pasti pulak. Tak tahu kut,” jawab Julia selamba.
Aku hanya mampu menggeleng perlahan mendengar cerita Julia. Menyesalkah aku mengahwini lelaki persis itu? Sudah terlambat. Tiada apa yang hendak aku kesalkan lagi. Mungkin nasib aku lebih kurang sama saja dengan nasib wanita-wanita lain yang pernah dipermainkan Zackery.
“Kau tak tahu ke siapa yang buat si Zackery sampai jadi macam tu?”
Aku terus menjungkit bahu. “Aku malas nak fikir, Ju. Sekarang ni.. aku cuma nak makan sebab makanan dah sampai. Tutup cerita pasal Zackery!” jawab ku sambil memuncungkan mulut kepada pelayan yang mendekati kami bersama makanan yang kami pesan tadi.


BAB 17
Petang itu aku tiba di rumah agak lewat. Hampir jam 7 baru aku muncul di muka pintu. Mentuaku masih tiada di rumah. Hanya Nani sendirian. Sedang aku duduk merehatkan tubuh di ruang tamu rumah telefon rumah berbunyi. Aku bangkit semula mendapatkan telefon itu.
Suara lelaki yang memberi salam membuatkan aku terpaku dengan dada tidak keruan pada permulaannya. Zackery?
“Hana.” Zackery segera menegur lagi tatkala aku masih alpa sendiri.
“Ya. Err.. sorry. Tak dengar sangat suara abang.”
“Hana sihat?” tanya Zackery lembut.
“Sihat. Abang?” aku turut membalas dengan soalan yang sama.
“Abang sihat..”
Namun seketika kemudian kami terdiam seolah-olah tidak tahu apa yang hendak dibualkan. Aku pula masih terfikir-fikir cerita Julia tadi.
“Abang rindukan Hana,” ucap Zackery tidak lama kemudian.
Aku terdiam menelan liur sendiri. Kata-kata itu sebenarnya terlalu bermakna buatku. Kata-kata yang paling ingin aku dengar. Tetapi entah kenapa aku tidak berani untuk merasa gembira.
“Hana..” sekali lagi Zackery memanggil.
“Ya..”
“Kenapa ni, sayang? Hana tak suka bercakap dengan abang?” ucap Zakcery tetap lembut.
“Tak. Bukan macam tu. Hana cuma terkejut abang telefon Hana semula. Dah dua bulan kita tak berbual macam ni,” jawabku agak rendah.
“Kat sini susah nak telefon. Tak ada coverage. Ini pun abang terpaksa suruh orang bawak abang jauh dari rumah tahfiz. Bukannya abang sengaja nak abaikan Hana. Setiap hari abang teringatkan Hana. Abang bimbangkan keadaan Hana kat sana,” balas Zackery.
“Tak apa. Hana faham.” Aku sekadar menjawab biasa. Aku tahu dia tidak berbohong. Perkampungan Madai itu berada di kaki Gua Gomantong yang masih diliputi hutan simpan Gomantong. Memang susah mendapat isyarat telefon di kawasan itu.
“Hana tak rindukan abang?”
Aku tersenyum pahit mendengar soalannya itu. Soalan tipikal! Peduli rupanya dia kepada perasaanku.
“Kenapa sibuk nak tahu? Kan abang pun dah tak mahukan Hana?” balasku selamba.
Zackery terdiam serta merta.
“Kenapa diam?” balasku sedikit sinis.
“Abang tak tahu apa Hana cakap ni, sayang.” Zackery sedikit tergagap di hujung talian. Aku sempat ketawa sinis.
“Sendiri cakap sendiri pun lupa?” selarku. Cuba aku kawal perasaan. Namun aku tidak kuat. Hatiku sakit mengenang semuanya.
“Abang cakap apa? Abang tak ingat,” balas Zackery.
Dah mereng agaknya dia ni, getus hatiku sendiri.
“Kenapa hari tu Hana tak datang jumpa abang sebelum balik?” soal Zackery lagi dalam pada aku berdiam.
“Hari tu Hana tak sihat. Hana sakit kepala sebab tu Hana tak dapat pergi sana.” Alasan itu aku berikan untuk menutupi apa sebenarnya yang berlaku.
“Abang ingat Hana marahkan abang. Dah tak mahu jumpa abang lagi. Abang tunggu Hana datang. Tapi papa dengan mama aja yang ada. Abang tanya pada mama tapi mama kata Hana tak buka pintu bilik waktu mama panggil Hana waktu tu.” Zackery berkata dengan nada sedikit lirih.
Aku terdiam mendengar kata-kata Zackery. Dia menunggu aku? Mama ketuk pintu bilik aku? Bila masa pula dia ketuk kalau dah sebelum itu lagi aku memang ada bertemu mama? Ke aku pula yang nyanyuk sekarang ni? Desis hatiku sendiri.
“Hana tak sihat waktu tu, bang. Hana tak sangka pulak yang abang tunggu Hana.”
“Abang macam dah tak sabar nak balik. Tapi ada yang masih belum abang selesaikan kat sini. Abang tengah belajar mengaji dengan Pak Kiyai sekarang. Selagi pengajian tu tak selesai, abang tak boleh balik ke semenanjung. Hana tunggu abang balik ya? Abang akan balik juga nanti. Abang nak Hana ada depan mata abang,” ucap Zackery lembut.
Sebuah helaan nafas aku lepaskan. Keliru. Aku tidak tahu mana satu yang benar saat ini. Dia sedar atau tidak apa yang dia janjikan saat ini? Kerana aku sudah letih dipermainkan.
“Hana tak tahu nak cakap apa sekarang,” jawabku seketika kemudian.
“Apa maksud Hana ni? Hana marahkan abang ke?” tanya Zackery bersungguh.
Masih seperti tadi, aku menjadi terlalu dingin untuk menjawab setiap pertanyaannya.
“Pak Kiyai selalu beritahu abang. Dia larang abang duduk seorang diri. Larang abang termenung. Jangan banyak berfikir dalam keadaan jiwa bercelaru. Sebab akan ada makhluk yang lain tolong tunjukkan jalan membuatkan abang bertambah sesat. Kadang-kadang abang tak sedar apa yang abang buat,” jelas Zackery tanpa menunggu aku menjawab pertanyaannya.
“Abang sedar apa yang abang cakap sekarang? Abang tahu tentang apa?” balasku akhirnya.
“Abang rasa abang dah kecilkan hati Hana.”
Aku tersenyum sinis seorang diri. Dia tak sedar dia sudah mengatakan sesuatu yang membuat aku terluka.
“Hana, abang minta maaf. Itu dulu. Sekarang abang dah tak macam tu. Kalau boleh abang nak balik sekarang juga.”
“Baguslah,” jawabku biasa.
“Abang dah terbiasa Hana ada depan mata abang. Kadang-kadang abang tercari-cari seseorang yang abang sayang. Dulu dia selalu ada dengan abang,” ujar Zackery perlahan.
Aku membisu lagi. Namun entah kenapa dada ini menjadi sendat sekali. Aku rindukan dia. Zackery yang dulu. Zackery yang pernah berada di sebelahku. Jika dia tercari-cari, aku lebih dari itu. Namun aku sedar, dia sudah semakin sihat. Dan aku tidak tahu selama mana aku akan berada di dalam hidupnya.
“Hana..” panggil Zackery.
“Ya..” jawabku perlahan. Namun suaraku menggigil tanpa dapat dikawal.
“Hana menangis?”
“Taklah.” Air mata yang sudah jatuh ke pipi pantas aku seka.
“Hana, abang tak berniat untuk melukai hati Hana. Abang minta maaf, sayang. Jangan menangis. Abang akan susah hati.” Suara Zackery berubah cukup sayu.
“Hana tak apa-apa, bang. Jangan risaukan Hana. Hana baik-baik aja di sini. Hana tunggu abang balik,” jawabku cuba mengusir rajuk jauh.
“Abang sayangkan Hana. Ingat tu baik-baik. Suatu hari nanti, abang tetap akan balik untuk Hana,” ujar Zackery bersungguh.
“Ya. Hana tunggu abang.”
 “Sayang, abang kena balik ni. Sekejap lagi ada kuliah agama. Nanti abang call lagi ya?” ucap Zackery dengan nada mula berubah tergesa-gesa. Agaknya ada orang memanggil dia di sana.
“Yalah. Abang jaga diri baik-baik ya?” ucapku lembut. Cukuplah aku dapat mendengar suaranya tanda dia baik-baik sahaja di sana.
Seketika kemudian talian dimatikan setelah aku menjawab salamnya. Mengenangkan maghrib sudah menjelma aku segera naik ke atas untuk membersihkan diri. Namun sepanjang jalan aku naik ke atas ada sesuatu mula bermain di fikiran.
Mengapa mama berbohong kepada Zackery waktu itu? Aku tidak faham. Sedangkan sebelum itu aku memang sudah memberitahu mama yang aku tidak dapat ke sana dan aku sempat berkirim salam kepada Zackery. Mengapa jauh benar melencong cerita mama? Entahlah!  
Malam itu sebelum tidur, aku sempat membelek lukisan yang pernah dihasilkan Zackery. Ada beberapa keping yang membuat aku terpaku lama. Tidak jemu memandang lukisan itu. Beberapa lukisan yang dihasilkannya adalah gambarku. Kertas lukisan itu aku gulung penuh hati-hati.
Namun sebelum menyimpannya aku ternampak ada tulisan tangan di belakang lukisan itu. pantas aku buka semula.
I know I can't survive another night away from her. I’m in love with her.
Your man,
-M.Z Andrian-
Aku menyelak pula pada lukisan yang lain. Tulisan itu ada pada semua gambarku. Dan saat aku terpandangkan satu lukisan aneh yang pernah dilakarnya, aku cuba melihat ke belakang. Anehnya tiada apa-apa tulisan sebaliknya nama Andy yang tertera di bawah lukisan itu.
“Siapa pulak Andy ni?” ucapku seorang diri. Aku agak Andy itu sebenarnya Andrian. Tapi aku tidak pernah dengar ada sesiapa memanggil Zackery dengan nama itu.
Usai menyimpan lukisan itu, aku terus naik ke atas katil. Sambil menanti mata terlelap, aku melayan novel yang sudah sekian lama terbengkalai. Namun novel yang berada di tanganku itu semakin membuatkan aku tidak mampu melepaskan ingatan kepada Zackery. Habis novel aku dicontengnya. Aku ketawa sendiri membaca apa yang dia tulis di bahagian atas pada satu muka surat itu.
Abang lagi romantik dari hero ni. Handsome dah tentulah abang lagi handsome. Abang lagi sesuai jadi hero Hana!
Pada muka surat lain-lainnya, ada lagi yang tulisan merapu si Zackery. Macam tahu aku akan membaca juga novel ini. Sengaja meninggalkan jejaknya di situ. Sudahnya aku menutup novel itu lalu aku letakkan di tepi kepala. Sambil mengiring, aku selak kulit novel itu. Aku ternampak lukisan Zackery pada muka surat hadapan. Pantas aku ambil semula buku itu. Apa yang dilukis Zackery aku tatap. Gambar karikatur aku dan dia. Di bawah lukisan itu dia menulis kapsyen yang membuatkan aku tergelak seorang diri.
Novel yang bakal meletup di pasaran..
Bini aku suka tengok pampers aku!
Nama penulisnya M.Z Andrian.
“Sengal!” getusku sambil menggeleng sendiri.
Namun seketika kemudian senyumanku memudar. Lukisan Zackery aku tatap lama sambil jariku mengelus wajah karikatur itu. Kemudian buku itu aku bawa ke dalam pelukan. Rindu yang aku rasakan saat ini tidak mahu kebah. Aku sedar rindu itu melebihi dari segala-gala rasa luka yang pernah aku rasa kepadanya. Dan aku ingin memaafkan khilafnya sebelum ini. Kerana, saat ini aku terlalu inginkan dia ada di dalam hidupku.

SETELAH lebih sebulan aku mula berkerja, akhirnya ada juga penghuni rumah ini yang perasan aku kerap tidak lekat di rumah. Malam itu ketika kami sedang makan malam papa bertanya juga tentang aktivitiku.
“Papa nampak Hana selalu sibuk di luar sekarang. Hana buat apa?”
“Hana kerja, papa.”
Kening lelaki itu berkerut memandangku. “Kat mana? Tak cakap pun Hana nak kerja?” ujar lelaki itu agak terkejut.
“Time Magazine.”
“Kenapa tak bagitahu papa yang Hana nak kerja? Boleh papa masukkan Hana di syarikat papa,” ucap papa terus-terusan memandangku.
“Kerja tu sesuai dengan minat Hana. Hana sukakan buku,” jawabku lembut.
“Jual buku aje? Boleh maju ke syarikat setakat jual buku?” celah mama sambil mengerlingku. Papa mengalihkan pandangan kepada isterinya itu pula.
“Sebelum ni Time Magazine memang ada masalah sebab produknya tak berapa menarik. Tapi sekarang kami dah beralih kepada penerbitan novel. Itu salah satu bahan bacaan yang paling cepat mendapat perhatian orang ramai. Itu langkah pertama yang syarikat mampu buat dalam tempoh terdekat ni,” jelasku kepada mama.
“Orang yang suka baca novel ni tak realistik. Hidup dalam angan-angan. Tak jejak di bumi nyata,” komen mama tanpa disuruh. Tersirap darahku mendengar kata-katanya. Aku suka baca novel, jadi aku pun dikira tak realistiklah? Dia tak tahu, anak kesayangan dia tu pun dah berjangkit suka baca novel!
“Itu semua minat orang. Kita kena hormati kesukaan orang lain. Sekurang-kurangnya itu mampu memberi pendapatan pada syarikat juga. Buku ni masih boleh menjadi satu cabang perniagaan yang menguntungkan kalau kita pandai mencari bahan yang sesuai untuk diisi dalam buku tu.” Papa ikut mencelah dengan pendapatnya pula. Aku terus mengangguk setuju dengan kata-kata papa.
Mama segera mencebik sinis. “Tapi lambat nak maju. Satu buku untungnya tak seberapa. Lainlah kalau kita dapat projek sana sini. Itu dah tentu berjuta dalam tangan. Buang masa aja Hana duduk kat situ. Lebih baik Hana kerja dengan kami. Cari projek besar. Bagi keuntungan lebih lagi pada syarikat.  Buat apa belajar bussines kalau sudahnya kerja macam tu aja? Rugi aja!”
“Hana tak pandai buat kerja macam tu, ma.”
“Aik? Apa guna kelulusan tu kalau tak digunakan di tempat yang betul? Setakat jual buku, apalah yang advanture sangat? Mama dengan papa ni memang tengah tak cukup staff. Dahlah Zack pun dah lama tak masuk kerja.”
“Hana tak boleh buat kerja yang Hana tak minat. Kalau Hana paksa diri, keadaan tu takkan bertahan lama, ma. Hana kerja dengan Dato’ Farah sebab Hana memang minat dengan buku. Jiwa Hana memang ada kat situ,” jawabku lembut. Harap-harap mama faham dengan situasiku.
“Zack tahu Hana dah mula kerja di luar?” celah papa tidak mahu soal itu terus diperdebatkan.
“Belum..”
“Kenapa Hana tak bagitahu dia?” mata papa mencerun sedikit kepadaku. Tidak senang mendengar itu.
“Hana tunggu dia call Hana. Tapi sampai sekarang dia masih belum call. Hari tu Hana betul-betul terlupa nak cakap dengan dia. Dia pun tak dapat nak berbual lama dengan Hana,” jawabku perlahan.
Papa mengangguk seketika sambil menyuap nasi ke mulutnya.
“Bilalah si Zack ni nak balik? Duduk kat sana lama-lama pun buat apa? Syarikat tu kelam kabut bila dia tak ada. Susah betullah!” Mama mula membebel tentang itu pula.
“Dia belajar agama kat sana. Biarlah. Itu semua untuk kebaikan dia. Sebagai lelaki dia perlu ada semua pengetahuan tu,” tegas papa tidak senang dengan kata-kata mama.
“Setakat belajar mengaji takkan boleh sampai berbulan-bulan? Belajar setakat untuk baca lepas sembahyang aja pun. Kompeni kita tu lebih perlukan dia. Itu lebih penting sekarang ni,” balas mama sedikit meninggi kepada suaminya itu.
Aku sekadar menelinga sahaja biarpun mulut ku ini ringan sahaja mahu menjawab semula kata-kata emak mertua ku itu. Sakit hati ku mendengar mama melabelkan kepentingan membaca Al Quran sekadar untuk mengisi masa selepas sembahyang. Seolah-olah itu sekadar satu hobi seperti membaca novel.
Papa menggeleng memandang mama di sebelah.
“Jaga sikit lidah awak tu bila bercakap, Nora. Sakit macam Zackery tu, tak ada doktor atau ubat moden yang sembuhkan dia. Ini realiti! Bukannya cerita dongeng yang direka-reka. Kita sendiri nampak apa yang berlaku pada Zackery hari tu. Itu semua pengajaran buat kita! Apa yang Pak Kiyai katakan hari tu memang benar. Hanya Allah sahaja yang boleh bantu kita dalam keadaan begini,” ujar papa tidak puas hati dengan kata-kata isterinya.
Mama mula terdiam menelan suara meninggi papa.  Aku mula tidak senang dengan perbalahan mulut antara dua manusia itu. Nak makan pun dah tak selera. Akhirnya aku bangun membawa pinggan ke dapur.
“Nani dah makan ke?” soalku kepada Nani yang sedang mengelap atas kabinet dapur itu.
“Sudah, mbak..” jawab Nani lembut. Seketika kemudian gadis Acheh itu memandang kepada ku. “Kenapa bergaduh di depan tu?” tanyanya agak perlahan.
“Biasalah, Nani. Biarkanlah.. hal kecik aja tu.”
Nani menggeleng sendiri mendengar jawapan ku. “Dato sama Datin kerap sekali bertengkar sekarang. Bising sekali! Rumah saya di kampung kecil saja. Penghuninya lebih ramai daripada rumah ini. Tapi kami baik-baik saja,” keluh Nani cukup perlahan. Rumah ini nampak sahaja tersergam indah. Tetapi sebenarnya indah khabar dari rupa.
“Rumah ni memang panas, Nani. Sebab kita yang jadikan dia macam ni. Bukan salah rumah ni. Tapi salah kita. Penghuni yang kita nampak hanya kita empat orang aja. Penghuni yang kita tak nampak ada ramai. Masalahnya kita yang jemput makhluk tu datang menentap di sini. Sebab tulah penghuni rumah ni asyik nak bergusti mulut aja,” jawabku sambil membasuh pinggan di sinki.
“Disuruh solat enggak mau. Sudahnya setan bisa jadi kawan!” desis Nani seorang diri.

PETANG itu sebaik sahaja aku sampai ke rumah Nani memberitahu yang ada surat ditujukan kepadaku tiba tengahari tadi. Aku sedikit hairan dengan kedatangan surat itu. Aku segera naik ke kamar. Surat itu Nani letakkan di atas bantal. Sambil duduk, hujung sampul itu aku buka.
Assalamualaikum..
Semoga isteri abang Nurul Raihana berada dalam keadaan sihat di bawah lindungan Allah selalu. Abang di sini sihat sahaja. Alhamdulillah.. semuanya baik-baik sahaja. Melainkan dua kaki ini sememangnya masih tidak mampu menampung badan ini. Entah berapa lama abang akan terus berkeadaan begini.
Hana, maafkan abang jika kedatangan surat ini tidak menggembirakan Hana. Tapi inilah yang harus abang lakukan untuk kebahagiaan Hana. Abang tahu tindakan abang ni keterlaluan dan boleh dianggap dayus. Tapi percayalah. Inilah lebih baik untuk kita. Abang sudah puas memikirkan semua ini. Abang tak mahu menyiksa hidup Hana lagi. Abang rasa bersalah melihat setiap titis air mata isteri abang menangisi setiap penderitaan abang. Abang tak tergamak membiarkan Hana terus tergelam dalam harapan. Sedangkan abang masih juga begini. Mungkin sampai bila-bila abang takkan boleh berjalan lagi.
Hana, maafkan abang. Maafkan abang sekali lagi. Abang tak layak untuk Hana. Carilah orang lain yang lebih berupaya dari abang, sayang. Demi masa depan Hana, abang rela Hana pergi jauh dari abang. Abang tak boleh mementingkan diri abang sendiri sedangkan tiada apa yang mampu abang berikan pada Hana sebagai seorang suami.
Terlalu banyak pengorbangan yang Hana dah lakukan untuk abang selama ini. Apabila sudah terlalu banyak, abang semakin merasa tersiksa melihat semua itu. Abang rasa tidak adil membiarkan Hana seorang yang berkorban untuk abang. Jadi anggaplah ini pengorbanan terakhir abang demi kebahagiaan isteri abang. Abang harap Hana redha dengan keputusan abang. Abang tahu hari ini Hana akan menangisi perpisahan ini. Tapi insya-Allah masa akan menyembuhkan luka. Abang harap suatu hari nanti kita akan bertemu semula dan waktu itu abang yakin Hana pasti sudah bertemu dengan seorang lelaki yang mampu membahagiakan Hana dunia akhirat.
Sayang, satu saja yang abang minta dari Hana. Mama dan papa dah lama menderita kerana abang. Mama banyak menangis semenjak dari hari pertama abang mendapat kecelakaan itu. Abang dah tak mahu tengok dia bersedih lagi. Begitu juga dengan papa. Demi itu abang merayu pada Hana supaya tinggalkan keluarga abang dengan cara baik dan jangan libatkan mereka dalam soal ini. Soal kita berdua biarlah menjadi rahsia kita termasuklah tentang warkah ini. Sampai satu masa nanti kita akan selesaikan mengikut kehendak undang-undang.
Dengan itu, bersama lafaz bismillahirahmannirrahim. Saya, Muhammad Andrian Zackery Bin Abdillah Zain melepaskan isteri saya Nurul Raihana binti Mohd Rashdan dengan talak satu.
Semoga ALLAH melindungi Hana selalu dan doa abang akan terus mengiringi langkah Hana biarpun Hana bukan milik abang lagi. Maafkan abang, sayang. Inilah yang terbaik untuk kita berdua. Sekian..
Yang Benar,
Abang.
Sesungguhnya usai membaca surat itu, aku terkaku begitu sahaja. Seluruh kekuatan melayang entah ke mana. Sehingga lembaran kertas itu terlepas dari tangan. Terkejut! Sebak! Hati ku hancur sehingga tiada sebarang kata-kata yang mampu aku luahkan saat itu. Fikiranku kosong.
Mimpikah aku? Aku raba wajah. Tidak. Ini bukan mimpi. Basah.Aku memandang telapak tangan sendiri. Setitis demi setitis air mata terus gugur di atas telapak tanganku sendiri. Sesaknya nafas sehingga tiada kata-kata dapat aku luahkan. Aku hilang upaya biarpun sekadar mahu menelan liur sendiri. Alam sekeliling terasa sedang berputar ligat.
Surat ini bukan surat untuk menyatakan rindunya kepada ku. Jauh lagi dari itu! Sebaliknya surat ini adalah untuk menghancurkan lagi sekeping hati yang selama ini langsung tidak berharga untuknya. Tergamaknya dia mempermainkan perasaanku. Apakah selama ini aku langsung tidak bermakna untuknya? Inikah yang selayaknya aku terima atas kasih sayang yang aku hulurkan kepadanya? Inikah dia?
Di birai katil itu aku menangis tidak berlagu. Dalam sekelip mata aku rasa seperti sudah kehilangan semuanya. Lenyap begitu sahaja.
Ya Allah, katakanlah yang semua itu hanya mimpi. Hatiku merintih sendiri.
Akhirnya apa yang pernah dia maksudkan dulu, dijadikan kenyataan. Kenyataan yang teramat-amat melukakan!
“Sampainya hati kau buat aku macam ni, Zackery!” aku merintih dalam tangisan yang tidak dapat dikawal. Di katil tempat pembaringan suamiku itu aku hanya mampu meluahkan kelukaan itu dengan air mata.
Namun kemudian tangisan itu lenyap. Aku pegun memandang kamar itu. Fikiranku ligat memikirkan diriku. Zackery meminta aku keluar dari rumah ini. Aku sedar tempatku bukan lagi di sini. Malam ini akan menjadi malam terakhir aku akan berada di sini.
Keesokan paginya, aku tidak turun bersarapan pagi bersama orang tua Zackery. Sengaja. Tidak mahu berhadapan dengan sesiapa buat masa ini. Selepas papa dan mama keluar ke pejabat, barulah aku bergerak.
Sebuah buku bertajuk Hope yang pernah aku hadiahkan kepadanya dahulu sengaja aku letakkan di atas meja belajarnya. Pada muka hadapannya aku lakarkan sesuatu buatnya.
Ada masanya kita harus belajar melepaskan seseorang biarpun sudah bertahun dia bertahta di hati. Ada masanya kita harus sedar di mana kita berpijak. Persinggahan akan selalu jadi persinggahan. Sampai masanya perjalanan mesti diteruskan. -Hana-
Namun, saat aku memandang semula kamar itu, air mataku jatuh lagi. Di sinilah duniaku bersama seorang lelaki yang aku sayangi. Sayangnya kini, tempatku bukan lagi di sini.

“Aku lepaskan kau, Zackery. Pergilah dari hati ini..”

2 ulasan: